Showing posts with label Catatan.. Show all posts
Showing posts with label Catatan.. Show all posts

Friday, November 7, 2014

Ceramah di Sek Men Hang Kasturi, Masjid Tanah, Melaka



Alhamdulillah. Pada hari Khamis 6 Nov 14 -saya telah dijemput memberi ceramah di hadapan pelajar-pelajar Ting 1-4 di SM Hang Kasturi, masjid Tanah, Melaka
bersempena Kempen Membaca 1 Malaysia.

Maklum balas dan penyertaan pelajar-pelajar sangat memuaskan. Saya membenarkan mereka menyuarakan pertanyaan dan pendapat mengenai novel dan penulisan.

 Bersama guru-guru dan Guru Pen Kanan SM Hang Kasturi.


Jangan lupa. Dapatkan PUJA di pasaran tidak lama lagi.
Boleh juga membeli melalui saya secara pos dengan menghantar pesanan
melalui emel: pnmaria1@gmail.com

Tuesday, November 4, 2014

PUJA di Jualan Gudang Karangkraf 2014


Alhamdulillah, di Jualan Gudang Karangkraf 2014 yang telah berlangsung selama 3 hari di pekarangan Kompleks Media Karangkraf, Shah Alam - novel PUJA membuat kemunculannya yang pertama. Cetakan amat terhad dan sambutan pembeli sungguh luar biasa. saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang sudi hadir dan mendapatkan PUJA.

Buat masa sekarang saya sedang menanti cetakan PUJA yang seterusnya. Kepada kawan-kawan yang ingin membeli PUJA melalui saya boleh menghubungi emel saya pnmaria1@gmail.com



Novel PUJA dijangka berada di pasaran pada bulan Disember 2014.
Jemput dapatkan PUJA dan terima kasih banyak kerana terus menyokong cerita-cerita saya.

Tuesday, September 30, 2014

Aktiviti: Pesta Buku Melaka 2014



Alhamdulillah. Selesai sudah Pesta Buku Melaka 2014 
yang diadakan di ruang legar Melaka Mall, Melaka. 
Saya telah dijemput untuk mengisi slot bicara karya
di pentas utama dengan membicarakan 
novel SUARA TENGAH MALAM.



Bersama novelis Siti Rozilah mempromosikan buku dan menjual buku di sana.
Terima kasih kepada kawan-kawan yang sudi datang beramah mesra dan
memberikan sokongan padu.

Nantikan novel terbaharu saya yang bertajuk PUJA tidak lama lagi ya.
Sayang semua.

Monday, June 16, 2014

Bengkel Penulisan Cerpen dan Sajak anjuran IPM dan DBP 2014

Alhamdulillah.Pada 13-15 Jun 2014 yang lalu, saya telah diizinkan-Nya untuk menyertai sebuah bengkel penulisan cerpen dan sajak anjuran IPM dan DBP di Alai, Melaka.

Bengkel bermula pada petang Sabtu dengan pendaftaran dan kedatangan peserta dari dalam dan luar negeri Melaka dan berterusan sehingga ke tengah malam.

Penceramah yang dijemput ialah Tuan Salman Sulaiman bagi bahagian cerpen dan Dr. Fadh Radzy bagi bahagian Sajak.

Bengkel tamat menjelang tengah hari Ahad dan peserta mula pulang selepas itu.

Gambar peserta bersama tenaga pembimbing dan AJK penyelaras bengkel.


Sekeping sijil penyertaan, sebidang ilmu yang telah dituai dan sebuah pengalaman yang berharga.

Syukur ya Allah, di hujung usia begini masih Engkau berikan aku peluang untuk menuntut ilmu.


Sunday, May 25, 2014

Kembara Sastera IPM ke Pulau-Pulau




Pada 17 May 2014 yang lalu saya telah menyertai Kembara Sastera IPM Pulau Ke Pulau.
Perjalanan bermula dari Jeti Parameswara, Bandar Hilir, Melaka dengan menaiki sebuah bot pelancong. Seramai lebih kurang 30 orang ahli IPM dan keluarga menyertai rombongan ini.
Pulau Nangka

Banyak pulau yang dilawati dari jauh seperti Pulau Nangka, Pulau Upih dan Pulau Serimbun. Kami juga singgah mengelilingi Pulau Besar dan melawat muzium di sana.


Semasa berada di Jeti Pulau Besar, satu sesi membaca sajak diadakan. Antara yang mengambil bahagian ialah Tokoh Sastera Negeri Melaka, Tuan Haji Mokhtar Yasin, bekar setiausaha satu IPM, Ketua 2 IPM, para AJK, ahli dan anak-anak ahli.

Tuan Haji Mokhtar Yasin sedang membacakan sajak beliau.

Pengembaraan ini tamat sekitar tengah hari dengan seribu satu pengalaman yang menyuntik inspirasi dalam pengkaryaan.

Saturday, March 8, 2014

Novel-novel saya... di sini segalanya bermula


Sedar tidak sedar sudah banyak novel yang saya hasilkan tahun demi tahun. 
Semuanya bermula di sini. Di blog ini.
Suatu ketika dahulu saya tidak pernah berhasrat melihat cerita yang saya tulis menjadi sebuah buku
sehinggalah pada suatu hari seorang Editor menghubungi saya
setelah membaca cerita yang saya tulis di blog ini.
Itulah permulaannya karier saya sebagi seorang penulis.


Selepas ini ada banyak lagi manuskrip yang menunggu giliran
untuk diterbitkan.
Insya-Allah.
Terima kasih kepada semua kawan-kawan yang telah memberikan semangat
dan sokongan sejak dahulu sehinggalah sekarang.


Wednesday, March 5, 2014

JANJI JULIA sedang diedit semula


Buat masa sekarang selain menyiapkan sebuah manuskrip Thriller SF yang baharu, saya juga sedang mengedit semula mss Janji Julia yang akan diterbitkan semula di bawah terbitan Aurora Creative.

Jalan cerita sama dengan yang lama tetapi banyak pembetulan dibuat dan beberapa babak akan ditambah. Semoga Janji Julia dapat dilahirkan semula dan masuk ke pasaran yang lebih luas nanti.

Terima kasih kepada semua yang telah menyokong Janji Julia selama ini.

Wednesday, February 12, 2014

Coretan di Karnival Karangkraf 2014


Alhamdulillah, selesai sudah sesi tanda tangan dan temu mesra yang saya hadiri bersempena Karnival Karangkraf 2014 yang diadakan di Kompleks Media Grup Buku Karangkraf, Shah Alam, Selangor pada hari Sabtu 8 hb Februari 2012.

Saya bertolak dari Melaka pada sebelah pagi namun berlaku sedikit kelewatan di Seremban. Saya hanya dapat sampai ke karnival pada pukul 2.15 petang. Setibanya di sana, saya telah ditunggu oleh beberapa orang sahabat pembaca dan juga penulis. Alhamdulillah sesi berjalan dengan lancar.



Sempat bergambar bersama-sama kawan-kawan dan penulis. Antaranya Tuan Mersik, Kak Mawar Merah, Puan Nor, Tuan Saidee dan Ebriza Aminuddin.


Note book. Cendera hati yang dibuat khas untuk karnival ini.


Novel-novel Suara Tengah Malam yang dijual di karnival dengan diskaun 30%


Sempat bergambar bersama Tuan Saidee (penulis novel Margasatwa)

Saya meninggalkan meja pada pukul 4.45 pm dan pergi makan tengah hari bersama seorang lagi penulis iaitu Ilmar Imia (penulis novel Cinta Gantung) dan bertemu pula dengan penulis Firas Firzana. Saya meninggalkan Shah Alam, sekitar pukul  6.00 pm dan sampai di rumah kira-kira pada pukul 11.00 malam.

Terima kasih kepada GBK yang telah memberi peluang untuk saya bertemu sahabat pembaca saya. Kepada yang telah mendapatkan novel Suara Tengah Malam, terima kasih banyak.Semoga ada ruang dan peluang untuk kita bertemu lagi.

Monday, November 18, 2013

Sesi Temu Mesra di Selayang Mall

Alhamdulillah, semalam (17 November 2013) telah berlangsung satu Sesi Temu Mesra di Jualan Buku POPULAR yang diadakan di ruang legar bawah bangunan Selayang Mall.

Oleh kerana novelis Hanani tidak menghadirkan diri, maka saya bertugas bersama novelis Herna Diana.

Sesi berjalan lancar dan berakhir pada pukul 4.00 petang.




Saya bersama novelis Herna Diana

Semoga berjumpa lagi di sesi temu mesra pada bulan hadapan di Pesta Buku 1 Malaysia -PWTC


Saturday, October 26, 2013

Majlis Temu Mesra dan Tanda Tangan Penulis GBK di UKM


Dari kiri : 
Novelis Ekara Fahara, saya, Novelis Damya Hanna dan novelis Aisya Sofea.


Semalam, 25 hb Oktober 2013, saya telah dijemput oleh pihak GBK untuk menghadiri satu 
sesi Temu Mesra dan Tanda Tangan Penulis di booth Karangkraf di tapak pesta konvokesyen UKM.

Antara novelis yang turut hadir adalah Puan Aisya Sofea, Damya Hanna dan juga Eka Fahara.  

Terima kasih kepada pengunjung-pengunjung pesta dan juga pelajar-pelajar UKM. Tidak lupa juga terima kasih kepada Encik Daniel dan staf GBK yang melayani saya dengan baik.

Semoga ada peluang untuk bertemu di lain masa.

Monday, October 21, 2013

Majlis Dialog Editor- Penulis sempena Bulan Bahasa.


Pada 19 hb Oktober 2013 yang lalu, saya telah menghadiri sebuah majlis dialog antara wakil rumah penerbitan dan juga para penulis. Majlis ini telah berlangsung di Auditorium Perpustakaan Negeri Melaka bermula dari pukul 10.00 am-1.00 pm.

Para panel terdiri dari Puan Sri Diah (wakil Grup Buku Karangkraf), Tuan Shaidan (DBP) dan Tuan Imran (wakil PTS). Mereka telah menerangkan sedikit sebanyak mengenai proses penerbitan dan keperluan pihak yang diwakili mereka.

Sepanjang sesi dialog berlangsung, beberapa pertanyaan telah diajukan penulis dalam melahirkan ketidakpuasan hati dan pelbagai persoalan lagi yang berbangkit antara kedua-dua pihak.


Surat undangan daripada IPM (Ikatan Persuratan Melayu) dan kad undangan daripada DBP.


Gelagat sehabis sahaja majlis.
Bersama Diah Hadi, Puan Sri Diah dan juga Wanda -bergambar di luar auditorium.

Sebaik sahaja selesai majlis dialog, saya sempat bergambar dengan Puan Sri Diah dan beberapa orang penulis dan bakal penulis. Selepas itu saya meluangkan masa untuk makan tengah hari bersama Dian dan Wanda di kantin  perpustakaan dan seterusnya mengadakan sesi perbincangan sehingga pukul 4.00 petang.

Bagi saya, majlis dialog ini memberi ruang untuk kedua-dua belah pihak melontarkan maklumat dan hujah masing-masing namun semuanya mestilah bertujuan untuk memastikan industri perbukuan kita berjalan rancak dan ada kesinambungannya dari generasi ke generasi.

Harapan saya semoga lebih banyak lagi syarikat penerbitan menghantar wakil ke Melaka bagi memberi penerangan yang lebih terperinci mengenai keperluan-keperluan manuskrip mereka pada masa yang akan datang.

Sekian.



Saturday, June 15, 2013

Hari Harta Intelek Negara 2013 dan Seminar Hak Cipta


Pada hari Khamis ( 13 Jun 2013), saya  mewakili IPM (Ikatan Persuratan Melayu) untuk menghadiri acara perasmian Hari Harta Intelek Negara 2013 yang diadakan di MITC. Acara ini telah dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, YB Dato' Hasan dan juga Ketua Menteri Melaka, YB Dato' Wira Ir. Ideris.


Menteri,  Ketua Menteri Melaka bersama exco, dan barisan kehormat di atas pentas sejurus sebelum upacara perasmian.


Seminar Hak Cipta : Tuan Zahrin Zamzuri (Jackal), Tuan Mohamed Fairuz (Pengarah Bahagian HakCipta Myipo) dan Novelis Puan Fauziah Ashaari.


Pada hari Jumaatnya pula ( 14 Jun 2013), saya menghadiri Seminar Hak Cipta yang dianjurkan oleh Perbadanan Hata Intelek Malaysia (Myipo) di MITC. Dalam seminar ini saya didedahkan mengenai Hak Cipta sesuatu karya, undang-undang dan cara permohonan kepada pihak Myipo. Pada sesi ketiga, diadakan sesi dialog bersama kartunis Jackal dan juga Novelis Fauziah Ashaari (Ombak Rindu) yang berkongsi mengenai pengalaman mereka dalam hal bersangkutan dengan hak cipta.

Secara keseluruhannya, saya amat bersyukur kerana didedahkan dengan acara dan seminar ini di mana saya mula sedar akan hak intelek saya. Inya-Allah, dalam sedikit masa lagi saya akan mendaftar karya-karya saya di Myipo sebagai harta intelek.

Tuesday, June 4, 2013

Bengkel Penghayatan Puisi bersama Cikgu Amni Jagat


Pada 25 hb Mei 2013 yang lalu, bertempat di Hotel Hang Tuah City, Melaka, IPM (Ikatan Persuratan Melayu) telah mengadakan sebuah bengkel penghayatan puisi yang dikendalikan oleh seorang penyair iaitu Cikgu Amni Jagat. 
Saya telah menghadiri bengkel ini sebagai  salah seorang peserta. 

Menunggu giliran untuk naik ke pentas.


Sedang 'membaca' sajak.

Seharian berada di bengkel, saya didedahkan dengan banyak pengalaman dan pengetahuan dunia puisi dan berharap agar dapat terus menghadiri lebih banyak bengkel selepas ini.

Terima kasih kepada IPM dan khasnya kepada Cikgu Amni Jagat yang telah sudi berkongsi pengalaman pahit manisnya dalam dunia puisi.



Sunday, December 23, 2012

Aktiviti : Jumpa pembaca di MPH Mahkota Parade Melaka


KREDIT gambar kepada pihak Fajar Pakeer Sdn Bhd

Pada 15 hb Dis 2012 (Sabtu) yang lepas, bertempat di kedai buku MPH, Mahkota Parade, Melaka
saya telah menghadiri sesi bertemu pembaca.
Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada pembaca-pembaca 
yang hadir ke sesi tersebut. semoga ada rezeki, kita bertemu lagi.
Juga terima kasih kepada pihak MPH dan juga Fajar Pakeer
yang telah memberikan kerja sama dan layanan yang sangat baik kepada saya.
Novelis lain yang turut hadir pada sesi tersebut ialah 
Novelis Rizai Reeani dan Novelis Dinaz Salsabila.


4 buah buku saya bersama Fajar Pakeer.
Datang Pada Waktunya, Olan, Cenderakasih dan Epoi.
yang dipamerkan semasa sesi tersebut.

Sunday, September 16, 2012

Catatan: Kursus Penulisan Skrip Drama, Filem dan Theater

Gambar yang diambil selepas habis kursus bersama semua tenaga penceramah, ahli tertinggi IPM dan para peserta. Yang tiada dalam gambar adalah Tuan Dinsman yang pulang lebih awal.

Pada hari semalam 15 September 2012 (Sabtu) bertempat di Hotel Hang Tuah City, Melaka telah diadakan sebuah kursus penulisan skrip anjuran IPM, DBP dan GAPENA.

Tenaga penceramahnya adalah:
1. Puan Siti Jasmina Ibrahim
2. Encik Che Shamsudin Che Othman (Dinsman)
3. Encik Zainal Rashid Ahmad -Pengurus Besar TV Al-Hijrah
4. Tuan Haji Abu Hasan Morad -Pengarah Urusan Layar Consult Sdn Bhd. (Penerbit Drama)

Dari pagi mereka berempat telah membentangkan kertas kerja yang berbeza dan berkongsi pengalaman mereka dalam bidang masing-masing. Kehadiran peserta sehingga tidak muat kelas. Sedikit catatan saya mengenai perkara ini:

1, Puan Siti Jasmina Ibrahim- "Asas Penulisan Skrip Filem"
Dalam masa yang begitu pendek, tidak banyak yang dapat diajar oleh Puan Siti Jasmina. Beliau ada memberikan nota kepada Nurul Farehah untuk dicetak, dan saya harap nota itu akan sampai kepada saya satu hari nanti.

Jujur saya katakan, saya menghadiri kursus ini kerana beliau. Ada sesuatu dalam diri beliau yang saya kagumi cuma disebabkan saya ini seorang yang amat penyegan, saya tidak menghampirinya kecuali secara kebetulan beliau duduk di atas kerusi di sebelah saya sebelum sesi bermula. Namun saya tetap tidak memperkenalkan diri atau bertanya apa-apa. Sehingga habis majlis pun saya hanya pandang beliau dari jauh dan sebelum balik saya dapat bersalam dan mengucapkan terima kasih atas segala ilmu-ilmu yang dikongsikan kepada saya.
Puan Siti Jasmina bersama Tuan Haji Razali Endun

2. Tuan Dinsman
Sebelum saya menghadiri kelas, saya telah menyelidik latar belakang beliau dan hasil kerja tokoh theater ini. Oleh kerana saya tidak pernah terlibat dalam bidang theater, tentulah saya 'melihat' sesi ini dari sudut pandangan luar namun saya berasa amat bersyukur sekali kerana telah digerakkan hati untuk menyertai kursus . Ada sesuatu yang diceritakan oleh Tuan Dinsman telah menjawab persoalan saya bertahun-tahun. Satu jawapan yang saya temui bukan langsung daripada tempat yang saya harapkan. Ia menjadi satu pengalaman yang menakjubkan.  

Saya teringat pesan guru saya yang berbunyi : "Ilmu itu seumpama kepingan puzzle, walau saya boleh berikan kamu banyak kepingan tetapi kamu masih perlu mencari kepingan yang lain daripada orang lain."


Tuan Dinsman (Kiri)

3. Encik Zainal Rashid Ahmad -Pengurus Besar TV Al-Hijrah

Sesi Encik Zainal dan Ustaz Abu Hasan dijalankan serentak kerana dua sesi ini saling berkait rapat. Sekali pandang, agak sukar untuk saya menelah keperibadian Encik Zainal daripada luar. Pakaiannya agak simple, rupa parasnya  seperti banyak berfikir dan pendiam. Tetapi sekali dia buka mulut macam peluru berpandu, saya terpaksa memasang telinga dengan teliti untuk memastikan saya dapat dengar semua ceritanya.

Pada saya kalau diletakkan Encik Zainal di hadapan saya 7 hari 7 malam pun, saya tak bosan mendengar pengalamannya yang begitu banyak dalam bidang penyiaran dan penerbitan dokumentari. Saya harap, ada rezeki dapat mendengar lagi cerita-cerita beliau yang mengaku seorang yang 'anti-theories'. Saya memang suka mendengar kisah pengalaman orang lain, kerana saya tak berpeluang berada di tempat orang yang begitu menarik dan banyak pengalaman.

Beliau juga memberikan tagline yang mesti dipegang untuk menulis skrip drama di TV Al-Hijrah.
Encik Zainal Rashid dan Tuan Haji Abu Hasan

4.Tuan Haji Abu Hasan Morad -Pengarah Urusan Layar Consult Sdn Bhd. (Penerbit Drama)

Saya biasa membaca namanya sebelum ini. Pernah juga melihat gambarnya dalam surat khabar. Berdepan dengannya buat saya 'seram'. Saya tidak tahu bagaimana. Sungguh.

Beliau banyak menceritakan tentang skrip drama terbitan syarikat beliau, jenis skrip, kehendak skrip, pitching, bayaran, budget pembikinan sesebuah drama dll.

Apa yang beliau selalu sebut adalah 'Hantar sinopsis....hantar sinopsis...pitching bulan 11'

Ditakdirkan Tuhan, sebelum balik saya minum seorang diri di sebuah meja, kemudian beliau datang duduksemeja. Sepatutnya kalau orang lain, gunakanlah kesempatan itu untuk bercakap atau melobi tapi saya...satu apa pun tak buat. Kemudian Tuan Haji Razali dan Prof Madya Dr. Arbak pula datang minum semeja, lagilah saya terus diam.

Bagi saya Ustaz Abu Hasan seorang yang kompleks tapi praktikal. Yang pentingnya sinopsis.

5. Tuan Haji Razali Endun

Saya biasa melihat wajah ini tetapi saya lupa di mana. Akhirnya saya dapat tahu yang kami tinggal di satu taman perumahan, haish!

Tuan Haji Razali merupakan Ketua Satu Ikatan Persuratan Melayu (IPM). Dalam ucapannya, beliau banyak menerangkan mengenai program IPM yang telah dijalankan dan yang akan dijalankan. Juga mengenai peruntukan daripada DBP.

Pesannya kepada saya ... "Masuklah jadi ahli" Lalu saya pun minta borang untuk menjadi ahli.

6. Tuan Haji Mokhtar Md Yasin -Tokoh Sasterwan Negeri Melaka

Tuan Haji banyak menceritakan pengalamannya pada zaman dahulu dan memuji usaha persatuan.

Kesimpulan:

Satu hari yang bermakna kepada saya. Pada saya, tentu ada sebab saya didorongkan untuk hadir ke situ pada hari itu. Alhamdulillah. Banyak perkara yang saya dapat pelajari, saya dengar , saya perhatikan, saya selami, fahami dan saya fikirkan.

Skrip? Saya kena simpan duit dulu, ambil kursus berkali-kali lagi sampai pandai baru boleh hasilkan sebuah skrip penuh. Tetapi sebelum itu saya kena kumpulkan duit terlebih dahulu untuk beli PC yang baru, kerana PC yang ada ni dah nak rosak. Kalau PC ni rosak, tak usahkan tulis skrip, tulis cerpen percuma di blog ini pun saya tak mampu buat.

So be realistic. Saya sedar keupayaan saya.

Sunday, September 9, 2012

Catatan: Kepulangan Terakhir...


*Saya ada menyebut tanah perkuburan ini dalam cerita GlasZ jika anda perasan, 
ia adalah tempat Jeffri dikebumikan.

Seandainya Plot itu rantaian sebab dan akibat, hidup pula adalah untaian suka dan duka. Begitulah perjalanan hidup kita dari mula hingga akhir nanti.

Pada 5 Sept 2012, saya mendapat panggilan telefon dari kakak ipar saya yang menetap di Negeri Sembilan memberitahu bahawa abang saya telah hilang sejak petang Ahad 2 September 2012. Usaha mencari telah dijalankan oleh ahli keluarganya dan pihak polis. Akhirnya pada 6 hb September 2012 (Khamis), saya mendapat berita mengenai penemuan mayat arwah di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan tempat tinggalnya. Kemudian bermulalah segala proses pengebumian arwah. Setelah post mortem dan segala urusan di hospital selesai, jenazah dibawa pulang ke Kampung Mengkarak, tempat kelahiran arwah untuk dikebumikan.

Saya dan keluarga ditakdirkan mengiringi van jenazah dari Gemencheh ke Pahang pada malam Jumaat tersebut. Kami sampai di tanah perkuburan pada pukul 10.30 malam. Setelah jenazah disembahyangkan oleh penduduk kampung, kerja-kerja pengebumian dijalankan secepat mungkin dan semuanya selesai menjelang ke pukul 12.00 malam Jumaat.

Apa yang dapat saya ceritakan mengenai abang saya yang nombor 4 ini adalah kami mempunyai hubungan yang agak unik. Kadangkala kami berpisah berbelas tahun, kadangkala kami  bertemu dan bercerita bagaikan kawan akrab. Pemergian arwah sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati ahli keluarga namun saya harap semua dapat menerima takdir Tuhan dengan reda. Kita yang hidup perlu mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku kepada beliau sebagai peringatan dan bekalan sebelum meneruskan perjalanan menuju mati.

Kebelakangan ini arwah sering menyebut ingin membina 'rumah; di Kampung Mengkarak, tempat kelahiran beliau, tempat beliau membesar, bersekolah dan berkahwin. Dan nampaknya, beliau telah pun 'pulang' untuk kepulangan yang terakhir...

Saya sebagai adik mendoakan agar keluarga beliau tetap sabar dan tabah menghadapi perpisahan ini. Buka mata dan ambillah iktibar. Yang hidup pasti akan mati. Kita tak tahu bila pula masa kita tiba, bila pula kita akan pulang buat kali terakhir....

Didoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan ditempatkan dalam golongan mereka yang beriman dan mendapat keampunan Tuhan. Al-Fatihah.