Friday, December 10, 2010

Mencari Damai Abadi : Bab 1




Pulau Damai

Orang kata dia bertuah. Orang kata dia bernasib baik. Benar atau tidak, dia menerimanya sebagai doa yang baik-baik. Sememangnya dia berasa amat bertuah sekali kerana takdir Tuhan melontarkan dia ke Pulau Damai. Pulau yang terpencil, indah dan menghidangkan kedamaian yang diperlukan dalam hidupnya. Walau sesekali dalam setahun kedamaian itu hilang juga.

Di bawah sebatang pokok kelapa yang condong ke laut, dia duduk menaip sesuatu. Dengan beralaskan sebatang pokok kelapa yang tumbang sejak sebulan yang lalu, dia amat khusyuk. Cuma sesekali dia berhenti dan mengangkat muka memandang laut lepas yang membiru. Dia mencari ilham.

Angin petang yang berpuput lembut, melengkapkan keasyikannya mengarang cerita. Nasibnya baik apabila komputer riba buruknya masih boleh berfungsi. Dia sememangnya tak memerlukan apa-apa lagi waktu itu, selain ilham dan ketenangan. Namun nampaknya, keasyikannya terganggu apabila ada suara yang menegurnya dengan tiba-tiba.

“Azmi, kamu belum balik?” tanya satu suara yang datang dari arah belakang. Derap tapaknya yang terbenam sedikit di dalam pasir kering mengiringi kehadirannya di bawah pokok kelapa itu.

“Belum, bang. Nak siapkan lagi sikit ni,” jawabnya tanpa mengalihkan muka walau sedikit. Dia sedang cuba menaip selaju mungkin agar ilham yang datang tadi tidak hilang dibawa angin.

“Dah banyak tulis?”

“Baru masuk mukasurat 97, bang. Banyak lagi ni,” jawab Azmi sambil menggeleng.

“Perlahan-lahanlah, bukannya nak disiapkan dalam satu hari.” Abang Osman memanjangkan langkah dan duduk di sebelahnya.

Azmi cuma mengangguk. Memang benar kata-kata Abang Osman, sepupunya itu. Tetapi dia tak mahu berlengah lagi setelah sekian lama menghimpun keberanian untuk menulis sebuah manuskrip. Dan dia tak mahu tewas lagi oleh seribu satu keraguan.

“Mi tulis cerita tentang apa?”

Serta-merta muka Azmi yang sawo matang itu bertukar merah. Dia menggeleng, terasa darahnya menderu naik ke muka. Niatnya hanya mencuba nasib sebagai pengarang novel walau dia sedar halangannya menggunung. Jadi, selagi dia belum berjaya biarlah cerita itu akan tetap menjadi rahsia.

Abang Osman hanya ketawa melihatkan tindakbalas Azmi. Dia segera tahu Azmi malu untuk berkongsi. “Abang nak ke tanah besar, esok. Kamu nak kirim apa-apa?” Abang Osman yang duduk bersebelahan merenungnya lama-lama. “Atau kamu boleh ikut saja, abang. Kamu pun dah lama tak ke tanah besar.”

Azmi mengerling sekilas. Dia faham apa maksudnya kata-kata Abang Osman itu. Cuma dia selalu berasa berat hati mahu ke sana. Kalau bukan sekadar untuk menziarahi pusara kedua ibubapanya dan abang-abangnya, lebih baiklah dia di situ. Di sana hanya ada kesedihan. “Tak apalah, bang. Abang pergi sajalah. Kalau kita dua-dua pergi, siapa pula yang nak jaga kedai?”

“Kak Senah kan ada. Sesekali kamu patut berubah tempat, Mi. Sejak kamu balik semula ke sini, abang tengok kamu jarang sangat keluar ke mana-mana. Ke Pulau Mayang pun kamu jarang pergi.”

“Tak ada keperluan, bang,” jawabnya pendek. Dia tunduk semula menghayati ayat-ayat yang telah ditaip.

Memang tak ada keperluan langsung untuk dia ke Pulau Mayang yang terletak hanya setengah jam dengan menaiki bot. Berbanding Pulau Mayang, Pulau Damai lebih kecil dan terpencil. Luasnya hanya lebih kurang 50 hektar. Pulau Mayang pula lebih luas dan lebih terkenal sebagai pulau peranginan. Pulau Damai pula hanya terkenal di kalangan para penyelam dan pelancong yang tahu tentang kewujudan pulau itu. Sayangnya Pulau Damai terletak lebih ke depan daripada Pulau Mayang, menghala ke Laut China Selatan, maka jika berlaku ribut taufan, Pulau Damai yang akan dilanda dahulu.

“Kamu patut menikmati masa muda kau, Mi,”pujuk Abang Osman lagi. Bagai ada kekesalan yang terdampar di hatinya.

Azmi mengeluh. Fail manuskripnya disimpan ke dalam sebuah folder. Ilhamnya sudah entah ke mana. Hanyut bersama fikirannya yang terganggu. “Dengan berpoya-poya di parti-parti tepi laut?” tanyanya balik. Terbayang-bayang di matanya pergaulan bebas yang berleluasa di resort-resort yang terletak di Pulau Mayang. Arak tak ubah seperti air sejuk, dihidang dan diteguk tanpa segan silu. Dan dia jauh dari rasa mahu ikut serta.

“Tak semestinya macam tu, Mi. Tapi sekurang-kurangnya…”

“Apa yang abang risaukan sangat ni? Cuba cakap.” Dia tersenyum. Dia tahu Abang Osman tak pernah berniat serong kepada dia. Dia dan Abang Osman walau hanya sepupu tetapi dibesarkan bersama-sama sejak kecil. Ikan masak singgang yang Abang Osman makan hari-hari, itulah juga yang membesarkan dia. Bau hanyir ikan kering yang Abang Osman hidu setiap hari, itulah juga yang memenuhi relung dadanya sekian lama.

“Kamu tak pernah fikir ke soal kahwin? Kamu tak ada kawan perempuan?”

“Kalau ada, mengapa?”

Abang Osman tersengih. “Bolehlah abang dan Kak Senah pinangkan.” Dia menyenggol bahu Azmi.

“Tak ada, bang. Siapalah yang nakkan saya ni? Harta tak ada, pelajaran kurang.”

“Kalau ada, macam mana?”

Azmi tersenyum. Matanya merenung Laut China Selatan yang tak jemu-jemu dipandang. Kali ini dia tidak mencari ilham, dia mencari kekuatan. Kekuatan untuk mempercayai bahawa dia sebertuah itu untuk mendapat seorang gadis yang sanggup menerima dirinya seadanya. Mungkinkah benar kata orang, dia memang bertuah?

****

Pulau Mayang

Sherry menendang-nendang air laut yang datang mencumbui kakinya yang tidak beralas. Sesekali dia berlari ke laut mengejar ombak yang bergerak jauh. Sesekali juga dia berlari ke pantai, apabila ombak yang datang itu lebih besar dari yang disangkakan. Dia jadi leka di situ, sambil menyusuri pantai yang memutih di pinggiran Resort AngsaMas. Sedar tak sedar, dia sudah semakin jauh dari resort yang ditumpanginya.

“Wei…dah jauh ni. Jom patah balik,” tegur Tina, gadis putih melepak seiras anak gadis berbangsa Cina. Rambutnya yang terlerai dibahu kini dibelai angin lalu bermain-main di mukanya yang bujur sireh.

Langkah Sherry langsung terhenti dek teguran Tina. Jika bukan kerana teguran itu, dia sudah pasti akan terus menyusuri pantai putih itu selama-lamanya. “Dah pukul berapa?” Dia menoleh ke arah Tina yang sedang leka memerhati anak-anak ikan di celah batu. Baru tersedar tangan kanannya hanya terhias seutas gelang mutiara tanpa jam tangan.

“Dah dekat pukul 7.00 malam. Kau nak jalan lagi ke? Aku dah penat ni, badan pun melekit-lekit semacam,” rungut Tina lagi.

“Kita makan dululah, esok pagi dah nak ke sanakan?” tanya Sherry semula. “Kita dah confirm ke dapat bot esok?”

“Aku dah confirmkan dengan pekerja resort tu, esok pagi mereka suruh kita standby di depan resort pukul 9.00 pagi. Ada bot dari Pulau Damai akan ambil kita, ” jawab Tina.

“Berapa jam ke sana?”

“Setengah jam je, resort di sana pun aku dah confirmkan,” sambung Tina lagi sambil berdiri di atas batu. Sememangnya dialah yang mengaturkan percutian itu sejak dua bulan yang lalu. Sudah lama dia mahu ke Pulau Damai yang sering disebut-sebut oleh rakan-rakan lelakinya. Dia nak ikut mereka, tapi mereka tak nak bawa dia. Jadi, terpaksalah dia ajak Sherry. Bukan ajak sebenarnya, tapi paksa.

“Okey, malam ni kita tidur awal sikit. Cuti-cuti juga tapi jangan tak bangun pulak,” sindir Sherry.

Tina yang terasa diperli segera membalas. “Kitakan bercuti? Bagi can lah aku tidur lama sikit. Kalau tak tu, setiap pagi kena bangun awal dan masuk ofis.”

“Kau ni kan, tak habis-habis bersungutlah,” balas Sherry. Dia melangkah semula ke arah Resort AngsaMas yang nampak kecil saja dari tempatnya mula melangkah. Kini mula terasa langkahnya semakin berat, bagaikan terbenam di dalam pasir yang basah. Mungkin kerana sudah mula terasa letih, yang dekat pun, nampak jauh.

Tina tersentak, air mukanya berubah. Dia mengejar dan menarik lengan Sherry. Akhirnya mereka berjalan bergandingan sambil menikmati udara petang yang mula menyambut senja. Sesekali dia tersenyum kepada pemuda-pemuda yang masih asyik bermain bola pantai. Siulan dan sapaan mereka hanya dibalas dengan senyuman manis.

“Aduh!” Tiba-tiba Sherry terjengket-jengket dan akhirnya mengangkat kaki kanannya ke atas. Ibu jarinya merah dan berdarah, kuku ibu jarinya terjongket sedikit, dia jadi ngeri sendiri. Serentak itu juga rasa pedih mula terasa berlari-lari di setiap urat saraf.

“Mata ke mana kak oi?” sindir Tina pula. Puas, kerana dapat membalas sikap Sherry tadi. Kini dia turut berhenti sambil melihat keadaan Sherry yang hampir hendak menangis. “Dia orang pun satulah, kenapa dibiarkan tunggul ni tercongok kat tepi pantai ni?” tanyanya pula walau dia tahu Sherry bukanlah tempat bertanya yang sepatutnya.

Dia turut membongkok melihat ibu jari Sherry yang masih bengkak. Rasa ngeri turut menjalar di hatinya apabila terpandang kuku Sherry yang diselaputi darah. Terbit rasa bimbang. “Boleh jalan tak? Kalau tak boleh, aku panggilkan abang-abang tu untuk dukung kau.”

“Cakap sajalah nak berkenalan dengan mereka tu, tak payahlah jadikan aku alasan,” balas Sherry sambil cuba memakai seliparnya semula. Rasa pedih di hujung jari kakinya ditahan sahaja. Namun tetap terasa kesal, bagaimana dia boleh begitu cuai tidak terpandangkan tunggul kecil yang hampir terbenam di dalam pasir. Mungkin kerana hari yang semakin gelap, tunggul hitam itu difikirkan plastik hanyut semata.

“Boleh tak pergi esok ni? Kalau tak boleh, aku kena batalkan tempahan tu.”

Sherry membisu. Darah yang mengalir dari ibu jarinya kini menitik ke pasir. Terserap perlahan-lahan lalu bersemadi di situ. Ibu jari kakinya yang tadi pedih, kini mula berdenyut-denyut. Seperti hatinya yang tadi riang kini berubah walang. Namun kesedihan yang terpancar di wajah Tina lebih menyakitkan hatinya daripada itu.

****

Pulau Damai

“Ni saja ke barang-barang yang kita kena tambah?”tanya Abang Osman sambil membaca senarai barang yang diberikan Azmi pagi itu. Cuma ada lima jenis barang yang tertulis termasuk, beras, garam dan gula. “Pelampung tak nak tambah?” Abang Osman memerhati pula pelampung pelbagai bentuk dan warna yang sedang digantung oleh Azmi di hadapan kedai mereka.

“Tak payahlah, bang. Yang ada ni pun tak banyak luaknya. Sekarang dah jarang oarang bawa budak-budak ke sini.”

“Kalau macam tu, tak apalah. Tak nak beli banyak sikit ke? Nanti bila musim ombak besar, susah dah kita nak ke seberang.”

“Tak payah. Musim tengkujuh lambat lagi. Sempatlah lagi abang minum teh di seberang beberapa kali.”

Abang Osman tersengih. Sesekali duduk minum teh dan mencicah roti canai di jeti seberang, apa salahnya? “Kamu tak nak ke, kirim baju atau seluar? Baju kamu ni dah lama tak berganti-ganti,” omel Abang Osman sambil menarik baju-T yang sedang dipakai Azmi.

Azmi ketawa. “Dari beli baju saya baik abang fikirkan baju Kak Senah tu. Makin lama perutnya makin besar, bang. Belilah baju baru sehelai dua. Baru anak dalam perut tu gembira.”

“Mak yang pakai, anak yang genbira?” Abang Osman ketawa.

“Kalau mak dia gembira, anak dalam perut pun gembira dan membesar dengan baik. Bila keluar nanti, dia kurang nangis, bang. Ketawaaa…je,” balas Azmi. Dia sendiri pun tak pasti sama ada itu betul atau salah tetapi dia pernah terbaca di dalam majalah bahawa emosi ibu yang mengandung akan sampai kepada anak yang sedang dikandung.

“Kalau begitu cakap kamu, nantilah abang tengok-tengokkan dekat bandar. Betul ni kau tak nak kirim apa-apa?” Abang Osman tak berganjak lagi dari situ.

Akhirnya Azmi mengalah, kalau dia tak mengirim sesuatu, macam berat benar Abang Osman hendak meninggalkan mereka. “Nah! Duit ni, abang belikan saya novel ya.” Dua keping not merah dihulurkan ke tangan Abang Osman.

Dahi Abang Osman berkerut. “Tajuk apa?” Duit yang dihulur ditolak baik-baik. “Abang, kalau masuk ke kedai buku, naik rambang mata jadinya. Beribu-ribu buku, entah mana satu yang nak dibeli.”

“Senang saja, bang. Abang tanya kat pekedai tu, yang mana satu novel keluaran terbaru, yang itulah abang beli. Tapi beli sebuah sajalah, jangan borong pulak.”

Abang Osman mengangguk, kali ini baru dia melangkah pergi dengan senang hati.

Azmi ikut sama untuk menghantar Abang Osman ke jeti. Di pulau itu, itulah satu-satunya jeti tempat bot nelayan dan bot pelancong mendarat. Seingat dia, sejak kecil lagi jeti itu sudah beberapa kali dibina semula dan kini jeti itu semakin panjang dan semakin cantik binaannya sejak ditaja oleh pihak pengurusan Resort Abadi, satu-satunya resort persendirian yang ada di pulau itu.

“Dulu, kita selalu terjun kat sini kan?” tanya Abang Osman. Semakin jauh dia melangkah menyusuri jeti, semakin terimbau kenangan semasa dia dan Azmi masih kecil.

“Dulu jeti ni tak sepanjang ni, bang,” tegur Azmi sambil matanya menjeling ke arah air laut di bawah jeti. Kelihatan anak-anak ikan masih senang bermain di situ seperti waktu dulu.

“Ha’ah, jeti ni makin jauh ke tengah. Makin lama, makin semput nak sampai ke hujung tu,” komen Abang Osman lagi.

“Bot mereka besar-besar, mungkin tak boleh rapat sangat ke pantai,” kata Azmi sambil memandang ke arah sebuah bot milik Resort Abadi yang baru tiba di hujung jeti. Air laut di sekitarnya jadi berombak hingga bot kecil milik Abang Osman dan penduduk kampung teroleng-oleng.

Mereka dan pendudk kampung yang mahu keluar ke laut terpaksa menunggu di situ sementara bot milik Resort Abadi itu merapat ke jeti dan menurunkan penumpang. Memang begitulah selalunya kerana jeti itu bukanlah besar sangat. Dan mereka tak pernah merungut, jeti yang cantik itu sudah seribu rahmat buat mereka di situ.

Kelihatan sekumpulan pelancong asing turun dari bot dan menaiki jeti. Riuh-rendah suara mereka hinggakan jeti itu menjadi hingar. Azmi dan Abang Osman tersenyum manis menyambut ketibaan mereka. Pelancong adalah rezeki, kerana kedai mereka adalah satu-satunya kedai di pulau itu.

Akhirnya, muncul dua orang gadis dari perut bot besar itu. Seorang bertopi lebar dan seorang bertocang dua. Abang Osman segera menyenggol tubuh Azmi.

Azmi hanya menghela nafas, dia cuba tak memandang ke arah dua orang gadis itu. Dia sedar apa yang maksudkan oleh Abang Osman. Dia hanya tak mahu melayan. Wajahnya berkerut menahan senyum dan Abang Osman tergelak kecil sambil menuruni tangga jeti naik ke botnya pula.

Setelah berpuas hati, Abang Osman meninggalkan jeti bersama beberapa orang penduduk pulau itu yang juga ada urusan di tanah besar.

Bot Abang Osman makin jauh ke tengah laut. Azmi berpaling dan mula melangkah balik ke pantai namun gelagat dua orang gadis yang masih tak bergerak dari situ membuat dia berasa hairan. “Kenapa? Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” tanyanya dengan ikhlas. “Resort di depan sana, bangunan berwarna coklat muda tu.” Jarinya menunjuk ke arah bangunan paling besar di pulau itu. Tak susah mencarinya, hanya terletak berdekatan dengan pintu jeti.

“Tolong panggilkan pekerja resort tu boleh tak? Kawan aku ni tak larat jalan,” kata gadis yang bertopi lebar. Wajahnya terlindung dek topinya yang selebar pinggan makan.

Kawannya yang bertocang dua hanya bermasam muka. Tanpa menghiraukan Azmi, dia cuba menghayun langkah. Namun setiap kali kakinya mencecah lantai jeti, dia terjengket dan hampir jatuh. Dia berdecit dan berpaut pada tiang jeti.

“Kenapa dengan dia?”tanya Azmi kehairanan. Mula cemas dengan situasi yang tidak diduga.

“Kuku ibu jari kaki dia tercabut semalam,”jawab gadis di sebelahnya.

Mulut Azmi terlopong. Baru dia perasan ibu jari gadis itu berbalut dengan plaster. “Nak ke resort kan?” tanyanya pula. Sambil memikirkan cara menyelesaikan kemelut itu. Jarak dari situ ke hujung jeti, lebih kurang 400 meter juga. Mampukah gadis itu berjalan ke sana? Kalau setapak-tapak macam tu, tak mustahil sampai ke hujung sudah pukul 3.00 petang.

Gadis di sebelahnya mengangguk. “Kau pekerja resort ke? Kalau begitu boleh tak, kau bawak beg-beg kami ni?” Dua buah beg pakaian diletakkan dihadapan Azmi sebelum sempat Azmi menjawab.

Azmi serba-salah. Beg pakaian itu diambil dan dibawa tanpa sepatah kata. Gadis yang bercakap dengannya tadi langsung mengekor dan apabila dia tiba di sebelah gadis bertocang dua itu dia berhenti. “Boleh jalan tak? Kalau tak boleh…” Dahinya berkerut, peluhnya merenek.

“Tolonglah dukung aku,” Air mata gadis yang bertocang dua itu bergenang.

Azmi menghela nafas, dia memandang ke sekeling. Pantai agak lengang, pekerja resort sendiri belum sampai ke situ. Yang ada hanya di bahagian pengurusan, dia tahu benar.

“Cepatlah, panas ni…” rengek gadis itu lagi.

Mendengarkan permintaan gadis itu, Azmi semakin kalut. Pertama kali di dalam hidupnya dia merasakan bahawa kedamaian di pulau itu telah benar-benar hilang. Kini dia bukan berdepan dengan ribut taufan yang dibawa dari Laut China Selatan tetapi ribut yang dibawa oleh sepasang bibir yang menawan. Dan sejujurnya dia tidak tahu apa yang harus dibuat kerana jantungnya berdegup terlalu kencang.

Buk! Punggung gadis itu mencecah lantai setelah kepalanya terhuyung-hayang. Kini, tubuhnya tersandar lesu ke tiang jeti dengan mata yang terpejam.

Dan Azmi segera tahu ribut di hatinya makin menggila. Entah bagaimana mahu didamaikan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.