Sunday, September 9, 2012

Catatan: Kepulangan Terakhir...


*Saya ada menyebut tanah perkuburan ini dalam cerita GlasZ jika anda perasan, 
ia adalah tempat Jeffri dikebumikan.

Seandainya Plot itu rantaian sebab dan akibat, hidup pula adalah untaian suka dan duka. Begitulah perjalanan hidup kita dari mula hingga akhir nanti.

Pada 5 Sept 2012, saya mendapat panggilan telefon dari kakak ipar saya yang menetap di Negeri Sembilan memberitahu bahawa abang saya telah hilang sejak petang Ahad 2 September 2012. Usaha mencari telah dijalankan oleh ahli keluarganya dan pihak polis. Akhirnya pada 6 hb September 2012 (Khamis), saya mendapat berita mengenai penemuan mayat arwah di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan tempat tinggalnya. Kemudian bermulalah segala proses pengebumian arwah. Setelah post mortem dan segala urusan di hospital selesai, jenazah dibawa pulang ke Kampung Mengkarak, tempat kelahiran arwah untuk dikebumikan.

Saya dan keluarga ditakdirkan mengiringi van jenazah dari Gemencheh ke Pahang pada malam Jumaat tersebut. Kami sampai di tanah perkuburan pada pukul 10.30 malam. Setelah jenazah disembahyangkan oleh penduduk kampung, kerja-kerja pengebumian dijalankan secepat mungkin dan semuanya selesai menjelang ke pukul 12.00 malam Jumaat.

Apa yang dapat saya ceritakan mengenai abang saya yang nombor 4 ini adalah kami mempunyai hubungan yang agak unik. Kadangkala kami berpisah berbelas tahun, kadangkala kami  bertemu dan bercerita bagaikan kawan akrab. Pemergian arwah sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati ahli keluarga namun saya harap semua dapat menerima takdir Tuhan dengan reda. Kita yang hidup perlu mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku kepada beliau sebagai peringatan dan bekalan sebelum meneruskan perjalanan menuju mati.

Kebelakangan ini arwah sering menyebut ingin membina 'rumah; di Kampung Mengkarak, tempat kelahiran beliau, tempat beliau membesar, bersekolah dan berkahwin. Dan nampaknya, beliau telah pun 'pulang' untuk kepulangan yang terakhir...

Saya sebagai adik mendoakan agar keluarga beliau tetap sabar dan tabah menghadapi perpisahan ini. Buka mata dan ambillah iktibar. Yang hidup pasti akan mati. Kita tak tahu bila pula masa kita tiba, bila pula kita akan pulang buat kali terakhir....

Didoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan ditempatkan dalam golongan mereka yang beriman dan mendapat keampunan Tuhan. Al-Fatihah.

2 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.