Monday, August 13, 2012

GLAS--Z : Bab 7


DI TENGAH-TENGAH kota raya Kuala Lumpur, seorang gadis sedang bergelak ketawa dengan rakan-rakannya sambil turun dari LRT. Sedang elok melangkah, melepaskan diri dari orang ramai di stesen itu, telefon bimbitnya berbunyi.
“Ha… kak, apa hal telefon pagi-pagi ni?” tanyanya sambil menuruni tangga. Kawan-kawannya sudah jauh ke depan. Dia sedikit rimas.
“Nella, boleh balik kampung tak?” tanya Rita.
“Balik kampung?” Langkah kakinya terus terhenti sehingga tubuh kecilnya dilanggar oleh seorang pemuda. Tergesa-gesa pula pemuda itu meminta maaf, dia hanya tersenyum kerana dia yang bersalah. “Nak buat apa? Nella baru nak pergi shopping dengan kawan-kawan.” 
“Tolonglah balik, Nella. Ada hal penting ni.”
“Lama ke sekejap? Minggu depan, Nella dah kena mula kerja. Nella dapat kerja sambilan dekat sini.”
“Baliklah dulu, kita bincang,” pujuk Rita.
Nella termenung. Lalu-lintas kenderaan di hadapan matanya menambah sesak fikirannya. Hilang sudah segala semangatnya untuk membeli-belah pagi itu. Namun dari suara kakaknya, dia dapat merasakan sesuatu telah berlaku di sana.
“Kenapa ni, kak?”
“Kakak tak boleh cakap di telefon. Nella balik saja dulu ke kampung.”
“Hari ni ke?” Dia mula sedar perkara itu lebih serius daripada yang disangkakan. Pening kepalanya sekejap, balik kampung bukannya seperti balik ke rumah sewa. Dia perlukan tiket bas dan mengemaskan pakaiannya secepat mungkin. Dia mula rasa susah hati.
“Hari inilah. Cubalah balik secepat mungkin,” balas Rita.
Dahinya berkerut. Dia tidak faham kenapa Rita begitu mendesak.
“Nella tak boleh janji. Bukan Nella tauke bas ekspress tu. Kalau ada tiket, bolehlah Nella balik petang ni,” jawabnya. Dia sedang runsing memikirkan soal tiket untuk balik segera ke Temerloh.
“Nella pergi dapatkan tiket dulu, lepas tu balik kemas baju. Jangan lupa bawa passport antarabangsa sekali.”
“Apa? Passport antarabangsa? Kenapa ni kak?” Jantungnya berdegup kencang. Terbayang-bayang passport antarabangsanya yang baru digunakan tiga bulan yang lalu untuk ke Bali. “Kita nak ke mana pula?”
“Balik saja ke sini dulu. Nanti akak terangkan. Balik tau,” pesan Rita lagi sebelum memutuskan talian.
Nella tinggal terpinga-pinga. Akhirnya setelah beberapa saat tercegat di situ, dia menoleh kepada kawan-kawannya.
“Aku tak dapat ikut kau oranglah. Aku kena balik kampung,” katanya sambil merenung wajah kawan-kawannya seorang demi seorang.
*****
BEBERAPA jam selepas itu, dia sudah pun berada di dalam bas ekpress yang menuju ke Temerloh. Bersama sebuah beg pakaian yang berisikan beberapa helai pakaian, dia duduk termenung memikirkan semua perkara. Sayangnya dia tidak dapat mencantumkan semua yang dia tahu menjadi sebuah kenyataan yang dia faham.
Sebaik sahaja dia tiba ke bandar Temerloh, jam sudah hampir ke pukul 5.00 petang. Dia tercari-cari Rita yang telah berjanji untuk menjemputnya di situ. Kalau Rita tidak ada, susahlah dia hendak sampai ke rumah. Dari situ ke kampungnya pula, akan mengambil masa hampir satu jam, bas pula tidak ada selepas pukul 5.00 petang. Hatinya bertambah runsing bercampur geram kepada Rita.
“Nella!” panggil Rita dari arah belakang. Dia melambai-lambaikan tangannya dari tepi keretanya.
Nella tersenyum lega. Mujurlah, Rita ada di situ. Tanpa berlengah, dia menjinjing beg bajunya ke kereta Rita. Mereka bersalaman dan berpelukan. Walau Rita hanya tua tiga tahun dari umurnya, dia tetap hormat pada Rita. Selama ini kakaknya itulah yang banyak membantu pelajaran dan menyara keluarga. Sejak ibu mereka meninggal, Rita juga memikul tanggung jawab sebagai ibu.
“Kenapa kakak suruh Nella balik ni? Ada hal apa?” Dia terus bertanya sebaik sahaja duduk di dalam kereta. Selagi dia tidak tahu, hatinya tidak tenang.
Rita hanya menjeling sekilas. Dia mula memandu meninggalkan bandar itu menuju ke kampung mereka.
“Cakaplah, kak. Kenapa ni? Sampai suruh Nella bawa balik passport antarabangsa semua. Kita nak pergi mana ni?” desaknya lagi. Sikap Rita yang asyik berdiam diri, membuat perasaannya bertambah runsing.
“Kita cerita di rumahlah,” jawab Rita, kemudian kembali mengunci mulut.
“Apa bezanya di antara di rumah dan di sini? Cakap sajalah, kak.”
Rita mengeluh panjang. “Nella, memang ada sebab penting kenapa kakak suruh Nella balik hari ni.”
Nella menoleh. “Sebab apa?”
“Kita ada tetamu di rumah,” balas Rita.
“Tetamu? Siapa dia?” Dia berdebar-debar menunggu jawapan daripada Rita. Wajah Rita yang keruh menunjukkan tetamu itu seorang yang mendatangkan masalah yang besar kepada mereka.
“Kakak jangan buat Nella takut,” katanya.
Rita menggeleng.
“Malam ni, kakak dan Faruk akan jelaskan segalanya pada Nella. Kakak harap, Nella sudi bantu kami.”
Mulutnya terlopong. Dia bertambah bingung. Sebaik sahaja kereta Rita berhenti di pekarangan rumah, mereka diserbu suara-suara riang kanak-kanak di situ. Dia keluar dari kereta dan menyapa semuanya dengan mesra tetapi sejurus kakinya melangkah masuk ke ruang tamu, langkah kakinya terhenti. Dia terpaku memandang sepasang mata aneh yang sungguh menawan.
*****
PUKUL 8.20 malam. Nella, Rita, Faruk dan pemuda bermata aneh itu duduk berhadapan di meja makan. Adik-adik yang lain sudah diberi arahan agar tidak sesekali masuk ke situ jika tidak dipanggil. Dia yakin, arahan itu akan dipatuhi, cuma dia rasa seperti salah tempat. Tiga orang di hadapannya, semua ada kena-mengena dengan institut yang terletak di dalam ladang getah tidak jauh dari situ. Apa kena-mengena pula dengan dia?
Faruk menoleh pada Rita.
“Dia dah tahu?” tanyanya perlahan namun tetap sampai juga ke telinga Nella.
Rita menggeleng laju.
Nella hanya memandang. Dari wajah kakaknya kini beralih ke wajah Faruk.
“Cepatlah cakap, kalau tak… pagi-pagi esok lagi Nella dah balik ke Kuala Lumpur,” katanya main-main sambil memandang Faruk.
“Nella, kami benar-benar memerlukan pertolongan,” kata Faruk dengan nada yang sungguh serius.
“Cakaplah dulu apa dia? Nak suruh Nella jadi pengapit ke?” Dia tersenyum sambil menjeling ke arah Rita. Dia bukan tidak tahu hubungan Rita dan Faruk sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Semuanya telah diceritakan Rita, cuma dia tidak sangka secepat itu perhubungan itu bertukar serius.
“Bukanlah!” Tiba-tiba sahaja Rita bersuara. Wajahnya begitu tegang.
Dia hampir tersedak. Cawan di tangannya menggeletar akibat terkejut dek sergahan itu. “Habis tu apa? Apa yang lebih penting sampai kakak heret Nella balik ke sini?”
Dia renung muka Rita lama-lama, entah kenapa di wajah itu bagaikan sarat dengan kerisauan. Dia mula berdebar.
“Kakak ada masalah?”
Rita geleng. “Bukan macam tu.”
“Habis tu apa? Kenapa Nella dipanggil balik?” tegasnya lagi. Dia sudah penat bermain teka-teki.
“Kami ada masalah besar yang hanya Nella boleh tolong.” Faruk bersuara bagi pihak ketiga-tiganya. Rita dan Ari diam sahaja.
Nella tergamam. Kata-kata Faruk membuatnya seram sejuk. Serius benar bunyinya.
“Takkan sampai macam tu sekali kut?” Dia jeling Rita tetapi Rita tunduk sahaja.
“Kami nak minta Nella tolong bawa Ari jauh dari sini buat sementara waktu,” terang Faruk. “Boleh?”
Nella terkelip-kelip. Adakah dia salah dengar atau dia tidak faham apa yang Faruk katakan? Akhirnya dia ketawa kecil.
“Ari? Siapa Ari?”
Faruk menoleh ke arah pemuda bermata aneh itu. Nella berhenti ketawa.
“Kenapa Nella pula yang kena bawa dia pergi dari sini? Pandai datang, pandailah balik,” jawabnya selamba.
“Nella, ini bukan soal main-main,” tegur Rita dengan suara yang tegas.
Nella terdiam. Dia betul-betul tidak faham sikap Rita dan Faruk hari itu. Sikap Ari pula lagilah teruk. Dari tadi hanya diam membisu dan terkelip-kelip macam cicak di atas para. Dia tidak tahu apa yang pemuda bermata aneh itu fikirkan.
“Nella, ceritanya begini…” Faruk mencelah setelah melihat Nella begitu keliru dengan situasi itu. Dia pun menerangkan siapa Ari dan bagaimana mereka berdua boleh terlibat dalam hal itu.
“Apa?” tanya Nella. Dia tidak lagi berani memandang Ari. Dadanya berdebar dengan hebat sehingga pandangan matanya jadi gelap sesaat. Tidak sangka pemuda sekacak itu adalah seorang pembunuh. Tubuhnya bergetar halus sehingga hujung kukunya juga terasa sejuk.
******
BEBERAPA saat telah berlalu. Masing-masing hanya menunggu keputusan Nella. Sayangnya Nella terus mendiamkan diri sejak tahu siapa Ari yang ada di hadapannya.
“Jangan takut, Nella. Ari tak bersalah. Dia cuma dituduh dengan bukti yang belum tentu benar,” pujuk Faruk.
“Abang yakin?” tanya Nella. Sejujurnya dia terasa takut. Bagaimana jika Ari benar-benar seorang pembunuh? Dia bukannya kenal siapa Ari.
Faruk angguk.
Nella pandang Rita. “Kakak?”
Rita juga mengangguk dengan yakin.
“Jadi apapendapat kakak?”
“Ari tak ada sesiapa di dalam dunia ni, Nella. Dia cuma tahu institut itu dan beberapa orang saja yang kini telah bertukar menjadi musuh. Adakah kita juga harus berpaling daripada dia?”
Nella tunduk. Dia tidak sanggup bertentang mata dengan kakaknya lagi. Dia faham pendirian kakaknya saling tidak tumpah dengan pendirian arwah ibunya yang mudah bersimpati dan ringan tangan membantu orang yang kesusahan. Macam mana pula dengan dia? Haruskah dia begitu juga?
“Mustahil tak ada orang lain yang boleh tolong dia, kak?”
Rita dan Faruk sama-sama menggeleng.
Nella benar-benar bingung. Mustahil di dalam dunia yang luas ini, hanya dia seorang yang boleh menolong Ari? “Takkan sampai macam tu sekali? Apa Nella boleh tolong? Nella kerja pun belum.”
“Yang pentingnya Nella mahu tolong,” jawab Rita.
“Abang dan kakak mahu Nella hantar dia ke mana?” Akhirnya Nella mengalah juga. Bukan kerana Ari ataupun Faruk tetapi kemuraman di wajah Rita membuatkan dia faham bahawa pertolongannya sangat diperlukan di situ. Mungkin pertolongan itu tidaklah sebesar mana, fikirnya.
******
“APA?” Jantung Nella hampir terlucut mendengar permintaan Faruk. “Abang dah gila ke?”
Faruk, Rita dan Ari sama-sama tercengang.
“Takkan Nella kena jaga dia pula? Sampai bila?” Suara Nella begitu lantang dan tertekan. Dia sama sekali tidak boleh menerima cadangan Faruk tadi. Sangkanya dia hanya perlu menghantar Ari ke suatu tempat. Tidak sangka pula dia harus menemani Ari buat sementara waktu.
“Nella belum mula kerja, kan? Jadi anggap sajalah ini tugas sementara Nella,” jawab Faruk. “Abang tanggung perbelanjaan Nella dan Ari. Abang bagi duit poket.”
“Bukan itu soalnya.” Nella masih menggeleng. “Tapi… ke mana Nella nak bawa dia? Lagipun kami bukannya ada apa-apa hubungan.”
“Sebab tak ada hubunganlah, kami harapkan Nella. Orang-orang IPB tidak akan syak langsung,” jawab Faruk.
Nella mengeluh berat. Fikirannya buntu. Adakah patut, Faruk dan Rita menyuruhnya membawa Ari pergi dari situ dan menyerahkan semua hal kepada dia? Dia bukan babysitter, lebih-lebih lagi kepada seorang pemuda sebesar itu.
“Tak boleh ke dia lari sorang?”
“Kalau boleh, kami pun tak mahu susahkan Nella,” balas Faruk.
“Tapi kenapa Nella?”
“Sebab kami tak ada orang lain yang boleh dipercayai.” Faruk terus menjawab.
Nella terdiam. Nampaknya seperti dialah satu-satunya pilihan yang ada walaupun dia masih tidak percaya semua itu akan berlaku kepada dirinya. Dia perlu menyembunyikan seorang pembunuh? Seperti tidak masuk akal sahaja.
“Bunyi macam… Nella tak berhak menolak,” katanya kemudian.
Kini Faruk, Rita dan Ari pula yang terdiam.
“Kami tak paksa.” Akhirnya Faruk juga yang bersuara. “Kalau Nella tak mahu bantu kami dan Ari, nampaknya… kami tak ada pilihan.”
Rita dan Ari sama-sama menoleh ke arah Faruk.
“Abang akan bawa Ari balik ke IPB. Selepas itu… jangan terfikir untuk jumpa kami lagi.” Faruk menyambung.
Nella menjeling ke wajah Rita. Entah kenapa sejak tadi kakaknya tidak banyak bersuara. Namun apabila wajah Rita bertambah sendu, hatinya amat terasa.
“Nella tak minta sampai macam tu tapi Nella rasa pasti ada jalan lain lagi.”
“Kami tak minta pertolongan Nella kalau tak kerana benar-benar terdesak,” jawab Faruk.
“Yang itu Nella tak faham.”
“Sebab Ari bukan macam kita. Dia hanya tinggal di dalam IPB sejak kecil. Dia hanya dibawa keluar sekali saja dari situ semasa berumur 12 tahun. Nella faham kan apa masalahnya? Dunia kita bukan dunia dia. Kalau dia pergi sorang, abang tak fikir dia boleh pergi jauh. Kita sendiri kadang-kadang tak selamat dalam dunia yang kita kenal sejak kecil. Ini kan pula orang macam dia.”
Kenapa pelik sangat pemuda bernama Ari ini? Kata hati Nella. Sudahlah matanya aneh, rupa pula tidak seperti orang Melayu. Sekarang kisah hidupnya juga tidak serupa orang. Kepalanya semakin pening.
“Jadi Nella perlu jadi pengasuh dan penjaga dia, macam tu?”
“Buat sementara waktu,” jawab Faruk.
“Sampai bila?”
“Kita akan tetap berhubung walau ke mana Nella dan Ari pergi. Jadi, sebaik sahaja kami berdua dapat bukti yang cukup, kami akan panggil kamu berdua balik ke sini. Ataupun sehingga kami dapat mencari orang lain yang boleh diharapkan untuk menyembunyikan Ari buat sementara waktu.”
“Kalau hanya sementara mungkin boleh,” balas Nella dengan perlahan-lahan walaupun hatinya masih menolak rancangan itu. Di mana dia harus menyembunyikan Ari? Di mana?
“Ke mana pun Nella akan bawa dia, tolong jangan pecahkan rahsia ini,” tambah Rita. Baru kali ini dia bersuara. “Cukuplah kita berempat saja yang tahu.”
Nella hanya mengangguk perlahan-lahan.
******
MALAM itu semasa dia memeriksa akaun Facebook di telefon bimbitnya, Rita masuk ke bilik. Dia yakin  ada sesuatu yang ingin Rita bicarakan dengan dia. Dan dia pun masih banyak perkara yang ingin ditanyakan kepada Rita.
“Maafkan kakak, Nella. Bukan niat kakak mahu susahkan Nella.” Rita terus berkata sejurus duduk di sisinya.
Dia mematikan telefon.
“Kalau bukan susahkan Nella, kakak mahu susahkan siapa lagi?” balasnya sambil tersenyum kelat.
Rita mengeluh. Dia tunduk memandang lantai. “Kakak dah tak boleh berpatah balik. Faruk minta tolong kakak sebab dia tak ada tempat lain untuk sembunyikan Ari. Dan kakak tak sampai hati untuk menolak.”
Nella usap bahu Rita. Dia faham perasaan Rita yang terlalu lembut itu. Lebih-lebih lagi yang dalam kesusahan itu adalah kawan-kawan Rita sendiri.
“Nella faham. Janganlah kakak rasa bersalah,” katanya.
“Kakak faham kalau Nella keberatan. Mungkin kakak boleh pujuk Faruk menghantar Ari ke tempat lain.”
Nella menggeleng. “Nella dah kata Nella sanggup tolong, kan? Nella bukan tolong mereka, tapi Nella tolong kakak. Nella bukan tak tahu, kakak takut orang di IPB tahu dia berada di rumah kita, kan?”
Rita mengangguk laju. “Mereka sudah mula menjejak Ari. Lambat-laun, mereka akan sampai ke rumah ini juga. Kakak fikir untuk keselamatan keluarga kita, kakak nak hantar adik-adik balik ke rumah ibu bapa mereka beberapa hari.”
“Sebab itulah Nella akan tolong kakak. Esok juga Nella akan bawa dia keluar dari rumah ni,” balas Nella.
“Nella nak bawa dia ke mana?”
Nella termenung seketika. “Masalahnya… kami bukan muhrim. Nak ke mana-mana pun susah. Bukannya kami boleh duduk serumah atau sebilik. Nak tidur dalam kereta pun tak boleh.”
Rita angguk. “Kakak mahu Nella ingat, apa-apa pun keselamatan diri Nella mesti diutamakan. Walaupun pada kakak, Ari tu seorang pemuda yang baik tapi dia tetap seorang lelaki.”
“Kakak jangan bimbanglah. Kalau dia cuba apa-apakan Nella, Nella karate dia. Dah lupa? Nella kan belajar karate di universiti dulu?”
“Kakak risau. Nak dibiarkan dia di sini pun tak manis. Esok lusa, orang kampung akan perasan. Apa kakak nak jawab kalau mereka tanya. Nak dilepaskan pada Nella pun kakak tak senang hati. Kakak dapat bayangkan, setiap saat kau orang berdua menjadi pelarian dan buruan. Hidup tak tenang.”
Nella tersenyum nipis. “Nella rasa… Nella tahu di mana nak sembunyikan dia.”
“Di mana?” Rita bertanya.
“Untuk keselamatan, biarlah Nella rahsiakan saja. Bila Nella dah sampai di sana, Nella akan telefon kakak,” balasnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.