Friday, September 14, 2012

Cerita : Obsesi


Aku benar-benar menyesal. Bahkan tidak terkira berapa banyak perkara yang aku kesalkan sekarang. Semuanya seakan-akan bergumpal menjadi sebab yang sedang menghambat nyawaku kini. Bahkan aku rasa seperti maut sedang menari-nari. Mengintai-intai.
Pipiku masih berdarah. Dan darah masih menitik, menuruni dagu dan jatuh satu persatu ke atas riba. Pedih, ngilu, sakit, berdenyut… semuanya aku rasa hidup-hidup. Bukan lagi satu bayangan, bukan lagi satu ilusi. Memang nyata, itu darahku yang sedang menitik jatuh, bukan darah orang lain atau watak-watak Homo fictus yang aku cipta. Darah aku. Darah benar!
Aku tidak pasti bila darah itu akan kering. Sekejap lagi atau akan terus menitik sehingga aku mati kering di atas kerusi ini. Aku tidak tahu. Aku benar-benar tidak tahu. Dan aku juga tidak tahu adakah nyawaku akan ditamatkan sekejap lagi, esok atau dibiarkan mati kebuluran di situ setelah bermingu-minggu. Aku tidak tahu.
Apa yang aku tahu, aku menyesal. Banyak perkara yang aku kesalkan.
*******
Beberapa jam yang lalu…
“Ya, Allah! Dah pukul tujuh?” Suaraku meletus sendiri. Meluahkan apa yang tercetus di minda lalu menghasilkan tindakbalas berantai. Degup jantung yang melaju dan rasa debar yang menggila.
Sempat aku kerling meja-meja lain yang telah kosong. Tidak perlu aku pandang lama-lama, kesunyian di pejabat itu sudah memaklumkan dengan jelas, tidak ada orang lain di situ melainkan aku.
Tap! Tap! Tap!
Kasut tumit tinggiku mengalunkan irama. Menemani aku yang tergopoh-gopoh melangkah ke arah lif. Butang untuk turun ke bawah, aku tekan-tekan. Sambil mengomel sendiri, kenapa bangunan yang kosong pun lif lambat benar sampai.
Ting! Pintu lif terbuka.
Aku masuk. Berdiri seorang. Rasa sungguh janggal. Otak terus berfikir. Bagaimana wisma yang begitu besar dan gah di tengah ibu kota boleh jadi sesunyi itu? Aku seorangkah yang masih bekerja hingga selewat ini di malam minggu? Menyedihkan.
“Baru habis kerja, Cik Marhani?” tegur Pak Cik Isa, pengawal keselamatan tempat aku bekerja.
“Ya,” balasku bersama senyuman. Lalu aku terus melangkah ke muka pintu tanpa memberi peluang kepada Pak Cik Isa berbicara panjang. Sesungguhnya aku masih segan untuk bercakap walau dengan sesiapa pun di situ. Aku pekerja baru. Baru dua minggu.
Sewaktu aku meninggalkan wisma, angin senja segera menyambut tubuhku. Membelai dan menggoda. Mengajak aku ikut bersuka ria bersama neon-neon yang mula terpasang. Bersama bahagia yang pura-pura. Aku menolak dan lantas menghayun kaki menjauhinya.
Sedang aku menapak lesu ke arah sebuah denai kecil di antara dua buah bangunan tinggi, tiba-tiba saja mulutku ditekup. Spontan aku meronta walau gelap sekejap pandangan mataku. Dan pandangan mataku terus gelap apabila satu hentakan kuat singgah di kepalaku.
******
Beberapa jam selepas itu…
Sakit kepala. Berdenyut-denyut di bahagian yang kena hentak tadi. Melarat pula hingga ke bahagian hadapan kepala, turun ke hidung. Tapi tidak berdarah.
“Erm…” Satu suara garau, berat kedengaran. Suara seorang lelaki.
Aku mengerutkan mata, cuba mengurangkan segala sakit yang aku rasa. Cuba memaksa mataku terbuka supaya dapat aku lihat di mana aku berada dan siapa lelaki yang berada di situ. Sayangnya, tidak secepat itu. Ternyata kelopak mataku bagaikan bertan-tan beratnya. Aku tidak berdaya selain terus mencium lantai yang penuh debu.
“Dah jaga? Dah tiga jam.” Lelaki itu terus bersuara, jelas dan tegas. Bahkan telingaku menangkap penekanan yang aku tidak tahu apa tujuannya. Cuma hatiku ingin sekali tahu siapa dia dan kenapa dia buat aku begitu.
Tiba-tiba aku terasa kepalaku ditarik ke belakang. Leherku bagaikan hampir patah. Tudungku entah keronyok bagaimana, kemudian entah kenapa dilepaskan kepalaku begitu saja. Terhempas ke atas lantai. Kepalaku berdenyut kuat, hidungku pedih. Tanpa dapat aku tahan, hidungku mula berdarah. Aku mula menghidu bau darahku sendiri. Hanyir.
Untuk sesaat aku sudah tidak tahan. Kepalaku berdenyut bagaikan ingin pecah. Rasa rimas, kotor, letih, lapar, sakit dan segala macam rasa yang tidak selesa aku rasa silih berganti. Akhirnya lelahku menyerang.
Nafasku jadi pendek-pendek, sesekali aku terbatuk. Aku tercari-cari udara yang bersih di antara zarah-zarah debu yang menyelubungi aku. Hampir mustahil. Aku pasrah sahaja dan dalam kepasrahan itulah timbul kekuatan. Aku buka mata.
Dia?
*****
Beberapa hari yang lalu di pejabat…
“Cik Marhani ada dapat e-mel saya?” tanya Razak. Seorang pegawai di bahagian lain. Datang menjenguk ke mejaku petang itu.
Aku terdongak seketika. E-mel? Ya, e-mel.
“Ada, ada.” Aku mula cemas. Rasa sejuk menjalar hingga ke lengan. Ada rasa bersalah, ada rasa geram.
“Kenapa tak balas?”
“Banyak sangat kerja hari ni, makan pun tak sempat tadi.” Aku cuba tersenyum. Moga-moga lelaki yang aku kenali sebagai Razak itu terpujuk dan mahu memaafkan aku. Sebenarnya aku tidak tahu yang dia sedang menunggu balasan e-melku. Sungguh aku bukan sengaja tidak mahu membalasnya, tapi aku sedang bekerja dan e-mel itu adalah e-mel peribadi.
“Cik Marhani belum makan? Eh! Kenapa sampai macam tu? Dah dekat pukul 3.00 petang ni. Mari kita minum dulu.”
“Tak payah, tak payah.” Suaraku bergetar. Serentak itu otakku memerah akal untuk menolak ajakan itu. “Saya kena siapkan kerja saya dulu. Sekejap lagi boss nak tengok.”
Razak angguk, walaupun riak wajahnya seperti hampa sahaja. Kemudian dia tersenyum. “Kalau macam tu pukul lima nanti saya datang sini balik ya? Saya temankan Cik Marhani makan. Cik Marhani cakap saja nak makan di mana, saya bawa.”
“Rasanya saya kena stay back hari ni. Sorrylah,” balasku. Aku mula rasa didesak, dipaksa. Padahal aku tidak mahu keluar minum, makan, berjalan atau apa sahaja dengan dia.Tidak mahu.
Mendengarkan jawapanku itu, Razak menarik nafas. Rasa kecewa jelas tergambar pada wajahnya.Dia tidak berkata apa-apa lagi, sebaliknya terus melangkah pergi.
Maka aku pun fikir, perkara itu sudah selesai setakat itu. Tapi aku terkejut, dalam pukul enam petang, Pak Cik Isa datang ke pejabatku menghantar bungkusan nasi.
“Ni, Encik Razak yang suruh hantar kat cik. Dia kata cik belum makan sejak tengah hari tadi.” Pak Cik Isa beria-ia menghulurkan aku bungkusan itu sambil tersengih.
Melihatkan wajah Pak Cik Isa yang tulus dan tidak tahu apa-apa itu, aku menerima nasi pemberian Razak dengan serba-salah.Namun nasi itu tetap tidak kusentuh walau seulas pun. Aku tinggalkan saja di bilik pantri.
******
Sejak hari itu e-mel demi e-mel aku terima daripada Razak. Aku balas ala kadar. Walau aku tahu apa tujuan Razak menghubungi aku, tapi aku tetap tidak suka dipaksa-paksa. Tidak suka diarah-arahkan oleh dia. Apatah lagi menjadi rapat. Entah kenapa aku dapat merasakan sesuatu yang tidak kena dalam diri lelaki itu, cuma aku tidak tahu apa. Aku rasa tidak selesa. Tidak selamat. Itu sahaja.
“Cik Marhani.” Satu petang, dia dapat mengejar aku di pintu lif. Waktu itu aku mahu balik setelah habis kerja.“Mari kita minum dulu,” katanya.
Aku rasa hendak menangis. Aku rasa marah kerana dia tidak faham atau sengaja berpura-pura seperti tidak faham. Mustahil dia tidak faham kalau e-melnya yang panjang sedepa itu aku cuma balas dengan sebaris ayat. Mustahil dia tidak faham kalau semua ajakannya sebelum ini aku tolak dengan pelbagai alasan. Mustahil.
Tapi dia tetap dengan muka selambanya yang suka mendesak itu.
“Marilah kita pergi minum, Cik Marhani. Bukan lama sangat. Kalau lambat pun, saya hantar Cik Marhani balik sampai rumah,” katanya. Begitu lantang di dalam lif sehinggakan staf-staf lain yang turut berada di situ tersenyum sumbing.
Aku tidak menjawab. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, aku terus meluru keluar. Aku hanya fikir, untuk menjauhi dia secepat mungkin. Sedar-sedar sahaja lengan aku ditarik seseorang. Aku terkejut sehingga langkahku terhenti.
“Cik Marhani!” Suara Razak agak tinggi. Dia pandang aku dengan muka yang serius.“Marilah minum sekejap. Ada perkara saya nak cakap ni.”
“Awak tak faham ke? Saya tak nak pergi minum ke, pergi makan ke, atau pergi mana-mana dengan awak. Saya nak balik,” kataku sebelum berpaling dan meneruskan langkah.
Lalu aku fikir, semuanya sudah tamat di situ. Nampaknya apa yang aku fikir itu salah, teramat salah.
*****
Sekarang…
Basah. Muka aku basah. Aku yakin tudung dan baju kurung aku juga basah sebahagiannya. Cuma air yang disimbah ke mukaku tadi menambah rasa sesak di dada, lalu nafasku makin sesak. Aku tercungap-cungap. Lelahku makin kuat.
Tapi apabila terpandang wajahnya, aku mengetap bibir. Timbul rasa geram dan marah apabila melihat dia selamba sahaja duduk di atas kerusi menghadapku sambil memegang botol air mineral yang telah kosong. Adakah aku sedang berhadapan dengan seorang yang gila?
“Bangun pun,” kata Razak. Dia berdiri memandang aku yang masih terbaring di lantai. Menarik nafas panjang, kemudian melangkah ke arah tingkap bilik itu, merenung hujan lebat yang mencurah-curah turun bagaikan sedang berfikir jauh.
Aku hanya memerhati gerak lakunya dengan ekor mata. Aku perhatikan segala yang aku mampu perhatikan. Lantai simen yang berdebu, dinding batu yang kosong, dua buah kerusi plastik, bungkusan air yang telah kosong, bekas polisterin di sudut bilik, beg tangan aku yang terlempar agak jauh. Itu sahaja. Tapi aku di mana? Yang itu aku masih tidak tahu. Aku boleh berada di mana-mana.
“Kalau rasa mahu menjerit. Menjeritlah. Bukan ada orang boleh dengar pun dalam bunyi hujan di luar tu. Tapi kalau rasa sayangkan suara, sayangkan tenaga, tak payahlah,” kata Razak sambil berjalan semula ke arahku. Kemudian duduk semula di atas kerusi sambil memerhati pisau lipat yang telah ditoreh ke mukaku sebelum ini.
“Aku rasa kau mesti tertanya-tanya kenapa aku bawa ke sini, kan? Kenapa aku ikat tangan kau, ikat kaki kau. Layan kau macam ni…” Razak terus bersuara sambil memutar-mutar pisau di tangannya. Kemudian pisau itu ditoreh di atas tapak tangannya hingga berdarah. Peliknya dia seperti tidak merasa apa-apa kesakitan.
Aku hanya memerhati dengan teliti. Makin lama makin aku sedar, Razak bukan lelaki yang biasa. Ada sesuatu yang tidak kena dengan fikirannya. Cuma mungkin kesedaran aku telah terlewat. Aku amat kesal.
“Aku cuma nak cakap dengan kau. Ada perkara yang aku nak sampaikan pada kau,” katanya lagi seperti meningkah suara hujan di luar bilik. Kemudian dia bangun balik. Mundar-mandir tidak tentu arah. Akhirnya berhenti. Dia menyeluk poket jaket yang dipakai. Dikeluarkan sesuatu. Sebuah novel.
“Ini!” Dia hempas novel itu ke lantai.
Novel itu melantun kena ke mukaku sedikit. Darah dari hidungku yang baru berhenti, keluar semula. Pedih.
“Apa yang kau tulis dalam ni?” Razak menjerit lagi.
Dalam tercungap-cungap mencari nafas, aku cuba berfikir. Apa kesilapanku  sehingga dia sanggup memperlakukan aku begini. Tapi akalku yang sedang berserabut gagal mencari satu pun jawapan. Maka aku diam. Walau aku tahu dia tidak akan berhenti selagi hatinya puas.
“Aku dah tanya dalam e-mel tapi kau tak jawab. Kau layan aku acuh tak acuh. Kau ingat aku bodoh sangat sampai tak layak berbincang dengan kau.”
Aku diam. Aku biarkan sahaja dia membebel. Tiba-tiba kepala aku ditarik ke belakang, terlalu kuat sehingga tubuhku ikut terangkat duduk. Dia tolak pula kepalaku hingga kena ke dinding. Dia pandang aku depan-depan.
“Patutnya aku toreh lagi muka kau berkali-kali. Biar kau rasa betul-betul apa yang watak kau rasa. Supaya kau boleh tulis bagaimana rasa sakitnya yang Taufik rasa, apabila dipukul, dihentak, ditikam, ditoreh oleh penculik tu.”
Aku berdebar-debar. Aku teringatkan Taufik. Tapi apa kena-mengena Razak dengan Taufik? Aku tak jumpa jawapan.
“Sebelum ni kau tulis elok aje. Tapi dalam ni…” Razak melepaskan kepalaku. Aku tersengguk kuat. Dia kutip novel itu semula. Direnyukkan dengan sebelah tangan sahaja. “Kau tulis sambil lewa. Aku dapat rasakan, kau tak dapat menyelami watak Taufik betul-betul. Kau macam pakai agak-agak saja. Tak tepat, tak cukup dalam. Kau tipu aku! Kau tipu pembaca kau!!!”
Novel itu hinggap ke mukaku lagi. Kali ini tepat menghentam hidungku. Makin laju darah yang keluar. Aku mula pening apabila mukaku berlumuran dengan darah aku sendiri. Bau darah segar di mana-mana. Mual.
“Kau nak tahu macam mana Taufik rasa bila pehanya ditikam? Kau nak tahu macam mana  rasanya bila dia dibiarkan kebuluran seminggu? Kau nak rasa? Kau nak tahu?”
Aku segera menggeleng. Ekor mataku dapat melihat pisau yang berkilauan di tangan Razak. Mungkin sudah sampai masanya aku bersuara.
“Razak,” panggilku.
*****
Razak tergamam. Mungkin dia tidak pernah sangka aku akan berani berbunyi pada waktu itu tetapi aku tidak peduli. Ini soal aku, soal hidup dan mati aku.
“Aku minta maaf sebab tak beri peluang pada kau,” kataku.
Itu perkara pertama yang muncul dalam kepalaku. Aku rasa bersalah pada dia. Mungkin kerana aku terlalu mementingkan perasaan aku sendiri aku jadi buta pada penderitaan dia. Kalaulah aku mahu duduk minum dengan dia sejam dua, dengar apa dia hendak cakap, mungkin semua ini tidak perlu terjadi kepada aku. Mungkin aku sedang tidur nyenyak di atas katilku sekarang. Mungkin. Tapi aku buat pilihan yang salah dan itu buat aku kesal.
Dia tersenyum sinis. Kemudian tersenyum panjang.
“Orang yang bersalah selalu macam tu. Dah buat salah, minta maaf. Buat salah lagi, minta maaf lagi,” katanya. “Kenapa tak buat perkara yang betul supaya kau tak perlu minta maaf?”
“Kerana aku manusia biasa. Aku bukan maksum. Hari-hari aku buat salah. Pada orang, pada diri aku sendiri, pada Tuhan,” jawabku.
Lama dia terdiam.
“Kau novelis pujaan aku. Aku tak suka kau buat salah,” katanya lagi. “Sejak aku tahu kau masuk kerja satu tempat dengan aku, aku sangat gembira. Sudah lama aku simpan hasrat nak jumpa kau. Sejak aku baca novel kau yang pertama dulu. Ini dah novel ketujuh.”
Jadi? Segala tekaan aku selama ini salah? Aku agak terkejut. Selalunya peminat beri bunga, beri hadiah…bukan beri pisau, beri darah.
 “Aku pergi cari kau semasa pesta buku dulu. Tapi setiap kali aku datang kau mesti tak ada. Kenapa kau tak suka jumpa peminat? Kau tak hargai mereka?”
Aku menggeleng. Aku menafikan tuduhan dia. Aku hargai peminat aku cuma aku tidak sukakan populariti dan dunia glamer. Aku lebih suka orang mengenali aku melalui novel-novelku sahaja bukan secara peribadi. Melihat muka aku di halaman Facebook sahaja, aku rasa mual. Aku tidak selesa.
“Tapi yang paling aku kesalkan ialah novel ni….” Dia mengeluh. “Teruk! Paling teruk!”
Kali pertama aku dikritik depan-depan. Rasanya seperti dihempap sebuah bangunan tinggi yang aku bina sendiri. Hancur lumat segala keyakinan, segala harga diri malah terasa melayang segala penat lelah aku menyiapkan novel itu siang malam. Teruk? Terlalu teruk sehingga novel itu patut dibaling ke mukaku dua kali?
“Tolong jangan hampakan aku lagi,” kata Razak. Kali ini suaranya sudah mengendur pula. “Tolong jangan tulis macam ni lagi. Kembalikan Marhani yang dulu. Marhani yang aku kagumi.”
Aku tidak dapat menjawab. Aku sendiri tidak tahu sejak bila ‘Marhani yang dulu’ hilang dari diriku. Sangkaku aku tidak pernah berubah. Dan aku tidak tahu pun bagaimana rupanya ‘Marhani yang dulu’ dan apa bezanya dengan ‘Marhani yang sekarang.’
“Jangan malukan diri kau dengan tulis macam ni. Ni dah tahap budak belum bersunat.” Kasar semula suaranya.
“Aku takkan tulis lagi. Kau jangan bimbang,” kataku.
Razak menoleh ke arahku. Tajam matanya merenung wajahku yang entah bagaimana rupanya.
Aku larikan pandangan mataku ke arah lain. Aku tidak jelaskan apa-apa kerana aku tahu itu yang dia mahu.
“Kenapa… kau tak nak tulis lagi?” Dahinya berkerut.
Aku buat tidak tahu. Aku tutup mulut.
“Kenapa kau tak nak tulis lagi!!!” Razak menjerit semula.
Aku benar-benar terkejut apabila dia merentap lengan aku dan menggoncangnya sekuat hati sehingga tudung yang aku pakai tercabut dan terlondeh.
Dia betulkan.
“Sorry,” katanya sambil cuba membetulkan tudung kepalaku yang terbarai. “Kenapa kau tak nak tulis lagi?” tanyanya dengan suara yang lembut pula.
Aku geleng.
“Tulislah,” katanya sambil merenung wajahku dengan pandangan mata yang sayu. “Jangan berhenti. Tolonglah jangan berhenti.”
Aku pandang ke arah lain. Tidak sanggup aku memandang mukanya yang seiras Remy Ishak itu. Mungkin jika aku masih hidup lagi selepas ini, aku akan trauma terhadap muka artis itu. Sungguh.
“Aku… aku buat ni bukan nak sakitkan kau. Aku… aku… aku cuma nak kau rasa apa yang watak kau rasa. Aku… aku…” Razak terduduk di atas lantai di sebelahku. Seperti kesal, seperti keliru.
Aku hanya menunggu.
“Kalau kau nak aku tulis lagi… lepaskan aku. Kau tak membantu aku kalau kau buat macam ni,” balasku.
“Tapi yang kau tulis dalam novel ni salah!!!” Dia tepuk lantai.
Aku mengeluh. Dalam keadaan sakit, lelah, penat, lapar, kotor aku rasa sudah tidak berdaya lagi menyambung perbualan itu. Aku tidak tahu apa rancangan dia. Adakah dia akan menyiksaku sepanjang malam sehingga aku mati atau dia akan tinggalkan aku selepas puas dia bercakap. Aku tidak tahu tetapi apa yang aku tahu ialah aku belum bersedia untuk mati dan mengalah.
“Kalau kau tak lepaskan aku macam mana aku nak betulkan?”
“Kau boleh betulkan?”
“Dalam novel yang akan datang,” balasku. Walhal aku sudah tidak ada semangat untuk menulis lagi. Aku sudah takut. Trauma.
Razak angguk berkali-kali. “Kali ni kau tulis betul-betul. Kau kena jiwai watak kau tu sungguh-sungguh. Kau kena rasai kesakitan mereka, kau kena rasai kesusahan mereka. Ketakutan, kelaparan. Kau cium lantai ni, kau cium.”
Dia tumus muka aku ke lantai.
“Macam mana baunya? Hapak? Hancing? Masam?” Dia bertanya macam seorang guru sebelum perlahan-lahan menarik muka aku sekali lagi. “Kau dah tahu sekarang. Kau tak perlu main agak-agak aje. Kau tak perlu berlakon tahu sedangkan kau tak pernah tahu. Kau tak perlu menipu kerana aku akan tahu.”
“Ya,ya.” Aku mengangguk laju.
Razak tersenyum. Dia menepuk kepalaku beberapa kali. “Bagus. Sekarang, aku nak ajar kau buat kali terakhir. Satu perkara yang aku rasa selalu kau tulis dalam novel kau tapi kau sendiri tak pernah rasa…”
Jantungku seolah-olah mengeras. Nafasku seolah-olah tersekat. Apa yang dia hendak ajar aku? Puas aku cuba mengingatkan apa yang telah terjadi kepada Taufik, Rina, Sofea, Julia, Idzham dan banyak lagi watak-watak dalam cerita yang kutulis. Yang mana satu? Dirogol? Ditikam? Dipukul? Dirodok?Dipotong? Yang mana? Yang mana?
Dan apabila Razak berdiri semula sambil menggenggam penumbuknya aku sudah tahu apa yang telah dipilih. Aku pasrah sahaja.
Paling akhir yang terdengar di telingaku adalah bunyi pintu bilik dibuka. Kemudian pandangan mataku gelap semula.
******
“Cik Marhani?” Satu suara lelaki memanggilku.
Sudah matikah aku? Beginikah alam barzah? Fikirku.
“Cik Marhani?” Suara itu memanggil lagi.
Kelopak mataku terbuka. Terang seterang terangnya. Spontan mataku tertutup semula. Aku mengerut mata mencari kekuatan untuk menentang cahaya terang di atas kepala. Mataharikah? Bulankah? Aku ingin sangat tahu.
“Cik Marhani dah selamat.” Suara itu kedengaran lagi. “Keluarga Cik Marhani ada di luar menunggu.”
Aku buka juga mataku. Aku perlu tahu di mana aku berada. Di dalam kubur atau di mana dan akhirnya apabila mataku dapat menyesuaikan dengan cahaya yang masuk, barulah segalanya menjadi terang. Aku di wad?
“Dah sedar.”
Aku dengar suara-suara anggota polis yang ada di situ berbisik-bisik. Seorang doktor lelaki yang berada di sisi katilku segera memeriksa mata dan mukaku. Entah apa yang dicari, aku sedikit rimas tetapi aku bersyukur jika benar itu wad dan bukan kubur.
“Setakat ni dia okey tapi kita akan pantau beberapa jam lagi. X-tray tak menunjukkan kecederaan yang parah. Tak ada tulang yang patah selain lebam, luka dan bengkak di sana-sini,” kata doktor lelaki itu kepada seorang anggota polis. Mungkin polis yang bertanggungjawab menyiasat kes itu. Aku tidak pasti.
“Dia boleh disoal siasat?” tanya polis itu pula.
Doktor lelaki itu mengangguk. “Mungkin sekejap lagi. Kita beri dia bertenang dulu.”
Aku tarik nafas lega kerana doktor lelaki itu faham apa yang sedang aku hadapi. Aku masih terkejut sebenarnya. Terkejut kerana aku masih hidup dan terkejut kerana aku sudah berada di tempat yang bersih dan selamat. Tapi apa yang telah terjadi semasa aku pengsan?
*******
Beberapa hari selepas itu…
“Dia kena dakwa ke atau mahkamah lepaskan?” tanya ibuku kepada ayah. Mereka berdua berbual di tepi katilku sambil leka membelek surat khabar. Rasanya mereka tidak sedar yang aku sudah terjaga dari tidur.
“Mungkin lepas. Tapi kalau lepas pun bukan lepas di luar. Masuk dalam juga. Dalam hospital sakit jiwa.”
“Bahaya ya kalau orang ada sakit jiwa macam tu,” kata ibuku. “Nampak di mahkamah hari tu elok saja orangnya. Lawa pun.”
Ayah tersenyum tawar. “Luar sihat, dalam tak.”
“Dia memang sakit dari kecil ke?” tanya ibu lagi. Berminat pula dia hendak tahu.
“Kata doktor yang merawat dia, dia dulunya elok aje. Tapi selepas kena culik semasa dia berumur 15 tahun, dia berubah perangai.”
“Tapi macam mana pula dia boleh dapat kerja dekat situ? Pegawai yang ambil kerja tu tak periksa betul-betul ke? Pakai ambil aje ke?”
“Nak buat macam mana? Wisma tu pun ayah dia punya.”
Mulut ibu terlopong seketika. “Isy! Macam-macam. Mujur tak dibunuhnya anak kita. Itu pun tak pasal-pasal muka anak kita berparut.”
“Abang rasa dia memang tak berniat nak bunuh anak kita. Sebab tu dia sengaja tinggalkan pintu bilik tu terdedah aje supaya ada staf yang nampak.”
“Tak ada maknanya nak buat baik kalau dah macam tu. Culik, ikat, tumbuk, toreh…ingat anak kita ni anak patung ke?”
Aku yang mendengarnya hanya mampu menarik nafas. Apa pun tujuan Razak menculik dan menyiksa aku, aku tetap tidak dapat maafkan. Mungkin lukaku boleh sembuh, parut di mukaku boleh hilang tapi aku tahu parut di hati, di ingatan…akan kekal. Dan selagi ingatan itu kekal, aku tidak akan menulis lagi. Aku serik.
Sekarang aku rasa Razaklah yang patut berasa kesal, bukan aku.
TAMAT

6 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.