Sunday, September 30, 2012

Cerpen : Perasaan Yang Pernah Ada



“Teringat lagi ke?” Sofia melontarkan pandangan seketika kepada pasangan pengantin yang baharu sahaja turun dari pelamin. Kemudian dia memandang aku pula yang sejak tadi merenung tanpa berkelip.
Aku diam. Sukar untuk kujawab pertanyaan itu seperti mana sukarnya untuk aku melupakan segala-galanya walau sudah hampir dua tahun berlalu. Perasaan itu masih ada.
Sofia pegang bahu aku. Diusapnya lembut.
Aku jadi malu, aku bimbang ada orang yang perasan ataupun tertanya-tanya pula. Lalu aku tolak tangan Sofia dengan baik.
“Jom kita balik!” kataku. Beg tangan sudah kuambil. Aku bersedia untuk meninggalkan majlis perkahwinan yang belum berakhir itu. Bagaimanapun apalah ertinya majlis itu seandainya pengantin perempuannya… bukan aku.
“Tunggulah dulu. Kita belum pun jumpa Yazid. Nanti dia ingat kita tak datang pula majlis dia,” balas Sofia.
“Alah, buat masa sekarang, kita datang atau tak datang dia bukan nampak lagi. Yang dia nampak hanya muka isteri dia,” jawabku pula.
Sofia tarik nafas kemudian diam seketika seperti cuba menyelami kata-kataku. “Tunggulah sekejap lagi. Majlis dah nak habis ni. Kau tak nak ke kenal dengan isteri dia tu?”
Aku geleng.
Sungguh aku tidak sanggup untuk bertentang mata dengan isteri Yazid. Apatah lagi untuk berpura-pura gembira di hadapan Yazid. Biarlah aku pandang dia dari jauh sahaja. Itu sahaja yang aku mampu kerana pada hari itu, aku sedar yang hatiku masih rapuh untuk berdepan dengan sebuah rasa kecewa.
“Okeylah, aku pun tak nak kau stres sangat. Aku harap, semasa dia buka hadiah kita nanti dia tahulah kita datang ke majlis dia.” Sofea bangkit berdiri.
Aku pun ikut Sofea meninggalkan majlis itu. Di muka pintu aku hanya ditegur oleh adik-beradik Yazid kerana ibu bapa Yazid sedang sibuk melayan keluarga besan mereka. Aku rasa sangat kosong, sangat tidak dikehendaki di majlis itu.
Setelah menerima cenderahati daripada salah seorang adik Yazid, aku beredar bersama air mata yang membasahi pipi.
*******

Lima tahun lalu…
“Bila kau nak berterus-terang dengan dia ni?” tanya Sofea sambil melihat aku sibuk berchatting dengan Yazid di Facebook.
“Entahlah…”
“Lambat laun kau kena terus-terang juga pada dia.”
“Aku belum ada kekuatan,” balasku.
“Tapi dia betul-betul sayang pada kau. Tak baik kau buat pada dia macam ni.” Sofea renung muka aku dalam-dalam.
“Aku dah kata, aku tak kuat. Aku takut kalau dia tahu siapa aku, dia terus tak mahu kawan dengan aku lagi.”
“Kenapa pula macam tu? Kalau dia dah sayangkan kau… dia sepatutnya boleh terima siapa kau yang sebenarnya.”
“Sepatutnya begitu tapi…”
“Lebih baik kau berterus-terang saja, Dar. Daripada kau siksa dia, kau siksa diri kau macam ni.”
Aku geleng. Hatiku kuat mengatakan yang aku akan kehilangan Yazid jika aku berterus-terang kepadanya siapa aku yang sebenarnya. Aku yakin Yazid akan menolakku mentah-mentah. Yazid akan menjauhiku. Padahal dia telah menjadi sebahagian daripada hidup aku selama ini. Tanpa dia aku akan kembali sunyi dan tidak bersemangat untuk meneruskan hidup yang sudah lama terumbang-ambing. Tetapi lumrahnya hidup… rupa paras dan usia sering kali tidak berbelas kasihan.
“Aku tahu… aku tak akan jadi isteri dia, Sofea. Satu hari nanti dia akan tinggalkan aku juga,” kataku perlahan. Satu hakikat yang aku sendiri akui.
“Jadi? Apa bezanya kalau kau berterus-terang dengan dia sekarang?”
Aku geleng. “Kalau kau kasihankan aku… tolonglah jangan desak aku dan tolonglah jangan beritahu dia tentang hal ini. Berilah aku sedikit masa untuk merasa kasih sayangnya sementara boleh. Sekurang-kurangnya ada juga sesuatu yang manis untuk menjadi peneman mimpi aku di malam hari.”
Sofea hanya menggelengkan kepala.
“Kau patut cuba, Dar. Mana tahu kalau-kalau terbuka hatinya untuk menerima kau. Mungkin semua sangkaan kau tu meleset.”
“Perasaan aku pada dia terlalu besar. Walaupun aku sayangkan dia tetapi aku sedar diri. Aku sedar aku lebih tua daripada dia, aku sedar aku tak cantik dan tak padan dengan dia. Jadi aku tak mahu dia terasa serba salah untuk terima aku apabila dia tahu aku siapa. Mungkin selepas itu, dia tak akan berkawan lagi dengan kita berdua. Mungkin juga dia akan minta kerja di tempat lain. Aku tak mahu kehilangan dia macam tu saja.”
“Pening kepala aku. Mula-mula aku rasa kau fikirkan soal dia. Kemudian aku fikir kau hanya pentingkan diri kau,” balas Sofea.
Mataku membesar. “Kenapa kau cakap macam tu?”
“Kau nak biarkan dia macam tu berapa lama? Setahun? Dua tahun? Sampai bila kau nak dia terus memasang angan-angan sedangkan kebenarannya kau sorokkan. Sampai bila?”
Aku diam.
“Aku lihat dia selalu tersenyum di pejabat. Aku lihat dia bersemangat sejak kenal orang yang dia anggap sebagai kekasih dia. Sayangnya aku yang sedih bila terpandang dia. Aku takut dia kecewa satu hari nanti apabila tahu hal yang sebenarnya.”
Aku tarik nafas. Aku diam. Kata-kata Sofea membuatkan aku serba salah. Adakah aku hanya mementingkan diri sendiri?
******
Yazid 83: Dee, bila nak jumpa ni?
Dee        : Dee sibuk.
Yazid83 : Takkan satu hari pun tak boleh jumpa?
Dee        : Tunggulah nanti kalau Dee nak jumpa Dee bagitau.
Yazid83 : Sampai bila nak macam ni, Dee? Mak dah tanya bila nak bawa Dee datang                  rumah jumpa dia.
Dee          : Kalau mak Yazid nak sangat Yazid kahwin, Yazid cari orang lain sajalah.
Yazid83   : Ada ke patut cakap macam tu? Yazid nak kahwin dengan Dee saja.
Dee     : Kalau Dee cakap Dee tak boleh kahwin dengan Yazid?
Yazid  : Yazid tak kahwinlah sampai bila-bila.
Dee     : Ramai perempuan lain.
Yazid  : Tapi tak sama dengan Dee.
Dee     : OFFLINE

Aku menangis. Hari demi hari Yazid terus mendesak untuk berjumpa dengan aku. Aku makin sedar bahawa Yazid semakin menyayangiku dan aku juga begitu.
“Jumpalah saja dia, Dar. Kesian dia,” pujuk Sofea. “Dia serius tu.”
Aku geleng.
“Aku tak boleh.”
“Aku temankan,” balas Sofea.
Aku tetap geleng. “Aku akan kehilangan dia, Sofea.”
“Mana kau tahu? Kau belum jumpa dia lagi. Mungkin dia tak seperti lelaki lain. Mungkin dia tak pandang pada perbezaan usia atau rupa paras.”
“Aku tak suruh dia sayang aku.” Air mataku mula mengalir lagi. “Aku tak suruh.”
“Aku tahu kau tak suruh dia jatuh cinta pada kau tapi… sikap kau menawan hati dia. Kau orang berdua serasi, saling memberi semangat, saling melengkapi. Apa lagi yang penting?”
Air mataku makin banyak yang turun.
“Aku tak boleh jumpa dia, Sofea. Aku lebih rela kehilangan dia daripada jumpa dia dan berterus-terang akulah perempaun yang dia ingin kahwini itu.”
“Tapi kenapa?”
“Sebab jika aku kehilangan dia sekarang, aku masih boleh berada dekat dengan dia lagi. Melihat dia dari jauh sudah cukup buat untuk aku teruskan hidup.”
Sofea tarik nafas panjang.
“Okey, kalau itu keputusan kau. Aku harap kau make it quick. Makin lama kau tunggu, perkara ni makin susah. Makin kuat cinta dia pada kau, makin susah kau nak putuskan perhubungan kau dengan dia. Aku tahu sangat hati kau tu… kau nak tapi kau tak berani. Kau rela hilang sedikit daripada hilang semua. Tapi bagi akulah… lebih baik kau lepaskan dia secepat mungkin. Mungkin kau hanya menjauhkan jodoh dia sahaja.”
Aku diam sambil menyapu air mataku. Walaupun kata-kata Sofea itu betul namun apa yang aku tanggung masih tak terselam dek perasannya. Aku mencintai Yazid walau aku tahu aku tak boleh memilikinya. Dan berdepan dengan dia selepas ini mungkin akan jadi jauh lebih sukar daripada hari-hari sebelumnya.
Aku harus belajar hidup sendiri semula.
*******
Yazid83: Dee? Dee?
Dee       : Ya.
Yazid83: kenapa senyap saja kebelakangan ni?
Dee       : Sibuk
Yazid83: Sibuk ke atau dah tak suka?
Dee       : OFFLINE

Selepas beberapa hari, Yazid menghubungi aku lagi.

Yazid83 : Dee?
Dee        : Ya
Yazid83: Kenapa ni?
Dee       : Kenapa apa?
Yazid83: Dee dah tak macam dulu.
Dee        : Baguslah kalau tahu.
Yazid83: Kenapa Dee? Yazid ada buat salah ke?”
Dee        :Yazid tak salah tapi Dee yang salah.
Yazid83: ???
Dee       : Dee ada kawan lain sekarang.
Yazid83: ???
Dee       : OFFLINE

Aku menangis, menangis dan menangis. Aku dapat rasakan Yazid sedang kecewa. Mungkin juga sedang marah kepada aku. Mungkin juga Yazid sedang menyumpah dan memaki hamun aku. Mungkin akulah manusia paling dia benci pada waktu itu.
Dan aku… adalah manusia yang paling malang dan sedih. Aku kehilangan orang yang aku sayang dan kini dibenci pula. Aku terduduk.
Keesokkan harinya di pejabat… aku terserempak dengan Yazid.
“Lambat hari ni, Yazid?” tegur Sofea semasa kami terserempak di hadapan pintu lif.
Yazid diam sahaja. Teguran Sofea seperti tidak didengarinya.
Setelah Yazid jauh, Sofea bertanya, “Kau orang gaduh ke malam tadi?”
Aku geleng sambil menahan air mata dari melimpah turun.
“Eh! Cakaplah,” tegur Sofea.
Aku cuma menggeleng smabil menunjukkan bilik air. Aku bergegas ke situ sambil diekori Sofea. Di dalam bilik air, tangisanku meledak.
Sofea tepuk bahuku dengan lembut. “Bersabarlah. Kau dah buat sesuatu yang betul,” katanya.
********
Hari demi hari berlalu… aku berhempas-pulas mengawal hidupku semula. Bukan mudah kerana orang yang aku sayang sentiasa ada di hadapan mata. Sedihnya, susahnya…aku dapat lihat dengan jelas sekali. Dan aku tahu dia juga sedang cuba sedaya-upaya mengawal hidupnya semula. Kami berdua berjuang berasingan dan itu membuatkan hatiku sakit dan sedih.
“Macam mana? Dah okey?” tanya Sofea pada suatu hari.
“Okey kut?” jawabku.
“Kau… tak chat lagi dengan dia?” Sofea memandang wajahku dengan penuh curiga.
Aku geleng. “ Dia… dah delete aku dari friendlist dia. Bukan tu saja… dia juga block aku.”
Sofea tersenyum tawar. “Tapi akaun kau yang lagi satu tu…”
“Yang itu taklah… apa dia peduli pasal aku?” balasku. “Nobody special.”
“Janganlah kata macam tu… kau pun ada keistimewaan.”
“Cuba aku beritahu dia yang akulah Dee yang dia suka sangat tu. Mahu dia terguling-guling gelak kat lantai.”
“Apalah kau… cakap macam tu pula.”
“Tak apalah, Sofea. Lelaki macam tu, anytime boleh dapat makwe baru. Apalah nak dikisahkan sangat aku ni. 10 kali lebih dari aku pun dia boleh dapat nanti.”
Sofe tidak terus menjawab. Dia sama termenung seperti aku di kafe.
******
Kira-kira setahun selepas aku memutuskan perhubungan dengan Yazid, aku menerima berita yang buat aku menangis lagi. Yazid telah ada pengganti Dee. Di Facebook, kemesraan mereka berdua tertayang jelas.
“Lain macam saja aku tengok mereka berdua ni?” kata Sofea pada suatu malam sewaktu kami melepak di sebuah kopitiam.
Aku menjeling skrin telefon milik Sofea. Terpapar di situ post dan komen-komen di antara Yazid dan seorang gadis yang bernama Azie.
“Mak we baru dia,” balasku.
Sofea angkat muka dan merenungku pula.
“Kenapa pandang aku pula?”
“Kau… kau….”
“Eloklah tu, dah sampai masanya dia ada mak we baru. Mungkin dia boleh bawa perempuan ni jumpa mak dia, kemudian bertunang, selepas tu kahwin,” balasku lancar. Padahal dalam hati bagaikan ingin meraung-raung.
Sofea terus tak bertanya apa-apa lagi.
Beberapa bulan selepas itu… aku terlihat gambar-gambar di sebuah majlis pertunangan terpapar di profile Yazid. Aku tahu, Yazid sudah pun menjadi tunangan orang.
Aku hanya mampu menangis. Sofea langsung tidak berani bertanya apa-apa.
******
Semalam…
“Betul ni?” Sofea bertanya untuk sekian kalinya kepada aku.
Aku angguk.
“Aku takut kau nangis saja nanti,” balasnya.
“Taklah. Kalau aku nak nangis pun, aku nangis dalam kereta saja. Aku takkan nangis depan dia. Percayalah.” Aku tersenyum walaupun hanya pura-pura. Walaupun aku sendiri tidak pasti sama ada aku akan kuat ataupun tidak untuk berdepan dengan semua itu.
Tetapi aku hendak lihat Yazid bersanding di atas pelamin. Aku hendak lihat betapa segaknya dia apabila berpakaian pengantin. Aku hendak lihat dia tersenyum penuh bahagia walaupun semua itu bukan untuk aku. Aku hendak lihat semua itu kerana semua itu pernah singgah dalam angan-anganku.
Namun apabila masa itu datang, aku sedar aku tidak sekuat yang aku fikirkan.
*****
Sekarang…
“Sudahlah tu… kan semalam aku dah tanya betul-betul pada kau? Kau betul ke nak datang sini, kau kata kau okey.” Sofea menghulurkan aku lebih banyak kertas tisu. Semuanya cepat sahaja basah dan renyuk. Malah aku rasa marah kepada air mata yang tidak kering-kering.
“Selagi kau masih ada rasa sayang pada dia… selagi itulah kau akan menangis.”
“Hanya dia yang ada dalam hati aku, Sofea.”
“Tapi dia dah jadi milik orang lain. Dia dah jadi suami orang.”
“Tapi bagi aku dia tetap dia… dia semangat aku.”
Sofea tarik nafas panjang.
“Ikut kaulah. Aku harap satu hari nanti kau sedar, tak guna memuja bulan di langit.”
“Sekurang-kurangnya aku ada teman di malam hari,” balasku.
“Kau sendiri yang mencari siksa. Apa yang kau harapkan selepas ini?” Suara Sofea semakin tinggi.
Aku diam.
“Kau hanya akan lebih terluka dan terluka. Esok lusa dia akan siarkan gambar isteri dia pregnant. Lepas tu dia siarkan gambar isteri dia bersalin, lepas tu dia siarkan gambar anak-anak dia pula. Kalau dia buat kenduri akikah atau cukur jambul, dia jemput kita datang. Kau pun datang sambil berpura-pura gembira, padahal kau datang nak lihat bagaimana rupanya anak-anak dia sambil memikirkan….”
Aku menangis lagi.
“Dar… hidup kau bukan hanya untuk menangis. Kau berhak gembira, tersenyum dan bahagia. Tapi kalau kau terus tunggu dia… aku tak nampak di mana hak kau.”
“Aku cintakan dia, Sofea. Walaupun aku tak dapat hidup bersamanya… jangan suruh aku melupakan dia. Harapan yang pernah ada, membuatkan aku terus kuat. Kalau aku bunuh harapan itu…”
“Dengar cakap aku. Kau tak boleh hidup bersandarkan illusi.”
“Apa yang aku ada? Apa?”
Sofea mengeluh.
“Tuhan itu Maha Adil. Tentu ada sesuatu untuk kau… kau jangan putus asa.”
“Kau nak tahu? Aku sebenarnya tak pernah putus asa. Harapan untuk aku hidup dengan dia sentiasa bermain dalam fikiranku. Aku berdoa semoga satu hari nanti, Yazid tahu aku mencintai dia.”
Sofea hanya dapat menggelengkan kepala dan tidak bercakap lagi.
Aku pula semakin asyik merenung langit biru. Di sana aku lihat wajah Yazid.

3 comments:

  1. Dar tu ada masalah apa??..Dia siapa smpai Yazid x leh tahu ttg dia...kebenaran apa yg dia smbunyikan??
    byk persoalan yg x terjawab..

    "Perasaan yg pernah ada"..sesuatu yg menyakitkn
    Wah nk touching2 lak..like my real story..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Miss A. Mungkin cerita ini patut dipanjangkan lagi. Siapa yang pernah mengalami rasa cinta tersembunyi ini boleh memahami perasaan Darlina kan.

      Delete

Note: Only a member of this blog may post a comment.