Saturday, December 25, 2010

Mencari Damai Abadi : Bab 5


Abang Osman membasuh tangan. Sekeping biskut Marie diambil dari piring dan dicelup ke dalam air teh di hadapannya. Sambil mengunyah biskut Marie yang separuh lembik, dia melemparkan pandangan ke arah laut yang tampak berbalam-balam. Di fikirannya masih terlekat amanah yang belum disampaikan, selagi tak diluahkan selagi itu hatinya tak tenang. Namun untuk meluahkannya juga bukan senang. Dia tersepit. “Betul ke novel tu? Banyak tadi abang nampak novel baru, macam-macam tajuk,” katanya sambil mengemaskan sila.

Azmi ketawa. “Tak apalah, bang. Mana-mana novel pun sama je. Ada bagus dan ada lemahnya. Tak ada yang sempurna.”

Abang Osman terangguk-angguk senang. “Macam mana keadaan tok imam kita? Dah baik?”tanyanya pula sambil menjeling ke wajah Azmi yang kini tunduk membaca novel ‘Cinta Jadian.’

“Tadi belum lagi. Harap-harap esok kebahlah tu,” balas Azmi dengan ringkas. Matanya masih ralit menatap baris demi baris ayat yang tersusun di situ.

“Di bandar tadi, abang jumpa Pak Andak Kahar.”

Senyap. Tak ada langsung jawapan yang keluar dari mulut Azmi. Nafas Abang Osman pun menjadi sesak. Dia tahu, Azmi cukup tak suka apabila soal tanah pusaka yang diwarisinya itu disentuh-sentuh oleh Pak Andak Kahar sepupu dari sebelah arwah ibunya. Tapi dia terpaksa, dia cuma penyampai berita.

“Dia, apa khabar?” Tiba-tiba Azmi bertanya.

“Sihat, tapi macam biasalah kalau jumpa kita, tak ada hal lain yang dia tanya.”

Azmi bergumam perlahan, matanya masih lagi tidak diangkat dari halaman novel yang ditekuni. Bagaikan khusyuk benar.

Abang Osman merenung wajah di hadapannya dalam-dalam. Walau Azmi tak pernah meluahkan isi hatinya, tapi dia dapat rasakan seperti Azmi cuba untuk tidak bersedih dengan nasib dirinya yang sebatang kara sejak kecil. Dia kagumi ketabahan Azmi namun dia juga berasa simpati. “Macam mana?” Ringkas sahaja soalannya, dia tahu Azmi tahu.

Kali ini Azmi berhenti membaca. Novel itu ditutup dan diletakkan di atas lantai di sebelah lutut kanannya. Kini dia duduk menyandarkan bahu ke tiang serambi rumah Abang Osman sambil menghela nafas panjang. “Kenapa dia fikir, saya akan berubah fikiran, bang? Dia bukan tak tahu keputusan saya.”

Abang Osman hanya mampu tersenyum hambar. “Abang pun tak pasti. Dia kata dia dah panggil pegawai projek tengok tanah tu dan mereka bersetuju kerana tapaknya bagus.”

“Projek?” Azmi tertawa sambil tangan kanannya tergaru-garu kaki yang digigit nyamuk.

Melihatkan senyuman dibibir Azmi, Abang Osman ikut ketawa walau dia tahu itu bukan senyuman gembira tapi sekadar gelihati. Apa yang terbenam di lubuk hati Azmi tetap tak terselam dek akalnya. “Mi ada rancangan ke nak buat kat tanah tu?”

Azmi menarik nafas lagi. Dia termenung sambil meraup muka untuk menghilangkan rasa mengantuk yang telah mula ada. Sempat dijeling jam tangannya, sudah hampir ke pukul sebelas malam. “Tak ada, bang. Kenapa?” Kini matanya terkebil-kebil pula memandang wajah Abang Osman untuk menuntut penjelasan.

“Manalah tahu, kalau Mi nak bina rumah kat situ pulak,”jawab Abang Osman.
Azmi tersenyum. “Rumah? Nak buat apa? Kat sini kan dah ada rumah?”

Senyuman di wajah Abang Osman makin melebar. “Manalah tahu, mungkin sudah mahu berumah dan bertangga di sana.”

Azmi menggeleng. “Belum, bang. Tapi tak bermakna saya tak sayangkan tanah tu atau nak jual kepada Pak Andak Kahar.”

“Abang faham, orang tua tu je yang tak faham-faham,”balas Abang Osman cepat.

“Biar sajalah dia. Lama-lama esok dia berhentilah tu,” kata Azmi sambil mengesot arah ke tangga. “Saya balik dululah, bang,” katanya dikuti dengan salam dan melenggang pergi dalam kepekatan malam bersama sebuah novel di tangan.

Abang Osman menghirup baki teh di dalam cawannya. Piring cawannya diletak di atas piring kuih yang sudah kosong, sekosong fikirannya juga waktu itu. Satu hal dah selesai. Pesanan Pak Andak Kahar sudah disampaikan, tanggungjawabnya sudah disempurnakan. Apa hasilnya, dia tak kisah. Itu keputusan Azmi.

*****

Azmi berjalan menyusuri pantai. Sengaja dia memilih untuk memijak pasir yang basah padahal jarak rumah Abang Osman dan kedainya bukanlah jauh sangat. Hanya selang dua buah sahaja. Tapi entah kenapa hatinya terpanggil ke situ malam itu walau tadi matanya sudah berat.

Dari kejauhan, dia terlihat cahaya kecil teroleng-oleng di atas laut. Lampu bot-bot nelayan yang keluar menangkap ikan bagai kunang-kunang yang menari-nari di atas air. Semasa kecil dia pernah menyangkakan itu bintang yang jatuh dari langit, lama kelamaan dia tahu itu hanyalah cahaya kehidupan seorang nelayan.

Seingat dia sejak tiba di itu 23 tahun yang lalu, pulau itu tidak banyak berubah. Walau pernah dilanda ribut dan taufan beberapa kali, namun alah bisa tegal biasa. Pulau di situ tetap begitu-begitu juga. Pokok-pokok kelapa yang rebah akan tumbuh baru, rumah yang roboh,ditegakkan balik. Dia melihat semuanya sejak dibawa ke situ tanpa pilihan.

Langkahnya terhenti di tepi tanjung. Dia memanjat seketul batu yang besar, tempat dia selalu melontar umpan bersama Abang Osman bila lapang. Dia duduk merenung laut lepas yang seolah tak berpenghujung sambil ditemani desiran ombak yang menghempas batu-batuan. Percikan air laut sesekali terkena ke tubuhnya namun dibiarkan sahaja. Hatinya tenang memuji Tuhan yang menciptakan keindahan itu namun ada sudut yang seakan resah gelisah minta dipujuk.

Bukan soal Pak Andak Kahar yang menganggu fikirannya. Bukan juga soal tanah pusaka di tepi jalan besar itu yang meributkan perasaan. Tapi, rasa sunyi yang menghimpit diri akhir-akhir ini yang meresahkan hati. Mungkinkah kerana Abang Osman sudah berkahwin ataupun kerana seorang demi seorang teman bermain sudah merantau jauh? Dia tak pasti. Dalam keasyikannya berfikir, dia terdengar satu bunyi. Dan dia pasti bunyi itu bukan datang dari arah laut.

Dia memasang telinga. Di celah-celah bunyi bunyi ombak yang menghempas pantai ada suara-suara sumbang dan gelak ketawa yang semakin kuat. Dia berpaling. Suara siapa pula di tengah-tengah malam ni? Dari duduk dia berdiri. Dan akhirnya dia melangkah bangun meninggalkan tempat itu. Setelah melangkah kira-kira sepuluh meter ke arah timur tanjung, langkahnya terhenti.

Dalam keremangan suasana, dia terlihat dua orang lelaki bersama seorang perempuan bergurau senda di celah-celah batu. Dia terpempan kehilangan suara.

“Hoi! Ni bukan free show,”bentak satu suara perempuan.

Azmi terkejut dan mahu berpaling. Apa yang dilihat membuat semangatnya tercampak sekejap, dia beristighfar tak putus-putus tapi suara itu seperti dia kenal. Lalu dia menoleh semula. Tina?

****
Azmi tak jadi melangkah. Matanya membesar. Debar di dadanya berkecamuk. Dia tercari-cari seseorang namun akhirnya dia pasti yang hanya ada Tina di situ. Tapi di mana yang seorang lagi? Debarnya tak reda-reda. “Tina, baliklah dah lewat malam ni.” Katanya tanpa dapat ditahan walau dia tahu apa akibatnya menegur tanpa dipinta.

“Hey! Yang engkau nak sibuk hal aku apesal?” balas Tina sambil membetulkan bajunya. Dia menjeling tajam ke arah Azmi. Dua orang lelaki asing yang separuh mabuk turut bangun apabila Tina tiba-tiba berdiri.

“Tak perlu kita bertengkar di hadapan mereka. Awak sendiri tahu apa yang awak buat,”balas Azmi dengan tenang namun jelas.

Tina ketawa mengekek, disambut oleh teman-teman berbangsa asing walau tak faham apa. “Boleh blahlah kau… tunjuk hero konon. Kalau kampung buat cara kampung, jangan nak sibuk hal orang.Pegi la lu…” tempik Tina sambil melangkah pergi dari situ. Tangan kanannya diacung tinggi ke arah Azmi.

Azmi hanya menghela nafas, ini bukan kali pertama dia melihat kejadian serupa itu. Pernah beberapa kali penduduk kampung menangkap dan memberi nasihat kepada pasangan muda-mudi yang cuba berbuat maksiat di situ. Di situ bukan pulau bebas, walau terpencil, ia tetap milik Tuhan. Selagi itu, hukum Tuhan tetap jelas. Dia tak faham, kenapa perkara semudah itupun tidak difahami ramai orang. Seolah-olah jauh dari pandangan manusia maka jauh juga dari dosa pahala.

Langkah Tina dan teman-temannya diiringi dengan pandangan sayu. Dia faham mengapa lelaki-lelaki berbangsa Sweden itu tidak faham tetapi pula gadis seperti Tina pula yang berlebih-lebih? Setelah mereka hilang di dalam kawasan resort, dia berpaling ke arah rumahnya. Sambil melangkah, dia berdoa semoga gadis yang dilihatnya siang tadi sedang nyenyak tidur.

*****
Matahari telah terbit dari Timur. Membawa bersama harapan dan rasa ceria. Dalam syukur menyambut hari baru yang diberikan sebagai rezeki, Azmi duduk di atas sebuah pangkin kayu di bawah sebatang pokok kelapa di tepi laut. Dia suka waktu itu. Sangat-sangat suka. Kerana di waktu itulah fikirannya tenang dan idea seringkali mengalir tanpa henti.

Dia membuka komputer ribanya di atas meja kayu kecil hasil buah tangan dia dan Abang Osman hampir sepuluh tahun yang lalu. Fail draf manuskrip dibuka semula dan dibaca. ‘Ulang baca sekurang-kurangnya satu bab ke belakang untuk mendapatkan feel penceritaan’, bagai terdengar-dengar suara seniornya dulu semasa di kolej. Seorang novelis yang sudah menulis banyak novel. Sedangkan dia pada waktu itu masih terkial-kial dengan seribu satu soalan. Hari ini, dia mengakui kebenarannya, lalu dia menumpukan fikiran untuk membaca satu bab yang terdahulu. Setelah selesai, dia mula menyambung cerita.

Satu demi satu mata kekunci disentuh, satu demi satu huruf terbentuk menjadi perkataan. Adakala dirasakan semuanya terlalu mudah sehinggalah tak lagi indah. Adakalanya dirasakan apa yang ditaip hanya bebelan kosong tanpa isi. Siapa yang nak baca bebelan manusia lain? Tidak cukuplah segala bebelan yang mereka terima di mana-mana? Dia mengeluh sendiri. Drama! Drama! Suara seniornya terulang semula. Dia menggaru kepala.

“Buat apa tu? Ada internet ke kat sini?”

Azmi tersentak. Betul ke ada suara perempuan yang bercakap dengannya? Dia berpaling ke sebalah kanan dan anak matanya terus saja membesar. Dia? Dia terpusing-pusing, tidak ada orang lain di situ selain gadis itu.

Dia menoleh ke pantai. Tidak jauh dari tempat duduknya itu, dia terpandang Abang Osman, Kak Senah dan beberapa orang penduduk kampung sedang berbual-bual. Darahnya yang gemuruh mula tenang semula. Kenapa pula dia ni ada di sini?

“Aku ganggu ke? Sorry, aku jalan-jalan pagi ni. Boring kat bilik sesorang,” sambung Sherry sambil melangkah makin dekat. Dan tanpa dipelawa terus duduk di pangkin di hadapan Azmi.

Mulut Azmi separuh terbuka tapi otaknya segera tahu. Gadis sebegitu memang tak ada sempadan dan tak payah diajak. Mungkin dia betul-betul bosan, fikirnya. “Di sini tak ada line. Kalau nak pakai internet kena pergi ke Pulau Mayang,” balasnya setenang yang mungkin. Dia sendiri tak faham, mengapa hatinya bergetar apabila melihat gadis di hadapannya itu.

“Teruk kan pulau ni? Tak ada signal telefon, tak ada line internet,”sambung Sherry lagi dengan wajah yang tak bersalah.

Terasa panas juga muka Azmi tapi dia faham apa yang orang luar fikir dan dia tak pernah menyalahkan mereka. “Memang teruk bagi yang tak boleh hidup tanpa kedua perkara itu,” balasnya.

“Habis tu… apa yang kau tulis?”

“Saya cuba tulis novel,” terluncur laju jawapan itu dari mulutnya. Ah! Menyesal pun ada. Kenapalah dia terlalu berterus-terang? Bukan semua orang boleh menerima idea tersebut dan dia hanya menunggu serangan balas.

“Novel? Macam ni?” tanya Sherry lagi sambil menunjukkan novel yang dipegang.

Azmi menjeling. Novel karya Chuck Hoggan itu nampak begitu tebal di matanya. Novel berbahasa Inggeris itu membuat nafasnya sesak seketika. Apalah hendak dibandingkan dengan novel bestseller seluruh dunia itu dengan draf manuskripnya yang pertama. Bagai api dengan air. Tak serupa langsung. “Saya cuma tulis novel biasa-biasa saja.”

Sherry mengangguk, air mukanya kebingungan. “Novel cinta? Kalau novel Melayu je, mesti novel cinta.”

“Novel Barat pun banyak novel cinta,”balas Azmi.

“Betul, tapi novel Melayu membosankan.Balik-balik cerita yang sama,”tempelak Sherry dengan pantas.

“Berapa banyak yang awak dah baca? Tentu awak peminat novel Melayu jugakan?”

Sherry terkelip-kelip. Lambat-lambat dia menjawab, “Aku tak baca novel Melayu,” jawabnya sambil menggeleng kepala.

“Kalau tak baca, mana awak tahu isi ceritanya sama? Klise atau stereotaip?”

Kali ini Sherry langsung terdiam dan Azmi tak memandang wajahnya langsung. Walau terbit rasa bersalah namun dia tak dapat menahan diri dari melontarkan persoalan.

“Engkau ni pejuang novel Melayulah ya?” tanya Sherry lagi. “Novel Melayu takkan ke mana. Tak usahkan ke luar negara, ke hujung negara sendiri pun tak tentu sampai.”

Azmi tersenyum. “Kalau nak ke Pulau Damai, naiklah bot yang betul.”

Gadis itu menggaru kepala tanda tak faham. “Engkau belajar dari mana tulis-tulis ni? Atau kau pakai hentam je?”

“Saya tak ada pendidikn formal dalam bidang ini. Tak pernah ambil kursus penulisan kreatif pun tapi kata senior saya, yang pentingnya ada keberanian untuk menulis.”

Gadis itu mencebik. “Lagi satu buku yang akan berlambak di rak-rak kedai buku.”

“Kenapa awak terlalu prejudis terhadap novel-novel Melayu? Apa yang novel Melayu dah buat pada awak?”

Sherry mengeluh. “Peninglah kepala aku pagi-pagi ni. Dahlah kawan aku pagi-pagi lagi dah hilang,”rungutnya tak semena-mena sambil melemparkan pandangan ke arah laut pula.

Azmi menjeling sekilas. Bukan niatnya mahu menyesakkan ruang fikir gadis itu tapi dia hanya ingin tahu. “Dia balik ke bilik malam tadi?”

Sherry mengangkat bahu. “Kenapa kau tanya? Kau nampak dia pagi ni?” Dia merenung muka Azmi pula.

Azmi menggeleng lemah. Apa yang ditaip pun entah apa-apa sekarang, fikirannya melayang-layang. “Malam tadi saya jumpa dia di tanjung dengan dua orang pelancong Sweden. Saya suruh dia balik, tapi tak tahulah dia ke mana.”

Mata Sherry membesar. Riak wajahnya serba-salah dan akhirnya dia hanya mendiamkan diri.

“Saya bukan nak campur hal tepi kain awak berdua tapi ke mana pun kita pergi, kita tetap berpijak di bumi Tuhan. Bukan bermakna jauh dari mak ayah, jauh juga dari tanggungjawab dan dosa pahala.”

Sherry menghela nafas. “Aku ke sini untuk berehat tapi apa yang kawan aku buat tak ada kena-mengena dengan aku. Jangan pakai pukul rata saja.”

“Ya, saya minta maaf kalau buat awak tersinggung. Saya sekadar mengingatkan.”

Muka Sherry merah padam. “Well, nama aku Sherry. Nama kau?”katanya sambil menghulurkan tangan.

Azmi tersenyum tawar. Huluran salam itu ditolak dengan baik. “Nama saya Azmi,” katanya sambil mematikan komputer ribanya. Dan matahari pagi pun semakin tinggi.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.