Thursday, March 10, 2011

JANJI JULIA : Bab 6




Julia memerhati ke kanan dan ke kiri dengan teliti. Semuanya kelihatan lengang. Dia sudah pasti. Tanpa menunggu lagi, dia terus berlari naik ke atas jalan lalu melangkah palang tengah dan meluru ke seberang. Dari situ dia berlari pula ke arah utara menuju ke keretanya yang sudah separuh terburai dikerjakan oleh penyerang tadi. Mimi termengah-mengah berlari di belakangnya tanpa suara.

Dari jauh dia melihat keempat-empat pintu keretanya ternganga luas. Semua barang bertaburan di sisi kereta. Komputer ribanya hilang! Sakit sungguh hatinya waktu itu. Namun diteruskan juga mencari apa-apa sahaja yang terlintas dalam fikirannya. Dia menyelongkar di bawah alas kaki tempat duduk pemandu. Sebilah parang kecil yang pernah disimpan oleh ayahnya di situ dahulu direntap keluar.

Selepas itu dia pergi ke bonet untuk membantu Mimi. Wajah Mimi begitu sebak. Pakaian mereka bertaburan di atas jalan raya.

“Kutip saja mana yang sempat,” kata Julia sambil mengaut barang-barang yang bertaburan dan menyumbatkannya ke dalam beg pakaian mereka. “Mari! Kita dah tak ada masa!” Julia menarik tangan Mimi.

Mimi mengekori sambil membawa beg pakaiannya. Namun tiba-tiba, lututnya menjadi lemah. Dia terjelepok ke atas jalan raya. Matanya terpaku ke arah sekujur tubuh seorang gadis yang tidak berpakaian dalam jarak kira-kira semeter darinya. Tubuh itu agak tersorok di antara dua buah kereta. Namun kini cukup jelas pada pandangannya. Mata gadis itu terbeliak ke atas. Perutnya pula terburai. Seolah-olah dirodok-rodok oleh sesuatu. Darahnya bersimbah di atas jalan. Wajah Mimi pucat tidak berdarah.

“Mimi!” jerit Julia. “Jangan tengok! Kau balik ke seberang dulu. Kau tunggu aku di sana. Jangan naik ke atas,” kata Julia sambil memapah Mimi melangkah palang. Tubuh Mimi lembik dan longlai.

Setibanya di seberang jalan, dia menolak tubuh Mimi melepasi lubang. Sejurus Mimi melepasi pagar, dia berlari semula ke kereta. Langkahnya juga terhenti seketika. Lututnya tiba-tiba terasa lemah. Matanya terpaku seketika ke arah mayat-mayat yang bergelimpangan di hadapan keretanya. Matanya mula berpinar melihat kesan darah di mana-mana. Dia hampir pitam.
Matanya tidak dapat lari daripada melirik ke arah jasad pak cik yang ditemuinya beberapa jam yang lalu. Tubuh lelaki itu hampir hancur dengan liang tembakan yang bertabur di seluruh tubuhnya. Di sisinya juga bergelimpangan jasad anak-anaknya. Jasad isterinya terkulai di dalam kereta. Julia berasa sebak seketika. Air mata yang mengalir ke pipinya menyedarkan dia tentang sesuatu. Masa!

Dia lantas menarik beg pakaiannya melepasi palang dan mengheretnya selaju yang mungkin ke seberang jalan. Dia tidak berfikir panjang. Beg itu ditolak masuk sahaja ke dalam lubang. Mimi yang berada di bawah menyambutnya dengan rasa terkejut. Julia berlari semula ke arah kereta untuk mengambil beg pakaian Mimi, namun telinganya menangkap suatu bunyi. Dia tergamam.
Bunyi burung kuang di ladang kelapa sawit di hadapannya semakin kuat. Dia menoleh ke langit yang semakin gelap. Senja bakal berlabuh. Namun, bukan itu yang membuatkannya terpaku di situ. Getaran yang terasa di bawah kakinya dan bunyi deruman enjin kenderaan yang menghala ke situ membuatkan nafasnya terhenti.

“Ju, cepat! Mereka datang balik!” laung Mimi dari tebing.

*****

Sementara itu di kawasan hutan di kaki gunung dalam sempadan Perak-Selangor…

Idzham mendongak ke langit. Sinaran matahari sudah tidak terik lagi menikam kulitnya. Matahari juga sudah hampir tenggelam di balik deretan pokok-pokok besar di hutan berhampiran. Idzham sedar hari sudah merangkak ke petang, malah akan menyusul ke senja. Dia tidak mempunyai banyak masa lagi. Peluh yang meleleh turun dari dahinya dibiarkan. Fikirannya hanya tertumpu kepada apa yang sedang diperhatikan sejak tadi.

Pandangan matanya jatuh semula ke arah sebatang pokok renek yang berdiri tegak di hadapannya. Dadanya resah. Sejak satu jam yang lalu, pokok itu diamati dengan teliti namun dia masih belum pasti, adakah pokok itu yang dicari-cari selama ini. Akhirnya dia membuat keputusan. Dia bangkit lalu menarik pokok itu sekuat hati. Namun, usahanya ternyata sia-sia. Pegangannya terlepas. Dia tergolek semula ke tanah. Tapak tangannya melelas.

“Dah jumpa?” tanya Simon yang baru tiba di tempat itu. Dia mencampakkan topi hijaunya ke tanah lalu duduk mencangkung di sebelah Idzham.

Idzham mengangkat bahu, tanda tidak pasti. Jarinya menunjuk ke arah pokok tadi. Mata Simon membesar. Dari celah-celah lalang yang setinggi kepalanya, sebatang pokok renek kebiruan tegak berdiri, seperti menyorokkan dirinya daripada pandangan manusia. Dia segera mendekati pokok itu dan cuba menariknya keluar. Namun seperti juga Idzham, Simon akhirnya terjelepok keletihan. Termengah-mengah.

Idzham mencuit bahu Simon sambil memberi isyarat yang dia mahu mencuba sekali lagi. Dia kelihatan lebih yakin kali ini. Simon mengangguk dan mengesot ke tepi. Idzham kembali berdiri sambil menyapu punggungnya.

Kali ini dia memegang pangkal pokok itu dengan kedua-dua belah tangannya. Nafasnya ditahan sekuat hati dan dia mula membaca sesuatu dalam hatinya sambil memejamkan mata. Seluruh daya tumpuan dipusatkan kepada pokok itu dan dengan nama Tuhan yang memiliki segalanya, dia merentap pokok itu dengan sekali henjutan nafas. Pokok itu tercabut dan dia terhumban ke belakang.

Simon bingkas bangun lalu menarik Idzham supaya kembali duduk. Kedua-duanya terpaku melihat pokok yang baru dicabut oleh Idzham. Akarnya cuma satu, sepanjang hampir satu meter. Idzham dan Simon saling berpandangan. Rasa takjub dan kagum silih berganti. Namun bagaimana pula akar yang sebegini panjang boleh meluncur keluar setelah sekali direntap?

Idzham hanya tersenyum tenang. Ada sesetengah perkara yang dia tidak dapat kongsikan dengan Simon. Idzham mula meneliti pokok yang berada di dalam genggamannya. Mungkinkah itu pokok yang mereka cari-cari selama ini? Idzham membelek-belek dengan teliti. Namun, dia masih belum pasti. Cuma ada satu jalan untuk mendapatkan kepastian. Mereka perlu membawanya pulang ke tapak perkhemahan. Walau bagaimanapun, kemungkinannya tetap ada. Idzham tetap tersenyum. Pokok itu digenggam dengan erat bagaikan barang yang sangat berharga.

Sudah berminggu-minggu mereka menjelajahi kawasan lapang di sebelah barat hutan itu. Menurut datuknya dahulu, pokok itu ada di situ. Idzham pasti dia tidak salah dengar dan keyakinannya bertambah sejak dia menemui lima daripada tujuh jenis pokok yang hampir menyerupai Setuah Biru.

Menurut datuknya lagi, pokok itu juga dinamakan pokok ‘Tujuh Beradik’. Daripada tujuh pokok yang hampir sama, hanya satu daripadanya adalah pokok yang dicari. Bermakna jika pokok-pokok lain sudah ditemui, maka pastilah pokok Setuah Biru berada berhampiran. Mata Idzham tidak lekang daripada memerhati pokok di dalam tangannya. Akarnya cuma satu, bermakna ini anak yang pertama. Bisik hatinya lagi.

Idzham tersenyum sendiri. Ini kali pertama dia menemui pokok sebegitu yang berakar tunjang. Yang lain mempunyai akar berselirat lima, enam, tujuh, tiga dan dua. Koleksinya semakin banyak. Jika boleh, dia mahu mengumpulkan kesemua jenis pokok itu untuk dibuat perbandingan. Namun itu tidak dapat mengaburi impiannya untuk menemui Setuah Biru. Salah satu antara tujuh pokok itu. Jika bukan nombor satu, tentulah yang bernombor empat. Dia semakin hampir! Namun perasaannya belum cukup tenang kerana masa semakin suntuk.

Sudah hampir empat bulan mereka berdua di situ. Terputus dari dunia luar sama sekali. Entah apa yang sedang berlaku di dunia luar pada waktu itu, mereka pun tidak tahu. Entah berapa ribu orang pula yang telah mati disebabkan wabak Rhyto99, mereka juga tidak tahu. Dia hanya boleh berharap agar dia belum terlambat untuk membantu. Agar masih banyak nyawa yang dapat diselamatkan sekiranya Setuah Biru ditemui.

Semasa mereka bergegas memasuki hutan tempoh hari, wabak Rhyto99 baru sahaja tersebar. Dia kehilangan abang dan adik yang diserang wabak itu. Dalam keadaan yang begitu kelam-kabut, pihak universiti menggesa semua ahli saintis mencari penawar wabak itu sedaya upaya dengan segala pengetahuan yang mereka miliki. Keadaan sudah terlalu genting. Ketika itulah dia teringatkan pesanan datuknya dahulu tentang pokok Setuah Biru.

Dengan hati yang berat, dia meninggalkan keluarga setelah mendapat keizinan dan restu ibunya yang masih bersedih. Dia sedar, dia tidak harus berpeluk tubuh dan hanya menunggu.
Simon mencuit Idzham yang termenung jauh, membuat isyarat mengajak Idzham segera pulang ke tapak perkhemahan. Hari sudah semakin gelap.

Idzham tidak membantah. Dia bangkit menyapu rumput dan kotoran yang terpalit di seluarnya lalu mengekori Simon yang mendahului langkah. Entah mengapa petang itu hatinya berdebar-debar. Mungkinkah itu petanda Setuah Biru sudah ada di dalam genggamannya?

*****

Langkah Simon begitu tangkas. Bagaikan tidak sabar-sabar lagi untuk pulang ke tapak perkhemahan mereka yang terletak di dalam hutan di sebelah barat kawasan lapang itu. Tiba-tiba dia berhenti dan menoleh ke belakang.

“Kau rasa, pokok tu betul?”

Idzham hampir tersadung. Dia mengangkat bahu lalu memberi isyarat lagi.

“Tinggal dua jenis lagi, ya? Kalau bukan yang ni, tentu yang berakar empat,” Simon pula yang tersenyum lebar.

Idzham mengangguk. Sememangnya mereka berdua sudah hampir benar dengan penemuan itu. Namun, adakah semudah yang dijangkakan? Hatinya berasa waswas.

Setelah berjalan kira-kira 200 meter, Idzham mencuit bahu Simon. Langkah Simon terhenti. Dia menoleh ke arah Idzham. Idzham menunjukkan ke arah kiri laluan itu. Dahi Simon berkerut.

“Betullah jalan ni,” kata Simon. Idzham menggeleng. Simon mengeluh. “Aku pasti betul,” kata Simon penuh yakin lantas berpaling untuk meneruskan langkah.

Idzham menggeleng. Dia pasti apa yang difikirkannya betul. Dia berpatah semula lalu menggamit Simon mendekatinya. Mahu tidak mahu, Simon melangkah perlahan. Wajahnya masam. Dahinya sudah mula bersimbah peluh.

Idzham menunjukkan sesuatu di celah-celah lalang yang meninggi di tepi laluan. Simon menjenguk. Pembungkus gula-gula Kopiko kegemaran Idzham! Idzham meredah masuk ke celah lalang itu dan mengutip sekeping lagi pembungkus yang sama. Tidak sia-sia perangainya selama ini.

Akhirnya Simon tersenyum lalu menggeleng. “Macam budak-budak, suka tinggalkan tanda,” katanya.

Mereka berdua terus meredah lalang dengan pantas. Di sepanjang jalan, Idzham mengutip kembali pembungkus gula-gulanya lalu disimpan semula ke dalam poketnya. Simon pula mengekori. Tidak jauh dari situ, mereka menemui laluan masuk ke dalam hutan tebal, tempat mereka keluar pagi tadi. Simon tersenyum sambil menepuk bahu Idzham. Idzham membalas senyuman sahabatnya itu. Mereka berdua terus sahaja memasuki kawasan hutan yang semakin gelap.

Payungan pokok-pokok yang merendang di hutan itu menghalang pancaran cahaya petang daripada menyinggah ke permukaan tanah. Suasana bagaikan sudah pukul 7.00 malam. Idzham memerhati beberapa tanda yang telah dibuatnya di sepanjang laluan. Dia terpinga-pinga. Langkahnya terhenti. Dia menoleh ke belakang, ke arah Simon.

Simon melopong. “Macam mana boleh jadi macam ni?” Dia terkebil-kebil.

Idzham berpusing-pusing. Denai yang dirintis oleh mereka pada pagi tadi tidak lagi kelihatan. Pokok-pokok yang dipangkas, semuanya seolah-olah tidak berusik semula. Mereka berdua semakin kalut. Idzham menelan air liur. Dia segera tahu, ada yang tidak kena di situ.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.