Wednesday, September 19, 2012

GLAS--Z : Bab 16


Bab 16
Kampung Pondoi, Negeri Sembilan
“Minta perhatian!” Kata Maznah sambil meninggikan suaranya.
Suara-suara yang riuh berbual-bual tadi beransur reda hingga lama-kelamaan tidak kedengaran lagi. Semuanya kini menumpukan perhatian ke arah Maznah yang sedang berdiri di hadapan mereka. 
“Hari ini adalah hari terakhir kita di sini. Petang nanti lagi beberapa buah van akan datang untuk memindahkan artifak yang telah kita jumpa. Sebuah lori pula akan datang esok pagi untuk mengangkut semua peralatan dan khemah. Jadi saya rasa, kita boleh mula berkemas selepas minum pagi ni.” Maznah bercakap di hadapan kumpulannya bersama segelas mug di tangan.
Secara tiba-tiba, seseorang yang duduk di atas sebatang tunggul kayu mengangkat tangan sambil tersengih.
“Makan tengah hari ni macam mana, prof?”
Pertanyaannya mengundang gelak tawa yang hampir serentak. Lalu kedengaran suara-suara yang mengusiknya. Dia hanya tersengih.
“Hari ini kita semua akan makan di Tampin. Saya belanja,” jawab Maznah yang turut sama tersenyum.
Suasana bertukar riuh semula. Kegembiraan terbayang di wajah mereka seramai dua belas orang termasuk Nella dan Ari yang hanya berdiam diri sejak tadi.
“Saya ucapkan terima kasih kerana selama hampir tiga bulan kita di sini, awak semua telah bekerja dengan rajin dan penuh minat,” sambung Maznah lagi sambil memerhati satu-persatu wajah di hadapannya. Riak wajahnya berubah sendu. “Kita berkumpul lagi di lain ekpedisi.”
“Jangan lupa panggil lagi, prof,” kata seorang gadis yang bertudung hitam. Sejak tadi, dia asyik tersenyum tanpa henti.
“Saya tahu. Mungkin beberapa bulan lagi, saya akan menggali di Melaka pula. Siapa nak sertai saya nanti, berikan nama seperti biasa,” jawab  Maznah.
Yang lain terangguk-angguk. Hanya Ari dan Nella tidak memberikan tindak balas.
“Okey, saya rasa semua boleh mula berkemas.” Maznah melangkah mendekati sebuah meja lipat. Di situ dia meletakkan mug yang dipegang sejak tadi.
Perjumpaan tidak rasmi itu pun bersurai. Masing-masing yang ada di situ mula bangkit menuju ke serata arah seolah-olah sudah tahu apa yang patut dilakukan.
“Nella, Ari, mari sekejap,” panggil Maznah sambil menggamit keduanya untuk mengikutnya menuju ke arah sungai di kaki bukit itu.
Nella dan Ari sama-sama berpandangan sesaat. Tanpa suara, mereka bangkit dan mengekori Maznah yang sudah agak jauh menuruni bukit.
“Kenapa, kak?” tanya Nella apabila dia sudah beriringan semula dengan Maznah. Ari berjalan di belakangnya.
Maznah menghentikan langkah kakinya. Dia menoleh dan memandang wajah Nella dan Ari.
“Nak tak pergi Vietnam?”
Nella dan Ari sama-sama tergamam.
******
“VIETNAM?” Suara Nella pula meninggi. Matanya bulat merenung wajah Maznah bagaikan tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya tadi.
Maznah mengangguk dengan tenang. Pandangan matanya masih menyeluruhi wajah Nella di hadapannya.
Ari melihat sahaja. Vietnam? Dia tahu Vietnam di mana walaupun sekadar pernah melihat peta semasa mempelajari subjek Geografi. Akan tetapi, untuk mengunjunginya bukan sesuatu yang pernah melintasi angan-angannya. Dia yakin Nella akan menolak ajakan Maznah yang dirasakan tidak masuk akal itu.
“Nak! Tapi kenapa kakak nak ke sana?” tanya Nella pula.
Ari tersentak. Jawapan Nella sungguh di luar jangka. Apa yang Nella sedang fikirkan? Nella akan tinggalkan dia? Namun semua soalan itu terpendam di dalam hatinya sahaja. Dia cuba bertenang walau jantungnya berdegup kencang.
“Kakak dapat panggilan malam tadi dari kawan kakak di Vietnam. Dia perlukan bantuan kakak untuk mengecam sebuah artifak yang baru ditemui di sebuah perkampungan di sana,” terang Maznah.
Nella mengangguk perlahan. Bibirnya bergetar namun tidak ada suara yang dikeluarkan. Dia termenung seketika.
“Kakak ajak bukan sebab apa… walaupun di KL tu kakak tinggal di apartment tapi tak manislah kalau kakak ke sana dan kau orang berdua pula tinggal di situ,” tambah Maznah.
Ari terus menyampuk, “Kami boleh tinggal di tempat lain, kak. Tak perlulah menyusahkan akak bawa kami ke Vietnam. Nanti menganggu pula kerja akak di sana.”
Maznah tersenyum. Dia memandang wajah Ari.
“Sementara akak buat kerja di sana, kamu berdua pergilah berjalan-jalan. Vietnam tu pun banyak tempat menarik.”
“Menarik juga cadangan, Kak Maznah. Tapi….” Dia menoleh ke arah Ari seketika. “Dia ni tak ada passport antarabangsa.”
“Itu tak apa. Kita boleh buat. Bukannya lama sangat nak siap. Cuma akak kena mohon VISA untuk masuk ke sana. Tapi itu pun boleh diuruskan, sebab akak biasa ke sana.”
Nella menarik nafas. “Biar saya tanya kakak saya dulu. Kalau dia benarkan, kami akan ikut.”
Maznah mengangguk senang. Dari situ dia beredar menuju ke arah kumpulan pekerja dan pelajarnya semula.
Ari memerhati dalam diam. Benarkah dia dan Nella akan ke Vietnam?
*****
“Nella!” panggil Ari. Jika diikutkan hati ingin sahaja dia menarik lengan Nella yang berjalan seperti orang bingung.
Dia berpaling ke arahnya namun tetap juga tidak mengangkat muka dari telefon bimbitnya yang dipegangnya sejak tadi.
“Nella! Betul ke kita nak ikut Kak Maznah ke sana? Jauh tu.” Ari sudah tidak betah menahan keraguan di hatinya. Di wajahnya sudah jelas terpancar rasa yang kurang enak, malah idea itu dirasakan sungguh di luar jangkaan.
Nella mengangkat jari lalu diletakkan ke bibirnya sebagai tanda isyarat supaya Ari mendiamkan diri. Matanya terkelip-kelip sambil dia memasang telinga.
“Kak! Nella ni…”
Ari memerhati gelagat Nella dengan teliti. Mujur, mereka berdua berdiri agak jauh dari  seumpulan ahli ekpedisi yang sedang sibuk melipat khemah. Senyuman yang dilontarkan oleh mereka dari jauh, hanya dibalas dengan senyuman hambar.
“Macam ni, kak. Boleh tak Nella ikut kakak angkat Nella ke Vietnam?” Suara Nella kedengaran jelas di telinga Ari.
Ari menjeling. Dadanya berdebar menanti balasan Rita.
“Dia ada kerja dekat sana jadi dia ajak Nella dan Ari ikut dia sekali,” sambung Nella. “Berapa lama? Tak pasti pula. Nanti Nella tanya dia.” Nella dengan tiba-tiba sahaja melemparkan pandangan ke arah Ari.
Ari membalas pandangan mata Nella. Terdetik kerisauan di hatinya pula. Mungkin Rita tidak bersetuju dengan rancangan itu, fikirnya. Lagipun, tidak wajar dia berada terlalu jauh daripada situ. Bagaimana jika Rita dan Faruk sudah menemui bukti yang dicari dan dia boleh balik semula ke institut? Dan yang lebih memberatkan fikirannya, siapa yang akan menanggung semua perbelanjaan mereka berdua jika ke sana nanti? Sedang leka berfikir, Nella sudah memutuskan panggilannya.
“Kak Rita cakap, dia akan tanya Faruk dulu,” kata Nella.
“Nella….” Ari terdiam seketika. “Tak payahlah kita ikut Kak Maznah. Banyak perbelanjaan tu.”
Mereka berdua saling merenung.
“Aku tahulah. Sebab tu, aku tanya Kak Rita dan Faruk dulu. Aku pun akan tanya Kak Maznah berapa yang kita perlu sediakan. Kalau mahal sangat, aku pun tak sanggup pergi. Tapi sebenarnya, dah banyak kali Kak Maznah ajak aku menemani dia ke luar negara sebelum ni. Aku saja yang tak dapat ikut sebab masa tu aku masih belajar.” Akhirnya Nella bersuara panjang lebar.
“Kalau Rita dan Faruk mengizinkan?” tanya Ari pula. Kerisauan belum lepas dari pundaknya.
Nella mengeluh. “Kenapa kau tanya? Kau sanggup tinggal di KL tu sorang-sorang?”
Ari terus terdiam. Dia ingin menjawab ‘ya’ tetapi… dia dan Nella, kan tak boleh dipisahkan? Apa kata Rita jika dia membenarkan Nella pergi berseorangan pula? “Kau pun tahu apa amanah Rita kepada aku?”
Dia merenung wajah Nella. Dari riak wajah gadis itu, dia dapat merasakan gelojak hati Nella yang teramat ingin mengikut Kak Maznah ke Vietnam. Entah kenapa, sekelumit perasaan sedih singgah di hatinya. Kalaulah keadaan berbeza, pasti dia akan berbuat apa sahaja untuk menunaikan hasrat hati Nella.
Nella menarik nafas panjang dan melepaskannya seadanya. Sambil menundukkan kepala, dia berlalu pergi meninggalkan Ari di situ.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.