Tuesday, November 20, 2012

PERCAYALAH SAYANG : Bab 11




Bab 11
Kuala Lumpur.
RUMAH MARZITA. Begitulah nama banglo tiga tingkat yang tersergam megah di pinggir ibu kota. Rumah milik Tan Sri Dzairil dan arwah isterinya. Tempat kediaman mereka sejak hampir tiga puluh tahun yang dulu. Ia dibina di tepi sebuah bukit yang menghadap ke arah banjaran Titiwangsa.
Senja itu, Tan Sri Dzairil masih duduk berehat di atas bumbung banglo miliknya yang menghadap ke arah lereng bukit yang menghijau. Matahari yang sudah jatuh di belakang rumah itu menjadikan kawasan itu redup dan nyaman untuk dijadikan tempat berehat pada waktu petang membawa ke senja. Itulah tempat kegemarannya untuk menghabiskan masa lapang dan bersendirian sejak isterinya meninggal dunia.
 “Tan Sri…,” panggil Khairul.
Tan Sri Dzairil mengangkat muka daripada majalah TIMES yang sedang dibacanya. Cermin mata yang dipakai ditanggalkan. Daripada nada suara Khairul dia tahu ada sesuatu yang ingin disampaikan dan perkara itu bukanlah perkara yang menggembirakan. Mungkinkah?
“Tentang Natrah….” Kata-kata Khairul terhenti lagi.
Semakin tajam renungan Tan Sri Dzairil menikam wajah Khairul. Sedar-sedar sahaja dadanya mula berdebar-debar namun dikawal agar tidak terlalu kuat. Dia bimbang dia akan diserang sakit jantung pula.
“Ada ramai Natrah dalam fail pendaftaran negara. Saya masih siasat satu persatu,” sambung Khairul.
Tan Sri Dzairil menarik nafas lega. Dia fikirkan Khairul mahu menyampaikan berita yang lebih memeritkan daripada itu. Mujurlah tidak.
“Tak perlu tergesa-gesa. Asalkan awak dapat cari dia.”
“Saya juga sedang menjejaki majikannya yang terakhir,” kata Khairul lagi.
“Ikut awaklah. Setahu saya dia sudah tinggalkan tempat tu. Mungkin juga dia sudah balik ke kampung dia di Thailand.”
“Siapa yang beritahu?” tanya Khairul pula.
Tan Sri Dzairil terdiam. Pedih hatinya apabila diminta menyelak kenangan lama yang telah dikambus rapat-rapat. Namun oleh kerana dia yang berhajat, dia juga yang harus berkorban.
“Arwah mak saya.” Dia lantas teringatkan sesuatu.
“Mama tak mahu Dzairil tanya pasal dia lagi. Dia bukan siapa-siapa dengan kita,” kata arwah ibunya puluhan tahun yang lalu apabila dia bertanyakan Natrah sekembalinya dia dari England.
“Tapi mama, dia….”
“Dzairil fikir kenapa mama dan papa hantar Dzairil belajar jauh-jauh?”
Dia terdiam. Sungguh dia terdiam dan apa yang terfikir di kepalanya pada waktu itu tidak berani diluahkan. Dia tidak berani menuduh ibunya telah merancang untuk memisahkan dia dengan Natrah dengan cara yang begitu halus. Lima tahun dia di perantauan, tidak ada sehari dia tidak merindui Natrah.
“Selepas Dzairil pergi ke England, dia keluar dari rumah kita.” Ibunya menambah. “Tak guna Dzairil cari lagi perempuan macam tu. Tak setia.”
“Mama halau dia, kan?”
Bulat mata ibunya memandang wajahnya. Namun pertanyaannya itu tidak pernah dijawab sehinggalah ibunya menutup mata. Dan baginya jawapan itu tidak penting kerana tiada bezanya apabila Natrah terus tidak ditemui sehingga kini.
“Apa lagi awak nak tanya?” Dia pula yang menyoal Khairul. Kenangan lama itu dipadamkan segera.
“Sebelum ni… Tan Sri tak pernah cari dia?”
Dia termenung seketika. “Pernah. Semasa saya baru balik dari England tapi dia memang sudah tak ada di situ.”
“Selain itu?”
“Selepas saya berkahwin dengan Puan Sri… saya lupakan dia.” Satu pengakuan yang begitu berterus-terang. Ya, dia pernah melupakan Natrah demi kebahagiaan keluarganya. Adakah itu satu kesilapan? Dia tidak pasti.
“Saya faham,” balas Khairul.
“Kalau awak jumpa dia… jangan cakap apa-apa pasal saya. Perhatikan saja bagaimana keadaan dia.”
“Tan Sri tak nak jumpa dia?”
Tan Sri Dzairil tidak menjawab apa-apa. Dia belum tahu sama ada akan berjumpa Natrah ataupun tidak kerana dia tahu, dia yang bersalah. Majalah TIMES di ribanya, diambil dan dibuka semula. Namun ketenangan jiwa yang diharapkan di situ sudah tiada.
******
TROLI yang berisi lampin pakai buang, setin susu dan beberapa paket Maggi ditolak perlahan-perlahan di celah rak-rak barangan yang mempamerkan barangan dapur. Maria membelek botol kicap yang tersusun rapi di situ, dia mencari-cari botol kicap berjenama yang digemari oleh Joe. Sedang mahu mengambil botol kicap yang dicari, telinganya menangkap bunyi isyarat mesej masuk ke telefon bimbitnya.
“Jumpa?” tanya Joe yang baru tiba berdekatan dengannya. Daniel di pangkuannya hanya terkelip-kelip. Sesekali air liurnya menyembur keluar dan meleleh. Cepat-cepat Joe menyapunya.
Maria angguk tanpa menoleh. Leka matanya membaca SMS yang tertera di situ. Perlahan-lahan bibirnya menguntum senyuman.
“SMS daripada pakwe ke?”
“Makwe Daniel,” balas Maria. “Kan Daniel, kan?”
Joe pandang Daniel. “Makwe Daniel? Amboi! Papa dulu habis sekolah baru ada makwe. Daniel kecil-kecil lagi dah ada?”
“Sebab papa Daniel tak comel macam Daniel,” sambut Maria sambil ketawa kecil. Telefon bimbitnya disimpan di dalam beg tangannya semula. Sesungguhnya SMS itu sungguh menggembirakan hatinya.
“Seronok semacam saja mama Daniel ni? Papa risau…,” kata Joe sambil berpura-pura berbincang dengan Daniel di pangkuannya.
Maria mengeluh sebelum ketawa kecil. Dia mencium pipi Daniel. “Ada orang jeluslah, Daniel.”
Daniel hanya bergerak-gerak dalam pangkuan Joe. Air liurnya menyembur-nyembur lagi.
“Nak menjawablah tu,” kata Maria. Gembira melihat Daniel begitu dan lebih gembira dengan berita yang baru diterima tadi.
“Cakaplah… siapa SMS tadi tu?” Joe akhirnya kembali serius. Mungkin sudah hilang sabar.
“Anis.” Maria pandang Joe.
Joe tidak berbunyi. Dia hanya menunggu.
“Anis SMS alamat rumah baru dia tu. Dia ajak kita bertiga datang ke sana,” terang Maria. Dia tahu Joe bukanlah merajuk betul-betul.
“Bila kita nak pergi?”
“Esok pun boleh kalau kita berdua menganggur.”
Joe langsung terdiam. “Esok, abang cuba minta cuti. Maria tetapkan hari.”
“Sebenarnya, saya dah beritahu pada Cik Pia hal ni. Cik Pia kata, dia okey saja kalau saya ambil cuti. Lagipun cuti tahunan kan masih ada?”
“Kalau macam tu, Maria tetapkan tarikh, okey. Abang cuba apply ikut tarikh tu,” balas Joe pula.
Maria pandang Joe lama-lama. Hatinya gembira dan teruja untuk ke sana tetapi dalam masa yang sama ada sesuatu yang mengganggu fikirannya.
“Abang… saya belum beritahu mak yang kita nak tinggalkan Daniel kat sana nanti.”
Joe menarik tangan Maria ke arah tepi. Kini mereka berdua berdiri rapat ke rak bagi memberikan peluang pelanggan lain untuk memilih barang.
“Nak cakap ke?”
“Takkan tak cakap? Nanti kalau mak tanya kenapa bawa baju Daniel banyak sangat, apa nak jawab?” balas Maria pula.
“Diam-diam sajalah,” balas Joe.
“Kalau balik nanti mak tanya macam mana?”
“Maria jangan fikir susah-susah dulu, boleh tak? Abang sakit kepala,” balas Joe.
Maria tidak menjawab lagi. Botol kicap kegemaran Joe diambil sebotol lalu dimasukkan ke dalam troli. Dia terus menolak troli itu ke kaunter bayaran. Rasa gembiranya tadi kini bercampur resah. Dia tidak fikir ibu mertuanya akan bersetuju dengan tindakan mereka nanti tetapi dia harus memilih di antara dua hati yang harus dijaga.
******



Sementara itu di Flat Sri Mastura…

“Tutup cepat hari ni, Ani?” tegur Mak Cik Izzah apabila terlihat wajah Mak Ani yang baru tiba di hadapan pintu rumah.
Mak Ani meletakkan bakul yang dibawanya ke atas lantai. Dia menanggalkan tudung yang dipakai lalu dikibas-kibas ke muka sambil melangkah mendekati Mak Cik Izzah yang duduk berehat di pangkin luar rumahnya.
“Kepala aku ni asyik pening dari pagi tadi. Sampai pukul lapan tadi, aku dah rasa nak tumbang.” Akhirnya dia menjawab juga dan terasa sedikit lega apabila apa yang ditanggung seorang diri diluahkan.
Mak Cik Izzah mengesot ke tepi bagi memberikan tempat untuk Mak Ani duduk. Kini mereka berdua duduk-duduk di situ sambil memandang dada malam yang terang disimbah cahaya kota.
“Tekanan darah engkau naiklah tu. Ubat engkau dah habis ke?”
Mak Ani diam sahaja. Memang ada kemungkinan itu yang berlaku tetapi dia sudah sampai ke satu peringkat di mana dia sudah berasa teramat jemu menelan ubat. Ada kalanya dia lebih rela menanggung sakit daripada memasukkan ubat itu ke dalam mulutnya lagi. Jemu.
“Engkau ni duduk termenung di luar ni kenapa pula?” Mak Ani bertanya seraya menepuk lembut peha Mak Cik Izzah. Dia tidak ingin dileteri bagaikan budak setahun jagung.
Mak Cik Izzah mengeluh. “Entahlah, Ani. Dah tua-tua ni… terfikir pula nasib hidup aku ni. Sudahlah anak entah di mana, anak angkat pun tak mahu tinggal dengan aku.”
“Anak engkau tak balik jenguk kau?”
“Dia kata nak balik minggu depan. Tapi entahlah tu. Dulu pun kata macam tu juga tapi bila sampai harinya, dia kata nak ikut kawan pergi Genting Highland.”
“Alah… budak-budak muda. Berseronok tu lebih penting daripada tengok muka kita ni. Esok, bila kita dah tak ada, baru nak menangis-nangis,” balas Mak Ani. Dia mula terkenang anak-anaknya yang lain selain Joe. Mujurlah Joe dan Maria mahu tinggal berdekatan selepas berkahwin. Kalau tidak… nasib mereka berdua tentu tidak jauh bezanya.
“Engkau lainlah, engkau beruntung. Anak dan menantu duduk dekat saja. Hari-hari boleh tengok muka cucu.”
“Redha sajalah, Izzah. Tak guna bersungut. Lagi kita tak bersyukur, lagi kita mudah sakit. Dah tua-tua ni, jangan banyak fikir itu tak cukup, ini tak cukup. Apa yang ada, kita terima. Apa yang tak ada, tak payah rasa sedih. Dah bukan rezeki kita.” Panjang lebar Mak Ani menasihatkan Mak Cik Izzah. Dia tahu Mak Cik Izzah rasa di antara mereka berdua sungguh besar perbezaannya.
Walaupun sudah hampir 10 tahun, mereka tinggal berjiran di flat itu, dia tidak begitu tahu kisah hidup jirannya itu. Apa yang dia tahu, Mak Cik Izzah seorang janda yang mempunyai seorang anak yang tinggal bersama bekas suaminya. Selain itu Mak Cik Izzah mempunyai seorang anak angkat perempuan yang dipanggil Ana tetapi sekarang sudah tinggal di asrama tempat gadis itu bekerja. Segala perbelanjaan hidupnya ditanggung oleh wang pencen dan sedikit bayaran yang diberikan Maria sebagai upah untuk menjaga Daniel setiap hari.
“Engkau cakap senanglah… aku ni yang mungkin mati sorang-sorang di rumah ni esok,” balas Mak Cik Izzah.
“Hisy! Janganlah minta macam tu. Aku ni kan ada? Maria ada, Joe ada… kami akan tengok-tengokkan engkau. Janganlah bimbang.” Tidak sangka, ke situ pula yang difikirkan oleh Mak Cik Izzah malam itu. Pilu pula hati tuanya.
“Anak orang, lain dengan anak sendiri.”
Mak Ani mengeluh perlahan. “Habis tu? Engkau tak cuba cari anak kau tu? Entah-entah dia pun cari kau.”
Lama Mak Cik Izzah terdiam. Dia termenung jauh. “Bukan aku tak nak cari tapi jejak kaki ke kampung itu pun, bekas suami aku tak benarkan. Ini kan pula nak melihat anak aku.”
“Itulah kalau mengikutkan sangat nafsu marah. Suami isteri yang bergaduh, anak yang jadi mangsa.”
“Dulu aku ada dengar dari orang kampung… bekas suami aku dapat anak baru tiga orang. Entah bagaimanalah nasib anak aku tu.”
Suasana menjadi hening. Mak Ani diam sahaja bagi memberikan ruang untuk Mak Cik Izzah meluahkan perasaannya. Mungkin dengan itu, hati Mak Cik Izzah akan kembali tenang.
“Bukan aku tak nak bawa dia sekali pada masa tu tapi suami aku tak izinkan. Lagipun madu aku tu kononnya sayang sangat pada anak aku tu,” sambung Mak Cik Izzah.
“Kalau aku jadi kau Zah, aku heret juga anak aku tu. Tak kiralah, apa pun nak jadi,” balas Mak Ani.
“Kalau difikirkan balik… memang aku menyesal tak bawa dia. Tapi yalah, benda dah berlaku. Anak aku tu pun dah besar panjang. Entah-entah dah kahwin pun.”
“Carilah dia,” gesa Mak Ani.
“Nak cari macam mana? Lagipun nanti orang kata dah besar baru nak cari, dah tua baru ingat anak, dah besar baru nak menumpang senang. Aku pun tak mahu menyusahkan dia….” Suara Mak Cik Izzah begitu keras.
Mak Ani mati akal. “Kalau macam tu… berdoa sajalah moga-moga sebelum kau menutup mata, kau dapat berjumpa dia semula. Berdoa juga, moga-moga hatinya terbuka untuk cari kau sebelum terlambat.”
“Ani… katakanlah aku tak sempat jumpa dia. Boleh tak kau cakap pada dia… aku bukan tak sayang dia, bukan saja nak tinggalkan dia tapi pada masa tu aku memang tak dapat bawa dia ikut aku. Aku diceraikan depan tangga, dihalau sehelai sepinggang… parang dihalakan ke muka aku.” Suara Mak Cik Izzah semakin sebak.
“Kalau itu yang kau nak… aku akan tunaikan kalau aku terjumpa anak kau. Tapi aku lebih suka kau tak putus asa. Kau berdoalah sunguh-sungguh, minta pada Tuhan untuk jumpa semula anak kau walaupun sekali. Selagi kita hidup, selagi itu macam-macam boleh berlaku.”
Mak Cik Izzah diam.
“Aku dah tak larat ni, Zah. Aku nak masuk dulu. Kau jangan nak termenung lama-lama dekat sini…kang ada pula yang meneman. Pergi masuk tidur. Esok lusa adalah si Ana tu balik. Jangan fikir yang bukan-bukan.” Mak Ani angkat punggung. Bahu Mak Cik Izzah ditepuk lembut. Bukan dia tidak mahu melayan lagi rawan hati jirannya itu cuma jika ditunggu, mahu dia pitam di situ.
“Esok Maria kerja?” Sempat Mak Cik Izzah bertanya sebelum Mak Ani jauh menapak.
“Kerja,” jawab Mak Ani sambil memulas kunci rumahnya. Dia masuk ke dalam sambil melepaskan nafas yang panjang. Dia tahu, selagi bernyawa… kisah manusia tidak akan habis. Entah apa pula yang akan terjadi esok hari, entah apa pula nasib dirinya.

No comments:

Post a Comment