Bab 25
KIRA-KIRA sejam
selepas itu, Damien berada pula di dapur. Itu pun kerana terpaksa menemani
Maisara turun untuk makan di situ. Maisara takut untuk turun ke bawah
bersendirian.
“Boleh… aku
tanya?” kata Maisara sambil menyuap nasi goreng yang telah dibeli Anis tadi.
Damien angguk.
Fikirannya masih tertumpu kepada apa yang baru berlaku tadi. Dia tidak faham
apa yang sedang berlaku kepada Anis.
“Apa kenanya
dengan Anis tadi tu?” Baru sekarang Maisara berani bertanya.
“Entahlah,”
balas Damien. Dia sendiri tidak tahu apa yang patut dijawabnya.
“Sebelum ni,
pernah ke dia macam tu?”
Damien segera
menggeleng. Sejak dia mengenali Anis, belum pernah dilihatnya Anis bersikap
begitu.
“Macam orang
kena rasuk saja,” sambung Maisara separuh berbisik.
Damien melirik
ke arah Maisara. Walaupun Maisara nampak tenang, namun dia percaya sepupunya
masih ketakutan.
“Kau jangan
heboh pula kat luar,” katanya.
Maisara berhenti
menyuap. Dia memandang ke arah Damien. “Kenapa kau cakap macam tu pula?”
“Yalah. Nanti
balik KL, pada semua orang kau nak ceritakan hal tadi.”
Maisara diam.
Secepat yang boleh dia cuba menghabiskan nasi goreng itu. Dia tersinggung
dengan tuduhan Damien.
“Kalau aku
dengar cerita ni tersebar di luar….”
Maisara bingkas
bangun dan menolak kerusi. Setelah membuang bungkusan makanan ke dalam tong
sampah, dia segera meninggalkan dapur tanpa mempedulikan Damien lagi.
Damien melihat
sahaja tingkah laku Maisara. Dia tahu sepupunya sedang merajuk dengan
kata-katanya. Dia tidak peduli, dia hanya memikirkan soal Anis. Dengan itu, dia
memadamkan lampu dan naik ke biliknya semula.
******
BEBERAPA
jam kemudian, Damien tersengguk. Al-Qur’an kecil dalam pegangannya hampir
terlorot ke atas tilam. Dia bingkas membetulkan duduk lalu menggosok matanya
yang pedih beberapa kali. Ternyata, rasa mengantuknya hampir menguasai diri.
Anis yang tidur membelakangkan dia,
dijenguk perlahan-lahan. Lega hatinya apabila mendapati Anis masih tidur
nyenyak bagaikan tidak ada apa-apa yang pernah berlaku di situ. Wajah Anis juga
tampak begitu tenang sekali.
Setelah separuh malam, dia duduk
mengaji dan bersolat sunat kini terasa batang lehernya sengal. Lalu dia
mengambil keputusan untuk merebahkan diri pula kerana dia yakin keadaan Anis
sudah kembali stabil. Baru sahaja dia memejamkan mata, dia terdengar bunyi
pintu biliknya dibuka.
Apa yang dilihatnya, membuat dia
termangu seketika. Pintu bilik yang tertutup rapat tadi kini benar-benar
terbuka lebar. Namun dia menolak ke tepi perasaan yang bukan-bukan. Tanpa
berlengah, dia meninggalkan katil dan mahu menutupnya. Namun belum sempat daun
pintu dirapatkan, telinganya menangkap bunyi petikan piano yang lembut. Untuk
beberapa saat, dia termangu dan menunggu. Betulkah apa yang dia dengar? Ataukah
mungkin hanyalah bunyi angin yang bertiup?
Petikan piano terus kedengaran,
mengalunkan irama yang tidak asing lagi di pendengarannya. Dia kenal irama itu,
dia tahu lagu itu. Tetapi siapakah yang memetik piano di tingkat bawah? Dengan
perasaan ingin tahu yang membuak-buak, dia melangkah ke arah tangga. Di situ
petikan piano kedengaran lebih kuat dan jelas.
Satu demi satu anak tangga dipijak.
Damien turun ke tingkat bawah dengan berhati-hati. Mungkinkah ada penceroboh?
Namun perasaannya berubah lega apabila mendapati orang yang sedang memetik
piano itu adalah Maya.
“Maya?” Dia seperti tidak percaya
dengan apa yang dilihatnya sekarang.
“Tuan terjaga ke? Maafkan saya.”
Maya kelam kabut bangun menjauhi piano.
“Awak buat apa di sini? Bukan ke
awak dah balik tadi?”
“Saya datang semula malam tadi.
Sebab dah malam, saya ingat nak tidur saja di sini. Saya harap tuan tak marah.”
Damien diam. Sesungguhnya dia tidak
marah jika Maya bermalam di situ, dia cuma terkejut kerana tidak diberitahu
mengenai itu.
“Lain
kali beritahulah kalau ada apa-apa. Saya dah berikan awak nombor telefon saya,
kan?”
Maya
angguk.“Saya masuk tidur dulu, tuan,” katanya sebelum mula melangkah pergi.
“Tunggu
dulu!”
Langkah
Maya terhenti, dia menoleh ke arah Damien.
“Ada
apa, tuan?”
“Dari
mana awak belajar main piano macam tu?”
Maya
tidak terus menjawab. Dia termenung seketika. “Dari kekasih saya. Dia pandai
main piano. Dia suka mainkan lagu tu untuk saya. Dia yang ajar saya main piano
tapi saya hanya mahu belajar main lagu tu saja.”
“Di
mana dia sekarang?”
Maya
angkat bahu.
Jawapan
Maya mengejutkan Damien. Dia memandang wajah sugul itu lama-lama. “Awak dah berpisah dengan dia?”
“Dipisahkan,”
balas Maya dengan senyum pahit.
Damien
terdiam seketika. Wajah sugul Maya itu menunjukkan Maya sedang bersedih dan dia
tidaklah berhasrat hendak mencungkil kisah sedih itu lebih dalam lagi.
“Saya
pun tahu main lagu tu,” katanya lalu duduk di kerusi dan mula memetik piano
dengan asyiknya. Irama lagu yang sama pun bergema memenuhi ruang tamu Vila
Helena cuma lebih rancak dan keras.
Maya
tersenyum. Matanya tidak berkelip merenung wajah Damien. Dia mendekati piano
dan mendengar dengan asyiknya.
“Pandainya
tuan main… tak ubah seperti kekasih saya juga,” puji Maya setelah Damien
menamatkan petikan pianonya.
Damien
hanya ketawa kecil mendengar pujian itu.
“Dari
mana tuan belajar lagu tu?”
“Ini
lagu kegemaran ayah saya. Sejak kecil lagi, saya dan abang saya dah diajar
memainkan lagu ni.”
Maya
tersenyum lagi.
“Pergilah
tidur. Dah dekat pukul 4.00 pagi ni.” Damien kerling jam pada dinding. Jelas
pada matanya jarum pendek sudah hampir ke pukul empat. Tubuhnya juga terasa
semakin lesu.
Maya
tidak membantah. Dia mula berpaling pergi.
“Maya,”
panggil Damien lagi.
“Ya,
tuan.” Maya menunggu.
“Saya
nak minta tolong sikit daripada awak.”
Maya
angguk.
“Saya
nak minta awak tolong tengok-tengokkan isteri saya esok. Tolong temankan dia
sebab esok saya ada hal.”
Senyuman
Maya melebar.
“Tak
ada masalah, tuan. Saya akan jaga puan.” Maya kemudian terus melenggang masuk
ke dapur, di mana bilik tidurnya berada.
Kali
ini Damien tidak menahan lagi, dibiarkan sahaja Maya melangkah pergi. Tanpa dia
sedar Maisara menyaksikan segala-galanya dengan rasa hairan.
*****
Sementara
itu di sebuah pondok buruk di pinggir hutan….
ASAP
kemenyan naik berkepul-kepul ke atap rumah. Bacaan mentera yang tidak tentu
ulas butirnya mengisi keheningan malam. Seorang perempuan tua duduk bersila
menghadap segala macam jenis barang persembahannya. Dia memanggil sesuatu untuk
bertemu dan berbincang.
Sebilah
keris pendek yang patah hujungnya, digenggam kuat. Diasap kemenyan, dimandikan
dengan darah ayam hutan. Apabila diusap dengan limau muda dan garam bercampur
lada hitam… ada suara yang garau melengking kuat.
“Tak
boleh!”
“Aku
perintahkan engkau lepaskan mereka!” Suara Nek Yam bingkas meningkah penolakan
itu. Diiringi deraman yang terlahir dari kerongkong tuanya. Disusuli lolongan
anjing yang bersahut-sahutan di luar pondoknya.
“Tak
boleh!!!” Suara yang tidak jelas datangnya dari arah mana itu membentak lagi.
“Kau
mahu aku musnahkan kau?” balas Nek Yam sambil menikam sebilah keris yang
dipegangnya ke lantai pondok sekuat hati.
Namun
dibalas oleh hilaian tawa yang nyaring dan garau.
“Kau
takkan mampu memusnahkan aku, orang tua.”
Suara
itu membalas. Serentak dengan itu pondok Nek Yam bergegar hebat bak dipukul
puting beliung. Angin kuat menderu masuk melalui segala lubang yang ada
sehinggakan tubuh Nek Yam terdorong ke belakang menghentam dinding.
“Kau lupa siapa yang memanggil engkau?” Nek
Yam tidak mengalah. Keris di tangannya ditikam pula ke dinding. Dia tahu selagi
keris itu di tangannya, makhluk di hadapannya itu tidak akan berani mendekat.
“Sudah
lama aku tunggu saat ini. Dia hak aku!!!” Suara garau itu terus lagi membentak
bagaikan guruh. Menenggelamkan bunyi ribut yang menyelubungi rumah itu.
“Lepaskan
dia! Dia bukan orang yang engkau mahu.”
“Darahnya
sama. Aku akan tuntut setiap titisan hingga yang ada di dalam tubuh perempuan
itu. Semuanya hak aku!!! Hak aku. Bukankah kita ada perjanjian? Bukankah kau
sudah berjanji akan menuntut bela?”
“Jangan
membunuh lagi. Aku akan cuba tolong kau dapatkan hak kau.” Nek Yam mula merayu.
Walaupun dia tahu makhluk itu bukan mudah dipujuk. Bukan mudah mengikut kata.
“Tidak!!!
Janji tetap janji. Masa yang aku tunggu telah tiba.” Suara garau itu bergema
lagi, disusuli hilaian yang membingitkan.
Nek
Yam memusatkan perhatian ke arah sudut rumahnya yang gelap gelita. Di situ dia
melihat sebentuk tubuh sedang tersedu-sedu. Dia tahu siapa itu.
“Lepaskanlah
dia. Biar dia bersemadi dengan aman,” katanya dengan hati yang tersiksa.
“Lepaskan mereka yang tidak bersalah. Hentikan semua ini.”
“Janji
kita telah dipateri dengan darah dan nyawa. Aku takkan lepaskan mereka. Aku
tuntut hak aku!!!”
Bum!
Pintu terhempas. Pondok Nek Yam bergegar seketika. Ribut berhenti, angin kuat
kini menghilang. Gadis yang menangis di sudut pondoknya turut hilang. Yang
tinggal hanyalah suara tangisan yang bergema dalam kepalanya. Suara tangisan
yang menghantui dirinya kebelakangan ini.
Bersama
deru nafas kehampaan, Nek Yam membetulkan sila. Upacara memanggil sudah
selesai. Keris di tangannya dipandang lama sebelum dibalut kain kuning dan
merah. Asap kemenyan dibiarkan hilang sendiri. Dia tersandar keletihan pada
dinding sambil merenung kegelapan malam. Dia sedar, dia perlu bertindak
menggunakan jalan yang terakhir.
******
HAMPIR sejam kemudian, Nek Yam tiba di luar
pagar Vila Helena. Lama dia memerhati rumah itu dengan teliti. Vila Helena
kelihatan aman damai. Di tingkat bawahnya gelap gelita, hanya di tingkat atas
kelihatan cahaya yang samar-samar menembusi langsir. Tetapi dia yakin, penghuni
rumah itu sedang tidur nyenyak. Waktu itulah yang paling sesuai untuk dia
menjalankan pencariannya.
Parang
yang terselit pada pinggangnya ditarik perlahan lalu ditikam ke tanah. Dia mula
menggali secepat mungkin. Benda itu perlu dicari. Sayangnya setelah habis
kudratnya mengali di sana sini, benda yang dicari itu tetap tidak ditemui.
Akhirnya dia terduduk keletihan di tepi pagar. Kudrat tuanya hanya tinggal
sisa.
“Kau
cuba menentang aku!” Dia terdengar suara yang berbisik sewaktu dia hampir terlelap
di situ.
Dia
bingkas bangkit dalam kepayahan dan kelelahan.
“Jangan
datang lagi ke sini! Kalau tidak…”
Dia
hanya dapat merenung gelap malam yang tidak berpenghujung. Walaupun suara tanpa
jasad, dia tahu siapa yang menghalaunya pergi dari situ.
“Aku
akan tetap datang selagi nyawa aku ada,” balasnya geram.
“Kau
cuba bermusuh?”
“Kau
yang tidak memberikan aku pilihan.”
Suara
itu ketawa lantang, serentak itu juga angin dari laut menderu laju menghempas
tubuh Nek Yam. Nek Yam terguling ke tepi jalan.
“Kau
sudah terlambat. Mereka sudah berada dalam genggaman aku.”
“Kau
makhluk yang penuh tipu muslihat, aku tak percaya,” balas Nek Yam dengan nafas
yang tercungap-cungap.
“Jadi
kau mesti mati!”
Serentak
dengan itu Nek Yam terasa kerongkongnya sempit, dadanya makin lama makin
terhimpit. Dia makin rebah ke tanah. Dan kudratnya kian lama kian habis.
Apabila terasa nyawanya sudah sampai ke pangkal leher, terdengar suara azan
sayup-sayup di bawa angin. Air matanya menitik ke bumi.
Serentak
dengan itu, bebayang hitam yang menyelubungi tubuhnya mula hilang. Angin
kembali tenang. Suasana Subuh mula hening. Dengan perlahan-lahan, dia mengheret
tubuh tuanya bangkit semula. Dia berikrar mulai saat itu, dia akan berbuat
sesuatu yang betul di hujung usianya. Semua itu perlu ditamatkan dan dia berdoa
untuk pertama kalinya, agar penghuni vila itu masih sempat diselamatkan.
**********************************
Makluman
PERCAYALAH SAYANG hanya disiarkan setakat ini di blog. Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pembaca yang telah membaca cerita ini dengan sabar.
Doakan semoga manuskrip ini dapat diterbitkan secepat mungkin.
Kisah ini masih panjang, di mana nanti semua misteri yang menyelubungi Vila Helena, Maya, Nek Yam dan Hanna akan dibongkar. Masih banyak cerita dan masih banyak kejutan yang menunggu.
Selepas ini, sebuah cerita baharu akan menggantikan tempat Percayalah Sayang,
iaitu Andai Datang Cinta.
Andai Datang Cinta, mengisahkan tentang 3 orang gadis yang bernama Emillia, Jazz dan Shereen yang pernah dihantar ke sebuah rumah pemulihan akhlak yang dipanggil Rumah Putih.
Apakah misterinya? Sama-sama kita tunggu.
Semoga anda semua masih sudi membaca cerita saya lagi. Terima kasih banyak-banyak.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.