Monday, March 28, 2011

Mencari Damai Abadi : Bab 12



  • Azmi : Assalamualaikum
  • Twinkle : Waalaikumussalam.
  • Azmi : Apa khabar?
  • Twinkle : Sihat. Awak?
  • Azmi : Alhamdulillah. Kak Senah kirim salam Assalamualaikum pada awak.
  • Twinkle : Nanti sampaikan pada Kak Senah, Waalaikumussalam ya. Dia sihat ke?
  • Azmi : Alhamdulillah sihat juga.
Azmi mula berpeluh. Dia tidak tahu mahu menulis apa lagi selepas itu. Mukaddimah sudah selesai, dia masih belum terjumpa idea untuk meneruskan perbualan dengan Sherry. Dia menoleh ke arah dua orang gadis yang duduk selang lima meja dari mejanya. Rancak pula mereka berbual di Facebook. Sedangkan dia sudah mati kutu di situ.

  • Azmi : Kenapa awak suruh saya buka Gtalk hari ni? Ada perkara penting ke yang awak nak cakap? Pasal gambar-gambar hari tu ke?
Hampir seminit juga Azmi menunggu balasan. Sama ada Sherry sibuk ataupun Sherry tidak mahu menjawab. Dia mula resah. Inilah kali pertama dia bersembang dengan seorang gadis di Gtalk. Walaupun Cyber Café di Pulau Mayang itu dingin, dia tetap berpeluh. Cemas semacam sahaja rasanya.

  • Sherry : Azmi, terima kasih sebab berikan saya mutiara hitam tu. Saya suka sangat.
  • Azmi : Sekarang, saya tak jumpa lagi mutiara seperti itu di laut.
  • Sherry : Ya ke? So, I’m the lucky one.
  • Azmi : Alhamdulillah, dah rezeki awak.
  • Sherry : Mungkinkah awak juga rezeki saya?
Jantung Azmi berdegup dengan kuat, diikuti debaran yang kencang. Peluhnya makin laju. Fikirannya kusut dengan tiba-tiba.

  • Azmi : Setakat mutiara hitam saja, apalah ertinya.
  • Sherry : Susah nak jumpa. Wajar diletakkan di tempat yang tinggi. Dikagumi dan dicintai.
Azmi garu kepala. Apa yang perlu dijawab? Dia sudah menduga ke situ akhirnya tetapi bersediakah dia memilih jalan itu?

  • Azmi : Beri saya masa memikirkannya.
  • Sherry : Saya akan tunggu sampai awak habis berfikir tapi jangan lupakan saya di sini.
  • Azmi : Semuanya sudah ditulis, andai ada rezeki tak ke mana. Assalamualaikum.

Azmi sign out dari Gmail cepat-cepat. Entah kenapa fikirannya bagai dilanda ribut, berpusing-pusing tidak tentu hala. Jiwanya berperang hebat. Tanpa sedar, dia termenung di hadapan skrin komputer itu. Walaupun, ianya sudah lama bertukar menjadi hitam tetapi dia tetap merenungnya sambil terkelip-kelip.

“Eh! Buat apa kat sini?” tegur Hasan yang baru masuk ke Cyber Café itu. Dia menarik sebuah kerusi di sebelah Azmi lalu memetik suis komputer di atas mejanya pula.

“Tak kerja ke?” tanya Azmi pula tanpa menjawab pertanyaan Hasan.

Hasan tersengih. “Shif aku pukul 5.00 petang nanti, ni baru pukul 3.00 petang.” Jarinya ligat membuka halaman Facebook. “Chatting dengan makwe ke?” Dia tersenyum makin lebar ke arah Azmi.

Muka Azmi merah padam. Dia tidak menjawab. Makwe? Fikirannya keliru lagi. Siapakah Sherry dalam hidupnya?

“Sherry dan Tina ada contact kau lagi ke?”

Azmi terkelip-kelip. “Kenapa?”

“Aku nak gambar aku. Hari tu Tina banyak snap gambar-gambar aku semasa pergi snorkeling dan jungle trekking. Dia kata nak letak kat Facebook tapi emel tak beri. Macam mana nak cari, entahlah,” bebel Hasan sambil membuka halaman profile Facebooknya.

Azmi angkat bahu sahaja tetapi tidak ingin pula dinyatakan yang dia baru sahaja berbual dengan Sherry. Masih terlalu awal untuk Hasan tahu perhubungannya dengan Sherry. “Bila kau nak kahwin, Hasan?” tanyanya tiba-tiba.

“Bila aku jumpa awek yang aku berkenanlah,” jawab Hasan dengan selambanya membuka halaman profile seorang gadis dan menekan perkataan photo. Sejurus itu terpampang gambar gadis itu dalam pelbagai aksi. Sekejap bertudung sekejap tidak. Sekejap di kolej, sekejap di dalam bilik tidur.

Azmi mengeluh. “Siapa tu? Kawan kau ke?” Pada pandangan Azmi, gambar gadis yang dilihatnya itu manis orangnya. Lebih manis jika bertudung dan tidak beraksi keterlaluan di hadapan kamera.

“Entah,” jawab Hasan sambil tersengih. “Orang nak tunjuk, kita tengoklah puas-puas.Bukannya kena bayar.”

Azmi geleng pula melihat gelagat Hasan yang seolah menikmati benar pandangan matanya sampai tidak berkelip. Selepas itu Hasan membuka halaman profile gadis lain pula.

“Apa yang kau cari? Isteri?” tegur Azmi. Dia mula hairan dengan telatah Hasan.

Hasan ketawa besar. “Kalau kau nak tahu, aku nak bertunang dah lagi dua bulan.”

Mata Azmi membesar. “Alhamdulillah, tahniah. Mana satu bakal tunang kau?” tanyanya pula sambil menjeling ke arah gambar seorang gadis manis di skrin.

“Tak ada kat sini. Kawan sekolah aku dulu,” balas Hasan. “Aku tak izinkan dia buka Facebook, aku tak mahu orang pandang dia.”

Azmi tersenyum panjang mendengarnya. “Dah tu janganlah tengok gambar perempuan lain. Dia pun tentu tak suka kalau tahu. Bukan perempuan aje yang kena jaga diri, lelaki pun sama.”

“Yalah, yalah.” Hasan log out dari Facebook. “Kau ada Facebook? Kalau ada tentu banyak awek nak berkenalan dengan engkau.”

“Tak adalah. Aku belum nampak gunanya lagi benda tu pada aku. Lagi pun Pulau Damai mana ada internet. Susah nak jaga nanti.”

“Habis tu kau ke sini hari ni buat apa? Ada hal penting ke?” tanya Hasan pula.

Azmi terdiam. Kenapa dia ke situ? Ya, kenapa dia sanggup meredah laut semata-mata untuk ke Pulau Mayang. Sherry? Dia mula sedar.

*****
SHERRY mengoles wajahnya dengan bedak serbuk. Kemudian mencalitkan bibirnya dengan gincu Estee Lauder berwarna Exotic Orchid. Selepas itu dia termenung, berat benar hatinya untuk keluar pada malam itu hingga melihat wajahnya di cermin pun terasa tidak bermaya.
“Tak siap lagi?” tegur Tina yang tiba-tiba masuk ke biliknya.

Sherry terkejut. Nafasnya tercungap sekejap. “Lain kali masuk beri salam dulu,” tegurnya.

“Hai…sejak balik dari Pulau Damai ni, dah tahu beri salam? Dulu pakai muah, muah, muah aje…” sindir Tina pula. Dia sudah duduk di katil Sherry tanpa dipelawa.

Sherry cuma menjeling. Dia tahu Tina cukup alergi dengan apa-apa perkataan yang berkaitan dengan agama.Sedang dia memeriksa wajahnya sekali lagi di cermin, Tina kembali riuh.

“Itu kain sembahyang yang kau bawa balik dari Pulau damai tu kan?” tanya Tina sambil menjuihkan bibir ke arah kain sembahyang yang tergantung elok di dinding. “Kau tak takut ke letak kat situ?”

“Takut apa?”

“Buatnya malam-malam, angin kuat bertitup… kain tu terbang...” jawab Tina selamba sambil membuat aksi seperti hantu terbang. “Baru pucat muka kau nampak benda putih terbang dalam bilik.”

“Itu kain sembahyanglah, hantu pun tak berani pinjam,” bidas Sherry dengan selamba. Sakit betul hatinya apabila Tina mengejeknya begitu. “Kalau tak solat, mungkin jadi hantu…” tambahnya lagi.

Tina berdengus. “Orang yang bersolat, tak mainlah kelab-kelab malam ni, kau tahu tak?” perli Tina lagi. Dia membelek kuku-kukunya yang berkilat pula.

Sherry memekakkan telinga walau dalam hatinya menyumpah Tina. “Ini kali terakhir, okey? Aku cuma beri muka kat engkau aje.” Katanya selepas puas mendiamkan diri.

Tina tergelak besar. “What? Kali terakhir?” Dia tergelak lagi. “Okey, aku tak paksa kau lagi lepas ni. Lepas ni kau bolehlah jadi ustazah pula. Aku tak kisah,” balas Tina sambil terus tersenyum.
Sherry hanya menggeleng. “Bila kau nak sedar, Tina?”

“Sampai aku pun jumpa mamat pulau macam kau,” balas Tina cepat.

Jawapan Tina yang sinis itu membuatkan Sherry tergamam. Akhirnya dia menutup lampu bilik dan keluar sahaja dari bilik tidurnya.

******
DEBURAN ombak malam itu begitu ganas. Saling bertingkah, saling berlumba memecah batu-batuan. Bagaikan cuba menunjuk jaguh kepada sekeping hati yang masih kebingungan. Langit gelap tanpa bulan dan bintang. Angin pula menderu-deru dan berpusar-pusar.

“Mi, baliklah,” panggil Abang Osman yang datang bersama lampu suluhnya. Cahayanya tersuluh ke muka dan badan Azmi.

Azmi yang tadinya bertinggung di atas batu, menoleh lalu melompat turun. “Abang nak ke mana ni?”

“Nak tengok bot. Macam nak turun ribut ni,” jawab Abang Osman. “Kamu dah tutup kedai?”

Azmi anggup. “Sebelum Maghrib tadi dah tutup.”

“Pergilah balik,” kata Abang Osman lagi. Dia menapak beberapa tapak ke hadapan.

“Nak ikutlah,”jawab Azmi sambil berlari anak. Setibanya mereka dekat jeti, mereka melihat bot-bot di situ teroleng-oleng. Sudah ada beberapa penduduk kampung di situ yang juga datang melihat bot.

“Dah periksa talinya?” tanya Abang Osman kepada yang ada di situ.

Mereka mengangguk dan naik ke atas jeti. “Macam nak ribut besar ni. Kita berjaga-jagalah,” katanya lagi sebelum mengajak Azmi pulang. Semasa berjalan balik, mereka menyusuri pantai itu lagi. “Yang kamu ni termenung atas batu tu buat apa? Tak menulis?”

Azmi tersenyum tawar. Sejak balik dari Pulau Mayang petang tadi, fikirannya kacau bilau sahaja. Hendak diluahkan kepada siapa pun tidak tahu.

“Ada hal apa ke Pulau Mayang siang tadi?” tanya Abang Osman lagi.

Langkah Azmi jadi terhenti seketika. Tiupan angin dirasakan semakin kuat menghempas tubuhnya hingga dirasakan hampir tumbang ke belakang. Dia kehilangan kata-kata seketika.

“Ada masalah ke?” Abang Osman turut terhenti.

“Macam mana kalau saya nak kahwin, bang?”

Abang Osman terlopong. Suluhan lampu di tangannya dihalakan tepat ke muka Azmi.

Azmi terkebil-kebil. Tiupan angin Laut China Selatan makin kuat.

*****



Dari arah pantai mereka menuju ke rumah Abang Osman. Jika hari tidak begitu baik seperti malam itu, mereka jarang sekali melelapkan mata. Mereka sentiasa risau bot-bot terlepas ikatan ataupun taufan datang memusnahkan kampung seperti yang pernah terjadi di situ dulu. Untuk menahan rasa mengantuk, mereka akan berbual-bual memerhati keadaaan.

“Dengan siapa?” tanya Abang Osman selepas puas berdiam diri sejak tadi. Dia mengambil tempat di beranda rumahnya sambil bersandar pada dinding rumah. Sebatang rokok dinyalakan dengan susah payah.

Azmi hanya menghela nafas, bibirnya tetap terkatup rapat.

Oleh kerana Azmi tidak bersuara, Abang Osman mengeluh sendiri. “Orang dekat, orang jauh?” tanyanya lagi.

Azmi cuma menoleh sekilas. Mulutnya tetap tidak berbunyi.

“Tak ada masalah kalau sudah suka sama suka. Kita pinang, mereka terima. Itu aje tapi perkahwinan ni bukan untuk berseronok aje. Ia sama seperti sebuah lautan. Destinasinya ialah keredaan Tuhan. Ikatan itu kapalnya. Suami adalah nakhoda, isteri adalah peneman dan penunjuk arah. Untuk sampai ke sana, dua-dua kenalah bekerja-sama menempuh gelora dan taufan yang pasti ada sesekali,” sambung Abang Osman lagi sambil merenung laut gelap yang sesekali diterangi pancaran kilat di tengah laut.

“Saya bukan apa, bang. Sejak dia pergi, jiwa saya tak tenang. Jadi, sebelum menjadi lebih teruk lebih baiklah saya kahwin sahaja supaya ibadat saya tak terganggu.”

Abang Osman angguk. “Abang faham dan abang rasa itulah yang sebaiknya untuk kamu berdua. Cuma satu aje yang abang risau.”

Azmi menoleh. “Apa dia bang?”

“Kapal Azmi ni kecik aje. Sanggup ke dia naik?”

“Entahlah, bang. Sanggup mungkin sanggup. Tahan atau tidak tu, tak tahulah saya.” Azmi termenung semula. Sememangnya dia sedar keputusan itu satu keputusan yang besar, malah memikirkannya sahaja sudah menjadi satu cabaran yang hebat. Tetapi dia juga tidak dapat menolak gelora di hati sejak terlihat Sherry tempohari. Dan dia percaya segala yang terjadi bukan sia-sia. Jadi, kalau itulah jodohnya dia akan terima. Moga-moga dengan itu fikirannya tetap tenang setiap kali dia bersujud.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.