Bab
7
AROMA
roti boom menyambut langkah Hana yang baru datang dari rumah. Setelah berehat
di rumah separuh hari pada sebelah petangnya, dia ke situ sebaik sahaja selesai
bersolat maghrib. Dia mahu makan sesuatu dan sekaligus menjemput ibunya pulang
setelah kedai ditutup.
Sewaktu
dia tiba, restoran ibunya sudah dipenuhi pelanggan. Dari jauh dia melihat
Badrul dan Abang Mat yang menguruskan bahagian roti canai tidak menang tangan. Hana
cuma melontarkan senyuman dari jauh.
“Dah
solat?” Puan Khalidah menegur sebaik sahaja ternampak wajah Hana. Sepanjang hari dia tidak melihat wajah anak
kesayangannya itu. Namun dari riak muram yang masih terlakar di wajah Hana, dia tahu
bahawa Mr. Teddy belum ditemui lagi.
“Dah,
mak.”
“Petang
tadi, Hana pergi ke rumah kawan Hana tu?” Dia biarkan Hana duduk di sebelah kaunter.
“Belum
lagi. Petang tadi Hana fikir nak pergi, tapi tertidur pula. Boleh Hana pergi
sekejap lagi? Rumah dia bukan jauh sangat. Dekat Taman Laksamana aje.”
“Pergilah.
Tapi bawa Badrul sekali.”
“Tak
payahlah, mak. Bukan Hana tak biasa ke rumah kawan Hana tu.”
“Dah
malam ni. Kalau apa-apa jadi, susah nanti.”
“Jadi
apa pula?”
“Manalah
mak tahu? Kalau nak pergi, jangan pergi sorang-sorang.”
Hana
terdiam. Dia tidak setuju tetapi kalau dibantah akan menimbulkan kesukaran
pula. Sudahlah malam tadi mereka tidur sambil bermasam muka. Kalau berterusan
begitu, tidak seronok pula rasanya.
“Bad!”
Puan Khalidah memanggil Badrul. Setelah Badrul datang mendekat, dia khabarkan
hal itu. “Sekejap lagi, boleh tolong temankan Hana ke rumah kawan dia?”
“Boleh.”
Badrul angguk tanpa memandang ke arah Hana.
Hana
tidak membantah kali ini. Kalau itu akan membuatkan hati ibunya tenang, dia
akan akur.
“APA
HAL?” Abang Mat terus bertanya apabila Badrul balik semula ke tempatnya. Sejak
semalam, dia dapati Puan Khalidah dan Hana agak resah. Kedua-duanya asyik muram
sahaja seperti bermasalah besar.
“Mak
cik suruh temankan Hana ke rumah kawan dia.”
“Eloklah
tu. Pergilah,” balas Abang Mat. Dia faham kenapa Puan Khalidah meminta
pertolongan Badrul.
“Tapi
boleh ke Abang Mat buat kerja sorang-sorang ni?”
“Pergi
ajelah. Tahulah abang nak buat macam mana.”
“Kalau
begitu, okeylah. Mungkin saya terus balik aje selepas tu, bang.”
“Baliklah.
Engkau pun dah kerja dari pagi. Esok kerja pagi lagi.”
Dia
faham, kepenatan Badrul. Dia pernah melalui semua itu suatu ketika dahulu.
Lagipun Badrul selalu ringan tangan. Kalau tidak ada pelanggan yang memesan
roti canai, Badrul dengan rela hati melakukan kerja-kerja yang lain termasuklah
menyapu dan membersihkan longkang di belakang.
Pada
dia, Badrul seorang pemuda yang baik dan pandai bawa diri. Disebabkan itu dia
tidak ada masalah apabila Puan Khalidah meminta bantuan Badrul untuk menemani
Hana. Baginya Badrul boleh diharapkan.
Badrul
berasa lega. Dengan keizinan Abang Mat, dia menyudahkan kerja-kerjanya sebelum
ke belakang untuk membersihkan diri dan menukar baju yang terkena minyak. Dia
sempat menjeling ke arah Hana yang sedang menikmati roti banjir sambil menonton
rancangan berita di televisyen. Dia yakin Hana masih belum menemui Mr. Teddy.
KIRA-KIRA
setengah jam selepas itu, kereta Hana bergerak laju di atas jalan raya. Kali
kedua ditemani Badrul, Hana tidak berasa kekok lagi. Dia juga tidak lupa untuk
memperlahankan bunyi radionya kali ini. Namun fikirannya jauh tertumpu kepada
Wati, rakan sekelasnya yang tidak datang ke kelas siang tadi. Panggilan
telefonnya pun tidak dijawab.
“Dah
jumpa ke belum?” Badrul bertanya walau dalam hati dia yakin dia tahu
jawapannya.
Hana
menggeleng.
Badrul
termenung. Ligat fikirannya mencari akal untuk membantu Hana.
“Abang
dah cari di sekitar kedai. Memang tak ada,” katanya seraya teringat segala
usahanya pagi tadi. Habis segala ceruk restoran digeledah bersama Puan Khalidah.
Sayangnya usaha mereka berdua tetap gagal.
“Memang
tak cicir di kedai. Memang Hana bawa ke kolej semalam.” Hana tidak sangka
sampai begitu sekali usaha Badrul mencari Mr. Teddy. “Tapi, terima kasih.”
Badrul
tersenyum. Dia teringatkan kata-kata yang pernah didengarnya, ‘Hanya hati yang ada
kasih sayang sahaja yang mampu mengucapkan terima kasih’ Hana salah seorang.
“Kenapa
senyum?” tanya Hana. Pelik pula rasanya apabila Badrul tersenyum meleret
begitu.
“Tak
ada apa,” balas Badrul. Segan kerana tertangkap sewaktu sedang memikirkan Hana.
“Ketawakan
Hana lagi ya?” Hana mula rasa kecil hati.
“Tak,”
jawab Badrul. Dia sedar Hana tersinggung semula. “Abang ketawakan hal lain.”
“Hal
apa?”
“Hal…
hal…” Badrul tidak tahu apa yang mahu dijawab. Tidak mungkin mahu dijelaskan
yang dia sedang memikirkan diri Hana.
“Ketawakan
Hana la tu.”
“Tak.
Abang tak ketawakan Hana. Abang teringat hal-hal di kedai tadi.”
Hana
diam. Dia rasa malas mahu memperbesar-besarkan hal itu. Terpulanglah kepada
Badrul sama ada mahu mentertawakan dia ataupun tidak. Dia sudah biasa. Kalaulah
ada seorang lelaki yang memahami hubungannya dengan Mr. Teddy, barulah luar biasa.
“Dekat
sini ke rumah kawan Hana?” Badrul perasan yang kereta Hana sedang memasuki
kawasan perumahan.
“Depan
tu,” balas Hana seraya membelok masuk ke sebuah lorong. Di hadapan sebuah rumah
teres satu tingkat, dia memberhentikan keretanya.
“TUNGGU
sekejap,” pinta Hana. Kalau boleh dia tidak mahu Badrul ikut sekali. Leceh.
“Eh!
Tak apa, biar abang ikut.” Badrul cepat-cepat menanggalkan tali pinggang
keledar. Ke mana pun Hana pergi, dia akan temankan kerana itu amanah Puan
Khalidah.
Melihatkan
Badrul mahu mengikut juga, Hana tidak kuasa untuk membantah, nanti bergaduh
pula. Ikut suka Badrul hendak buat apa, asalkan tidak melambatkan dia. Sebaik
sahaja dia memijak tanah, dia terus disambut oleh salakan anjing di rumah
sebelah. Berderau darahnya.
Badrul
turut terperanjat. Salakan anjing di sebelah rumah kawan Hana begitu
membingitkan telinga. Diikutkan hati mahu juga ditengkingnya tetapi melihatkan
Hana sudah masuk ke halaman rumah, dia segera mengikut.
“Assalamualaikum, Wati!” Hana memberi salam
dengan kuat. Pagar tidak berkunci jadi dia yakin ada orang di rumah walaupun
ruang tamu gelap. Mungkin Wati dan ibunya berada di dapur, fikirnya.
“Wati!”
Tangannya
mengetuk pintu kayu di sebalik jeriji besi. Kelihatan cahaya samar-samar dari
bawah pintu. Hana semakin yakin yang ada orang di rumah. Kalau dapat bercakap
dengan ibu Wati pun sudah cukup.
Krek!!! Pintu itu akhirnya dibuka sedikit.
“Hana…
a… ada apa?”
“Tidur
ke? Puas aku ketuk. Dah merah-merah jari aku tahu tak?” Hana menjawab sambil
ketawa. Lega hatinya apabila Wati yang muncul.
Wati
memandang Hana dan Badrul silih berganti. Wajahnya keresahan. Matanya yang
bulat terkelip-kelip.
“Aku
tidur tadi… er… ada apa kau datang sini Hana?”
Wati
menanyakan soalan yang sama sambil membetul-betulkan rambutnya yang kusut dan
bajunya yang tidak kemas.
Badrul
yang berdiri di belakang Hana, mengalihkan pandangan. Entah kenapa keadaan
kawan Hana yang dipanggil Wati itu membuat perasaannya kurang selesa. Dia
berharap apa yang melintas di fikirannya tidak betul.
“Aku
dah puas telefon kau sejak semalam tapi asyik masuk ke mailbox.”
“Aku
tak perasan pula. Dekat mana aku letak telefon aku pun aku tak ingat,” balas
Wati.
“Entah
apa-apalah kau ni. Dahlah ponteng kuliah, sikit pun tak telefon aku. Kau sakit
ke?”
Wati
cuma tersenyum pahit.
“Aku
datang ni sebab nak cari Mr. Teddy aku. Ada tak tercicir dekat sini tak? Petang
semalam kan aku ada singgah sini sekejap?”
“Mr.
Teddy? Anak patung kau?”
“Haah.”
Hana angguk.
“Tak
ada.” Wati menggeleng.
“Mak
kau mana? Cuba tanya mak kau sekejap.”
“Mak
aku tak ada kat rumah. Dia balik kampung pagi tadi.”
“Cubalah
kau cari sekejap. Mungkin terjatuh kat bawah kerusi ke?” Hana tidak mahu
terlalu cepat mengalah. Itulah harapan terakhir dia.
“Aku
kata tak ada. Tak adalah!” tengking Wati yang masih memegang daun pintu.
Hana
terdiam. Hanya matanya sahaja yang terkelip-kelip. Selama ini Wati tidak pernah
bersikap begitu. Dia terasa malu dengan Badrul. Tanpa berlengah, dia berpaling.
“Wati…cepatlah!”
Langkah
Hana terhenti. Telinganya menangkap satu suara lelaki dari dalam rumah. Dia
menoleh semula ke arah Wati.
Wati
kelihatan serba salah. “Kau balik dulu ya? Kalau aku jumpa…aku pulangkan di kolej.”
“Wati!
Aku macam kenal suara tu!”
Serentak
dengan itu, Wati cuba menutup pintu tetapi dapat ditahan oleh Hana.
“Wati!”
jerit Hana. “Buka pintu ni.”
Badrul
mula panik. Dia tidak faham kenapa Hana bertindak hingga begitu sekali. Tetapi
dia hanya dapat memandang, bimbang kalau-kalau sesuatu terjadi kepada Hana.
Hana
tidak berfikir panjang. Dengan sepenuh tenaga dia menolak daun pintu rumah Wati.
Dia mahukan kebenaran. Akhirnya pintu itu terkuak lebar dan dia hampir
tersembam jatuh. Mujur kakinya dapat mengimbangkan badan. Dia terus meluru ke
ruang tamu.
Wati
mengejar. Begitu juga Badrul yang terpaksa juga masuk ke dalam rumah Wati tanpa
dijemput. Dia lebih risaukan Hana yang seperti lupa diri.
“Amri!”
Hana menengking. Dalam ruang yang hanya disuluh limpahan lampu dapur, dia dapat
mengecam lelaki yang sedang berbaring di hadapan televisyen. Lelaki itu tidak
berbaju dan hanya mengenakan boxer.
Mendengarkan
namanya dipanggil, lelaki itu bingkas duduk dengan wajah cemas. Besar matanya
apabila menyedari ada orang lain di situ selain Wati. Apatah lagi yang telah
memanggilnya itu ialah Hana.
“Hana!
Keluarlah.” Wati menolak bahu Hana.
Bahu
Hana terasa sakit tetapi dia tidak berganjak. Dia memandang Wati dan Amri silih
berganti. Kini dia faham apa yang telah berlaku di situ.
“Kau
pun tahu siapa Amri, kan ?” Dia bertanya kepada Wati.
“Pergi
berambuslah!” Itu pula balasan Wati.
Walau
ditengking begitu, hati Hana tidak lagi terasa sakit. Wati boleh berkata apa
sahaja namun pengkhianatan yang dilakukan oleh Amri dan Wati lebih menyakitkan
hatinya.
“Tunggu
apa lagi? Baliklah!” Wati tolak tubuh Hana sekali lagi.
Badrul
hampir campur tangan.
Mujurlah
Hana mengalah. Tanpa memandang ke arah Amri dan Wati lagi, dia segera menyusun
langkah meninggalkan rumah itu.
“Hana!
Tolong jangan beritahu Dian…” Amri akhirnya bersuara. Wajahnya penuh mengharap.
Namun tiada kekesalan.
Hana
buat tidak tahu sahaja. Kenapa Amri perlu memikirkan soal Dian lagi? Sedangkan
kemurkaan Tuhan, Amri tidak pernah fikir, ini kan pula soal kemarahan manusia?
Sememangnya Amri seorang lelaki yang tidak boleh diharap. Dia benar-benar
berasa kasihan kepada Dian dan marah kepada Amri dan Wati.
Dia
tinggalkan rumah itu dengan hati yang kecewa. Lain yang dia cari, lain yang dia
jumpa.
BEBERAPA
minit telah berlalu. Suasana di dalam kereta Hana masih lagi sunyi sepi. Radio
tidak dipasang seperti selalu. Bunyi yang keluar dari alat penyaman udara
begitu perlahan. Hana pula tidak bersuara. Dada Badrul terasa sesak.
Dia
masih bingung dengan apa yang baru berlaku di rumah Wati. Banyak persoalan yang
ingin ditanyakan namun sayang, Hana masih lagi mengunci mulut.
“Kalau
Hana nak bercerita, abang sudi dengar,” luahnya dengan jujur. Dia mahu Hana
tahu dia ada di situ. Dia bersedia untuk meminjamkan telinga sekiranya itu
dapat menenangkan hati Hana.
“Tak
ada apa yang abang boleh tolong,” balas Hana. Dia tahu Badrul hanya mahu
membantunya. Dia bukan marah kepada Badrul tetapi ada sesuatu yang merisaukan
dia selain soal Mr. Teddy.
“Abang
boleh tolong dengar.”
Pengakuan
Badrul membuatkan Hana menarik nafas. Sememangnya fikirannya amat berserabut sekarang.
Soal Mr. Teddy, soal Dian. Esok lusa entah soal apa pula yang muncul.
“Cakaplah…
kalau tak boleh tolong pun, biar hati Hana lega. Keluarkanlah apa aje yang ada
dalam hati Hana tu. Nak marah abang pun boleh.”
“Hana
tak tahu macam mana nak buat ni.”
Akhirnya
Hana lepaskan juga apa yang berbuku dalam hatinya sejak tadi. Apa yang telah
berlaku menjadikan dia serba salah. Rasanya tidak sanggup dia berdepan dengan Dian
hari esok.
“Siapa
lelaki dalam rumah kawan Hana tadi tu? Kenapa Hana marah dia?” Badrul rasa
itulah masa yang sesuai untuk bertanya.
“Itu,
Amri. Boyfriend kawan baik Hana.”
“Yang
tadi tu?”
“Bukan.
Itu kawan Hana juga. Kawan baik Hana nama Dian. Tu nama Wati.”
“Habis
tu? Kenapa ada dalam rumah Wati pula?” Badrul masih belum faham. Mungkin Amri
dan Wati adik-beradik? Tetapi kalau mereka adik-beradik, tidak mungkin Hana
begitu marah.
“Itulah
masalahnya,” balas Hana.
Dia
harap tidak perlulah dia menerangkan segala-galanya dengan terperinci. Badrul
sendiri sudah melihat keadaan Amri dan Wati. Kalau mereka berdua pencegah
maksiat, sudah tentu Amri dan Wati sudah ditangkap basah.
Badrul
terdiam lama. Kini dia mengerti apa yang membelenggu fikiran Hana. Dia simpati
kerana Hana kini terjerut dek masalah yang tidak diundang itu. Tetapi dia
percaya semua itu aturan Tuhan. Cuma sekarang bagaimana dia dapat membantu
Hana.
“Hana
nak bagitahu Dian?”
Hana
tidak terus menjawab. Dia serba salah. “Nak ke Dian percaya? Dia kenal Amri dah
dekat tiga tahun. Sejak di sekolah lagi.”
“Percaya
atau tak tu terpulanglah kepada Dian sendiri. Tapi kalau Hana tak bagitahu,
abang rasa macam Hana bersubahat pula.” jawab Badrul mengikut akal fikirannya.
“Dan nanti… kalaulah Dian dapat tahu yang Hana tahu tetapi tak bagitahu dia,
abang percaya dia lebih kecewa.”
Segala
kata-kata Badrul seperti berulang-ulang dalam fikirannya. Dia akui kata-kata Badrul itu betul cuma dia tidak ada kekuatan.
“Kalau
Dian tak percaya… Hana akan kehilangan kawan baik,” katanya perlahan. Dia
sayang Dian. Dia yakin Dian akan kecewa apabila diberitahu soal kecurangan
Amri.
“Tapi
kalau Dian tahu yang Hana bersubahat, macam mana? Hana rasa dia akan anggap
Hana kawan baik dia lagi?”
Hana
terdiam. Betul juga.
“Mula-mula
nanti, dia mungkin tak percaya. Tapi abang percaya lama-lama nanti dia akan
tahu juga kebenarannya. Itu lebih baik daripada dia ditipu oleh semua orang,”
sambung Badrul. Dia dapat membayangkan perasaan Hana apabila berdepan dengan Dian.
Kalau boleh dia ingin membantu lebih daripada itu. “Kalau Hana mahu abang jadi
saksi pun boleh. Bawa abang jumpa Dian.”
“Tak
apalah. Biar Hana cakap dengan dia dulu,” jawab Hana. Tidak terfikir pula untuk
dia melibatkan Badrul dalam soal itu.
Jawapan
Hana membuatkan Badrul terdiam. Adakah Hana tidak mahu dia masuk campur ataupun
Hana tidak mahu dia masuk campur kerana keadaan dia yang begitu? Susah sekali
untuk dia menolak rasa rendah dirinya. Akhirnya dia kembali diam. Dia harap
Hana tabah menghadapi apa sahaja yang akan berlaku pagi esok.
“SEKEJAP
lagi sampailah mereka tu, kak,” tegur Abang Mat. Dilihatnya Puan Khalidah asyik
resah di muka pintu kedai.
“Akak
harap adalah anak patung tu di rumah kawan dia. Kalau tak ada juga…”
Puan
Khalidah mengeluh berat. Sesak dadanya melihat Hana seperti tidak keruan sejak
kehilangan Mr. Teddy. Tidur tidak seberapa. Makan tidak sebanyak mana. Muka
pula kelat sepanjang masa. Mudah sahaja naik angin tidak tentu punca. Kalaulah
dia tahu semua ini akan berlaku, sudah lama dijauhkan anak patung itu daripada
Hana.
“Kalau
belikan yang lain… dia tak nak ke?” Abang Mata sekadar mencadangkan. Dia
sendiri tahu apa maknanya anak patung itu kepada Hana.
“Tak
mahunya,” balas Puan Khalidah. Dia pasti benar. Tidak ada anak patung yang dapat
menggantikan Mr. Teddy dalam hidup Hana.
“Tak
cuba, tak tahu.”
Puan
Khalidah angguk sahaja. Sekiranya dalam tempoh sebulan Mr. Teddy tidak ditemui,
dia akan beli sebuah lagi anak patung yang sama. Dia akan cuba pujuk Hana.
Sedang termenung jauh, dia ternampak kereta Hana masuk ke kotak parkir.
Jantungnya berdegup laju. Doa dan harapannya untuk melihat senyuman di wajah
Hana berbunga-bunga.
“Jumpa?”
Puan Khalidah terus bertanya walhal air muka Hana tidak membayangkan sedikit
pun harapan.
Hana
menggeleng.
Puan
Khalidah turut berasa kecewa. Sedikit sebanyak dia rasa bersalah kerana tidak
dapat membantu Hana.
“Esok
kita cari lagi ya?”
Itu
sahaja kata-kata semangat yang dapat diberikan. Dia tidak mahu Hana putus
harapan dan kecewa. Dia bimbang semangat Hana akan merundum.
Hana
angguk.
Melihatkan
sikap Hana begitu, kepalanya mula pening. Takkanlah Hana sudah patah semangat? Dia
teringatkan Badrul tetapi Badrul tidak ada di situ.
“Hana
dah hantar Badrul balik ke?”
“Hana
turunkan dekat pasaraya. Dia kata nak beli barang sikit.” Akhirnya Hana
menjawab sebelum kembali khusyuk menghadap televisyen.
Menyedari
Hana tidak mahu berbual panjang, Puan Khalidah mendiamkan diri. Namun esok dia
akan mendapatkan penjelasan daripada Badrul. Mungkin Badrul tahu sesuatu.
Abang
Mat perhatikan sahaja dari jauh. Dia tahu Mr. Teddy belum ditemui.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.