Friday, September 7, 2012

Cerpen: Nora vs Norman



“Boleh ke?” Mulut Nora ternganga sesaat. Matanya berkelip-kelip.
“Apa pula tak bolehnya? Aku bujang, kau bujang. Kita sama-sama Islam, bukan muhrim pula tu. Tapi tak tahulah kalau kau ni tak betul sana-sini,” balas Norman sambil mengunyah kacang yang baru dibelinya di  KLCC.
 “Aku yang tak betul ataupun kau tu yang tak betul?” Nora membidas sama pedas.
“Kalau sama-sama tak betul, lagilah padan,” balas Norman.
“Adoiii… kau terhantuk tiang ke tadi?” Nora menghempas nafas. Pening kepalanya apabila mendengar usul Norman petang itu. Dengan tidak semena-mena Norman mengusulkan agar mereka berdua berkahwin sahaja. Gila!
“Tak ada siapa yang terhantuk pada mana-mana tiang. Aku masih waras, Nora.”
Nora menggeleng. “Aku tak percaya kau waras.”
“Aku ajak kau kahwin, bukan ajak kau letupkan KLCC tu. Itu baru tak waras namanya.” Norman ketawa lantang sambil merenung bangunan KLCC yang lurus terpacak di hadapan mereka berdua. Orang ramai yang lalu-lalang di situ langsung tidak dihiraukan petang itu.
Nora langsung terdiam.
Norman merenung wajah Nora yang masam. “Aku bukan nak permainkan kau. Aku cakap betul ni.”
“Tak mungkin.” Nora menggeleng lagi.
“Tak mungkin atau tak sudi?”
Nora tercengang.
“Kau fikirlah dulu,” sambung Norman.
“Tapi kita hanya kawan. Macam mana kita nak berkahwin?”
“Senang saja. Kita beritahu keluarga kita, keluarga kita uruskan kenduri, aku datang akad nikah, lepas tu sahlah kita jadi suami isteri.”
“Adoiii….” Nora terus angkat kaki. Makin pening kepalanya petang itu.
*******
“Norman ajak kau kahwin?” Suara Lili memetir di ruang tamu rumah sewa yang dihuni mereka berdua bersama tiga orang lagi rakan sekerja.
“Shhh… jangan heboh dulu,” tegur Nora sambil meletakkan jari telunjuknya pada bibir.
Lili tercengang lagi.
“Itulah yang buat aku pening ni,” kata Nora pula. Memang sejak Norman mengusulkan cadangan itu, pening di kepalanya tidak hilang-hilang. Tubuh badannya pun terasa seram sejuk.
“Dia dah gila ke?” Nada suara Lili mula mengendur.
Nora angkat bahu.
“Kau dengan dia ada apa-apa ke?”
Nora geleng.
“Habis tu macam mana boleh tiba-tiba saja dia ajak kahwin? Dia dah tak betul ke?” Lili hempas kusyen yang dipeluknya ke riba. Wajahnya seperti tidak puas hati.
“Itulah. Itulah yang aku beritahu dia tadi.”
Lili pula termenung. “Kau nak ke kahwin dengan dia?”
Nora terkelip-kelip.
“Kalau kau setuju, automatik kau dah jadi tunang dia atau bakal isteri dia,” sambung Lili.
“Entahlah, Lili. Aku pun tak tahu nak buat keputusan.”
Lili tersenyum. “Itu maknanya kau nak, kan?”
Nora menoleh ke arah Lili. “Kenapa kau cakap macam tu? Aku tak cakap pun aku nak kahwin dengan dia. Norman tu kepala bukannya betul sangat. Hari ni dia tiba-tiba saja nak kahwin dengan aku, nanti selepas kahwin buatnya dia tiba-tiba nak ceraikan aku, macam mana?”
Lili tertawa.
“Tak payahlah kau malu nak mengaku pada aku,” katanya sambil tersenyum lebar.
“Aku cakap betullah. Aku tak kata aku nak kahwin dengan dia.”
“Nora, Nora… aku pun dah tak pasti. Siapa yang tak waras dalam soal ni. Norman ke engkau.”
Nora mendengus. Hatinya mula rusuh dengan sikap Lili yang seakan mengejeknya.
“Kalau kau tak ada hasrat untuk berkahwin dengan dia, kenapa kau tak tolak saja cadangan dia tadi?” Lili merenung mata Nora.
Nora tergamam.
******
Malam itu, Nora tidak keluar makan bersama Lili mahupun teman serumahnya. Pertanyaan Lili tadi membuatkan kepalanya bertambah sakit. Dia demam.
“Di mana ni?” Suara Norman bergema di telefon bimbit.
“Di rumah,” balas Nora. Walaupun Norman biasa menelefonnya pada bila-bila masa namun setelah pertemuan di KLCC petang tadi, dia rasa amat tidak selesa bercakap dengan Norman lagi. Seperti ada sesuatu yang telah berubah di antara mereka berdua.
“Lapar tak? Jom keluar makan.”
“Malaslah. Aku tak sihat,” balas Nora sambil memejamkan mata. Betapa dia mengharapkan agar ubat penahan sakit yang ditelan tadi berkesan sekelip mata. Sayangnya tidak.
“Tak sihat? Ada ubat tak? Nak aku hantar ke klinik?”
“Dah makan dah.”
“Betul ni? Kalau nak ke klinik, aku boleh hantar. Tunggu sekejap, aku sampai,” balas Norman.
“Tak payah. Tak payah. Aku dah makan ubat. Aku cuma nak tidur saja ni.”
“Kau dah makan ke?”
“Tak seleralah.” Nora semakin letih melayan panggilan Norman yang seperti tidak mahu berhenti bercakap pada malam itu.
“Jangan macam tu. Kalau makan ubat dengan perut kosong pun bahaya juga. Nanti gastrik. Aku belikan kau makanan ya? Kau nak makan apa? Aku carikan.”
“Aku tak nak makan. Aku nak tidur, kau faham tak?”
“Okey,” balas Norman lambat-lambat. “Nora…”
“Hmm…”
“Kau sakit kepala fikir pasal hal tu ke?”
“Hmm…”
“Tak payahlah fikir teruk-teruk. Kalau kau tak nak, tak apa. Aku faham,” balas Norman.
“Hmm….” balas Nora. Dia harap Norman faham yang dia tidak mahu bersembang lagi. Kepalanya sudah mahu pecah.
*****
Keesokan pagi, Nora tidak larat ke tempat kerja. Dia hanya bangun untuk mandi dan bersiap untuk ke klinik membuat pemeriksaan doktor dan mendapat sijil cuti sakit. Namun setibanya di dapur, dia terkejut melihat bungkusan makanan yang banyak di atas meja makan.
“Lili.” Dia mengetuk pintu bilik Lili.
“Eh! Kau dah sihat ke? Aku ingat kau cuti.”
“Belum. Aku tak kerja, aku nak pergi klinik ambil MC,” jawab Nora.
“Nak aku hantar?”
“Tak payahlah, nanti kau lewat pula.”
“Ada hal apa kau ketuk bilik aku?” Lili berjalan menuju ke dapur bersama Nora.
“Tu. Makanan tu. Siapa punya?” Nora tunjukkan bungkusan makanan yang banyak di atas meja.
Lili tersenyum.
“Untuk kaulah,” jawab Lili.
“Untuk aku?” Nora tercengang.
“Bakal suami kau tulah yang hantar malam tadi.”
“Apa?” Kepala Nora sakit semula.
******
Tiga hari selepas itu…
“Kenapa kau nak jumpa aku?” Norman tersenyum sehinggakan lesung pipitnya terserlah.
“Untuk minta kau berhenti buat kerja gila kau tu,” balas Nora dengan serius.
“Kerja gila apa pula?” Norman masih tersenyum.
Nora merenung wajah Norman. Setelah beberapa hari tidak berjumpa, entah kenapa hari ini dia lihat wajah Norman agak berbeza. Makin jelas pula setiap inci, setiap kerut, setiap lubang jerawat, semuanya dia boleh nampak. Selama ini, tidak nampak langsung semua itu.
“Kau kan sakit teruk?” kata Norman. Senyumannya sudah membungakan ketawa kecil. “Aku upahlah orang masakkan kau makanan.”
“Enam kali sehari?” tanya Nora. “Eh! Kakak yang hantar makanan tu pun letih, tahu tak?”
Norman hanya ketawa.
“Dah, jangan gatal nak upah orang masakkan aku apa-apa lagi. Dah nak termuntah aku makan. Sampaikan housemate aku pun kena tolong habiskan lauk-pauk tu.” Nora kembali memasamkan muka.
“Okey,” balas Norman. “Tapi sebab tu saja ke, kau ajak aku jumpa ni? Kalau sebab tu saja, lebih baik kau telefon aku. Kalau nak lagi senang SMS saja.”
Nora memandang bangunan KLCC di hadapannya. Dalam banyak-banyak tempat di KL itu, dia tidak tahu kenapa spot itu yang selalu dipilih oleh mereka berdua untuk berjumpa sesekali. Hendak dikatakan dekat dengan tempat tinggal. Tidak juga. Mungkin betul bagi dia tapi bagi Norman, untuk tiba di situ perlu menempuh kesesakan jalan raya juga.
“Dah tiga tahun duduk di tempat ni, masih tak jemu-jemu merenung KLCC tu?”
“Enam tahun,” balas Nora.
“Apa?”
Nora menoleh ke arah Norman. “Kita dah datang ke sini enam tahun.”
“Aku ingat kau lupa,” balas Norman dengan senyuman penuh makna.
Nora terdiam.
“Enam tahun juga kau kenal aku,” sambung Norman. “Tak cukup lagi?”
 Nora mengeluh. Dia tahu Norman mahu menuntut jawapannya tetapi tidak semudah itu untuk dia memberikan jawapan. Seperti ada sesuatu yang menghalang dia daripada menerima ataupun menolak. Anehnya dia tidak pula boleh melupakan soal itu dengan mudah.
“Berapa lama pula kau menetap di rumah kau sekarang? Aku rasa dekat dua puluh tahun,kan?” balas Nora. “Kenapa kau tak kahwin saja dengan anak jiran kau tu?”
Giliran Norman pula untuk terdiam.
“Kau ingat kahwin ni main-main ke? Kau pakai ajak saja siapa-siapa kahwin dengan kau.”
“Habis tu? Nak buat macam mana lagi?” tanya Norman. “Kita sama-sama pernah bercinta. Bukan cinta main-main tapi cinta sungguh-sungguh punya. Kau cinta pakwe kau, aku cinta mak we aku. Tapi akhirnya… tak kahwin juga.”
“Jadi kau dah putus asa? Kau dah tak nak bercinta lagi? Macam tu?” Nora pandang Norman yang sudah berwajah muram. “Kau nak pakai tarik saja siapa-siapa yang belum kahwin, supaya kahwin dengan kau?”
“Aku bukanlah berputus asa. Tapi… aku dah penat. Aku dah bosan. Bukan sekali dua aku ada makwe. Dah tiga kali. Tiga-tiga kali ada saja hal yang berlaku. Walaupun aku serius dengan mereka. Aku memang nak jadikan mereka isteri bila sampai masanya tapi…”
“Bila tiba masanya, calon pula tak ada ya?” Nora tersenyum. Geli pula hatinya mendengarkan cerita Norman. Dia tahu semuanya malah mengenali dua dari tiga orang bekas kekasih Norman. Cuma dia tidak tahu kenapa perhubungan mereka tidak sampai ke penghujung seperti yang diharapkan.
“Samalah macam kau, kan?” bidas Norman pula.
Nora tarik nafas. Memang nasibnya lebih kurang sama dengan nasib Norman cuma dia pernah bercinta hanya sekali sahaja. Selepas itu, dia sentiasa rasa rendah diri untuk bercinta lagi. Sedar-sedar sahaja, umur dia pun sudah banyak angka. Dia semakin rasa terkapai-kapai. Dia hanya pasrah soal jodoh.
“Jadi aku ni calon terdesak sajalah, kan? Dah habis agaknya semua perempuan dalam KL ni kau ajak kahwin, baru kau datang dekat aku.”
Norman menggumam.
“Nanti… kalau kau dah jumpa calon lain yang lebih baik, kau tinggallah aku ni,” sambung Nora.
“Entahlah. Aku bukan ahli magik yang boleh melihat masa depan. Aku pun takut nak berjanji setia sampai ke liang lahad. Apa yang aku boleh buat ialah untuk masa sekarang saja,” balas Norman.
Nora menggeleng sambil mengeluh.
“Kenapa?” Norman bertanya. “Mungkin pada kau, patutlah semua makwe aku tinggalkan aku, kan?”
“Kau terlalu lurus, Norman. Langsung tak tahu ambil hati perempuan.”
“Mungkin itu kekurangan aku. Tapi aku juga percaya yang aku ada kelebihan berbanding orang lain.”
Nora menghempas nafas. Semakin lama berbual dengan Norman, semakin pening kepalanya.
“Sebenarnya senang saja nak ubat sakit kepala kau tu,” kata Norman apabila terlihat Nora memicit kepalanya. “Terima saja jodoh kau.”
Dengan spontan Nora menoleh ke arah Norman yang duduk di sebelahnya. Jodoh?
“Kau jodoh aku, aku jodoh kau. Habis cerita.” Norman tersenyum.
“Macam tu saja?”
“Habis tu kau nak yang macam mana? Kau nak kita bercinta dulu dua tiga tahun? Boleh saja….” kata Norman. “Tapi apa gunanya? Kan lebih baik kita kahwin dulu selepas tu bercinta. Aku rasa lagi romantik, kut?”
Nora menggeleng lagi. Mudah betul fikiran Norman tapi bagi dia perkara itu seperti mustahil sahaja.
 “Kalau dah jodoh kita, terima sajalah.” Norman menyambung.
“Aku tak faham, Norman,” balas Nora. “Kenapa kau macam ni? Nikah kahwin bukan macam kereta, boleh ke depan boleh ke belakang. Hari ni kata lain, esok kata lain. Sekejap nak kahwin, sekejap nanti tak nak pula.”
“Sebenarnya kau bukan tak faham, kan? Kau bukan tak faham soal jodoh dan ketentuan Tuhan. Kau cuma sukar memahaminya, lebih-lebih lagi kerana melibatkan aku.”
Nora diam. Memang benar. Jauh di sudut hatinya, dia memahami soal jodoh yang telah ditetapkan untuknya. Malah, dia selalu berdoa meminta Tuhan dekatkan jodohnya yang dia tidak tahu entah di mana dan bila akan berjumpa. Cuma dia tidak sangka yang selama ini, jodohnya selalu ada di hadapan mata.
“Maknanya, mungkin kita berdua tak ada jodoh juga, kan? Kenalah kita cari orang lain,” sambung Norman sambil menarik nafas.
“Kenapa kau cakap macam tu?”
“Kalau hati kau tak terbuka menerima lamaran aku, maknanya bukanlah kau jodoh yang telah ditetapkan untuk aku. Perkahwinan itu mesti ada rela kedua-duanya. Walaupun cerita kahwin paksa, ada satu saat di mana reda itu tetap akan wujud.”
Nora tidak dapat menjawab. Bermakna sekarang terpulanglah kepada dia untuk menyambut lamaran itu ataupun tidak.
“Tapi aku nak beritahu kau, aku bersedia menerima kau sebagai isteri aku. Aku bersedia terima kelebihan dan kekurangan kau setelah menjadi isteri nanti. Sekarang kau fikir, bersedia tak untuk menjadi isteri aku dan menerima aku sebagai suami kau dan imam kau? Bersedia tak kau cukupkan kekurangan aku dan terima kelebihan aku?”
Nora semakin serba-salah.
“Kau tahu? Untuk hidup bersama-sama bukan setakat soal cinta dan sayang semata-mata. Bukan soal sweet-sweet saja. Bukan soal hidup senang dan bergelak ketawa sepanjang masa. Tapi kesanggupan untuk kita kekal bersama apabila diuji dengan pelbagai pancaroba dan kekurangan. Barulah teman hidup namanya kerana hidup kita ada suka dan duka.”
“Tapi kenapa kau ajak aku? Kenapa kau pilih aku untuk menghadapi semua itu bersama kau? Bagaimana kalau aku tak mampu menjadi teman hidup seperti yang kau harapkan?”
“Memang betul pertanyaan kau tu. Aku tak pernah berikan kau alasan dan kau tak ada alasan yang boleh dijadikan tapak kepada sesuatu keputusan.”
Nora angguk.
“Jika kau menanti aku mengatakan bahawa aku sudah lama jatuh cinta kepada kau dalam diam-diam, maaf aku tak dapat katakan kepada kau. Kalau aku nyatakan juga, bermakna aku berbohong. Cuma apa yang dapat aku katakan adalah, hatiku tiba-tiba sahaja terbuka untuk meminta kau sebagai isteri. Dan kemahuan itu membungakan perasaan yang tidak dapat aku jelaskan. Ia teramat indah, mendebarkan.
Satu perasaan yang tidak pernah aku rasakan selama ini. Mungkin kerana… kaulah bakal isteriku. Jodohku yang telah ditentukan sejak azali. Jujur aku katakan, di mata aku sekarang wajah kau teramat indah, berseri-seri. Bukan lagi seperti dulu. Dan aku memandang kau dengan rasa kasih yang tak pernah ada sebelum ini.”
Nora terus tak terkata lagi. Kata-kata Norman amat jujur di pendengarannya. Amat mengejutkan sehingga sekujur tubuhnya terasa panas. Belum pernah ada seorang lelaki yang memandangnya sebegitu.
“Jika seseorang lelaki itu benar-benar serius, dia tidak akan menunggu lama untuk mengambil seseorang perempuan itu sebagai isterinya,” tambah Norman. “Sebaik sahaja aku sedar perasaan aku telah berubah terhadap kau, aku terus melamar kau. Aku yakin doaku sudah dimakbulkan apabila perubahan ini berlaku. Dan aku tidak mahu mengajak kau bercinta seperti pasangan yang lain kerana aku menghormati kau. Aku faham kau sudah matang, bercinta seperti orang muda bukanlah keutamaan kau lagi. Apa yang kau mahukan adalah sebuah kesungguhan untuk hidup bersama selama yang diizinkan Tuhan. Mengecapi bahagia dalam erti yang sebenar.”
“Jadi kau hanya sedar perkara ini sejak tiga hari yang lepas?”
“Ya.” Norman mengangguk.
 “Tapi aku yakin kau akan terima,” tambah Norman.
Dahi Nora berkerut. Entah apa-apa sajalah, Norman ni, kata hatinya. Mukanya sudah merah padam. Dia sedar cara Norman memandangnya sudah berubah dan itu membuatkan hatinya bergetar.
“Kalau aku betul-betul tak ada harapan, tidaklah kau teragak-agak macam ni. Dah lama dah kau campak aku ke dalam kolam tu.” Muncung Norman menghala ke arah kolam yang terbentang di kaki KLCC.
“Hmm….” Nora menundukkan pandangan matanya. Dengan tiba-tiba sahaja, dia terasa amat malu untuk memandang muka Norman. Benarkah begitu? Benarkah, dia sebenarnya mahu tapi malu? Tapi yang pentingnya, terbukakah hatinya untuk menerima Norman sebagai suami? Bolehkah?
“Aku tahu aku tak kaya, tak kacak, tak cukup ilmu agama seperti imam muda dan ada banyak lagi kekurangan cuma aku bersedia menjadikan kau isteri sedangkan lelaki lain tidak. Aku bersedia menyayangi dan melindungi kau, sedangkan lelaki lain tak mahu.”
“Dan aku kena juga terima kau sebab tak ada lelaki lain yang mahukan aku selain kau?” tanya Nora pula. Terasa pula hatinya.
“Bukan sebab itu. Tapi sebab semua lelaki lain tak mampu melihat keistimewaan kau seperti yang aku mampu. Itu tandanya kau memang jodoh aku.”
“Kau terlalu yakin dengan diri kau, Norman,” balas Nora.
“Kerana aku percaya pada ketentuan Tuhan,” jawab Norman. “Kenapa tiba-tiba sahaja aku dapat melihat kau dari sisi yang lain? Kenapa aku dengan tiba-tiba sahaja dapat melihat kau dengan rasa kasih yang seluas lautan? Tidakkah kau terfikir, benih kasih yang dicampakkan di hati aku itu rezeki  Tuhan?”
Lidah Nora menjadi kelu.
“Cuma kalau kau masih tak boleh menerima aku juga, kalau kau sudah ada pilihan lain ataupun hati kau memang tak tertawan dengan lamaran aku di tepi kolam mandi terbuka ni, aku minta maaf.”
Dahi Nora berkerut.
“Minta maaf sebab buat kau pening beberapa hari ni sampai kau jatuh sakit kerana terkejut. Minta maaf sebab aku berani mengusulkan cadangan yang kau fikir gila padahal aku benar-benar ikhlas dari hati yang paling dalam untuk memperisterikan kau. Maaf kerana dengan tiba-tiba sahaja daripada kawan kita akan berubah menjadi seteru jika usul ini tidak berjaya dilaksanakan. Aku minta maaf.”
Nora tarik nafas. Nampaknya, petang itu Norman benar-benar meluahkan segala-galanya yang dia mahu kepadanya. Makin lama dia makin tidak mengenali Norman di sisinya lagi. Dia melihat Norman sebagai seorang lelaki yang benar-benar lain. Lelaki yang menarik. Lelaki yang penuh kejutan. Sudah terbukakah mata hatinya?
 “Jadi apa keputusan kau?” tanya Norman.
“Keputusan?”
“Bila aku boleh bawa mak ayah aku ke rumah kau? Lagi cepat lagi baik. Cepatlah kita bercinta.” Norman tersenyum.
Kulit muka Nora terasa semakin panas.
“Minggu depan boleh?” tanyanya perlahan.
Norman tersenyum lebar.
Nora tidak sanggup memandang Norman lagi. Dia hanya memandang bangunan KLCC. Tetapi Nora sudah nampak. Norman, bukan Norman yang dahulu lagi. Nora juga sudah nampak dengan mata hati, benih-benih yang sudah lama ada di hati… 

1 comment:

Note: Only a member of this blog may post a comment.