Friday, August 3, 2012

Cerpen: Nanah-nanah silam...


Rumah kayu bercat hitam itu Fia datangi untuk sekian kalinya. Rumah yang dikelilingi pokok-pokok rambutan dan mangga. Rumah yang kini menjadi tempat berteduh seorang lelaki yang dia panggil angah. Dia tiba di situ dengan rasa risau yang menggunung setelah mendapat panggilan telefon daripada isteri angah.
“Macam mana angah rasa? Ada elok sikit?” tanya Fia sewaktu menyusun simpuh di sebelah tilam nipis angah. Rasa risaunya bukan makin surut malah makin menimbun dek apa yang dipandang. Keadaan angah uzur benar.
Angah yang tadinya asyik merenung atap rumahnya, menoleh sedikit. “Teruk rasanya, usu.”
Fia pandang wajah angah lama-lama. Setiap kerut muka, setiap riak wajah dan setiap perasaan yang tergambar di situ cuba ditafsirkan. “Kenapa tak masuk hospital saja, angah? Senang, kalau terjadi apa-apa.”
Angah terus menggeleng.
“Angah tak suka duduk dalam wad,” jawabnya dengan susah payah. Suara dan tangannya sama-sama terketar-ketar, tergoyang-goyang menunjukkan betapa teruknya demam angah kali ini.
“Bukan soal suka tak suka. Tapi fikirkan kesihatan angah tu.” Fia mula berleter. Dia bukan tidak faham perangai angah. Tidak usahkan hospital, bau ubat pun takut.
“Aku dah tua. Lama mana sangat aku boleh hidup lagi, usu?”
“Ke situ pula perginya. Kalau ya pun dah tua, takkan nak terlentang menunggu mati saja, angah. Itu putus asa namanya.”
“Angah panggil usu datang bukan pasal angah,” balas angah. Seperti sudah bosan dengan leteran Fia.
Fia berhenti bercakap. Dia renung wajah angah. Wajah angah seperti menunjukkan ada perkara lain yang terbenam dan tersirat di dasar hati. Dia tertanya-tanya, angah dah buang tabiat ke?
“Pasal apa?” Dia memberanikan diri bertanya walaupun sebahagian dari dirinya tidak ingin tahu jawapan angah.
“Pasal along.”
“Along?” Fia terdiam lama. Dia sungguh tidak menyangka bahawa angah akan menyebut soal along lagi setelah berpuluh tahun lamanya. Along dan angah baginya bak malam dan siang. Bak bulan dan matahari, begitulah bezanya serba-serbi. Begitulah terpisahnya mereka berdua. Tetapi hari ini angah teringatkan along? Sah! Angah buang tabiat.
“Kenapanya dengan along?” Dia bertanya lagi bersama debar yang mula memuncak.
“Angah nak jumpa along,” jawab angah. “Angah nak minta maaf dengan along.” Air mata angah membasahi pipi tuanya. Pipi yang tidak lagi cekang macam dulu.
Hati Fia sebak. Dia percaya air mata angah, air mata yang tulen. Air mata yang dialirkan penuh sesal dan sedar. Cuma dia kesal arwah ibu mereka tidak sempat melihat detik yang bersejarah itu. Arwah ibu pergi bersama amanah yang terbeban dibahunya sampai kini cuma along dan angah sahaja yang tidak pernah tahu.
“Cakap dengan along, angah nak jumpa dia.”
“Betul ke ni, angah? Nanti usu dah sampaikan pada along, angah tak jadi pula jumpa dia. Usu yang kena marah macam dulu tu,” balas Fia. Dia masih teringat peritiwa lama. Peristiwa di mana dia beria-ia mahu menemukan angah dan along tapi sayangnya di saat akhir angah mengelak. Angah berikan seribu satu alasan.
“Kali ni angah betul-betul nak jumpa dia. Tolonglah angah, usu.” Angah pegang tangan Fia. Angah renung muka Fia dengan mata yang tidak berkelip.
Fia menarik nafas panjang. Dia jeling angah. Mungkin permintaan itu tidaklah teruk sangat. “Okey, usu akan sampaikan permintaan angah ni tapi dengan satu syarat.”
Angah angguk perlahan.
“Usu hantar angah masuk wad,” kata Fia.
Angah toleh ke arah dinding rumah. Angah diam agak lama.
“Kalau angah tak nak masuk wad, usu pun malaslah pergi rumah along. Dahlah jauh, nanti pergi sana kena marah saja dek along.” Fia tarik muka masam. Kalau degil, biar sama-sama degil. Biar sama-sama melepas.
“Yalah.” Angah menyahut perlahan.
Fia tarik nafas lega.
*****
“DAH dua hari dah angah masuk wad. Doktor kata dia kena denggi, mujur usu paksa dia masuk wad hari tu.” Fia menyusun cerita setelah hampir sejam berada di rumah pusaka yang kini dihuni along sekeluarga. Sejak tiba di situ tadi, dia masih tidak dapat peluang untuk membuka mulut pasal angah. Along seperti tidak pernah ingat pasal angah.
“Denggi?”
Fia angguk. “Along tak nak lawat dia?”
Along geleng. Dia kembali menumpukan perhatian kepada surat khabar yang dibacanya.
“Along…,” panggil Fia. Nampaknya dia tidak ada pilihan lain. Hasrat angah perlu disampaikan juga kepada along. Kalau tidak, sia-sia sahajalah dia balik ke situ. Sia-sia sajalah masa dan minyak keretanya.
“Nak cakap apa?” Along bertanya dari balik surat khabar.
“Angah nak jumpa along. Dia cakap nak minta maaf dari along.” Fia bercakap selaju-lajunya bagaikan diberi tempoh masa untuk bercakap.
“Apa?” Along turunkan surat khabar yang tadi diangkat tinggi. Bulat matanya merenung wajah Fia.
“Angah nak jumpa along,” ulang Fia. Renungan tajam along membuatnya kecut perut. Walaupun sama-sama sudah berumur namun sikap tegas along masih berbekas dalam hatinya. Dia tetap berasa seperti adik bongsu perempuan yang masih kecil.
Along berdengus.
“Tolonglah, along. Izinkanlah angah datang jumpa along. Dia nak minta maaf dari along tu. Lagipun kita kan sedang berpuasa? Kan elok kalau kita saling bermaaf-maafan?”
Along geleng. Dia termenung jauh bagaikan merenung wajah angah di atas lantai. Masih ada sisa marah dan rajuk tergambar di wajahnya.
“Tak baik along macam tu,” kata Fia lagi. Sebal dadanya apabila along terus berdegil. Rasanya tidak sanggup dia menyampaikan kepada angah penolakan along itu nanti.
“Tak baik?” tanya along. “Habis tu, apa yang dia buat pada along selama ni baiklah?”
“Takkanlah selepas berpuluh tahun pun, along masih tak boleh maafkan angah?”
“Usu apa tahu? Kalau tak kerana arwah mak dapat merampas pisau dari tangan angah, dah lama along ni jadi arwah,” balas along. “Sampai ke mati tangan arwah mak berparut besar. Anak apa tu buat mak sendiri sampai macam tu? Itu baik ke namanya?”
“Usu tahu cerita tu. Sudah entah berapa kali along ungkit kisah lama tu tapi takkanlah kita semua nak terus hidup macam ni? Kita dah tua, along. Bila-bila masa saja kita dihantar ke kubur,” balas Fia. Sesak dadanya dengan kedegilan along. Resah jiwanya apabila kisah masa silam itu dibangkit-bangkitkan semula. “Lagipun sebelum mak pergi, mak dah ampunkan angah. Along sendiri tahu.”
Along cuma menggeleng.
“Usu tahu hati along terluka dengan sikap angah. Tapi yang terluka, yang bernanah dan berulat tu hati along juga, bukan hati orang lain. Kalau along rasa nak bawa mati segala luka dan nanah yang mengumpul sejak berpuluh tahun tu… terpulanglah. Angah dah nak berdamai, tapi along yang tak nak. Along fikirlah sendiri. Rugi saja janggut tu beruban kalau hati tak seputih itu.”
Fia tinggalkan rumah along sebaik sahaja selesai berkata-kata.Dia tidak sangka hati along sekeras itu. Walaupun dia akui kesilapan memang berpunca daripada angah tetapi dia kagum kerana angah akhirnya menyedari kesilapannya dan mahu meminta maaf. Apalah salahnya sekiranya semua perselisihan faham yang sudah berpuluh tahun berlalu itu dilupakan sahaja? 
******
“Usu dah jumpa along?” Angah bertanya sewaktu Fia datang melawat angah sehari selepas balik dari kampung bertemu along.
Fia terdiam.
“Along tak nak jumpa angah,” kata angah lagi apabila Fia tidak menjawab pertanyaannya. Kemudian angah juga terus membisu.
“Nanti… usu cuba pujuk along lagi. Angah berdoalah banyak-banyak pada tuhan. Semoga dengan keberkatan Ramadhan ni, hati along terbuka untuk jumpa angah,” balas Fia. Itu sahaja yang termampu dia ucapkan. Sememangnya dia tidak akan berputus asa untuk memujuk along dan angah berdamai. Itulah harapannya sebelum dia menutup mata.
“Tak apalah kalau dia tak nak. Kalau angah tak sempat jumpa dia lagi, katakan pada dia yang angah minta maaf di atas semua salah silap angah selama ni. Angah tahu dulu angah banyak buat silap, angah nakal, angah tak dengar nasihat along. Tapi itu dulu… ni angah pun dah tua, dah tak lama lagi tengok dunia ni.”
Hati Fia menjadi sebak. Belum pernah dia mendengar angah berkata begitu. Dia akui angah memang seorang anak yang nakal semasa remaja. Kenakalan angah sehingga menyusahkan along dan arwah mak. Entah berapa kali angah disabitkan dengan kes mencuri di kampung, entah berapa kali pula along dan arwah mak menyelamatkan angah dari dihukum dan dipukul. Tapi apa balasan angah? Angah tetap engkar segala nasihat mak dan along yang menyara mereka sekeluarga setelah pemergian arwah abah. Itulah angah. Bagaimanapun kenakalan angah bagaikan terhukum dengan sendirinya. Dari remaja hinggalah sekarang, hidup angah tidak lekang daripada kesusahan. Itu Fia juga akui.
“Jangan putus asa, angah,” pujuk Fia. “Selagi kita ada masa, kita berusahalah pujuk along tu.”
“Besar betul dosa angah pada along. Sampai angah dah nak mati pun along tak nak jumpa.”
“Kita beri dia masa,” kata Fia sebelum meninggalkan wad angah. Dalam perjalanan balik ke rumahnya, kereta Fia bertembung dengan sebuah lori.
*****
Keesokkan harinya di rumah Fia…
“KENAPA? Terkejut tengok usu hidup lagi?” Fia tersenyum tawar ke arah along yang baru tiba di rumahnya.
Muka along yang pucat beransur cerah. Dia tidak mempedulikan orang lain yang ada di situ.
“Habis tu? Suami usu telefon macam usu dah arwah dah,” balas along sama bisa.
Fia cuma ketawa kecil. Gembira hatinya melihat along sudi mencecahkan kaki ke rumahnya hari itu.
“Macam mana boleh kemalangan ni?” Along bertanya lagi sambil duduk di birai katil Fia. Dia perhati tangan Fia yang bersimen dan dahi yang bertampal sana-sini.
“Dah nak jadi,” balas Fia. Dia malas mengingatkan apa yang telah terjadi ke atas dirinya. Akibat terlalu leka memikirkan soal along dan angah, dia terlanggar belakang sebuah lori, mujurlah dia sempat menekan brek walaupun bonet keretanya kemek dan dia patah tangan kanan.
Along cuma menggelengkan kepala.
“Along,” tegur satu suara dari arah belakang.
Along dan Fia berpandangan seketika. Fia angguk tanda meminta along tidak menolak kehadiran angah di situ. Kalau boleh biarlah segala sakit dan perit yang ditanggung sekarang membuahkan sesuatu yang manis pula. Dia rela menanggungnya asalkan sakit di hati ketiga-tiga mereka menjadi lega.
“Along.” Angah panggil lagi.
Along pun berpaling dengan rasa terpaksa, apatah lagi seisi rumah kini merenung mereka berdua.
“Angah… angah minta maaf.” Angah hulurkan tangannya untuk bersalam dengan along. Matanya basah.
Lama along terdiam. Kakinya bagaikan terpaku ke lantai, langsung tidak bergerak. Huluran tangan angah juga tidak disambut.
“Along…,” tegur Fia yang masih terbaring di atas katil. Nampaknya dalam sakit-sakit itu pun, dia harus berusaha kuat untuk memecahkan tembok ego dalam diri along. “Sudahlah tu… maafkanlah angah.”
Along masih lagi mendiamkan diri. Dia hanya memandang ke arah lain.
“Kalau macam tu… tak apalah, along. Agaknya along lebih pentingkan rasa ego along daripada peluang untuk dapatkan ganjaran Allah SWT di bulan puasa ni. Along junjunglah rasa marah along tu ke liang lahad. Usu dah tak dapat tolong lagi. Dah habis daya usu, itu pun mujur hanya tangan usu saja yang patah, kalau batang leher usu ni yang patah?”
“Usu,” tegur angah pula.
Fia mendiamkan diri walaupun dalam hatinya bergejolak segala rasa yang ada. Marah, sesal, dan sakit hati melihat perangai dua orang lelaki tua yang sama-sama memeningkan kepala dia.
“Jangan cakap dengan along macam tu,” tambah angah dengan dada yang tercungap-cungap. Walau demam angah sudah semakin baik tetapi kesan demam denggi yang dihidapinya masih ada. Tubuh angah masih lemah. “Kalau along tak nak maafkan angah, itu hak dia. Tapi angah dah maafkan along. Angah cuma nak hidup tenang sekarang. Angah dah tak larat dah nak bergaduh dengan sesiapa.”
“Memang kemaafan itu hak along tapi menggugurkan rasa marah dan dendam itu lebih mulia di sisi Tuhan. Itu mendekatkan kita kepada taqwa,” sahut Fia. Rasa marahnya kepada along dipadamkan dengan kesedaran itu. Dia cuba bertenang. “Tak mahukah along peluang yang baik itu? Adakah sikap lain yang lebih baik daripada sikap yang mulia?”
Along masih diam.
“Memaafkan itu lebih baik, along. Daripada along bawa perselisihan faham ini ke lubang kubur. Dua-dua orang tak dapat apa-apa. Along nak siksa angah sampai bila? Along masih tak puas hati lagi walaupun sudah berpuluh tahun berlalu?”
Kesemuanya senyap.
Fia mengeluh perlahan. Dayanya semakin sampai ke penghujung. Dia sudah tidak tahu bagaimana lagi mahu melenturkan kekerasan hati along. Mungkin kerana perkara itu dibiarkan terlalu lama, maka rasa marah itu membeku menjadi segumpal rasa yang tidak lagi mampu dilembutkan dengan sebarang pujuk rayu.
“Kalau along nak balas semua perbuatan angah dulu, balaslah. Angah dah tak kisah. Nak tumbuk ke, nak tampar ke, tamparlah… asalkan kita sama-sama puas. Sama-sama hilang segala sakit hati. Selepas tu, biarlah kita sama-sama hidup tenang menunggu mati yang bila-bila masa akan sampai.” Angah luahkan segala apa yang ada di hatinya.
Fia hanya mengerling. Dia dapat rasakan kesungguhan angah untuk berdamai dan hidup tenang selepas ini. Tinggal along sahaja lagi yang masih mahu hidup dalam rasa marah dan dendamnya. Dia tidak boleh buat apa kalau sudah itu pilihan along.  
“Raya ni kita ziarah kubur mak abah sama-sama,” balas along secara tiba-tiba.
Fia berpaling ke arah along. Maksudnya?
“Raya ni semua balik ke rumah pusaka, biar semua ahli keluarga kita berkumpul semula.” Along menambah.
“Macam mana nak berkumpul kalau…” Fia mencelah. Hatinya belum puas selagi along tidak membuat keputusan yang diharapkan itu.
“Kalau tak balik, along tak akan maafkan sesiapa,” jawab along. “Rumah pusaka tu dah lama sunyi. Usu balik pun raya ketiga. Tahun ni along nak usu dan angah balik ke situ beraya macam dulu. Bawa semua anak dan cucu-cucu. Kita solat raya di masjid kampung sama-sama.”
Fia tersenyum ke arah angah. Dia lihat angah tetap tenang sahaja. Sama ada angah tidak dengar ataupun angah tidak faham apa yang sedang berlaku tetapi itu sudah cukup membuatkan hatinya berbunga-bunga.
“Along maafkan angah?” tanyanya untuk kepastian.
Along angguk.
Fia menarik nafas yang teramat lega. Berulang kali diucapkan kata syukur ke hadrat Illahi. Sesungguhnya kemaafan itu rasanya lebih manis di bulan Ramadhan….

****************
Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada rakan-rakan dan pembaca yang telah menghantar kad raya kepada saya. Saya akan cuba membalas kesemua kad tersebut secepat mungkin.
 dari meja,
MK

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.