Friday, September 21, 2012

Cerpen: Kami



“Macam ni potong?” Beberapa hirisan jagung muda yang berada di dalam besen di hadapanku dipegang oleh Daud. Diangkat tinggi, separas dengan mataku.
Tajam pula aku merenung hirisan jagung muda yang akan kugoreng sebentar lagi. Apa pula yang tidak kenanya dengan hirisan itu?
“Orang bukan potong macam tu.” Suara suamiku kedengaran lagi. Hirisan jagung muda yang dipegangnya tadi dicampak semula ke dalam besen. Dia menggeleng pula. “Potong jagung muda pun tak tahu.”
Kemudian dia berjalan ke peti ais lalu mengeluarkan sekotak air susu. Dia menuangkannya di dalam sebiji gelas lalu meneguknya di tepi sinki.
Aku pula tercegat di tepi meja, tempat aku memotong sayur untuk hidangan tengah hari nanti. Pada waktu itu, air mataku sudah bergenang. Teguran Daud kurasakan sangat menyakitkan hati. Apa yang menjadi soal pun? Dipotong bagaimana sekalipun, akan hadam juga dimamah gigi. Lainlah kalau aku campakkan sebiji-sebiji ke dalam kuali, aku tidak dapat memahami sikap Daud.
 “Apa lagi yang tak kena ni, Daud?” Masuk pula ibu mertuaku, Puan Masita.
Aku kembali tunduk menyambung kerjaku.
“Tu ha, tengok tu, mak. Siang sayur pun tak reti.” Daud angkat dagu ke arahku.
Aku diam sahaja. Malas mahu menjawab kata-kata Daud.
Puan Masita mendekati meja makan. Seperti Daud, dia juga memerhati hirisan anak jagung yang kuhiris bulat-bulat, sama seperti hirisan lobak.
“Bukan macam ni… orang potong jagung muda.” Puan Masita tersenyum mengejek.
Daud ketawa kecil.
Mukaku kembali merah. Entah kenapa, aku rasa tidak tertahan lagi, lalu aku tinggalkan meja itu dan lari ke bilik tidur.
“Tengoklah tu, bodoh tak boleh diajar.”
Aku terdengar suara suamiku dari dapur.
*****
TENGAH HARI itu aku rasa takut untuk kafe. Aku takut jika aku terpandang hirisan jagung muda. Dan itu juga akan membuat hatiku bagai dihiris-hiris.
“Kenapa duduk lagi? Jomlah pergi kafe.” Suara Yusrina sampai ke cuping telinga. Sama laju dengan suaranya dia sudah tiba juga di hadapan mejaku. Riak wajahnya kehairanan.
“Kau pergilah. Aku tak laparlah.”
Untuk sesaat dua, Yusrina masih merenung wajahku. Dia seolah-olah cuba membaca apa yang tidak kenanya dengan aku.
“Kau mengandung ya?” telahnya pula.
“Hisy! Ke situ pula.” Aku menggeleng. Entah kenapa pertanyaan Yusrina tidak menggembirakan hatiku walaupun sepatutnya aku gembira mendengar usikan sebegitu kerana aku baharu sahaja berkahwin tiga bulan.
“Habis tu? Kenapa lain macam saja aku tengok? Muram saja, tak macam muka pengantin baru.”
“Mana ada pengantin baru lagi? Dah tiga bulan,” jawabku sambil berpura-pura melihat skrin komputer.
“Selagi tak cukup setahun, masih honeymoon lagilah.”
Aku diam sahaja. Sudah timbul rasa malas mahu bertengkar dengan Yusrina.
“Kalau macam tu, aku turun dululah. Baby dalam perut dah lapar.” Yusrina tersenyum, dia tunjukkan perutnya yang telah membusung kerana mengandung lapan bulan.
Aku angguk sahaja. Kemudian mengalihkan pandangan semula ke arah skrin. Di situ aku lihat  jagung muda. Di telinga terdengar macam-macam.
******
“Apa ni? Gosok seluar pun tak tahu?” Daud hempaskan seluar slack miliknya yang sudah kugosok pada sebelah malam ke atas katil.
“Apa yang tak kenanya, bang? Saya dah gosok seluar tu.” Aku ambil semula seluar slack yang sudah keronyok. Dalam kesibukan pagi, aku terpaksa menggosok seluarnya sekali lagi.
“Orang kalau gosok seluar, terbalikkan dulu. Gosok pinggang dia, poket dia satu persatu. Bukan gosok di sebelah luar saja!” Daud menggeleng dan mendengus marah.
Oleh kerana malas bergaduh, aku bawa seluarnya ke tempat gosok. Aku terbalikkan. Aku gosok satu persatu setiap poket depan belakang, aku gosok bahagian pinggang,  kemudian aku gosok semula di bahagian depan. Dalam hatiku merungut, ayahku sendiri tidak pernah secerewet itu. Bagaimanalah cara ibuku menggosok, semuanya diterima tanpa apa-apa soal. Kenapa bukan Daud?
“Nah! Dah siap,” kataku. Seluar itu aku hulurkan kepada dia.
Tapi sayangnya Daud hanya buat tidak peduli. Laju kakinya menuruni tangga dan meninggalkan aku terpinga-pinga di bilik tidur. Sakit hatiku bukan kepalang.
Di dalam kereta, Daud bersungut lagi.“Lain kali cepat sikit. Ni terhegeh-hegeh,” katanya.
Aku diam saja.
*****
“APA benda yang kau masak ni. Ptuiih!” Daud berlari ke sinki lalu berludah. Terdengar air paip dibuka sebesar-besarnya dan aku yakin lantai dapur sudah basah. Kemudian terdengar suaranya membebel. “Span ni orang bukan letak kat sini. Orang tak letak atas sabun. Bodoh!”
Nasi yang kusuap ke mulut sudah rasa tersekat di tekak. Nasi yang putih gebu sudah terasa kesat dan tajam bak butiran pasir di sungai. Aku tak faham kenapa hidup menjadi terlalu rumit sejak hidup bersama Daud.
“Kenapa sampai muntah-muntah ni, Daud? Kau tak sihat ke?” Puan Masita pula datang ke meja makan. Dari situ dia terjenguk-jenguk Daud yang masih kelentung kelentang di sinki, mengemas entah apa.
“Ada ke pula dia letak span atas sabun basuh pinggan, mak. Cuba mak tengok.” Daud yang datang dari arah dapur menarik lengan ibunya.
Puan Masita terpaksa mengikut langkah anaknya. Di sana terdengar mereka berdua ketawa riuh-rendah mengejek.
Sedangkan aku di meja makan, menangis.
******
 Mata yang hampir tertutup memaksa aku ke bilik tidur. Masuk-masuk sahaja, aku melihat Daud mengumbah pakaian dari almari baju. Aku terkejut besar.
“Kenapa ni, bang? Kenapa keluarkan semua kain baju ni?”
“Abang mahu As lipat semula kain baju ni. Lipat macam mana mak abang lipat. Kalau tak, jangan letak baju As di dalam almari ni. Ini almari abang.”
Aku tercengang beberapa saat. Fikiranku bingung. Adakah aku telah berkahwin dengan salah orang? Kenapa Daud yang berada sebilik denganku tidak lagi sama dengan Daud yang dulu? Tapi seperti lain-lain persoalan, aku tetap tidak bertemu dengan jawapannya.
“Seronoknya, As,” kata Yusrina apabila aku khabarkan tarikh perkahwinanku dengan Daud enam bulan yang lalu. Pada waktu itu, Yusrina masih pengantin baru lagi. “Bolehlah kita sambut baby sama-sama nanti.”
Aku cuma menggeleng pada waktu itu. Aku terlalu segan membicarakan sesuatu yang taboo seperti itu walaupun sedar kami sesama perempuan.
“Aku doakan kau bahagia, dapat ramai anak.” Yusrina ketawa lagi.
Aku ikut tersenyum. Kegembiraan dan kebahagiaan yang terpancar pada wajah Yusrina seakan memberikan aku kekuatan. Aku juga berharap agar perkahwinanku nanti juga akan seindah dan sebahagia perkahwinan dia.
Namun semua harapanku musnah  sejak malam pertama lagi.
“Heh! Kenapa tidur pakai baju buruk macam ni?” kata Daud sewaktu masuk ke dalam bilik pengantin.
Aku tercengang. Aku pandang baju tidur baharu yang aku beli sebulan sebelumnya. Itulah kali pertama aku pakai. Buruk?
“Ni cadar ni. Kenapa tak tukar? Panaslah tidur atas kain licin macam ni.” Daud tarik cadar yang mengalas katil pengantin. Semuanya dicampak ke atas lantai. Terpaksalah aku kelam kabut mengemas dan menukar cadar yang lain. Kemudian Daud berkata lagi.
“Kain cadar apa ni? Tak ada ke yang lebih cantik?”
Aku berkerut dahi. Aku tidak tahu apa cadar yang harus aku bentang supaya mulutnya berhenti membebel. Dalam keadaan penat dan letih selepas seharian mengadakan kenduri, sekarang aku terpaksa melayan kerenah seorang lelaki yang sudah menjadi suamiku. Beginikah yang dinamakan perkahwinan?
“As tidur sajalah sorang. Abang nak balik rumah mak abang. Tidur sini pun panaslah.” Daud terus mencapai kunci keretanya dan berlalu pergi.
Meninggalkan aku menangis sendiri di atas katil pengantin. Dan sejak itu hatiku terus didera dan didera sehingga ada waktunya aku merasakan bahawa perkahwinan itu satu kesilapan. Dan aku tidak tahu bagaimana aku boleh berkahwin dengan dia pada awalnya. Sungguh aku tidak tahu sehingga ke detik ini.
*****
“Ceritalah pada aku, apa yang tak kenanya dengan kau ni, As. Aku pernah dengar ada orang yang mengandung berubah perangai. Jangan-jangan kau pun macam tu juga kut?” Yusrina terus mendesak sewaktu kami makan tengah hari di Mc D sahaja hari itu.
“Berapa kali aku nak cakap? Aku tak mengandung.” Kali ini kesabaran aku sudah sampai ke kemuncak. Aku pandang muka Yusrina betul-betul, aku mahu dia lihat dalam mata aku yang tidak berdusta ini bahawa aku tidak mengandung. Sungguh.
“Oh! Ya ke? “ Air muka Yusrina berubah “Habis tu apa masalahnya pula?”
Aku tidak sanggup memandang wajah Yusrina lagi. Aku takut sikap keprihatinan dia menyebabkan aku membuka cerita tentang Daud. Pada aku kisah rumah tangga kami, adalah rahsia kami. Malu Daud malu aku walaupun Daud bersikap sebaliknya.
“Mak, ajarlah dia ni buat teh. Tawar. Tak sedap langsung.” Daud menggelengkan kepala di hadapan tetamu yang ada di rumah pada waktu itu.
“Alah, orang baru kahwin, tentulah tak berapa pandai kerja dapur.” Sahut salah seorang tetamu di situ yang aku tidak tahu apa pangkat gelarannya cuma aku tahu mereka semua saudara-mara Daud sekeluarga.
“Dia memang bodoh, mak andak. Bukan sebab baru kahwin ke apa. Gosok seluar pun tak tahu, potong anak jagung tak tahu.” Daud mula membaca satu persatu kesalahanku di hadapan semua tetamu. Sampai soal cara bentang cadar pun diceritakannya.
Aku sudah merah muka. Walaupun tetamu-tetamu yang ada di situ hanya tersenyum namun aku tidak merasakan semua itu lucu.
“Hei! Termenung apa tu?”
Suara Yusrina membawa aku kembali ke alam nyata. Seleraku yang tadi ada mula hilang apabila memikirkan soal Daud dan sikapnya.
“Aku tahu kau tak mahu cerita pada aku apa masalah kau. Dan itu buat aku lebih yakin bahawa ini  mesti melibatkan hal rumah tangga kau.” Yusrina terus bercakap seorang.
Aku buat tidak tahu sahaja. Aku dan Yusrina ternyata mempunyai kisah perkahwinan yang berbeza. Dia bahagia dan aku tidak. Dapatkah Yusrina faham semua itu?
“Aku pun macam kau juga, semasa mula-mula berkahwin aku menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan keadaan dengan kehidupan baru. Kau nak tahu? Tiga bulan pertama, aku dengan suami aku menggunakan bilik air yang berbeza walaupun tinggal dalam satu rumah.”
Aku memandang hairan.
Tapi Yusrina ketawa pula sambil menutup mulutnya. “Aku tak boleh terima yang aku berkongsi bilik air dengan orang lelaki. Dalam kepala aku masih mengasingkan bilik air lelaki dan perempuan itu berbeza seperti didikan mak ayah aku dulu.”
“Habis tu macam mana kau boleh berubah?”
“Masa akan mematangkan kita. Perlahan-lahan, fikiran aku berubah, aku boleh terima dia masuk ke bilik air aku dan aku boleh masuk ke bilik air dia. Semuanya bergantung kepada minda kita.”
Aku termenung. Macam mana caranya supaya aku dapat mengadaptasi pengalaman Yusrina ke dalam masalah aku?
“Pasal makanan.” Yusrina bercerita lagi. “Dia suka sangat makanan Jepun, sedangkan aku, yang itulah aku paling alergi. Tengok sushi pun aku boleh muntah. Akibatnya dia selalu keluar dengan kawan-kawan dia makan sushi, dan aku makan hati di rumah setiap hujung minggu.”
Aku ketawa kecil. Aku tidak sangka Yusrina yang aku lihat selalu riang selepas berkahwin ada juga kisah suka dukanya.
“Pernah tak dia sakitkan hati kau? Dia dera perasaan dan harga diri kau?”
Yusrina terus terdiam.
“Pada awal perkahwinan memanglah susah. Kita bayangkan selepas berkahwin semuanya indah sahaja. Kita bayangkan kita sanggup berdepan dengan apa sahaja walau susah ataupun senang. Tapi kita tak tahu, apa yang dikatakan senang dan apa yang dikatakan susah. Susah itu pula, seteruk mana susahnya? “
Aku angguk. Aku setuju.
“Dan apabila kita rasa kita telah berjumpa dnegan sesuatu yang paling teruk, kita akan disuakan lagi dengan pengalaman yang lebih teruk. Seolah-olah kehidupan selepas berkahwin itu langit adalah bumbung dan langit juga lantainya. Tidak ada had ujian yang bakal menguji perkahwinan kita.”
“Kau pernah lalui pengalaman yang teruk?”
“Pernah.” Perlahan sahaja jawapan Yusrina.
Melihatkan air muka Yusrina berubah keruh, aku tidak mendesak.
“Jadi apa yang kau buat untuk mengatasinya?”
“Bersuara.”
“Bersuara?”
“Bersuara,” jawab Yusrina. Kali ini dia pandang muka aku.
“Kalau dia tak nak dengar?”
“Ajar dia mendengar.” Laju sahaja jawapan Yusrina, bagaikan jawapan itu sudah diprogramkan dalam kepalanya.
Aku diam. Aku masih berfikir. Mahukah Daud mendengar suaraku sedangkan sejak dahulu aku terlalu memberikan dia kuasa untuk menentukan segala-galanya. Aku fikirkan apa yang aku lakukan itu adalah tanda cinta dan apa yang dilakukan Daud semuanya baik untuk masa depan kami. Aku cuma tidak sangka, keadaan akan menjadi terlalu rumit sehinggakan cara menyusun kasut pun kena ikut cara dia.
“Kau tahu? Di awal perkahwinan, memang kita semua takut. Aku takut hidup aku terlalu berubah sehinggakan aku kehilangan kawalan. Maklumlah setelah hidup sendiri selama 27 tahun, kini hidup aku dikawal oleh orang lain pula. Dan suami aku takut hidupnya terlalu berubah sehingga dia tidak boleh mengawal kehidupan kami. Tapi percayalah, perkahwinan itu mesti dikawal oleh dua-dua individu yang terlibat. Bukan salah satu. Bukan sahaja dibiarkan pula. Dua-dua kena banyak komunikasi, dua-dua kena memandu supaya perkahwinan itu stabil dan ada hala tuju. Insya-Allah, selepas itu pelayaran hidup akan tenang.”
Aku berfikir lagi.
“Tapi, aku juga nak beritahu kau sesuatu yang penting.”
“Apa dia?”
“Selagi apa yang disuruh suami kau tu tak mendatangkan bahaya dan tak melanggar hukum hakam agama, kau ikutkan sajalah. Insya-Allah, lama-lama nanti, tak ada apa yang boleh buat dia bising lagi.”
Aku tarik nafas.
“Dan lagi satu,” tambah Yusrina. “Jika suami kau sayangkan kau… dia akan dengar. Jadi bersuaralah.”
*****
Sepuluh tahun selepas itu…
Hirisan demi hirisan jagung muda jatuh satu persatu ke dalam besen. Aku hiris memanjang persis yang diajar oleh ibu mertuaku dulu. Namun ingatan terhadap jagung muda itu tetap bersemadi dalam ingatanku. Kerana penghinaan yang diberikan masih bermukim di lubuk hati. 
“Seluar abang dah gosok?” tanya Daud yang baru keluar dari bilik mandi.
Aku angguk. “Ada atas katil.”
Suamiku terus berlalu namun sempat aku tegur.
“Jangan berjalan! Masuk balik dalam toilet, lap hingga kering!”
Suamiku tergamam, kemudian dia tergelak. Perlahan-lahan dia berpatah balik ke dalam bilik air.
Aku pandang sahaja. Walau sudah 10 tahun aku cuba mengubah tabiatnya yang suka keluar dari bilik air tanpa mengelap badan hingga kering, aku masih gagal. Namun aku percaya pelayaran kami masih jauh dan masih banyak perkara yang aku dan dia perlu ubah supaya perkahwinan kami stabil dan tidak terumbang-ambing.
Dan setelah 10 tahun, aku tidak lagi salah memotong jagung muda, sudah pandai bancuh teh yang sedikit manis dari kebiasaan, sudah pandai susun kasut seperti mahunya dan sudah pandai melipat kain sama panjang, sama bentuk seperti bajunya.
Pendek kata, tidak ada alasan lagi untuk dia bersungut lagi malah sebaliknya aku yang kini banyak berleter dan dia yang terkial-kial mahu menyesuaikan diri dengan caraku. Aku juga akan bersuara apabila dihina, diherdik, disindir. Aku bersuara kerana aku juga punya perasaan dan punya hala yang aku mahu tuju dalam perkahwinan ini. 
Dan seperti kata Yusrina, apa yang penting adalah komunikasi dua hala. Aku tak boleh jadi dia, dan dia tak boleh jadi aku tapi kami sama-sama boleh jadi kami….

TAMAT 

20 comments:

  1. Hihihi. Akak MK, mmb betul. Walupun sy belum kahwin lagi, tapi inilah apa yang kawan-kawan saya alami. Yang baru nak merasai nikmat rumah tangga. Mmg awal perkahwinan perempuanlah paling banyak kena bersabar. Kena kuat. Bila baca cerita ni saya tergelak. Betullah apa yang kawan2 saya cakap. Perempaun ni kena lagi kuat semangatnya berbanding lelaki bila baru kahwin. Cerita yang menarik. Saya suka cerpen ni :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih, PT. Kisah benar ni...cara potong sayur pun nak jadi hal tapi itulah.....

      Delete
  2. hihiii gelak2, suke2... sikit2 ade tkena batang hidung sendiri!hai,mengimbau memori mase baru2 kawin dulu la k MK... :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Biasalah kan, mula-mula kahwin macam anggap kebahagiaan itu macam 'ready made' rupa-rupanya kita yang kena buat semua...

      Delete
  3. ala kak...kenapa tak tulis sikit scene dia bersuara dgn suami dia pulak? nak tgk gak muka si daud tu pulak yg jatuh warna. heheh..
    anyway, menarik kak. rasa mcm nak print bagi adik ipar baca sbb dia pun selalu merungut adik saya suka buli dia. heheheh...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Heheh...dah penat sangat dah semasa tulis cerita tu. Kalau ada masa yang lebih panjang mungkin akak boleh panjangkan lagi. Itulah akibatnya buat kerja dalam masa yang suntuk.

      Delete
  4. sapa la yg suka makan makanan Jepun tu.. ish2.. dah la hanyir..tak masak pulak tu..

    anyway cerpen akak ni best. nanti dah kawin saya nk buli la bini saya.. kalau tak nnt dia buli saya pulak..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Adalah yang cerita pada akak dia tak suka sushi.. Jangan nak buli-buli ya, nanti dia buli Nad balik baru tahu...

      Delete
  5. waaa.. sib baik tak jadi mcm tu. Mula2 kawen saya je yg membebel sampai skrg, tapi tak teruk sgt membebelnya.. hehe. Betul lah.. perkahwinan ni perlayaran yg tak ada phujung. dan komunikasi mmg penting. Elok sgt akak buat cerpen ni, suh budak2 yg tak kawen baca... hehe.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Budak2 tak kawen baca, jadi takut pulak nak kawen Cik Puan...

      Delete
    2. Kebahagiaan itu bukan 'ready made' TAGLINE dia..

      Delete
  6. Wah. Seriusnya sebuah perkahwinan. Pasal gosok seluar slack tu baru Isha tahu macam tu cara gosoknya. Dan pasal kena tukar cadar kahwin tu pun baru isha tahu. Hehe. Terima kasih akak atas perkongsian ilmu. Mudah2an Allah permudahkan jika Isha berumahtangga nanti.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nak kata itu cara yang betul, tidak juga Isha. Bermakna setiap suami itu ada caranya, kena perhatikan apa yang suami mahu.

      Delete
  7. akak mengajak saya untuk berfikir. ehehhe..

    ReplyDelete
  8. Semoga menghasilkan buah fikiran yang baik ya, Aaamiin.

    ReplyDelete
  9. *HOKIBET
    *BUKATOGEL.COM
    *DAFTAR
    *REFERRAL
    *BUKU MIMPI
    *PREDIKSI

    * Potongan/Discount Bukatogel.com :
    * 2D : 29% = Rp. 70.000
    * 3D : 56% = Rp. 400.000
    * 4D : 65% = Rp. 3.000.000

    * BBM : 7boc7177
    * HP/SMS : +639277025291

    ReplyDelete
  10. hee.....tahniah krn cerpen ni mmg benar2 hidup.
    itulah realiti kehidupan berumahtangga.
    Met pon mengalaminya sampaikan rasa menyesal pula berkahwin. haaa...
    tapi sabar....sabar...sabar. dan belajar kenal suami. kita susah nak ubah dia, kita yg perlu banyak berubah jika inginkan rumahtangga kekal.
    la ni dah 21 th usia perkahwinan Met...
    eee....alhamdulillah.....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah. terima kasih sudi singgah baca.

      Delete
  11. hee.....tahniah krn cerpen ni mmg benar2 hidup.
    itulah realiti kehidupan berumahtangga.
    Met pon mengalaminya sampaikan rasa menyesal pula berkahwin. haaa...
    tapi sabar....sabar...sabar. dan belajar kenal suami. kita susah nak ubah dia, kita yg perlu banyak berubah jika inginkan rumahtangga kekal.
    la ni dah 21 th usia perkahwinan Met...
    eee....alhamdulillah.....

    ReplyDelete