Monday, September 3, 2012

GLAS--Z : Bab 11



Bab 11
Sementara itu dia puncak Genting Highland…
SUDAH beberapa jam Dr. Sid berada di dalam sebuah bilik hotel yang mewah. Walaupun cuaca hari itu cukup nyaman dan selesa, namun debaran yang melanda, tidak dapat memujuk dirinya untuk bertenang.
“Uzair,” panggilnya menerusi telefon bimbit. “Dah jumpa Ari?”
“Belum. Tapi esok kami akan meluaskan pencarian hingga ke kampung bersebelahan pula,” jawab Dr. Uzair.
Dr. Sid menggumam. “Buat apa saja tapi pastikan dia hidup.”
Fikirannya semakin kusut. Soal kehilangan Ari lebih mengganggu fikirannya daripada soal kematian Jeffri. Tanpa Ari dia kehilangan punca pendapatan yang utama. Tanpa pendapatan, dia bimbang Projek REM 3 dan perbelanjaan di institut akan terjejas. Semuanya membebankan kepalanya seorang.
Kehadiran seseorang di luar pintu biliknya membuatkan dia menoleh. Dia segera bangkit dari kerusi dan menyambut tetamu yang datang. Tanpa perlu dipelawa, masuk seorang lelaki sambil diiringi dua orang pengawal peribadi yang bertubuh sasa. Kesemuanya berwajah serius.
Degup jantungnya menjadi laju.
Lelaki itu duduk di atas sofa kulit. Dia menanti Dr. Sid melabuhkan punggung di hadapannya.
“Kenapa kau minta nak jumpa aku?” tanyanya sambil merenung wajah Dr.Sid.
“Aku nak minta tempoh sikit. Mungkin sampai minggu depan,” jawab Dr. Sid kelam-kabut. Di hadapannya itu adalah seorang payer atau orang yang telah mengupahnya melakukan satu tugasan penting. Malangnya dengan kehilangan Ari, dia seumpama kehilangan tangan.
“Mana boleh macam tu? Ini pun dah cukup lewat. Aku tak mahu musuh aku tu dilantik menjadi pengarah. Kau mesti hapuskan dia sebelum mesyuarat pemilihan minggu depan,” bantah lelaki itu. Wajahnya jika sekali pandang tidak langsung membayangkan kehitaman hatinya. Begitu tenang dan manis apabila tersenyum.
Dr. Sid mula berpeluh. Fikirannya ribut mencari alasan yang boleh dipakai. “Ada masalah sikit tapi… aku akan cuba selesaikan tugas tu secepat mungkin.”
Lelaki itu menggumam. “Kau nak aku tambah duit lagi? Cakap. Berapa kau nak?” Dia tersenyum sinis.
Mendengarkan perkataan ‘duit’ disebut, Dr. Sid rasa bersemangat semula. “Sekali ganda,” jawabnya tanpa malu-malu.
Tanpa mengalihkan matanya, lelaki itu menggamit pengawal peribadinya untuk meminta buku cek. Di atas sekeping cek kosong, dia memasukkan tujuh angka di petak jumlah. Cek itu ditolak ke hadapan Sid dengan senang hati. “Lepas ni ada tugas lain pula. Lebih besar daripada ini.”
“Boleh saja, tak ada masalah,” balas Sid sambil tersenyum lebar. Cek tadi sudah ada di tangannya.
“Boleh aku tahu siapa sasarannya kali ini?” Dia sekadar bertanya.
 “Kau pun tahu, pilihan raya akan berlangsung tak lama lagi.” Kata-kata lelaki itu terhenti di situ.
“Itu tak jadi masalah. Asalkan dia manusia yang bernyawa, kami boleh bereskan tapi…” Dia merenung tajam.
Lelaki itu ketawa. “Aku faham. Setiap nyawa ada harganya. Kami akan bayar lima juta jika kau mampu buktikan bahawa orang kau mampu melaksanakan tugas yang pertama ini.”
Sid menghela nafas. Dadanya bergetar mendengar jumlah wang yang ditawarkan. Itu sudah lebih daripada cukup untuk membayar sebahagian hutangnya kepada SIKORP malah cukup untuk membayar balik hutang-hutangnya kepada payer yang lain. Tapi semuanya bergantung kepada keupayaan Ari untuk melakukan tugasan itu. Tanpa Ari peluang keemasan itu akan melayang begitu sahaja.
“Beri aku masa sampai minggu depan. Jika aku gagal, duit ini akan dipulangkan,” katanya.
“Aku tak peduli pasal duit tu. Aku hanya mahu lelaki tua tu dihapuskan secepat mungkin dengan cara yang paling bersih.”
“Jangan bimbang, orang aku adalah yang terbaik,” jawab Dr. Sid walau hatinya bergoncang hebat.
Pertemuan itu berakhir dengan cepat sekali. Payer itu pergi dan bilik itu kembali sunyi. Dr. Sid termenung memerhati persekitaran gunung yang dilitupi kabus tebal. Hatinya tetap tidak tenang sebelum Ari kembali ke sisi.
******
 
Sedang dia menuruni lif untuk ke kasino, telefon bimbitnya berbunyi pula. Segera dijawab walaupun dia sudah tahu apa yang akan ditanya oleh Prof. Max.
“Beri aku masa sikit bulan ni,” katanya terus tanpa menunggu bebelan garau Prof. Max menerjah telinganya.
“Aku faham,” balas Prof. Max. “Kau bertenanglah dulu. Bulan depan kau pastikan bayaran on track semula.”
Hati Dr. Sid menjadi lega. Fikirnya Prof. Max akan membentak dan marah-marah seperti kelazimannya tapi kali ini tekaannya langsung tidak tepat.
“Banyak ke data yang dapat dijual bulan lepas?” tanya Prof. Max pula.
“Banyak juga. Ada tender baru untuk hospital.” Dr. Sid menjawab dengan suara yang perlahan. Dia tidak senang membincangkan soal kerja di tempat yang sepatutnya membuatkan dia lupa hal lain selain daripada keseronokan.
“Tentu kau tak ada masalah untuk membuat pembayaran, bukan?”
“Aku cuma minta pembayaran untuk bulan ni dilewatkan sikit saja. Faham sajalah. Selepas Jeffri meninggal. Kerja aku kelam kabut sikit.”
“Aku faham. Kalau kau nak aku tolong apa-apa kau cakaplah,” balas Prof. Max lagi.
“Baik.” Dr. Sid menjawab. Setelah Prof. Max menamatkan panggilan, dia terus masuk ke dalam kasino. Cuma hatinya tertanya-tanya kenapa Prof. Max begitu berlembut pula kali ini.
*******
Di tepi jalan raya yang menuju ke Negeri Sembilan, Ari melangkah perlahan. Cahaya matahari yang mula bersinar garang, membakar terik ubun-ubunya, namun dia tetap melangkah tanpa tujuan.
Di kepalanya, seribu satu kebuntuan menjelma. Dia benar-benar berasa seperti terbuang ke satu dunia yang aneh. Dia benar-benar terdedah kepada apa sahaja bahaya dan kemungkinan yang mungkin timbul. Sedang dia ralit memikirkan nasibnya selepas ini, kedengaran bunyi tayar kereta dihentikan di belakangnya.
Dia menoleh. Tidak pernah diduganya dia akan melihat kereta itu lagi. Namun dia tidak berbuat apa-apa selain menunggu Nella keluar dari situ. Kenapa Nella berpatah balik? Dia tertanya-tanya sendiri.
“Cepatlah naik,” laung Nella dari tepi kereta.
Ari tidak menjawab. Dia hanya merenung wajah Nella yang berkerut kerana dipanah cahaya matahari. Dia masih tidak faham kenapa Nella menukar fikiran dan mencarinya semula. Namun itu juga tidak mampu membuatkan dia bertukar fikiran pula. Akhirnya dia menggeleng dan berpaling meneruskan langkah.
Belum sempat jauh, dia terasa bahunya tertolak. Dia terdorong sedikit.
“Aku dah cari kau semula, dah cukup baiklah. Janganlah nak mengada-ngada pula,” kata Nella dengan lantang dan wajah yang bengis. Jelas sekali Nella sedang marah.
Mata Ari terkelip-kelip. Dia bertambah tidak faham dengan sikap Nella terhadapnya. “Kalau kau tak suka cari aku, kenapa kau patah balik? Baliklah.”
Nella mengeluh keras.
“Kau betul-betul nak buat aku marah, kan?”
Ari menggeleng. Kepalanya mula pening.
“Aku nak buat kau marah?” tanyanya semula. “Aku tak suruh kau patah balik cari aku. Aku suruh kau balik ke rumah.”
Nella merenung Ari dengan nafas yang turun naik. Akhirnya dia menjawab, “Aku tak boleh balik selagi tak hantar kau ke tempat tu. Kalau kau mati tepi jalan ni, aku juga yang susah.”
“Jangan risau pasal aku. Lagipun aku suka berjalan tanpa arah macam ni. Rasa betul-betul bebas,” balas Ari. Suaranya sudah kendur. Dia dapat rasa Nella terbeban dengan rasa serba-salah.
“Tapi dunia ni tak sebebas yang kau sangkakan. Kau nampak pagar di tepi tu? Kalau kau sentuh saja pagar tu, kau akan kena renjatan elektrik.” Nella tunjukkan sebuah pagar elektrik yang dipasang mengelilingi sebuah kawasan perternakan lembu.
Ari ikut menoleh. Perlahan-lahan dia angguk. Sedikit sebanyak apa yang diberitahu oleh Nella itu mengejutkan dia. Tetapi itu belum cukup kuat untuk memujuk dia mengubah fikiran.
“Aku akan menjauhi semua pagar yang aku lihat,” balasnya.
“Jadi kau betul-betul tak mahu ikut aku?”
“Aku tak mahu bebankan kau, Nella,” jawab Ari sejujur-jujurnya sambil memandang wajah Nella depan-depan. Itulah kali pertama, dia melihat wajah Nella betul-betul. Dan di bawah cahaya matahari yang terik itu, muka Nella kemerah-merahan.
Nella mengeluh. Wajahnya muram.
“Kau ikut saja aku ke sana. Selepas tu aku akan lihat apa yang boleh aku buat. Mungkin aku boleh tinggalkan kau bersama kakak angkat aku,” kata Nella dengan lembut. Hilang sudah segala sikap bengkengnya tadi. “Please… tolonglah jangan melawan cakap aku. Aku sudah cukup pening ni,” tambahnya.
Hati Ari mula berbelah bahagi. Kelembutan Nella meminta, wajah Nella yang seperti tidak berdaya, menjadikan hatinya tersentuh. Patutkah dia berdegil?
“Okey. tapi kalau dah sampai di sana nanti, awak nak balik, baliklah,” katanya.
Nella angguk. Mereka berdua kembali ke kereta dan meneruskan perjalanan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.