Friday, September 28, 2012

CERITA: BATU SEREMBAN



“Sudah-sudahlah tu main. Dah nak masuk waktu Maghrib ni,” tegur Eton. Tangannya pantas merentap kain tuala yang tersidai di ampaian bajunya. Sakit di hatinya bagai tidak dapat ditahan-tahan apabila melihat Lijah dan Nana masih berborak-borak di atas pangkin kayu walaupun hari sudah memanggil senja.
“Nak sudahlah ni, Ton. Malam ni nak ikut kami ke surau? Imam baca kitab malam ni,” jawab Lijah sambil mengesot turun dari pangkin kayu yang terletak betul-betul di antara rumahnya dan rumah Eton. Batu seremban ditinggalkan sahaja di atas pangkin.
Nana yang duduk di atas pangkin bersama Lijah tadi pun ikut mengesot turun sama. Dia hanya mendengar perbualan Lijah Dan Eton tanpa masuk campur.
Eton hanya menjeling tajam. Ajakan Lijah menambah rasa panas di dadanya. Bukan soal baca kitab yang membuat hatinya sakit tetapi ajakan Eton. Jika orang lain yang mengajak tidak mengapa.
“Aku sakit kepala,” jawabnya ringkas.
“Engkau sakit ke? Kenapa tak beritahu kami? Boleh juga kami jenguk engkau,” sampuk Nana. Berkerut-kerut mukanya.
“Haah, Ton. Macam mana? Dah hilang ke sakit kepala tu?” Lijah pula bertanya.
Eton menarik nafas. Rasa sakit hatinya bagaikan telah sampai ke kemuncak. “Kalau aku mati keras dalam rumah tu pun, bukannya kau orang berdua nak ambil tahu. Sibuk main baru seremban tu siang malam.”
“Main siang malam apanya? Kalau dah tak ada kerja tu, kami mainlah. Kami ajak engkau, engkau tak nak,” balas Lijah sambil tersenyum. Nana juga.
Eton rasa terpukul. Walaupun itu yang dikatakan Lijah dan Nana tetapi bukan itu yang dia nampak. Selama ini setiap hari Lijah dan Nana duduk di pangkin itu bermain batu seremban. Tidak kira siang, tidak kira malam. Entah apa yang seronoknya, dia tidak tahu.
“Lantak engkaulah, Jah. Aku ni cuma menegur,” balasnya sebelum melangkah masuk ke rumah.
“Marilah main dengan kami, Ton. Dah puas aku ajak engkau,” kata Lijah lagi.
Eton cuma menggeleng. Dia sudah tidak  tahu untuk berkata apa lagi. Mereka berdua itu sudah gila agaknya.
******
Keesokkan harinya…
“Emak demam ke, mak?” tegur Ani anak Eton. Dia pegang bahu Eton, diraba kepala Eton.
Eton tepis dengan kasar.
“Kenapa ni, mak? Sejak dua tiga hari ni Ani tengok mak masam saja. Kalau mak sakit, marilah Ani bawa ke klinik jumpa doktor.”
Eton buat tak tahu. Buat tuli. Badannya tidak demam tetapi hatinya sakit.
Ani mengeluh sendiri.
“Benci, menengoknya. Dah tua-tua tak sedar diri. Perangai macam budak-budak,” rungut Eton pula. Sudah tidak terempang segala sakit di hati.
“Siapa berperangai macam budak-budak?” Ani tersenyum. “Mak Cik Lijah ke?”
“Siapalah lagi? Lijah dengan Nana, sama saja dua orang tu.” Eton menggeleng pula. Sudah tidak tercapai akalnya melihat perangai kawan dia yang sama sebaya dan sekampung itu.
“Apa Mak Cik Lijah buat, mak? Apa yang perangai budak-budaknya?”
“Tu… engkau tengok tu atas pangkin. Setiap hari selepas Asar, mereka pun mulalah bermain batu seremban tak henti-henti. Kadang-kadang malam pun main juga.”
“Malam pun main juga?” Ani mengintai dari balik langsir. Dia juga nampak Mak Cik Lijah dan Mak Cik Nana, kawan ibunya sedang bermain batu seremban sambil bergelak ketawa. Seronok benar gayanya mereka berdua. Ibu dia sahaja yang masam mencuka di situ.
“Mak tak nak join?” Dia bertanya.
“Hisy! Tak kuasa aku. Dah tua-tua, bukan budak-budak kecil lagi nak main tu semua. Buang tabiat ke apa?” Dia duduk di atas katilnya pula. Dia berbaring, namun ingatannya kepada Lijah dan Nana di atas pangkin masih belum mahu hilang.
“Apa salahnya, mak? Suka-suka saja. Sambil bermain boleh juga borak-borak. Hilang juga sunyi mak tu,” kata Ani.
Eton mendengus. Dia memejamkan mata sebagai tanda tidak mahu mendengar lagi apa yang diperkatakan oleh anaknya.
Ani pun beredar.
Setelah Ani beredar, dia membuka matanya semula. Namun apa yang tertayang di matanya hanyalah secebis kenangan lalu…
*****
Sewaktu mereka bertiga berumur 7 tahun…
“Bukan macam tu main,” tegur Nana. Batu seremban di tangan Eton dirampasnya. “Macam ni,” katanya.
Sebiji demi sebiji batu seremban dibaling ke udara kemudian disambut apabila batu yang masih berada di atas tikar diraut dalam genggamannya. Eton lihat sahaja bagaimana Nana buat.
“Aku pula,” kata Lijah. Batu seremban berpindah tangan dari tangan Nana ke tangan Lijah.
 “Eh! Bagilah Eton main juga,” kata Nana. Batu seremban di tangan Lijah dirampasnya semula.
“Tadi dia dah main. Akulah pula,” balas Lijah.
“Belum lagi. Memang turn dia yang main, bukan aku. Aku tolong ajar dia saja.”
Dengan muka yang masam, Lijah pulangkan batu seremban itu kepada Eton.
Eton sambut dengan rasa suka. Akhirnya dapat juga dia main batu seremban walau dia tahu dia tidak pandai sangat bermain. Baru dua kali baling, suara Lijah melantun tinggi.
“Dah mati! Dah mati!” Tanpa menunggu lagi, batu seremban di hadapan Eton diambil Lijah. Sebiji pun tidak tinggal.
Selepas itu Eton lihat sahaja betapa cekapnya Lijah membaling dan menangkap. Dalam hatinya tumbuh rasa kagum yang bukan main. Kemudian apabila Lijah buat silap, giliran Nana pula tiba. Nana juga secekap Lijah. Lambat sungguh buat silap. Lambat sungguh mati giliran Nana.
“Nah, Ton! Giliran engkau pula,” kata Nana. Kini batu seremban itu berpindah tangan ke tangan Eton semula.
Eton senyum riang. Dia mula melambung batu seremban dan menangkapnya. Namun tiba-tiba Nana mengaduh dengan kuat.
“Aduh!” Nana tekap matanya dengan tangan. Ada darah.
Eton dan Limah terkejut. Mereka berdua tergamam seketika sedangkan Nana menangis-nangis kesakitan.
“Ha..ha… tak tahu! Eton buat Nana buta,” kata Lijah dengan tiba-tiba.
Hah? Nana buta ke? Dengan rasa yang bersalah yang amat sangat, Eton berlari meninggalkan pangkin tempat mereka bermain lalu menyorok di bawah katil di dalam rumahnya. Eton tidak keluar walau hari sudah menjelang malam.
“Eton! Eton!” Suara ibunya memanggil tanpa henti-henti. Sudah lama dia dengar tetapi dia tidak berani keluar. “Keluarlah, Ton. Mak nak cakap sikit ni.”
Eton diam sahaja. Eton peluk bantal busuknya. Eton tidak sengaja buat mata Nana buta tetapi Eton juga tahu kalau sudah buta, mata tidak boleh sembuh lagi. Itu yang Eton takut.
“Dekat sini rupanya. Keluarlah…” Akhirnya Ibu Eton tahu juga yang Eton sedang menyorok di bawah katil. “Keluarlah, jangan takut. Mata Nana tak apa-apa, luka sikit saja dahi dia.”
Hah? Tak buta? Eton pandang wajah ibunya lama-lama. Jangan-jangan ibu dia tipu kut?
“Mak baru balik dari rumah Nana. Nana tak apa-apa. Mak Nana pun tak marah Eton,” pujuk ibunya lagi sambil menarik tangannya keluar dari bawah katil.
“Betul ke, mak?”
“Betul… buat apa pula mak nak berbohong. Kalau betul Eton buat mata Nana buta, mak sendiri hantar Eton ke balai polis.”
“Hah?” Bulat mata Eton.
Tapi ibu Eton hanya ketawa. Dia bersihkan habuk dan sawang pada bahu Eton. “Dah, pergi mandi dulu, selepas tu makan. Dah nak masuk Isyak dah, tak mandi-mandi lagi.”
Eton mula lega. Dia mandi, makan dan masuk tidur. Namun sejak itu dia sentiasa bermimpi yang pelik-pelik pasal batu seremban. Dia bermimpi batu seremban tercucuk pada mata Nana. Dia bermimpi mata Nana berdarah-darah dua-dua belah. Dia bermimpi kepala Lijah berlubang kena batu seremban, macam-macam lagi dia mimpi.
Lama-lama dia jadi takut pada batu seremban. Pandang sahaja batu seremban, dia nampak darah. Pandang sahaja batu seremban, dia nampak darah. Tapi itu tidak menyedihkan dia, ada yang lain juga yang turut berubah.
“Engkau jangan mainlah,” kata Lijah pada suatu petang semasa dia datang ke pangkin Lijah. Pada waktu itu Lijah dan Nana sedang sibuk bermain batu seremban.
“Aku… nak tengok saja,” katanya sambil duduk di sebelah Lijah. Dia sendiri pun masih takut untuk menyentuh batu seremban itu. Dia hanya mahu duduk dan lihat mereka bermain.
“Tak payahlah, nanti berdarah kepala kami,” kata Lijah lagi.
“Aku nak tengok saja. Bukan nak ganggu kau orang main,” balasnya. Dia mula rasa kecil hati kerana Lijah tidak membenarkan dia duduk di situ.
“Nanti batu ni kena muka kau, lepas tu melantun dekat kepala kami, macam mana?” Lijah menjawab. Nana angguk.
Tanpa suara, dia tinggalkan tempat itu. Dia tahu Lijah dan Nana tidak mahu berkawan dengan dia lagi kerana kejadian itu.
Dia kehilangan dua orang rakannya disebabkan batu seremban.
******
Masa berlalu. Dia, Lijah dan Nana bersekolah di sekolah yang sama, kadangkala satu kelas, kadangkala berlainan kelas. Tetapi mereka bertiga tetap membesar bersama-sama sehinggalah berpisah sewaktu melanjutkan pelajaran ke universiti. Dia menjadi seorang guru, Lijah menjadi seorang jururawat dan Nana tidak bekerja kerana terus berkahwin sebaik sahaja habis MCE.
Dan sekarang, ketiga-tiganya sudah tua, sudah pencen dan sudah kembali semula ke kampung itu namun yang menghairankan dia ialah sikap Lijah dan Nana yang masih suka bermain batu seremban tanpa jemu-jemu.
“Marilah main,” ajak Lijah kepadanya pada suatu petang kira-kira tiga tahun yang lalu.
“Tak mahulah aku, macam budak-budak,” katanya.
“Apa salahnya kita main? Boleh bincang-bincang, sambil-sambil tu… cerdaskan otak kita mengira.” Lijah cuba berhujah.
“Tak ada maknanya aku nak mengira-ngira lagi waktu dah tua ni. Dah jenuh aku mengajar budak-budak mengira semasa aku kerja dulu. Haih… cukup-cukuplah tu.” Dia tetap enggan. Tapi yang sebenarnya dia enggan kerana masih cuak dengan batu seremban itu. Bagaimana kalau dia tersalah sambut dan batu itu melantun ke kepala Lijah dan Nana?
“Ikut engkaulah, Ton. Jangan kata kami tak mengajak kamu pula ya?”
Dia diam sahaja. Dan hari demi hari dia lihat Lijah dan Nana semakin asyik bermain. Ada kalanya seperti mereka masih kanak-kanak. Mereka berdua ketawa, bergurau, berkongsi makanan dan bercerita apa sahaja.
Dia?
******
Jadi pada suatu hari… dia menunggu petang. Selalunya selepas Asar, Lijah dan Nana akan duduk bermain batu seremban di atas pangkin di bawah pokok manggis. Dia tunggu dan tunggu. Dia hendak bermain sama pada petang itu. Dia hendak pulihkan semula persahabatan mereka seperti dulu-dulu. Dia mahu nikmati semula alam yang penuh gembira seperti mereka masih kanak-kanak. Dia rindu semua itu.
Kemudian dia ternampak Lijah dan Nana berjalan menghala ke arah tempat yang biasa. Mereka mula bermain. Dia bergegas turun ke tanah dan memakai selipar. Belum sempat sampai ke pangkin dia tercengang.
Lijah dan Nana tidak ada di situ.
Yang ada hanyalah sepasang kanak-kanak perempuan yang dia cukup kenal. Dia tergamam.
“Eh! Ton! Kata tak nak main dengan kami. Kenapa datang?” tanya salah seorang daripada kanak-kanak itu.
Eton tercengang. Lijah dan Nana telah kembali menjadi kanak-kanak semula. Sedangkan dia…. sudah pun terlambat.
 TAMAT

***********************************************
PENGUMUMAN


 Assalamualaikum,
Di sini saya ingin memberitahu bahawa novel SETEGUH ILALANG telah pun siap dicetak.
Harganya : RM 26.00 / RM 29.00 (736 muka surat).
Kepada yang ingin mendapatkannya sila hubungi saya di:
pnmaria1@gmail.com


2 comments:

  1. cerita ni memang best tapi saya tak faham macam mana Lijah dengan Nana boleh jadi budak kecil?

    ReplyDelete
  2. *HOKIBET
    *BUKATOGEL.COM
    *DAFTAR
    *REFERRAL
    *BUKU MIMPI
    *PREDIKSI

    * Potongan/Discount Bukatogel.com :
    * 2D : 29% = Rp. 70.000
    * 3D : 56% = Rp. 400.000
    * 4D : 65% = Rp. 3.000.000

    * BBM : 7boc7177
    * HP/SMS : +639277025291

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.