Sunday, August 5, 2012

GLAS--Z : Bab 4


SETELAH beberapa minit berlari, dia berhenti untuk mengambil nafas. Di kiri gelap, di kanan juga gelap. Di hadapan mahu pun di belakang, semuanya gelap. Hinggakan di langit juga tidak berbulan dan berbintang. Dia hampir lemas, hampit tewas. Di saat itulah dia terdengar bunyi salakan anjing yang bertingkah-tingkah.
 Dadanya berdebar dengan kuat. Tanpa berfikir, dia terus berlari semula meredah kegelapan. Cahaya kecil yang terpancar dari lampu suluhnya terewang-rewang ke atas ke bawah, selagi dia nampak jalan merah, dia yakin dia menghala ke arah yang betul. Sehinggalah dia terpijak lopak yang berisi air, dia terpelecok lalu jatuh tersungkur ke tanah. Lampu suluhnya tercampak jauh.
Dia menarik tubuhnya bangkit semula. Salakan anjing semakin membingitkan ladang getah itu. Dia tahu mereka tidak jauh lagi di belakangnya. Apabila dia cuba melangkah, dia terjatuh semula. Pergelangan kakinya sakit, dia terduduk di atas tanah. Matanya basah.
Selama dia hidup, hari itulah hari yang paling teruk buat dirinya. Jeffri ditemui mati, dia dituduh, dikurung malah kini diburu. Dia lapar, sakit, takut dan hampir putus asa. Di saat itulah kata-kata Jeffri terdengar-dengar di telinganya, “Banyak negara yang maju kerana rakyatnya terus bekerja walaupun tidak bersemangat.”
Dia mengeluh panjang. Jika malam semalam dia berada di dalam biliknya yang terang-benderang, hari ini dia berada di dalam ladang yang gelap gelita. Keadaan yang sudah berubah menuntutnya juga untuk berubah jika mahu terus hidup. Dia bangkit, mengheret kakinya yang sakit. Dia melangkah dan melangkah secepat yang boleh dan akhirnya dia ternampak cahaya di hujung jalan.
Semakin dia mendekati cahaya itu, hatinya semakin yakin. Dari tempatnya berdiri, dia sudah boleh melihat lampu jalan di hujung jalan kecil itu. Serta-merta dadanya terasa lapang semula dan langkahnya makin laju.
Apabila sudah dekat, dia tidak terus keluar ke jalan raya. Dia bersembunyi di balik semak untuk memerhati keadaan. Sayangnya tidak ada sebuah pun teksi di situ.
******
SUDAH PUAS dia memandang-mandang ke kiri dan ke kanan jalan itu. Teksi yang dikatakan oleh Faruk memang tidak ada. Dia serba-salah. Salakan anjing dari ladang makin lama makin kuat. Dia tidak ada pilihan selain terus bergerak di dalam semak yang ditumbuhi lalang. Rasa rimas dan miang terbenam dek rasa takut dan risau yang menggila.
Rumah-rumah di kampung itu sudah senyap sunyi walau lampu-lampu masih banyak yang terpasang. Pintu-pintu rumah di situ tertutup rapat dan tidak ada sesiapapun yang berada di luar. Dia jadi buntu. Perlukah dia mengetuk salah sebuah rumah di situ? Sedang dia leka memerhati, dia terdengar bunyi deruman motorsikal menghala ke situ. Dia terus melompat keluar dari semak.
Motor itu membrek dengan kuat. Tayarnya berderit.
“Hoi! Nak mampus ke?” Seorang pemuda berambut kerinting menjerkah.
Ari sendiri hampir terjatuh kerana terkejut. Dengan wajah pucat dia mendekati pemuda itu. “Bang, boleh minta tolong?”
Pemuda itu segera membuka helmet di kepalanya. Mukanya masih menyinga merenung Ari. “Minta tolong? Kau hampir lagi buat aku mati tau. Kalau tak mati accident, mati sakit jantung.”
“Maaf, bang. Saya betul-betul minta maaf.” Dia betul-betul panik. Hanya itu yang terfikir di benaknya saat itu. Dia tidak berniat untuk mengakibatkan apa-apa kemalangan.
“Dahlah aku nak balik. Ke tepi!” bentak pemuda itu lagi apabila Ari tetap berdiri di hadapan motornya.
“Bang! Tolonglah saya. Saya nak pergi ke sini,” kata Ari sambil mengeluarkan kertas kecil yang mengandungi alamat rumah Rita. Dia langsung tidak tahu di mana tempat itu barada.
Pemuda itu memandang sekilas. “Tu di kampung sebelah. Yang kau sesat ke sini, buat apa?” tanyanya pula sambil menarik muka.
“Abang boleh tolong hantar tak? Tolonglah, bang,” rayunya sambil memegang motor lelaki itu.
“Tak kanlah sesiapa tak boleh jemput kau kat sini? Telefonlah.”
Telefon? Dia tidak pernah memiliki telefon bimbit seperti Jeffri apatah lagi menyimpan nombor orang lain. Akhirnya dia menggeleng.
“Tak ada telefon,” jawabnya lemah.
“Ek eleh…muka macam mat salleh, telefon pun tak ada. Ketinggalan zaman betullah…” Dia menyeluk poket seluarnya lalu mengeluarkan sebuah telefon bimbit yang kecil. “Hah! Cakap cepat, apa nombornya?” Dia menjeling Ari dari ekor matanya.
“Tak tahu nombor.”
Pemuda itu tersentak. Bulat matanya merenung Ari. Dia terpandang-pandang ke kiri ke kanan bagaikan tidak percaya apa yang dia dengar. “Kau ni keluar dari hutan mana? Budak kecil pun sekarang dah pakai BlackBerry tau, kau ni turun dari mana?” kutuknya sesedap hati.
Ari diam sahaja. Hendak dijelaskan pun tidak berguna, lagipun dia tidak ada masa. Bila-bila masa saja, orang-orang dari institut akan tiba di situ. “Tolonglah, bang. Tolonglah hantar saya ke sana,” rayunya semula.
“Itu bukan masalah aku. Dahlah tahan motor orang macam nak bunuh diri, ni nak menyusahkan aku pula.” Lelaki itu terkial-kial menghidupkan enjin motornya semula.
Ari renung muka lelaki itu dengan penuh harapan. Dia pegang motorsikal itu dengan kuat. “Tolonglah, bang. Tolonglah… kalau macam tu, abang bawa saya balik rumah abang. Esok, saya cari jalan ke sana.”
Dahi lelaki itu berkerut. Dia seakan bingung dengan situasi yang tiba-tiba sahaja menimpa dirinya malam itu. “Mana aku tahu kau ni orang jahat ke… perompak ke. Tak pasal-pasal kat hujung simpang tu kau keluar pisau toreh leher aku ke.”
Ari hanya menggeleng. Di saat itu dia benar-benar putus asa dengan  dirinya yang tidak berdaya. Tanpa dapat ditahan, dia diserbu rasa sedih yang bukan kepalang.
“Kau ada duit?” Tiba-tiba pemuda itu bersuara. Matanya merenung Ari dalam-dalam. Sesekali matanya  menjeling meter minyak yang hampir kosong.
Ari tergamam seketika. Dengan segera dia membuka beg sandangnya. Dia mengeluarkan beg dompetnya dan menarik sehelai duit kertas lima puluh ringgit lalu menghulurkannya kepada lelaki itu.
Lelaki itu tersenyum. Duit itu segera diambilnya. “Naik!”
Ari tersenyum tawar sambil mengucapkan rasa syukur. Tanpa menunggu lagi, dia segera membonceng lelaki itu. Tatkala motorsikal itu bergerak meninggalkan kawasan itu, dia terasa sebak. Kini dia hanya pasrah, walau ke mana dia akan dibawa pergi.

******
WALAUPUN Ari pernah melihat motorsikal di institut, namun dia tidak pernah menunggang atau memboncengnya. Malam itu, dia menempuh pengalaman kedua yang menakutkan. Di sepanjang perjalanan, dia lebih banyak memejamkan matanya terutama apabila pemuda itu memecut dengan laju dan motornya berselisih dengan lori dan kereta. Ari benar-benar kecut perut.
Setibanya di satu tempat, pemuda itu memperlahankan motornya dan membelok ke sebelah kiri jalan. Dia memasuki sebuah jalan kecil yang seolah tidak ada hujungnya. Ari hanya nampak lampu jalan demi lampu jalan. Rumah-rumah pula jauh dari jalan. Tersorok di celah-celah pokok yang rendang. Tiba-tiba motor itu terasa berat.
“Adoi!!!” Tempik pemuda itu lalu memperlahankan motornya.
“Kenapa, bang?” Ari mula tidak sedap hati. Dia turun dari motor dengan perut yang bergelora. Begitukah rasanya menunggan motor?
“Pancit!” Pemuda itu turun dan menendang tayar belakangnya. “Apalah malang sangat malam ni? Dah elok dekat dengan rumah, ni entah ke mana aku pergi. Engkau ni memang lah…” Dia mengomel kepada Ari.
Ari menggaru kepala. Apa lagi yang berlaku ni? Dia semakin pening. Salah dia ke tayar motorsikal itu pancit?
“Mana alamat tadi?” Dia hulur tangan.
Ari terkocoh-kocoh menyeluk poket seluarnya lalu menyerahkan alamat Rita. Dia tertanya-tanya apa yang pemuda itu mahu lakukan sekarang.
Pemuda itu  mencongak-congak ke hadapan dan kebelakang. Dalam suasana yang yang remang-remang begitu, agak sukar untuk melihat jauh. “Agaknya dekat depan sana,” balasnya lemah sekaligus menghempaskan keluhan yang berat.
Belum sempat Ari bertanya apa-apa, pemuda itu mula menolak motorsikalnya ke arah hadapan. Mukanya masam.
Ari tidak ada pilihan selain berjalan di belakangnya. Dia berasa kesal kerana menyusahkan pemuda itu pula tetapi itu juga bukan kemahuannya. Seperti apa yang telah berlaku sejak dia mencelikkan mata pagi tadi. Semuanya bukan kemahuannya.
“Kau ni sebenarnya dari mana? Macam mana tiba-tiba kau boleh muncul kat kampung aku pula?”
Ari mengeluh perlahan. Macam mana dia nak jawab? Tanyanya sendiri. Jika disebut tentang institut, dia tidak fikir pemuda itu boleh menerimanya dengan baik kerana setahu dia, institut itu sudah lama dianggap hospital gila. Akhirnya dia hanya membisu.
“Pelik pula tu… kau boleh cakap Melayu ya? Dari mana kau belajar?” Pemuda itu masih ringan mulut bersembang. Mungkin kerana jalan kampung itu terlalu sunyi. Yang kedengaran pun hanya bunyi burung tukang dan tapak kasut mereka berdua.
“Aku lahir di sini. Aku rakyat Malaysia,” jawab Ari. Itu sahaja yang terfikir olehnya. Dia takut jika dia terus membisu pemuda itu naik radang.
“Ya ke? Tapi muka kau tak macam Melayu. Bapak kau kahwin dengan Mat salleh ya?” Pemuda itu tersengih pula.
Melihatkan pemuda itu sudah mula tersenyum, Ari berasa lega. Sekurang-kurangnya pemuda itu tidak naik angin atau marahkan dia lagi. Tiba-tiba, dia terpandang sesuatu. Matanya membesar. Sebuah rumah kayu yang besar dengan pagar yang terbuka. Di tepi pagar itu berdiri seorang gadis berambut panjang. Rita!

2 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.