Wednesday, September 12, 2012

GLAS--Z : Bab 14



Bab 14
“Mari Nella kenalkan dia kepada akak. Dah jadi Tugu Negara dia dekat bawah pokok tu,” kata Nella sambil menarik lengan Kak Maznah.
“Marilah, sementara kau orang berdua ada di sini boleh juga tolong-tolong akak nanti. Banyak juga lagi kerja yang nak dibuat ni.”
“Beres. Dari duduk melengung saja, lebih baik buat kerja. Tak buntu kepada Nella ni,” balas Nella. Mereka pun berjalan beriringan menuju ke arah Ari yang sudah menyedari kehadiran mereka berdua.
Setelah mereka bertiga bertemu, Nella pun berkata, “Kenalkan, ini Kak Maznah, kakak angkat aku. Kak Maznah seorang archeologist. Ni tempat penggalian dia.”
Ari tersenyum. Cermin mata hitam yang dipakainya, dibuka segera. Dia menghulurkan salam dengan hormat.
Salamnya bersambut namun Kak Maznah di hadapannya itu seakan terkejut apabila terpandang sepasang mata anehnya. Dia rasa tidak selesa, lalu memakai semula cermin mata hitamnya.
“Aku dah terangkan segalanya pada Kak Maznah. Jadi buat beberapa hari ini, kita menumpang Kak Maznah di sini.” Nella pandang Ari tanpa senyuman.
Ari angguk sahaja. Dia dihimpit rasa malu dan segan yang sukar dijelaskan. “Terima kasih, Kak Maznah. Biar saya bantu apa saja kerja yang saya boleh buat.”
“Kebetulan dua orang pelajar praktikal sudah balik awal. Mungkin akak perlukan bantuan kamu untuk berkemas dan menimbus semula tempat penggalian.”
“Tak ada masalah,” balas Ari. Sejujurnya dia berasa lega dan terharu kerana dapat menyumbangkan tenaga di situ. Tidaklah dia mati kutu.
“Malam ni, kamu tidur di khemah lelaki. Nella boleh tidur di khemah akak. Dua hari lagi jika semuanya selesai, kita bertolak ke KL.”
“Ke KL?” tanya Ari. Dia menoleh ke arah Nella untuk kepastian.
“Aku rasa, buat sementara waktu, lebih baik kita tinggal bersama Kak Maznah di KL. Kalau Kak Rita dah dapat cari bukti tu, aku sendiri yang akan hantar kau balik ke sana,” pujuk Nella.
Ari tersenyum nipis. “Aku tak kisah. Asalkan kita tak berpisah jauh. Aku kena jaga kau. Itu amanat akak kau.”
Nella menarik muka.
“Jangan bimbang tempat ni selamat. Tapi jangan sesekali buka rahsia ni pada orang lain. Ribut nanti.” Kak Maznah menyampuk.
“Terima kasih, kak,” balas Ari. Lega hatinya kerana bersua dengan seorang lagi insan yang baik.
“Mari, kak,” kata Nella sambil menarik lengan Kak Maznah. Bagaikan tidak ingin Ari dan Kak Maznah berbual lebih lama di situ.
Lalu dengan isyarat tangan, Kak Maznah meminta diri untuk mengikut Nella.
Ari hanya memerhati. Sikap Nella sesekali memang mencabar kesabarannya.
******
HARI semakin tinggi. Matahari sudah berada kira-kira tepat di atas kepala, namun daun pokok kelapa sawit yang rendang dan saling bertautan itu, menjadikan kawasan penggalian itu redup dan nyaman.
“Lubang mana lagi yang perlu ditimbus, Kak Maznah?” tanya Ari sebaik sahaja dia selesai menimbus beberapa lubang penggalian seperti yang diarahkan Kak Maznah sebelum itu. Dia juga lega apabila diperkenalkan sebagai salah seorang pembantu Kak Maznah di dalam projek itu. Jadi tidak ada sesiapa yang menyoal apa-apa.
“Lubang yang besar ni kita timbus besok saja. Ada beberapa data yang belum dilog lagi. Kamu berehatlah dulu. Sekejap lagi dah waktu makan.”
Ari tidak membantah. Baju-T warna hijau muda yang tersarung di tubuhnya sudah basah lencun dek peluh yang bercucuran. Alangkah bagusnya jika di saat itu, dia dapat membersihkan dirinya. Sayangnya sejak berada di situ, dia belum tahu di mana bilik air berada.
“Nella,” panggilnya apabila terpandang Nella yang sibuk membantu seorang ahli kumpulan Kak Maznah memasak di luar sebuah khemah.
Nella berpaling. “Apa hal?”
Ari menarik nafas. “Di mana bilik air? Aku nak mandilah.”
“Mana ada bilik air di sini. Tu, bawah sana ada sungai. Mandilah selama mana engkau nak,” balas Nella. Tanganya yang sedang memgang sebilah pisau menunjukkan ke arah bawah tempat mereka berada.
Ari menjenguk ke arah yang ditunjukkan itu.  Dia belum nampak apa-apa tetapi jika benar di sana ada sungai, itu sudah cukup baik.
“Tapi Nella, baju aku cuma dua helai saja.” Dahinya berkerut memandang Nella.
Nella menghempaskan keluhan. Tanpa bersuara, dia meletakkan pisau di atas meja dan beralih ke dalam khemah. Tidak lama selepas itu, dia kembali dengan sebuah beg plastik berwarna putih. Dihulurkan kepada Ari. “Nah! Aku dah beli di Bahau tadi. Tapi kau jangan banyak komplen. Kecil ke, besar ke, kau pakai saja.”
Ari tergamam seketika. Sikap Nella memang sukar dijangka. Sambil menggeleng perlahan, dia melangkah ke arah sungai.
*****
“Dia datang dari mana?”
Pertanyaan Kak Maznah mengejutkan Nella yang leka melirik ke arah Ari yang sedang menuju ke arah sungai di bawah bukit itu. Hampir hendak gugur jantungnya.
“Dari sanalah,” jawabnya pendek. Kali ini dia tidak berani lagi melirik ke arah Ari, bimbang jika disergah Kak Maznah lagi.
“Dia memang lahir di Malaysia?” Tanya Kak Maznah. Tangannya ligat menuang air sirap ke dalam gelas plastik di tangannya.
“Entah. Nella tak pernah tanya asal-usulnya pula. Tahu-tahu sahaja, dia sudah ada di rumah Nella. Kakak Nella kata dia pekerja institut itu.”
Kak Maznah terangguk-angguk. Kemudian mengalihkan pandangan ke arah Nella. “Institut itu tempat belajar apa? Ada juga institut di tempat terpencil seperti itu?”
Nella ketawa kecil. Geli hatinya mendengar komen Kak Maznah. “Bukan institut tempat belajar, kak. Tempat itu sebuah tempat buat kajian. Nella dengar, satu masa dulu, institut itu adalah hospital gila. Kakak Nella pun bekerja di situ sebagai pegawai penyelidik.”
“Itu masih tak menjawab macam mana dia boleh berada di situ, kan?”
Nella angkat bahu. Dia benar-benar tidak tahu bagaimana seorang lelaki asing boleh tercampak di institut itu malah fasih pula berbahasa Melayu seperti lelaki Melayu biasa.
 “Cubalah Nella tanya dia.”
“Buat apa? Esok lusa, dia baliklah ke sana,” balas Nella dengan cepat.
“Nella tak nak tahu?” tanya Kak Maznah pula sambil menyimpul senyum.
Nella diam sahaja. Soalan itu dibiarkan tergantung tidak berjawab.
*****
MALAM semakin larut. Nella melihat jam tangan yang dipakainya, baru pukul 11.00 malam. Dia cuba melelapkan mata sejak pukul 9.00 malam lagi, namun setelah dua jam berbaring di atas katil lipat milik Kak Maznah matanya masih terbuka lebar. Dengan perasaan yang malas dia melangkah keluar daripada khemah untuk mencari air minuman.
Sebaik sahaja dia melangkah ke khemah tempat memasak, dia terlihat Ari sedang duduk berbual dengan seorang ahli kumpulan Kak Maznah di tepi unggun api. Hatinya tertanya-tanya apa yang dibualkan oleh Ari agaknya. Malah terselit rasa risau jika Ari terlepas cerita.
Dengan perlahan-lahan, dia melangkah ke arah Ari bersama sebuah mug di tangannya.
“Belum tidur?” Dia menegur pemuda yang duduk di sisi Ari.
Pemuda itu sekadar tersenyum lantas bangkit menyapu punggung. “Aku tidur dulu,” katanya meminta diri.
Nella terperanjat juga.
“Tak apalah.Berbuallah,” katanya tergesa-gesa. Dengan tiba-tiba dia terasa kekok pula berada di situ berdua dengan Ari.
Pemuda yang tidak diketahui namanya itu hanya menggeleng dan tersenyum lebar. “Aku dah mengantuk sangat. Esok kena bangun pagi lagi.”
Nella tidak mahu lagi menegah. Dia hanya memandang sehingga tubuh pemuda itu hilang di dalam khemah lelaki.
“Kenapa tak tidur lagi? Kak Maznah ke mana?” tanya Ari apabila Nella mengambil tempat kira-kira dua kaki daripada tempat duduknya.
“Kak Maznah ke Tampin beli barang makanan. Stok dah habis,” balas Nella. Air suam di dalam mug terasa lebih hangat di situ. “Engkau pun kenapa belum tidur? Selalunya di rumah cepat saja.”
Ari tersenyum. Beberapa ranting kecil, dicampakkan ke dalam unggun api yang marak menyala. “Belum mengantuk.”
“Apa yang engkau borak tadi?”
“Kenapa?” Ari pandang Nella.
“Engkau kena hati-hati,” balas Nella tanpa membalas pandangan Ari. Matanya lurus merenung lentuk-liuk api yang di hadapannya.
“Aku tahu. Kak Maznah dah pesan. Dia dah ajar aku apa yang harus aku jawab jika ada yang bertanya.”
Nella segera menoleh ke arah Ari. Betulkah? Kak Maznah tidak pernah pun bercerita pada dia soal itu. “Baguslah. Aku takut kau lupa.”
Ari menggeleng lemah. Dia juga merenung unggun api tanpa bersuara.
“Boleh aku tanya sesuatu?”
“Kau nak tahu pasal asal keturunan aku?” balas Ari. Dia tunduk pula memerhati kayu api yang dipegangnya.
“Jika kau tak keberatan,” jawab Nella perlahan. Bergetar hatinya kerana Ari seolah dapat membaca fikirannya saat itu.
Ari diam agak lama. Dia seperti termenung jauh memikirkan sesuatu. Akhirnya dia menjawab, “Aku tak pernah tahu dari mana asal-usulku. Aku cuma ada nama ayah dan ibu di dalam surat beranak.”
“Nama mereka? Maksud aku adakah salah seorangnya mungkin orang barat?”
Ari lantas menggeleng. “Seingat aku, nama-nama mereka biasa sahaja. Tidak ada bezanya dengan nama-nama orang Melayu di negara ini.”
Giliran Nella pula yang terdiam.
“Kenapa engkau nak tahu? Engkau hairan kerana aku berkulit putih dan bermata glasz?” sambung Ari.
Nella tunduk memandang tanah. “Aneh rasanya. Macam ada yang tak kena. Dari mana engkau berasal? Engkau tahu?”
“Dalam surat beranak hanya tercatat alamat di institut itu. Kata Dr. Sid, ibu bapa aku pekerja di situ dulu.”
“Di mana mereka sekarang?”
Ari menggeleng beberapa kali. “Sudah lama meninggal sejak aku kecil. Sejak itu aku dipelihara oleh Dr. Sid.”
Nella mendengar dengan teliti. Ada keanehan yang dirasakan di situ. “Saudara-mara kau yang lain? Tak akan tak ada sesiapa yang mahu mengambil engkau setelah kematian mereka.”
“Kalau ada, ceritanya sudah pasti lain,” jawab Ari dengan cepat. Dia merenung kegelapan malam. “Tapi Dr. Sid pernah berkata, aku anak malang yang dibuang semua orang. Tak siapa mahukan aku.”
Dia menghela nafas panjang.
Nella tidak bertanya lagi. Tidak sanggup rasanya untuk menyelongkar kisah hidup Ari lebih jauh. Dia sendiri rasa tidak sanggup untuk tahu apa yang dia tidak sepatutnya tahu. Tapi apa yang pasti, lelaki di sebelahnya itu telah melalui kehidupan yang mungkin lebih perit daripada hidupnya sendiri dan mungkin keperitan itu akan terus berlarutan...

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.