Monday, December 13, 2010

Mencari Damai Abadi : Bab 3



Azmi meraup kedua tapak tangannya ke muka. Doa sudah selesai dibacakan. Azan Zuhur sudah dilaungkan. Dia menoleh ke belakang mencari-cari wajah tok imam yang belum juga sampai-sampai. Selalunya orang tua yang sangat dihormatinya itu tiba terlebih dahulu daripada dia. Tapi hari itu, orang tua itu tidak kelihatan sejak dia menjejakkan kaki ke surau itu. Dia jadi risau.

Dia melangkah perlahan ke muka pintu surau. Langkahnya bagai tak berjejak ke lantai. Beberapa orang jemaah yang baru tiba disambut dengan senyum manis dan huluran salam penuh mesra. Tapi wajah tok imam yang ditunggu masih belum nampak-nampak lagi. “Tok imam kita mana?” tanyanya secara umum kepada semua yang ada.

“Mi, tak tahu ke? Tok imam kita demam sejak malam tadi,” jawab salah seorang daripada ahli kariah yang hadir.

“Demam?” Dia benar-benar terperanjat. Lambat pula dia tahu hal itu kali ini. Sedang dia termenung memikirkan hal itu, bahunya dicuit mesra.

“Mi, kau je lah jadi imam,” tutur salah seorang kariah yang lain. Dia menarik pula lengan Azmi ke tengah surau.

Azmi menoleh ke arah ahli kariah yang lain. Dia bukan tak pernah menjadi imam, cuma lebih mendahulukan yang tua. “Pak Jusoh saja yang jadi, biar saya di belakang.”

“Ish kamu ni, Mi. Kamu lagi layak. Bacaan kamu lebih betul daripada aku ni. Lagipun nafas aku semput,” jawab lelaki tua yang dipanggil Pak Jusoh oleh Azmi. Yang lain juga serentak mengangguk.

Muka Azmi terasa panas, mahu tak mahu dia maju ke hadapan surau untuk mengimami kariah surau itu berjemaah. Saf yang hanya dibarisi oleh enam orang lelaki itu diluruskan. Dan Azmi tanpa berlengah mengangkat tangan dan bertakbir. Bibirnya basah dek ayat-ayat Al-Qur’an yang dibaca dengan penuh tertib. Perhatiannya ditumpukan.

Selesai empat rakaat dan membaca doa, dia lantas bersalam-salaman dengan jemaah yang ada. Tapak tangannya menggenggam erat tangan-tangan tua yang pernah mendukungnya satu ketika dahulu. Mereka bukan orang lain, penduduk pulau itu yang tinggal berdekatan. Bahkan berpangkat saudara-mara dengan Abang Osman dari sebelah ibu.

Satu persatu wajah-wajah tua itu ditatap penuh kasih. Dia sedar, setiap tahun, wajah-wajah itu semakin berkurangan. Seorang demi seorang dijemput ajal dengan pelbagai sebab. Adakalanya dia jadi rindu. Pernah terbayang di fikirannya, bagaimana jika yang tua-tua ini telah tiada nanti seperti ibu dan bapa Abang Osman yang juga ibu bapa saudaranya juga? Tidakkah pulau itu akan semakin kekurangan penduduk? Yang muda-mudanya hanya tinggal beberapa orang saja, selebihnya telah berhijrah ke Tanah Besar.

“Osman pergi ke seberang?” tanya Pak Jusoh semasa sama-sama meninggalkan surau. Tangannya melingkar di atas bahu Azmi. Dia memaut bahu anak muda itu dengan mesra.

Azmi mengangguk seraya menjawab, “Pagi tadi, Pak Jusoh. Dia nak beli barang sikit, lepas tu ada hal dengan pejabat tanah sekali.”

“Hal apa pula tu? Takkan hal tanah pusaka nenek kamu tu tak selesai lagi?”

“Hal tu dah selesai, Pak Jusuh. Entah hal apa, saya pun tak tahu,”balas Azmi ramah. Di pulau kecil itu tak ada hal yang boleh disembunyikan. Kalau seorang tahu, yang lain akan tahu juga esok lusa.

“Mari kita ke rumah tok imam sekejap, entah orang tua tu dah kebah ke belum?”

Azmi sekadar mengangguk. Dia tak mampu menolak ajakan Pak Jusuh. Dari surau, mereka berdua berjalan melintasi beberapa buah rumah dan akhirnya melalui hadapan kedainya yang bertutup rapat. Dia sempat menoleh sekilas, di pulau itu dia tak runsing langsung walau kedainya tidak berkunci. Tak ada siapa pun yang hendak mencuri. Lainlah kalau di Tanah Besar, dikunci dua tiga lapis pun dipecahkan orang juga.

Semakin mereka mendekati kawasan Resort Abadi, semakin hingar bunyi dari Lahaina. Bukan saja dari suara pengunjung yang datang malah juga bunyi lagu-lagu Inggeris yang berkumandang dari mesin jukebox. Bahkan bunyi-bunyi bising itu akan berterusan bagai tiada pengakhirannya.

Pak Jusuh menggeleng. Wajahnya kurang senang. Bukan pelancong asing yang dirisaukan tetapi anak-anak muda Islam yang terikut-ikut gaya mereka bagaikan tak ada jati diri lagi. Orang asing teguk arak, orang kita hidang arak. Orang asing bayar arak, orang kita teguk sekali. Sampai adakalanya dah tak tahu beza, yang mana Islam yang mana bukan dari pandangan mata tuanya.

Azmi mengerling ke arah Pak Jusuh. Dia faham perasaan orang tua itu. Sejak adanya resort itu disitu, adalah juga botol-botol arak di pulau itu. Alasan dari pihak resort, itu semua untuk pengunjung tetapi dari pengamatan dia, ramai yang lebih sudu dari kuah. Yang tergolek, terbaring di bawah pokok kelapa kemabukan itu bukan pelancong asing selalunya tapi pemuda-pemudi sebangsa dan seagama.

Dalam leka memikirkan soal arak yang tak ada hujung pangkalnya, tiba-tiba kepalanya terdongak sedikit. Matanya segera terpandang seraut wajah yang dilihat pagi tadi sedang termenung di beranda bilik sambil memandang laut lepas. Tocang duanya sudah dileraikan, kini rambut lurus separas bahunya terbuai-buai dek angin. Apakah yang sedang dimenungkan gadis itu? Hatinya ingin tahu.

Apabila tersedar yang dirinya mengelamun, dia segera mengalihkan pandangannya ke arah pasir yang dipijak namun di ruang matanya, wajah gadis yang belum diketahui namanya itu tetap terbayang dengan jelas. Cuba disingkirkan dengan beristighfar tetapi hatinya seolah memberontak. Dia jadi cemas. Tak sepatutnya begitu.

“Kenapa? Gelisah je?” tegur Pak Jusuh.

Air muka Azmi berubah merah. Dan belum sempat dia menjawab, Pak Jusuh juga sudah terpandangkan gadis itu. Orang tua itu langsung ketawa kecil dan menoleh pula ke arah dia.

“Eloklah tu, sampai bila nak memasak sorang-sorang,”sindir Pak Jusuh.

Azmi tersenyum, matanya makin tunduk memandang pasir yang dipijak. Tak semena-mena dirasakan pasir itu lembut bak kapas.

“Jangan ditentang tuntutan fitrah, Mi. Ianya sunnah rasulullah s.a.w,” suap Pak Jusuh lagi ke telinga Azmi.

Muka Azmi terasa kembang menahan malu. Dia cukup tak gemar apabila diusik-usik dalam hal itu. Itulah satu-satunya perkara yang membuat dia gementar. Bukan tidak ada yang pernah cuba mengetuk pintu hatinya di kolej dulu tetapi pada masa itu hatinya belum terbuka untuk berkongsi rasa dengan sesiapa. Kerana dia selalu merasakan dunianya berbeza dan tak dapat difahami. Tapi entah kenapa sejak dia terpandang wajah gadis itu, hatinya jadi tertarik. Seolah ia menghidupkan rasa yang tak pernah ada.

*****
“Khadijah dah balik semalam.”

Kata-kata Pak Jusuh menyetap dia dari lamunan. Azmi menoleh. “Balik bercuti? Dia dah habis belajar ke Pak Jusuh?” Terbayang pula di matanya wajah gadis yang dimaksudkan. Khadijah anak tok imam, muda dua tahun dari dia. Belajar di sebuah kolej komuniti di tanah besar. Sudah lama juga Khadijah tak pulang ke situ, dia sendiri sudah terlupa bila kali terakhir bertemu Khadijah, teman sekampung dan sepermainan.

“Entahlah, Mi. Nanti kalau jumpa dia, kau tanyalah. Bukan ke dia dulu sama lasak dengan kamu masa kecil-kecil?” Pak Jusuh ketawa hingga misainya yang beruban penuh tergoyang-goyang.

Azmi turut tersengih. Memang dia dan Khadijah rapat semasa kecil. Tapi bukan dia seorang saja, Abang Osman pun satu kumpulan dengan mereka juga pada waktu itu. Tapi Khadijah adalah seorang daripada dua orang kanak-kanak perempuan di dalam kumpulan mereka. Yang seorang lagi sudah meninggal semasa berumur sepuluh tahun. Tapi Khadijah sekarang sudah berumur 23 tahun, sudah bukan budak kecil lagi yang boleh disakat tak tentu masa.

Dalam berbual-bual, mereka sampai juga ke tangga rumah tok imam yang terletak agak dekat dengan kaki sebuah bukit. Keduanya lantas melaungkan salam. Tak lama kemudian salam mereka bersambut oleh sekujur tubuh tua.

“Pak Jusuh, Azmi, naiklah,”pelawa isteri tok imam seraya melebarkan daun pintu.

Tanpa berlengah Pak Jusuh dan Azmi pun naik ke rumah dan di ruang tamu yang sederhana besar itu sahaja, mereka sudah terlihat tok imam terbujur lesu di atas lantai yang beralaskan sebuah tilam nipis. Keduanya langsung marapat. “Tak kebah-kebah lagi, mak imam?” tanya Pak Jusuh kepada isteri tok imam yang duduk bersimpuh di tepi dinding. Matanya merenung wajah tok imam yang lena dengan tenang. Jelas keuzuran terbayang di wajah orang tua itu.

“Belum, dah beberapa kali makan ubat. Kebahnya sekejap, lepas tu demam balik.”

“Biasalah, tu mak imam. Badan dah tua, lambat sikit baiknya. Sabar sajalah,”balas Pak Jusuh sambil merenung wajah tok imam tak lepas-lepas. Juga menjeling ke arah sebesen air durian belanda yang digunakan untuk menjaram tubuh tok imam. Tentu adakalanya tubuh tok imam panas berapi, fikirnya dalam diam.

Perbualan mereka secara tidak langsung menyedarkan tok imam dari tidurnya. Dia membuka mata dan dengan perlahan berpaling sedikit ke arah Pak Jusuh dan Azmi. Bibir tuanya yang berkedut seribu cuba menyungging senyum namun tak berdaya. “Sapa jadi imam tadi?” tanyanya dalam dengar tak dengar sahaja.

Pak Jusuh tersenyum, tangannya membelai dada tok imam seraya berkata, “Tok imam jangan risau. Kampung kita masih hidup dengan azan dan jemaahnya.”

Tok imam menganguk-angguk, mata tuanya dipejam semula. Dia mengiring semula ke arah dinding.

Azmi hanya memerhati dalam diam, hatinya tersentuh. Dia sedar tok imam sudah tua Sudah dekat tujuh puluh tahun umurnya tapi baktinya tetap diperlukan di situ lantaran tiada yang sanggup mengambilalih tempatnya. Bagaimanapun, dia tetap berharap agar tok imam yang pernah mengajarnya mengenal huruf Alif, Ba, Ta itu segera pulih.

“Begitulah dia, demam-demam tu pun sibuk ingat ke surau,” rungut mak imam. Matanya tak lekang dari memandang wajah suaminya yang kembali berdengkur halus.

Mendengarkan keluhan mak imam, Pak Jusuh mengeluh. “Sudah sampai masanya tok imam berehat, dia pun dah tak larat.”

“Dah jenuh kami memujuk tapi dia kata tak ada siapa yang nak ganti tempat dia,” balas mak imam sambil berbalas pandang dengan Pak Jusuh.

“Orang muda kita ni kan dah balik sini,” Pak Jusuh ketawa kecil. Bulat matanya memandang ke arah Azmi.

Azmi lantas tersentak hingga mulutnya separuh melopong. Lututnya sedikit terangkat dari lantai. “Jangan, Pak Jusuh. Berat tugas tu, tak terpikul dek saya,” Dia tergagap-gagap membantah.

Pak Jusuh tergelak. Bahunya terhinggut-hinggut menahan tawanya agar tidak terlalu kuat sehingga membangunkan tok imam semula. “Dah tu…siapa yang nak jadi tok imam di sini? Dah puas kita minta orang luar datang tapi payah benar nak mendapat gantinya.”

“Pak Jusuh ada,”balas Azmi cepat.

“Aku pun dengan tok imam ni, tak jauh sangat beza umurnya, Mi. Esok lusa sampailah giliran aku pulak untuk berehat,”katanya penuh makna.

Azmi diam. Fikirannya tiba-tiba menjadi berat. Dia belum bersedia untuk memikul amanah itu dan dia pulang ke situ bukan untuk itu. Dalam termenung-menung, tiba-tiba seorang gadis masuk ke ruang tamu sambil menatang dua cawan air teh di atas dulang ayan kecil. Azmi lantas menghadiahkan senyuman. Sudah lama dia tidak melihat gadis itu. “Bila Jah balik?”

“Petang semalam, mula-mula tu ke Pulau Mayang dulu menghantar kawan bercuti ke sana,” terang Khadijah tanpa segan silu. Sinar matanya bersinar-sinar menatap wajah Azmi. Sambil tersenyum simpul dia berkata lagi,“Jemputlah minum, Pak Jusuh, Azmi.” Menyedari tak manis jika dia ikut sama bersimpuh di situ, dia bersegera masuk ke dalam semula setelah melemparkan senyuman sekali lagi kepada Azmi.

Azmi mengangguk sambil melirik Khadijah meninggalkan ruang itu. Air teh yang suam-suam kuku itu dihirup dengan tenang. Rasanya secukup-cukup saja, tak manis tak tawar. Ternyata Khadijah masih ingat yang dia kurang gemar apa-apa saja yang manis-manis. Namun senyumannya hilang apabila matanya berlaga pandang dengan senyuman yang tersungging di bibir Pak Jusuh. Ada-ada saja Pak Jusuh ni, rungut hatinya.

Sebaik saja mereka berdua menghabiskan air dan berbual lebih kurang dengan mak imam, keduanya meminta diri. Azmi segera mengikut tingkah Pak Jusuh. “Saya balik dulu, mak imam. Saya harap, esok tok imam sihatlah balik,” katanya lembut.

Isteri tok imam sekadar mengangguk lemah dan menghantar mereka berdua sampai ke muka pintu. Setelah Pak Jusuh dan Azmi tiba di tanah semula, dia pun berpaling dan menutup pintu.

“Aku pun nak balik ke rumah ni, petang ni nak turun ke laut,” Pak Jusuh menghulur salam.

Azmi segera menyambut salam yang dihulurkan. Dia melihat saja Pak Jush meneruskan langkah menuju ke rumahnya yang terletak selang dua buah rumah dari rumah tok imam. Setelah Pak Jusuh semakin jauh, dia pun berpaling balik ke kedainya namun langkahnya terhenti apabila ada suara yang memanggilnya dengan keras.

“Hoi! Yang pakai baju melayu biru tu!”

Azmi berdiri sambil terpandang-pandang namun tidak ada sesiapa di hadapan dan di belakang. Dari arah laut juga tidak ada namun apabila dia menjeling ke arah salah sebuah beranda Resort Abadi, gadis tadi sedang tersenyum dan melambaikan tangan ke arahnya. Darahnya berderau.

“Hoi! Kaulah,” kata gadis itu lagi sambil menunjukkan jari pula ke arah Azmi.

“Saya?” tanya Azmi kelam kabut.

****
“Engkaulah, takkan aku panggil pokok kelapa tu pulak,” jawab gadis itu dari jauh. Matanya masih tak berkelip merenung Azmi, dahinya berkerut seolah tidak faham kenapa Azmi masih tercegat di situ.

Untuk beberapa saat Azmi tak dapat berfikir dengan betul. Dia diterpa perasaan serba-salah. Hendak dilayan atau tidak gadis yang kurang budi bahasa ni? Hendak dibiarkan juga, tidak sopan, sama sajalah dia dengan gadis itu. Setelah berfikir beberapa saat, dia datang mendekat. Kini dia terpaksa mendongak. Gadis itu di beranda tingkat satu, dia pula di bawah, di bawah terik matahari. “Awak nak apa?”

“Kau boleh tak tolong cari kawan aku? Mungkin dia ada di Lahaina sana,” kata gadis itu sambil jarinya menunjukkan bangunan Lahaina bagai Azmi tak pernah tahu.

Azmi mengangguk. Permintaan itu tidaklah berat mana, sekadar sebuah pertolongan kecil. Hatinya jadi lega. “Nama dia apa?”

“Tina,” jerit gadis itu pula. “Kata kat dia, aku lapar. Suruh dia hantar kan makanan aku. Dah lama aku tunggu.”

Gadis yang banyak karenah tadi, namanya Tina, kata hati kecil Azmi. Tanpa berlengah dia mengangguk lagi dan berpaling pergi tapi, sekali lagi dia dipanggil.

“Hoi! Kat sini tak ada signal telefon ke?” tanya gadis itu lagi sambil menunjukkan telefon bimbit di tangannya.

Azmi menggeleng pula. Dan kali ini dia tak menunggu lagi. Makin lama di situ, hatinya makin mendidih. Dia memang tak gemar jika orang bercakap kasar, bagaikan tak cukup tatabahasa. Walau di dalam agama melarang seseorang perempuan bercakap lemah lembut sehingga boleh menggoda lelaki ajnabi tetapi bukan sampai sebegitu kasar pula. Dia menggaru kepala, gadis itu semakin mencabar kesabarannya.

*****
Kedatangan Azmi ke Lahaina disambut dengan pandangan tajam beberapa pasang mata. Namun Azmi bersikap tenang-tenang sahaja. Niat kedatangan hanya untuk mencari Tina bukan untuk mencari gaduh. Jadi, dia abaikan sahaja pandangan dingin dari pelayan-pelayan di Lahaina itu yang rata-ratanya adalah juga penduduk Pulau Mayang.

Dengan sekali pandang, tak susah untuk Azmi mencari Tina. Hanya dia seorang saja perempuan di tengah-tengah sekelompok pengunjung lelaki. Ada juga empat orang pekerja Resort Abadi termasuk Hasan. Lalu dari jauh, Azmi sudah melemparkan senyum mesra dan memberi salam. Walau dia tak mendengar salamnya disambut dia terus sahaja bercakap dengan Tina. “Tina, boleh saya bercakap dengan awak sekejap?”

Tina agak tersentak dan terpinga-pinga namun dia tidak pun berganjak dari tempat duduknya. “Kau nak apa?” Pandangan matanya cukup sinis bagai sakit benar matanya dihampiri oleh Azmi.

“Kawan awak suruh awak hantarkan dia makanan, dia kata dia lapar tadi,” Azmi segera membalas pertanyaan Tina dengan jawapan yang jujur. Walau dari pandangannya, Tina langsung tak ambil peduli tentang kawannya lagi.

“Kalau macam tu… boleh tak kau belikan dia makanan? Dan hantarkan ke bilik?”tanya Tina pula sambil menyeluk poket. Sekeping duit sepuluh ringgit diletakkan di atas meja sambil tersenyum lebar.

“Awak suruh saya hantarkan ke bilik?”tanya Azmi lagi.

Tina segera mengangguk. “Kami tengah discuss ni, belum habis lagi. Awak pergilah hantar, duit bakinya awak ambil,”pujuk Tina.

Azmi terkebil-kebil. Fikirannya bingung sesaat. Bukan pasal duit yang menjadi beban fikirnya tapi sikap Tina yang begitu lepas bebas. Apakah dia fikir, duit boleh memudahkan segala-galanya? Dahinya berkerut.

“Alah, Mi. Bukan berat sangat… takkan itupun kau tak boleh tolong,” sampuk salah seorang pemuda di situ. Yang lainnya mula ketawa.

Tina tersenyum makin lebar, kepalanya terangguk-angguk laju.

“Takkan takut kut?”tanya yang seorang lagi. Serentak itu mereka berlima yang faham apa yang sedang di bincangkan serentak ketawa. Pengunjung asing yang ada di situ hanya tersengih-sengih suka walau tak faham apa-apa.

Penakut atau bukan, bukan soalnya di situ. Dia sekadar datang untuk menyampaikan pesanan gadis tadi, urusannya sudah tamat. Dia berpaling untuk balik ke rumah namun langkahnya tertahan dek panggil Hasan.

“Mi, awak hantar sajalah,”pujuk Hasan sambil menepuk bahu Azmi. “Jom! Saya temankan.”

“Kalau awak ada, buat apa saya perlu ikut sama?” bantah Azmi dengan cepat. “Awak sajalah uruskan, saya cuma menyampaikan pesanan kepada Tina. Selebihnya, saya tak masuk campur.” Dia mengangkat tangan lalu menuruni anak tangga Lahaina yang sekadar tiga anak mata. Daripada dia membuang masa melayan karenah dua orang gadis manja itu lebih baik dia pulang ke kedai. Boleh juga dia sambung menulis sambil-sambil menjaga kedai.

Dan dengan kesedaran itu, dia terus melangkah pergi. Namun semakin dia jauh, semakin terasa hatinya tertinggal di belakang dan langkahnya menjadi semakin berat.

4 comments:

  1. best2. lain dr lain ceta ni.
    seorg laki warak dpertemu perempuan yg bukan muslimah. nk tau apa yg bakal blaku bila hati laki warak dah terpaut. he...

    ReplyDelete
  2. Panjangnya lagi kisah..kita ikuti perlahan-lahan ya.

    ReplyDelete
  3. best2 citer nie...
    definitely akan follow...
    alangkah bagusnya kalau Hana dipertemukan dengan lelaki seperti Azmi...

    hehehe..

    =)

    ReplyDelete
  4. Insya-Allah, akak doakan agar Hana menemui pasangan yang lebih baik. Jangan lupa memintalah kepada yang memiliki.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.