Tuesday, July 31, 2012

GLAS--Z : Bab 3


Bab 3
Sementara itu di bangunan kediaman Dr. Sid…
DR. SID merenung data-data kajian di tangannya. Dia tidak perlu mengambil masa yang lama untuk dia memahami apa yang telah berlaku pada Jeffri malam tadi. Ternyata gelombang otak Jeffri ditekan sehingga ke paras negatif. Otak Jeffri membeku, jantung dan segala organ dalamannya hancur lalu berhenti berfungsi. Dan hanya seorang yang boleh melakukan semua itu. Hanya seorang.
Serentak dengan itu, kertas-kertas itu melayang ke udara dan akhirnya bertebaran jatuh ke serata biliknya satu persatu. Perasaan marahnya melonjak sehingga tubuhnya menggigil. Ingin sekali dibunuhnya Ari di saat itu juga jika bukan kerana Ari harta yang sangat berharga. Harta yang tiada tolok bandingannya. Harta miliknya.
“Semuanya sudah aku uruskan. Pengkebumian akan dijalankan selepas waktu Asar. Kau mahu ke hospital? Jenazah sedang dibedah siasat,” tegur Dr. Uzair di muka pintu. Tanpa dipelawa, dia mencelah masuk ke dalam bilik tidur Dr. Sid.
Dr. Sid menggeleng. Untuk menjawab pun dia rasa tidak larat. Dia masih terbelenggu dengan perasaan marah dan bersalah. Dia tidak boleh berfikir soal lain. Perasaan bersalah itu terlalu menekan.
“Sabarlah, Sid. Selepas urusan pengkebumian Jeffri selesai, kita uruskan budak tu pula. Nampaknya dalam diam-diam, dia menyimpan dendam pada kita. Kau nak aku hubungi SIKORP sekarang?”
“Jangan.”
Dr Sid duduk termenung di atas kerusi kayu di hujung katilnya. Fikirannya berserabut dengan pelbagai perkara yang datang bertimpa-timpa. Tetapi dia tidak akan sama sekali menyerahkan Ari kepada SIKORP. Mungkin belum lagi.
“Tapi kita kena cepat, kalau tak nanti habis kita semua dibunuhnya,” bantah Dr. Uzair dengan wajah yang runsing. “Kita bukan tak tahu apa yang dia boleh buat.”
Dr. Sid masih mengunci mulut. Mungkin kematian Jeffri adalah salahnya juga. Dia cuai. Dia tidak melindungi Jeffri secukupnya. Dia kesal.
“Aku percaya dia berbahaya tapi aku tak akan serahkan dia kepada SIKORP. Aku rasa kematian Jeffri hanyalah satu kesilapan, satu kebetulan,” balasnya. “Ari tak tahu apa yang dia boleh buat.”
“Satu kebetulan? Macam mana kalau kebetulan dia bunuh aku dan anak aku, Faruk?” bentak Dr. Uzair.
Dr. Sid hanya mengeluh.
“Engkau lainlah. Engkau ada perlindungan tapi kami berdua tak ada. Sayangnya anak kau sendiri sudah menjadi mangsa.”
“Tapi kita masih perlukan dia.”
“Iris, kan ada? Sudah sampai masanya kita gunakan Iris,” balas Dr. Uzair. “Hapuskan saja Ari sebelum dia bertindak lebih ganas.”
Dr. Sid geleng. “Belum. Iris belum bersedia untuk digunakan lagi. Belum lagi.”
“Tapi budak itu sudah tak berguna lagi kepada kita. Sudah tiga kali dia gagal menjalankan kerja dia. Apa perlunya lagi kita simpan dia di sini? Sudah sampai masanya kita gunakan Iris.”
“Kita tak ada pilihan. Dialah satu-satunya yang kita boleh gunakan, haklon lain  langsung tak berfungsi. Selagi Iris tak dipastikan selamat, aku tetap tak akan gunakan dia. Risikonya terlalu besar. Kalau Iris terbunuh, kita kehilangan sumber yang tak ada gantinya lagi.”
Dr. Uzair menggeleng. Nampak jelas di wajahnya, dia berasa kecewa. “Kalau jadi apa-apa pada aku atau anak aku, aku tak akan maafkan kau, Sid.”
“Siapkan bilik pembedahan.”
“Kau nak buat apa pula?” Dr. Uzair berkerut dahi.
“Aku akan jadikan dia komatos macam Iris. Jika dia terus tidak berfungsi, kita tanamkan saja di paya,” balas Dr. Sid tanpa membalas renungan Dr. Uzair.
“Kau sepatutnya dah lama buat macam tu. Ni tidak. Kau manjakan sangat dia dan kau bela macam anak sendiri. Tapi tengoklah apa balasannya pada kau? Kalau anak harimau tetap anak harimau, Sid. Kau tak boleh jadikan dia anak kucing.”
“Aku cuma kesiankan Jeffri. Kau pun tahu Jeffri sayangkan Ari seperti seorang adik. Itulah teman berbual dan bermain dia sejak tinggal di sini. Aku hanya anggap Ari tu tak lebih dari seekor kucing kesayangan Jeffri. Tapi sekarang…” Dia menarik nafas. “Jeffri dah tak ada. Aku tak perlu memikirkan soal Jeffri lagi.”
“Aku akan suruh Faruk siapkan bilik pembedahan sebab Rita bercuti sampai lusa. Berehatlah, sekejap lagi kita akan ke kubur.” Sambil menarik nafas, Dr. Uzair bangkit dari situ.  
Dr. Sid tidak menjawab. Dia hanyut dalam fikirannya sendiri. Bagai terulang tayang satu-persatu sejarah hidup Jeffri di hadapan matanya. Dari kecil sehinggalah anaknya itu dewasa. Tiba-tiba semua kenangan itu terpadam. Dia terkapai-kapai.
“Ari! Kau akan bayar kematian Jeffri…,” bisiknya perlahan. “Kau sengaja ataupun tidak, aku akan tuntut sampai ke hujung nyawa kau.”
******
TAPAK Perkuburan  Kampung Mengkarak, sudah sepi. Imam dan beberapa orang kampung yang datang membantu sudah pulang seorang demi seorang. Tidak ada seorang pun petugas di Institut Penyelidikan Betha (IPB) hadir di situ kecuali Dr. Uzair, Faruk dan Dr. Sid sendiri.
Setelah menunggu beberapa minit, Dr. Uzair mencuit lengan Dr. Sid untuk mengajaknya pulang.
“Dia dah selamat, kita ni yang belum lagi.”
Dr. Sid masih belum mahu bergerak. Dia berdoa untuk anaknya yang baru dikebumikan. Walaupun dia seorang lelaki yang selalu jauh daripada Tuhan, namun untuk sesaat itu dia mengharapkan Tuhan mengampuni dosa-dosa anaknya. Mungkin itu lebih baik buat Jeffri walau dia sebenarnya masih mengharap agar semua itu hanyalah illusi.
“Lebih baik kita selesaikan masalah kita, Sid. Tunggu di sini pun buat apa?” Suara Dr. Uzair memecahkan keheningan tanah perkuburan itu.
Faruk yang berdiri di sebelah ayahnya menjauh. Perlahan-lahan dia meninggalkan kawasan perkuburan itu, menuju ke sebuah kereta Pajero yang diparkir di bawah pokok mangga. Enjin kereta itu segera dihidupkan.
Akhirnya Dr. Sid mengalah. Walau berat hatinya meninggalkan pusara Jeffri, namun dia harus pergi juga. Hidup perlu diteruskan, Ari mesti diselesaikan. Mungkin setelah itu, hatinya akan tenang. Bersama linangan air mata, dia melangkah pergi bersama dendam yang perlu dilunaskan.
Di dalam kereta, suasana tetap bungkam. Masing-masing tidak bercakap. Mungkin kerana kesemuanya masih terasa kehilangan Jeffri yang selalu meriuhkan suasana. Mereka sama-sama sedar hidup mereka tidak akan sama lagi.
Perjalanan dari kawasan perkuburan itu ke institut mengambil masa kira-kira hampir sejam. Dari jalan besar yang menghala ke Temerloh, mereka perlu memasuki sebuah jalan kecil yang melalui sebuah ladang getah yang luas. Hari yang sudah melepasi pukul 5.00 petang membuatkan jalan itu semakin redup.
“Kau nak berehat dulu, Sid?” tanya Dr. Uzair sebaik sahaja mereka sampai semula ke perkarangan institut.
Dr. Sid tidak menjawab. Apa yang dia mahukan sekarang adalah katil untuk merebahkan dirinya buat sementara waktu. Fikirannya sudah terlalu tepu.
Dr. Uzair dan Faruk mengiringi Dr. Sid balik ke bangunan kediamannya. Setibanya di muka pintu, Dr. Uzair bersuara lagi, “Aku dan Faruk mahu ke makmal 77. Kau patut tidur sekejap sebelum pembedahan malam ini.”
Dr. Sid hanya mengangguk.
“Sementara Ari dipastikan boleh berfungsi semula, aku cadangkan kita uji Iris sebagai langkah berjaga-jaga,” sambung Dr. Uzair.
 “Tak boleh. Jangan ada sesiapa pun yang cuba sentuh Iris.” Dr Sid terus bersuara.
“Kita kena cuba dulu,” bantah Dr. Uzair sambil menahan daun pintu dari ditutup.
“Kau sendiri tahu, sedikit kesilapan, Iris boleh mati. Pelaburan kita rugi.” Kini dia bergerak masuk ke dalam bilik yang sudah dihuninya hampir 16 tahun yang lalu. Jaket yang dipakainya sejak malam tadi, ditanggal dan dicampak ke tepi.
“Aku faham tapi kita sudah terdesak, kau faham tak? Apa kata payer nanti? Apa kita nak jawab? Kau jangan lupa, duit mereka kau dah ambil. Malah aku rasa kau tentu dah habiskan duit tu di meja judi malam tadi.”
“Kenapa kau degil sangat? Aku kata aku tak akan gunakan Iris, kau dengar tak?” tegas Dr. Sid sambil merebahkan kepalanya ke belakang sofa. Kini dia bersandar tenang di situ. Dia terlalu sayangkan Iris. Iris seumpama lombong berlian yang masih mentah. Belum masanya untuk dia menggunakan Iris.
“Baik. Kalau itu keputusan kau, aku tak boleh kata apa. Tapi kalau mereka cari kau, aku juga tak boleh buat apa-apa.”
Dr. Sid tidak menjawab. Sehingga Dr. Uzair dan Faruk pergi dari situ, dia masih membisu. Dia sedar, dia ada hutang yang perlu dilunaskan. Jika Ari tidak gagal dalam kerjanya, masalah itu tidak akan timbul. Perlahan-lahan rasa sedihnya bertukar marah. Teramat marah kepada Ari.
*****
EMPAT JAM selepas itu, Dr. Sid sudah berada di dalam makmal 77 yang terletak di dalam sebuah bangunan yang berasingan. Makmal itu hanya boleh dimasuki oleh dia, Dr. Uzair, Faruk dan Rita, pembantunya. Makmal ini bersambung pula dengan dua buah makmal lainnya iaitu makmal 80 dan makmal 91. Tetapi makmal 90 adalah satu-satunya makmal rahsia yang sangat dijaga rapi. Hanya Dr. Sid dan Dr. Uzair yang boleh memasukkinya.
Dari makmal 77, dia dapat melihat semua aktiviti yang dijalankan di makmal 80 kerana keduanya hanya dipisahkan oleh dinding cermin tembus pandang. Di makmal 80 sekarang terbaring beberapa orang pemuda yang kelihatannya sedang nyenyak tidur. Mereka adalah haklon. Barisan pemuda yang diupah untuk menjadi bahan ujikaji projek REM3. Mereka juga adalah petugas di situ pada siang harinya. Cuma tiada yang menyedari apa yang telah dilakukan oleh Dr. Sid selama ini.
Dr. Sid leka meneliti satu-persatu data gelombang otak mereka yang kini terpapar di atas beberapa skrin monitor. Sudah hampir sejam dia di situ, perasaan kecewanya semakin bertambah-tambah.
“Kau masih nak cuba juga?” tanya Dr. Uzair yang baru tiba di situ sambil menyarung kot makmal berwarna putih. Faruk pula tidak kelihatan kali ini.
Dr. Sid memekakkan telinganya. Dia tetap menumpukan sepenuh perhatian terhadap data yang disalurkan melalui sejenis earphone di telinga haklon yang terbaring di atas katil.
“Macam mana? Ada peningkatan?” Dr. Uzair turut sama termenung memerhati data-data yang terlahir daripada aktiviti sel-sel neuron di dalam otak haklon-haklon itu. Padanya, tidak ada langsung perbezaannya.
“Mereka hanya mampu sampai ke Delta 5!” Dr. Sid mengeluh kasar. Dia kecewa. Haklon yang ada masih tidak mampu menandingi Ari yang boleh mencapai tahap gelombang otak  Delta 7. Dia benar-benar kecewa dengan hasil percubaannya malam itu.
“Aku dah kata, hanya Iris yang boleh menggantikan Ari,” tempelak Dr. Uzair.
Dr. Sid diam semula. Dr. Uzair hanya nampak Iris tetapi dia mahukan sesuatu yang lebih besar dan banyak daripada itu. Sejak dua puluh tahun yang lalu dia telah nampak potensinya dan itulah yang diusahakan sejak itu. Dia bukan mahukan Iris seorang, dia mahukan satu angkatan tentera.
Dengan sebab itulah pemuda-pemuda itu dijadikan haklon Ari. Walau wajah mereka tidak sama, sebahagian sel otak Ari sudah dipindahkan ke dalam otak mereka tetapi sayangnya mereka tetap tidak mampu menjadi seperti Ari. Mungkin dia perlu membuat satu klon yang lengkap pula pada masa depan, fikirnya dalam diam.
“Iris sangat berpotensi besar, Sid. Dia bukan saja boleh menggantikan tempat Ari, malah boleh menghasilkan berpuluh-puluh Ari lagi selepas itu.” Dr. Uzair bersikap tenang dalam menghadapi keberangan Dr. Sid.
“Kau fikir aku tak tahu? Tapi Projek REM2 masih diperingkat awal. Aku takut sesuatu terjadi kepada dia, kita rugi besar.”
Dr. Uzair mengeluh. “Kau fikir REM2 akan membahayakan nyawa Iris?”
Dr. Sid angguk. “Aku perlukan masa lebih kurang sebulan lagi.”
“Itu sudah terlalu lambat, Sid. Payer akan mengamuk nanti. Ini pun kita sudah terlambat beberapa minggu dari tarikh yang mereka minta.”
“Ari akan ambil masa seminggu untuk stabil. Selepas tu. Kita akan gunakan dia semula macam biasa,” balas Dr. Sid. Dia semakin rimas apabila Dr. Uzair asyik mengingatkan dia tentang payer.
Dr. Uzair tersenyum sinis. “Kalau budak tu gagal lagi?”
Dr. Sid menghempas data-data yang dipegangnya di meja. Dia keluar dari situ tanpa sebarang kata. Dia benci dicabar.

******
SEMENTARA itu di bilik kurungan, Ari semakin resah. Matahari yang sudah menghilang di balik bukit membuat dahinya berpeluh. Dia tidak sukakan malam, dia sentiasa akan cemas setiap kali keadaan menjadi gelap. Nafasnya sesak, dia mudah panik. Tiba-tiba, telinganya menangkap bunyi derap tapak kaki menuju ke situ. Jantungnya berdegup laju. Dia harap bukan anggota SIKORP yang datang.
“Ari,” panggil Faruk. Pintu bilik itu dibuka perlahan-lahan.
Nafas Ari tercungap. Cahaya yang mencelah masuk melalui pintu yang dibuka membuat nafasnya lega sedikit tetapi tidak lama. Pintu itu ditutup semula dan bilik itu kembali  gelap gelita.
“Ni, kasut, baju dan beg dompet kau,” kata Faruk separuh berbisik sambil meletakkan sebuah beg sandang di riba Ari.
“Sekarang?” tanya Ari. Dia terkocoh-kocoh menyarung kasut.
Faruk angguk cepat.
 “Apa aku nak buat kalau aku lari? Ke mana aku nak pergi?”
Ari mula kalut. Dia hanya pernah keluar sekali dari institut, itu pun semasa dia dibawa membuat kad pengenalan. Dia tidak tahu ke mana dia harus tuju. Dia tidak kenal sesiapa di luar sana.
“Aku dah uruskan semuanya. Kau ikut saja arahan aku,” jawab Faruk.
Mata Ari membesar. “Betul?”
“Aku yakin kau tak bersalah, Ari. Aku tak sanggup tengok kau dihukum akibat kesalahan yang kau tak buat. Itu zalim namanya.”
“Aku lari bukan kerana aku bersalah, Faruk,” katanya pula. Dia mahu Faruk jelas tentang perkara itu. Dia juga mahu dirinya sendiri jelas dengan keputusan yang diambil itu.
 “Aku tahu.” Faruk angguk. “Kalau kau dah jadi mayat, segalanya tak berguna lagi. Kau akan tetap diingati sebagai orang yang telah membunuh Jeffri. Kau mahu?”
Ari termenung sebentar. “Terima kasih. Aku… terhutang budi pada kau. Tapi lepas tu apa?”
“Aku kan ada? Aku akan cari bukti untuk membersihkan nama kau. Hanya dengan itu, Dr. Sid akan percaya.”
Ari terdiam. Dia sedar, buat masa itu, dia tidak punya pilihan lain. Dia tidak ada bukti untuk menyangkal tuduhan itu. Bahkan dia tidak faham langsung apa bukti yang mereka ada.
“Aku tak tahu apa yang boleh aku buat jika tak ada kau, Faruk,” katanya dengan perasaan yang terharu.
“Itulah gunanya kawan. Walau aku rapat dengan Dr. Sid, tak bermakna aku setuju dengan semua perkara yang dia buat.”
Ari angguk. Dia faham soal itu bahkan Jeffri sendiri tidak menyukai sikap ayahnya yang suka sangat berjudi di kasino. Namun siapa yang berani menentang Dr. Sid di situ? Jika hitam katanya, hitamlah segalanya.  
“Jadi, macam mana aku nak keluar dari sini?”
“Shh…” kata Faruk sebaik sahaja terdengar bunyi tapak kaki berhenti di hadapan pintu bilik kurungan itu. Dia segera melompat bangun dan menyorok di balik pintu.
Ari berdebar-debar menunggu pintu itu terbuka lagi. Sesekali matanya melirik ke arah Faruk.
Tidak lama kemudian, pintu itu terbuka lebar. Seorang petugas institut itu masuk sambil menatang dulang makanan untuk Ari. Dulang itu diletakkan sahaja berdekatan Ari sambil tersenyum. Namun belum sempat dia bangun semula, Faruk meluru dari balik pintu dan memukul kepala petugas itu di bahagian leher, lelaki itu pengsan dan tergolek mencium lantai lantai.
“Cepat!” kata Faruk sambil menarik lengan Ari.
Mereka berdua berlari keluar menyusuri sebuah laluan menuju ke arah pintu keluar di belakang bangunan itu. Faruk terus berlari tanpa henti meredah semak dan belukar sehingga mereka tiba di hadapan sebuah pintu kecil di sebelah belakang institut itu pula. “Aku cuma boleh hantar kau sampai di sini,” katanya sambil tercungap-cungap menarik nafas.
“Habis tu? Aku nak ke mana ni?” Ari mula panik. Di hadapannya terbentang ladang getah yang gelap gelita. Nafasnya hampir terhenti.
Faruk mengeluarkan sekeping kertas dari poket bajunya.
“Nah! Kau simpan kertas ni baik-baik. Itu alamat rumah Rita. Kau ke sana dulu. Aku akan datang pagi esok selepas kerja aku habis. Jangan cuba hubungi aku atau sesiapa.”
“Rita?” tanya Ari. Dia tercengang.
“Kau jangan bimbang, aku dah terangkan pada Rita dan dia dah setuju bantu kita. Kau cuma perlu ikut jalan ni sampai ke hujungnya. Di sana ada sebuah teksi menunggu kau. Kau kena pergi cepat sebelum orang institut sedar kehilangan kau dan kau kena waspada jangan sampai sesiapa nampak kau.” Faruk tolak tubuh Ari keluar dari kawasan institut itu. “Pergi cepat,” katanya sambil menghulurkan sebuah lampu suluh.
"Tapi aku takut gelap," balas Ari.
"Kalau kau tunggu masa depan kau terus gelap!"
Ari tergamam seketika. Ada sebatang jalan merah yang menuju ke dalam ladang getah yang gelap gelita di hadapannya. Sebaik sahaja pintu pagar itu dikunci dari dalam, dia sedar dia tidak ada pilihan lain.
Hanya dengan berpandukan lampu suluh yang diberikan Faruk, Ari terus berlari menyusuri laluan tanah merah yang berbecak. Dia tidak memandang lagi ke belakang kerana dia tahu itu jalan yang patut diambil buat masa itu. Dia hanya akan kembali apabila namanya sudah bersih, itu janjinya.

Nota kaki:

Komatos : Jasad yang berada dalam keadaan koma.
Haklon    : separa klon.

No comments:

Post a Comment