Tajuk:KUNCI
Penulis: Maria Kajiwa
Struktur : Kronologi
“HEI!” Ayuni menjerit
seraya meluru ke kaki lima.
Aku yang terdengar
jeritan itu terus berlari keluar sambil diikuti pekerja yang lain. Setibanya di
situ aku melihat Isya menangis dalam pelukan Ayuni. Ayuni pula memaut Isya agar
menjauhi Zam.
“Eh! Jangan masuk
campurlah!” bentak Zam kepada Ayuni seraya cuba menarik tangan Isya.
“Hei! Apa ni?” Aku pula
yang menengking Zam, lelaki bertubuh kurus dan tinggi lampai. Aku tahu dia
teman lelaki Isya kerana aku selalu melihat lelaki itu menghantar dan menjemput
Isya balik kerja tetapi aku tidak akan membenarkan dia bertindak kasar
sebegitu.
“Argh!“ Zam bertempik
seperti orang hilang akal. Selepas itu terus beredar ke arah motorsikal dan terus
meninggalkan tempat itu.
Aku terpinga-pinga dan Isya
semakin kuat menangis.
“Mari masuk dalam.”
Untuk mengelakkan hal
itu menjadi perhatian orang ramai yang mula berkumpul aku cepat-cepat mengajak
kesemuanya masuk sahaja ke dalam semula. Walaupun waktu kerja sudah tamat
tetapi rasanya elok kalau Isya dibenarkan bertenang sebentar. Lagipun aku ingin
tahu apa sebenarnya yang telah terjadi.
****
“Saya nampak Zam hayun
helmet ke arah Isya.” Setibanya di ofis Ayuni terus membuka mulut.
Aku tergamam. Zam nak
pukul Isya? Wah! Sudah melampau!
“Ambilkan Isya air
dulu,” kataku sambil membawa Isya duduk di atas sofa. Hal tadi masih terbuku
dalam hati. Tak sangka Zam sanggup mengasari Isya sampai sebegitu sekali.
Mujurlah Ayuni ternampak tetapi tentu ada puncanya.
“Cuba cerita pada saya...”
Aku memujuk setelah Isya berhenti menangis. Kini tinggal kami bertiga di situ.
Aku, Ayuni dan Isya. Staf yang lain semua sudah balik kerana malam sudah
semakin tua..
Isya diam. Dia hanya
tunduk dengan wajah murung.
“Cakaplah Isya. Mungkin
puan boleh tolong.” Ayuni pula memujuk.
Tiba-tiba Isya menangis
sampai tersengguk-sengguk. Aku dan Ayuni hanya mampu berpandangan. Bimbang
tersilap desak akan memburukkan keadaan.
“Kalau engkau nangis
saja macam ni sampai bila nak selesai?” Ayuni mula naik angin aku hanya memberikan
renungan tajam. Aku tahu Ayuni dan Isya agak rapat tetapi aku tidak tahu
serapat mana.
Tanpa dijangka, Isya
tarik kain yang dipakai ke atas sambil air matanya menitik. Maka terserlah
kesan lebam sebesar pinggan di peha kanannya.
“Ya Allah! Zam buat
ni?” Suara Ayuni meninggi. Buntang matanya.
Aku terkedu. Kesan
lebam kehitaman itu sangat mengejutkan. Tambah menyedihkan aku ialah semasa
bekerja Isya tidak sedikitpun menunjukkan tanda sakit cuma agak diam
kebelakangan ini.
“Isya... cubalah cerita
apa yang sebenarnya berlaku.”
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.