Monday, August 6, 2012

GLAS--Z : Bab 5



“MUSTAHIL dia boleh hilang macam tu saja!” bentak Dr. Sid sambil menghempas fail yang ada di tangannya ke meja makmal.
Matanya merenung tajam kepada semua petugas institut yang telah bertugas menjaga bangunan pengasingan tempat Ari dikurung sejak pagi tadi. Dia rasa tidak percaya apabila diberitahu yang Ari boleh melepaskan diri dengan begitu mudah.
“Dia pensankan pengawal.” Salah seorang pengawal keselamatan di situ memberikan maklumat.
“Dia seorang, kau orang berlima. Apa yang kau orang buat tadi? Membuta?”
Dr. Sid masih belum dapat menerima cerita itu dengan senang. Bingung sekejap fikirannya apabila diberitahu apabila Ari sudah menghilangkan diri. Rasanya seperti kehilangan duit yang terlalu besar jumlahnya.
“Apa yang kita nak hairankan?” Dr. Uzair mencelah. “Tak usahkan lima orang, satu institut ini pun dia boleh kalahkan kalau dia mahu. Patutnya dari semalam lagi kita dah panggil SIKORP uruskan dia.”
“Habis tu? Apa yang kau orang buat? Tercegat di sini saja?” Sakit hati Dr. Sid apabila mendengar nama SIKORP disebut-sebut Dr. Uzair. Seperti memperkecilkan keputusannya.
“Kami dah cari hingga ke kampung-kampung yang berhampiran, tapi dia tak ada.” Dr. Uzair bingkas menjawab. Nampaknya cuma dia yang berani menntang kemarahan Dr. Sid di situ. Faruk di sebelahnya pun hanya membisu.
“Aku tak peduli bagaimana engkau buat, aku cuma mahu Ari dicari secepat mungkin,” balas Dr. Sid dengan cepat. Kini hatinya bagai terbelah dua. Sudahlah Jeffri baru sahaja dikebumikan, Ari pula hilang. Tapi yang pentingnya sekarang, dia tidak mahu kerugian. Ari adalah harta yang tidak ternilai.
“Sekarang sudah malam. Nak cari memang susah. Tapi pagi esok, kita akan kerahkan orang-orang kita mencarinya di sekitar ladang getah,” jawab Dr. Uzair. “Atau engkau nak buat laporan polis?”
Sid menjeling tajam.
“Keluar dulu,” arahnya kepada petugas-petugas yang ada di situ. Setelah mereka meninggalkan makmal 80, dia menoleh ke arah Dr. Uzair. “Kau dah gila?”
Dr. Uzair terkelip-kelip.
“Polis belum tutup kes. Kau nak tambah lagi? Ini semua salah engkau,” rungut Dr. Sid sambil menghempaskan punggungnya ke atas kerusi.
Tidak dapat tidak dia teringat kes yang dilaporkan oleh Dr. Uzair kepada pihak polis tiga tahun yang lalu. Laporan mengenai kehilangan beberapa petugas institut bersama harta benda milik institut. Demi menutup kes kehilangan petugas yang sebenarnya sudah diserahkan kepada SIKORP. Sayangnya siasatan polis tetap membawa kes itu balik ke situ semula. Hampir lagi mereka tertangkap jika dia tidak pandai membuat cerita.
Dia masih ingat kata Dr. Uzair pada masa itu.
“Kalau kita tak lapor dulu, nanti keluarga mereka lapor, kita lagi susah. Polis akan datang sini siasat macam-macam.” Tetapi akhirnya institut itu tetap disiasat, nasib baiklah semua dokumen sudah disediakan cuma sejak itu hatinya tetap tidak tenang. Dia dapat merasakan yang pihak polis sentiasa menunggu dia melakukan kesilapan.
“Orang kita tak cukup, Sid.” Dr. Uzair menjeling anaknya di sebelah.
Dr. Sid tetap menggeleng.
“Aku tak peduli. Aku tak mahu orang lain tahu hal ni. Engkau kena cari dia juga secepat mungkin. Semalam aku terima lagi satu deal.
“Engkau dah gila ke?” Dr. Uzair terus membentak. Dia mengeluh berat seraya menggeleng. “Kau pun tahu Ari masih belum dapat kita pastikan boleh berfungsi atau tak. Macam mana kau boleh terima satu deal lagi? Kau nak mati ke?”
“Aku tak tahu yang Ari akan hilang. Lagipun kita perlukan deal itu untuk cover duit payer yang telah kita gunakan,” jawab Sid tanpa menoleh.
“Engkau yang habiskan duit tu di meja judi, bukan aku,” kata Dr. Uzair.
Dr.Sid berdengus. “Engkau lupa? Semua perbelanjaan institut dan kajian kita dibiayai oleh siapa? Siapa yang bayar gaji engkau dan anak engkau? Kalau tak kerana Ari, kita tak ada apa-apa.”
“Kita ada Iris,” kata Dr. Uzair sambil menjengilkan mata.
Dr. Sid menggeleng. “Engkau jangan cuba sentuh Iris. Dia belum boleh dijual di pasaran terbuka. Kita perlu dapatkan Ari semula secepat mungkin. Jika tak… aku, engkau dan institut ini akan musnah. Habis!”
“Dunia di luar tu luas, Sid. Aku bimbang kita tidak dapat cari dia.”
“Selagi dia ada di luar sana, kita masih ada harapan. Bukannya dia boleh terbang ke planet lain.”
Dr. Uzair mengeluh panjang. “Kau tak nak minta tolong SIKORP?”
Dr. Sid menggeleng.
“Upah sesiapa?” tanya Dr. Uzair.
Dr. Sid tetap menggeleng. “Kita tak boleh dedahkan hal ini kepada pihak luar. Aku tak mahu sesiapa syak. Tawarkan kepada petugas ganjaran, mungkin sesiapa yang bersubahat itu mahu tampil membuka mulut. Kita mesti cari Ari sebelum SIKORP dan payer dapat tahu dan kita hilang kepercayaan.”
“Jadi kau fikir ada orang dalam yang bersubahat?”
Dr. Sid angguk. Memang itu yang dia syak.
*****
 SUASANA di dalam makmal itu kini senyap. Masing-masing hanyut dalam fikiran masing-masing. Sememangnya kehilangan Ari adalah satu kerugian besar bagi mereka dan institut itu. Tanpa Ari, masa depan tempat itu seakan kabur. Ari adalah mesin duit.
“Macam mana dia boleh lepas?” Tiba-tiba Dr. Sid mengangkat muka memandang Faruk.
“Dia pukul petugas yang masuk untuk menghantarkan makanan. Petugas tu pengsan,” jawab Faruk dengan bersahaja.
“Tapi tadi mereka kata Ari dikesan melarikan diri hingga ke kampung hujung sana,” kata Dr. Sid lagi. Dia hairan, macam mana Ari begitu berani meninggalkan tempat itu padahal Ari sangat takutkan kegelapan malam. Itu memang sikap Ari sejak kecil. “Bagaimana dia boleh sampai ke situ? Bukan ke dia takut gelap?”
Faruk menggeleng. “Dia dah lama tinggal di sini. Dia tentu tahu pasal jalan tu. Dia mungkin lebih bijak daripada yang kita sangkakan.”
“Ataupun mungkin ada yang membantunya?” sampuk Dr. Uzair.
Faruk angkat bahu. “Siapa yang tak kenal Ari di sini? Dia budak yang baik. Tak hairan jika ada yang berasa simpati.”
“Faruk, kau cuba siasat perkara ni sampai dapat. Uzair, aku nak kau luaskan kawasan pencarian. Kalau perlu, kau ketuk setiap pintu rumah di kampung-kampung tu. Tawarkan ganjaran jika mereka berikan maklumat sampai kita dapat jumpa Ari semula.”
“Kalau masih tak jumpa? Atau usaha kita ni memerlukan masa bertahun-tahun?” Dr. Uzair terus mencelah.
Dr. Sid merenung Dr. Uzair dalam-dalam. Dr. Uzair selalu membayangkan perkara yang menakutkan dia seolah suka melihat dia sakit jantung.
“Kalau terdesak sangat, kita gunakan Iris,” jawabnya perlahan walau begitu perit untuk mulutnya menuturkan kata-kata itu.
“Tak nak guna sekarang?” tanya Dr. Uzair lagi.
Dr. Sid tetap menggeleng.
“Berapa lama kita ada masa? Bukankah kita sudah terlewat tiga hari dari tarikh yang diminta payer? Apa kita nak jawab kalau mereka tanya nanti?”
“Satu minggu paling lewat. Aku akan cuba pujuk mereka,” balas Dr. Sid dengan wajah muram.
“Selepas satu minggu, kalau Ari kita tak jumpa… kita akan guna Iris?”
Dr. Sid tarik nafas panjang. Perlahan-lahan dia mengangguk. Dia semakin tersepit.

******
SUDAH hampir sejam Dr. Uzair dan Faruk meninggalkan Makmal 80. Dengan agak payah, Dr. Sid bangkit dari kerusi dan menghayun tubuh gempalnya ke tepi dinding untuk mencari suis lampu. Hari itu, satu hari yang sangat memenatkan emosi dan fizikalnya. Macam-macam yang telah terjadi.
Dengan langkah yang lesu, dia meninggalkan makmal itu. Tidak ada gunanya untuk dia berada di situ lagi. Ari sudah hilang, pembedahan yang diatur malam itu dibatalkan sahaja. Dia kecewa kerana belum dapat melempiaskan dendam dan kemarahannya. Malah kini, kes itu menjadi semakin rumit.
Kehilangan Ari mungkin bukan hal besar kepada orang lain tetapi kepada dirinya, dia seperti hilang loteri yang nilainya tidak terkira. Dia kecewa dengan tahap keselamatan institut itu dan kepada semua petugas di situ. Jika boleh semuanya mahu dihalau pergi. Tidak ada seorang pun boleh diharapkan.
Sebaik sahaja dia sampai di pintu rumah, dia terasa amat sepi. Tidak ada lagi lampu yang terang-benderang seperti dahulu. Tidak ada lagi suara Jeffri dan Ari yang suka menyanyi sambil memetik gitar di beranda rumah itu walaupun sumbang-mambang. Tidak ada apa-apa lagi, kedua-duanya sudah meninggalkan dia. Dia rasa dunianya kosong.
Bunyi panggilan yang masuk menerusi telefon bimbitnya mengejutkan dia yang sedang larut dalam kesedihan. Nama yang terpapar di skrin, membuatkan langkahnya terhenti. Sekujur tubuhnya bergetar.
“Prof. Max.” Dia mendahului bicara sambil cuba bersikap tenang terhadap pengerusi SIKORP itu.
“Aku baru dapat tahu, anak kamu meninggal pagi tadi.” Terus sahaja suara garau Prof Max menerpa ke pendengarannya.
“Ya, sudah selamat dikebumikan.” Dia menolak daun pintu biliknya dan duduk di birai katil. Perasaan sebaknya masih belum hilang.
“Takziah. Ada apa-apa yang kamu hendak beritahu?”
Degup di jantungnya makin laju. Serta-merta wajah Ari terbayang di matanya.
“Tak ada apa,” balasnya pendek.
Dia tidak mahu SIKORP tahu Ari sudah hilang kerana jika mereka tahu keadaan akan menjadi bertambah rumit. SIKORP akan hilang kepercayaan kepada kemampuan dia membayar hutang-hutangnya kepada SIKORP yang berjuta-juta itu. Dia akan kehilangan Institut itu dan segala hasil penyelidikannya sejak hampir dua puluh tahun yang lalu. Tidak sedar, dahinya berpeluh.
“Kalau macam tu, tak apa. Takziah sekali lagi.” Prof. Max mematikan talian.
Dia menarik nafas lega. Peluh yang menitik di dahinya diseka perlahan. Dia termenung jauh.
“Uzair, kau ada beritahu apa-apa kepada SIKORP ke?” tanyanya pula kepada Dr. Uzair yang sudah pulang ke rumahnya.
“Tak ada. Kenapa? Kau nak aku telefon mereka?”
“Aku pun tahu nombor telefon mereka. Tapi ingat, jangan sampai mereka tahu soal ini.”
“Bagaimana kita nak tutup kes ni? Semua orang dah heboh Ari hilang,” balas Dr. Uzair. “Aku takut cerita itu akan sampai juga ke tangan SIKORP.”
“Hebohkan bahawa Ari sudah ditemui semula. Sementara tu, kau upah orang lain untuk mencari Ari senyap-senyap. Kalau sesiapa tanya, katakan saja Ari dibawa ke tempat lain sementara. Tutup kes ini, Uzair. Kalau SIKORP tahu, mati kita.”
“Okey, okey. Aku cari orang lain untuk mengesan Ari.”
“Tolong buat cepat.” Dr. Sid berkata lagi. Baru dia sedar, masa depan dia dan institut itu benar-benar dalam keadaan bahaya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.