Wednesday, August 8, 2012

GLAS--Z : Bab 6


“ITU bilik air,” kata Rita sambil menunjukkan sebuah pintu di sebelah kiri bilik. Dia membuka almari dan mengeluarkan sehelai tuala mandi. Tuala itu dihulurkan pada Ari. “Ada baju? Kalau tak…”
“Ada,” sampuk Ari. Dia berasa segan kerana dirinya terlalu kotor dan busuk. Baru dia teringat sejak pagi tadi lagi, dia belum membasuh muka atau menggosok gigi. Berdiri di hadapan Rita dalam keadaan itu seperti kakinya tidak berjejak ke lantai.
“Selepas mandi, kita makan. Aku rasa kau belum makan, kan?” Rita bertanya di muka pintu.
Walau dihimpit rasa segan yang menggunung, Ari mengangguk malu-malu. Memang dia tidak menjamah apa-apa sejak dikurung pagi tadi. Seleranya mati terus. “Orang tadi tu, dah balik?” tanyanya lembut.
“Dah, adik aku tolong dia repair tayar motor tu tadi. Kenapa tak naik teksi?”
Ari menelan air liur, jika teksi ada tadi, tidak perlulah dia merayu-rayu kepada orang yang dia tidak kenal sama sekali.
“Teksi tak datang. Tak apalah, aku dah sampai sini,” jawabnya perlahan. Dia tidak mahu menyalahkan Faruk atau berfikir yang bukan-bukan. Sudah sampai ke rumah Rita pun dia  sudah cukup lega.
Mujurlah Rita tidak bertanya lagi.
“Aku tunggu di luar,” katanya sambil menutup pintu.
Ari menghela nafas panjang. Segala yang dipandang di bilik itu kelihatannya terlalu asing. Itu bukan biliknya, katil di hadapannya bukan katilnya malah tidak ada Mr. Ugway di situ. Dia rasa seperti mahu berlari balik ke institut pada masa itu juga. Sungguh kekok rasanya di tempat baru, di dunia baru.
Selepas puas termenung, dia menarik tuala yang disediakan Rita lalu masuk ke bilik air. Mahu tidak mahu, hidupnya perlu diteruskan.
******
SETELAH selesai membersihkan diri, Ari duduk sebentar di atas tilam. Sambil membongkok, dia mengeluarkan baju yang ada di dalam beg sandang yang dibawa tadi. Ada dua helai baju-T, sehelai seluar, beg dompet, jam tangan dan segugus kunci. Apabila merenung kunci itu, perasaannya jadi sebak semula.
Tanpa sedar, dia membelek kunci kereta yang telah dihadiahkan Jeffri petang semalam. Siapa sangka kunci itu akan menjadi kenangan terindah di dalam hidupnya. Dia menggenggamnya kemas-kemas. Demi sebuah kebenaran, dia akan bertahan dan berusaha.
Setelah memakai pakaian yang bersih, dia keluar dari bilik itu dan mencari Rita di ruang tamu. Sayangnya Rita tidak ada di situ. Ruang tamu itu dipenuhi adik-adik Rita seramai tujuh orang yang menonton televisyen sambil bergurau-senda. Dia turut menjadi asyik. Kali pertama dia melihat situasi seperti itu.
“Mari makan,” pelawa Rita yang baru keluar dari arah dapur. Di tangannya ada dua mangkuk bubur yang masih panas. Dia menunjukkan sebuah bilik lain. “Kita makan di sana,”
Ari mengikut sahaja, dia tahu dia perlu bercakap dengan Rita. Dia tidak boleh diam sahaja. Setibanya di bilik itu, dia melihat sebuah meja makan kayu yang panjang. Ada 18 buah kerusi semuanya. Dia menarik sebuah kerusi yang paling hampir dengan Rita lalu duduk.
“Rita…” Dia mula berbicara.
“Aku dah tahu. Faruk dah cerita pada aku,” kata Rita sambil menolak semangkuk bubur nasi ke hadapannya.
Ari memandang Rita yang berkulit hitam manis di sebelahnya. Apabila gadis itu tersenyum, bibirnya menjadi lebar namun ada sesuatu di dalam diri gadis itu yang menjadikan dia tidak jemu dipandang. Rita juga sangat suka bercakap, ada sahaja celotehnya jika mereka bertemu di institut. Gadis itu boleh dianggap bunga penyeri tempat itu. Mungkin sebab itu Faruk jatuh hati pada Rita, fikirnya dalam diam.
“Tak apa ke aku tumpang rumah kau? Mungkin sementara aku dapat tempat lain,” katanya ragu-ragu.
“Aku faham. Makanlah dulu,” balas Rita dengan tenang namun wajahnya tidaklah seceria selalu.
“Aku tak bersalah, Rita. Aku tak bunuh Jeff.”
“Kami pun tak percaya kau bunuh Jeffri. Kalau ya pun mereka ada bukti, kenapa mereka tak serahkan saja kepada polis? Biar polis siasat betul-betul.”
Ari terdiam seketika. “Kau tahu tentang SIKORP?”
“Tak banyak yang aku tahu. Setahu aku mereka rakan sekutu IPB juga. Beberapa data kajian IPB dihantar kepada mereka. Kenapa kau tanya?”
Ari tarik nafas. Nampaknya Rita belum tahu siapa SIKORP yang sebenarnya. Mungkin kerana Rita masih baru di IPB.
“Kau tak pernah dengar cerita-cerita pasal SIKORP?”
Rita geleng. “Mungkin sebab aku tak pernah ambil tahu. Aku cuma tahu pergi kerja, buat kerja aku. Selepas tu balik. Kenapa kau asyik sebut pasal SIKORP?”
Ari terdiam. Jarinya ralit mengacau bubur nasi di dalam mangkut, seralit itu juga di memikirkan pasal SIKORP. Sejak dia dapat tahu pasal SIKORP daripada Jeffri, dia selalu rasa kecut perut. Lebih-lebih lagi kalau mereka dapat tahu orang-orang SIKORP datang ke IPB untuk berjumpa Dr. Sid.
“Mereka sebuah pusat penyelidikan yang lebih ekstrim. Aku tak tahu apa yang mereka kaji tetapi IPB memang bertindak sebagai salah sebuah pusat penyelidikan mereka. Selain itu IPB juga menjadi pembekal beberapa bahan ujikaji ke sana,” terangnya perlahan. Dadanya berdebar apabila mengucapkan kata-kata itu. Terbayang di fikirannya semula segala cerita ngeri yang didengarinya.
Rita berhenti menyuap. Dia pandang Ari. “Bahan ujikaji? Apa yang IPB bekalkan?”
“Kau tak pernah dengar?”
Rita geleng lagi.
“Pernah tak, kau terfikir ke mana bahan ujikaji Projek REM 2 pergi?”
Lama Rita termenung.
“Aku tak pernah tanya. Kalau diserahkan kepada SIKORP pun apa salahnya?”
Ari tarik nafas panjang. “Rita, mungkin Faruk boleh terangkan kepada kau pasal SIKORP tapi kau jangan terkejut nanti.”
“Kau bercakap macam SIKORP tu tempat keluarkan otak orang.” Rita ketawa kecil.
Sayangnya Ari tidak ikut ketawa. Kalaulah Rita tahu, orang-orang SIKORP melakukan lebih daripada itu, dia tidak dapat membayangkan kengerian yang akan dirasai Rita.
“Jadi apa kaitannya kes ini dengan SIKORP?”
“Kau fikir kenapa aku tak diserahkan kepada polis?”
Mata Rita terkelip-kelip. “Maknanya kau akan diserahkan kepada SIKORP sebagai bahan ujikaji juga?”
Ari angguk sahaja. Kalaulah Rita tahu apa maknanya. “Dan aku tidak akan kembali lagi ke IPB.”
“Manusia bukan barang yang boleh diserah-serahkan macam tu saja,” kata Rita.
Susah betul untuk dia membuat Rita faham. Mungkin kerana mereka melihat soal itu dari dua sudut yang berbeza. Malah kini dia sedar Rita belum tahu benar-benar siapa dia dan bagaimana dunia IPB yang mempunyai dua wajah.
“Tak apalah, Rita. Yang pentingnya apa kita nak buat selepas ini.” Dia putus asa.
“Buat masa ni, aku sedang tunggu Faruk datang ke sini. Aku pun tak tahu apa rancangan dia selepas ini. Jadi, aku rasa lebih baik kau tidur saja malam ni. Rehat betul-betul sementara kesempatan masih ada.”
“Rita, aku sebenarnya nak minta maaf kerana membabitkan kau dalam soal ini. Aku… tak ada tempat lain nak pergi.” Dalam hatinya dia ingin meminta maaf berkali-kali daripada Rita. Dia tahu apabila Rita terlibat, nyawa Rita juga dalam bahaya. Cuma dia tidak pasti sama ada Rita sedar ataupun tidak soal itu.
Rita meletakkan sudunya semula ke bawah. “Jangan cakap macam tu, Ari. Hari ni, hari kau. Hari esok, mungkin hari aku.”
“Aku takut kalau rancangan ini membahayakan nyawa kau pula.”
 “Sudahlah, Ari. Tak guna dikenang semua tu. Aku dan Faruk sudah pun terlibat dalam hal ini. Kita tak boleh berpatah balik.”
Ari menyuap bubur nasi di hadapannya perlahan-lahan. Walau seleranya belum ada tetapi dia sedar tubuhnya memerlukan sedikit tenaga untuk menghadapi hari esok yang tidak pasti. Hari ini adalah pengajarannya. “Kau dan Faruk nak buat apa esok?”
“Aku rasa institut tentu sedang sibuk cari kau, kan? Dr. Sid juga tentu sedang bersedih dan tak banyak masa di makmal. Mungkin aku boleh siasat sedikit sebanyak. Tapi yang pentingnya Faruk akan ke sini esok. Aku dah telefon dia kata kau dah sampai ke sini.”
“Aku tak tahu apa akan jadi kalau kau orang berdua tak ada.”
“Itu juga bukan satu perkara yang baik,” balas Rita.
Ari menoleh. Dia dapat merasakan Rita susah hati.
“Tentu mereka akan syak ada orang dalam yang tolong kau sebab kau bukannya kenal sesiapa, kan?”
“Kau fikir Dr. Sid akan siasat seorang demi seorang ke?” Dia sekadar bertanya walau sudah tahu jawapannya.
Rita diam. Bubur di dalam mangkuknya dihabiskan segera. “Tidur sajalah dulu. Esok, kita fikirkan semula apa yang patut kita buat okey?” Dia tersenyum sambil meninggalkan meja itu.
Ari pandang sahaja kelibat Rita menghilang di balik pintu. Seboleh-bolehnya dia sendiri tidak mahu menyusahkan Rita atau sesiapa namun dia tetap merasakan itu satu keputusan yang betul. Sekurang-kurangnya untuk malam itu dia masih ada tempat untuk berteduh.

******
KEESOKAN harinya Ari dikejutkan oleh kokokan ayam jantan tidak jauh dari bilik tidurnya. Malam tadi, dia tidak bermimpi apa-apa mahupun tersedar sedikit pun. Tetapi pagi ini, sebaik sahaja dia terjaga, sekujur tubuhnya terasa sakit. Pergelangan kakinya juga bengkak.
Ketukan di pintu bilik lagi sekali membuatnya terkejut. Tanpa sempat dia menjawab, masuk seorang gadis kecil yang masih berpakaian baju tidur.
“Kakak suruh tengok abang dah bangun ke belum. Kakak suruh kejut solat Subuh,” kata gadis itu dengan matanya yang separuh kuyu.
Dia cuma mengangguk dan melihat gadis itu pergi. Solat Subuh? Macam pernah dengar, cuma dia tidak jelas. Tetapi sudah alang-alang terjaga dia bangun juga, terhincut-hincut ke bilik air. Sebaik sahaja mukanya terkena air, seluruh tubuhnya menggigil kesejukan.
Dua jam selepas itu, pintunya diketuk semula. Dia, yang sedang leka termenung terus berdebar. Sejak peristiwa semalam, perasaannya mudah sahaja jadi tidak keruan. Dia seakan trauma dengan kejutan.
Pintu terbuka. Faruk menjengah masuk.
Barulah dia dapat tersenyum dan senyumannya makin lebar apabila melihat Rita juga masuk bersama dulang di tangan.
“Mat Salleh tahu makan nasi goreng tak?” usik Rita sambil meletakkan sepiring nasi goreng di hadapannya.
Dia ketawa kecil. Dia tahu Rita sekadar mengusik. Di institut, makanannya sama sahaja dengan makanan di luar. Tidak ada bezanya.
“Malam tadi tu, teksi tu lambat datang. Dia kata dia tunggu kau sampai ke tengah malam. Mungkin masa tu kau dah pergi.” Faruk terus menjelaskan hal teksi yang diupah untuk menjemput Ari malam tadi.
Dia dengar sahaja. Semuanya sudah tidak bererti lagi. “Aku tak boleh tunggu, aku dengar anjing menyalak-nyalak di belakang aku.”
Faruk angguk. “Aku pun cemas juga. Anjing-anjing tu meluru saja ke dalam kebun  getah tu. Nasib baik cuma sampai ke kampung tu saja.”
“Dr. Sid?” Dia tidak dapat menahan dirinya daripada bertanyakan soal itu.
Faruk diam seketika sebelum menghempaskan keluhan yang panjang. “Dia mengamuk di makmal.”
“Dia laporkan pada polis?” tanya Rita.
“Tak. Aku tak rasa dia libatkan polis kali ni,” jawab Faruk.
“Kenapa? Kalau benar ada bukti, serahkan saja Ari kepada polis. Biar polis siasat dan bicarakan dengan adil.” Rita mula serius.
Faruk menggeleng. “Tidak semudah itu Rita. Tidak semua orang menganggap polis dan mahkamah adalah jawapan kepada segala-galanya.”
“Habis tu, apa kita nak buat sekarang?”
Ari merenung Rita. Dia faham Rita semakin susah hati. Ternyata kedatangannya ke situ hanya menyusahkan gadis itu tetapi dia mahu mendengar apa kata Faruk.
 “Kata ayah aku, Dr. Sid arahkan orang mencari engkau. Mungkin operasi menjejak engkau sudah pun dimulakan.”
“Mujurlah kau tahu pergerakan mereka,” balas Rita.
“Tapi itu tidak melepaskan kita dari masalah. Malah aku rasa kita semua semakin terhimpit,” kata Faruk lagi.
Ketiga-tiganya terdiam. Tidak ada sesiapa pun yang bersuara mahupun menjamah nasi goreng yang dibawa ke bilik itu.
“Kau rasa mereka akan dapat menjejak aku di sini?” Akhirnya Ari melontarkan pertanyaan.
“Rancangan mereka begini. Satu berita penemuan kau akan dihebohkan di institut. Kau dikatakan dihantar ke sebuah pusat penyelidikan lain. Tapi sementara tu, operasi menjejak kau akan diteruskan oleh penyiasat upahan,” terang Faruk dengan lancar.
“Apa yang kau nak terangkan sebenarnya?” tanya Ari. Dia masih cuba memahami tindakan Dr. Sid.
“Mereka nak tutup kes kehilangan kau supaya semua yang ada di institutt bertenang. Kes engkau dan Jeffri sedang heboh di sana, mereka takut cerita itu akan sampai ke tangan polis.”
“Yang aku tak faham tu, kenapa takut sangat polis tahu? Bukan mereka yang dituduh, tetapi Ari.” Rita mencelah sambil menjeling Ari.
Faruk menarik nafas. “Mungkin kau tak berapa faham sebab kau baru saja kerja di situ. Tapi kau tahu, kan? Di situ banyak undang-undang termasuklah menjaga kerahsiaan hasil penyelidikan dan segala apa yang berlaku di situ?”
“Tapi ini kes yang melibatkan undang-undang. Seorang telah dituduh membunuh dan seorang dikatakan telah mati dibunuh. Polis mesti siasat tuduhan ini supaya dua-dua pihak mendapat keadilan.”  Suara Rita semakin lantang.
“Tapi kau mungkin lupa sesuatu,” balas Faruk. “Kes itu berlaku di dalam institut jadi….”
“Jadi, segalanya ditentukan oleh undang-undang dalam institut? Macam tu?”
Faruk angguk. “Di IPB, hanya undang-undang mereka saja yang diterima. Siapa yang bersalah akan dihukum oleh Dr. Sid dengan cara dia sendiri.”
“Kau pernah melihat mereka dihukum?” tanya Rita pula.
Faruk angguk.
Ari hanya mendengar perbualan itu. Dia tahu, Rita masih keliru. IPB adalah satu dunia berbeza yang dikuasai Dr. Sid. Rita hanya melihat secara luarannya sahaja.  
“Takkan undang-undang negara pun mereka lawan?”
“Mereka tak lawan cuma mereka ada undang-undang sendiri.”
Rita diam. Wajahnya muram sahaja.
“Kau percaya mereka akan cari juga Ari?” tanyanya kemudian.
“Itu yang aku risaukan. Lambat-laun mereka pasti ke sini. Kita mungkin boleh tutup mulut tapi adik-adik kau macam mana? Budak-budak kan tak tahu berbohong? Lagipun Ari sangat berbeza daripada orang lain.”
Kini kedua-duanya memandang Ari.
Ari terkulat-kulat. Memanglah, matanya berwarna aneh. Sekejap coklat, sekejap hijau, sekejap biru. Kulitnya juga lebih cerah berbanding semua yang ada di situ namun apa yang dia boleh buat?
 “Kalau macam tu, benarkan aku pergi,” katanya. “Aku tak mahu kerana aku, Rita dan adik-adiknya dapat susah.”
“Jangan panik. Kalau mereka sampai ke sini pun, bukan dalam sehari dua. Mungkin sempat untuk kita mengatur rancangan lain,” bantah Faruk. “Setakat ni, Dr. Sid tugaskan aku siasat petugas-petugas di sana. Itu, aku boleh uruskan.”
“Apa rancangan kau yang sebenarnya, Faruk?” tanya Rita.
Faruk pandang Rita lama-lama. “Boleh tak kau panggil adik kau balik?”
“Adik aku? Siapa?” Mulut Rita separuh ternganga.
“Panggil Nella balik. Kita perlukan dia untuk tolong Ari.”
Rita tercengang.
Ari hanya memandang. Dia merasakan satu pergelutan yang hebat di dalam fikiran Rita. Lagi sekali dia berasa amat bersalah.
******
NASI GORENG di dalam piringnya sudah dihabiskan. Air teh di dalam cawannya juga sudah dikosongkan namun fikirannya sahaja yang masih kelabu. Dia tidak sedap hati dengan rancangan itu. Kenapa perlu melibatkan seorang lagi orang yang tidak bersalah? “Kenapa nak panggil adik Rita balik?”
“Sebab kami tak boleh buat lebih daripada ini,” jawab Faruk dengan tenang.
Ari cuba memahamkan apa yang difikirkan oleh Faruk tetapi tidak mampu. Fikiran Faruk seolah-olah terlalu kompleks.
“Tapi, nanti menyusahkan dia pula.”
“Dialah yang terbaik dapat aku fikirkan. Sebab tidak ada sesiapapun di institut yang kenal dia kecuali kami berdua.”
Ari mengeluh perlahan. Dia bukan mahu membantah tetapi dia takut Rita marah. “Terpulanglah pada Rita. Aku tak paksa kau orang bantu aku sampai macam ni sekali. Aku rasa biarlah aku pergi saja. Bila aku dapat tempat tinggal yang selamat, aku akan hubungi kau orang berdua.”
“Dunia di luar ni tak sama dengan dunia di dalam tu. Kau keluar saja dari pagar rumah ni, kau akan bingung. Ke mana kau nak pergi, apa kau nak buat… aku tak yakin kau boleh hadapi tu semua, Ari,” bantah Faruk. “Biarlah kami tolong kau. Sekurang-kurangnya dengan ada Nella di sisi kau, kau lebih selamat.”
Ari renung wajah Faruk dan Rita silih berganti. Wajah Faruk tenang, wajah Rita pula begitu tegang. “Selepas tu? Aku nak ke mana?”
“Itu kau kena bincang dengan Nella. Kalau boleh pergilah ke tempat yang jauh sikit,” balas Faruk sambil menyapu habuk pada tangannya.
Rita pandang Faruk.
“Jangan bimbang, aku tanggung semua perbelanjaan mereka. Yang pentingnya Nella mesti mahu bantu kita. Kalau Ari ada di sini lama-lama pun tak boleh juga. Kalau institut tahu, susah kita,” katanya Faruk kepada Rita. Dia bagaikan tahu apa yang bersarang di fikiran Rita saat itu.
Ari tidak dapat lagi membantah. Walau dia sendiri tidak tahu ke mana dia akan pergi namun dengannya adanya adik Rita, dia seolah melihat adanya bintang di langit. Masalahnya, mahukah gadis itu membantu dia?
“Kau rasa dia mahu bantu aku ke?”
Faruk angkat kening. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah Rita.
Rita tergamam.
 “Aku cuba pujuk dia,” katanya.
“Terima kasih, aku dah terlalu banyak menyusahkan kau. Satu hari nanti aku akan balas budi baik kau,” katanya dengan yakin. Hanya itu yang dapat dikatakan sekarang.
******
DARI bilik tidur Ari, Rita dan Faruk beralih pula duduk di ruang tamu. Di situ adik-adik Rita yang masih belum bersekolah sedang leka bermain-main. Ada tiga orang kesemuanya. Rita hanya tersenyum melihat telatah mereka, selagi mereka selamat dan gembira, dia bahagia.
“Berapa orang yang masih tinggal di sini?” tanya Faruk.
 “Sepuluh orang. Itu pun yang sorang tu baru habis SPM. Jika dapat tawaran nanti, pergilah tu,” balas Rita dengan tenang.
“Baik betul hati mak kau, sanggup ambil anak orang dan jaga,” balas Faruk.
“Arwah mak aku memang macam tu. Pantang jumpa orang susah, dia akan tolong. Budak-budak ni akan dijaga sehingga mereka boleh berdikari dan dapat membantu keluarga mereka semula,” balas Rita sambil bermain dengan jarinya. Wajahnya mula nampak muram.
“Maafkan aku kerana menambahkan beban pada kau lagi.” Faruk pandang Rita.
“Tak apalah, tak jadi hal pun.” Secara jujurnya dia tidak rasa terbeban cuma dia bimbang jika Dr. Sid atau pihak institut tahu. Dia mungkin dibuang kerja atau lebih teruk daripada itu. Apa akan jadi kepada adik-adik yang telah diamanahkan kepada dia setelah ibunya meninggal?
“Jadi, kau setujulah nak panggil Nella balik?”
“Sebelum aku jawab soalan tu, boleh tak kau jawab dulu soalan aku?”
Faruk angguk.
“Kau yakin Ari tak bersalah?”
Faruk angguk lagi.
“Boleh aku tahu apa bukti yang ada?’
“Bukti tu ada di tangan Dr. Sid tapi aku rasa kita boleh dapatkan salinannya,” balas Faruk dengan tenang.
Rita melepaskan keluhan. Perlahan namun panjang. Seolah-olah segala isi hatinya dilepaskan sama. “Apa buktinya? Kau boleh cerita pada aku?”
“Tunggu esok. Kita jumpa di makmal.”
 “Aku tak suka mencurigai sesiapa, Faruk. Tapi soal bunuh, bukan soal kecil. Di sini bukan nyawa aku saja yang menjadi taruhan.” Rita termenung sebaik sahaja menghabiskan kata-kata itu.
“Ari takkan bunuh Jeffri. Kau kena percaya pada aku. Aku kenal dia sejak kecil.”
Rita angguk. Kalau Faruk benar-benar percaya pada Ari, dia juga akan percaya tetapi yang dia masih tidak faham apa bukti yang disebut-sebut selama ini. Dalam hal itu dia masih bingung. Kenapa Ari diperlakukan seperti bukan seorang manusia yang ada hak di negara ini?
“Kita tak boleh terlibat secara langsung dengan Ari. Nanti Dr. Sid syak,” sambung Faruk. “Kita juga tak boleh menghilangkan diri. Kita kena buat macam biasa, macam tak ada kaitan langsung dengan dia. Sebab itu Ari kena pergi jauh dari sini tapi seseorang perlu bantu dia. Dia seperti seorang yang buta. Dia tak tahu apa-apa pasal dunia kita.”
“Kau buat aku makin curious. Kau patut beritahu aku siapa Ari yang sebenarnya. Malah aku mula rasa ada sesuatu yang tak kena dengan dia.”
“Apa yang tak kena?”
Rita menggeleng. “Aku pun tak tahu nak cakap macam mana. Tapi aku tengok dia macam tak tahu serba-serbi. Malah dia kata baru kali pertama menonton TV sejak tiba di sini. Dia juga seperti tak tahu bersolat. Kenapa dia macam tu?”

“Aku akan terangkan pada kau tapi bukan hari ni. Cuma aku harap kau dapat panggil Nella balik tolong kita.”
“Okey, aku panggil Nella balik tapi kau mesti janji dengan aku. Aku nak tahu semua cerita pasal Ari.”
“Deal,” balas Faruk. “Kau takut, kan?”
Rita angguk. “Makin lama Ari di sini, aku makin takut.”
“Jadi panggil Nella balik secepat mungkin.”
“Kau patut berdoa, Nella tu degil,” balas Rita. Kini kedua-duanya termenung. Kalau Nella tidak sudi membantu, mereka tidak tahu mahu mengharapkan siapa lagi. Kini terpulang kepada Nella.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.