Sunday, September 16, 2012

Catatan: Kursus Penulisan Skrip Drama, Filem dan Theater

Gambar yang diambil selepas habis kursus bersama semua tenaga penceramah, ahli tertinggi IPM dan para peserta. Yang tiada dalam gambar adalah Tuan Dinsman yang pulang lebih awal.

Pada hari semalam 15 September 2012 (Sabtu) bertempat di Hotel Hang Tuah City, Melaka telah diadakan sebuah kursus penulisan skrip anjuran IPM, DBP dan GAPENA.

Tenaga penceramahnya adalah:
1. Puan Siti Jasmina Ibrahim
2. Encik Che Shamsudin Che Othman (Dinsman)
3. Encik Zainal Rashid Ahmad -Pengurus Besar TV Al-Hijrah
4. Tuan Haji Abu Hasan Morad -Pengarah Urusan Layar Consult Sdn Bhd. (Penerbit Drama)

Dari pagi mereka berempat telah membentangkan kertas kerja yang berbeza dan berkongsi pengalaman mereka dalam bidang masing-masing. Kehadiran peserta sehingga tidak muat kelas. Sedikit catatan saya mengenai perkara ini:

1, Puan Siti Jasmina Ibrahim- "Asas Penulisan Skrip Filem"
Dalam masa yang begitu pendek, tidak banyak yang dapat diajar oleh Puan Siti Jasmina. Beliau ada memberikan nota kepada Nurul Farehah untuk dicetak, dan saya harap nota itu akan sampai kepada saya satu hari nanti.

Jujur saya katakan, saya menghadiri kursus ini kerana beliau. Ada sesuatu dalam diri beliau yang saya kagumi cuma disebabkan saya ini seorang yang amat penyegan, saya tidak menghampirinya kecuali secara kebetulan beliau duduk di atas kerusi di sebelah saya sebelum sesi bermula. Namun saya tetap tidak memperkenalkan diri atau bertanya apa-apa. Sehingga habis majlis pun saya hanya pandang beliau dari jauh dan sebelum balik saya dapat bersalam dan mengucapkan terima kasih atas segala ilmu-ilmu yang dikongsikan kepada saya.
Puan Siti Jasmina bersama Tuan Haji Razali Endun

2. Tuan Dinsman
Sebelum saya menghadiri kelas, saya telah menyelidik latar belakang beliau dan hasil kerja tokoh theater ini. Oleh kerana saya tidak pernah terlibat dalam bidang theater, tentulah saya 'melihat' sesi ini dari sudut pandangan luar namun saya berasa amat bersyukur sekali kerana telah digerakkan hati untuk menyertai kursus . Ada sesuatu yang diceritakan oleh Tuan Dinsman telah menjawab persoalan saya bertahun-tahun. Satu jawapan yang saya temui bukan langsung daripada tempat yang saya harapkan. Ia menjadi satu pengalaman yang menakjubkan.  

Saya teringat pesan guru saya yang berbunyi : "Ilmu itu seumpama kepingan puzzle, walau saya boleh berikan kamu banyak kepingan tetapi kamu masih perlu mencari kepingan yang lain daripada orang lain."


Tuan Dinsman (Kiri)

3. Encik Zainal Rashid Ahmad -Pengurus Besar TV Al-Hijrah

Sesi Encik Zainal dan Ustaz Abu Hasan dijalankan serentak kerana dua sesi ini saling berkait rapat. Sekali pandang, agak sukar untuk saya menelah keperibadian Encik Zainal daripada luar. Pakaiannya agak simple, rupa parasnya  seperti banyak berfikir dan pendiam. Tetapi sekali dia buka mulut macam peluru berpandu, saya terpaksa memasang telinga dengan teliti untuk memastikan saya dapat dengar semua ceritanya.

Pada saya kalau diletakkan Encik Zainal di hadapan saya 7 hari 7 malam pun, saya tak bosan mendengar pengalamannya yang begitu banyak dalam bidang penyiaran dan penerbitan dokumentari. Saya harap, ada rezeki dapat mendengar lagi cerita-cerita beliau yang mengaku seorang yang 'anti-theories'. Saya memang suka mendengar kisah pengalaman orang lain, kerana saya tak berpeluang berada di tempat orang yang begitu menarik dan banyak pengalaman.

Beliau juga memberikan tagline yang mesti dipegang untuk menulis skrip drama di TV Al-Hijrah.
Encik Zainal Rashid dan Tuan Haji Abu Hasan

4.Tuan Haji Abu Hasan Morad -Pengarah Urusan Layar Consult Sdn Bhd. (Penerbit Drama)

Saya biasa membaca namanya sebelum ini. Pernah juga melihat gambarnya dalam surat khabar. Berdepan dengannya buat saya 'seram'. Saya tidak tahu bagaimana. Sungguh.

Beliau banyak menceritakan tentang skrip drama terbitan syarikat beliau, jenis skrip, kehendak skrip, pitching, bayaran, budget pembikinan sesebuah drama dll.

Apa yang beliau selalu sebut adalah 'Hantar sinopsis....hantar sinopsis...pitching bulan 11'

Ditakdirkan Tuhan, sebelum balik saya minum seorang diri di sebuah meja, kemudian beliau datang duduksemeja. Sepatutnya kalau orang lain, gunakanlah kesempatan itu untuk bercakap atau melobi tapi saya...satu apa pun tak buat. Kemudian Tuan Haji Razali dan Prof Madya Dr. Arbak pula datang minum semeja, lagilah saya terus diam.

Bagi saya Ustaz Abu Hasan seorang yang kompleks tapi praktikal. Yang pentingnya sinopsis.

5. Tuan Haji Razali Endun

Saya biasa melihat wajah ini tetapi saya lupa di mana. Akhirnya saya dapat tahu yang kami tinggal di satu taman perumahan, haish!

Tuan Haji Razali merupakan Ketua Satu Ikatan Persuratan Melayu (IPM). Dalam ucapannya, beliau banyak menerangkan mengenai program IPM yang telah dijalankan dan yang akan dijalankan. Juga mengenai peruntukan daripada DBP.

Pesannya kepada saya ... "Masuklah jadi ahli" Lalu saya pun minta borang untuk menjadi ahli.

6. Tuan Haji Mokhtar Md Yasin -Tokoh Sasterwan Negeri Melaka

Tuan Haji banyak menceritakan pengalamannya pada zaman dahulu dan memuji usaha persatuan.

Kesimpulan:

Satu hari yang bermakna kepada saya. Pada saya, tentu ada sebab saya didorongkan untuk hadir ke situ pada hari itu. Alhamdulillah. Banyak perkara yang saya dapat pelajari, saya dengar , saya perhatikan, saya selami, fahami dan saya fikirkan.

Skrip? Saya kena simpan duit dulu, ambil kursus berkali-kali lagi sampai pandai baru boleh hasilkan sebuah skrip penuh. Tetapi sebelum itu saya kena kumpulkan duit terlebih dahulu untuk beli PC yang baru, kerana PC yang ada ni dah nak rosak. Kalau PC ni rosak, tak usahkan tulis skrip, tulis cerpen percuma di blog ini pun saya tak mampu buat.

So be realistic. Saya sedar keupayaan saya.

No comments:

Post a Comment