Monday, November 12, 2012

PERCAYALAH SAYANG : Bab 8



Bab 8
DI VILA HELENA, Damien tercari-cari Anis di tingkat bawah. Di ruang tamu  tidak ada, di ruang tamu kedua pun tidak ada malah, di bilik-bilik lain juga tidak ada. Akhirnya dia menjengah ke ruang dapur.
“Duduklah, tuan. Saya dah buatkan air,” sapa Maya sebaik sahaja terlihat wajah Damien di situ. Dia segera menarik sebuah kerusi untuk Damien. Pantas sahaja tangannya menuangkan air sirap ke dalam sebiji gelas. Dia tersenyum di tepi meja. Menunggu.
Damien menggeleng. “Awak ada nampak isteri saya?”
“Mungkin dah naik ke atas agaknya. Tuan minumlah dulu.” Maya menyuakan  gelas yang telah berisi air sirap yang merah menawan.
“Saya tak rasa nak minum sekarang. Kalau saya mahu… saya minta,” balas Damien sambil berpaling. Entah kenapa jiwanya terasa resah apabila melihat senyuman Maya yang seperti tidak kena. Renungan mata gadis itu juga bagaikan boleh memukau dan mengkhayalkan jika dibalas. Ah! Dugaan… fikirnya sambil melajukan langkah.
“Tuan!” panggil Maya secara tiba-tiba.
Langkah Damien terhenti. Dia menoleh ke belakang tetapi tidak bertanya apa-apa. Dia hanya memerhati Maya berdiri di tepi pintu dapur sambil mengangkat kain batiknya separas betis. Resah benar lakunya bagaikan sedang ditimpa masalah.
“Kalau tuan nak makan apa-apa… tuan cakaplah, saya boleh masakkan,” sambung Maya. Wajah resahnya perlahan-lahan berubah tenang dan akhirnya membuahkan senyuman yang manis.
Oh! Damien menarik nafas. Dadanya terasa lega. Itu sahaja ke?
“Tak payahlah awak susah-susah masak untuk saya. Isteri saya boleh buat.”
“Apa salahnya cuba masakan saya pula, tuan? Tuan cakap saja nak makan apa. Saya boleh buatkan,” jawab Maya pula tanpa malu-malu.
Damien terus menggeleng. Dia hanya mahu mencari Anis, kenapa pula dia berhadapan dengan masalah makan minum ni? Dia mula jengkel dengan sikap Maya yang degil.
“Awak tak dengar ke apa yang saya cakap?”
Maya terdiam.
Apabila dilihatnya Maya sudah tidak bersuara, dia berpaling semula dan menaiki tangga ke tingkat dua. Sesekali sambil dia memijak tangga, bunga ros di tangannya dicium-cium. Dilupakan sahaja soal Maya, dia ada banyak perkara yang perlu dibincangkan dengan Anis.
Sementara itu di tingkat bawah….
Maya memerhati gelagat Damien sehingga tidak kelihatan lagi. Setelah itu dia berpaling dan masuk semula ke dapur. Air sirap di dalam gelas tadi dibuang sahaja ke dalam sinki. Dia sudah yakin, orang yang ditunggu-tunggunya telah tiba.
******
ANIS meletakkan semula sebuah cermin kecil berbentuk bulat di atas meja solek. Dia mengangkat pula sebuah kotak bedak berbentuk empat segi yang berukiran penuh. Sudah beberapa minit dia di situ sambil leka melihat alat-alat solek yang begitu cantik tersusun sebagai hiasan. Sedang dia menyusun barang-barang itu semula, dia terdengar suara memanggil namanya. Dia lantas menjauhi meja solek itu.
“Abang! Abang buat apa di bilik ni? Anis pilih bilik yang satu lagilah,” katanya sebaik sahaja membuka pintu bilik yang bersebelahan dengan bilik yang dimasukinya tadi.
 “Ini bukan bilik tidur utama ke?” Damien keliru seketika.
“Memang bilik utama tapi Anis lebih suka bilik yang di sebelah. Berandanya menghadap laut. Yang ini menghadap jalan.”
Damien tersenyum. Dia melangkah mendekati Anis yang masih memegang tombol pintu bilik itu.
 “Nah!” Damien menghulurkan sekuntum bunga ros merah muda yang dipetiknya tadi.
Spontan Anis tersenyum dan akhirnya dia ketawa kecil.
“Abang tahu… tak payah cakap pun abang tahu,” kata Damien sambil memaut pinggang Anis. “Nak sindir abanglah tu.”
“Anis tak sindirlah, bang. Cukuplah ni….” Anis ketawa lagi sambil menghayun langkah menuju ke bilik yang bersebelahan dengan bilik itu. Bunga ros di tangannya digenggam erat. Bahagia sungguh hatinya mendapat pemberian itu. Walaupun hanya sekuntum bunga ros, tetapi itu bunga kegemarannya.
“Tak sindir ya? Mari sini.” Damien menarik pinggang Anis dan menolaknya tubuh Anis ke dinding bilik. “Habis tu kenapa ketawakan abang?”
Muka Anis menjadi merah padam kerana terlalu banyak ketawa. “Anis… Anis tak ketawakan abang. Anis hanya ketawakan….” Dia ketawa lagi.
“Berapa kali abang nak cakap? Masa tu abang tak tahu bunga apa yang Anis suka jadi… I just try my luck, okey?”
Anis ketawa lagi sehingga berair matanya kerana teringatkan peristiwa yang berlaku semasa mereka mula menjalinkan hubungan kira-kira setahun setengah yang lalu.
“Anis! Kau keluar sekejap boleh tak? Aku rasa bos kita sedang panik dekat luar tu,” kata Maria apabila masuk ke pejabatnya dengan tiba-tiba pagi itu. Mukanya begitu serius dan cemas.
“Apa hal?” Dia tidak menunggu lama untuk bereaksi. Di kepalanya hanya terfikir apalah yang telah terjadi kepada Cik Pia, majikan mereka berdua. Dia lantas menarik tangan Maria dan sama-sama melangkah menuju ke pejabat Cik Pia. Waktu itu jantungnya berdegup amat laju. Janganlah terjadi apa-apa kepada Cik Pia, doanya dalam hati.
“Anis!” Suara Cik Pia sungguh lantang.
Langkahnya langsung terhenti. Dia berkerut dahi sambil cuba mempercayai apa yang sedang dilihatnya pada waktu itu.
“A… apa… apa kenanya ni, Cik Pia? Siapa yang hantar ni?” tanyanya tergagap-gagap apabila melihat bilik itu dipenuhi bunga-bungaan yang pelbagai jenis, warna, rupa dan bau. Pejabat itu seolah-olah sebuah kedai bunga pula. Ada bunga ros, carnation, tulip, iris, lili dan pelbagai macam lagi. Sehinggakan yang dia tidak pernah dilihat pun ada juga.
“Bunga raya pun ada?” Maria bersuara sambil mengambil beberapa kuntum bunga raya yang pelbagai warna di antara pelbagai bunga yang ada. Bunga orkid yang paling banyak di situ. Besar, kecil dan pelbagai bentuk.
“Dia beli satu kampung punya bunga agaknya,” usik Maria sambil tersengih.
Cik Pia dan seisi pejabat riuh ketawa.
“Lain kali beritahulah orang tu, bunga apa yang Cik Anis suka. Tak payahlah beli bunga satu kampung ni….” Cik Pia akhirnya bersuara sambil menggeleng.
Muka Anis merah padam dan rasa seperti mahu terbakar apabila ditertawakan lagi oleh rakan-rakan seisi pejabat. Dia yakin pekerja-pekerja Taman Air Vienna (TAV) di tingkat bawah pun pasti boleh mendengar gelak ketawa mereka. Dia sudah rasa seperti mukanya tebal dua tiga inci.
“Ingatkan bunga sekampunglah tu,” tegur Damien.
Ingatan Anis terhadap peristiwa itu terhenti. Senyuman di bibirnya juga perlahan-lahan memudar. “Abang sayang Anis tak?”
“Sekampung,” balas Damien.
Anis tergelak semula. Sejak peristiwa itu Damien suka merujuk kepada perkataan ‘sekampung’ apabila mahu mengaitkan soal ‘banyak’. Dia biarkan sahaja namun perkataan itu tetap mencuit perasaannya.
“Tak percaya?” Damien tersenyum sambil merapatkan bibirnya ke dahi Anis. Dahi itu dikucup untuk sekian kalinya dengan penuh perasaan sayang. “Abang terlalu sayangkan Anis, malah perkataan ‘sekampung’ itu pun tak layak untuk mewakili betapa besarnya kasih sayang abang untuk Anis. Tapi abang tak tahu perkataan lain.”
“Percaya…,” balas Anis perlahan. Dia memang percaya tetapi bukan seratus peratus. Dia juga percaya apa-apa sahaja boleh berlaku di antara mereka berdua. Lebih-lebih lagi kalau dikenangkan apa yang sedang terjadi.
 “Anis sayang abang tak?” tanya Damien pula.
 “Sekampung…,” jawabnya sambil tersenyum.
Damien segera mencuit pinggang Anis.
Anis ketawa kegelian dan cuba lari namun tubuhnya disambar tangan Damien. Mereka bergelut di tepi pintu bilik. Gelak ketawa mereka semakin kuat. Tanpa disedari ada seseorang yang leka memerhati.
“Tuan, puan. Ini beg,” kata Maya yang tercegat di tepi anak tangga. Di sisinya terletak beg baju Anis dan Damien yang sudah dibawa naik ke situ.
Damien dan Anis sama-sama tersentak. Gelak ketawa mereka terhenti.
******
“HA… itulah, buat lagi,” kata Anis sebaik sahaja mereka berdua masuk ke dalam bilik yang dipilih Anis. Mukanya masih merah padam.
Damien hanya ketawa kecil. Kejadian tadi masih berbekas di hatinya. Dia tahu Anis cukup malu jika kemesraan mereka berdua terlihat oleh orang lain apa lagi oleh Maya yang baru mereka kenali beberapa jam yang lalu. Tetapi dia tidak mahu mengambil berat soal itu kerana ada soal lain yang lebih patut dibincangkan sekarang.
Beg yang dibawanya kini diletakkan di luar almari baju. Dia tahu sebentar lagi Anis akan mula mengeluarkan pakaian mereka dan menyusunnya di dalam almari itu.
“Biarlah dulu,” tegurnya apabila Anis mula menyentuh beg pakaian itu, tepat seperti jangkaannya. Dia menarik tangan Anis lalu menghela Anis ke sebuah sofa panjang di sudut bilik itu.
Sekali pandang, dia sangat berpuas hati dengan apa yang disediakan di dalam bilik itu. Semuanya lengkap dan perabotnya sangat minima sehinggakan bilik itu kelihatan luas dan lapang. Ditambah dengan warna tanah yang melatari dinding dan dihias sebuah lukisan cat minyak sebagai titik tumpu. Dia berasa sungguh santai di situ.
Anis mengikut sahaja tanpa sebarang soal.
“Sebenarnya abang ada perkara nak bincangkan dengan Anis,” kata Damien apabila Anis sudah duduk selesa di sisinya.
“Anis tahulah abang seorang pengarah urusan tapi takkan dalam rumah pun nak adakan mesyuarat,” usik Anis sambil tersenyum.
“Mesyuarat ni penting. Soal hidup dan mati,” jawabnya pula dengan muka yang serius.
Dahi Anis mula berkerut seribu. Dia merenung Damien tidak berkelip.
Damien tersenyum. “Abang bergurau sikit pun tak boleh.”
“Tadi kata nak berbincang sekarang nak bergurau pula. Yang mana satu ni, bang?”
“Abang nak tanya, Anis tak kisah ke Maya bekerja di rumah ni?” Baru kini Damien bertanyakan hal yang sebenar. Dia bimbang jika terus bergurau dengan Anis, hal yang ingin ditanyakan langsung hilang entah ke mana. Kerana biasanya begitulah yang terjadi.
“Hal itu….” Anis terdiam seketika. “Abang fikir macam mana?”
“Abang? Kalau abang, abang ikut Anis,” jawabnya cepat. Dia memang tidak tahu mahu berfikir apa. Lagipun rasanya Anis lebih layak membuat keputusan itu jika melibatkan hal rumah tangga. Dia sebagai suami akan ikut sahaja.
“Abang suka sajalah, kan?”
“Aik? Lain macam saja bunyi tu?” Dia pandang Anis lama-lama. Dia dapat menghidu bau cemburu di dalam bilik itu tetapi dia rasa bahagia. Cemburu tandanya sayang. Dia cukup percaya soal itu.
Anis langsung tidak menjawab, sebaliknya menoleh ke arah lain dan menarik muka masam.
Cemburulah tu, kata hati Damien. “Anis, sebab itulah abang tanya Anis. Kalau Anis tak suka dia, kita suruh sajalah dia balik tapi…”
Anis menoleh ke arah Damien semula.
“Tapi siapa nak bersihkan rumah ni? Nanti Anis penat, Anis juga yang membebel macam siaran radio tak cukup penaja,” sambung Damien lagi. Dia berharap agar Anis berfikir masak-masak.
“Abanglah… siapa lagi?” tanya Anis.
“Abang kan bercuti dua minggu?”
Anis tarik muka.
“Abang cuma pandai jadi pengarah urusan saja, jadi pembantu rumah ni abang tak tahu, abang tak pernah belajar,” tambah Damien. Sekaligus mencari helah. Sememangnya dia cukup tidak suka melakukan kerja rumah terutamanya berkemas. Itulah kelemahannya yang paling teruk.
“Kalau dia tak kemas abang sekali, Anis tak kisah,” balas Anis pula setelah berdiam diri.
Damien tersengih. Geli hatinya apabila melihat Anis cemburu. Dengan pembantu rumah pun boleh cemburu, entah-entah selama ini Anis cemburukan Mak Bija juga. Boleh jadi juga kalau Mak Bija itu masih muda dan cantik seperti Maya. Mujurlah Mak Bija itu tua, kalau tidak susah juga jadinya. Tetapi di sebalik itu semua, dia rasa bahagia.
 “Boleh percaya ke ni?” Dia mengusik.
Anis tidak menjawab.
“Tadi kata tak kisah. Ini macam berat hati pula. Kenapa?”
“Yang abang tu macam teruja sangat bercakap soal ni, kenapa?” tanya Anis pula.
Wah! Tingginya nada. Damien mula menghidu keadaan yang berbahaya. Lalu dia menjawab dengan suara yang lembut, “Mana ada teruja? Abang cuma nak tahu. Abang tak nak Anis rasa tak selesa di rumah Anis sendiri. Abang pun tak tahu syarikat yang menguruskan rumah ni ada sediakan pembantu rumah sekali. Tapi kalau Anis tak suka, kita boleh berhentikan dia.”
Lama Anis mendiamkan diri. Mungkin sedang memikirkan kata-kata Damien.
“Abang cuma kisah pasal Anis. Percayalah,” katanya lagi.
Akhirnya Anis mengangguk. Sambil menyentuh tangan Damien, dia berkata, “Kita biarkan sajalah dulu. Kita tengok dia buat kerja macam mana. Kalau okey, biarkan sajalah. Anis pun rasa tak larat nak kemas rumah sebesar ni sorang-sorang.”
“Abang ikut saja. Anis nak pun boleh, tak nak pun boleh.” Damien berlapang dada sahaja. Kalau Anis boleh menerima kehadiran Maya di situ, dia tidak kisah. Dia cuma bimbang jika perasaan Anis makin terganggu.
Anis mengeluh. “Kenapalah abah susah-susah belikan rumah sebesar ini kan, bang? Beli rumah kecil pun tak apa. Sekarang dah kena pakai pembantu rumah.”
“Sebab abah sayangkan Anis,” jawab Damien. Dia bahagia sekali kerana ayahnya sangat menyayangi Anis, isterinya.
Namun jawapannya mengundang gerimis di wajah Anis. Tanpa diduga, Anis mula menangis tersedu-sedu di pangkuannya.
Damien garu kepala.




No comments:

Post a Comment