Wednesday, September 5, 2012

GLAS--Z : Bab 12



Bab 12

“Kau perlu bersabar,” kata Yusof. Dia mundar-mandir di ruang tamu rumah setelah mendapat panggilan daripada Marion. Suara Marion yang resah bersulam tangis itu sudah cukup untuk membuatkan dia turut gelisah.
“Sudah berkali-kali aku cuba, Yusof. Tapi tetap tak berhasil.”
“Mungkin kerana kau terlalu mencuba, Marion. Kau patut biarkan otak kau rehat juga. Kalau kau paksa macam tu, aku takut kau akan terus gagal.”
“Tapi masa aku semakin singkat. Keupayaan aku semakin lemah,” balas Marion.
“Tapi kau juga tak boleh terlalu memaksa diri kau. Nanti kau jatuh sakit.”
Marion terdiam lama, sebelum suaranya berganti dengan esak tangis.
Yusof mengeluh.
“Bertenang, okey. Aku akan ke sana secepat mungkin. Sementara tu aku mahu kau berehat secukup-cukupnya. Jangan sesekali kau cuba hubungi dia lagi. Mungkin itu hanyalah satu kebetulan.”
“Tapi aku nak jumpa dia lagi, Yusof. Aku nak sangat berjumpa dengan dia lagi.” Esakan Marion bertambah kuat.
“Ya, aku faham. Tapi kau dah jumpa dia sekali, itu sepatutnya sudah cukup untuk membuat kau bersyukur. Sekurang-kurangnya kau sudah tahu yang anak kau masih hidup.”
Marion hanya mendiamkan diri.
Yusof makin susah hati. Dia tahu Marion memerlukan sokongan dan nasihat daripadanya namun jarak membataskan mereka.
“Dengan izin Tuhan, kau akan dapat berjumpa lagi dengan dia. Berdoalah,” katanya. Itu sahaja yang dia harap dapat memujuk hati Marion dan menyuburkan harapan yang  ada dalam hati wanita yang telah hampir 15 tahun dikenalinya.
Marion terus menangis.
“Jangan putus asa. Kau mampu bertahan selama ini, kau tak patut mengalah sekarang,” pujuk Yusof lagi. Dia benar-benar bimbang akan keadaan Marion pada waktu itu. Oleh kerana Marion terus mendiamkan diri, Yusof terus memujuk, “Tunggu aku sampai, okey? Jangan buat apa-apa dulu. Aku nak kau berehat sahaja.”
Setelah Marion menamatkan panggilan, Yusof terduduk di atas sofa. Dia tahu, dia perlu segera ke sana. Mungkin keadaan sudah berubah.
******
Sementara itu  Dr. Uzair mengadakan pertemuan dengan Jack di sebuah rumah yang terletak di tepi lebuh raya Utara-Selatan. Dari tempatnya duduk, dia boleh mendengar bunyi arus kenderaan yang melalui lebuh raya itu tanpa henti. Namun bukan itu tujuannya ke situ.
“Ini bayaran yang kau minta dulu.” Dia serahkan sejumlah wang yang diletakkan dalam sebuah sampul surat berwarna coklat kepada Jack tetapi hatinya belum puas.
“Separuh?” Jack pandang sampul surat itu.
Dr. Uzair angguk. Matanya berkelip-kelip merenung wajah Jack yang bermisai nipis dan bertubuh kurus di hadapannya. Sukar sekali baginya meneka apa yang sedang bermain di dalam kepala ketua kumpulan kongsi gelap Deathlock itu tetapi dia harus menyelesaikan tugasnya secepat mungkin.
“Sid sudah semakin bising. Dia nak Ari dicari segera.”
“Adakah dia meragui kemampuan orang-orang aku?”
“Bukan macam tu.” Dr. Uzair menjawab cepat. Berdebar dadanya apabila Jack meninggikan suara. “Tapi dia sendiri bengang sejak budak tu hilang.”
“Aku musykil,” balas Jack sambil merenung tajam ke arah Dr. Uzair. Apabila Dr. Uzair tidak bersuara, dia langsung menambah, “Kenapa Sid tak serahkan budak tu kepada polis saja? Kau kata budak tu yang bunuh anak dia?”
Dr. Uzair menelan air liur. Dia membetulkan letak punggungnya. Kemudian tersenyum sambil mengangkat gelas yang berisi air kencing syaitan.
“Kadang-kadang mahkamah kita bukannya boleh dipakai sangat. Sudahlah leceh, silap-silap boleh terlepas macam tu saja,” katanya berdalih.
Jack ketawa kecil.
“Jadi Sid nak patahkan leher budak tu dengan tangan dia sendirilah?”
Dr. Uzair tidak menjawab. Dia tersenyum sahaja. Apa yang pentingnya Jack tidak patut tahu lebih daripada itu. Tugas Jack dan kumpulannya hanyalah untuk menyerahkan Ari semula kepada mereka. “Tapi, Sid mahu budak tu hidup-hidup. Ingat tu.”
“No problem,” balas Jack. “Asalkan bayarannya cukup dan on time.”
“Itu kau tak patut bimbang. Kau kenal Sid, bukan?”
Jack angguk. “Jadi suruh dia siapkan separuh lagi bayaran. Dia akan dapat budak tu pada bila-bila masa.”
“Sebab itu kami pilih kau,” balas Dr. Uzair dan lantas beredar. Kini terpulang kepada Jack dan ahli kumpulannya untuk menjejak Ari. Kegagalan pasti akan menimbulkan masalah kepada Jack sendiri. Jack yang harus berasa lebih bimbang, bukannya dia.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.