Wednesday, August 29, 2012

GLAS--Z : Bab 9



Bab 9
ARI tersedar kira-kira pukul 6.00 pagi. Seperti hari semalam, tidurnya diganggu oleh kokokan ayam dan juga kejutan oleh salah seorang daripada adik Rita. Satu perkara yang dia sedar adalah sejak meninggalkan institut, tidurnya terlalu nyenyak dan tubuhnya tidak lagi lesu apabila bangun pagi.
Setelah mandi dan bersiap, dia hanya duduk di dalam bilik. Keriuhan di luar bilik menimbulkan rasa segan untuk dia berada di sana. Dia percaya Rita pasti sedang sibuk menyiapkan adik-adiknya untuk ke sekolah. Jadi, biarlah dia hanya menunggu di situ.
Ketukan di pintu membuat dia tersentak. Belum sempat menjawab, sudah terjengul wajah Rita di celah pintu.
“Dah bangun? Kalau dah… kemaskan baju kau.”
Ari terpinga-pinga. Darahnya terasa menyerbu ke muka.
“Selepas minum, Nella nak bawa kau ke tempat lain,” terang Rita apabila menyedari yang Ari terkejut.
“Hari ni?”
Rita angguk. Kemudian dia menutup pintu bilik Ari semula.
Ari termangu seketika. Dia tidak sangka secepat itu, rancangan yang dibincangkan malam tadi dilaksanakan. Tanpa berlengah lagi, dia segera mencapai pakaiannya dan juga tuala. Semuanya disumbat sahaja ke dalam beg sandang yang dibawa dahulu. Dipastikan juga beg dompet dan duit pemberian Faruk malam tadi dibawa bersama. Setelah memastikan tidak ada barang yang tertinggal, dia melangkah keluar dari situ.
******
RUANG TAMU rumah Rita sudah kosong sewaktu dia tiba di situ. Dia pun meletakkan beg sandangnya di atas kerusi sementara menanti dipanggil Rita. Entah kenapa hatinya rasa sayu pula untuk meninggalkan rumah itu.
“Dah siap?” Rita menegur sebaik sahaja keluar dari bilik makan.
Ari angguk. Apa yang hendak dikemaskan pun? Baju hanya ada dua tiga helai.
“Kalau macam tu, mari kita makan dulu.” Rita berpatah balik ke bilik makan.
“Adik-adik dah ke sekolah?” Ari bertanya sambil mengekori Rita.
Rita menoleh.
“Hari ni sekolah cuti. Jadi aku hantar mereka balik ke rumah masing-masing.”
Ari tersenyum tawar. Adakah tindakan Rita itu kerana adik-adiknya bercuti ataupun sebagai langkah keselamatan kerana dia berada di situ? Dia biarkan sahaja hatinya tertanya-tanya. Kerana apa pun sebabnya Rita berhak melindungi mereka.
“Duduklah, kenapa tercegat lagi?” Rita bertanya apabila Ari tercegat sahaja di muka pintu. Dia menoleh sekilas ke arah Nella yang sudah berada di meja makan.
Ari memandang ke arah Nella yang hanya tunduk menikmati mi goreng dalam pinggannya. Sejak bertemu dengan gadis itu, dia dapat merasakan yang Nella jauh berbeza daripada Rita. Rita seorang yang peramah namun Nella sebaliknya.
Sepinggan mi goreng yang masih panas diletakkan di hadapannya oleh Rita. Begitu juga secawan teh. Namun kesemuanya tidak disentuh oleh Ari, dia masih menanti satu penjelasan.
“Jadi… sekejap lagi kita berpisah,” kata Rita. Dia memandang Ari dan Nella silih berganti. “Aku harap kau tolong jaga adik aku. Kau pun tahu bukan senang aku nak lepaskan dia.”
“Kau jangan bimbang. Aku berjanji akan lindungi dia dengan nyawa aku. Aku berjanji akan bawa dia balik ke rumah ni semula,” kata Ari.
Nella masih tidak bersuara.
“Mahu tak mahu, hanya janji kau yang aku ada,” balas Rita. Kemudian dia menoleh ke arah Nella pula, “Nella, jangan lupa telefon kakak setiap hari. Jangan tukar nombor telefon tanpa memberitahu kakak. Sekurang-kurangnya hantar mesej.”
Nella angguk. Wajahnya tetap muram.
“Tapi boleh aku tahu kami akan ke mana?” tanya Ari.
 “Kalau aku sebut pun, kau tak tahu  tempat tu di mana. Jadi ikut sahaja ke mana yang Nella bawa. Sebelum keluar dari negeri ini, pastikan kau sentiasa memakai cermin mata hitam dan topi.”
Tanpa sempat Ari memahami arahan Rita, sebuah topi biru dan sepasang cermin mata hitam diletakkan di hadapannya. Dia pandang Rita.
“Aku punya. Sementara kau beli, pakailah dulu,” kata Rita.
Ari tidak membantah namun wajah muram Nella membuatkan dia berasa tidak sedap hati.
******
SELEPAS bersarapan, Ari hanya duduk di ruang tamu. Sesungguhnya dia masih terkejut dengan rancangan Rita dan Nella. Namun dia tidak mahu mendesak.
“Kakak nak pergi dah?” Nella menegur Rita yang sudah berganti pakaian. Dia juga sudah keluar dari bilik tidurnya bersama beg pakaian yang dibawa semalam.
“Belum lagi. Kakak tunggu Nella dan Ari pergi dulu.”
Nella tarik nafas. Dia dan Rita sekarang saling berdiri berhadapan. Tidak lama kemudian Nella memeluk Rita erat-erat.
Rita membalas pelukan adiknya dengan mesra. Belakang Nella diusap-usap. “Everything will be fine,” bisiknya. “Just keep in touch.”
Tiada balasan dari Nella. Dia sekadar angguk sambil menahan air matanya dari gugur.
Rita hanya tersenyum tawar.
Ari yang melihat adegan itu makin rasa bersalah. Belum sempat dia memujuk hatinya sendiri, Nella sudah mengangkat beg pakaiannya keluar dari situ. Ari segera tahu masanya sudah tiba untuk dia meninggalkan rumah Rita.
“Aku ucapkan terima kasih pada kau sebab sudi tolong aku dua tiga hari ni,” katanya seraya mendekati Rita di muka pintu. Tidak ada apa yang dapat diberikan untuk membalas budi baik Rita sekeluarga.
“Tolong jaga adik aku,” balas Rita. “Tolonglah.”
Ari sekadar dapat mengangguk. Dia tahu tiada kata-kata yang dapat melegakan hati Rita pada saat itu. Rita nampaknya terlalu susah hati untuk melepaskan Nella pergi bersama dia. Dia tahu Rita dan Nella juga rasa terpaksa.
“Aku akan hantar dia balik dengan selamat.”
Dia sudah memutuskan untuk menyuruh Nella pulang sebaik sahaja tiba di tempat yang baru. Cukuplah setakat ini dia menyusahkan keluarga itu. Dia rasa benar-benar bersalah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.