Saturday, March 31, 2012

Bab 11 : Aku Tak Pernah Jauh


Bab 11
Setelah minumannya habis, Zaffri meninggalkan Kafe Yuna. Di kepalanya hanya terbayang kerja-kerja yang perlu disambung sebentar lagi. Jika boleh dia mahu siapkan kesemuanya sebelum waktu balik nanti. Itu lebih penting daripada memikirkan kata-kata sindiran Aril tadi. Tetapi tanpa diduga di pintu lif, dia terserempak dengan Datuk Ramli dan Suzana.
 “Dah minum?” Datuk Ramli menegur dahulu sebelum sempat Zafri membuka mulutnya.
“Dah, Datuk,” jawabnya dengan sopan. Apapun yang terjadi, dia tidak pernah marahkan Datuk Ramli. Dia faham, Datuk Ramli sendiri adalah mangsa dalam keadaan itu. Cuma dia tetap tidak dapat menafikan yang keadaan di situ sudah berubah.
 “Awak macam mana? Dah dapat kerja lain?” tanya Datuk Ramli semasa mereka bertiga sudah berada di dalam lif.
Zaffri rasa terperangkap. “Apa, Datuk?” tanyanya semula.
“Awaklah. Awak dah dapat kerja di tempat lain?” Datuk Ramli mengulangi pertanyaannya sekali lagi.
“Saya? Saya… belum cari pun, Datuk.” Matanya terkelip-kelip memandang Datuk Ramli. Berat hatinya untuk menjawab pertanyaan itu, tetapi jika tidak dijawab apa pula kata Datuk?
“Awak belum cari? Kenapa? Awak nak tenggelam bersama-sama saya?” Datuk Ramli ketawa. Suzana pula  tersipu-sipu.
Zaffri menahan nafas. Dia tidak faham kenapa Datuk Ramli ketawa. Pada dia, perkara itu bukan sesuatu yang melucukan. Akhirnya dia hanya terpinga-pinga tidak faham.
Semasa melangkah keluar daripada lif, Datuk Ramli berkata, “Saya akan rekomenkan awak pada pengarah yang baru nanti. Saya tahu, awak dah bertahun-tahun bersusah-payah menaikkan imej ARBIJA dan mempopularkan produk-produk kita. Saya tahu awak sayangkan kilang ni, macam saya juga. Tapi mungkin sudah sampai di sini nasib ARBIJA, kita nak buat macam mana?”
“Maksud, Datuk? Sudah ada orang buy over kilang ni?” Tanya Zaffri tanpa malu-malu lagi.
Mungkin jika dia ada sedikit kesahihan, dia boleh memberikan sedikit harapan kepada pekerja-pekerja bawahannya. Sebenarnya dia sayangkan mereka semua, mereka sudah lama bekerja di situ. Dan ia juga akan menjadi satu berita gembira kepada pekerja yang belum mendapat pekerjaan di tempat lain.
Datuk Ramli hanya tersenyum. “Masih dalam perbincangan. Kita doakanlah supaya HQ setuju menerima tawaran tu.”
“Tapi kalau mereka buy over, adakah mereka akan mengekalkan pekerja-pekerja yang sedia ada, Datuk?”
“Itulah yang saya cuba minta dalam mesyuarat minggu lepas. HQ dah ajukan permintaan itu. Cuma saya sendiri tak pasti sama ada ia diterima ataupun tidak.”
Zaffri terangguk-angguk sambil berfikir. Lega sedikit fikirannya, seolah-olah semua yang telah dibina sejak tujuh tahun yang lalu masih boleh diselamatkan lagi.
“Tapi saya dah tak ada dekat sini,” sambung Datuk Ramli.
“Maksud, Datuk?”
Datuk Ramli tersenyum tenang. “Saya pasti mereka akan melantik pengarah yang lain untuk menerajui syarikat yang baru tapi tak apalah. Saya pun dah puas bekerja. Berilah peluang pada orang muda pula. Tapi tujuh tahun kebelakangan ini adalah tahun-tahun yang cukup mencabar dan menarik bagi saya. Terima kasih kepada idea-idea awak yang selalu menjadi.”
“Jangan kata macam tu, Datuk. Kalau Datuk tak beri peluang pada idea-idea saya, semuanya takkan menjadi juga.”
Datuk Ramli hanya tersenyum sebelum melangkah masuk ke pejabatnya sambil diringi oleh Suzana.
Zaffri menarik nafas. Sambil menolak daun pintu pejabatnya, dia membuat keputusan. Apa pun situasinya, dia akan menunggu sehingga pengarah baru itu datang ke situ. Hanya selepas itu dia akan tahu apa nasibnya.
*****
Belum pun panas punggungnya di atas kerusi, telefon bimbitnya berbunyi pula. Tanpa memikirkan apa-apa, telefon itu dicapai. Namun matanya membesar sebaik sahaja terpandangkan nama Pak Long Arip yang terpapar di skrin telefon.
“Zaffri!”
“Ya, pak long.” Zaffri menjawab sambil mengurut-ngurut keningnya yang terasa bengkak. Dia tidak mengharapkan agar soal Nora dibangkitkan pada waktu ini tetapi apa yang dia boleh buat?
“Betul ke Zaffri ajak Nora ke rumah 15 haribulan ni?”
Dia terdiam seketika. Datang dari mana pula cerita dia yang mengajak Nora? Bukan mak dia ke yang mengajak Nora? Tapi… takkan dia nak membantah pula? Nanti ramai pula yang dapat malu.
“Kenapa pak long? Ada… masalah ke?”
“Tak ada, tak apalah. Mak kamu yang telefon tadi beritahu. Mak kamu juga ajak pak long dan mak long pergi ke sana hari tu,” balas Pak Long Arip.
Dagu Zaffri turun naik perlahan-lahan. Baru dia tahu yang ibunya sudah mula merancang macam-macam di belakangnya. Tidak hairan jika aku akan berdepan dengan pelbagai kejutan lagi selepas ini.
“Ha, yalah. Jemputlah datang, pak long. Pak long pun dah lama tak ke rumah kami,” balasnya semesra yang boleh. Sudah tidak tahu mahu bertindak bagaimana lagi jika pelakon utama adalah ibunya sendiri.
Kedengaran ketawa yang begitu mesra juga di hujung telefon. “Insya-Allah… mak long kamu dah tak sabar-sabar nak ke sana ni.”
Dia terangguk-angguk walau tidak ada sesiapapun yang nampak. “Sampaikan salam saya pada mak long ya. Sedap bubur kacang yang mak long buat hari tu.”
“Kalau suka, suruh saja Nora tu masakkan di rumah kamu hari tu. Apa yang mak long kamu tahu masak, semua Nora tu tahu,” balas Pak Long Arip pula.
“Yalah, yalah….” Zaffri sudah tidak tahu mahu menjawab apa, lagipun telefon di atas mejanya sudah menjerit-jerit minta diangkat pula. Mujur Pak Long Arip seakan mengerti, perbualan itu terhenti setakat itu sahaja.
“Ya, Suzana?” katanya sebaik sahaja memegang ganggang telefon.
“Petang ni Encik Zaffri free tak?” Suara Suzana yang serak-serak basah menerpa ke gegendang telinganya.
“Petang ni? Kenapa?”
“Saya nak ajak Encik Zaffri minum. Boleh?”
Minum? Dengan Suzana? Spontan dia berasa berat hati.
“Bolehlah, Encik Zaffri. Saya ada hal sikit nak cakap ni,” tambah Suzana.
“Di mana?” Akhirnya dia mengalah. Kalau tidak dilayan mungkin sampai pukul 7.00 malam kerja-kerjanya belum dapatdisiapkan.
“KFC Ayer Keroh? Bila saya sampai, saya call.”
“Okey….” Itu sahaja jawapannya. Sambil mengerling ganggang telefon yang diletakkan semula ke tempatnya, dia terfikir-fikir. Apa pula yang ingin dikhabarkan Suzana…. rahsia kilang?

*****
 DUA ketul ayam sudah berada di atas pinggan di hadapannya.  Secawan air Coke juga sudah tersedia di sebelah kanannya. Namun Zaffri belum menyentuh apa-apa. Bau ayam goreng KFC yang tidak asing lagi itu pun belum dapat mengalih fikirannya daripada terus memikirkan soal yang akan dibangkitkan oleh Suzana sebentar lagi. Dia berdebar-debar.
“Ada apa?” Dia terus sahaja bertanya apabila dilihat Suzana sudah agak selesa duduk di situ. Sejak tadi, Suzana yang beria-ia membeli makanan dan menghidangkan untuknya. Dia rileks sahaja di situ.
“Makanlah dulu,” balas Suzana sambil menyimpul senyuman sehingga lesung pipitnya terserlah.
“Cakaplah. Kenapa?”
“Encik Zaffri nak balik cepat ke? Kata tadi free?” Suzana buat muka terkejut. Dia sudah berhenti menyuap.
“Memanglah free tapi kenapa sampai ajak jumpa di sini? Kenapa tak cakap di pejabat saja?”
Suzana ketawa manja. “Encik Zaffri ni kan… tak boleh rileks langsunglah. Kita kan dah lama tak keluar makan atau enjoy macam dulu-dulu?”
Zaffri terdiam. Ya, beberapa tahun dahulu, semasa dia mula-mula masuk kerja di ARBIJA, dia memang selalu keluar dengan Suzana, Aril dan beberapa orang staf ARBIJA yang lain tetapi semenjak ramai yang sudah berkahwin, dia jadi segan untuk keluar seperti dahulu. Bertambah segan, jika hanya dia dan Suzana yang sama-sama boleh keluar, sedangkan yang lain semua sibuk dengan keluarga di hujung minggu.
“Dulu lain, sekarang lain,” balas Zaffri. Ya, masa telah jauh berubah. Tujuh tahun.
“Apa yang lainnya? Encik Zaffri bujang, saya pun bujang. Lainlah kalau dah ada orang yang marah.” Suzana menjeling sekilas.
“Anak-anak awak siapa jaga? Tak apa ke awak balik lambat ni?” Sengaja Zaffri membangkitkan soal itu. Dia tidak selesa apabila Suzana cuba menghimpit soal peribadinya.
Suzana tersenyum panjang. “Anak-anak saya ada di rumah mak saya. Selepas makan ni, saya akan balik ke sana.”
“Patutlah happy saja. Tapi kenapa awak nak jumpa saya?” Zaffri masih belum berasa senang hati untuk membuang masa di situ. Jika tidak ada apa-apa yang penting, lebih baik dia balik sahaja ke rumah, mandi dan berehat. Ataupun singgah di Moon Kopitiam, mungkin boleh terserempak dengan Marlina.
Kali ini Suzana diam. Dia termenung, seolah segala-galanya telah berhenti di alam fikirannya. Dia hanya tunduk merenung ayam goreng.
“Encik Zaffri ingat tak soalan saya dulu?”  Suzana angkat muka pula lalu merenung wajah Zaffri.
“Soalan?” Puas Zaffri cuba mengingatkan soalan yang dimaksudkan oleh Suzana namun satu pun tidak lekat di fikirannya. Lalu dia hanya menanti Suzana membuka mulut. Itu lebih senang.
Suzana angguk. “Mungkin Encik Zaffri dah lupa agaknya. Ingat tak… sewaktu kita keluar makan ikan bakar ramai-ramai di restoran terapung?”
“Sudah dekat dua tahun.” Zaffri mula mengingati sesuatu. Ya, kenangan lama. Kenangan yang hanya kenangan tetapi tidak meninggalkan apa-apa kesan di hatinya. Kenapa pula hal itu dibangkitkan? Dia hairan.
“Ya, sudah dekat dua tahun,” kata Suzana pula. “Tapi Encik Zaffri tak pernah jawab soalan saya tu.”
Zaffri tergamam. Soalan? Soalan yang hanya dianggapnya gurauan sesama kawan? Adakah Suzana benar-benar serius mahu dia menjawab soalan itu? Ingatannya segera berputar ke belakang.
“Encik Zaffri tak terfikir ke nak kahwin?” tanya Suzana pada waktu itu. Kebetulan kawan-kawan yang lain sedang sibuk memilih ikan dan kerang untuk dibakar. Dia pula mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di tepi laut.
Dia tersenyum. Soalan Suzana itu dianggap sangat comel. Seperti soalan daripada seorang budak kecil. “Tak ada orang yang nak kahwin dengan saya,” jawabnya main-main.
“Kalau ada?”
“Saya kahwinlah,” balasnya main-main lagi.
“Kalau saya nak kahwin dengan Encik Zaffri?”
Dia ketawa besar. Suzana pun ikut ketawa. Lantas soalan itu tidak pernah dijawabnya sampailah ke hari ini.
“Dah dua tahun. Encik Zaffri masih juga bujang.”
Kata-kata Suzana menghentikan kenangan yang sedang berputar. Matanya membulat merenung wajah Suzana yang juga memandangnya dengan penuh makna.
“Jadi?” Dia bertanya. “Awak masih menunggu jawapan saya?”
“Saya bukan main-main. Sudah dua tahun saya menunggu.”
“Kenapa sekarang awak mahukan jawapannya?”
“Sebab keadaan sudah berubah.”
“Apa yang berubah?”
“Kilang kita….” Suzana terdiam. Dia menundukkan semula mukanya. “Datuk ada offer saya.”
Mata Zaffri terkebil-kebil. Fikirannya masih sibuk menganalisa setiap jawapan yang diberikan oleh Suzana namun baris ayat terakhir Suzana itu membuat dia terkejut.
“Datuk offer? Datuk offer apa?”
Suzana angkat muka dan terus sahaja merenungnya. “Datuk ajak kahwin.”
Zaffri terkedu seketika. Hilang segala kata-kata untuk diluahkan. Datuk Ramli ajak Suzana kahwin? Apa salahnya? Datuk pun sudah lama membujang setelah isterinya meninggal. Suzana pula janda.
“Eloklah. Bila?”
Dahi Suzana berkerut. Renungannya bertambah tajam.
Darahnya terasa menderu naik ke muka. Baru Zaffri tersedar sesuatu. “Awak… awak… tunggu saya?”
Bibir Suzana tetap terkatup rapat, hanya matanya yang terkebil-kebil memandang Zaffri seolah-olah mahu mengesahkan apa yang ada dalam fikiran Zaffri.
“Suzana… saya… saya rasa lebih baik awak terima Datuk. Hidup awak dan anak-anak awak akan lebih terjamin.” Sungguh berat untuk dia melafazkan kata-kata itu namun dia terpaksa dengan harapan agar Suzana juga faham apa yang cuba disampaikannya.
“Sebab saya dah tua? Sebab saya janda? Ada anak?” 
Zaffri tergamam sesaat. Laju matanya berkelip. Dia dapat merasakan aura kemarahan Suzana terpantul ke wajahnya lalu menyebabkan kulit mukanya sedikit panas. Perlahan-lahan hatinya mula berasa gusar. Kenapa dengan tiba-tiba sahaja hari itu, dia dihujani masalah yang tidak disangka-sangka? Tadi Pak Long Arip, sekarang Suzana pula. Ayam goreng KFC di hadapannya terus hilang bau.
“Suzana… antara kita tak pernah ada apa-apa. Macam mana boleh….” Zaffri sendiri malu mahu menyebutnya. Sememangnya dia tidak pernah meletakkan Suzana di tempat yang istimewa dalam hidupnya. Baginya, Suzana hanyalah rakan sekerja yang sedikit akrab. Tidak tahu pula dia, jika selama ini Suzana menyimpan angan-anga yang terlalu tinggi.
“Patutlah Encik Zaffri ni tak kahwin-kawin. Encik Zaffri ni kolot,” balas Suzana. Kini wajahnya kembali tenang. Dia bagaikana sudah pasrah dengan jawapan yang diberikan oleh Zaffri tadi.
“Kolot?”
“Ya, kolot.”
Zaffri diam pula. Dia seorang yang berfikiran kolot? Itu pandangan Suzana terhadap dirinya kerana dia tidak mahu menerima Suzana? Apa pula pandangan Pak Long Arip apabila dia tidak mahu berkahwin dengan Nora? Bagaimana pula dengan pandangan Merlina? Kolot juga?
“Apa kaitan kolot dengan kahwin?”
“Dari pertanyaan Encik Zaffri tadi lagi, dah menunjukkan yang Encik Zaffri seorang yang sangat kolot. Percaya pada cinta dan perkahwinan.”
“Awak tak percaya?”
“Dulu ya, sekarang tak,” jawab Suzana.
Zaffri tidak menyalahkan Suzana kerana tidak lagi mempercayai kuasa cinta. Pengalaman hidupnya tentu sahaja telah membunuh kepercayaan itu.
“Bercinta bagai nak rak… lepas dapat anak ke tiga, cinta ke mana, tanggung jawab ke mana.” Suzana menggeleng. “Apa gunanya cinta sebelum kahwin, Encik Zaffri? Yang pentingnya cinta selepas kahwin. Kalau gagal dipupuk cinta selepas berumah tangga, perkahwinan akan hancur lebur juga.”
“Bolehkah cinta itu dipupuk selepas berkahwin jika tak pernah kenal… tak pernah ada perasaan?” tanya Zaffri sejujur-jujurnya. Di kepalanya mula terbayang wajah Nora. Bagaimanalah rupanya jika dia berkahwin dengan Nora agaknya….
“Kita dah 7 tahun kenal, Encik Zaffri. Semua warna baju kemeja Encik Zaffri pun saya dah hafal. Ada 7 helai saja, kan?” Suzana pandang Zaffri betul-betul kemudian melirik ke arah kemeja yang dipakai Zaffri hari itu. Warna merah muda yang sangat cair.
Zaffri rasa ingin menjerit. Makin lama, dia makin sedar bahawa harapan Suzana yang tinggi menggunung itu perlu dicantas secepat mungkin. Mungkin segala kebaikan dan kemesraan yang ditunjukkan selama ini telah menimbulkan salah sangka.
“Suzana… antara saya dan Datuk, lebih baik awak pilih Datuk.” Dia mengucapkan kata-kata itu perlahan-lahan tetapi jelas. Dia tidak mahu Suzana bertempik atau jadi gila pula di tempat awam begitu.
Air muka Suzana berubah perlahan-lahan. Beberapa saat dia terdiam. “Tak ada bezanya di antara Encik Zaffri dan Datuk. Kenapa saya harus….”
“Sebab saya bukan Datuk. Datuk kaya, banyak harta. Masa depan awak dan anak-anak awak lebih terjamin. Sedangkan saya, hanya pekerja yang makan gaji. Itu pun mungkin menganggur tak lama lagi,” Zaffri terus mencelah. “Lagipun, saya tak mahu dengar orang kata awak bodoh sebab memilih saya dan saya juga tak mahu dengar awak kata awak bodoh selepas kita berkahwin 10 tahun kemudian kerana awak telah sedar bahawa pilihan awak hari ni adalah salah.”
Senyap. Suzana hanya tersenyum pahit.
“Awak lebih banyak makan asam garam rumah tangga daripada saya. Awak tentu boleh fikir betul-betul soal ni. Awak sendiri kata cinta selepas kahwin tu lebih penting,” tambah Zaffri lagi.
“Saya cuma… bertanya,” balas Suzana. “Manalah tahu kalau….”
“Awak boleh maafkan saya?” tanya Zaffri pula. Dia tahu Suzana masih bergelut dengan perasaannya sendiri.
Suzana angguk. Sambil tunduk dan mencubit sedikit daging ayam goreng di pinggannya dia berkata, “Dah orang tak nak kita, kita… nak buat macam mana lagi?”
“Saya nak apa yang terbaik untuk awak dan anak-anak awak. Itu tanda saya tak pentingkan diri saya sendiri,” jawab Zaffri. Suzana sedang merajuk, dia tahu. Dia sendiri tidak mahu mencari musuh atau mencipta dendam yang tidak perlu.
“Encik Zaffri dah ada girlfriend , kan?” Suzana pandang Zaffri lama-lama.
Zaffri tersenyum. Itu sahaja yang dia boleh buat sekarang, itupun sudah cukup membuatkan hatinya berbunga-bunga. Namun dia juga lega kerana Suzana dapat menerima penolakannya dengan baik tanpa perlu memaki hamunnya di situ. Dia tidak mahu masalah lagi, cukuplah dengan apa yang sedia ada.

*PENGUMUMAN: Selepas ini cerita ini akan dihentikan siarannya buat sementara waktu.

2 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.