Saturday, August 12, 2017

Cerpen Seram: TULIS


SUDAH beberapa hari hati Qiah berdebar-debar. Setiap kali matanya terpandang mengenai tawaran untuk menulis cerita seram dari sebuah rumah penerbitan, perasaannya melonjak-lonjak. Dia rasa tak senang duduk. Malah tidur pun tak berapa lelap.
Dia asyik terbayang namanya dipaparkan di atas muka hadapan buku dan juga kehidupan yang berubah selepas itu. Dia juga terbayangkan populariti dan sanjungan pembaca yang tidak putus-putus. Selain membayangkan duit yang akan mengalir masuk ke dalam akaun bank dan apa yang dia mampu beli dengan duit itu. Oleh itu kali ini dia nekad untuk mencuba nasib.
“Engkau buat apa tu, Qiah? Dari tadi menghadap laptop.” Zarin yang baru siap membasuh baju di dapur menegur. Dia hairan kerana mulai awal pagi tadi lagi Qiah tak henti-henti menekan papan kekunci. Mandi tidak. Makan pun tidak. Keluar dari bilik pun tidak. Asyik dengan laptop.
“Jangan kacaulah. Aku tulis cerita ni.” Qiah rasa marah. Bebelan Zarin membuatkan tumpuannya terjejas.
“Cerita?” Suara Zarin mati setakat itu. Jawapan Qiah amat mengejutkan. Setahu dia selama ini Qiah tak pernah menulis cerita. Setakat menulis mesej dalam WhatApps memang pernah. Itu pun typho setiap lima huruf.
“Kenapa? Engkau ingat aku tak boleh tulis cerita seram? Belum cuba belum tahu.” Sikap Zarin semakin menaikkan kemarahan Qiah. Semangatnya semakin berkobar-kobar untuk menyiapkan cerita seram yang ditulis sejak pagi tadi. Kalau orang lain boleh tulis, dia pun boleh juga; itulah fikirnya.
“Engkau tulis cerita seram?” Suara Zarin semakin kuat. Hampir hendak memekik. Dia fikirkan Qiah tulis cerita cinta macam dalam novel-novel yang banyak bertimbun di ruang tamu rumah sewa mereka. Rupanya cerita seram.
Qiah ketawa kecil. Hati semakin berbangga. Baru Zarin tahu keupayaan dia.
“Engkau tak takut ke tulis cerita macam tu?”
Dahi Zarin berkerut-kerut. Dia terbayangkan beberapa novel seram yang pernah dilihat di kedai-kedai buku. Semua kisahnya melibatkan syaitan, jin, iblis dan hantu.
“Ish! Jadi penulis cerita seram mana boleh takut? Hati kena sado, beb. Kalau takut... macam mana nak tulis?” balas Qiah. Matanya masih terpaku ke skrin. Jari-jemarinya laju menekan papan kekunci meskipun banyak typho. Pedulilah. Janji siap.
“Berani engkau ya? Engkau tahu ke benda apa yang engkau tulis ni? Engkau tak takut ke benda ni datang kacau engkau balik?”
Qiah ketawa mendengar pertanyaan Zarin.
“Menulis cerita seram ni bukan untuk orang yang penakut macam engkau. Orang yang berani aje boleh tulis. Nanti dia datang duduk sebelah engkau, baru engkau tahu.” Qiah mengusik Zarin.
“Memang. Aku pernah dengar cerita macam tu. Ada seorang penulis novel cerita seram pernah tulis di Facebook dia. Selama dia menulis, benda tu ada temankan dia di sebelah. Kalau tak nampak pun, dia boleh rasa benda tu ada dekat dia. Kalau bulu roma tegak aje tu, adalah tu dekat-dekat.”
“Jadi penulis cerita seram memang macam tu. Hati kena kental. Kalau diri sendiri tak boleh kawal, macam mana nak kawal cerita?”
“Begitu...” kata Zarin sebelum angkat punggung. Dia teringat masih ada baju yang belum berjemur. “Kalau macam tu, engkau tulislah ya elok-elok. Esok-esok kalau dah terkenal, jangan buat-buat tak kenal aku pulak.”
Dengan spontan ketawa Qiah terburai. Kata-kata Zarin buat dia tambah bersemangat.
Di muka pintu, Zarin menoleh ke arah Qiah dengan wajah prihatin. “Eh! Tadi aku goreng mi tau. Aku tinggalkan sikit untuk engkau kat atas meja.”
“Alright!” Qiah angguk. Meskipun perut sudah mula pedih, dia masih tak mahu berganjak. Dia takut idea dia hilang.
*****
“DAH mandi ke belum ni? Serabut macam orang tak mandi aje?” Zarin menegur Qiah yang duduk di hadapan televisyen sambil makan mi goreng dengan gelojoh. Sebelum ini tak pernah pula dilihat Qiah macam itu.
“Nantilah... aku lapar ni.” Qiah menjawab. Mi disuap laju ke mulut. Apabila tercekik, dia lalukan dengan air sejuk.
“Dah lepas zuhur ni, kak oi. Ingat pagi lagi ke? Ni mesti solat pun tak buat.”
Qiah tergamam. Dia mendongak memandang jam pada dinding. Baru dia sedar, waktu sudah hampir ke pukul dua petang. Patutlah dia lapar sangat.
“Haahlah... aku ingat baru pukul berapa.” Qiah teguk air sejuk dengan laju. Kemudian dia bangun meletakkan pinggan dan gelas di atas meja makan.
“Basuhlah oi.” Zarin menegur sikap Qiah yang semakin pengotor. Entah-entah hari itu Qiah langsung tak gosok gigi atau basuh muka. Hal lain tak usah cakaplah. Semua pasal teruja sangat hendak menulis cerita seram.

“Nantilah...” Qiah bergegas masuk ke dalam bilik semula untuk sambung menulis. Sedar-sedar sudah masuk waktu maghrib.

SAMBUNGANNYA BOLEH DIBACA DI SINI (TEKAN)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.