Thursday, February 13, 2014

Amat Rindu Kamu - Bab 2


AMAT RINDU KAMU ~ merupakan sebuah kisah semi-realiti masyarakat. Ia mengisahkan bagaimana seorang gadis bernama Hana telah kehilangan anak patung kesayangannya yang bernama Mr. Teddy. Dalam tempoh pencarian ini, Hana akan bertemu dengan pelbagai pengalaman baharu. Mr. Teddy pula menjadi saksi kepada satu demi satu pengalaman apabila jatuh ke tangan orang lain. Apakah Hana dan Mr. Teddy akan bertemu di akhir cerita? Mari kita ikuti kisah ini.

*****************************************

Bab 2
RUMAH dua tingkat bercat hijau muda itu kelihatan sunyi dari luar. Hanya lampu di bilik tidur tingkat atas yang menyala. Kedengaran suara dua orang manusia sedang berbual-bual di bilik itu. Satu suara perempuan dan satu suara lelaki.
“Saya cuma risau…”
“Risaukan apa? Dia dah besar panjang. Tahulah dia jaga diri dia,” jawab Othman sambil mengambil kopiahnya yang tersangkut pada dinding. Hajatnya mahu ke surau berdekatan untuk berjemaah tetapi melihatkan wajah isterinya yang muram membuat hatinya berbolak-balik.
“Tapi dia pergi tu dengan hati yang rajuk. Entah ke manalah dia pergi agaknya,” sungut Aminah sambil melipat kain-kain di atas katil. Ingatannya tertumpah kepada anaknya yang entah di mana.
“Abang bukan marahkan diri dia. Abang cuma tegur sikap dia aje. Kalau itu pun nak merajuk, macam mana nak berdepan dengan cabaran di luar sana? Kita ni mak bapa menegur kerana sayang. Tapi orang di luar belum tentu.”
“Ya, saya tahu bang…”
“Geram rasanya. Asyik melepak di rumah siang malam, makan tidur, makan tidur aje kerjanya.” Kalau dia sudah mula berleter begitu, susah hendak berhenti. Seakan-akan peluru yang tersendat dalam dada selama ini meletus tanpa dapat ditahan-tahan lagi. “Asyik menambahkan gemuk dia aje.” 
Di matanya kini, terbayang wajah Badrul yang bertubuh bulat itu. Anaknya memang bertubuh gempal sejak kecil kerana kuat makan. Seleranya sungguh tidak terlawan oleh sesiapa yang sebaya dengan dia pada waktu itu. Sekali minum susu mesti tiga botol baru boleh tidur.
“Gemuk, gemuk pun anak kita juga,” kata Aminah.
Dia faham perasaan suaminya. Dia sendiri bimbang melihat Badrul pada waktu itu. Seperti ada yang tidak kena. Tetapi selepas Badrul keluar dari rumah, hatinya juga yang tidak tenteram. Asyik teringatkan Badrul.
“Abang bukan kata dia bukan anak abang. Cuma abang mahu dia buat kerja sambilan sementara tunggu kerja yang entah bila dapat tu. Zaman gawat macam ni, apa pun kerja kita kena buat untuk teruskan hidup. Untuk cari pengalaman.”
“Saya pun dah puas pujuk dia. Ada aje alasan dia.”
“Masa berjalan. Dari sebulan dah ke tiga bulan. Dia tetap juga tak bergerak-gerak.”
“Dah bergeraklah tu,” balas Aminah. Sekarang ingatannya makin kuat. Entah di mana Badrul sekarang. Entah hidup entahkan mati.


 OTHMAN bangkit menuju ke beranda di luar bilik tidur. Perbincangan itu membuatkan perasaanya berbaur. Sedikit sebanyak dia rasa bersalah kerana menyebabkan Badrul meninggalkan rumah tetapi apa yang dilakukan itu hanyalah kerana kasih sayangnya sebagai seorang ayah. Dia tidak mahu melihat anaknya terus tercicir dan terlalu mengikutkan perasaan.
“Bad, abah dah carikan kau kerja di kedai cermin mata dekat dengan tempat kerja abah,” kata dia apabila balik dari kerja pada petang itu.
Badrul hanya menoleh sekilas, lepas itu kembali tekun menatap skrin televisyen di hadapannya. Langsung tidak menjawab apa-apa.
Melihatkan tiada tindak balas dari Badrul, dia naik ke tingkat atas untuk mandi dan bersolat.
Lepas solat Maghrib dia turun menuju ke bilik makan. Badrul sudah ada di situ, sedang mengunyah nasi dengan berselera. Pada malam itu, anaknya menambah nasi sampai tiga kali. Dia hanya makan secukupnya lalu bangun ke dapur membasuh pinggan sebelum duduk di ruang tamu.
“Bad, selepas makan, abah nak cakap dengan Bad,” kata Aminah selepas dia menjauh.
“Alah, ni tentu pasal kerja di kedai cermin mata tu kan?” tanya Bad. Matanya tunduk memandang nasi.
“Penat abah kau tanya ke hulu ke hilir. Harapkan engkau…entahlah.”
Badrul menghabiskan nasi di pinggan lalu mengangkat ke sinki. Dari jauh lagi Aminah memandang ke arahnya.
“Bad, mari duduk sini sekejap.” Dia memanggil Badrul. Dia tahu dengan adanya dia di ruang tamu, anaknya akan berkurung di dalam bilik tidur pula. “Dah kenyang?”
“Dah ayah, sedap betul emak masak malam ni.”
“Engkau tu memang dari kecil macam tu, apa saja yang mak kau masak engkaulah dulu yang habiskan,” sampuk dia sambil tersenyum.
Teringat semasa Badrul kecil, dia dan adiknya Badri suka berebut ayam goreng sampai bergaduh-gaduh. Semua itu sudah lama berlalu kini Badrul dan Badri sudah sama-sama dewasa. Badrul sudah tamat berlajar dan tinggal Badri di tahun kedua pengajian.
“Abah nak cakap apa, bah?”
“Pasal kerja tu la. Bad nak tak kerja situ dulu?”
“Erm, Bad malaslah bah. Biarlah dulu…”
“Biar dulu? Biar sampai bila? Dah tiga bulan Bad berehat di rumah,” bantahnya
Badrul terdiam. Tergaru-garu kepala dan kaki.
“Bad cubalah dulu kerja situ, bukan susah sangat pun,” pujuk Aminah yang baru tiba dari dapur.
“Okeylah. Bad cuba dulu.”
Dia tersenyum. Gembira hatinya kerana akhirnya mahu juga Badrul bekerja sementara. Dia yakin selepas itu Badrul akan dapat kerja lain yang lebih baik.
“Esok engkau bangun pagi-pagi, abah hantar kau ke situ dulu sebelum abah ke pejabat.” Dalam kepalanya sudah tersusun rancangan untuk menghantar dan menjemput Badrul balik kerja. Buat sementara mereka terpaksa berkongsi kenderaan.
Badrul sekadar mengangguk. “Bad naik atas dulu ya mak, abah”
“Ha, jangan tidur lewat sangat, esok dah nak bangun pagi,” pesan Aminah. Sama bersemangat seperti dia juga.
Keesokkan paginya, dia bangun lebih awal daripada biasa. Selepas solat Subuh, dia ke bilik Badrul.
“Bad, bangun. Solat Subuh dulu.” Dia tinggalkan Badrul selepas Badrul terjaga. Dia terus ke biliknya semula untuk bersiap-siap sementara Aminah sibuk menyiapkan sarapan di dapur.
Selepas selesai sarapan, muka Badrul tetap tidak muncul-muncul di meja makan. Dia mula risau. Bimbang terlambat.
“Mana si Bad ni? Dah lambat ni.” Dia belek jam tangan.
Mendengarkan rungutan dia, isterinya terus berlari naik ke tingkat atas. Tidak lama kemudian isterinya masuk semula ke bilik makan.
“Mana dia?”
“Bad… Bad belum bangun, bang. Lepas solat tadi dia tidur balik,” jawab isterinya takut-takut.
“Tidur?” Pada waktu itu rasa marahnya sudah sampai ke kepala. Dia punyalah teruja mahu menghantar Badrul ke tempat kerja, Badrul boleh pula buat seperti itu. Dia betul-betul kecewa. Lalu tanpa sepatah kata dia tinggalkan rumah pagi itu.
Pada sebelah petangnya dia balik ke rumah dengan sisa-sisa perasaan marah yang masih ada. Dia sendiri rasa tidak tahu bagaimana mahu berdepan dengan anaknya lagi. Dia takut dia akan hilang sabar.
“Bah, Bad minta maaf. Pagi tadi Bad…”
“Tak nak kerja cakaplah tak nak kerja,” balasnya apabila Badrul mencarinya pada sebelah malam di bilik tidurnya.Melihat muka anaknya, darahnya mula mendidih semula.
Anaknya terdiam lama.
“Ikut engkaulah, Bad. Abah dah habis ikhtiar dah. Lantak engkaulah nak jadi apa. Nak jadi tilam ke, nak jadi bantal ke dalam rumah ni. Abah dah tak nak ambil tahu. Abah boleh bekerja lagi. Abah boleh cari duit beli beras untuk mak engkau. Kalau abah mati esok, ada duit KWSP abah untuk tanggung mak kau. Tak payahlah engkau fikir apa-apa pasal kami. Fikir diri sendiri pun tak lepas.”
Anaknya terus meninggalkan bilik.
Dia tarik nafas dalam-dalam. Memang dia kesal berkata begitu tetapi dia sudah kehabisan cara. Anaknya bukan kecil lagi. Sudah habis belajar. Sudah ada ijazah. Kenapa tidak mahu bekerja? Sekurang-kurangnya cukup untuk beli sabun mandi sendiri pun jadilah.
Keesokannya pula, semasa di pejabat dia menerima panggilan telefon. Isterinya mengatakan yang Badrul telah keluar rumah dengan sebuah beg pakaian. Dia tidak menegah. Cuma sedih kerana sehingga hari ini Badrul masih belum menghubungi isterinya.

Dia faham isterinya bersedih dan mungkin sedikit sebanyak menyalahkan dia. Dia sendiri rasa sedih kerana kehilangan seorang anak dengan cara begitu. Tetapi dia berharap, di mana pun Badrul sekarang, anaknya selamat dalam perlindungan ALLAH swt. Dan satu hari nanti anaknya akan faham erti sebuah kehidupan dan erti kasih sayang seorang ayah dan seorang ibu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.