Monday, January 31, 2011

Mencari Damai Abadi : Bab 9




Setibanya dia di bilik, Tina masih belum tidur. Sherry masuk dan meletakkan bungkusan kain telekung pemberian dari Kak Senah di atas tilam. Sebelum duduk di atas katilnya, dia mendekati Tina yang seakan leka menatap majalah hiburan di tangannya. “Nak kuih?” tanyanya sambil meletakkan bungkusan kuih di tepi Tina.

“Kuih?” Tina kehairanan. “Pergi surau dapat makan kuih?” tanya Tina pula.

Sherry mengangguk sahaja. Dia berpaling dan naik ke atas katilnya. Tanpa berlengah, dia merebahkan kepalanya ke atas bantal. Kini, dia mula terasa penat. Pergelangan tangannya sengal-sengal kerana membantu Kak Senah membuat kuih selut petang tadi. Sekarang, ditambah pula dengan rasa mengantuk yang amat sangat dia jadi tak berminat untuk bercakap banyak dengan Tina. Dengan sekejap saja, fikirannya sudah terawang-awang.

“Macam mana? Best?”

Dia menoleh ke arah Tina. Dia hampir sahaja terlelap apabila dikejutkan semula oleh pertanyaan itu. Best? Macam mana nak dijawab ya? Dia tak pasti. “Best,” jawabnya perlahan.

Tanpa rela, wajah Azmi terbayang di matanya pula. Dia tidak kesal langsung menghadiri majlis agama itu kerana di situlah dia dapat melihat Azmi dari sudut yang lain. Setiap perlakuan pemuda itu, setiap tutur katanya kepada orang lain, bagaikan angin sejuk yang mendamaikan hatinya. Dan dia tahu, bukan dia saja yang merasakan begitu. Dia yakin senyuman Khadijah juga penuh makna yang tersirat. Tapi, dia tak peduli. Dia tak pernah gagal mendapatkan apa yang dia mahu.

“Jadi, esok nak balik tak?”

Dia menoleh sekali lagi. Pertanyaan Tina itu terasa seperti ada yang tak kena. “Kenapa tanya macam tu?”

“Manalah tahu, kalau kau nak tinggal terus kat sini,” balas Tina selamba.

Dia merenung Tina lama-lama. Tidak ada apa yang berubah dengan wajah Tina. Wajah cantik tanpa sebiji jerawat pun di kulit muka itu tetap juga sama. Tapi kenapa nadanya terlalu sinis? “Belum lagi. Aku kena balik dulu,”jawabnya geram.

“Kenapa tak buat akad nikah saja tadi?” Tina terus memperli.

Hati Sherry panas terbakar. Sakitnya tak terkata. Dia sedar Tina tak berpuas hati dengan sikapnya sejak petang tadi tapi kenapa harus dipersoalkan? Bukankah itu hak dia? Ikut suka dialah nak buat apapun. “Kenapa mesti marah sangat? Aku bukan pinjam kaki kau pun.”

“Memang aku marah,”balas Tina dengan cepat sekali. Majalah yang dibaca dicampak ke kepala katil.

“Apa yang kau marahkan? Aku pergi surau je. Kau tinggalkan aku tu, boleh pula?”

Tina tidak terus menjawab kali ini. Dia hanya termenung memandang siling tapi di wajahnya bagai lahar yang termuntah dari gunung berapi. Bila-bila masa sahaja boleh membakar hangus billik itu.

Sherry kebingungan. Dia tak faham kenapa Tina bagaikan marah sangat. Dia pergi bukannya lama sangat kalau hendak dikatakan bosan. Jika bosan sekalipun, Tina pasti sudah ke Lahaina bergaul dengan kawan-kawan barunya di sana. Tapi tidak pula, Tina pergi. Dia hairan. Adakah sesuatu telah berlaku yang dia tak tahu?

“Aku tak suka, tahu tak?” bentak Tina, dengan tak diduga.

“Tak suka apa?”

Tina tak menoleh sedikit pun ke arah Sherry. “Aku tak sukalah kau bergaul dengan budak kampung tu.”

Sherry terkelip-kelip memandang Tina. Hilang sudah rasa mengantuk yang bergayut di kelopak matanya tadi. Tak suka? Kenapa pula Tina tak suka? Dan yang paling pentingnya adalah apa perlunya dia peduli sama ada Tina suka atau tak dengan perlakuannya. Dia punya sukalah. “Okey, sorry kalau kau tak suka tapi setahu aku, aku punya sukalah nak kawan dengan sesiapa pun.”

Tina berdengus. Dia bangun dari katil lalu menyambar beg dompetnya dan keluar dari bilik itu. Pintu dihempaskan kuat-kuat.

Sherry tersentak. Fikirannya bingung sekejap. Kenapa Tina marah sangat?Apa yang dia tak faham?

****
Azmi mengunci pintu kedainya baik-baik. Rumahnya boleh dimasuki dari dua arah. Kalau tak dari arah depan kedai, tentu dari arah belakang rumah. Jika masuk dari arah depan, dia perlu melalui ruang kedai yang sempit sebelum sampai ke ruang belakang yang dijadikan rumahnya. Setelah memastikan keadaan kedainya baik, dia melangkah ke belakang. Dia hanya mahu duduk dan bertenang. Debar di dadanya masih tak keruan.

Setelah menyangkutkan songkok hitamnya di tepi dinding, dia duduk di atas bangku kayu. Dia menghela nafas panjang-panjang sambil merenung kegelapan di hujung ruang itu. Dia masih bingung dan tak faham apa yang telah berlaku. Kehadiran Sherry di surau amat mengejutkan dia.

Dia menoleh pula ke arah meja kayu di hadapannya. Dalam remang cahaya pelita, dia melihat komputer ribanya tergeletak lesu. Lalu terlintas sejenak di fikirannya untuk mengalihkan perhatian ke dada manuskrip yang belum banyak terusik. Namun setelah komputer ribanya dibuka, dia hanya termenung menatap skrin yang putih. Segala rasa terujanya terus hilang.

Dia menggaru kepala. Dari kepala, jarinya merayap hingga ke dahinya yang mula berdenyut. Pandangan matanya masih lagi menatapi skrin, membaca baris demi baris ayat yang telah dilakarkan di situ pagi tadi. Ya, baru pagi tadi dia menulis sebelum Sherry datang menganggu.

Sherry…kenapa mesti nama itu yang disebut oleh hatinya? Dan kenapa nama itu seolah tak mahu pergi jauh? Malah bukan saja nama, kini wajah gadis itu yang berkelubung kain telekung putih seolah melekat kuat di matanya. Masih terbayang-bayang, seraut wajah bersih yang mencuri tumpuannya tadi. Dia resah. Apakah yang sedang melanda dirinya? Belum pernah dirasakan seperti itu. Ya, Tuhan…dia merintih.

Skrin yang ditatapinya seakan kosong. Bait-bait ayat yang sudah tertera seakan tak bermakna. Fikirannya bukan ke situ, tapi entah ke mana. Getaran jantungnya juga tak lagi seirama dan sekata. Kini rasa amarahnya mula menguasai, dia jadi benci kepada kelemahan diri.

Perlukah dia mengingati seorang gadis sebegitu cara? Fikirnya kini. Bukankah semuanya langsung tak memberi makna? Bukankah segalanya akan berakhir di hujung jeti petang esok? Oleh itu, dia harus membenamkan perasaannya yang tergoda oleh rasa dan nafsu. Dia harus membuang ingatan itu jauh-jauh. Tetapi itulah hasutan syaitan, fikirnya pula. Jika dia mengharapkan balasan, maka itu bukan cinta kerana Tuhan namanya. Itu cinta kerana mengharapkan balasan yang setimpal, akalnya menunjuk jalan. Akhirnya dia termenung sendiri.

Biarlah, dia sahaja yang mengingati gadis itu dalam diam. Dia yakin, pertemuan itu ada hikmah di sebaliknya. Ketentuan Tuhan tak pernah sia-sia. Cuma inilah kali pertama, fikirannya terganggu dan hatinya berkocak. Tapi, dia segera sedar diri. Perasaan itu takkan ke mana, seolah ribut yang membadai. Habis dayanya, laut kan tenang semula. Dia beristighfar, memohon ampun, jika apa yang melintas di hati itu cuma rasa yang bertunjang nafsu. Komputer ribanya ditutup semula, dia menuju ke bilik air untuk bersolat sunat. Moga-moga badai di hatinya segera berlalu.

*****
Pagi yang cerah tiba lagi. Sejak Subuh beredar, langit biru menabiri alam bagai tak ada hujungnya. Angin yang bertiup dari laut menderu-deru datang ke pantai membawa khabar resah sang perantau. Dan di tepi pantai yang sama, duduk seorang anak muda yang leka merenung lukisan alam sambil melontar batu tanpa jemu. Sesekali kelihatan dia beresah-resah sendirian.

“Mi, dah minum?” tegur Kak Senah.

Azmi menoleh. Dia tersenyum sebaik terpandang saja wajah Kak Senah yang datang bersama bakul ikan ke tempat dia duduk mengambil angin pagi. “Belum, kak. Belum balik ke rumah pun,” jawabnya jujur.

“Dari surau ni? Kenapa duduk termenung di sini pula? Akak ada hantar kuih tadi, agaknya ada lagi di depan tingkap tu.”

“Tak apalah, kak. Nanti balik, saya makanlah.”

“Tak payahlah risau, kalau jodoh tak ke mana.”

Azmi berpaling. Kata-kata Kak Senah itu membuat darahnya berderau. Apa maksud Kak Senah? Tapi tak tersebut oleh mulutnya untuk bertanya. Malu. Dia hanya mampu tersenyum.

“Mi, kalau itu yang Mi mahu, berdoalah semoga dia yang ditakdirkan jadi jodoh,” pujuk Kak Senah sambil duduk di sebelah Azmi tapi membelakangkan laut. “Akak dah buat apa yang termampu.”

Azmi menghela nafas. Kata-kata Kak Senah itu tak mampu dibantah. Cuma dia sedang bergelut antara rasa mahu dan sedar diri. “Tak apalah, kak. Saya bukanlah pilihan yang terbaik.”

“Itu akak tak tahulah. Biarlah dia yang buat pilihan kan. Jangan fikir orang perempuan ni semuanya pandang harta saja. Ada perkara dalam hati perempuan yang orang lelaki tak tahu,” balas Kak Senah seraya mengangkat punggung dari batu yang didudukinya tadi.

Azmi hanya mengangguk. Memang dia tak faham apa yang ada dalam hati Sherry. Buat apa gadis itu bersusah-payah datang ke rumah Kak Senah membantu buat kuih? Buat apa pula gadis itu ikut ke surau mendengar ceramah tok imam selepas itu? Semuanya tak masuk akal jika tak bersebab. Tak pernah dibuatnya pelancong datang ke surau malam-malam, selalunya paling jauh pun mereka hanya sampai ke kedai dia membeli pelampung. Itupun, berkira macam apa.

“Akak nak ke perahu, nak beli ikan. Mi, nak makan apa?”

“Tak kisahlah, kak.”

“Tengah hari nanti, datang makan di rumah. Kita ada tetamu.” Kak Senah beransur pergi.

“Tetamu? Siapa yang datang kak?”

“Siapa lagi?” Kak Senah tersenyum lebar sebelum melangkah makin jauh.

Azmi hanya dapat memandang. Dia tahu Kak Senah sengaja mengaturkan segalanya tapi tak mungkin Kak Senah dan Abang Osman berani berbuat sesuatu tanpa sebab? Dahinya berkerut, dia tersedar sesuatu. Nampak sangat ke yang dia sudah terpikat? Dia tak dapat menahan diri kali ini, senyumannya melebar.

****
“Bot pukul berapa?” tanya Tina yang baru bangun tidur. Malam tadi, dia melalak di Lahaina sampai pukul 3.00 pagi. Sekarang kepalanya macam tumbuh tiga tanduk, sakit.

Sherry bangun dari katil dan melipat semula selimut yang dipakai. Barang-barangnya sudah siap disusun di tepi katil. “Ikut jadual, pukul 3.00 petang. Tapi ni baru pukul 11.00 pagi. Bangunlah berkemas.” Walau perasaannya masih terbuku dalam hati, namun dia rasa malas untuk bertekak atau bermasam muka dengan Tina pagi itu. Dia percaya, lambat-laun Tina pasti akan sejuk semula selepas marah-marah malam tadi.

Tina menggeliat sesuka hati. Sambil terhoyong-hayang dia masuk ke dalam bilik air untuk memncuci muka. Sekejap sahaja dia sudah keluar semula sambil mencapai roti manis yang sempat dibeli dari kedai Azmi semalam. Dia termenung memandang laut, sambil mengunyah roti manis perlahan-lahan. Entah apa yang difikirkan, Sherry tak pasti.

“Tengah hari ni…Kak Senah ajak kita ke rumahnya sekejap.”

Tina cepat-cepat berpaling. Renungan matanya seolah tak percaya dengan apa yang dia dengar. “Nak buat apa?” Dahinya berkerut rapat, hingga keningnya hampir bercantum jadi satu.

“Dia ajak kita makan tengah hari di rumah dia,”balas Sherry. Renungan Tina tidak dipedulikan saja. Lantak kaulah, Tina, kata hatinya. Dia cuma menyampaikan ajakan orang, mahu atau tak, bukan urusan dia. Dia pun tak memaksa jika Tina tak mahu ikut serta.

Tina diam sahaja. Dia kembali merenung laut lepas bagai sedang berfikir jauh. “Azmi? Dia ada?”

Sherry tersentak. Dia mengangkat bahu tanda tak pasti. Sememangnya, hanya Kak Senah yang menjemput malam tadi. Tapi jika ada Azmi, itu lebih bagus. Dapat juga dia menatap wajah itu sebelum dia berangkat balik. Tanpa sedar, dia termenung di birai katil. Perasaannya jadi pilu.

Setiap kali jarum jam berdetik, semakin berat hatinya terasa. Dalam pilu, hatinya membadai kencang. Tak perlu dinafikan yang hatinya amat berat untuk dia meninggalkan pulau itu. Mungkinkah semuanya berpunca dari Azmi? Dia rasa semuanya berlaku terlalu cepat, seolah hanya sempat melihat mutiara hitam itu sekali imbas dan bukan memilikinya. Tapi apakan daya dia? Tempatnya bukan di situ, tapi di sana.

“Alright…kita pergi sana. Lepas tu, bolehlah kita beli ikan masin bawa balik,”kata Tina seraya bangun dari kerusi dan menarik keluar beg pakaiannya.

Sherry terasa kulit mukanya panas. Dirinya rasa tersindir. Tapi mungkin juga Tina tak bermaksud begitu. Sangkaan itu ditepis jauh-jauh.

Setelah semua barang-barangnya siap dikemaskan, dia keluar ke beranda merenung laut lepas. Dia sedar yang dia akan merindui segala-galanya. Dari laut biru, pantai putih, ombak kecil dan batu besar. Dari penduduk kampung yang peramah hingga kepada Azmi yang mencuri perhatiannya. Dia rasa tak berdaya, dia telah rindu sebelum jauh dari situ.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.