Saturday, November 3, 2012

CERITA : Masihkah Kau Ingat?




“Apa perlunya lagi kita bangkitkan hal ini?” Aku renung wajah Farid di hadapanku. Wajah yang sedikit sebanyak sudah berubah diukir masa yang berlalu.
“Kau takkan faham, Nur.” Farid letakkan semula cawan yang dipegangnya di atas piring. Setengah daripada isinya sudah terluak.
“Memang aku tidak faham malah pening sekarang.” Nur menggeleng sambil memandang ke arah cawannya yang juga hampir kosong. Pertemuan semula dia dan Farid kira-kira sebulan yang lalu adalah di luar jangkaannya. Malah, dia tidak pernah menyangka bahawa dia akan berpeluang menemui lelaki itu lagi.
Farid tersenyum nipis sambil pandangan matanya menombak wajah Nur.
“Sudah 28 tahun,” katanya perlahan.
Nur angguk. Memang sudah dua puluh lapan tahun mereka tidak bersua. Apa yang boleh Farid harapkan lagi daripadanya? Lalu, apa gunanya Farid ungkit semula segala kenangan lama?
“Aku tak pernah lupakan kau.”
“Aku juga ingatkan kau tapi… setakat itu sajalah,” balas Nur tanpa mengangkat muka tetapi itulah kebenarannya. Dia tidak pernah merindui Farid lebih daripada itu. Dia sudah lama kuburkan segala harapan yang pernah disandarkan kepada Farid sebelum ini. Malah dia sudah anggap Farid bagaikan air yang mengalir dari hulu ke muara. Sekali lalu, air itu tidak akan berpatah balik. Baginya Farid adalah kenangan dan pengalaman hidup yang terpaksa ditempuhnya. Itu sahaja.
“Kerana kau tak pernah tahu cerita yang sebenar.”
Kali ini Nur tersentak. Tanpa dapat menahan, matanya membalas renungan Farid. Di situ dia terlihat tangisan yang tidak berair mata.
*******
27 tahun yang lalu…
“KALAU kau hilangkan beras ni, siap kau! Aku suruh kau lari keliling kampus ni lima kali,” ugut seorang pelajar senior Tahun dua sambil diperhatikan oleh empat orang lagi kawannya yang sedang ketawa dan tersenyum-senyum.
Sambil menggigil halus Nur mengangguk faham. Sebiji beras yang berada di tapak tangannya digengam kuat. Dia tidak mahu dapat susah atau dapat malu pada kemudian hari. Dia hanya mahu Minggu Orientasi itu ditamatkan segera.
“Lagi satu… kalau kau tukar biji beras ni dengan biji beras yang lain, aku denda kau lari sepuluh pusingan. Kau buatlah kalau kau berani.”
Senior itu berkata lagi dengan lantang dan berani sehinggakan pelajar-pelajar lain yang lalu lalang di hadapan perpustakaan ikut memerhati Nur dan rakan sekelasnya, Wardina.
Nur menelan air liur. Hendak dijawab, dia bimbang dia akan kena lebih teruk lalu dia mengangguk sahaja supaya dilepaskan pergi.
“Eh! Nak ke mana tu?” tanya senior itu lagi apabila Nur mencuit lengan Wardina untuk mengajaknya pergi. “Aku belum habis lagi.”
Langkah Nur dan Wardina terus terpateri ke lantai. Rasanya sudah tidak sanggup berada di situ apabila dibentak begitu di hadapan pelajar lain.
“Nama kau siapa?”
“Saya?”
“Tak, abang tanya almari besi kat depan tu.”
Kata-kata pelajar senior itu disambut gelak ketawa rakan-rakannya sehingga ada yang menepuk-nepuk meja membuat riuh.
Air muka Nur sudah berubah merah padam.
“Nama saya, Nurlina,” jawab Nur selepas menarik nafas panjang. Dia menyesal kerana banyak soal. Nampaknya dalam tempoh seminggu orientasi itu, dia tidak boleh langsung buat silap di situ.
“Apa nama abang?” Senior itu bertanya. Kali ini wajahnya begitu serius.
Nur menggeleng. Dia benar-benar tidak tahu.
“Habis tu? Kalau tak tahu kenapa tak tanya?” tambah pelajar senior itu lagi. “Dekat universiti ni, kalau tak rajin bertanya kita rugi, kita akan ketinggalan.”
Nur angguk.
“Angguk saja? Cepatlah tanya.”
“Nama abang siapa?”
“Lembutlah sikit. Tanya orang macam nak makan orang.”
“Nama abang siapa?” ulang Erni.
“Kuatlah sikit, abang tak dengarlah.”
Nur sudah mahu menangis sedangkan di situ ketawa semakin riuh-rendah. Bahkan Wardina sendiri sudah menutup mulut bagi menahan tawa.
“Nama abang siapa?” Untuk ketiga kali Nur bertanya sambil mengawal perasaan marah dan malunya.
“Haa… baru betul,” jawab pelajar senior itu sambil tersenyum. Sambil menunjukkan sekeping borang yang bertulis namanya. “Hafal betul-betul tau? Sebab kalau nak jumpa abang, Nur kena sebut nama abang yang penuh.”
Nur memandang tulisan biru pada borang laporan suai kenal itu, terpapar nama pelajar senior itu dengan jelas. Farid Saiful Annuar.
“Nah! Abang dah catatkan nama abang pada borang ni.” Farid serahkan borang itu kepada Nur. “Jadi mulai hari ini, Nur di bawah seliaan abang untuk seminggu lagi. Pada hari Sabtu hadapan, bawa borang ni pada abang dengan biji beras yang abang beri tadi. Tapi Nur kena ingat, beras tu kena bawa ke mana-mana Nur pergi. Abang akan minta tengok pada bila-bila masa abang terjumpa Nur di mana-mana.”
“Saya minta diri dulu, bang,” kata Nur.
“Sebut nama penuh,” kata Farid.
“Saya minta diri dulu, Abang Farid Saiful Annuar,” kata Nur.
Farid angguk sambil menatap wajah Nur puas-puas.
“Jalan baik-baik tau,” pesannya sebelum disambut ketawa rakan-rakannya beramai-ramai.
Nur dan Wardina seperti lipas kudung berlari meninggalkan tempat itu.
*******
“Seronoklah ya?” tanya Farid pada hari terakhir Minggu Orientasi.
Nur tersenyum. Berakhirnya Minggu Orientasi, bermakna berakhirlah juga segala bentuk penderaan fizikal dan mental yang ditanggungnya selama itu. Dia juga sudah tidak larat melayan perangai Farid yang suka mengepungnya di mana-mana dan bertanyakan biji beras itu. Malah dia pernah menganggap Farid seorang yang tidak siuman kerana terlalu asyik dengan berasnya.
“Tapi abang harap, janganlah pula selepas habis Minggu Orientasi ni, Nur terus lupakan abang.”
Mata Nur terkelip-kelip. Keliru sekejap fikirannya. Dia tidak nampak apa sebabnya dia tidak boleh melupakan Farid. Bukankah itu impiannya selama ini? Malah kalau boleh dia tidak ingin langsung mengenali Farid.
“Nur faham kan maksud abang?” Farid bersuara lagi.
Nur hanya diam.
“Abang sukakan Nur dan abang nak ambil Nur jadi adik angkat abang.”
Suka? Adik angkat? Nur pandang kiri kanan mencari Wardina tetapi Wardina pun sedang berdepan dengan abang seniornya untuk meminta tanda tangan terakhir pada borang Minggu Orientasi.
“Walaupun dalam tempoh seminggu, macam-macam abang ajar dan beritahu Nur tentang kampus kita, cara belajar, cara bergaul dan lain-lain tetapi keadaan sebenarnya lebih rumit daripada itu. Itu cuma apa yang formal, apa yang tidak formal, masih banyak yang Nur tidak tahu.”
“Contoh?” Nur bertanya.
“Kalau biasiswa lambat masuk, macam mana Nur nak hidup di sini?”
“Nur boleh hantar surat pada ayah Nur.”
“Okey,” balas Farid sambil terangguk-angguk. “Kalau ada pelajar senior yang ganggu Nur?”
“Report polis.”
Farid ketawa. “Takkanlah sampai macam tu. Kesianlah dia…”
Nur tersenyum. Dia faham niat Farid baik namun dia tidak suka terikat dengan sesiapa. Dia belum bersedia untuk mengongkong hati dan perasaannya sendiri. Sayangnya semua itu tidak bertahan lama. Tiga bulan hidup di kampus, membawanya semakin rapat kepada Farid malah lama-lama tumbuh rasa sayang dan rindu yang tidak mampu diucapkan dengan kata-kata.
*****
 “Ayah Nur jemput abang ke rumah cuti ni,” kata Nur pada suatu hari. Pada waktu itu, dia dan Farid sudah berada di hujung semester kedua. Hanya tinggal seminggu sahaja cuti akan bermula. Dia akan tamat Tahun 1.
Farid hanya diam membisu. Matanya sesekali merenung jauh hingga menembusi pintu perpustakaan di hadapan mereka berdua.
“Abang dengar ke tidak apa yang Nur cakap?” Nur pandang wajah Farid yang kini telah menguasai hati dan mimpinya. Malah sudah dibina tangga-tangga untuk menyusun harapan dan impian masa hadapan.
Farid tunduk memandang jari-jemarinya sebelum menoleh ke arah Nur. Kemudian dia tersenyum seperti selalu.
“Buat apa ayah Nur ajak abang datang ke rumah?”
“Tentulah ayah nak jumpa abang.”
“Kalau abang tak datang boleh tak?”
“Kenapa? Nur dah cakap dengan ayah Nur.” Nur benar-benar terkejut dan tidak dapat memahaminya. Sepatutnya Farid akan berasa gembira pada waktu itu bukan sebaliknya.
Farid tidak menjawab. Malah dia terus tidak menjawab kepada pelbagai lagi persoalan yang timbul selepas itu. Lama-lama… Farid terus hilang.
******
“Kenapa aku tak nampak muka abang kau di mana-mana?” tanya Wardina pada suatu hari. Pada waktu itu mereka berdua sudah masuk Tahun 2.
“Aku sendiri tak tahu apa yang telah berlaku. Semua surat-surat yang aku kirim tak dibalas.”
Wardina terdiam. Kini mereka berdua sama-sama termenung. Sama-sama bingung memikirkan soal kehilangan Farid yang sepatutnya sudah berada di Tahun 3 pengajian. Walaupun semester pertama telah bermula, Farid masih tidak nampak bayang.
“Dia ambil cuti agaknya,” kata Wardina.
“Aku tak tahu,” balas Nur. Kini, dia yang kembali ke kampus dengan segala rasa rindu yang terhimpun selama berpisah jauh, jadi longlai dan bingung.
“Sabarlah. Nanti aku tanyakan kepada senior. Mungkin ada yang tahu.”
Nur angguk. Itu sahajalah harapan mereka pada waktu itu.
Selepas seminggu, Wardina menyampaikan berita yang mengejutkan. Farid bukan sahaja tidak menyambung pengajiannya dalam Tahun 3 malah berhenti terus daripada universiti. Sebabnya, hanya Farid yang tahu.
Nur menangis berhari-hari. Nur kecewa kepada Farid malah kepada dirinya sendiri. Dia rasa kecewa kerana ditinggalkan begitu sahaja oleh Farid tanpa sepatah pun kata perpisahan ataupun diberikan sebab.
“Baru aku faham,” katanya setelah air matanya kering.
“Apa yang kau faham?” tanya Wardina.
“Dia memang tak cintakan aku.”
“Dia pernah cakap macam itu pada kau?”
“Dia memang tak pernah cakap apa-apa. Dia juga tak pernah kata cintakan aku. Dia cuma pernah kata dia suka. Itu sahaja tetapi sekarang aku faham. Aku hanya bertepuk sebelah tangan.”
“Aku tak boleh beri komen bagi pihak dia, Nur. Aku tak tahu apa isi hatinya. Mungkin benar dia tak cintakan kau tapi mungkin juga tidak benar. Aku harap kau tak membuat kesimpulan yang melulu. Mana tahu… kalau suatu hari dia datang mencari kau semula.”
Nur angguk sahaja walaupun hatinya sudah tawar. Jika Farid cintakan dia sekurang-kurangnya Farid akan berterus-terang. Dia sanggup menanti Farid betapa lama pun Farid akan pergi. Dia sanggup menolong betapa susah pun masalah yang Farid hadapi. Sayangnya Farid terus diam dan menghilang.
Walaupun harapan untuk bertemu Farid semula dibaja setiap hari, cuba dipertahankan dengan segala daya namun dia tidak dapat menolak ketentuan Tuhan. Lama-lama perasaan itu memudar, dia jadi semakin tawar hati kepada lelaki itu. Dan akhirnya dia menerima seseorang yang lain dalam hidupnya.
Farid semakin jauh dan jauh. Lama-lama dia berjaya melupakan Farid dan perasaan yang pernah ada.
Namun sebulan yang lalu… Farid muncul entah dari mana. Lalu hari ini dan di sini, dia terpaksa berhadapan dengan perasaan itu semula. Anehnya dia tetap boleh merasakan kesakitan yang pernah dirasa.
********
“Perlukah aku tahu  apa cerita yang sebenar?” tanya Nur. Dia sendiri ragu-ragu. Dia bimbang dia tidak kuat untuk mendengar segala alasan dan cerita Farid yang pasti panjang menjela.
“Aku tak paksa tapi kalau boleh, sebelum aku menutup mata aku mahu kau tahu.”
“Supaya kau boleh hidup tenang di usia tua?” balas Nur.
Farid angguk.
“Kau ego, Farid. Kau hanya tahu fikirkan diri kau saja. Kau tak fikirkan diri aku yang tersiksa selepas kau pergi begitu saja.” Nur lepaskan semua.
“Kau memang patut marah,” jawab Farid dengan tenang. “Tapi aku harap kau dengar dulu apa yang ingin aku katakan.”
Nur diam. Dia tidak peduli apa pun hujah yang akan dilontarkan oleh Farid. Baginya itu semua sudah tiada ertinya lagi.
“Apa yang ingin aku katakan kepada kau ialah aku… cintakan kau,” sambung Farid. “Walaupun sudah 28 tahun berlalu, aku masih menyimpan perasaan itu. Malah aku tak sanggup menerima kehadiran perempuan yang lain dalam hidupku. Bagi aku cinta aku cuma untuk kau.”
“Adakah itu semua penting lagi, Farid? Kita sudah tua. Aku harap kau…”
“Mungkin bagi kau tak penting lagi, tapi bagi aku sangat penting.”
“Kalau betul itu sangat penting pada kau, kalau betul kau cintakan aku sejak dulu lagi kenapa kau tinggalkan aku macam tu saja?”
“Sebab aku malu.”
Kini Nur merenung wajah Farid. Riak-riak duka terukir jelas di sebalik kedut-kedut yang menghias wajah. Nur terkesima. Malu?
“Aku tak boleh teruskan study aku pada waktu itu. Aku failed banyak paper.”
“Kan boleh repeat?”
“Kau tak faham… kalau aku repeat sekalipun, aku percaya aku hanya akan buang masa kerana aku sememangnya tak boleh lagi bawa kursus itu.”
“Tapi apa kena-mengenanya dengan perhubungan kita?”
“Aku malu kerana aku tak boleh jadi seperti kau, Nur. Kau begitu hebat. Keputusan kau semuanya A. Sedangkan aku hanya seorang lelaki yang gagal. Aku rasa aku tak layak untuk luahkan apa-apa pun pada kau.”
Nur menggelengkan kepala. Baginya semua alasan itu terlalu mudah.
“Mungkin kau anggap aku membesar-besarkan cerita, tapi percayalah itulah yang menghantui aku setiap masa. Kejayaan kau, kegagalan aku. Aku benar-benar malu dan rasa tidak layak berada di sisi kau. Apatah lagi ditambah latar belakang kita yang juga tidak sama rata… aku benar-benar rasa kerdil di hadapan kau sehinggakan aku tidak sanggup meluahkan apa yang aku rasa terhadap kau selama ini. Walaupun sebenarnya aku sudah lama mencintai kau. Namun pada waktu itu aku sendiri merasakan bahawa cinta aku tidak layak untuk seorang gadis seperti kau.”
“Jadi kenapa sekarang kau rasa kau layak untuk meluahkan apa yang kau rasa?” tanya Nur.
Sememangnya dia tidak tahu masalah yang dihadapi oleh Farid pada waktu itu kerana Farid tidak pernah memberitahunya apa-apa. Tetapi dia juga tidak sangka Farid berasa rendah diri sehingga begitu sekali. Padahal semua itu boleh sahaja dibawa berbincang tanpa perlu ada sesiapa yang terluka antara mereka.
“Sejak itu aku berusaha untuk bangkit semula. Aku jadikan kau inspirasi. Aku belajar siang dan malam untuk menebus kegagalan aku, aku mahu sama tinggi dengan kau. Sama hebat. Aku memasang tekad, selagi aku belum menggenggam PhD. Aku tidak akan mencari kau.”
“Kau sudah ada PhD?” Nur tersenyum. Dia bangga kerana akhirnya Farid telah berjaya mencapai impiannya.
“Cuma aku tersilap kira,” balas Farid. “Untuk sampai ke tahap ini, aku korbankan  masa selama 28 tahun. Dan tentunya dalam masa yang panjang itu, engkau sudah pun… ada yang lain.”
Nur angguk.
“Maafkan aku. Aku sudah sedaya upaya mempertahankan perasaan aku terhadap kau. Tapi….”
Farid menggeleng.
“Tak usah meminta maaf, Nur. Itu semua sudah ketentuan Tuhan. Bukankah jodoh itu aturan-Nya?”
Nur tersenyum hambar. Ya, dia sudah lama akur bahawa jodohnya bukan dengan Farid. Dia juga sudah lama tidak mengharapkan apa-apa .
“Tapi hari ini aku ingin meminta apa yang paling aku ingin minta daripada kau sekian lama.”
Nur hanya memandang Farid tanpa sebarang kata.
“Aku ingin meminta kau menjadi isteriku. Kini aku rasa aku sudah layak menghulurkan tangan dan meminta kau menyambutnya dengan rela. Sudikah kau?”
Mata Nur mula bergenang. Dia tidak sangka yang Farid masih bersungguh-sungguh terhadapnya.
“Kita bukan muda lagi, Farid. Walaupun aku sudah lama hidup sendiri tapi… untuk berkahwin semula aku tidak rasa aku mampu,” balasnya. “Lagipun aku sudah lama maafkan kau.”
“Tolong jangan kecewakan aku, Nur. Sudah 28 tahun aku berusaha supaya hari ini tiba. Jangan jadikan aku seorang yang gagal lagi.”
Nur termenung.
“Aku bukan baru dapat PhD. Sudah lima tahun tapi aku tak dekati kau kerana kau masih bersuami dan berkeluarga. Hanya setelah kau bercerai, baru aku berani memandang kau dari jauh. Hanya setelah aku yakin kau kembali tenang, aku memberanikan diri untuk muncul di hadapan kau. Tapi sekarang, aku takkan tinggalkan kau lagi. Aku tak mahu ulangi kesilapan yang pertama dulu.”
“Kenapa kau begitu yakin aku akan menerima kau semula? Adakah kau fikir dengan segala apa yang kau ada sekarang, aku akan berlari-lari memeluk kau?”
“Kerana di mata kau, aku masih nampak api cinta yang pernah ada untuk aku. Walau 28 tahun sudah berlalu ternyata api cinta itu tetap ada. Mungkin orang lain tidak nampak, tetapi aku boleh melihatnya dengan cukup jelas.”
Nur tunduk memandang meja namun terasa kulit mukanya panas. Tidak dinafikan nama Farid tidak pernah hilang secara total dari hatinya. Namun dia tidak lagi menyimpan apa-apa harapan.
“Biarlah di hujung usia kita ini, kita raikan cinta yang pernah hadir antara kita. Malah cinta di usia begini lebih luhur tanpa sebarang kehendak yang lain. Apa yang pentingnya, aku hanya mahu menghabiskan sisa-sisa hidupku bersama kau dengan tenang. Cukuplah sudah aku melalui satu perjalanan hidup yang cukup melelahkan. Izinkanlah aku damai di  penghujung pencarian ini. Marilah kita sama-sama hentikan segala sakit dan benci di hati. Kita isikan dengan mencari reda Illahi.”
“Beri aku masa, Farid.”
“Aku akan berikan kau masa selama mana yang kau mahu. 28 tahun mungkin belum lagi cukup untuk kau.”
“Jika kau tanya aku 28 tahun yang lalu, pasti aku tidak akan teragak-agak untuk menerimanya tetapi kini, aku lebih gembira jika kita hanya menjadi sahabat. Perkahwinan terlalu berat untukku yang sudah tua dan tidak berdaya.”
Farid angguk sahaja. Kecewa namun memahaminya.
“Kita bersahabat saja dan seandainya apa yang pernah ada antara kita itu masih subur, mungkin akan hidup sebatang pohon kasih yang baru. Di waktu itulah aku mungkin akan sanggup menyambut tangan kau.”
“Aku akan berdoa pada Tuhan supaya dibukakan hati kau untuk menerima aku semula, semoga ditumbuhkan pohon kasih yang lebih rendang dan harapan yang lebih indah. Usahaku sebagai seorang manusia sudah aku lakukan.”
Lalu petang itu mereka berpisah arah sekali lagi namun kali ini dengan sebuah janji. Mereka akan bertemu lagi.   
**********
Sudikah anda tinggalkan sedikit KOMEN 
di bawah?

Terima kasih.

26 comments:

  1. Hmmm... sedang terfikirkan seseorang bila baca cerita ni... huhuhu...

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehehe.....sebuah nama yang telah mengukir parut di hati?

      Delete
  2. Kadang-kadang masa kita terbuang begitu sahaja menunggu seseorang yang belum tentu menjadi milik kita sampaikan kita terpaksa korbankan perasaan sediri. Sedih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sammpai satu ketika, kita kena hakikat yang dia bukan jodoh kita kan....walaupun kita rela menunggu namun sebagai manusia kita ada had jadi biarlah dia sebagai kenangan terindah sahajalah...

      Delete
  3. jodoh di tangan Tuhan, apapun usahamu jika Tuhan tidak mengijinkan maka tidak akan terjadi...cerita yang bagus...

    ReplyDelete
  4. cerita ni memang seronok tapi macam tergantung. Apa pun itu hak penulis untuk tentukan pengakhiran sesebuah cerita itu.

    ReplyDelete
  5. Halo, aku juga baru mulai blogging. senang kalau mau mengunjugi blog ku
    lawliek.blogspot.com

    ReplyDelete
  6. follback ya kakak langitesok.blogspot.com

    ReplyDelete
  7. makasih yah atas informasinya, jangan lupa kunjungi blog aku juga.
    QUEENXXX92

    ReplyDelete
  8. ***** www.MantapQQ.com *****
    Rasakan kenyamanan Bermain di Mantap QQ

    *Bonus Cash Back 0.3% untuk semua player
    *Bonus Refferal 15% seumur hidup

    Minimal Depo WD 20 ribu
    Proses Depo WD tercepat......

    1 User ID untuk 6 Game Populer
    Bandar Q
    Domino99
    Poker Online
    Adu Q
    Capsa Susun
    Bandar Poker

    Info Langsung
    *Pin BBM : 2EA0D276
    *Skype : mantapqq
    *phone : +855 9649-732-59
    *Ym : mantap.qq@yahoo.com
    www.MantapQQ.com

    ReplyDelete
  9. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  10. *HOKIBET
    *BUKATOGEL.COM
    *DAFTAR
    *REFERRAL
    *BUKU MIMPI
    *PREDIKSI

    * Potongan/Discount Bukatogel.com :
    * 2D : 29% = Rp. 70.000
    * 3D : 56% = Rp. 400.000
    * 4D : 65% = Rp. 3.000.000

    * BBM : 7boc7177
    * HP/SMS : +639277025291

    ReplyDelete
  11. emm....baru jumpa blog ini.
    tahniah !

    ReplyDelete
  12. Salam. Cerpen yang menyentuh hati. Tahniah buat penulis. Salam :)

    ReplyDelete
  13. http://pelangipoker168.blogspot.com/2017/05/muncul-petisi-bebaskan-ahok-di-amnesty.html
    http://beritaterupdate168.blogspot.com/2017/05/menuju-motogp-italia-rossi-kembali.html
    http://ceritapelangi97.blogspot.com/2017/05/dikendalikan-dari-rutan-mahasiswa-dan.html
    http://pelangipunyacerita168.blogspot.com/2017/05/juara-dunia-motogp-2006-nicky-hayden.html
    http://kisahhpelangi.blogspot.com/2017/05/cabuli-2-bocah-pemuda-pengangguran-di.html

    ReplyDelete
  14. http://coolairr.blogspot.com/2017/05/serangan-di-marawi-tewaskan-1-polisi.html
    http://fireflieszs.blogspot.com/2017/05/kendala-polisi-tangani-korupsi-dan.html
    http://qqmerah168.blogspot.com/2017/05/pelaku-serangan-bom-di-konser-ariana.html
    http://room168ct.blogspot.com/2017/05/hasil-tes-kesehatan-10-tersangka-pesta.html

    Masih Bingung Mencari Situs Poker Online Yang Bisa Di Percaya ?
    Perkenalkan Kami Adalah Agen Poker Terpercaya .
    Menang Berapa Pun Akan Kami Bayar !!
    Nikmati Fasilitas Exclusive Dari Kami :
    Proses Transaksi Yang Cepat Dan Super Mudah .
    Minimal Depo & WD Terjangkau , Cuma 25Rb .
    Kartu Di Meja Juga Lebih Ringan !!
    Dapat Kan Tips & Trick Yang Super Jitu Dari CS Kami ..
    Mudah Di Akses Dari Berbagai Gadget .
    Layanan CS Yang Ramah Dan Online 24 Jam Setiap Hari Nya .
    Jangan Pusing Lagi Boss .
    Bermain lah Dengan Santai Dan Tenang Bersama Kami .
    Kembang Kan Hobi Anda Dan Warnai Hidup Anda Bersama Kami .
    ( QQmerah.com )

    ReplyDelete