Bab 4
SEBUAH
beg pakaian kecil berjenama Dolce and Gabbana terletak elok di atas katil. Beg
berwarna emas metalik itu sudah dipenuhi dengan pakaiannya dan Damien untuk
tinggal di Melaka selama tiga hari. Beg yang langsung tidak menarik pada
pandangan matanya namun bukan itu yang membuatkan Anis termenung di situ.
“Dah
siap?”
“Tunggu
abang masak air, kemudian sejukkan air, tentulah sempat siap,” balas Anis. Puas
hatinya kerana dapat memerli suaminya. Tadi kata turun minum air sekejap, ini
sudah hampir sejam pula. Hingga dia sudah siap berkemas.
Damien
tersengih.
“Abang
rasa kita kena pakai beg lebih besar.”
Anis
mengerutkan dahi. Beg lebih besar? Nak isi apa agaknya?
“Abang
dah dapat cuti dua minggu. Bolehlah kita tinggal di sana lama sikit.”
“Dua
minggu?” Anis hampir menjerit. Kenapa bunyinya seperti tidak masuk akal sahaja?
Selalunya Damien susah sangat dapat cuti walaupun bekerja dengan syarikat
keluarga sendiri. Ini sampai dua minggu pula? “Abang ambil cuti tanpa gaji ke?
Tak payahlah sampai macam tu.”
“Abah
yang beri cuti. Dia suruh kita duduk sana sampai puas.”
“Abah
dah tak suka Anis tinggal di sini ya?” tanya Anis pula. Hatinya mula terusik.
Sejak dia menjadi menantu di rumah itu, belum pernah dia meninggalkan rumah
selama itu. Pergi berbulan madu pun hanya seminggu. Itu pun di Pulau Langkawi
sahaja. “Abah dah bosan lihat muka Anis ke?”
Damien
menggeleng.
“Anis
kan suka tengok laut? Abah cuma mahu abang temankan Anis tengok laut
sepuas-puasnya.”
Ya
ke? Tanya Anis dalam hati. Mungkin Damien tidak berkata benar tetapi tidak
nampak pula Damien berbohong.
“Kalau
Anis tak suka tinggal di situ macam mana?”
“Abang
akan buat sampai Anis suka.”
“Kalau
Anis tak suka juga?”
Damien
garu kepala. Dia seolah-olah tidak tahu mahu menjawab apa lagi.
Anis
tersenyum melihat gelagat suaminya. Dalam keadaan seperti itu, dia merasakan
sangat dimanjakan. Apa sahaja yang dia mahu, seboleh-bolehnya akan ditunaikan
oleh Damien.
“Anis gurau sajalah. Tapi boleh tak abang
berjanji dengan Anis satu perkara?”
Kening
Damien terangkat tinggi. Dia hanya memandang Anis tanpa suara.
Tangan
Anis segera menyentuh tangan Damien. Digenggam erat-erat sepenuh jiwa raganya
sambil melirik ke arah tangan mereka berdua yang sedang bertaut mesra.
“Anis
cuma nak abang janji pada Anis… kalau Anis tak suka tinggal di situ, kalau Anis
mahu balik ke sini… abang mesti bawa Anis balik bila-bila masa yang Anis nak.”
Itu
sahaja yang dia mahukan. Bukan intan berlian, bukan juga emas permata. Dia
hanya inginkan rasa selamat. Rasa yang hanya boleh dirasai di rumah itu, di
bilik itu. Dia mahu Damien berjanji supaya jika ada apa-apa berlaku di sana,
dia boleh kembali ke situ pada bila-bila masa yang dia mahu. Hanya dengan itu
dia akan berani melangkah keluar dari rumah itu.
“Abang
janji,” kata Damien.
Anis
tersenyum. Zip beg Dolce and Gabbana di sebelahnya ditarik semula. Baju-baju di
dalamnya dikeluarkan dan disusun semula di atas katil.
“Abang
patut beli beg yang lebih cantik sikit. Tak maco pakai beg berkilat macam ni,
macam perempuan….” Dia mula membebel sambil memandang beg yang menyakitkan
matanya sejak tadi.
Damien
ketawa sahaja. Sebuah beg pakaian yang lebih besar dikeluarkan daripada almari.
Sambil mengheret beg itu ke arah Anis dia bertanya, “Besar ni cukup?”
******
MALAM
itu, di meja makan, ketiga-tiganya tidak seriuh selalu. Masing-masing tunduk
memandang nasi bagaikan itu makan malam terakhir buat mereka bertiga di rumah
itu. Tan Sri Dzairil menyuap dengan perlahan. Damien pula tidak mengangkat
muka. Anis yang duduk di kerusi yang bertentangan dengan suaminya juga hanya
diam membisu.
“Tak
apa ke kami tinggalkan abah lama-lama ni?” Akhirnya dia bersuara.
Rasanya
wajar jika dia bertanya sendiri kepada ayah mertuanya apa yang merisaukan
hatinya. Jika ditanyakan kepada Damien, mungkin tidak semuanya benar-benar
lahir dari hati lelaki itu. Ada saja alasannya.
“Mak
Bija, kan ada? Pak Din ada. Khairul ada,” jawab Tan Sri Dzairil sambil
tersenyum. “Apa yang nak dirisaukan?”
Hati
Anis tidak tercuit pun dengan jawapan itu. Walaupun lebih daripada itu wujud di
situ namun belum tentu wujud di hati ayah mertuanya. Dia faham sangat. Jawapan
itu sekadar mahu meyedapkan hati dia.
“Lebih
baik kalau abah ikut sama. Abah pun dah lama tak bercuti,” katanya pula. Dia
juga tahu ayah mertuanya tidak mahu mengaku kalah. Tidak mahu mengaku yang hati
tuanya akan rasa sunyi tanpa dia dan Damien.
“Kerja
di ofis banyak.”
“Kalau
kerja banyak, buat apa benarkan abang tu cuti? Kan dah menyusahkan abah pula?”
Cepat sahaja dia menjawab.
Jika
betul itu alasannya, dia rasa sangat bersalah. Kerana menemankan dia, Damien
terpaksa bercuti dan membebankan kerja di bahu ayah mertuanya pula.
“Anis
pergi sajalah. Abah rasa Anis tentu suka tempat tu. Ada laut. Ada tempat
memancing. Medan ikan bakar pun tak jauh dari situ.”
Anis
tersenyum nipis. Pandai sungguh ayah mertuanya menukar topik perbincangan. Lain
yang ditanya, lain yang dijawab. Namun belum cukup untuk membuat dia berasa
lega meninggalkan ayah mertuanya tinggal berseorangan di rumah itu selama dua
minggu.
“Anis
risau,” katanya terus-terang sahaja. “Abah tinggal sorang. Lagipun kerja di
pejabat banyak.”
“Jangan
risaulah. Apa gunanya Maisara tu kalau tak boleh diharapkan?” balas Tan Sri
Dzairil lagi. “Pada masa nilah, dia patut tunjuk skil.”
Mendengar
nama Maisara disebut, Anis langsung terdiam. Semena-mena terasa hatinya sakit
semula.
Kemuraman
wajah Anis disedari Tan Sri Dzairil. Lalu dengan segera dia berkata, “Anis
pergi dulu… kalau ada masa lapang abah pergi sana.”
“Betul
ni?” Anis tersenyum tawar. Terdetik di hatinya jika kata-kata yang dilontarkan
oleh ayah mertuanya hanyalah tidak lebih dari penyejuk jiwa.
Tan
Sri Dzairil angguk dengan penuh yakin.
“Tapi
kalau nak ditunggu masa lapang, sempatlah Anis balik ke sini pula nanti,” balas
Anis dengan selamba. Dia menyuap nasi perlahan-lahan. Tidak dihiraukan
pandangan tajam yang dilemparkan oleh Damien kepadanya.
“Abah
janji… abah akan jenguk Anis nanti,” kata Tan Sri Dzairil lagi.
“Ha…
abah dah janji tau... jangan buat lupa-lupa pula.” Anis pandang wajah ayah
mertuanya betul-betul. Dia hanya mahukan kejujuran.
“Hujung
minggu depan abah pergi sana. Macam mana?” Tan Sri Dzairil membalas renungan
Anis.
“Anis
pegang janji abah,” katanya penuh makna.
Tan Sri Dzairil dan Damien saling
berpandangan.
Suasana
sudah berubah, meja makan itu tidak lagi sesunyi tadi. Namun begitu hati Anis
tidak pasti, adakah kegembiraan yang dipamerkan Damien dan ayah mertuanya itu
ikhlas atau hanyalah sebuah sandiwara. Namun dia tahu, dia sendiri rasa
terpaksa. Banyak hati lain yang terpaksa difikirkan juga selain hatinya.
*****
Di
Flat Seri Mastura…
TANGISAN
seorang bayi lelaki lantang kedengaran di rumah itu. Tangan dan kakinya
terkapai-kapai menggapai angin. Kulit mukanya yang putih gebu mula berbintik
merah.
“Daniel...,”
panggil Maria.
Anak
kecil itu diangkat dan didukungnya. Tangisan bayi itu makin reda namun dia tahu
pasti ada yang tidak kena sehingga menyebabkan Daniel menangis.
“Abang
cepatlah sikit! Daniel dah lapar ni.” Maria melaung suaminya yang sedang
membancuh susu di dapur.
Sementara
itu dia cuba mengagah-agah Daniel yang masih mencebik. Dia tersenyum. Bahagia
sungguh jiwanya dengan kehadiran Daniel dalam hidupnya.
“Nah!”
Joe menghulurkan botol susu sebelum duduk di sisi Maria dan mematikan suis
televisyen.
Ruang
tamu rumah itu pun terus menjadi senyap. Dia dan Maria sama-sama memerhati
Daniel yang sedang enak menyusu di pangkuan Maria.
“Siang
tadi Anis telefon,” kata Maria.
Padanya
itulah saat yang sesuai untuk memberitahu hal itu kepada Joe. Selagi perkara
itu tidak disampaikan kepada Joe, ia seolah-olah sentiasa terbuku di hatinya.
“Dia
dah sihat ke?” Joe pandang Maria sambil jarinya mencuit pipi Daniel yang gebu.
Maria
tunduk memandang Daniel di pangkuannya. Mata Daniel yang berusia hampir empat
bulan itu pejam celik, sesekali mula kuyu. Dia yakin Daniel akan lelap sekejap
lagi oleh itu dia tidak patut bercakap kuat.
“Entahlah,”
jawabnya.
“Apa
yang Maria nak cakap dengan abang sebenarnya?” tanya Joe pula.
“Anis
nak ke Melaka esok,” jawab Maria.
“Buat
apa? Temankan Damien mesyuarat ke?’
Maria
menggeleng pula. “Tengok rumah.”
Dahi
Joe berkerut. Dia menyusun sila baik-baik. “Tengok rumah? Eh? Mereka beli rumah
di sana ke?”
“Bukan
beli. Tapi Tan Sri yang belikan untuk Anis.”
“Rugi
Maria tak mengorat Damien dulu, kan? Kalau tak… dah dapat rumah besar. Ni jatuh
cinta kat abang… dapatlah rumah flat besar ni.”
“Abang
nak tidur atas lantai ke malam ni?” balas Maria sambil menarik muka.
Joe
tersengih. Dia tahu Maria bukan begitu. Malah cinta Anis pada Damien juga cinta
yang tulus ikhlas, bukan disebabkan harta. Dia sekadar bergurau.
“Tapi
kan… kenapa Maria macam tak suka saja?
Cemburu ya?”
“Bila
masa saya tak suka? Dah rezeki dia, saya tumpang gembira cuma…”
“Ha… abang tahu. Maria pun nak ke sana, kan?”
balas Joe. Dia tersenyum nipis.
Melihatkan
suaminya tersenyum, Maria ikut tersenyum juga.
“Kalau
bolehlah. Itu pun Anis kena minta izin Damien dulu.”
“Bagus
juga, kita pun dah lama tak pergi bercuti.” Ada rasa sedih di hujung suara Joe.
Maria
diam sahaja. Dia tahu, dia tidak perlu menyuluh apa yang sudah terang. Memang
hidupnya dan Joe seadanya sahaja seperti hidup orang lain. Malah boleh
dikatakan hidupnya dengan Anis juga sudah jauh berbeza sejak Anis menjadi
menantu Tan Sri Dzairil. Cuma dia bersyukur kerana persahabatannya dengan Anis
dan Damien tidak banyak berubah.
“Maafkan
abang,” kata Joe perlahan tanpa mengangkat muka dari wajah Daniel.
Maria
tergamam. Perlahan-lahan diangkatnya muka lalu merenung wajah Joe di
sebelahnya.
“Kenapa
abang minta maaf pula?”
Joe
menarik nafas pendek lalu melepaskannya laju.
“Yalah…
sejak kita berkahwin, abang tak pernah belikan apa-apa untuk Maria. Rumah ni
pun dihadiahkan orang.”
“Habis
tu? Yang dalam tangan saya ni apa?” Maria angkat sedikit Daniel di pangkuannya.
Dia terkejut malah berasa hiba apabila mendengar kata-kata Joe.
Joe
diam.
“Anak
kita ni, adalah hadiah yang tidak ternilai untuk saya, bang,” kata Maria lagi.
“Saya tak minta apa-apa pun. Selagi abang sentiasa berada di sisi kami berdua,
sempurnalah dunia saya.”
Joe
angguk. Matanya bergenang.
“Kalau
macam tu, tak payahlah kita pergi ke Melaka.” Maria letak botol susu ke atas lantai.
“Eh!
Janganlah macam tu. Kita pergilah.” Joe tergamam pula.
“Dah
tu… kalau abang nak cengeng macam ni dekat sana, lebih baiklah tak payah.
Hairan pula Anis tu nanti,” balas Maria.
Dia
masih terkejut dengan sikap Joe, dia sedar Joe rasa rendah diri jika
dibandingkan dengan Damien. Akan tetapi itu seperti tidak mempercayai kasih
sayang dia.
“Janganlah
merajuk,” pujuk Joe. “Kita pergilah.”
“Tak
malu! Orang belum confirm pun nak
ajak kita lagi ke rumah dia,” balas Maria.
Joe
tersengih. “Kalau orang tu ajak, kita pergilah. Bukan selalu dapat tinggal di
rumah tepi laut. Canggih tu.”
Maria
ikut tersenyum. Dia harap, di sebalik gurauan Joe itu, hati Joe sudah terubat.
“Abang.” Dia memanggil.
Joe
mengangkat muka memandangnya.
“Saya
dah ada semua yang saya nak,” kata Maria sepenuh hati. Dia harap Joe faham.
Joe
angguk sahaja.
*****
MALAM
terus bertambah tua. Suasana di sekitar Flat Seri Mastura bertambah sunyi namun
Maria belum dapat melelapkan mata walau sudah naik ke katil sejak sejam yang
lalu.
“Kenapa
tak tidur lagi?” Suara Joe memecah keheningan itu.
“Macam
mana abang tahu saya tak tidur lagi?” Maria sedikit terkejut mendengar suara
suaminya. Sangkaannya Joe sudah lama melelapkan mata. Adakah fikiran suaminya
juga terganggu?
“Sebab
Maria tak berdengkur.”
“Saya
tidur berdengkur ke, bang?” Maria tumbuk bahu Joe sekuat hati.
Joe
ketawa kecil. “Kalau tak percaya, nanti abang rakamkan ya?”
“Tak
mahulah.” Pipi Maria sudah terasa panas. “Tapi kenapa pula abang tak tidur ni?”
Joe
tidak terus menjawab, sebaliknya hanya mengeluh.
“Bang…,”
panggil Maria. “Boleh saya cakap sikit tak?”
Joe
angguk.
“Apa
kata kalau kita benarkan Anis jaga Daniel buat sementara waktu?” tanyanya
perlahan tanpa berani memandang wajah Joe.
“Boleh
ke Anis tu jaga baby?”
“Kita
kena beri peluang pada dia merasa apa yang kita rasa. Seperti mana mereka
berdua pun tak pernah kedekut dengan kita selama ni.”
Joe
terus angguk. Dia tidak keberatan jika itulah yang dirasakan baik oleh Maria.
“Abang tak ada masalah, cuma….”
“Saya
tahu. Abang mesti fikirkan soal mak abang, kan?” Maria teringatkan ibu
mertuanya, Mak Ani yang tidak boleh berenggang dengan Daniel.
“Haah,
hilang sekejap pun tak boleh. Ni kan pula kalau dia tahu, kita nak tinggalkan
Daniel kepada Anis? Dengarlah dia punya mulut.” Joe tersenyum. Sudah
dibayangkan awal-awal rajuk dan marah ibunya nanti.
“Kita
cubalah pujuk,” balas Maria. Dia pun terfikir soal itu juga.
“Marialah
pujuk. Abang tak larat nak dengar.”
“Yalah,
yalah…” Maria membalas sebelum memejamkan mata. Lega sedikit hatinya kerana
telah menyuarakan hasrat hatinya kepada Joe. Harap-harap Anis memahami niatnya
untuk membantu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.