Khas buat pembaca blog ini khususnya yang telah membeli dan membaca SUARA TENGAH MALAM sebelum ini, saya tuliskan sebuah cerpen edisi raya. Jemputlah baca ya.
MALAM
itu Masjid Sultan Ahmad Shah agak penuh dengan jemaah. Malam itu malam ke 27
Ramadan bersamaan dengan malam Jumaat. Malam yang penuh berkat. Antara jemaah
yang hadir memenuhi masjid ialah Adam dan Borhan.
“Malam
ni… kau nak duduk di masjid juga ke?” Borhan bertanya sewaktu menyarung
selipar. Pada waktu itu mereka baru selesai menunaikan solat tarawikh. Jam
hampir ke pukul 10.30 malam.
Adam
sekadar mengangguk. Bagi dia itulah tindakan yang sebaik-baiknya dapat diambil
pada waktu itu. Peluang beriktikaf pada malam-malam terakhir Ramadan begitu
sedikit sebanyak menyuntik kekuatan dalam jiwanya yang sedang rapuh.
“Kita
pergi minum dulu,” ajak Borhan lagi sambil menepuk lembut bahu Adam.
Melihatkan
kesungguhan Borhan, Adam tidak menolak. Dari kawasan masjid mereka beredar
menuju ke Bandar Indera Mahkota mencari restoran buat menghilangkan dahaga dan
melepaskan sedikit lelah.
“Sabarlah,
Adam. Aku percaya satu hari nanti Liyana akan sembuh,” kata Borhan sebaik
sahaja mereka selesai memesan minuman.
“Itulah
doa aku hari-hari.”
Pendek
sahaja jawapan Adam. Sesungguhnya dia tidak berhenti-henti berdoa dan berusaha
agar Liyana sembuh seperti sedia kala dan pulih dari trauma. Namun nampaknya
apa yang telah berlaku selama hampir tiga tahun yang lalu masih meninggalkan
kesan yang mendalam pada jiwa isterinya. Kini hidup mereka bertiga sudah jauh
berubah. Liyana, bukan lagi Liyana yang dahulu. Kebahagiaan yang diharapkan
selepas Liyana pulang ke pangkuannya masih belum kunjung tiba.
“Aku
ada mendengar satu tadabbur dari Ustaz Nouman Ali Khan. Semasa membicarakan
surah Al-Qasas ayat 10 dari Juz 20 yang menceritakan peristiwa semasa ibu Nabi
Musa menghanyutkan Nabi Musa di sungai, bagaimana pada waktu itu Allah swt
menguatkan hati ibu Nabi Musa. Sedangkan pada waktu itu ibu Nabi Musa sudah
terlalu sedih dan hampir mengalah. Ayat itu membuktikan bahawa apa pun
kesedihan, kelukaan dan trauma yang dialami manusia, Allah swt mampu menentukan
dan menyembuhkannya. Jadi kita berdoalah sama-sama. Mana tahu dengan keberkatan
Ramadan tahun ini, Tuhan sembuhkan jiwa dia. Sabar sahajalah. Tuhan tahu bila
waktu yang terbaik.”
Adam
tatap wajah Borhan yang begitu tenang. Apa yang didengar makin membuahkan
harapan. Dia memang mengharapkan perubahan pada diri Liyana demi kebahagiaan
mereka sekeluarga. Apatah lagi demi Aiman yang sangat merindui kasih sayang
seorang ibu.
*****
MENJELANG
tengah malam, Adam sampai ke rumah. Pada waktu itu rumah sudah senyap sepi. Dia
yakin Aiman sudah tidur. Begitu juga dengan pembantu rumah mereka. Yang dia
tidak pasti ialah Liyana.
“Liyana
belum tidur lagi?”
Dia
pandang Liyana yang hanya duduk termenung di atas lantai di tepi katil
bersebelahan tingkap. Di situlah Liyana selalu duduk menghabiskan masa.
Menangis atau termenung. Kadangkala dia mendengar Liyana bercakap sendiri.
Kalau tidak tahan sangat, Liyana akan menjerit dan membaling semua barang yang
sempat dicapai. Kalau itu berlaku, hatinya terasa sangat pilu.
Pertanyaan
Adam tidak dijawab. Sememangnya begitu sikap Liyana setelah dibawa pulang dari
Melaka. Berbulan-bulan di hospital, rawatan dan kaunseling masih tidak berjaya
memulihkan trauma Liyana. Akhirnya Adam membuat keputusan untuk menjaga sendiri
Liyana di rumah dengan harapan, Liyana boleh pulih perlahan-lahan dalam suasana
yang lebih aman. Sayangnya setelah hampir setahun berlalu, keadaan Liyana masih
begitu juga.
Adam
duduk di birai katil. Tanpa sepatah kata, dia merenung wajah Liyana yang murung
dan kusut. Dia selalu tertanya-tanya apa yang telah dialami Liyana selama ini.
Sejauh mana kelukaan hati Liyana dan sejauh mana dia sebagai seorang suami
telah gagal melindungi seorang isteri. Sesungguhnya apa yang berlaku pada jiwa
Liyana lebih melukakan hatinya sendiri. Adakalanya dia berasa sudah tidak
berdaya menghadapi semua itu kalau tidak kerana dia percaya kepada semua
janji-janji Allah swt yang tidak akan membiarkan hamba-hamba-Nya.
“Marilah
tidur. Dah malam ni.” Akhirnya dia bersuara juga. Bagaimanapun situasinya, dia
tetap akan bersabar dan tidak putus asa. Dia tahu dalam waktu begitu, hanya dia
yang sanggup menjaga Liyana. Ibu Liyana sendiri sudah tidak mengaku anak.
“Pergi!”
jerit Liyana dengan semena-mena.
Sedar-sedar
sahaja dahi Adam sudah sakit. Sebotol penyembur ubat nyamuk melantun jatuh ke
lantai lalu bergolek. Adam rasa pening seketika tetapi dia tidak marah. Dia
cuma berharap Liyana tidak mengamuk berpanjangan kerana bimbang menganggu
jiran-jiran yang bersebelahan.
“Pergi!
Jangan dekat aku! Kau pembunuh!” Jeritan Liyana semakin kuat. Dia mula
meronta-ronta dan menendang-nendang lantai.
Kepada yang ingin mendapatkan novel ini boleh menghubungi saya ya. Stok masih ada. Novel ini sudah masuk cetakan kedua.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.