Tuesday, September 25, 2012

GLAS--Z: BAB 17



“APA HAL?” Faruk angkat kening apabila menyedari riak muram di wajah Rita.
Rita tidak terus menjawab. Sebaliknya hanya terkebil-kebil memandang pekerja-pekerja institut di situ lalu-lalang di dalam dewan makan. Kemudian dia terus bangun meninggalkan meja dan berjalan laju keluar.
Melihatkan tingkahlaku Rita, Faruk terus mengejar walau airnya belum sempat dihabiskan.
“Apa yang dah berlaku?” Dia bertanya dengan nada yang agak tegas apabila Rita sudah menonong ke taman bunga di tengah-tengah IPB. Dia sempat menarik tangan Rita.
Akhirnya Rita duduk di sebuah kerusi.
“Mereka berdua nak ke Vietnam.” Dia pandang Faruk.
“Vietnam?” Dahi Faruk berkerut. “Nak buat apa pula ke sana?”
“Kata Nella, dia nak ikut kakak angkatnya ke sana buat kerja. Jadi dia nak bawa Ari sekali.”
Faruk terdiam lama. Kedua-duanya termenung jauh.
Akhirnya Faruk mengeluh. “Selagi kita tak putus contact, tak apalah. Biarkan sajalah.”
Spontan Rita menoleh ke arah Faruk. Tajam matanya merenung wajah itu. “Kau kata tak apa?”
Faruk angguk. “Biarlah mereka berjalan sikit. Perkara ni dah cukup buat Nella tu tertekan. Aku rasa kita patut beri dia sedikit kelonggaran. Kalau itu yang dia mahu buat, kita izinkanlah.”
Rita termenung.
“Soal perbelanjaan, kau jangan bimbang. Hari ni aku masukkan duit ke dalam akaun Nella. Kau beritahu dia.”
Lagi sekali Rita terkejut.
“Aku tak faham kenapa kau seperti beria-ia mahukan mereka pergi jauh?”
“Bukan soal pergi jauh ataupun dekat tapi  tekanan yang melampau akan menjadikan semua perkara tidak terkawal. Kita patut bertolak-ansur, lagipun bukannya mereka pergi berdua. Mereka ada penjaga.”
Rita diam semula.
“Aku harap perkara ni boleh diselesaikan secepat mungkin tapi…”
“Jangan salahkan diri kau pula,” tegur Faruk. “Aku tahu kau belum berani nak masuk ke makmal 91. Aku faham.”
“Hari ni lagi teruk. Semua makmal tak boleh masuk. Entah apa yang Dr. Sid dan Dr. Uzair buat dalam tiga makmal tu, tak seorang pun tahu. Segala ujikaji yang lain dibatalkan terus.”
“Nanti aku cuba risik-risik daripada ayah aku. Sementara tu apa kata kalau kau relaks saja? Kau nampak stress sangat.” Faruk tersenyum.
Rita tarik nafas panjang. “Selagi kes ini tak selesai, aku tak boleh relaks, Faruk. Nyawa adik aku juga dalam taruhan.”
“Aku faham, tapi kita kena percaya pada Ari. Dia akan jaga Nella baik-baik.”
“Harap-haraplah,” balas Rita sambil melemparkan pandangan mata ke arah tengah taman.
*****
PUKUL 2.00 petang, Faruk mengetuk pintu pejabat ayahnya di tingkat 3 bangunan utama IPB. Dia tahu kalau ayahnya tidak ada di rumah, ataupun di makmal mesti ayahnya akan berada di situ.
“Dari mana?” tanya Dr. Uzair sebaik sahaja terlihat wajah anaknya.
Faruk lantas masuk dan menarik kerusi. Dia duduk sambil memandang ayahnya yang sedang tekun meneliti beberapa dokumen.
“Apa yang dibuat Dr. Sid dalam makmal tu?” tanya Faruk pula. “Sampai sekarang, makmal masih ditutup.”
Dr. Uzair meletak semula pen yang dipegangnya. Dia bersandar dengan tenang. Kemudian memandang siling pejabatnya.
“Dia menguji Iris.”
Tubuh Faruk terdorong ke hadapan.
Dr. Uzir terangguk-angguk. “Payer dah bising. Dia tak ada jalan lain lagi. Takkan dia nak pergi tumbuk orang tu sendiri dengan tangan dia.”
Faruk tersenyum. Dia faham tekanan yang sedang dihadapi oleh Dr. Sid sekarang.
“Jadi bagaimana? Apa keputusan ujian tu?”
“Positif. Tapi biasalah dia, terlalu sayangakn budak tu. Takut sangat nak guna. Itu pun malam tadi, dia hampir lagi berpatah balik.”
Lama Faruk mendiamkan diri. Walaupun biasa berada di IPB sejak kecil lagi namun hanya setelah dia masuk bekerja di situ sahajalah baru dia tahu apa sebenarnya yang diusahakan oleh Dr. Sid dan ayahnya selama ini. Dia yakin Jeffri juga tahu. Yang tidak tahu hanyalah Ari.
“Iris adalah harapan terakhir dia,” katanya.
“Bukan itu saja.”
Faruk mengangkat muka. Dia tertanya-tanya.
“Ini bukan semata-mata soal mesin pembunuh dan juga duit. Ini juga soal dendam, cinta dan maruah.”
“Ayah tak pernah ceritakan,” balas Faruk. Kata-kata ayahnya sungguh mengejutkan dia. Adakah Dr. Sid mempunyai hubungan dengan Ari dan Iris?
“Sebab itulah dia takut mahu menyentuh Iris. Dia sangat sayangkan budak tu. Dia mahu menjadikan budak itu pengganti apa yang dia tak dapat suatu ketika dulu.”
“Ari pula?”
“Semua orang tahu dia bencikan Ari. Mungkin kerana Ari mengingatkan dia kepada lelaki yang sangat dibencinya.”
Faruk ketawa, kemudian menggeleng.
“Sentimental juga orang tua tu.”
“Jangan memperlecehkan kuasa cinta, Faruk. Kuasanya boleh menumbangkan sebuah negara, inikan pula sekadar sebuah ikatan keluarga.”
Ketawa Faruk berhenti.
******
SEBAIK sahaja habis waktu kerja, Rita terus memandu balik ke rumahnya. Di pertengahan perjalanan, dia berhenti di tepi jalan berdekatan dengan sebuah kedai runcit. Dia menelefon Nella.
“Susahnya nak contact,” katanya apabila terdengar suara Nella menjawab salamnya.
“Dekat sini susah nak dapat line,” balas Nella.
“Faruk pesan, dia akan masukkan duit dalam akaun Nella hari ni.”
“Dah dapat dah. Tadi Nella pergi bank, tengok ada duit ekstra.”
“Gunakan duit tu baik-baik, okey?”
“Maknanya Nella boleh pergilah, kan?” tanya Nella pula.
Rita bergumam seketika. “Tapi pastikan contact kakak setiap hari. Sampai saja sana terus contact.”
“Kakak jangan bimbang. Nella akan beri kakak angkat Nella semua maklumat kakak nanti. Kalau jadi apa-apa pada kami berdua, dia boleh contact kakak terus.”
“Baguslah macam tu. Tapi ingat, jangan leka. Kita tak tahu apa yang akan berlaku,” pesan Rita lagi. Hatinya masih risau.
“You have to trust me,” balas Nella.
“Itu lagi kakak risau. Nella tu bukan boleh pakai sangat.”
Nella ketawa.
“Tak ada apalah, kak. Semuanya okey. Nella okey, Ari okey. Kakak angkat Nella pun jaga Nella dengan baik. Kakak jangan bimbang ya?”
“Kakak harap semua ni cuma mimpi, Nella.”
“Nella faham tapi kakak jangan tertekan pula. Nella dan Ari di sini relaks saja, kakak di sana yang sakit dada.”
“Okeylah. Jangan lupa telefon kakak setiap hari.”
“Esok, kami dah ke KL. Nella telefon dari sana, okey?”
Rita angguk. Matanya bergenang. Setelah memberi salam, dia putuskan panggilan itu. Terasa adiknya akan pergi jauh dan semakin jauh. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.