Saturday, December 31, 2011

Cerpen: Selamat Tahun Baru, sayang....


“Happy New Year!” tegur seorang lelaki kulit putih dengan slanga Australia yang pekat dan lantang di tengah-tengah keriuhan tempat itu. Dia tersengih. Matanya merenung tajam ke arahku.
  "Happy New Year!” balasku sambil tersenyum seolah aku juga begitu riang menyambut malam tahun baru 2012 di tepi Pelabuhan Sydney sepertinya.
  Mujur lelaki itu berlalu bersama rakan-rakannya yang lain. Mungkin mereka mencari tempat duduk ataupun lokasi yang lebih baik untuk melihat persembahan bunga api yang akan dimulakan pada bila-bila masa. Aku melihat sahaja lelaki itu menghilang di celah-celah orang ramai yang lalu-lalang di sekelilingku. Sesungguhnya tempat itu amat sesak.
   “Kau tak beritahu dia?”  tanya satu suara.
   Aku tunduk, walaupun tidak ada apa-apa yang menarik untuk kupandang di tepi kakiku, aku tunduk untuk memikirkan sesuatu. Lantas aku menggeleng sambil menarik nafas panjang. Kedua belah tanganku masukkan ke dalam poket walaupun aku tidaklah berasa sejuk.
   “Kenapa?”
    Aku mengeleng lagi.
    “Kau tak nak cuba beritahu dia?”
    Aku geleng lagi.
  Izwan mengeluh. Berat namun pendek. Dia termenung. Pandangan matanya lurus menyaksikan permandangan indah di pelabuhan itu. Cahaya berwarna-warni terpasang di setiap bangunan, feri, bot, kapal layar hinggalah ke kapal besar yang memenuhi pelabuhan. Semuanya berwarna-warni malah apabila cahayanya terpantul ke permukaan laut, laut juga seakan bercahaya.
     “Sampai bila?” Izwan bertanya lagi.
    Sampai bila? Ya, sampai bila aku harus menyimpan perasaanku kepada seorang lelaki yang bernama Fikri? Itulah persoalannya.
    “Kau tahu kan apa masalah aku?”
    Izwan menoleh ke arahku. Untuk beberapa saat dia begitu. Dia seolah cuba memahami dan menyelami apa yang ada di dalam kepalaku yang kecil ini. Ah, mana mungkin kau faham, Izwan! Kau lelaki….
    “Apa agaknya? Kalau kau suka dia, kau cakap sajalah.”
    Aku sudah jangka. Aku sudah jangka itu yang akan terkeluar dari bibir Izwan pada bila-bila masa. Aku akhirnya tersenyum nipis. Aku tahu Izwan belum benar-benar mengenali diriku walaupun sudah dua tahun kami berkawan sejak belajar di sebuah universiti yang sama. Pertanyaanku tadi hanyalah gurauan semata.
     “Kau malu?” tanya Izwan lagi. “Kalau kau malu, beri aku nombor telefonnya. Aku boleh call dia esok,” sambung Izwan lagi.
    Spontan aku menoleh ke arah Izwan. Mataku bulat merenungnya tetapi aku sedar keningku hampir bertaut. Izwan mahu menelefon Fikri? Satu idea yang aku rasa sangat melucukan. Aku lebih sanggup menolak Izwan ke laut daripada menyerahkan nombor telefon itu. Tidak!
      Aku menggeleng.
      “Engkau ni semuanya tak nak. Habis tu macam mana kawan kau tu nak tahu yang kau sudah lama suka dekat dia? Lepas tu… kau juga yang monyok di sana, monyok di sini.” Izwan mula membebel. Dia membetulkan duduk, mungkin sudah penat duduk di situ sejak sejam yang lalu.
      Aku menggeleng lagi.
      “Apa geleng-geleng? Sampai bila kau nak jadi macam ni? Engkau macam patung beku dalam tong ais.”
      Aku tersentak. Patung beku dalam tong ais? “Kenapa kau cakap aku macam tu? Aku manusialah.”
Izwan menggeleng sambil mengeluh perlahan. “Kesian kawan aku ni….”
      “Aku perempuanlah, Izwan. Ke hujung dunia pun aku pergi, aku tetap seorang perempuan. Dan seorang perempuan mesti tahu malu,” jawabku geram.
    “Malu? Jadi kau malu nak beritahu dia yang kau cintakan dia sudah bertahun-tahun?” Izwan renung mukaku tanpa berkelip.
    Aku angguk saja tanpa suara. Sekarang Izwan sudah tahu apa masalahku. Memang aku sudah kenal Fikri selama lima tahun. Sejak sebelum datang ke Australia lagi dan kami selalu bersembang di Facebook, YM, Gtalk atau SYKPE. Hubungan kami terus berjalan hari demi hari tanpa gagal kecuali Fikri gagal memahami perasaanku terhadap dia. Noktah.
    “Hey! Pandang sini,” kata Izwan.
    Aku menoleh ke arahnya semula. “Engkau hidup dalam zaman mana ni? Dalam zaman ini, perempuan tak harus malu lagi menyatakan perasaannya. Perempuan tak harus lagi malu untuk bertindak.”
Aku angkat kening. Jadi aku sudah ketinggalan zaman? “Encik Izwan, daripada sudut lain aku tidak ketinggalan tetapi daripada sudut hati dan perasaan aku mungkin masih berada di zaman aku belum dilahirkan.”
     Puas hati aku. Adakah Izwan fikir aku tidak sedar semua itu? Aku sedar yang aku kini berada di zaman yang serba maju. Maju tindakan, maju fikiran sehinggakan rasa malu sudah dicampakkan entah ke mana. Itu yang Izwan mahu daripada aku?
    “Apa salahnya kau cakap saja pada dia? Aku nak tolong pun kau tak nak.” Izwan merenung langit Sydney pula. Langit itu tampak terang.
  Aku menggeleng lagi. Rasanya pada malam tahun baru itu, entah sudah berapa kali aku asyik menggeleng sahaja. Semua cadangan Izwan aku rasakan sangat bertentangan dengan jiwa aku.
   “Habis tu? Kau nak tunggu sampai bila?”
Aku tarik nafas. Berat betul soalan yang ditanyakan Izwan itu. Soalan yang sangat menguji minda dan perasaan. 
   “Nera… boleh aku cakap sikit?” Suara Izwan mula lembut sedikit.
   “Cakaplah.”
   “Aku harap kau tak marah.”
   “Kenapa aku mesti marah? Beri aku satu sebab.”
  Izwan terdiam. Kulihat halkumnya bergerak-gerak. Riak serba-salah jelas terpancar di setiap sudut wajahnya. Bibir merahnya bergetar.
   “Cakaplah? Kenapa diam?” Aku terus mendesak. Mataku terkebil-kebil memandang wajahnya. Ingin sungguh aku tahu apa yang mahu diucapkan oleh sepasang bibir itu.
   Izwan berdehem. Dia membalas renunganku tetapi tidak lama. Dia kembali merenung hamparan rumput di hujung kakinya.
   “Orang lelaki ni… selalu tak perlu tunggu lama. Kalau dia suka dan dia tahu gadis itu tidak ada siapa yang punya, dia akan cakap terus-terang. Dia tidak tunggu selama lima tahun.” Izwan menjungkitkan bahu sambil tersenyum nipis. Matanya tepat merenung ke dalam mataku.
   Telingaku berdesing. Aku boleh merasakan kepanasan menjalar dari hujung kaki naik hingga ke kepala. Aku pasti suhu malam itu bukan lagi 17 darjah seperti selalunya. Akhirnya aku melarikan wajahku ke arah laut yang bercahaya. Kulepaskan resahku ke situ.
   “Kau mungkin tak percaya dengan apa yang aku cakap… kau juga boleh tunggu dia selama mana yang kau mahu,” tambah Izwan setelah aku terus berdiam diri. “Tapi sejujurnya aku rasa penantian kau selama lima tahun ini hanyalah sia-sia. Dan aku… aku tak mahu lihat kau terus mensia-siakan hidup kau lebih lama lagi.”
  “Terima kasih, Izwan. Aku faham niat kau.” Itu sahaja yang kubalas. Aku terharu? Ya, sedikit. Aku bersyukur kerana sekurang-kurangnya Izwan sudi memikirkan masa depanku yang akan kuharungi dengan kemurungan dan harapan yang belum pasti termakbul jika aku terus begitu. Selebihnya?
   Aku memejamkan mata. Aku tunduk menyembunyikan wajah daripada orang ramai di situ. Dalam keriuhan suasana, aku terlempar ke suatu lembah yang sangat sunyi dan kosong. Aku menangis semahu-mahunya tanpa suara.
  “Kenapa kau tahan tangisan tu? Kenapa kau pendam kedukaan tu?” Suara Izwan menerjah pendengaranku.
Aku buka mata pelahan-lahan, lalu menyerbu keluar titisan-titisan jernih yang selama ini kutahan. Semuanya bagaikan berebut-rebut untuk membasahi kedua belah pipiku. Aku sudah lama tahu. Aku sudah lama tahu yang aku sebenarnya tidak ada harapan untuk mendapatkan cinta Fikri. Tapi aku sengaja menipu diriku dengan mengatakan jika aku bersabar, satu hari nanti Fikri akan menyedari kehadiranku. Aku percaya itu yang akan terjadi sehinggalah dua bulan yang lalu.
   “Dia akan menikah esok, Izwan,” kataku perlahan. Disusuli oleh air mata yang turun bagaikan titisan hujan. Aku tersedu-sedan dan seluruh alam pun terasa sepi.
Izwan mengeluh lagi. Kali lebih panjang, lebih berat. Dia menggeleng lesu, bibirnya terbuka namun suaranya seolah hilang.
   “Dia tidak cintakan aku,” tambahku lagi. Aku seka air mata yang masih mengalir ke pipi.
Izwan cuma mengangguk. Dia juga seperti tidak tahu apa yang harus dilakukan lagi. Dia cuma memandang aku dengan renungan penuh simpati.
   Aku cuba tersenyum namun senyumanku tidak menjadi. Aku menelan air liur lalu menarik nafas panjang. Itulah akhirnya sebuah penantian. Aku harus menerima kenyataan.
   “Aku datang ke sini malam ni… sebab aku mahu tengok pertunjukan bunga api. Kisah cintaku juga seperti itu. Ditunggu-tunggu, diharap-harap. Apabila terpancar, aku gembira. Apabila ia hilang, aku terpinga-pinga. Bunga api itu tidak pernah tahu, aku di sini menunggunya. Ia hanya hadir untuk menceriakan sesiapa. Salah aku yang memujanya.” Aku mula membebel.
   Izwan terangguk-angguk. Mungkin sekadar menjalankan tanggung jawab sebagai seorang rakan pendengar yang baik.
   “Esok, aku mahu buka buku baru,” tambahku lagi.
   “Buku baru?”
   Aku angguk. Sambil memaksa diriku tersenyum. “Aku akan berhenti mengharap, Izwan.”
  “Bagus,” balas Izwan. Dia turut tersenyum tapi tidak nampak kesungguhannya. “Kau tak putus asa kan?”
  Aku geleng. “Memang aku kecewa. Sudah dua bulan aku menangis. Tapi aku bukan bodoh. Aku takkan biarkan hal sebegini menjahanamkan hidup aku. Kau jangan risau.”
   Kali ini senyuman Izwan melebar. Baru nampak keikhlasannya. “Good girl.”
  Dan tatkala pelabuhan Sydney bermandi cahaya bunga api tepat pada pukul 12.00 malam. Kami sama-sama tersenyum memandangnya.
  ‘Selamat tahun baru, sayang’ kuucapkan untuk Fikri di dalam hati. Aku akan terus menyayangimu sehingga rasa sayang itu pudar sendiri. Namun aku akan tetap meneruskan hidupku kerana hidupku lebih berharga dari sekeping cinta yang tak pernah dihargai. Aku tidak akan mengharapkan kau lagi. Semoga kau berbahagia di tahun baru. Itulah keputusanku.

TAMAT
*cerpen ini khas untuk Nina.Semoga berpuas hati. Jangan lupa buka buku baru.
*******************
Kepada kepada pembaca blog ini  yang setia memberikan sokongan
saya ucapkan berbanyak terima kasih dan 
SELAMAT TAHUN BARU 2012. 


3 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.