Wednesday, August 15, 2012

GLAS--Z : Bab 8


Bab 8
Sementara itu di IPB
MACAM MANA budak bodoh macam tu pun kau orang tak boleh cari?” tempik Dr. Sid kepada Dr. Uzair dan Faruk di pejabatnya.
Dr. Uzair mengeluh.
“Sabarlah sikit, mereka sedang carilah tu,” jawabnya.
“Sabar apanya? Dah lebih 24 jam dia hilang.”
Mendengarkan bentakan Dr. Sid, Dr. Uzair tergamam.
“Dia takkan boleh pergi jauh. Ke mana dia boleh pergi pun?” balasnya. Sekali gus menjadikan bilik itu senyap sunyi seketika. Masing-masing seperti menegakkan dua pendirian yang berbeza dalam satu ruang yang sempit.
“Jauh atau dekat aku tak peduli.” Dr. Sid bersuara. “Selagi aku tak nampak dia di depan mata aku, selagi itu hidup aku tak tenang.”
“Bukan kau sorang yang macam tu. Aku dan Faruk ni lagi tak tenang.” Dr. Uzair menghempaskan punggungnya ke kerusi. Kini, dia dan Dr. Sid saling duduk berhadapan sementara Faruk masih tegak berdiri di tepi dinding.
“Dah tahu siapa yang tolong lepaskan Ari?”
Kini Dr. Sid melirik tajam ke wajah Faruk pula. Kalau bukan kerana Faruk itu anak Dr. Uzair, sudah lama dia pecat pemuda berkulit sawo matang itu. Faruk langsung tidak membawa apa-apa makna bagi penyelidikannya. Dr. Uzair sahaja yang berkeras mahukan Faruk bekerja juga di institut itu.
Faruk terus menggeleng.
Dr. Sid mengeluh berat. Dia termenung. Kegagalan Faruk membuatkan dia tertanya-tanya. Adakah benar Faruk masih gagal menyiasat hal itu ataupun Faruk sengaja melengah-lengahkannya?
 “Setakat ni apa yang kau dapat?” tanyanya.
“Tak banyak. Tak siapa tahu siapa yang tolong Ari. Pengawal yang pengsan tu pula kata dia tak nampak sesiapa selain Ari di bilik tu,” jawab Faruk.
Dr. Sid tersenyum sinis.
“Bagaimana kau nak terangkan kehilangan barang-barang peribadi Ari? Siapa yang ambil? Kau?”
Faruk tidak menjawab lagi.
“Kau jangan anggap aku bodoh. Aku tahu ada seseorang yang telah menolong Ari.” Dr. Sid mendengus. “Kalau aku dapat tahu siapa dia, mati aku kerjakan.”
“Kami sedang berusahalah ni, Sid,” sampuk Dr. Uzair. “Lambat-laun kita pasti dapat tahu juga.”
“Mana boleh lambat-lambat? Setiap saat kita rugi.”
“Bukan kami sengaja lambat-lambatkan tapi memang susah nak kesan dia di luar tu.” Dr. Uzair masih membantah.
Dr. Sid menggeleng. “Masa berjalan, tinggal lagi enam hari.”
“Kau dah jumpa payer?”
Dr. Sid menggeleng. Kalau boleh dia pun tidak mahu.
“Esok,” katanya.
******
SEBUAH rumah bercat putih masih terang-benderang walaupun waktu sudah hampir ke tengah malam. Suasana di sekitar rumah satu tingkat itu agak sunyi, bersebati dengan kesunyian di bangunan institut yang berhadapan dengannya. Bagaimanapun perbincangan yang berlangsung di dalamnya tidak sesunyi di luar.
“Bodoh betul orang tua tu,” kata Dr. Uzair. “Degil.”
“Dia masih tak mahu gunakan Iris?” Faruk merenung wajah ayahnya. Dia sedar ayahnya sedang marah.
Sambil mengeluh berat, ayahnya menggeleng. Dia segera tahu keadaan akan bertambah rumit.
“Dia kata semalam nak tunggu sampai 7 hari.”
“Selepas tu, dia setuju gunakan Iris?”
“Apa lagi yang dia boleh gunakan? Deal sudah berderet. Duit sudah beratus ribu dihabiskan di meja judi. Mana ada jalan lain lagi?”
“Jadi, kalau tak ada Ari pun tak mengapa, kan?” tanya Faruk lagi. Entah kenapa dia ingin tahu sangat hal itu. Mungkin hatinya bimbang jika kehilangan Ari akan menjejaskan juga kehidupan mereka dua beranak di situ.
“Kalau sudah ada Iris, Ari sendiri boleh dihapuskan. Tapi orang tua tu seperti tidak terfikir.”
“Mungkin dia mahu Ari pulang ke pangkuannya hidup-hidup,” balas Faruk. Dengan itu dia semakin yakin yang Dr. Sid tidak akan menggunakan Iris untuk memburu Ari.
“It will be a big mistake.” Dr. Uzair menggelengkan kepala.
“Dendam itu tak seronok jika dilunaskan dengan mudah.”
“Mungkin,” balas Dr. Uzair. “Tapi kalau Ari balik ke sini pun dia takkan selamat. Dia dah tak berguna. Dia dah mulfunction. Paling tinggi pun, hanya dijadikan mayat ujikaji atau dicampakkan kepada SIKORP sebagai bayaran hutang.”
“Tapi Dr. Sid masih melihat Ari sebagai barang yang berharga. Dia masih mahukan Ari.”
“Sebab dia percaya Ari masih boleh diperbaiki. Masih boleh digunakan. Yang pentingnya, dia mahu tahu apa yang menyebabkan Ari tiba-tiba saja mulfunction kebelakangan ini.”
“Ayah fikir kenapa?”
Dr. Uzair menggeleng. “Tak siapa tahu. Tapi ada kemungkinan kuasa Ari merosot seiring peningkatan usia. Tapi itu cuma teori ayah.”
“Jadi Dr. Sid mahu mengkaji Ari supaya lebih tahu pasal Iris?”
“Itu sahajalah kegunaan Ari yang ayah nampak. Tapi masalahnya kita bukan setakat pusat penyelidikan. Siapa nak tanggung perbelanjaan tempat ini dan bayar hutang pada SIKORP kalau Ari tak boleh bekerja untuk kita?”
“Saya percaya Dr. Sid tetap akan gunakan Iris juga,” balas Faruk.
Dr. Uzair diam sahaja seperti ragu-ragu itu yang akan berlaku nanti. Faruk biarkan sahaja. Dia belum bersedia untuk memberitahu di mana Ari berada.
******
MALAM kian sepi, ayahnya sudah masuk tidur tetapi Faruk masih duduk berseorangan di luar rumah. Dia masih memikirkan apa yang akan berlaku esok.  
“Macam mana?” Dia bertanya kepada Rita menerusi telefon.
Kedengaran bunyi Rita mengeluh di cuping telinga. Dia faham perasaan Rita yang sedang dibelit kerisauan.
“Nella kata hari esok dia akan bawa Ari keluar dari rumah ni.”
“Esok? Cepatnya? Dia nak bawa Ari ke mana?”
“Aku pun tak tahu,” jawab Rita. “Dia kata biarlah rahsia tapi dia akan telefon kita sejurus sampai di sana.”
Faruk sedikit runsing. “Pastikan dia tak tukar nombor telefon. Ari tak ada telefon.”
“Aku tahu. Aku lagi risau daripada kau.”
“Aku faham. Tapi percayalah, ini semua hanya sementara, kan?” Dia faham Rita risaukan keselamatan Nella di sisi Ari. “Lagipun, aku percaya Ari akan jaga Nella.”
“Ari jaga Nella?” Rita ketawa.
“Berilah peluang pada dia untuk menjadi seorang lelaki yang bertanggungjawab. Lagipun kalau terjadi apa-apa kepada Nella, aku sendiri yang kerjakan dia.”
Rita diam.
“Suruh Nella call kita setiap hari. Jangan sampai putus hubungan,” pesan Faruk lagi. Dia benar-benar takut jika Ari dan Nella tidak dapat dikesan pula selepas itu. Kalau itu berlaku, dia yakin Rita akan panik.
“Aku tahu.”
“Rita… jangan terlalu susah hati, okey. Kita akan berusaha dapatkan maklumat tu secepat mungkin. Kita akan bawa mereka berdua balik semula ke sini dengan selamat.”
“Aku cuba. Esok… aku akan mulakan apa yang boleh.”
“Esok, Dr. Sid cuti.”
“Dr. Sid cuti?”
“Biasalah. Hujung minggu, kan?” balas Faruk.
“Baguslah. Senang sikit kerja aku.”
“Rita… hati-hati. Jangan ada sesiapa syak ataupun tahu pasal Ari.”
“Kau jangan bimbang. Aku lebih risau daripada kau.”
Faruk tersenyum. Dia percaya Rita akan buat apa sahaja untuk menyelesaikan masalah itu supaya Nella dan Ari boleh kembali. Hanya Rita yang faham segala data-data kajian di makmal 80 dan 91 selain Dr. Sid dan ayahnya. Hanya Rita yang boleh membuktikan Ari tidak bersalah.

2 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.