Tuesday, February 18, 2020

BRAMFIELD HOUSE -REVIEW


Kepada yang susah hendak ke kedai buku boleh dapatkan novel ini secara online melalui kami.
Hanya tekan sahaja link di bawah:

Friday, February 7, 2020

HOMESTAY

Dapatkan di semua cawangan kedai buku POPULAR sekarang! 
RM 10.00 sahaja.

Wednesday, January 29, 2020

HOMESTAY -Kembara Mistik

Blurb: HOMESTAY mengandungi 3 buah cerita pendek bertemakan homestay.
Cerita pertama: HONEYMOON -Eb Reeza.

Mengisahkan mengenai kedatangan Riana dan Ashroff ke sebuah homestay untuk berbulan madu. Bagaimanapun kedatangan mereka memberikan satu pengalaman yang mengejutkan.
Cerita kedua: Homestay Putih Nian- Maria Kajiwa
Mengisahkan mengenai usaha dua orang sahabat; Razak dan Amran untuk menukar sebuah rumah lama di tepi pantai kepada sebuah homestay. Bagaimanapun usaha mereka menempuh jalan sukar kerana rumah tersebut punya rahsia tertentu.
Cerita ketiga: RAHSIA -Rhea
Mengisahkan : Usaha Hisyam membawa isterinya Kiara beserta anak-anak ke sebuah homestay untuk memulihkan hubungan kekeluargaan mereka. Sayangnya hasratnya berhadapan dengan pengalaman yang tidak dijangkakan.
ISBN 978-983-822-058-3
Harga:
RM 10.00 semenanjung
RM 13.00 sabah/sarawak
EKSLUSIF di POPULAR sahaja.

Novel BRAMFIELD HOUSE



BRAMFIELD HOUSE: RUMAH INGGERIS BERTIANG SERI
RM22.00 (SEM. MALAYSIA)
RM25.00 (SABAH/SARAWAK)

Blurb: 

Rumah takkan lengkap tanpa tiang seri. Tiang seri takkan lengkap tanpa semangatnya. – KAPTEN BROCK
Ceritanya bermula pada tahun 1947 - enam tahun selepas kematian Kapten Brock Bramfield.
Selepas Perang Dunia Kedua berakhir, ibu bapa Kapten Brock, Tuan Rupert dan Puan Emmeline tiba di Cameron Highland untuk menghidupkan semula rumah rehat yang dibangunkan oleh anaknya yang diberi nama ‘Bramfield House’ yang terletak di atas sebuah bukit.
Kedatangan mereka diuruskan oleh Winston, sahabat baik Kapten Brock juga pemegang amanah bagi menguruskan Bramfield House.
Namun, masalah bermula sejak malam pertama mereka menginap di rumah tersebut. Gangguan demi gangguan berlaku.
Penemuan tulang di perigi belakang rumah dan kematian ngeri orang kampung menimbulkan semula ingatan kepada beberapa kejadian ngeri yang pernah berlaku di situ.
Kehadiran ibu bapa Kapten Brock di situ juga menghidupkan semula dendam orang kampung kepada apa yang pernah dilakukan Kapten Brock kepada seorang gadis bernama Basariah.
“Dia nak darah manusia.” - ANDAK
“Musuh Brock bukan seorang.” - WINSTON
Rahsia terbongkar, penipuan tersebar.
Mampukah Bramfield House dihidupkan semula? Siapa pula yang akan bakal menjadi korban?
Setiap senja menjelma, setiap subuh menghilang. Makhluk itu punya kuasa, mematikan nyawa anak Adam yang mencabar kewujudannya.
ISBN - 978-983-822-067-5

LINK untuk buat pesanan PRE-ORDER anda (Tekan sahaja):
Tempoh pesanan: 27 Jan-14 Feb 2020

Friday, July 5, 2019

LARA WIRANG: BAB 1



Bab 1

Tahun 1990
Kampung Gelam Tikus

“PADA abad yang ke 19, muncul banyak pondok-pondok agama di Tanah Melayu. Semuanya berpunca daripada pergolakan politik di Pattani. Ramai ulamak keluar dari negara asal lalu berhijrah ke Kedah, Terengganu dan Kelantan. Pondok-pondok didirikan supaya pendidikan Islam terus hidup dalam kalangan anak-anak muda.
Sejak itu sistem pengajian pondok terus berkembang ke negeri-negeri lain kerana masyarakat dahagakan ilmu agama. Mereka memerlukan satu tempat khusus untuk belajar dan merujuk. Dengan itu juga, saya berpendapat bahawa sudah sampai masanya tempat kita juga mempunyai sekolah pondok sendiri yang lebih tersusun. Kerana yang paling dekat pun teramat jauh untuk kita pergi; dan pengajian yang kita jalankan sekarang tak cukup untuk menampung keperluan.” Ustaz Muiz menjelaskan hal itu kepada semua yang dijemput ke rumahnya petang itu.
Imam Daud, Ustaz Majdi, Tok Empat Abu, Karim dan beberapa orang kampung yang hadir di rumah Ustaz Muiz terdiam dan termenung. Saranan itu agak mengujakan namun dalam masa yang sama terasa berat untuk dilaksanakan.
“Di mana kita nak dirikan tu, ustaz?” tanya tok imam apabila yang lain senyap sunyi seperti kehilangan punca.
“Saya sudah berbincang dengan Ustaz Majdi.” Ustaz Muiz memandang Ustaz Majdi yang merupakan bapa saudaranya juga. Ustaz Majdi yang sudah berusia 73 tahun sekadar angguk perlahan.
“Saya bercadang hendak menyerahkan tanah kebun saya tu sebagai tapak madrasah. Luasnya dalam lima ekar. Segala modal pembinaan bangunan dan pengurusan termasuk pendaftaran akan kami uruskan perlahan-lahan. Sekiranya ada yang hendak memberi sumbangan dalam bentuk tenaga atau duit, saya amat mengalu-alukan. Biarlah semua ini menjadi bekal kita di akhirat kelak.”
“Tok tak ada halangan. Tok yakin orang kampung juga akan membantu sedikit sebanyak nanti. Mudahlah orang Kampung Gelam Tikus dan kampung-kampung berdekatan belajar daripada ustaz berdua.” Imam Daud membalas. Yang lain terangguk-angguk meskipun ada riak bingung pada wajah masing-masing.
“Alhamdulillah. Mohon tok hebahkan nanti dan tolong fikirkan apa yang baik untuk rancangan kita ini. Maklumlah kerjanya bukan ringan namun kita harap ada berkat dan reda Allah dalam usaha kita untuk memastikan masyarakat setempat hidup bersumberkan wahyu Al-Quran dan sunnah nabi. Kita semua sedar yang kita sedang menuju ke akhir zaman di mana memegang teguh agama itu seperti menggenggam bara api. Anak-anak muda di kampung kita ini pun nampaknya dah ramai yang terpengaruh dengan gaya hidup barat.”
Ustaz Muiz merenung dalam wajah Imam Daud. Besar harapannya di situ agar mendapat sokongan ahli-ahli agama dan semua orang kampung. Besar harapannya agar satu hari nanti mampu menyebarkan ilmu agama yang telah dipelajari bertahun-tahun di banyak negara, kepada sesiapa sahaja yang ingin datang belajar. Tidak kira umur dan jantina. Tidak kira latar belakang dan bangsa.
Bukan habuan ringgit yang dicari namun reda Allah. Dia selalu percaya, ada sebab kenapa dia dipersiapkan dengan ilmu agama sebegitu rupa dan sudah menjadi tugasnya menyampaikan, membimbing dan memberi faham orang lain pula dengan sedaya upaya. Dia hanya berikhtiar dengan segala pengetahuan yang dia punya dan berharap agar orang lain lebih mengenali pencipta dan kembali ke jalan Allah. Itu sahaja.
“Insya-Allah, kami akan bantu. Dengan wang, tenaga dan masa yang kami ada,” sambut Imam Daud yang sudah berpuluh tahun dilantik menjadi imam di masjid itu. Juga merupakan salah seorang waris tertua yang masih ada selain Ustaz Majdi dan beberapa orang tua lagi.
“Alhamdulillah. Kita semua tahu bahawa nusrah atau pertolongan Allah swt itu akan turun apabila dalam jamaah ada kesatuan hati. Disebabkan itu sangat penting apabila kita semua bersatu hati atas jalan Allah.”
Ustaz Muiz berasa lega. Setelah menjawab segala pertanyaan yang berbangkit, perjumpaan petang itu ditamatkan dengan tasbih kifarah dan Surah Al-Asyr. Dia menghantar mereka pulang hingga ke pintu pagar.
*****
“APA KATA tok imam dan orang kampung, bang?” Sufiya menegur suaminya yang sedang tekun menulis di meja makan. Entah apa yang ditulis dia tidak tahu. Mungkin perkara-perkara yang bersangkutan dengan pembinaan madrasah.
“Syukur. Semuanya menyambut baik.”
Ustaz Muiz menoleh ke arah Sufiya lantas tersenyum seketika. Sebelah tangan pula memaut pinggang Sufiya yang sedang berdiri dekat meja dengan mesra supaya lebih dekat kepadanya. Apabila berdekatan isterinya terasa seperti didampingi bidadari.
“Dah lama abang bercita-cita nak bina madrasah di kampung kita ni. Akhirnya berjaya juga.”
“Cita-cita tu dah lama ada. Bahkan itu juga impian arwah ayah dan datuk dulu. Tapi nak melaksanakannya bukan mudah. Banyak perkara yang abang perlu kaji dan dalami dulu. Sekarang baru abang rasa bersedia. Cuma satu perkara yang abang nak Sufiya tahu…”
Sufiya merenung muka suaminya yang kembali leka menulis. Kata-kata suaminya yang tergantung setakat itu sahaja, membenihkan rasa risau. Ustaz Muiz mengangkat muka lalu tersenyum melihat wajah Sufiya yang berubah mendung. Dia lantas memegang tangan Sufiya lalu membacakan ayat 186 dari Surah Al-Imran dan maksudnya.
“Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu. Dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar daripada orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat.”
Setiap patah perkataan yang keluar dari bibir suaminya, didengar dengan teliti. Dia tahu suaminya lebih arif dalam soal agama. Dia sedia mendengar nasihat yang ingin disampaikan.
“Setiap orang muslim akan diuji. Ujian hidup itu sunnatullah kauniyah. Kita tak boleh lari malah semakin kuat iman seseorang itu semakin kuat dia diuji.”
“Maksud abang…”
“Abang mahu Sufiya tabah sekiranya apa yang abang rancangkan ini menjadi ujian yang besar buat keluarga kita.”
Sufiya tarik nafas dalam-dalam. Dia ramas jari suaminya dengan segenap rasa.
“Sudah hampir 30 tahun kita berkahwin, bang. Selama itu juga kita cari reda Allah sama-sama. Susah senang. Suka duka. Semua kita hadapi berdua. Insya-Allah, Sufiya akan tetap sabar. Kalau Sufiya lupa, abang ingatkan.”
“Abang tahu, Sufiya isteri yang baik. Abang setiap hari bersyukur kepada Allah kerana dikurniakan bidadari di dunia lagi. Dan sekarang, Sufiya sedang mengandungkan pula anak abang. Jasa Sufiya tak terbalas. Cuma abang akan berusaha menjadi suami, ayah dan ketua keluarga yang baik.”

Bibir Sufiya terasa berat untuk membalas apa-apa. Sejujurnya jauh dalam hati dia masih menyimpan rasa bersalah kepada suaminya. Hanya setelah 30 tahun berkahwin dan berikhtiar barulah kali itu dia hamil anak mereka yang pertama. Dia pernah putus asa. Pernah meminta suaminya berkahwin lain namun suaminya menolak dengan baik. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Ayat yang diulang sebanyak 31 kali dalam Surah A-Rahman itu terdengar-dengar di telinga. Air matanya bergenang.
*****
Daerah Hasam Hurang
KABUS, angin dan hujan halus menyeliputi kawasan jeram di puncak Air Terjun Hasam Hurang. Cahaya matahari hanya samar-samar bagai terhalang lapisan udara yang padat. Pohon-pohon tua yang menjulang tinggi melindungi kawasan yang tersorok jauh dari jangkauan makhluk lain. Di atas batu yang paling besar di situ, berdiri satu susuk makhluk setinggi manusia.
   Di tangan kirinya ada sebatang tongkat dari Gunung Bawakaraeng. Di tangan kirinya ada bebola api yang berputar-putar. Mulutnya tidak berhenti melafazkan mantera dalam bahasa kaumnya, Kaum Kan. Dia menyalurkan tenaga untuk membantu semua jin dan manusia di bawah pimpinannya yang ada di merata sudut bumi. Dia memusatkan seluruh tumpuan namun terganggu dek kehadiran pembantunya secara tiba-tiba.
“Ada perkhabaran buruk, Sahir Zub-yan.” Derani datang tergesa-gesa.
“Tidakkah dapat engkau tunggu sehingga aku menyelesaikan tugasku?”
Zub-yan mula berang kerana tumpuannya terganggu. Tanpa kekuatan yang disalurkan kepada pemuja-pemuja dan pengikutnya di serata dunia, mereka mungkin sahaja mampu ditewaskan. Musuh-musuh mereka sentiasa memerangi mereka setiap saat dan ketika dengan ayat-ayat Al-Quran, zikir, salawat, azan dan nasihat-nasihat ketuhanan yang berterusan.
“Hal ini akan menggegarkan Hasam Hurang,” balas Derani.
Ketika itu dia tampil sebagai seorang lelaki tua. Dia berkeupayaan merubah wajah dan bentuk tubuh mengikut tujuan dan keperluan.
“Apa lagi yang dilakukan lelaki itu? Tidak sudah-sudah lagi menghidupkan masjid dan memberi ceramah siang dan malam?” sergah Zub-yan.
Dia yakin tidak ada soal lain yang dibawa oleh Derani ke situ selain hal Ustaz Muiz yang sentiasa menjadi ancaman kepada mereka di Hasam Hurang. Lelaki itu dan keluarganya yang warak dan tinggi ilmu agama sudah lama menjadi musuh mereka sejak zaman berzaman. Setiap kali lelaki itu bertahajud di tengah malam, akan bergegarlah segala isi daerah itu. Sungguh menganggu.
“Dia mahu mendirikan sebuah madrasah di Kampung Gelam Tikus. Penduduk kampung bersetuju,” jawab Derani.
Zub-yan menghentak tongkatnya ke batu. Laungan azan yang berkumandang dari masjid lima kali sehari pun sudah cukup membuatkan pembantu-pembantunya lari bertempiaran setiap hari, inikan pula terdirinya sebuah madarasah yang akan mengumpulkan ramai ahli agama. Ramai yang akan mempelajari kitab-kitab agama. Ramai yang akan berkumpul menghafal dan mempelajari Al-Quran dan kitab hadis. Semua itu tidak boleh dibiarkan.
“Kita akan buat apa sahaja asalkan rancangannya gagal,” katanya.
“Kita punya calon yang sesuai,” jawab Derani.
“Seandainya kita berjaya, kita juga akan dipuji di serata pelusuk Hasam Hurang. Mungkin akan sampai ke pengetahuan Ghafanzar.”
“Serahkan pada saya.” Derani memohon diri sebelum menghilangkan diri dari situ.
Zub-yan kembali menumpukan perhatian. Kedua belah tangan diangkat ke atas. Dalam renungannya, dia melihat banyak pertempuran di muka bumi. Antara konco-konconya dan manusia yang beriman.
Dia tidak suka kalah.


Pesanan;  pnmaria1@gmail.com
Harga buku: RM 22.00 sem/ RM 25.00 Sabah/Sarawak

Sunday, June 23, 2019

Novel; LARA WIRANG


TAJUK: LARA WIRANG
PENULIS: MARIA KAJIWA
HARGA: RM 22 (sem)
BLURB:
Ustaz Muiz, seorang guru agama berhasrat untuk mendirikan sebuah madrasah di kampungnya sebagai pusat mengajar ilmu agama yang lebih tersusun. Dia mendapat sokongan daripada isteri, kawan dan penduduk kampung tetapi ditentang oleh Sahir Zub-yan dan konco-konconya.
“Kita akan buat apa sahaja asalkan rancangannya gagal.” – Sahir Zub-yan
Sahir Zub-yan, seorang ahli sihir Kaum Kan. Dia tinggal di Gunung Dayan dalam daerah Hasam Hurang, salah sebuah daerah dunia gelap. Sejak dahulu dia menentang segala usaha Ustaz Muiz untuk menghidupkan syiar Islam dan menyebarkan dakwah.
Bersama pembantunya yang setia bernama Derani, mereka menghasut seorang guru silat untuk menentang dan mengkhianati Ustaz Muiz sekeluarga dengan menggunakan ilmu hitam. Tapak madrasah, isteri dan anak Ustaz Muiz menjadi sasaran.
“Engkau sanggup menukar imanmu dengan nyawanya?” Sahir Zub-yan.
Adakah Ustaz Muiz akan tunduk kepada segala seksaan dan ugutan mereka bertiga? Mampukah dia mempertahankan pendiriannya? Ikutilah sebuah pertarungan antara dua pegangan dan dua dunia yang berbeza.
KAPSYEN
Kerana janji hati nuraninya mati...

Pesanan boleh dibuat : pnmaria1@gmail.com

Friday, March 15, 2019

KUMPULAN CERPEN- Tunjukkan Aku Arah Kiblat



AKAN DATANG.

Sebuah zine kumpulan cerpen yang bertemakan Ramadan dan Syawal.

Harga: SM 20 (termasuk pos ekpres)  SS 23 (termasuk pos ekspres)

Untuk pesanan:

WA Maria:  017 2042353
WA Zully  : 012- 331 2141

Tuesday, February 19, 2019

Novelet NAGALUSIA


Alhamdulillah. Novelet Nagalusia sudah selamat dicetak dan sudah mula dipos kepada pembaca.
Terima kasih di atas sambutan yang baik.
Nagalusia sebuah novelet adventure thriller. Mengisahkan pemergian Pateh Adam dan ibunya ke alam naga. Bagaimanapun semasa berada di sana, ibunya telah hilang dan Pateh terjebak dengan peperangan antara dua buah negara besar.

Harga: RM 25 + Rm 3 (kos pos)

Pesanan: WhatApp: Zully 012- 331 2141




Tuesday, September 4, 2018

Acara BACA @ MRT


Pada 8 hb September 2018 (Sabtu) akan berlangsung satu acara Baca@ MRT yang dianjurkan oleh 3 kumpulan Fan Club iaitu RAMFC, APFC dan MKFC dengan sokongan kumpulan MyMove.

Oleh itu semua pembaca dijemput menyertai acara ini yang akan bermula dari 2 stesen MRT iaitu Stesen MRT Kajang dan Stesen MRT Sungai Buluh dan akan berkumpul di Stesen MRT Pasar Seni sekitar pukul 10.00 am.

Antara acara yang diaturkan:
-Baca buku dalam MRT.
-Bertemu penulis
-Penyerahan sumbangan buku kepada mini library MyMove di stesen MRT.
-Penjualan buku
-Sesi tanda tangan, beramah mesra dan bergambar bersama penulis.

Dijemput hadir beramai-ramai.

Monday, June 4, 2018

Acara pelancaran novel TAKRUT


Alhamdulillah pada tarikh 28 hb April 2018 yang selalu novel TAKRUT selamat dilancarkan dan membuat penampilan pertamanya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018. Satu majlis kecil diadakan bagi pelancaran novel tersebut dengan dihadiri penerbit, editor, ahli-ahli MKFC dan juga sahabat-sahabat pembaca.



Puan Alida selaku penerbit  dan pengurus besar LoveNovelPublishing 
bersama 
AJK Tertinggi Maria Kajiwa Fan Club


Syukur Alhamdulillah. Novel TAKRUT-Stesen Terakhir telah mendapat sambutan yang sangat hebat dan tersenarai antara 10 novel yang bestseller di booth LNP sepanjang PBAKL2018 berlangsung. Terima kasih atas sambutan sahabat-sahabat pembaca.

Kepada yang masih ingin mendapatkan novel TAKRUT boleh menghubungi Puan Zully Azizan melalui WhatApps :   012-331 2141.

Kepada yang sudah membacanya dan ada maklum balas yang hendak diberikan boleh menghantar komen, tersebut ke e-mel saya:  pnmaria1@gmail.com.

Terima kasih atas sokongan sahabat-sahabat pembaca tidak kira berada di mana. Insya-Allah saya akan jadikan sokongan anda semua sebagai semangat dan daya pemangkin kepada karya yang lebih baik pada masa akan datang.

Friday, June 1, 2018

Cerpen Ramadan: YANG MUSTAJAB



CERPEN RAMADAN: YANG MUSTAJAB

“KEBELAKANGAN ni, akak tengok Aliya macam resah aje. Masam aje muka. Apa masalahnya?”
Kak Min menguatkan hati untuk bertanya. Kalau diikutkan dia malas hendak ambil tahu soal Aliya. Dia sendiri banyak masalah hendak difikirkan tetapi hendak dibuat tak tahu sahaja pun tak boleh juga. Wajah muram Aliya kebelakangan ini sedikit sebanyak mengganggu fikirannya.
Aliya bergumam.
“Kalau ada masalah, ceritalah,” pujuk Kak Min.
Dia bukan penyibuk atau suka jaga tepi kain orang, dia ikhlas hendak membantu Aliya yang sudah dianggap bagaikan adik sendiri. Mereka sudah lama bekerja di tempat yang sama. Sejak arwah ibu Aliya masih ada.
“Saya risaulah, kak…”
Aliya memutar tubuh. Kini tubuhnya menghadap Kak Min di meja sebelah. Waktu rehat hari pertama bulan Ramadan itu mereka tak ke mana-mana. Usrah di surau pun belum bermula.
“Risau apa?” Kak Min renung muka Aliya yang leka termenung jauh.
“Sejak kebelakangan ni, Badri asyik keluar masuk wad. Ni pun baru dua hari keluar.”
“Sakit apa?”
Kak Min berkerut dahi. Selama ini Aliya tidak pernah memberitahu soal itu. Aliya tahu yang dia tidak menyenangi perhubungan antara Aliya dan Badri yang merupakan suami orang.
“Dia cakap ada ketulan darah dalam otak dia. Kesan kemalangan motorsikal beberapa tahun yang lalu. Sebab tu dia selalu sakit kepala. Selalu pengsan,” terang Aliya satu persatu.
“Kenapa Aliya pula yang susah hati? Tahulah isteri dan anak-anak dia jaga.”
Kak Min tahu jawapan itu akan menyakitkan hati Aliya tetapi Aliya patut disedarkan tentang hakikat itu. Dan seperti yang dijangkakan, kata-katanya itu membuatkan Aliya berubah air muka.
“Akak tahu Aliya sayangkan dia tapi kena ingat, dia tu suami orang. Sedalam mana pun sayang Aliya pada dia, tetap tak boleh ganti tempat isteri dia. Kalau tak… dah lama dah dia ceraikan isteri pertama tu.”
Aliya tarik nafas dalam-dalam. Air matanya mengalir tanpa dapat ditahan lagi.
“Susah, kak. Saya tahu semua tu tapi perasaan saya ni dah tak boleh dibuang. Kalau boleh dipotong-potong, dah lama saya potong dan buang jauh-jauh. Makin saya nak lupakan dia, makin kuat perasaan saya pada dia. Kadang-kadang saya rasa, inilah ujian paling getir dalam hidup saya, kak.”
“Lain orang lain ujiannya…”
Kak Min mengalah. Dia percaya Aliya tulus mencintai Badri tetapi sayang, adakalanya cinta itu menjadi ujian yang sangat perit kepada sebahagian manusia. Kini, Aliya sedang diuji dengan cinta.
“Saya susah hati, kak. Saya tak mahu kehilangan dia terlalu cepat. Saya tahu dia suami orang, saya reda saya takkan berkahwin dengan dia tapi… untuk kehilangan dia secara total saya belum sanggup.” Tangisan Aliya melebat. Mujurlah ada sekotak tisu di atas meja buat pengering air mata.
“Macam nilah… Tuhan itu Asy-Syafi. Yang Maha Berkuasa memberikan kesembuhan kepada segala jenis penyakit. Jadi berdoalah dengan sungguh-sungguh dan yakin.” Itu sahaja penyelesaian yang Kak Min nampak. Dia tahu dalam keadaan begitu Aliya tidak berupaya untuk berbuat apa-apa. Hendak melawat Badri di wad pun tidak berani. Takut isteri pertama tahu perihal hubungan mereka.
Aliya hanya mampu mengangguk.
“Akak ada satu cadangan. Itu pun kalau Aliya nak dengar,” tambah Kak Min. Satu cadangan melintas di fikirannya secara tiba-tiba.
“Apa dia?” tanya Aliya.
“Hari ni kita dah masuk bulan Ramadan. Doa orang yang berpuasa ni makbul. Jadi jangan lepaskan peluang untuk mendoakan Badri. Tapi… akak nak cadangkan Aliya buat satu perkara.”
Mata Aliya tak berkelip.
“Antara waktu berdoa yang mustajab ialah sebelum berbuka puasa. Jadi apa kata, Aliya gunakan waktu tu sungguh-sungguh. Mana tahu, doa Aliya tu dimakbulkan.”
“Sebelum berbuka?”
“10 minit sebelum berbuka tu, berdoalah,” jawab Kak Min.
Aliya angguk faham.
*****
NASIHAT Kak Min melekat kuat dalam kepala Aliya. Sejujurnya selama dia hidup, dia belum pernah berdoa panjang sebelum berbuka puasa. Kalau ada pun hanyalah membaca doa berbuka puasa. Doa-doa yang lain memang tidak pernah diamalkan. Semua itu menjadikan dia agak resah dan canggung.
“Cepat betul siap hari ni?” tegur Ali.
Dilihatnya Aliya agak kelam kabut menyediakan hidangan berbuka puasa hari itu. Baru pukul 7.00 malam, semuanya sudah siap tersedia di atas meja. Lengkap dengan nasi dan air. Mungkin anaknya begitu bersemangat kerana hari itu hari pertama Ramadan, fikirnya.
Aliya cuma tersenyum. Apa yang ada dalam hati, dipendam sahaja.
“Aliya nak masuk bilik sekejap. Penat. Nanti kalau dah masuk waktu berbuka, panggil Aliya ya.”
“Jangan lelap pula. Tak elok tidur waktu macam ni.”
Aliya tersenyum pahit. Hati tambah berdebar. Dia bimbang kalau-kalau terlewat untuk duduk berdoa. Setibanya di bilik, dia terus mengambil wuduk lalu duduk di atas sejadah yang sudah sedia terbentang di atas lantai.
Allaahu Akbaru kabiiraw-walhamdu lillaahi katsiiran, wa subhaanallaahi bukrataw-wa’ashiila... Allahumma salli wa sallim ala Muhammad wa ala ali Muhammad…Innaka hamidum majid.” Aliya membuka doa dengan pujian dan selawat.
“Ya ALLAH… hanya pada-Mu letaknya kesembuhan, maka sembuhkanlah Badri daripada penyakitnya. Sehingga dia tidak kesakitan lagi, tidak pengsan dan tidak masuk wad lagi. Sehingga dia kembali hidup dengan baik dan sihat. Makbulkanlah Ya Allah… Makbulkan Ya Allah…”
Aliya mula menangis. Ketika itu dia lupa hal lain. Dia berasa dia benar-benar duduk di hadapan Tuhan; bercakap, meminta dan mengadu.
“Aliya! Dah azan!” Ali mengetuk pintu bilik.


Saturday, May 12, 2018

Cerpen : Tingkat 7, Bilik 703



Cerpen : Tingkat 7, Bilik 703
Penulis: Maria Kajiwa

HUJAN lebat baru sahaja berhenti. Jalan di hadapan Hotel Tiara masih basah. Langit gelap meskipun masih belum masuk waktu senja. Hashim berdiri di tepi pintu sambil mrenung keluar. Selalunya pada waktu begitu, tetamu yang menginap di hotel itu ramai yang balik ke hotel tetapi petang itu suasana agak muram dan sunyi. Semena-mena dia terpandang seorang gadis menapak ke arah pintu hotel sambil membawa sebuah kotak yang agak berat.
Hashim segera menarik daun pintu lalu menghadiahkan senyuman. Dengan sekali pandang dia yakin gadis itu menginap di situ kerana tiada beg pakaian yang dibawa melainkan sebuah kotak.
“Biar saya angkat.” Hashim terus menyuarakan hasrat untuk membantu.
Gadis itu tersenyum menyambut pelawaan Hashim. Lalu kotak itu bertukar tangan dan gadis itu terus menuju ke pintu lif yang berada di sebelah kanan kaunter.
Hashim mengikut dari belakang. Itu bukan tugas yang asing pada dirinya. Dia selalu menghantar beg dan barangan tetamu hotel ke bilik tanpa sebarang niat.
“Tingkat berapa?” tanya Hashim setelah mereka berdua berada di dalam lif.
“Tingkat 7.”
Hashim menekan butang bernombor tujuh lalu berdiri di sebelah kiri. Sepanjang berada di dalam lif, Hashim tidak bertanya apa-apa. Namun entah kenapa gadis di sebelahnya itu dirasakan sangat berbeza. Bau minyak wangi yang dipakai sangat lembut dan mempersona.
Ting! Pintu lif terbuka lebar. Mereka sudah sampai ke tingkat 7.
Gadis itu keluar dan dengan langkah yang pantas, dia menuju ke bilik bernombor 703.
“Kunci?” Hashim meminta.
Setelah kunci bilik berada di tangan, Hashim segera membuka pintu dan memasang lampu. Dari pemerhatiannya, bilik itu masih kemas seperti belum terusik.
Dia masuk. Kotak diletakkan di atas meja solek.
“Terima kasih,” kata gadis itu. “Ini… tips.”
Hashim menolak dengan baik. Kemudian dia keluar dengan segera sebelum turun ke bawah semula. Di dalam lif, dia masih tercium bau wangian yang dipakai gadis tadi. Dia tersenyum sendiri.
******
MALAM menjelma. Hashim masih bertugas. Tidak banyak tetamu hujung minggu itu walaupun malam itu malam Ahad.
Ting! Lif terbuka.
Dengan spontan mata Hashim melirik ke arah pintu lif. Gadis yang menginap di bilik 703 itu melangkah keluar dengan berpakaian cantik. Baju labuh warna merah dengan bunga putih di bahagian kaki. Rambut disanggul rapi. Wajah dihias solekan yang lembut. Sekali pandang gadis bagaikan seorang puteri.
Hashim kelu untuk menegur.
Dia sekadar mampu melemparkan senyuman lebar lalu menarik daun pintu untuk gadis itu keluar. Namun matanya tidak lepas dari memerhati sehingga gadis itu masuk ke dalam sebuah teksi lalu beredar dari situ.
“Pandang apa?” tegur Midah yang baru habis bertugas.
“Adalah.” Hashim tersenyum simpul.
“Pandang perempuanlah tu.”
Hashim ketawa kecil.
“Esok engkau kerja tak?”
“Kerja.” Hashim angguk sebelum memandang ke luar hotel yang gelap. Dia berharap hari esok akan bertemu dengan gadis cantik itu lagi.
******
KEESOKAN harinya Hashim datang kerja dengan lebih bersemangat. Semua tetamu ditegur dengan ramah. Ringan sahaja tangannya membantu tetamu hotel mengangkat beg atau barangan. Dalam masa yang sama matanya asyik menjeling ke arah pintu lif. Malah setiap kali pintu lif terbuka, dia mengharapkan gadis itu yang muncul tetapi hampa.
“Dari tadi aku tengok engkau gelisah aje,” tegur Midah sewaktu mereka bertemu di pintu belakang hotel. Hashim termenung di situ keseorangan.
Hashim mengeluh.
“Ada masalah ke? Cakaplah.”
“Guest bilik 703 dah check out ke?” Hashim tidak mampu lagi menahan rasa.
“703?” Dahi Midah berkerut. Lama matanya melekat pada wajah Hashim yang begitu muram.
Hashim angguk.
“Engkau tolong check. Guest tu ada dalam bilik atau dah keluar?” Manalah tahu kalau gadis itu sudah keluar sewaktu dia menghantar beg tetamu.
“Hashim…” Midah menegur. “Bilik tu mana ada guest? Dah dua tahun bilik tu tak digunakan. Management tak benarkan sesiapa duduk situ.”
“Silap bilik kut?” Hashim tersenyum.
Midah menggeleng keras.
“Engkau sebut bilik 703 kan? Ya lah bilik tu.”
Hashim termangu.
“Semalam aku baru hantar sorang guest ke bilik tu. Gadis. Dia bawa kotak. Tipulah engkau….”
Midah terdiam. Matanya tak berkelip.


Thursday, April 26, 2018

Karya Maria Kajiwa


Kehadiran novel TAKRUT melengkapkan lagi koleksi karya Maria Kajiwa. 
Semuanya bermula di blog ini satu ketika dahulu.
Terima kasih atas sokongan kawan-kawan.

yang benar,
Maria Kajiwa


Monday, April 16, 2018

Blurb TAKRUT-STESEN TERAKHIR


Blurb TAKRUT:

Seutas tangkal yang dipangggil Takrut Agung menjadi rebutan dua negara. Tangkal yang telah mengubah sejarah peperangan dan mengorbankan ribuan nyawa. Menyedari betapa besarnya kuasa tangkal tersebut, seorang sami menguncinya dengan mentera bersama nyawanya sendiri.

Masa berlalu, seorang pemuda bernama Wafiq dihantui penampakan yang menyerupai arwah ayahnya di mana-mana. Takut dan gelisah memaksa dia dan pembantu ayahnya mencari punca dan penyelesaian. Usaha itu membawa mereka ke Melaka demi mencari sebuah kitab lama. Rahsia demi rahsia terbongkar. Namun usaha mereka diancam dan dihalang banyak pihak.
“Lelaki yang pakai kain kuning. Badan dia penuh kudis. Muka dia macam muka ayah. Mana dia pergi?” 
“Muka macam ayah?” Kening Hamid terangkat tinggi. Dia ikut memerhati kawasan rumah itu. “Di mana Wafiq nampak?”

Apakah kaitan antara Wafiq dan tangkal yang telah berusia ratusan tahun itu?

Blurb STESEN TERAKHIR:

Pada tahun 1942, terdapat sebuah stesen keretapi di sebuah kampung lama di Melaka. Namun satu kejadian telah menyebabkan stesen itu terkubur dari sejarah dan dimansuhkan dari peta.

Tiga orang anak muda ke kampung itu untuk menjejak stesen keretapi yang terakhir itu namun secara tidak sengaja telah membuka pagar yang mengunci puaka tempat itu. Sejak itu hujan darah kembali turun dan pelbagai kejadian aneh berlaku. Penduduk kampung juga hilang seorang demi seorang.

“Air yang turun sudah bercampur darah, Awa. Sudah 50 tahun hal ini tak berlaku.” Pak Ismail.

Pak Ismail dan anaknya Imdad cuba menyelesaikan masalah itu dengan bantuan seorang gadis misteri bernama Muhayya. Namun dapatkah mereka menyelamatkan penduduk kampung sebelum terlambat? Apakah rahsia yang tersimpan di stesen keretapi tersebut?

Dapatkan buku ini di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang akan berlangsung di PWTC pada 27 hb April-6 May 2018 atau hubungi saya melalui e-mel : pnmaria1@gmail.com

Thursday, April 12, 2018

Antologi Puisi -Katil 21



Antologi Katil 21 - antologi puisi-puisi persahabatan yang didedikasikan khas buat seorang pemuisi Puan Norjannah MA. Buku ini mengandungi puisi-puisi daripada 73 orang penyair.

Saya juga telah menyumbangkan dua buah puisi di dalamnya sebagai tanda persahabatan dan sokongan kepada satu usaha yang murni.


TAKRUT -novel terbaharu saya


Assalamualaikum dan salam sejahtera

Alhamdulillah, dengan izin-Nya novel terbaharu saya yang bertajuk TAKRUT akan berada di pasaran mulai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang bermula pada 27 April-6 May 2018 bertempat di PWTC, Kuala Lumpur.

Buku juga boleh dibeli secara online melalui Puan Zully Azizan (WhatApps 012- 331 2141)

Harga buku = RM 28.00   dan kos pos laju RM 8

Buku ini mengandungi 2 buah cerita yang berasingan dalam 1 buku.

Random teaser TAKRUT:


Nakhon Sawan
Tahun 1590

DARI pelantar rumahnya, Ukrit melontar pandang ke tengah sungai. Rumahnya yang menghadap titik pertemuan antara Sungai Nan dan Sungai Ping bagaikan saksi kepada titik permulaan terbentuknya Sungai Chao Phraya yang lebar dan keruh. Sungai yang menjadi paksi kepada sebuah negara yang kedaulatannya sedang dipertahankan daripada pencerobohan dan penjajahan pihak luar. Namun, hari ini hatinya diterpa tanda tanya. Wajah ayahnya lebih keruh daripada keruh air di Sungai Chao Phraya.
“Tentu ayah akan bertolak esok.” 
Keyakinan itu timbul memandangkan begitulah sikap ayahnya sebelum ke medan perang. Ayahnya akan mengasingkan diri dan berpuasa. Sebagai anak sulung kepada seorang pahlawan kepercayaan raja, dia juga harus bersedia sepanjang masa. Harus berani menerima apa sahaja kemungkinan termasuklah soal kematian. Cuma kali ini entah kenapa, apa yang terlakar pada wajah ayahnya tampak kusut benar. Dia jadi bimbang.

Random teaser STESEN TERAKHIR:
“Ikat orang ni dulu. Aku mahu melihatnya mati dulu!” Jenderal Tokuda meludah muka Dollah.
Arahan yang dikeluarkan segera dipatuhi. Anum meraung apabila mendapat tahu apa yang sedang berlaku. Begitu juga dengan orang kampung. Kesemuanya bertolak-tolak ke tepi landasan untuk melihat dengan lebih jelas.
Dollah dibawa turun ke landasan dan dipaksa berbaring menelungkup. Kedua-dua belah tangannya diikat ke belakang. Dollah akur akan nasibnya. Dia tidak kesal. Di matanya hanya terbayang wajah Mayang dan Rashid.
“Tok...” Musa yang diikat di sebelah Dollah mula meracau. Air matanya membasahi pipi. Dia meronta tetapi tidak banyak yang boleh dilakukan lagi.
Dollah tidak membalas. Kalau ada satu-satunya kekesalan dalam hati hanyalah apabila melihat orang kampung lainnya tersiksa. Apa yang telah dilakukan sudah jelas memberi kesan buruk. Namun untuk meminta maaf, hatinya belum terbuka.

Jemput dapatkan buku ini nanti. We Bring Experience To You.

Tuesday, August 22, 2017

Cerpen Seram; GILA


GILA oleh Maria Kajiwa

SEKEJAP-SEKEJAP dia menangis sampai terguling-guling di lantai. Sekejap-sekejap dia ketawa bagai digeletek seseorang. Mandi lupa. Makan pun lupa. Apa yang dia ingat, nama sendiri, nama adik-beradik, nama mak ayah dan nama tunang dia, Syafik. Yang lain dia lupa.
“Zie... ingat ALLAH, nak.”
Hati Adam rasa tersiat-siat. Melihatkan anak sulungnya yang dibesarkan elok-elok akhirnya jadi begitu sejak tiga bulan yang lalu. Dia sudah habis ikhtiar. Apa yang tinggal hanyalah keyakinan kepada kuasa ALLAH. Semua itu ujian untuk anaknya dan mereka juga.
Intan, ibu Azizah sudah lama jadi seperti orang bingung. Apa yang menimpa Azizah amat mengejutkan mereka seisi keluarga. Malah Syafik juga tidak percaya dengan perubahan diri Azizah sejak mereka bertunang.
Azizah pandang ayahnya. Air matanya meleleh-leleh di pipi. Hatinya pedih. Dia bukan gila walau semua kata dia gila. Dia normal. Dia tidak gila.
“Ramai sangat malam ni, abah. Penuh rumah kita ni. Suruhlah dia orang balik, abah.” Azizah pegang tangan ayahnya kuat-kuat.
“Zie... ingat pesan ustaz. Istighfar banyak-banyak. Zikir.”
Adam mengingatkan sekali lagi. malah dia rasa sudah penat hendak mengingatkan hal yang sama. Azizah masih begitu juga. Asyik bercakap entah apa-apa.
“Mereka... naik atas meja makan, abah. Dia orang jalan-jalan. Langkah lauk atas meja. Dia orang kencing abah. Abah halau!” Suara Zie makin meninggi. Malah apabila pegangan tangan ayahnya terlepas, Azizah berkejar ke arah meja.
‘Shh! Pergi! Pergi!’ Dia menghalau dengan suara dan kedua belah tangan. habis barang di atas meja dicapai dan dibaling ke serata arah.
Adam, Intan hanya mampu mengeluh. Sejak Azizah jatuh sakit, rumah itu memang huru-hara. Kadang-kadang, Azizah terpaksa dikurung di dalam bilik.
“Zie, berhenti!” Akhirnya Adam menempik. Botol air yang dibaling Azizah hampir lagi mengenai kepala isterinya.
“Jangan kurung Zie, abah. Zie tak mahu! Dalam tu lagi ramai. Dia orang kacau, Zie, abah!” Azizah menjerit apabila Adam memegang tangannya. Dia sudah tahu ke mana dia akan dibawa.
“Zie... jangan macam ni, nak.” pujuk Adam. Dia sendiri tidak mahu melakukan begitu.
“Abah!”
Azizah menjerit sewaktu Adam mengunci pintu bilik. Yang terdengar bunyi tangisan Azizah yang sayu dan ketukan pintu bertalu-talu hingga senyap sendiri menjelang pukul tiga pagi.
*****
KEESOKAN harinya rumah Azizah dikunjungi Syafik dan sepupunya Amri. Adam dan Intan menyambut baik kedatangan bakal menantu meskipun hati sentiasa risau mengenangkan masa hadapan Azizah.
“Malam tadi dekat nak subuh baru diam,” cerita Adam. Pada wajahnya sudah lama hilangnya raut gembira. Apa yang ada cuma raut keletihan dan kesedihan.
Syafik cuma mengeluh sendiri. Semua yang berlaku sungguh di luar jangka. Perhubungan yang sudah menjangkau 10 tahun bukan satu jangka masa yang pendek. Dia tidak snagka dnegan tiba-tiba sahaja Azizah berubah laku.
“Apa kita nak buat ni, pak cik?’
Dia buntu. Tarikh perkahwinan yang ditetapkan antara dua keluarga semakin hampir sayangnya tidak ada satu pun persiapan yang dibuat lagi.
“Pak cik akan ikhtiar cari orang yang boleh mengubat dia. Tapi mungkin akan ambil masa.”
Itu sahaja yang mampu dijawab Adam. meskipun timbul pelbagai tanggapan dalam hatinya namun ditahan agar tidak meluncur di mulut. Bimbang kalau tersilap, dia hanya mengukir ribuan fitnah.  

 “Abah! Tolong, Zie! Dia orang tarik kaki!” Secara tiba-tiba, Azizah menerpa ke ruang tamu mencari Adam.