Thursday, October 4, 2012

Perasaan Yang Pernah Ada 2




MEREKA yang hadir di tanah perkuburan mulai bersurai seorang demi seorang. Kubur yang ditinggalkan makin sepi. Antara yang paling akhir melangkah pergi adalah Sofea.
“Sofea!” panggil Yazid yang berdiri berdekatan dengan keretanya.
Sofea menoleh. Melihatkan wajah Yazid yang muram dia makin teringatkan arwah Darlina.
“Boleh aku cakap sekejap?”
“Cakaplah,” balas Sofea. Kini mereka berdua sahaja yang tinggal di luar tanah perkuburan itu.
“Darlina sakit apa sebenarnya?” tanya Yazid.
“Sakit jantung,” jawab Sofea. Dia masih tidak faham apa masalah Yazid sebenarnya sehingga nampak begitu muram.
Yazid angguk. Kemudian dia bertanya pula, “Pernah tak semasa arwah hidup dia bercerita tentang aku pada kau?”
Sofea tergamam. Untuk sesaat dia panik.
“Tentulah ada. Kita kan… sepejabat,” jawabnya. Dadanya sudah mula berdebar-debar.
“Cerita pasal apa?”
“Yazid… kenapa kau tanya macam ni? Tak baiklah nak mengumpat pasal arwah,” balas Sofea. Dia sudah mula rasa tidak sedap hati dengan pertanyaan Yazid.
“Aku perlukan jawapan, Sofea. Dan aku tahu, kaulah kawan Darlina yang paling akrab. Aku yakin kau boleh bantu aku.”
“Jawapan? Jawapan apa yang kau cari? Darlina ada hutang apa-apa dengan kau ke?”
Yazid menggeleng pula.
Sofea membetulkan tudungnya yang disingkap angin. Berada di situ dalam suasana yang makin sunyi seperti memanggil rasa rindunya kepada Darlina. Tetapi dia tahu, mulai hari ini dia akan hidup tanpa Darlina di sisi cuma dia masih hairan kenapa setelah Darlina pergi, Yazid baru ingin bertanya.
“Aku mahu sama ada betul atau tidak, Darlina adalah insan yang bernama Dee?”
Sofea menarik nafas panjang. Tanpa berlengah, dia tinggalkan tempat itu walaupun dia tahu Yazid akan tetap mengejarnya.
“Sofea!” panggil Yazid.
******
   Sehari selepas itu di kafe…
“Buat apa kau nak tahu, Yazid? Darlina dah tak ada. Semua tu dah tak penting lagi dah. Lagipun… kau pun dah nak dapat anak tak lama lagi. Lupakanlah perkara-perkara yang tak berkaitan dengan rumah tangga kau,” kata Sofea sewaktu diganggu Yazid buat sekian kalinya.
“Selagi kau tak berikan jawapan ya atau tidak, aku takkan berhenti,” balas Yazid. “Tolonglah kata ya atau tidak.” Yazid renung muka Sofea.
Sofea tarik nafas lagi. Dia benar-benar tersepit antara amanah yang dipegang dan desakan Yazid yang kian menyusahkan hidupnya. Ke mana-mana dia pergi seolah-olah Yazid mengekorinya.
“Kalau aku kata tidak?”
“Kau bohong.”
“Kalau kau dah tahu jawapannya, tak payahlah aku cakap lagi,” kata Sofea.
“Kenapa kau mesti main tarik tali begini, Sofea? Kau… nak balas dendam pada aku?” tanya Yazid pula.
“Kau tu yang bersikap entah apa-apa,” balas Sofea. Dia geram dengan tuduhan Yazid terhadapnya.
“Kita sama-sama tahu kebenarannya, kan?”
“Kalau kau dah tahu jawapannya, janganlah ganggu aku lagi.”
“Aku tahu cuma aku nak pastikan apa yang aku tahu ni betul atau tidak. Dan yang boleh berikan aku kepastian itu ialah kau,” kata Yazid lagi. Perbincangan mereka semakin serius.
“Kalau aku berikan jawapan pun, kau nak buat apa? Apa yang kau dapat?”
Yazid terdiam. Dia mengalihkan pndangan matanya dari wajah Sofea ke arah luar kafe. Jauh pandangan matanya menerobos bangunan-bangunan pencakar langit di situ. Lama dia termenung.
“Sejak aku ternampak sekeping lukisan di rumah ibu Darlina hari tu, aku… mula terfikir bahawa Darlina adalah Dee. Selama ini aku benar-benar tak tahu yang…”
“Lukisan apa?”
“Aku pernah menghadiahkan Dee sekeping lukisan. Lukisan rumah di atas bukit yang menghadap laut. Aku lukis dengan menggunakan perisian komputer, aku berikan kepada Dee melalui e-mel. Itu adalah gambar rumah kami. Harapan kami untuk masa depan. Bagaimana Darlina boleh memilikinya jika dia bukan… Dee?”
Sofea angkat bahu. Dia masih belum mahu mengesahkan hal itu, dia sendiri baharu tahu walau dia perasan ada sekeping gambar rumah yang dicetak dan digantung pada dinding rumah ibu Darlina tempoh hari.
“Cakaplah, Sofea,” desak Yazid lagi.
Sofea hanya mampu menggeleng.
******
HARI-HARI selepas itu… Yazid seakan berhenti menganggu Sofea lagi. Sofea menyangkakan hidupnya akan tenang semula sambil dia cuba menyingkirkan banyak kenangan bersama Darlina yang membayangi langkahnya setiap hari. Dia selalu berdoa semoga roh Darlina aman di alam barzakh dan dia akan terus cuba melalui hari-hari tanpa Darlina dengan tenang.
“Sudah 40 hari.”
Sofea mengangkat muka apabila terdengar suara itu. Lama matanya merenung Yazid yang menarik kerusi di hadapannya. Dia yang baharu sahaja mahu menyuap nasi ke mulut terus rasa seperti tercekik.
“Sudah 40 hari Darlina pergi,” sambung Yazid lagi sambil memerhati Sofea yang cuba berlagak tenang. “40 hari juga aku menantikan kepastian dari kau.”
“Sudahlah, Yazid,” rayu Sofea. Dia bangkit sambil mengangkat pinggan dan gelasnya untuk duduk di tempat lain namun tangannya cepat disambar oleh Yazid.
“Ke mana pun kau lari, aku akan kejar,” katanya.
Sofea duduk semula. Dia tidak mahu rakan-rakan sekerja mereka menyangkakan yang bukan-bukan pula  antara dia dan Yazid.
“Tolonglah, Sofea. Sudah 40 hari aku asyik tertanya-tanya begini.” Yazid terus merayu lagi.
“Kau seorang yang pentingkan diri, kan?” balas Sofea pula.
Yazid tergamam.
“Kau nak tahu bukan kerana jawapan itu terlalu penting bagi kau, bukan?” sambung Sofea lagi dengan penuh rasa marah. “Kau cuma nak tahu supaya hati kau puas dan tenang. Hanya itu, kan?”
“Sofea…” tegur Yazid.
“Sedikit pun kau tak fikirkan pasal Darlina.”
“Aku…”
“Aku nak tanya kau depan-depan sekarang. Katakanlah, enam tahun lepas sewaktu kau berkawan dengan Dee, dan kau dapat tahu Dee adalah Darlina. Adakah kau akan berkahwin dengan dia?”
Yazid diam.
“Aku rasa tindakan Dee adalah tepat. Itulah cinta terhadap manusia yang sebenar. Dia berkorban untuk kau kerana dia nak tengok kau hidup bahagia dengan perempuan yang lebih cantik, lebih baik dan lebih segala-galanya daripada dia. Tapi kau? Apa yang kau buat untuk Dee pula? Apa?”
Yazid tidak menjawab.
“Dee tahu… cinta sesama manusia bukanlah cinta yang hakiki. Dia lepaskan cintanya walau dia ingin sekali memiliki kau kerana erti cinta baginya lebih besar daripada kepuasan dirinya sendiri. Tapi kau?”
“Jadi… kau mengakulah yang Darlina itu Dee?”
“Sampai mati pun aku takkan jawab pertanyaan kau tu, Yazid. Kau nak tahu sebab apa?” Sofea renung muka Yazid yang terlukis riak hampa.
Yazid angguk.
“Sebab aku telah berjanji kepada Darlina. Dan aku akan tetap berpegang kepada janjinya walaupun dia sudah tak ada. Dia… sahabat aku yang paling banyak mengajar aku tentang hidup dan cinta. Aku tak mahu menjadi seorang pengkhianat. Segala rahsianya akan tetap aku simpan.”
Lama Yazid termenung.
“Lupakanlah perkara ini, Yazid. Siapa pun Dee itu, hanyalah kenangan. Tetapi isteri kau, anak-anak kau yang bakal lahir adalah masa depan. Tak usahlah kau cuba mengejar bayang-bayang. Kau takkan dapat menangkapnya.”
“Sofea,” panggil Yazid. “Jangan fikir aku lelaki jahat yang tidak berhati perut. Selama aku berkawan dengan Dee, aku mencintainya sepenuh hati. Aku tak kisah pun siapa dia, rupanya bagaimana atau…. Aku cuma teruskan hidup kerana dia… dia kata dia sudah ada orang baru. Kau tahu tak? Hidup aku kacau-bilau pada masa itu.”
“Aku tahu. Darlina juga tahu. Malah semua rakan-rakan sepejabat kita tahu,” balas Sofea dengan hati-hati. Ingin sekali, dia ceritakan betapa tersiksanya jiwa Darlina menyaksikan itu semua. Betapa teruknya pula dia memberikan Darlina semangat untuk bangkit semula pada waktu itu. Akan tetapi segala cerita itu ditelannya dalam-dalam. Biarlah Yazid tidak tahu.
“Tapi kenapa dia buat aku macam ni, Sofea? Kalau dia bernar-benar Dee, kenapa dia tak mahu mengaku saja?”
“Aku dah tanya tadi, kan?” balas Sofea. “Kalaulah benar Darlina itu Dee dan dia mengaku pada kau depan-depan, adakah kau akan terima dia? Ataupun kau jauhi dia… kau tinggalkan dia…. Jawapan pertanyaan kau tu ada dalam jawapan pertanyaan aku tadi.”
“Dia takut aku… tolak dia?” tanya Yazid lambat-lambat.
“Kau sendiri tahu apa masalahnya, kan?”
Yazid angguk.
Sofea diam. Walaupun Darlina seorang gadis yang bijak dan baik namun dia dianugerahkan dengan wajah yang sedikit cacat. Darlina bukanlah gadis yang boleh dipanggil cantik secara luaran, tambahan lagi dengan penyakit jantung berlubang yang dihidapinya sejak kecil. Keadaan itu membuatkan Darlina sentiasa berasa rendah diri untuk bergaul namun sebagai seorang gadis normal dari segi jiwanya, tentulah Darlina tidak dapat menolak dari rasa cinta yang hadir di hatinya.
“Demi kebaikan kau… dia… buat itu semua,” kata Sofea lagi.
Yazid hanya diam termenung.
“Dan aku harap apa pun yang dia buat… kau hargailah. Cintai isteri kau, sayangi anak-anak kau…” Mata Sofea mula bergenang. Hanya dia yang tahu segala rasa hati Darlina selama ini. Menceritakannya kepada Yazid seperti melepaskan beban yang teramat berat.
Akhirnya Yazid angguk. Matanya bengkak.
“Jadi… Darlina adalah Dee?” Dia bertanya lagi untuk sekian kalinya.
Sofea angkat bahu. Perlahan-lahan dia bangkit meninggalkan Yazid yang terus termenung di situ. Biarlah Yazid fikir perlahan-lahan.
TAMAT 

*************************

 Cerpen saya yang bertajuk 'Kerikil-Kerikil Di hati' telah terpilih untuk disiarkan dalam majalah
Mingguan Wanita Edisi 1507  (5 Oktober-11 Oktober)
Jemputlah baca di sana.

1 comment:

  1. *HOKIBET
    *BUKATOGEL.COM
    *DAFTAR
    *REFERRAL
    *BUKU MIMPI
    *PREDIKSI

    * Potongan/Discount Bukatogel.com :
    * 2D : 29% = Rp. 70.000
    * 3D : 56% = Rp. 400.000
    * 4D : 65% = Rp. 3.000.000

    * BBM : 7boc7177
    * HP/SMS : +639277025291

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.