Tuesday, September 18, 2012

GLAS--Z : Bab 15

Sementara itu di IPB…
Dr. Sid menghentak mejanya sekuat hati. Apa yang dikhabarkannya oleh Dr. Uzair membuat rasa marahnya sudah tidak dapat dikawal lagi. Malah rasa penatnya yang baru balik dari puncak Genting Highland tidak dapat mengurangkan apa yang dia rasa pada saat itu.
“Aku fikir, bila aku balik ke sini budak tu sudah ada!” jeritnya lagi.
“Semua tempat kita dah cari. Ganjaran dah ditawarkan. Apa lagi kita boleh buat?” tanya Dr. Uzair pula. Dia berdiri di tepi pintu pejabat yang bertutup. Wajahnya nampak bengang.
Dr. Sid berdengus. Kepalanya tidak boleh menerima apa-apa pun alasan yang diberikan oleh Dr. Uzair. Baginya itu menunjukkan kelemahan.
“Tapi Jack kata, dia boleh kesan budak tu,” kata Dr. Uzair pula. “Kau sabarlah sikit.”
“Tempoh yang diberikan payer sudah habis. Kalau kita gagal menjalankan tugas itu, kita kena bayar balik duit yang dibayar.” Dr. Sid tersandar ke kerusi kulitnya. Dia mendongak merenung siling bilik itu. Segalanya nampak kelam. Dia tidak sangka hal kehilangan Ari boleh menjadi serumit itu.
“Kita tak ada pilihan lagi, Sid,” tegur Dr. Uzair sambil merapati meja Dr. Sid. “Kita kena gunakan Iris.”
Kali ini Dr. Sid tidak membantah. Dia hanya mengatup mulutnya rapat-rapat. Jika Ari ada, pasti dia akan menolak cadangan itu tetapi sekarang… dia sendiri mati akal. Lagipun payer yang dia dapat sekarang bukan calang-calang payer…mungkin sekarang dia akan diberikan 2 juta 5 juta tetapi kemudian hari, dia mungkin boleh minta 10 juta, 25 juta untuk nyawa payer itu sendiri. Tapi itu semua tidak akan bermakna jika Ari tidak ada.
“Kita cuba dulu. Kita cuba perlahan-lahan. Kalau tak boleh juga, kita berhenti,” sambung Dr. Uzair lagi.
Dr. Sid menarik nafas dalam-dalam. Di layar fikirnya, terbayang wajah seorang gadis yang berambut perang. Kulit gadis itu putih bersih tanpa sebarang calar dan kesan. Matanya sesekali terbuka dan berkelip namun tidak pernah melihat selain dari apa yang ada di hadapan matanya. Itulah Iris, simpanannya yang paling berharga di dunia.
Dia akhirnya memandang ke arah Dr. Uzair. “Kita lakukan ujian malam ni.”
Dr. Uzair seakan terkejut namun tidak membalas apa-apa. Lantas, dia membuka pintu dan meninggalkan bilik itu.
*****
 BAHARU pukul 12.00 malam namun matanya masih terang-benderang. Sejak umurnya menginjak ke 50-an, dia susah tidur. Otaknya sentiasa ligat berfikir walaupun entah apa-apa yang difikirkan. Sesekali dia diburu resah dan rasa panas yang tidak diketahui apa puncanya. Peluh sering menitik walau di bawah penyaman udara.
“Semuanya dah siap, Sid,” tegur Dr. Uzair di hadapan skrin gergasi di makmal 80. Hanya mereka berdua di situ.
Dr. Sid bergerak merapati sebuah selinder kaca yang sepanjang lima meter. Selinder itu baru sahaja dikeluarkan oleh Dr. Uzair daripada makmal 91 yang bersambung dengan makmal 80. Selinder itu kini diletakkan di tengah-tengah makmal itu berhadapan dengan skrin gergasi. Di dalamnya terbujur seorang gadis berkulit putih.
“Dia dah makan?” Tanya Dr. Sid sambil meneliti tiub-tiub yang bersambung ke selinder dan ke tubuh gadis itu. Masih berat hatinya untuk menyentuh gadis itu.
“Dia sudah bersedia,” balas Dr. Uzair. Suaranya sedikit menekan.
Dr. Sid menarik nafas panjang. Penutup atas selinder itu dibukanya. Dia merenung wajah Iris dalam-dalam. Wajah yang seiras dengan seorang gadis yang pernah dicintainya semasa dia muda. Malah dia akui Iris lebih cantik.
Akhirnya, dia mengambil juga earphone yang dihulurkan oleh Dr. Uzair. Dipasangkan ke telinga Iris. Begitu juga pelbagai wayar yang lain. Kini tubuh iris berselirat dengan pelbagai alat pengesan.
“Kita mulakan.” Dr. Uzair memandang Dr. Sid.
Dr. Sid mengangguk. Dia beralih ke arah sebuah komputer di sisi makmal itu. Dengan beberapa ketukan di keyboard, terpancar di skrin besar data gelombang otak milik Iris. Data itu berubah-ubah tetapi bagi Dr. Sid ia begitu mengkagumkan.
Masa berlalu, sudah hampir dua jam, dia dan Dr. Uzair di bilik itu. Sejujurnya dia berasa lega kerana semua ujian pada malam itu berjalan lancar. Iris terbukti mampu mencapai tahap mimpi Delta 7 sama seperti Ari. Satu keupayaan yang telah diketahuinya sejak Iris berusia tujuh tahun lagi.
“Macam mana? Kita mahu lakukan ujian kedua?” tegur Dr. Uzair.
Dr. Sid tidak menjawab. Perhatiannya terlalu khusyuk kepada data-data yang tertayang di skrin monitor.
“Kalau kau dah bersedia, aku akan mulakan sekarang,” tambah Dr. Uzair. Dia sudah bersedia di hadapan komputer yang lain.
“Siapa yang kau gunakan?” Dr. Sid menjeling seorang petugas IPB yang tidak diketahui namanya.
“Subjek 375,” balas Dr. Uzair tanpa mengalihkan perhatian.
Bilik itu kembali senyap. Kedua-duanya hanya ralit memerhati skrin monitor gergasi di hadapan bilik. Mereka hanya dapat menunggu Iris membuat jumper ke dalam mimpi seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai subjek 375. Namun setelah hampir setengah jam berlalu, masih tidak ada apa yang berubah di situ.
*****
UNTUK pertama kali, Dr. Sid begitu gementar. Ujian jumper belum pernah dilakukannya terhadap Iris selama ini kerana dia tidak sampai hati untuk menyakiti gadis itu. Tetapi kini, sudah terlambat. Tubuh Iris tersentak-sentak di dalam selinder, matanya terpejam celik, sesekali terbeliak. Dia mula panik.
Dr. Sid bergegas ke arah komputer yang terletak di sebelah kanan bilik. Dia menolak Dr. Uzair yang berada di situ. Dia dapat merasakan kesakitan yang dialami oleh Iris.
“Jangan matikan!” Jerit Dr. Uzair. Tangan sudah melintang di atas papan pemuka.
“Iris tak boleh bertahan, Uzair. Dia akan mati,” bantah Dr. Sid sambil cuba menolak tangan Uzair sekuat hati. Iris perlu diselamatkan.
“Dia boleh! Kau kena beri dia lebih banyak masa. Dia mungkin belum biasa menerima gelombang otak orang lain.”
“Tidak! Aku takkan biarkan Iris mati,” bentak Dr. Sid. Mukanya sudah bermandi peluh.
“Tungu dulu! Kau kena…” Tiba-tiba Dr. Uzair berhenti bersuara.
Kedua-duanya berpaling apabila menyedari tubuh Iris berhenti bergerak.  Masing-masing menerpa memeriksa denyut nadi dan detak jantung di skrin monitor. Semua bacaan menunjukkan keadaan Iris sudah kembali normal. Iris kembali kepada keadaan sedang tidur nyenyak . Dr. Uzair dan Dr. Sid berpandangan.
“Aku dah kata…” Akhirnya Dr. Uzair bersuara. Riak wajahnya cukup lega.
Dr. Sid menelan air liur. Peluh yang meleleh di kiri-kanan pipinya disapu dengan sapu tangan. Sesunguhnya itulah detik yang paling mencemaskan hidupnya. Bak kristal yang hampir jatuh berderai ke lantai.
“Dia sudah jump!” Suara Dr. Uzair keriangan di tepi komputer Dr. Sid. Di situ terpapar gelombang otak yang agak aneh.
Dr. Sid tersentak. Iris sudah berjaya?
******
MULUT Dr. Sid tidak berupaya dikatupkan. Tumpuannya seratus peratus ke dada skrin di hadapan bilik itu. Walaupun dia tidak dapat melihat apa yang sedang dilalui oleh Iris tetapi bentuk gelombang otak yang berubah dan bersilang-silang itu sudah cukup untuk mengesahkan bahawa Iris sedang melayari mimpi milik orang lain. Dia pasti, Iris sedang berada di alam mimpi subjek 375. Cuma masih ada sesuatu yang menganggu fikirannya. Adakah Iris mampu menjalankan misinya?
Sepuluh minit telah berlalu. Makmal itu dirasakan sangat sunyi. Malah lebih sunyi daripada malam-malam yang lain. Walaupun desiran yang keluar daripada pelbagai mesin dan monitor di sekeliling bilik itu namun pancaindera Dr. Sid seolah tidak dapat mentafsirkannya. Saat itu begitu kritikal. Dia mula bimbang jika Iris gagal mencari jalan pulang.
“Betul ke apa yang kau dah set kan ni?” Akhirnya dia dapat memaksa rahangnya bergerak dan melontarkan pertanyaan yang bersarang di hatinya.
“Semuanya masih sama dengan apa yang kita set kan pada Ari tempoh hari,” jawab Dr. Uzair dengan pantas. Kemudian dia diam seketika sebelum kembali menyambung, “Mungkin Iris belum biasa. Kau dah lupa bagaimana pengalaman Ari buat kali pertama kita lakukan ‘Jumper’? Bukankah dia tersesat hampir 8 jam?”
Dr. Sid mengeluh berat. Ya, dia masih ingat. Sewaktu itu Ari baru berusia 15 tahun. Di makmal yang sama, dia menunggu Ari ‘kembali’ sampai ke pagi. Pada sepanjang masa, dadanya sakit kerana terlalu bimbang jika Ari terus tidak dapat mencari jalan pulang ke alam mimpinya sendiri. Mujurlah setelah pagi, Ari berjaya melakukan jumper semula dan tersedar sejam selepas itu.
“Kau fikir perkara yang sama akan berlaku?” Dia sekadar bertanya walaupun hatinya sudah yakin.
“Jangan bimbanglah. Aku yakin, selepas puas dia merayau-rayau, dia akan balik.” Dr. Uzair tepuk bahu Dr. Sid. “Aku nak lelap sekejap. Apa-apa hal kejut aku.”
Dr. Sid hanya mengangguk. Semakin lama-lama derap tapak kaki Dr. Uzair semakin hilang dari bilik itu. Hanya tinggal dia dan Iris yang masih entah di mana.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.