Tuesday, January 25, 2011

Mencari Damai Abadi : Bab 8

DAHINYA dihiasi renik peluh. Kulit mukanya panas membahang. Sesekali anak matanya memandang ke atap zink di atas kepalanya. Dia mengeluh perlahan, tak sangka begitu rasanya duduk di bawah atap zink, seperti duduk dalam oven pula rasanya. Tidak ada sudut yang tidak berbahang. Tapi, dia masih bertahan. “Macam ni ke, kak?” Dia menunjukkan kuih di dalam tangannya. Hatinya ragu-ragu.

Kak Senah menoleh sekilas ke arah Sherry yang duduk di lantai dapur rumahnya. “Bolehlah tu. Buat macam karipap je.”

“Karipap?” Sherry bertanya balik, bukan kepada Kak Senah tetapi hanya kepada dirinya sendiri. Kalau makan karipap dia tahulah, nak buat tu dia tak pernah tahu pula. Kuih yang belum masak di atas tapak tangannya ditekan-tekan biar kemas. Bolehlah tu…bisik hatinya. Asal ada rupa karipap cukuplah, lagipun itu bukannya karipap. “Apa nama kuih ni, kak?” Dia bertanya lagi. Kepanasan yang dirasa cuba disejukkan dengan berbual kosong.

“Orang sini panggil kuih selut,” jawab Kak Senah. Matanya ralit memerhati kuih selut yang masih digoreng dalam kuali. Kalau leka nanti hangus pula.

“Kuih selut?” Sherry hampir ketawa, tapi ditahan sekuat hati. Bimbang Kak Senah akan berkecil hati pula tapi Tina yang duduk bersantai di pelantar sudah ketawa menekan perut. Kenapalah dipanggil kuih selut agaknya? Dia hanya berani bertanya dalam hati. Mungkin kerana kuihnya liat macam selut, jawabnya sendiri.

“Sherry tak pernah makan ke?”

Sherry menggeleng perlahan. “Inilah kali pertama saya tengok kuih ni, kak,” jawabnya jujur. Jarinya mengambil lagi seketul tepung pulut yang sudah dibancuh menjadi doh. Digelek dan diratakan di atas tapak tangan. Setelah ianya lebar sebesar tapak tangannya, diletakkan inti kelapa yang harum baunya. Doh itu dicantumkan semula lalu dibentuk menjadi seperti bentuk karipap lalu disusun ke dalam pinggan. Diulang lagi proses yang sama tanpa rasa jemu. “Tak nak try ke?” tanyanya pada Tina.

Tina tersentak apabila mendengar namanya dipanggil. Dia cepat-cepat menggeleng, lalu earphone diselitkan semula di telinganya. Dia bergoyang kaki sambil menikmati permandangan laut di hadapannya sambil dibelai udara petang yang menyamankan.

“Azmi cukup suka makan kuih ni,” cerita Kak Senah lagi sambil tersenyum sendiri.

Sherry tersenyum sama. Hatinya gembira, malam nanti Azmi mungkin akan menjamah kuih yang dibuatnya itu, walau dia hanya tukang isi inti. Selepas puas melayan angan-angan di hati, dia menjeling sekilas Kak Senah yang leka menggoreng. Sejak tadi lagi ada perkara yang ingin ditanyakan tapi dia malu. Tapi kalau tak berani, sampai bila pun tak dapat, fikirnya. Lalu dia memberanikan diri bertanya,“Kak Senah…boleh saya tanya sikit tak?”

Kak Senah menoleh. “Tanyalah.”

“Kak Senah ada kain telekung lebih tak? Saya er…tertinggal,” katanya sambil menahan rasa malu yan amat sangat. Rasanya mahu saja dia masuk ke dalam inti kelapa yang ada di tapak tangannya sendiri.

“Ada…nanti akak ambil ya,”jawab Kak Senah sambil mengangkat kuih selut yang sudah masak ke dalam besen. Dia beransur ke ruang lain, masuk ke bilik tidurnya.

Tina mengangkat muka dari jauh, tanda bertanya. Earphone di telinga ditarik keluar. “Apa hal?” Dahinya berkerut.

“Aku nak pinjam telekung Kak Senah. Aku tak bawak…” jawab Sherry.

Mata Tina merenung tajam ke arahnya. “Pinjam telekung? Kau mimpi ke apa? Tak pernah pulak aku tengok kau pakai telekung.”

“Shhh….” Sampuk Sherry apabila terdengar derap kaki Kak Senah kembali ke ruang dapur semula.

“Nah! Sherry pakai yang ni.” Kak Senah menghulurkan kain telekung yang masih siap berlipat di dalam beg plastik lagi.

Sherry tergamam. “Siapa punya ni, kak? Akak ada ke nak pakai nanti?” tanyanya bersalut resah dan segan.

“Ada. Itu telekung hadiah pertunangan akak dulu. Tak pakai lagi,”terang Kak Senah sambil tersenyum manis. “Jangan lupa, nanti datang sebelum Maghrib. Kita berjemaah dulu lepas tu baru ada baca hadis,”sambung Kak Senah lagi.

Sherry mengangguk faham.

Tina di pelantar tercengang-cengang.

*****
“What?” Tina hampir bertempik di tengah jalan balik ke Resort Abadi. Nasib baik tak ada orang lain di situ.

Sherry tarik muka selamba. Lantaklah apa Tina nak kata. Nak menjerit ke, nak melompat ke, dia punya fasal. Dia nak pergi juga ke surau malam tu.

“Apa kena dengan kau ni? Kita datang jauh-jauh ni bukannya nak pergi surau. Kau dah gila ke? Otak kau dah masuk angin?” Tina menjengilkan matanya.

“Gila? Aku rasa aku makin waras, tahu tak?” balas Sherry setelah puas membiarkan Tina melontarkan kemarahannya. “Lagipun aku bukan ajak kau. Aku boleh pergi seorang.”

Tina mengejar. “Sherry…what’s wrong with you? Apa kena ni?”

“Kena apa? Aku nak pergi surau pun pelik sangat? Kalau aku pergi kelab malam, tak pulak kau pelik,”balas Sherry. Kini mereka berdua sudah hampir ke bangunan Lahaina.

“Itulah yang aku pelik. Tak pernah pulak kau ke surau ke, ke masjid ke masa di KL. Alih-alih kena angin pulau ni, kau teringat pulak nak ke surau…Aku tak nak nanti kau terus sewel sampai di rumah. Apa aku nak jawab dengan daddy dan mummy kau?”

“Mana ada orang pergi surau jadi sewel? Kalau pergi kelab malam tu, mungkinlah kalau dah minum sampai berbuih mulut,”balas Sherry, sama tajam.

Tina menggaru kepala. “Sherry…kau biar betul ni.”

“Betul…sekejap lagi aku nak ke rumah Kak Senah. Then kami nak ke surau solat Maghrib. Sekarang, aku nak balik bilik sebab nak mandi. Sekian. Terima kasih,”jawab Sherry, lantas melajukan langkah balik ke biliknya.

Tina tinggal terpinga-pinga.

*****
Selesai sahaja mengalunkan azan Maghrib dan membaca doa, Azmi menoleh ke belakang. Dia merapati barisan jemaah yang sudah mula memenuhi surau kecil itu. Hatinya gembira melihat jumlah kedatangan penduduk yang lebih dari biasa. Dan dia tahu jemaah perempuan pun ada cuma ditabiri kain pemidang hijau pekat, menjadikan mereka tidak kelihatan dari ruang hadapan. Dia menoleh pula ke arah tok imam yang ada di barisan hadapan. Mereka berbalas senyum sebelum dia bangkit membaca Iqamat.

Solat Maghrib berjemaah berjalan dengan lancar dengan diimami oleh tok imam. Setelah berwirid dan berdoa, mereka semua memulakan majlis pembacaan hadis malam itu. Azmi mengambil tempat duduk di sebelah kanan tok imam dengan tenang namun sebaik kain pemidang yang memisahkan jemaah lelaki dan perempuan dibuka, dia tergamam.

Dia menjeling sekilas untuk memastikan bahawa matanya tidak tersalah pandang. Benarkah apa yang dia lihat? Benarkah itu Sherry yang duduk bersimpuh di sebelah Kak Senah? Dadanya berdebar namun dia terus beristighfar sebanyak mungkin. Dia tak menoleh buat kali kedua, dia hanya menumpukan pendengarannya kepada Hadis yang sedang dibacakan oleh tok imam.

“Sabda Rasulullah SAW, daripada Mua’az, Allah telah berfirman; Orang-orang yang berkasih-sayang kerana keagungan-Ku, akan memperolehi mimbar-mimbar dari cahaya yang sangat dicita-citakan oleh para nabi dan syahid”(Riwayat al-Termidzi)

Suasana di dalam surau itu menjadi hening. Azmi tidak mengangkat muka, pandangan matanya tertancap di atas karpet biru yang nipis di hujung jari kakinya. Dia cuba memahamkan apa yang sedang dibaca oleh tok imam dan dia pasti semua yang hadir di situ juga begitu.

“Sabda Rasulullah SAW, daripada Al-Irbadh bin Sariyah r.a, Allah s.w.t telah berfirman: Orang-orang yang berkasih-sayang kerana keagungan-Ku, diberikan tempat di bawah lindungan Arasy-Ku, pada hari tiada lindungan melainkan lindungan-Ku.” (Riwayat Ahmad)

Satu-persatu hadis dibaca oleh tok imam bersandarkan kitab Hadis Qudsi. Selepas itu tok imam menghuraikan makna dan maksud di sebalik hadis itu kepada para jemaah. Katanya lagi, “Jadi, dari kedua-dua hadis yang kita baca dan dengar malam ini dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa Tuhan telah sediakan ganjaran yang begitu besar kepada hamba-hamba-Nya yang berkasih-sayang kerana-Nya dan kebesaran-Nya.

Tapi bukanlah semudah itu untuk kita mendapatkannya. Kerana kita selalunya mengasihi orang lain seperti anak-anak kita, saudara-mara kita atau pasangan kita dengan niat yang lain. Sebab itulah, jika kita dibenci atau ditinggalkan, kita tak lagi dapat mengasihi mereka. Semuanya kerana kita tidak mengasihi mereka kerana Tuhan tetapi kerana keinginan yang tertentu.”

Azmi mendengar dengan teliti. Apa yang dikatakan oleh tok imam itu membuat dia rasa terpukul sekali. Sungguh sukar rasanya membuang segala keinginan terhadap balasan duniawi dan meletakkan keikhlasan itu ditempat yang sepatutnya. Tapi dia sedar, jalannya sudah terbentang, terpulang kepada dia untuk mengikutinya ataupun tidak. Sejenak dia rasa hiba. Maha Suci Tuhan yang Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya. Dia mengucapkan syukur tak henti-henti.

“Mi, bolehlah azan. Dah masuk wak tu ni,” tegur tok imam.

Azmi tersentak dari lamunannya yang panjang. Entah berapa lama tok imam sudah berhenti berceramah, dia tidak tahu. Lantas dia bangkit menuju ke anjung untuk mengalunkan azan Isyak. Yang lainnya ada yang bangun untuk berwuduk sekali lagi.

*****
Selesai solat Isyak, Sherry melipat telekung yang dipakainya elok-elok. Dipulangkan semula kepada Kak Senah tapi Kak Senah menolak.

“Eh! Tak payah pulangkan, akak beri pada Sherry,” kata Kak Senah.

Air muka Sherry berubah sekejap. “Tapi kak, ini kain telekung akak.” Kain telekung yang berlipat kemas itu dihulur semula.

“Tak apalah, memang niat akak nak beri pada Sherry. Bukannya akak boleh pakai tiga-empat kain telekung sekali,” jawab Kak Senah beria-ia.

Sherry terangguk-angguk, tak mampu menolak lagi. Sungguh dia tak sangka, begitu pula niat Kak Senah sedari tadi. Malu pula rasanya, banyak betul yang dia dapat di situ, sedangkan dia tak memberi apa-apapun sebagai galang ganti. Tiba-tiba, dia terasa bahunya dipegang mesra, dia melihat Kak Senah tersenyum. Bukan kepadanya tetapi kepada seorang gadis bertudung labuh warna hitam yang duduk menyelit di antara mereka berdua di dalam surau itu.

“Siapa ni, Kak Senah? Bakal adik ipar ke?”

Air muka Sherry berubah merah padam. Dadanya terasa ingin meletup di situ juga. Dalam suka ada rasa malu sehingga terasa kulit mukanya panas.

Kak Senah ketawa, dia menepuk lengan gadis itu dan meraihnya mesra. “Ini Sherry. Dia pelancong kat pulau kita ni,” jawab Kak Senah.

“Ooo…pelancong. Tinggal di resort ke?” tanya gadis itu dengan mesra sekali. Senyumannya tak lekang dari bibirnya yang merah.

Sherry mengangguk. Entah kenapa dia terasa rendah diri apabila berdepan dengan gadis itu. Sudah dua kali mereka bertemu, dua kali juga dia rasa dirinya sangat kecil berbanding gadis itu. Mungkinkah kerana gadis itu bertudung labuh, sedangkan dia…

“Nama saya Khadijah. Panggil Jah aje. Sherry..datang dari mana?” tanya Kadijah semakin ramah. Tangannya tak sudah menggendeng lengan Sherry.

Sherry dan Kak Senah sama-sama tersenyum. “Dari KL,” jawabnya ringkas. Nasib baiklah belum sempat Khadijah membuka mulut lagi, Kak Senah sudah bangun menarik kain pemisah surau itu. Dan kaum perempuan mula membahagi-bahagikan dulang ke anjung surau. Dia sejujurnya tak tahu apa yang perlu dilakukan, dia tak pernah menghadiri majlis seperti itu sebelum ini. Sedar-sedar saja, dia sudah ditarik Khadijah ke anjung surau. Dan apabila dia mengangkat muka, dia terlihat Azmi tak jauh dari situ sambil sibuk mengangkat dulang. Hatinya berdebar, dia ingin sekali Azmi nampak kehadirannya di situ…

“Jemputlah makan kuih kami,” pelawa Khadijah.

Sherry mengangguk sambil tersenyum. Di dalam dulang terdapat pelbagai jenis kuih termasuklah kuih selut yang dimasak bersama Kak Senah tadi.

“Kuih selut ni, Sherry yang buat,” kata Kak Senah.

Serentak itu juga wajah Khadijah berpaling ke arah Kak Senah. “Sherry? Bila masa pulak dia buat?”

“Dia tolong akak tadi,”terang Kak Senah.

“Ooo….” Panjang saja ‘o’ dari mulut Khadijah. Dia tak bersuara lagi selepas itu. Air mukanya resah sahaja.

Sherry menjamah kuih-muih yang ada di situ serba sedikit. Bukan tak sedap cuma tak biasa dihidang kuih pada waktu malam, perutnya rasa tak selesa diasak benda-benda manis begitu.

“Makanlah lagi, takkan tak sudi makan kuih orang kampung macam kami,” usik Khadijah pula apabila melihat Sherry sudah membasuh tangan.

“Tak apalah, dah kenyang. Di rumah Kak Senah tadi pun dah makan banyak,” jawab Sherry.

“Sherry ni… kawan Azmi ya?” bisik Khadijah sambil tersenyum simpul.

Renungan Khadijah membuat perasaan Sherry jadi tak tentu hala. Apakah maksud senyuman itu? Suka atau mengejek? Walau dia tak pernah kenal gadis itu tetapi dia yakin Azmi dan Khadijah saling mengenali dan lebih rapat dari dirinya. Dia seolah dipaksa buat pilihan. Akhirnya, dia mengangguk walau tidaklah begitu betul jawapan itu.

“Dah lama kenal? Kawan satu kolej dulu?” tanya Khadijah bertalu-talu. Pandangan matanya masih lagi menikam ke wajah Sherry.

Sherry semakin resah. Alamak! Dia terperangkap. Sekarang apa nak dijawab? Sedang dia terfikir-fikir, Kak Senah mencelah. “Mereka berdua ni, baru je kenal.”

Dia menarik nafas lega. Kak Senah tak menipu, dia pun terselamat dari percubaan separuh mati tadi. “Khadijah memang orang pulau ini?” tanyanya pula membalas. Kini dia yang patut menyerang.

Khadijah mengangguk bangga. “Jah dengan Azmi member kamceng sejak kecil. Jah, dia , Abang Osman dan ada beberapa orang budak pulau ni, kami satu grup. Pergi sekolah sama hari-hari sampailah masuk ke sekolah menengah. Jah dapat masuk asrama penuh,” cerita Khadijah panjang lebar.

Dada Sherry terasa sempit. Memang tak guna bertanya pun kerana makin banyak yang ditanya, makin banyak yang dia tahu fasal gadis itu dengan Azmi. Sejarah adalah sejarah, dia tak mungkin dapat menandingi keakraban mereka. Akhirnya dia tunduk memandang tikar yang menjadi alas anjung surau itu. Hatinya mula kecewa.

****
Selepas selesai berjamu, mereka semua sama-sama membantu membersihkan surau dan memulangkan dulang. Kuih-muih yang tidak habis dibawa pulang serba-sedikit. Sherry juga mendapat sebekas kuih untuk dibawa balik ke bilik. Dia tak mampu menolak.

Sherry, Kak Senah dan Khadijah berjalan balik bersama-sama dan sebaik sahaja tiba di hadapan rumah Kak Senah, mereka berpisah. Kini Sherry tinggal berdua dengan Khadijah. Perasaannya jadi tak enak. Kalau Azmi yang menemankan dia balik, tak apalah juga. Tapi sampai majlis itu berahir, tak sekali pun Azmi menegur dia. Pandang pun tidak. Hatinya mula sebal, tak payah datang pun tak apa tadi.

“Sherry lama lagi di sini?” tanya Khadijah.

“Esok balik,”jawabnya pendek. Malas sungguh rasanya melayan Khadijah di sebelahnya tapi nak buat macam mana? Dah rumah Khadijah lebih jauh dari resort, kenalah mereka balik beriring.

“Jah!” Satu suara membuat langkah mereka terhenti tidak jauh dari kedai Azmi.

Mereka berdua serentak berpaling. Sherry tiba-tiba jadi bergemuruh, Azmi melangkah laju ke arah mereka. Dia tidak pasti, sama ada mahu tersenyum atau memasamkan muka tetapi apabila dia menjeling ke arah Khadijah, gadis itu sudah siap memaniskan muka!Ah! Dia rasa kalah lagi.

“Ayah Jah tertinggal kitab ni tadi. Tolong pulangkan ya,”kata Azmi seraya menghulurkan Kitab Hadis Qudsi yang dibaca di dalam majlis tadi.

Khadijah menyambutnya dengan senyuman. “Jah ingatkan apa tadi. Mi simpan dulu pun tak apa,” katanya ramah sekali.

“Tak apalah, dah jumpa Jah ni, baik pulangkan saja,” balas Azmi. Dia menoleh pula ke arah Sherry namun tak menegur. Dia hanya tersenyum sekilas lalu memalingkan wajahnya ke arah lain. Mereka bertiga meneruskan perjalanan, namun sebaik sahaja tiba di hadapan kedai Azmi, mereka berpisah juga.

Sambil melangkah, Sherry terasa ingin menangis. Azmi tak menegur dia sepatah pun tadi, padahal apa salahnya membuka mulut sedikit pun. Dia mula rasa tawar hati dengan sikap Azmi. “Jah ni anak tok imam ke?” tanyanya sambil melontarkan perasaannya jauh-jauh.

Khadijah mengangguk senang. “Ha’ah, yang jadi imam tadi tu lah, ayah Jah. Dah tua, tapi tempat ni tak ada pengganti. Ayah Jah mahu Azmi jadi pengganti dia, tapi Azmi mungkin tak mahu.”

“Tak mahu? Kenapa pula? Kan elok jadi imam,”katanya tanpa perasaaan. Sebenarnya dia peduli apa hal itu semua. Bukan ada kena-mengena dengan dia pun.

“Entahlah Sherry…Azmi tu macam laut kat sana tu juga.”jawab Jah sambil menunjuk ke arah laut yang gelap. “Luas memang luas tapi dalamnya tak siapa yang tahu.”

“Apa maksud Jah?”

Khadijah ketawa kecil. “Mana kita tahu isi hatinya kan? Entah-entah dia pun tak mahu tinggal di sini. Sebab tu dia tak nak jadi imam atau pegang apa-apa jawatan pun kat masjid tu,”jawab Jah penuh makna.

Sherry diam saja. Dia tak tahu nak jawab apa lagi. Dia pun bukan kenal sangat dengan Azmi tu. Orangnya pun pelik. Nampak berpelajaran tapi jual pelampung.Apa-apa saja boleh jadi orang macam tu. Tapi, apa-apapun, pada dia Azmi tetap bak mutiara hitam. Jarang dijumpai. Kalau tak nak jadi imam di masjid pun tak apa, biar jadi imam di rumah dia saja, dia tersenyum sendiri.

“Sherry dengan dia, kawan….istimewa?” tanya Khadijah lagi.

Sherry terkelip-kelip. Dia serba-salah nak menjawab lagi.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.