Friday, August 17, 2012

Cerpen: Selamat Hari Raya, Mak !


“SEPULUH ringgit  saja, dik,” kata penjual kain yang bertubuh tinggi lampai itu. Dia ke hulu ke hilir melayan pembeli namun sempat juga melayan aku sesaat dua.
Aku masih terpempan di hadapan timbunan kain yang pelbagai warna dan corak. Kain-kain itu ditimbunkan sahaja di atas sehelai plastik lebar yang dihampar di atas jalan di mana pasar sehari itu diadakan. Selain aku, beberapa orang wanita turut memilih kain di situ.
“Berapa meter ni, bang?” Aku angkat sehelai kain berrwarna biru bercorak bunga merah hati. Kain itu yang paling menawan hatiku antara semua kain yang ada.
“Itu dua meter. Tujuh ringgit sudahlah,” kata penjual itu lagi. Sempat juga dia merenung wajahku yang seakan-akan ribut mencongak.
Dua meter? Apa yang boleh dibuat dengan dua meter kain? Ah! Cukuplah untuk buat baju kurung. Lagipun ibuku selalu memakai baju kurung bersama dengan kain batik sahaja. Jadi kain itu cukup untuk dibuat baju sahaja.
“Boleh, dik?” Penjual tadi merenung wajahku lagi.
Perlahan-lahan aku angguk setelah mengira berapa jumlah duit yang ada di dalam dompetku. Setelah membayar harganya, kain biru itu aku bawa pulang dengan penuh rasa bangga.
******
“Ada beli ikan?” Ibu bertanya sebaik sahaja, aku bersimpuh di sebelahnya. Penat berjalan di pasar sari tadi masih terasa.
“Ada,” balasku. “Mak nak makan sekarang? Ati pergi bakar.”
Ibu mengangguk.
Aku mula mengangkat punggung. Dalam keadaan ibu yang uzur itu, ibu tidak larat lagi berpuasa seperti biasa. Dan makanan kegemaran ibu hanyalah nasi bersama ikan bakar. Jemu ikan sungai, ibu minta ikan laut. Begitulah sebaliknya.
Sambil aku menanti nasi yang ditanak masak, aku membakar ikan kembung yang sudah berkunyit dan bergaram di atas bara kayu api. Baunya membuat perutku yang kosong bergelora dengan rasa lapar. Sedang aku termenung memerhati bara api yang menyala terang, telefon bimbit yang kuletak dalam poket seluar terasa bergetar.
“Ati, kau jadi pergi tak?” Suara Fiah terus menerjah. Langsung tidak menghulur salam.
“Tak,” balasku. Aku sudah jangkakan yang Fiah akan menelefonku berkenaan soal temuduga yang kudapat.
“Kenapa tak pergi? Rugi tau… Bukan senang nak dapat interview kat syarikat tu. Penat-penat saja Riduan recommend kan kau.”
Aku diam beberapa saat. Memang aku tahu bukan senang untuk dipanggil temuduga di syarikat yang gah seperti itu. Bukan senang juga mendapat sokongan kawan yang sudah ada di dalam syarikat itu tetapi yang susahnya hidup aku tidak memungkinkan semua peluang itu aku rebut.
“Kau kan tahu masalah aku?”
Giliran Fiah pula yang terdiam.
“Takkan adik-beradik kau tak boleh tolong? Mintalah mereka jaga mak kau sekejap,” kata Fiah kemudiannya. “Rugi kalau kau lepaskan peluang ni.”
Susah betul untuk aku menjawab pertanyaan itu. Jika mudah, tidaklah aku tersangkut di kampung itu setelah habis belajar.
“Tak apalah. Mungkin tak ada rezeki aku bekerja di situ. Kau macam mana pula? Bila mula kerja?” Aku alihkan perhatian Fiah daripada masalah aku. Sekurang-kurangnya kejayaan Fiah mendapat kerja, membuatkan harapanku bernyawa.
“Selepas raya. Aku sedang minta tolong sepupu aku carikan rumah sewa dekat KL tu.”
“Baguslah. Kerja elok-elok.” Suaraku bergetar. Ada rasa sayu yang sukar kusembunyikan. Jika boleh aku pun hendak pergi temuduga dan bekerja seperti Fiah tetapi siapa yang akan jaga ibu?
“Ati… kau ada duit belanja tak?”
“A… ada,” balasku. Sedikit gugup dengan pertanyaan Fiah yang tidak kujangka.
“Aku ada duit sikit, taklah banyak. Aku masukkan dalam akaun kau,” kata Fiah lagi.
“Tak payahlah. Kau pun nak pakai duit, kan? Bukannya masuk kerja terus dapat gaji.”
“Tapi aku ada hutang dengan kau. Kau ambillah duit ni. Aku kerja part-time dekat Mydin hari tu, ada duit sikit.” Fiah terus mendesak.
“Tak apa,” Aku masih menolak pemberian Fiah. “Aku tak anggap hutang pun. Aku halalkan saja apa yang terlebih terkurang di antara kita dulu.”
Fiah mengeluh.
“Aku doakan masalah kau selesai. Aku janji aku akan tolong carikan kau kerja dekat sini supaya kita boleh tinggal sama-sama macam di universiti dulu.”
“Aamiin,” kataku. Walaupun aku sendiri tidak pernah tahu bagaimana mahu menyelesaikan masalah yang membelengguku kini.
Setelah Fiah menamatkan panggilannya, aku angkat seekor ikan kembung bakar lalu aku letakkan di sisi nasi. Pinggan itu aku bawa ke sisi ibu. Melihatkan wajah ibu yang semakin uzur, aku tidak rasa pulang ke situ satu kesilapan.
******
“Ati,” panggil ibu pada sebelah malamnya. Pada waktu itu, aku baru selesai bersolat Isyak tidak jauh dari tempat ibu berbaring.Mendengarkan panggilan itu, aku lalu menanggalkan telekung yang kupakai.
“Mak nak kencing ke?” Aku bertanya seraya mendekati ibu.
Ibuku menggeleng.
Aku terus merenung wajah ibuku untuk mendapatkan kepastian apa yang dimahunya.
“Berapa hari lagi raya?”
“Seminggu lagi, mak. Kenapa?”
Ibu tidak terus menjawab. Sebaliknya ibu termenung memandang dinding rumah yang sudah kekuningan. Entah apa yang ibu fikirkan.
“Ati nak buat kuih raya?” Ibu bertanya perlahan. Nadanya mengendur seperti takut-takut.
Aku menggeleng. “Tak payahlah, mak.”
“Mak ada duit sikit.”
Aku masih menggeleng. Walaupun aku tahu membuat kuih raya tetapi dalam keadaan seperti itu kuih raya adalah perkara terakhir yang aku fikirkan.
“Ati nak beli baju baru?”
Aku menggeleng juga. “Baju baru banyak lagi,” jawabku.
Ibu lantas terdiam. Mungkin jawapanku tidak menyemarakkan perbualan itu.
“Ke manalah perginya kakak-kakak dan abang-abang Ati….” Ibu mula merungut.
Aku tunduk memandang lantai rumah yang diperbuat daripada papan dan dilapisi tikar getah yang sudah pudar warna. Aku paling tidak suka apabila hal adik-beradikku yang lain disentuh. Aku tidak mahu segala rasa sakit di hati digali dan dilambakkan di hadapanku. Kerana rasanya, bagaikan tidak tertanggung oleh aku seorang.
“Ada sesiapa telefon kata nak balik raya ni?”
Lamunanku terhenti. Wajah adik-beradikku hilang satu persatu dari layar mataku. Bingung sekejap fikiranku kerana jika aku mengatakan yang sebenar, hati ibu pasti terluka. Lantas aku menggeleng sahaja.
Seperti yang kuduga, air muka ibu berubah mendung. Ibu terus tidak bersuara selepas itu.
******
 SUDAH hampir ke tengah malam, aku masih duduk di atas lantai mengukur dan memotong kain biru yang kubeli siang tadi. Walaupun aku tidak pernah menjahit baju, akan kugagahkan diri juga untuk menyiapkan baju baru untuk emak. Inilah sahaja yang mampu aku berikan di hari raya ini, walaupun harganya terlalu murah namun ia cukup bererti bagiku kerana ia dibeli daripada duitku sendiri. Duit baki pinjaman pelajaran dulu. 
Sehelai baju kurung lama ibu aku buatkan panduan. Pada penglihatanku, tubuh ibu tidaklah banyak berubah susuknya walaupun sudah jatuh sakit hampir enam bulan. Jadi aku yakin baju itu akan muat dipakai ibu. Sama ada ibu suka ataupun tidak, itu sahaja yang aku tidak pasti.
Sedang sibuk menggunting, aku terdengar suara ibu memanggil lagi. Lantas, kain itu aku tinggalkan.
“Mak nak kencing,” kata ibu sambil menggapai tangannya ke udara.
Aku tahu ibu mahu diangkat, lalu tubuh ibu yang kecil dan kurus itu aku papah ke bilik air. Aku biarkan ibu membuang air kecil dan air besar sekali. Setelah ibu puas hati, baru aku bersihkan dan bawa ibu ke tempat tidur semula.
“Kenapa tak tidur lagi? Dah sahur?” Ibu bertanya sewaktu aku mengikat kain batik ibu ke pinggang. Aku tarik selimut menutupi kaki ibu.
“Sekejap lagi,” balasku. “Mak tidurlah dulu.”
Ibuku diam sahaja lalu kembali memejamkan mata.
Aku merenung wajah ibuku sebentar, ingin sahaja aku ceritakan segala rasa yang aku tanggung tetapi melihatkan kedamaian yang terlukis di sebalik setiap kedut wajah ibu, aku mendapat kekuatan untuk kekal tabah. Lalu aku diam.
******
 LAGI tiga hari, hari raya akan menjelma. Perasaanku sudah sampai ke kemuncak, lalu aku menelefon kakakku yang sulung.
“Kak, kakak balik sini hari apa?” Aku bertanya kelam-kabut apabila panggilanku dijawab. Aku perlu cepat.
“Kakak tak baliklah tahun ni,” balas kakak sulungku. “Abangnya nak balik ke rumah mak dia, adik abangnya nak bertunang raya ketiga.”
Aku terdiam seketika.
“Kalau macam tu, baliklah sebelum raya tengok mak.”
“Tak ada cutilah, Ati. Kakak cuti hari terakhir puasa saja, mana sempat nak balik kampung lepas tu nak balik ke kampung abang lagi. Nanti selepas raya tu, kami balik kalau ada cuti.”
“Angah?” Aku teringatkan abangku pula.
“Entah, hari tu dia kata nak balik rumah isteri kedua dia tahun ni.”
Lagi sekali aku terdiam. Ibu telah melahirkan lima orang anak, takkan hanya aku yang akan berada di sisi ibu? Sekurang-kurangnya pada tahun lalu, ada juga yang balik ke situ beraya bersama kami berdua.
“Kenapa semua seperti tak nak balik?” Aku luahkan juga persoalan itu kepada kakakku.
“Entahlah…” balasnya. Kemudian diam.
Aku termangu. Belum sempat aku menyuarakan lagi pertanyaan, kredit telefonku habis. Aku hanya dapat menghantukkan kepala ke dinding. Bertambah-tambah rasa sakit hatiku.
******
PADA petang menjelang hari raya, aku menerima panggilan telefon daripada Fiah. Panggilannya memang sudah kujangkakan.
“Selamat hari raya, Ati.” Suara Fiah tetap bertenaga seperti selalu.
“Selamat hari raya,” balasku dengan nada yang tenang. Aku sedar hidupku dan hidup Fiah jauh berbeza. Rayanya dan rayaku juga tidak sama rasa.
“Kenapa tak telefon aku?”
“Kredit aku tinggal 3 sen. Aku cuma boleh terima call saja ni,” balasku.
“Maaf,” ucap Fiah.
“Kau telefon aku ni nak cakap tu saja ke?”
“Esok kan dah nak raya, aku tentulah teringatkan kau,” balas Fiah.
Mataku mula terasa basah. Ada juga orang yang teringatkan aku. Padahal tidak seorang pun antara adik-beradik aku yang menelefon aku bertanya khabar ibu ataupun bertanyakan persiapan raya kami berdua. Tidak ada.
“Terima kasih,” balasku. “Esok memang hari raya, tapi bagi aku tak banyak bezanya kecuali esok dah tak berpuasa dan bangun sahur lagi.”
“Aku faham. Sabarlah ya. Kalau kau sabar, berganda-ganda Tuhan balas.”
“Aku bersabar sejak aku balik ke sini, Fiah.”
“Riduan kirim salam pada kau. Dia upset bila dengar kau tolak interview tu.”
“Sampaikan salam aku juga pada dia. Katakan juga aku berterimakasih sangat pada dia sebab sudi tolong aku. Tapi…mungkin sudah bukan rezeki aku bekerja di situ. Aku harap dia tak marah.”
“Aku dah beritahu dia yang emak kau sakit.”
Aku angguk sendiri walaupun Fiah tidak mungkin akan nampak.
“Riduan kata nak datang rumah kau raya ni,” sambung Fiah.
“Ha? Jangan,” kataku. “Kata pada dia jangan datang.”
“Kenapa? Aku dah beri dia alamat rumah kau.”
“Jangan.” Aku tidak dapat menahan air mataku dari gugur. “Tak ada apa yang dapat aku hidangkan untuk dia, Fiah. Teh dan kopi di rumah aku pun dah habis, ini kan pula kuih-muih.”
“Kakak-kakak dan abang-abang kau tak balik langsung ke?”
Aku diam. Sesak di dadaku cuba kukurangkan. Aku tidak mahu Riduan mahupun sesiapa datang ke rumah aku esok atau lusa. Aku tidak mahu sesiapa melihat kedaifanku. Melihat masalahku.
“Mak kau tak ada duit?”
“Fiah, emak aku memang ada simpan duit sikit tapi aku malu nak ambil. Aku ni anak, aku yang patut sara dia. Lagipun, kalaulah terjadi apa-apa pada emak aku tu, duit itulah yang nak digunakan beli kain kafan,” balasku dengan sepenuh kejujuran. Dengan Fiah, aku tidak ada apa yang mahu disembunyikan. Tidak ada ego yang mahu aku pertahankan.
Lama Fiah terdiam.
“Yang tinggal pada aku hanyalah nyawa, iman dan rasa kasih aku pada ibu aku, Fiah. Jangan ditambah masalah aku dengan kehadiran orang yang tak dapat memahami keadaan kami berdua.”
“Maafkan aku, Ati. Nanti aku beritahu Riduan. Aku percaya dia akan faham situasi kau.”
Setelah Fiah menamatkan panggilan, aku menangis di tepi pintu dapur. Jika tidak mengingatkan Tuhan, aku benar-benar berasa keseorangan di dunia ini.
*****
Pada sebelah malamnya…
“ESOK raya?” Ibu bertanya dengan matanya yang terbuka luas.
Aku memasang telinga. Laungan takbir raya sudah mula berkumandang di televisyen. Patutlah ibu bertanya.
“Ya, mak. Esok raya.” Aku tidak tahu lagi bagaimana untuk berdepan dengan ibu. Aku yakin ibu akan berasa sedih dan aku berasa tidak berdaya untuk membuang kesedihan itu. Aku rasa seperti seorang anak yang gagal.
“Maafkan, mak.” Ibu bersuara. “Tahun ni, mak tak dapatkan masak apa-apa untuk raya.”
“Tak apalah, mak. Ati tak kisah pun semua tu.” Aku cuba tersenyum tetapi tidak menjadi.
“Kakak-kakak dan abang-abang Ati pun tak balik….” Nada suara ibu mula bergetar.
Rasa hatiku mula ikut bergetar. Aku harap air mata ibu tidak tumpah. Kalau tumpah, air mataku akan gugur lebih lebat.
“Mungkin esok lusa mereka balik. Kita tunggu sajalah,” balasku sambil berpura-pura menyikat rambut ibu yang sudah mula kusut. Padahal tanganku sudah ketar menahan rasa sedih yang menyesak dada. Sampai hati adik-beradikku menyisihkan ibu yang sudah uzur, satu perkara yang aku sama sekali tidak akan terfikir melakukannya.
“Tapi kalau mereka balik pun, buat apa? Mereka cuma tahu menunggu di meja makan saja.”
Aku menggeleng.
“Tak payahlah mak fikir pasal tu. Mungkin mereka ada hal lain. Nanti mereka baliklah…”
“Mak minta maaf sebab susahkan Ati. Sejak mak sakit hanya Ati yang jaga mak.”
Aku memejamkan mata. Air mata yang sudah berkumpul, aku tahan agar tidak melambak keluar.
“Tak payah minta maaf, mak. Ati suka jaga, mak.”
“Mak tahu apa kakak-kakak dan abang-abang Ati cakap pada Ati. Semua suruh Ati jaga mak sebab Ati belum kerja, kan? Semua lepaskan pada Ati tapi sesen pun mereka tak beri duit pada Ati.”
Aku tunduk. Aku tidak sangka ibu tahu hal itu.
“Kalau Ati nak pergi cari kerja, pergilah,” kata ibu lagi. “Kesian Ati. Penat saja belajar, tapi tak boleh kerja sebab mak.”
Aku menggeleng. Mataku sudah bengkak.
“Rezeki di tangan Tuhan, mak. Buat masa ini, jaga mak adalah kerja Ati. Walaupun Ati tak dapat duit, tapi Ati dapat ketenangan. Buat apa Ati pergi kerja jauh-jauh tinggalkan mak, sedangkan Ati hanya dapat dosa dan susah hati?”
Perlahan-lahan, ibu mengangkat tangannya lalu menyentuh kepalaku. Diusapnya beberapa kali sebelum menjatuhkan tangannya semula ke lantai. Tidak ada sebarang kata yang lahir dari bibir ibuku lagi. Ibu seperti memendam perasaannya. Hanya matanya sahaja yang bergenang.
“Mak… Ati ada satu benda nak beri pada mak,” kataku perlahan.
Ibuku merenung wajahku dengan pandangan yang tertanya-tanya.
Aku lantas meninggalkan ibu lalu masuk ke bilik tidurku. Kemudian aku keluar bersama sehelai baju kurung berwarna biru.
“Maafkan Ati sebab jahitannya kasar,” kataku. Baju itu aku serahkan pada ibu dengan rasa malu. “Maafkan Ati juga sebab ini saja yang dapat Ati belikan untuk mak.”
Air muka ibu berubah.
“Ati buat baju mak? Bila Ati beli kain?” Nada suara ibu berubah ceria.
“Hari tu, semasa Ati ke pekan sari,” balasku sambil leka memerhati ibu membelek-belek baju itu. “Esok mak pakai ya?”
Ibu angguk. “Patutnya Ati buat baju Ati.”
“Tak apalah, mak. Kalau mak pakai baju ni, samalah dengan Ati yang pakai.”
Ibu tersenyum. Dan itulah senyuman yang sudah lama aku tunggu-tunggu. Malam itu aku lihat langit bersinar-sinar.
******
PAGI 1 Syawal…
LANGIT begitu cerah. Pagi-pagi lagi cahaya matahari sudah mencium setiap inci bumi. Dari pintu rumah, dapat kulihat penduduk kampung berbondong-bondong menuju ke masjid untuk bersolat sunat Aidil Fitri. Aku masih di situ tercegat memerhati.
“Ati,” panggil ibuku.
Aku menoleh. “Mak dah bangun?”
“Nak kencing,” balas ibuku.
Aku segera memapah tubuh ibu ke bilik air. Setelah ibu selesai membuang air, aku memandikan ibu dengan  air serum yang sudah kusediakan awal-awal lagi untuk ibu. Cuma kali ini, aku syampu rambut ibu. Aku lumurkan tubuh ibu dengan sabun wangi rata-rata. Aku mahu ibu wangi dan ceria di hari mulia ini.
Setelah semuanya selesai, aku papah tubuh ibu yang hanya berkain batik ke tilamnya semula. Di situ aku sarungkan baju kurung biru yang aku jahit. Melihatkan ibu berpakaian cantik, aku terasa amat berpuasa hati walaupun aku masih berpakaian baju-T lusuh.
“Kenapa Ati tak mandi lagi?” Ibu bertanya.
“Ati nak mandikan mak dulu.” Aku baringkan ibu semula di atas tilamnya. Aku betulkan letak bantalnya. “Ati nak mandi sekejap ya, mak. Selepas Ati mandi, Ati ambilkan nasi mak.”
Ibuku angguk.
Tidak lama selepas itu aku sudah pun siap berbaju kurung. Di tanganku ada sepinggan nasi bersama seekor ikan kembung bakar. Juga segelas air suam. Pagi itu, itulah makanan pertama yang ibu jamah.
“Ati makan sama,” kata ibu. Tangannya sudah mengepal nasi bersama ikan bakar lalu menghalakannya ke mulutku.
Aku tergamam. Tetapi untuk tidak menghampakan perasaan ibu, aku ngangakan juga mulutku. Dan terasa betapa enaknya nasi itu mungkin kerana disuap oleh ibu.
“Mujurlah ada Ati temankan, mak.”
Aku diam sahaja.
“Bahagia itu tidak bergantung kepada ramainya orang di sisi kita. Tapi apa yang membuat kita bahagia,” kata ibu lagi sambil menyuapkan aku satu lagi suapan.
Aku kunyah perlahan-lahan. Mataku mula berair. Aku yakin, ibu sedang mengingati kesemua anak-anaknya walau anak-anaknya tidak mengingatinya hari itu.
“Harga itu tidak bergantung kepada bilangan duit. Tapi sejauh mana kita menghargainya,” sambung ibu lagi.
Aku angguk. Entah kenapa mulut ibuku riuh pula pagi itu tetapi aku biarkan sahaja.
“Macam baju mak yang Ati buat ni… walau herot-berot tapi bagi mak, terlalu mahal harganya sebab Ati yang buatkan.”
Aku tersenyum kelat. Rasa malu pun ada tapi ada juga rasa bangga.
“Nanti bila Ati dah kerja, Ati belikan mak baju lain.”
Ibuku tersenyum.
“Mak tak nak baju, mak nak Ati.”
Aku peluk ibuku. Di saat itu, tiada apa yang aku mahukan di dalam dunia ini selain daripada ibuku. Aku tahu aku telah membuat keputusan yang betul. Berada di sisi ibu di hari raya ini, adalah nikmat yang terbesar yang Tuhan berikan kepada aku.
“Selamat hari raya, mak,” bisikku. “Ampunkan segala dosa Ati pada mak. Halalkan segala susu mak, makan minum yang mak suapkan.”
Ibuku angguk sambil tersenyum.
Melihatkan senyuman ibu, aku tidak sedih lagi. Padaku hari rayaku telah lengkap.
Pada minggu kedua Syawal, ibu telah pergi menghadap Illahi. Adik-beradikku pulang hanya setelah ibu dimandikan dan ada yang hanya sampai setelah ibu selamat dimasukkan ke liang lahad.
Dengan pemergian ibu, hilanglah satu nikmat dalam hidupku. Namun begitu, baju kurung biru itu tetap aku simpan sebagai kenangan. Itulah hari raya terakhir bersama ibuku. Hari raya yang terindah...

*************
Selamat Hari Raya, saya ucapkan kepada semua pembaca blog ini. 
Semoga hari raya ini melimpahkan kebahagiaan buat anda semua.
Kepada anak-anak yang masih ada ibu bapa, luangkanlah masa untuk menatap wajah mereka di hari mulia nanti sementara kesempatan masih ada.
Berhati-hati di jalan raya.
Semoga berjumpa lagi selepas bercuti.
dari meja,
MK 

5 comments:

  1. Salam...
    Beruntunglah siapa yang masih mempunyai ibu...
    p/s baju kurung ibu masih tetap saya simpan. Plg membanggakan telekung pemberian saya dipakaikan utk ibu ke liang lahat.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam warah matullah,
      Alhamdulillah. Gembira mendengarnya.

      Delete
  2. mengalir air mata baca citer nie...menyentuh hati...pada sesiapa yang masih ada ibu, hargailah ibu semntara dia masih bernafas .

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya, Nur Fakhariah. Ibu kita cuma seorang saja, bila dia pergi tak ada gantinya lagi.

      Delete
  3. nangis ketiks akak baca cerpen ni..huhuhu

    ReplyDelete