Saturday, April 9, 2011

Teaser CAFE CINTA: Bab 9


Slot bacaan hujung minggu . Cafe Cinta Bab 9 (CHICKLIT)

Anda boleh juga membaca cerita ini di Penulisan2U seminggu sekali.

*Amaran: Cerita ini menggunakan gaya bahasa Chicklit santai.

**************
AKU bukan tak tahu, aku tahu jam Guess GC di tanganku sentiasa cepat 15 minit! Tapi aku tetap rasa yang aku sudah terlambat tiba di pintu hadapan Muzium Negara. Mujurlah bayang Zaki masih belum kelihatan lagi. Sempatlah aku menurunkan kadar degup jantungku yang sentiasa laju sejak ternampak atap muzium tadi.

Sambil tercongok dekat situ seorang diri, aku memerhati sekeliling. Muzium Negara itu agak sunyi. Tak ramai pelawat yang aku lihat kecuali satu kumpulan pelancong yang mungkin datang dari China atau Hong Kong, berdasarkan rupa mereka. Setelah mereka semua berduyun-duyun masuk ke dalam muzium, tinggal aku bersendirian semula. Mungkin kerana hari itu, bukanlah hari hujung minggu, maka pelawat ke tempat yang menghimpunkan pelbagai sejarah itu tak begitu ramai.

Aku lontarkan pandanganku lebih jauh. Jika tak silap aku, tak banyak perkara yang berubah di situ. Bumbungnya tetap sama, corak mural di dindingnya tetap sama. Malah aku fikir, segalanya cuba dikekalkan sebagai satu komitmen terhadap sejarah. Seingat aku juga, papa pernah bercerita, bahawa bangunan itu sememangnya menyimpan sejarah tersendiri apabila sayap kanannya pernah dibom oleh Tentera Bersekutu semasa Perang Dunia II. Jadi, bangunan itu bukan sahaja menyimpan sejarah tetapi juga mempunyai sejarahnya sendiri.

“Fikir apa tu?”

Aku tersentak dan terkaku. Bunyi derap kasutnya, memberitahu aku yang dia sudah ada di belakangku saja. Tiba-tiba saja sekujur tubuhku rasa sejuk, teramat sejuk. Lututku keras dan aku seperti terlupa bagaimana untuk berpaling.

“Dah lama sampai?” Dia senyum sambil pandangan matanya menyeluruhi wajahku dari sebelah kanan.

Dan aku rasa, setiap inci wajahku yang tersentuh oleh pandangan yang lunak itu, mula membahang dari dalam. Serentak itu aku jadi bertambah gugup dan gementar. “Baru aje.”

“Jom makan dulu. Lepas tu, kalau nak masuk dalam, aku boleh temankan.” Zaki tersenyum.

Aku ketawa. Terasa malu pula, mungkin dia perasan yang aku leka memerhati muzium itu sebentar tadi. “Tak naklah.” Aku geleng. Kini aku mampu melangkah semula.

Aku biarkan saja Zaki berjalan dulu, kerana aku masih tak tahu ke mana dia mahu membawa aku makan tengah hari. Dari hadapan muzium, sekarang dia menuruni ke arah tempat letak kereta. Aku fikirkan dia tentunya mahu membawa aku ke mana-mana pula tapi sangkaan aku meleset.

Dia hanya membuka bonet kereta Honda Citynya yang berwarna Alabaster Silver Metallic. Dari bonet keretanya, keluar sebuah bakul yang aku lihat sarat dengan air dan bekas makanan. Wah! Tak sangka, hari itu aku bertuah sekali kerana akan pergi berkelah di tengah panas!

“Jom! Kita makan dekat Lake Garden,” katanya tenang walau dahinya berpeluh akibat dipancar sinar matahari. Maklumlah sudah pukul 1. 15 petang.

Aku tak kata apa-apa. Lake Garden pun Lake Gardenlah, janji aku dapat tahu apa yang dia susah sangat nak cakapkan tadi. Setibanya kami di kawasan Lake Garden, kami berdua menyusuri tasik itu sambil mencari tempat redup yang sesuai. Dan yang pastinya, aku cuba elakkan tempat yang tersorok sangat, risau juga jika nanti tiba-tiba sahaja terpampang gelagat aku di Youtube! Macam mana nak jawab dengan mama dan papa nanti?

Akhirnya nasib menyebelahi kami. Ada kawasan lapang yang redup di bawah sebatang pokok besar. Aku pandang sekeliling, tempat itu tak jauh dari jalan bahkan terbuka. Pengunjung di taman itu pun ada beberapa orang, jadi aku taklah risau sangat tapi gementar tu tetap ada.

“Duduklah, kenapa tercegat aje,” tegur Zaki. Dia sudah membentang sehelai plastik berwarna merah dan berpetak-petak.

Mungkin plastik yang orang buat alas meja makan. Dari baunya, aku tahu ianya baru saja di beli. Rasa nak ketawa juga, kenapalah susah-susah sangat buat itu ini, kalau makan di restoran kan senang. Alas meja ada, kerusi empuk pun ada. Cuma aku tak suarakan saja pada dia, mungkin terlalu awal untuk aku bersikap cerewet atau mengada-ngada. Lalu aku tangggalkan sandal yang aku pakai dan duduk dengan sopan. Nasib baik juga hari tu, aku tak pakai skirt tapi pakai ‘belted flutter top’ dengan legging hitam.

Aku lihat dia garu kepala. Macam resah saja. Mungkin tak tahu nak hidang apa dulu pada aku. Akhirnya dia hulurkan aku satu bekas plastik berwarna merah jambu, masih bertutup.

Aku terima saja. Dengan perlahan-lahan aku buka. Di dalamnya bukanlah seperti yang aku jangkakan, ianya hanya mengandungi beberapa keping roti yang disapu merjerin. Aku… ambil dengan perlahan dan mula mengunyah. Dalam hatiku, tertanya-tanya juga, inikah makan tengah hari aku hari ni?

Selepas itu dia tuangkan aku air kosong. Tak ada air oren atau air Coca Cola. Hanya air kosong yang mungkin dia masak sendiri di rumah. Alahai… tekakku terima saja apa yang diberi. Aku masih tak berani untuk berkata apa. Berada di sisinya membuat aku jadi bukan aku!

“Tasha…,” tegurnya sambil memandang aku. “Kenyang?” tanyanya lagi.

Aku angguk sambil tersenyum. Manalah nak kenyang kalau hanya makan sekeping roti macam tu tapi, kenyanglah juga apabila ianya kembang di dalam perut akibat direndam air masak tadi. “Alhamdulillah,” jawabku ringkas.

Dia masih merenung wajahku sambil tersenyum tenang. “Sorry sebab itu saja yang aku dapat hidangkan. Aku tak tahu masak,” katanya jujur.

Aku tergamam. Fikiranku sungguh keliru dengan tindakannya. Kalau tak tahu masak, kenapa tak bawa aku makan di restoran saja? Paling kurang pun, kalau tak ada duit sangat, makan di warung pun boleh, aku bukannya kisah sangat. Tapi kalau dah sampai makan roti dengan marjerin ni… siksa juga kalau dia jadi pakwe aku!

“Kau tahu tak, kenapa aku suruh kau tunggu di muzium?” Dia bertanya lagi. Kali ini pandangan matanya tunduk memerhati beberapa ekor semut hitam yang sedang cuba memanjat ke atas alas tempat kami duduk. Semut-semut itu segera ditepis jauh.

Aku geleng. Ada sebab ke?

“Sebab muzium ialah tempat yang menyimpan sejarah,” jawabnya.

Aku rasa, aku macam budak tadika pula. Kenapa dia fikir aku tak tahu fasal fungsi muzium itu ditubuhkan? Akhirnya aku mengeluh. Sebelum dia buat aku macam tu lagi, aku patut bertindak dulu. “Jadi, apa kena mengena muzium tu dengan aku? Aku ni belumlah antik lagi.”

Dia ketawa. “Memanglah belum. Kau tak faham?” Dia tanya pula.

Manalah aku faham apa yang ada di kepalanya? Jadi, aku terpaksa menggeleng walaupun kepalaku sudah pening semula. Mungkin aku perlu tambah dos ubat yang aku makan sebelum meninggalkan rumah. Dalam berkira-kira untuk mengambil ubat dari beg tangan, dia bersuara lagi.

“Sebab hari ni kan bersejarah?”

Aku renung dia. Wajahnya tetap serius dan tenang semasa menuturkan kata-kata itu. Cuma aku tak terselam apa yang sedang dia fikirkan. “Sejarah apa?”

“Sejarah kita berdua,” jawabnya cepat. Seperti dia hanya menunggu saja aku bertanyakan soalan itu. Dia kan pakar putar ayat.

Aku tergamam. Serentak itu hatiku bagai laut yang bergelora. Aku teroleng-oleng dan terawang-awang. Sejarah kami berdua? Mungkinkah?

*****
SEJUJURNYA, masa bagaikan terhenti. Aku tak sanggup mengangkat muka memandang dia lagi. Kata-katanya tadi, membuat darah dalam jantungku menderu-deru ke serata arah hingga seluruh tubuhku terasa hangat macam nak demam. Sejarah apa yang dia maksudkan?

“Tasha….” Dia menegur apabila aku tunduk saja. “Aku sengaja tak bawa kau makan di tempat lain. Aku sengaja suruh kau tunggu aku di muzium. Semuanya ada sebab,” katanya lembut.

Aku sedar, dia sedang merenung aku tapi aku tetap menyembunyikan wajahku. Aku belum sanggup menatap wajahnya, aku rasa malu walau tanpa sebab.

“Kau nak tahu sebabnya? Kalau tak nak, aku tak cakap.”

Aku angguk.

“Sebab aku mahu hari ni menjadi sejarah kita. Atau sekurang-kurangnya kepada aku.” Dia diam seketika. “Aku berikan kau roti dan marjerin, hanya untuk melihat kesanggupan kau menerima aku seadanya. Dan jangkaan aku tak salah.”

Pada waktu itu, perasaan aku sudah mahu meletup. Hinggakan jari-jemariku menggigil seperti mana hatiku juga. Benarkah semua ini sedang berlaku kepada aku? Tidakkah aku sedang bermimpi? Tapi, apabila aku memandang ke arah tasik di hadapanku, terasa segalanya benar pula.

“Aku tak dapat tidur malam tadi.”

Lain yang aku jangkakan, itu pula yang dia ucapkan. Hatiku yang melonjak-lonjak tadi, kini hampa semula.

“Sebab tu aku telefon kau. Aku tahu, selagi aku tak berterus-terang, selagi tu aku tak boleh tidur.”

Jadi? Apa kaitan sejarah, muzium, roti dan tidur? Rasanya hendak saja aku baling dia dengan beg tanganku. Tapi nanti calar pula beg tangan tu, akhirnya aku dengar saja dia berceloteh dengan perasaan yang tawar.

“Aku tak kisah, kau dah ada pakwe ke, dah ada boyfriend ke…aku nak cakap jugak.” Kali ini dia hadap muka aku depan-depan.

Aku terkejut, tak sengaja aku pun terpandang mukanya.

“I love you,” katanya lembut sekali.

Aku kaku. Kelu. Mulutku separuh terbuka. Belum pernah di dalam hidupku, ada lelaki yang begitu berani meluahkan perasaannya sebegitu terus-tarang. “What?” tanyaku balik.

Dia mengeluh. Tapi matanya tetap tak berkalih dari wajahku yang masih terpinga-pinga. “I love you. Faham tak?” Dia senyum.

Aku terdiam. Bukan aku tak faham makna tiga perkataan keramat seluruh alam tu, malah budak tadika pun tahu. Tapi, otakku sedang berserabut, apa yang perlu aku jawab? “But you don't even know me.” Aku geleng tak percaya. Selepas akalku waras semula, aku rasa itu semua tak mungkin berlaku.

Dia ketawa. “Kalau diukur pada masa, memang aku baru saja jumpa kau. Kalau diukur pada mata, aku juga baru nampak kau. Tapi kalau diukur kepada tidur aku yang terganggu, aku tahu aku betul.”

Dahiku berkerut. “Apa kena-mengena pula dengan tidur kau?” Tak relevan langsunglah, rungut hati kecilku.

Dia senyum meleret. “Apabila jaga lebih indah dari mimpi, cintalah tu… apa lagi?”

Perlahan-lahan, air mukaku berubah. Baru aku faham apa yang cuba disampaikan. Memang, aku cetek benar dalam hal cinta. Aku tak pernah berani berpasangan macam orang lain. Aku takut kecewa dan itulah yang menjadi benteng pertahanan aku selama ini apabila ada lelaki yang cuba memandangku dua kali. Tapi entah kenapa kali ini, benteng itu seolah sudah hanyut dihempas rasa. Ataupun mungkin roboh dek suaranya yang selalu aku rindukan. Aku sedar, aku juga sudah jatuh cinta!


*****


SELEPAS itu masa yang berlalu terasa begitu cepat. Tadi, pukul 1.00 petang, sekarang sudah hampir ke pukul 3.00 petang. Sudah dua jam kami berbual di taman itu sambil menghabiskan roti yang dibawa. Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh Zaki itu menyentuh hatiku. Walau tak ada makanan yang lazat atau dibawa ke tempat yang mewah, aku sedar dia tetap berusaha mengikut kemampuannya. Dia tidak hipokrit. “Agaknya sudah berapa ramai gadis yang kau beri makan roti marjerin ni?” Tiba-tiba terlintas di fikiranku untuk bertanya.

Dia ketawa sambil menggeleng. “Adalah 2-3 kali.”

“Mereka makan?” tanyaku bodoh. Atau aku seorang saja yang bodoh? Aku mula ragu-ragu dengan kewarasan aku sendiri. Kalau adalah mana-mana kawan aku tahu, pakwe aku cuma belanja aku makan roti marjerin kat Lake Garden, mungkin ada yang tergelak sampai jatuh kerusi.

“Ada yang makan, ada yang langsung tak sentuh.”

“Habis tu? Kenapa kau tak bersama dengan dia?”

“Siapa?”

“Yang makan roti marjerin special kau ni lah,” balasku selamba. Walaupun hati di dalam rasa nak mengamuk. Api cemburu sudah menyala-nyala.

Dia ketawa lagi. “Makan memang makan, tapi mulut tak boleh diam. Bersungut tak habis-habis.”

Aku ketawa kecil. Walaupun roti marjerin tu bukanlah sedap sangat tapi aku tetap menganggapnya sebagai rezeki dari Tuhan. Kalau itu sahaja yang dia mampu beri aku makan, aku makanlah. Kenapa nak bersungut pula? Tapi, lain orang tentulah lain fikirannya. “Kenapa kau dah lama tak datang café Nina? Dah jemu ke makan di situ?”

“Bukan jemu. Cuma aku mahu berfikir sekejap. Boleh tak, kalau aku tak jumpa kau seminggu,” jawabnya.

“Habis tu?” tanyaku tak sabar-sabar.

Dia geleng sambil tersenyum. “Macam nak gila. Aku tak boleh fokus kerja. Makan tak kenyang. Aku rasa nak campak saja telefon aku kat highway.” Dia terus ketawa.

Aku senyum sambil menundukkan wajahku. Aku rasa gelihati kerana aku juga rasa apa yang dia rasa tapi malulah nak mengaku kerana aku perempuan. “Tapi kenapa pula Hafiz yang jadi mangsa?”

Dia tergelak besar sambil menghentakkan kakinya. Lucu sekali melihat telatahnya. “Aku yang tak kasi dia datang. Aku kata café Nina tutup seminggu.” Dia gelak lagi.

“Jahatnya kau!” kataku sambil menggelengkan kepala. Tak baik betul. “Kau patut minta maaf dengan dia.”

“Dah. Aku dah cakap dengan dia semalam. Dia ketawa aje.”

“Semalam, Jiji dengan Ain ada datang ke café,” ceritaku pula.

Zaki angguk saja. Riak wajahnya tetap tenang-tenang sahaja, tak pula menunjukkan rasa serba-salah atau apa-apa.

“Mereka tunggu kau dan Hafiz,” sambungku sambil merenung mata dia. Orang kata, mata tak berdusta.

Dia mengeluh. “Jangan hairanlah tu. Dia orang memang macam tu,” balasnya tenang.

“Mereka tu, kawan satu tempat kerja ke?” Aku sengaja mengumpan walau aku tak fikir macam tu, jika dilihat dari gaya Jiji dan Ain. Zaki dan Hafiz nampak macam orang terpelajar, sedang budak berdua tu… susah nak cakap.

“Tak adalah. Dulu, mereka berdua menyewa rumah satu floor dengan rumah Hafiz. Tu yang boleh kenal rapat tu.”

“Sekarang?”

“Dah pindah tempat lain. Dengarnya tak mampu bayar sewa. Mula-mula dulu, Hafiz tolong juga bayarkan. Tapi lama-lama, selepas aku tegur barulah Hafiz berhenti.”

Aku rasa pelik. “Sampai macam tu sekali? Apa hubungan dia dengan budak berdua tu?”

Zaki geleng. “Mana ada apa-apa.”

“Aku rasa, aku tak patut berahsia lagi dengan kau kan?” kataku perlahan. Aku rasa sudah sampai masanya untuk aku ceritakan fasal Nina kepada Zaki. Kerana apa yang terjadi di antara kami pun, semuanya berpunca dari hal itu juga.

“Aku tak paksa. Tapi kalau kau nak cerita, aku tadah telinga.” Wajahnya tenang saja. Aku rasa begitu damai dengan sikapnya.

“Sebenarnya, kawan yang aku maksudkan tu ialah…”

“Nina,” sampuk Zaki.

“Macam mana kau tahu?” Aku mula risau. Manalah tahu kalau Nina ada buat apa-apa di belakang aku? Bukannya aku ada di café tu 24 jam untuk jaga dia.

“Orang kata, api cinta tu menyala di dalam hati tapi cahayanya nampak di mata,” balas Zaki.

“Nampak sangat ke?” Aku bertambah risau. Macam-macam yang terbayang dalam kepala aku.

“Aku aje yang nampak, Hafiz tak…”

“Sebab?” Fikiran jahatku mula mengapi-ngapi. Ini mesti kasanova tahap naga ni, kalau hal cinta cepat aje tahu. Berapa ramailah mangsanya sebelum aku.

“Sebab Hafiz tu buta,” jawab Zaki.

“Apa?” Aku tak terkata. Hafiz buta? Akhirnya aku tertawa. “Janganlah main-main. Tak baik kata orang tau.”

Dia geleng. “Siapa kata aku main-main? Dia memang buta.”

“Buta apa? Mata ke hati?” tanyaku semula. Aku makin keliru dengan sikapnya. Selamba aje mengutuk Hafiz di hadapan aku.

“Dua-dua,” balas Zaki dengan tenang. Dia termenung memandang tasik yang beriak halus bagai sedang memikirkan sesuatu.

“Janganlah main-main,” desakku lagi. Aku separuh percaya dan separuh tidak. Tak kanlah Hafiz tu buta? Aku tak pernah pula nampak dia berjalan pakai tongkat putih tu. Tapi cermin mata hitam tu memanglah tak pernah lekang.

Zaki angguk. “Aku cakap betul. Dia buta.”

Aku mengeluh perlahan. Aku tak berani bertanya lebih lanjut. Zaki pun aku lihat seperti kurang senang apabila bercerita soal Hafiz.

Maka, petang itu aku pulang dengan bermacam rasa. Rasa bahagia, takut dan sedih. Bahagia kerana aku kini berdua. Takut kerana aku seolah menuju jalan sehala, ke gaung atau ke gunung aku tak pasti lagi. Dan sedih kerana aku tak pasti apa perasaan Nina apabila tahu yang Hafiz tu buta. Aku tak tahu nak senyum ataupun nak menangis.



Friday, April 8, 2011

Mencari Damai Abadi : Bab 13


“Kenalkan, ni Datuk Fendi, ini Johar dan itu Lim,” kata Tina kepada Sherry, sebaik sahaja mereka berdua tiba di sebuah bilik karaoke di Bintang Palace. Bilik yang sederhana luasnya tapi muat untuk 10 orang pelanggan. Suasananya agak redup dan nyaman walau dikelilingi oleh dinding berwarna merah hati dengan perhiasan aluminium di sana-sini.

Sherry berjabat salam dengan tenang. Walaupun ketiga-tiga lelaki itu tidak pernah dilihatnya sebelum ini, dia tidak begitu risau kerana Tina ada bersamanya. Cuma entah kenapa sejak dia menjejakkan kaki ke situ, ada perasaan yang memberontak dalam hatinya. Hatinya bagaikan menolak untuk bersantai di bilik yang dingin, kelam dan tertutup itu.

“Inilah Sherry, anak Tuan Jamil yang you nak sangat jumpa tu,” kata Tina kepada salah seorang lelaki di situ.

Lelaki itu tersengih, misai nipis di atas bibirnya melebar. Dia memandang Sherry lama-lama.

Sherry merah muka. Dia mula tidak selesa, nampaknya dialah yang akan menjadi topik panas di dalam perbincangan itu. Tina kata, mereka akan bertemu klien baru tetapi dari gayanya itu , dia mula rasa rimas.

“Nice to meet you, Sherry,” kata lelaki itu lagi sambil mengangkat gelas yang berisi Coke. “I dah lama nak jumpa you. Tina saja yang buat I sakit hati. Dia kata you bercutilah, pergi outstationlah. Tapi malam ni, I dapat juga jumpa you.” Dia senyum lagi dan anak matanya menyeluruhi wajah Sherry yang masih membisu di sebelah Tina.

“Well guys… kita nak happy-happy dulu or what?” kata Tina seraya tercari-cari mikrofon.

Bilik itu riuh sekejap. Selain Datuk Fendy yang ketawa, Johar dan Lim pun ketawa sama sambil menepuk peha.

“Tina…,” tegur Sherry. “Takkan kau nak aku nyanyi kut? Apa ni?” Dahinya berkerut.

“Apa salahnya? Bukan you tak pernah menyanyi kat sini? Come on lah… takkan malu pulak,” bidas Tina sambil menghulurkan mikrofon kepada Sherry.

Sherry geleng. Mikrofon itu ditolak dengan tangannya.

“Sorry guys, member kita malam ni bad mood sikit,” kata Tina kepada yang lain-lainya. Bilik itu riuh-rendah semula.

“Its’okey. Kita borak-borak dulu… kenal-kenal dulu. Nanti bila panas sikit, kita nyanyilah,” jawab Datuk Fendy pula, cuba mengambil jalan tengah.

Sherry diam sahaja. Selama ini dia tidak pula berasa seperti itu. Setakat ke kelab malam, karaoke, menari dan menyanyi itu perkara biasa pada dia dan Tina. Tapi entah kenapa pada malam itu dia seolah berasa serba tidak kena. Sekejap sejuk, sekejap panas. Hendak muntah pun ada.

“Well… I admire sangat papa you tu. Dia seorang lelaki yang sukses dalam kerjanya. Projek besar, business besar.” Datuk Fendy mengesot makin dekat ke arah Sherry. Malah kini pehanya cuma beberapa sentimeter sahaja dari peha Sherry.

Sherry angguk. Anak matanya menjeling Tina yang leka berbual dengan Johar dan Lim. Riuh rendah sahaja bunyinya mereka bertiga. “Sorry, I tak pernah nampak you sebelum ni,” katanya.

“Orang biasa, manalah orang nak kenal kan?”

Sherry cuma menelan air liur. Memang jasadnya di situ tetapi hatinya tidak. Dia mati akal untuk berbual, tidak seperti lazimnya.

“Janganlah malu-malu. Anggap sahaja I kawan you. Nanti bolehlah I jumpa papa you, kan?”

“Nak jumpa papa I? Datanglah ke ofis dia. Dia hari-hari ada kat sana kalau tak ke luar negara,” balas Sherry mudah.

“Lepas ni, bolehlah. You boleh perkenalkan I dengan dia kan? As your friend?”

“Yeah, of course. Why not.” Sherry ambil gelasnya yang masih penuh dengan Coke lalu meneguknya perlahan. Dia perlu buat sesuatu untuk mengelakkan diri dari terus bercakap dengan lelaki itu. Dia rimas dan lemas, lelaki itu makin dekat dan dekat dengan tubuhnya. Akhirnya… “Excuse me, Tina. I’ve to go now. I rasa tak sihat.”

Mulut Tina terlopong apabila melihat Sherry bangun dan melangkah ke pintu. “Sherry!!!”

Sherry hanya menutup pintu di belakangnya. Kini dia melangkah laju dengan rasa lega.

******
KEESOKAN harinya, Sherry ke pejabat dengan perasaan yang berat. Dia sedar Tina akan membebel dan mengamuk akibat tindakannya semalam. Tapi dia tidak peduli, mungkin untuk sekali ini dia berani untuk berkata tidak.

“Kenapa dengan kau ni? Aku yang kena layan mereka pulak semalam kau tahu tak?” sergah Tina sebaik sahaja menerjah masuk ke biliknya.

“Aku peduli apa? Bukan aku yang nak jumpa mereka tapi engkau. Engkau layanlah.”

“Datuk Fendy tu dah lama nak jumpa kau tahu tak? Aku aje yang lambat-lambatkan,” balas Tina sambil menghempaskan punggung di hadapan Sherry.

“Apa yang dia nak?”

“Itulah kau, dia baru nak cerita, engkau dah cabut lari. Tak sopan betullah kau…” Tina menjeling tajam.

Sherry menghela nafas yang mula kepayahan. Kalaulah Tina bukan kawan baik dan kawan lamanya, mahu sahaja dia menolak Tina keluar dari situ. Tidak pasal-pasal dia terjebak dengan masalah baru. “Kan aku dah kata yang aku tak sihat semalam? Takkan itu pun tak faham?”

“Mula-mula tu sihat aje? Datuk tersinggung tau.”

“Lantak dialah nak fikir apapun,” balas Sherry.Mula geram dengan Tina yang terlalu sibuk dengan kehadiran lelaki itu.

“Dia nak offer business dengan engkau semalam.”

Sherry angkat kening. “Business? Nak bincang business datanglah sini. Kan aku dah suruh dia jumpa papa aku?”

“Yalah, takkan dia nak main terjah aje jumpa papa kau? Kalau kenal kau dulu, atleast dia ada support,” balas Tina.

“Kalau offer dia baik, tak kisah dia siapa pun, syarikat ni akan terimalah.”

Tina diam seketika sambil bermain dengan kukunya yang berkilat cantik. “Dia admire kau…” katanya perlahan.

“Apa?”

“Dia suka kau,” tegas Tina. “Ya, dia cakap macam tu dengan aku semalam.Johar dan Lim pun dengar sama.”

Sherry mengeluh panjang. “Tina, aku tak layanlah lelaki macam tu. Isteri dia nak letak di mana?” balas Sherry. “Lagi pun aku dah nak kahwinlah. Dia dah terlambat.”

“What?” Mata Tina buntang.

Sherry senyum sahaja. Anak matanya melirik ke arah sebuah emel yang sedang dibacanya.

*****

Assalamuaalaikum warahmatullahi wabarakatuh ,
Semoga hidup Sherry dirahmati Allah SWT. Saya di sini Alhamdulillah sihat. Setelah berfikir dan berbincang saya telah membuat keputusan untuk menghantar Abang Borhan dan Kak Senah merisik dan berbincang dengan keluarga Sherry.

Itupun jika Sherry bersetuju dan membenarkannya. Terus-terang saya tidak selesa berhubungan begini lama-lama. Niat saya jujur ingin memperisterikan Sherry dan itulah yang saya usahakan sekarang bagi mengelakkan fitnah atau mendatangkan kerosakan kepada dua-dua pihak.

Diharapkan Sherry memberi jawapan yang segera. Saya menanti.
Kak Senah dan Abang Borhan, berkirim salam ‘Assalamualaikum’ kepada Sherry sekeluarga di sana.

Yang benar,
Azmi Johari.

“Waalaikumussalam… waalaikumussalam…” jawab Sherry berkali-kali. Kini pipinya kemerahan dan hatinya berdebar kencang. Azmi melamarnya? Oh!

“Kau gila ke?” bentak Tina sambil menarik komputer riba itu ke arahnya. Sejak tadi dia turut membaca emel yang dikirimkan Azmi itu. “Papa dan mama kau dah tahu ke?”

Mulut Sherry terlopong.

“Kau jangan buat gilalah Sherry. Azmi tu budak kampung, budak pulau. Kerja tak ada. Engkau ingat papa dan mama kau nak lepaskan kau macam tu aje? Wake up, girl. Wake up!”

“Tina… sampai hati kau.” Itu sahaja yang terkeluar dari bibir Sherry. Mukanya merah padam apabila dibentak hinggakan rasa gembira yang hadir tadi tercampak entah ke mana.

“Mana ada orang ajak kahwin macam ni? Eee… kau ni, nak kata bodoh belajar sampai ke luar negara. Baru kenal dua tiga hari dah nak kahwin?” Tina terus membebel dan membebel.

“Aku suka apa… Dia lelaki yang baik, warak dan tak pernah ambil kesempatan ke atas aku macam lelaki lain tu,” bidas Sherry sambil tersenyum. Sesungguhnya sejak dia membaca emel itu tadi, senyumannya bagaikan tak mahu hilang. Terbayang-bayang di matanya wajah Azmi yang bersih dan tenang. Bahkan di telinganya bagaikan terdengar kicauan burung dan desiran ombak.

“Oh! My… Apa dia dah beri kau makan, Sherry? Kalaulah papa kau tahu…” Tina menggeleng sambil duduk semula ke atas kerusinya. Kali ini dia menekup mukanya dengan tapak tangan seperti ingin menangis.

“Aku akan cakap dengan papa dan mama aku dulu. Mereka mesti setuju punya, kau tengoklah nanti,” balas Sherry sambil mematikan komputer ribanya. Sempat juga dia merenung sekilas emel pendek namun manis itu. Kalau boleh dia hendak duduk di situ dan terus merenung emel itu lama-lama.

Tina angkat muka dan menggeleng lagi. “I don’t believe it… you wait and see,” katanya sambil menegakkan jari telunjuk kanannya.

Sherry angkat bahu. Dia tidak faham kenapa Tina harus marah sangat dengan rancangan Azmi itu. Bukankah itu bagus? Bukankah itu tanda Azmi juga sukakan dirinya? Dan yang paling pentingnya Azmi serius dan bertanggungjawab. Bukan jenis pegang, peluk dan cabut lari… Salahkah dia bertemu jodoh dengan lelaki sebaik Azmi?

*****
Tiga hari selepas itu….

Naskah Al-Qur’an diletakkan di atas para kayu di tepi dinding. Sejadah dilipat semula lalu disusun bersama sejadah-sejadah yang lainnya. Setelah memastikan semuanya teratur, Azmi menutup pintu surau.

“Lambat balik, Mi?” tegur satu suara. Serentak itu cahaya lampu suluh tersuluh ke tubuh Azmi.

“Oh! Abang… nak ke mana malam-malam ni?” tanya Azmi pula sambil menyarung seliparnya.

“Abang ke kedai tadi tapi Azmi tak ada. Abang jalan-jalan di pantai dan nampak lampu surau masih terbuka,” jelas AbangOsman pula.“Kenapa ni? Risau ke?”

Azmi menoleh ke arah Abang Osman. Langkahnya hampir terhenti. “Risau? Taklah,” balasnya sambil menyuluh laluan berpasir yang menuju balik ke kedainya. Malam itu angin masih bertiup kencang, ada harapan mereka berdua tidak tidur lena lagi macam malam-malam sebelumnya juga.

“Selalunya kalau Mi lama-lama di surau tu…”

“Tak ada apalah, bang. Cuma membaca beberapa juzuk tadi. Rasanya macam tak nak berhenti pula, berat benar nak berpisah,” jawab Azmi sejujurnya. “Kenapa abang cari saya? Ada apa-apa hal ke?”

“Macam mana dengan hal tu? Mi dah uruskan?”

Kali ini Azmi tersenyum dan ketawa kecil.

“Kakak kau tu tak sabar-sabar nak ke rumah Sherry…,” sambung Abang Osman sambil ketawa sama.

“Tunggulah, bang. Ada masalah sikit kat tengah-tengah.”

“Masalah? Masalah apa lagi? Kan dah suka sama suka?” Kali ini Abang Osman pula yang berhenti melangkah.

“Sherry suruh saya ke KL jumpa mak ayah dia dulu. Kalau mereka izinkan, baru bawa pulak abang dan kakak ke sana.”

Abang Osman mengangguk. “Bagus juga tu. Biarlah keluarga Sherry tu kenal-kenal dulu dengan kamu. Bila nak pergi?”

“Hujung minggu ni,” balas Azmi pendek.

“Ada duit? Kalau tak ada, abang…”

“Ada, bang. Pasal duit abang jangan risau,” balas Azmi sambil tersenyum.

Abang Osman angguk lagi. “Kat sana nanti sampaikan salam abang pada keluarga Sherry. Katakan pada mereka, niat kita yang nak datang dengan baik.”

Azmi angguk sahaja. Entah kenapa makin dekat dengan hari yang dirancangkan, semakin gelisah perasaannya. Hanya dengan bersolat dan mengaji, jiwanya tenang. Dia belum pernah berjumpa dengan keluarga Sherry dan dia tidak tahu apa penerimaan mereka terhadapnya pula. Tapi kata Sherry melalui emel dua hari lepas, ibu bapanya bersedia untuk berjumpa dan berbincang dengannya. “Agaknya mereka terima saya, tak?”

Abang Osman tepuk bahu Azmi dengan mesra. “Tak payahlah kita risau apa yang kita tak tahu. Gantungkan sahaja harapan kita kepada Dia yang memilikinya.”

Azmi tarik nafas panjang-panjang. Dia faham apa yang cuba disampaikan oleh Abang Osman itu, dia kesal kerana hatinya tergelincir dari mengingati Tuhan buat sesaat. Mungkin perkahwinan itulah langkah yang sebaiknya, agar hati dan nafsunya dapat ditundukkan dengan segera dan kedamaiannya datang semula.

Sementara itu di Kuala Lumpur…

“Dia tinggal di mana?” tanya papa Sherry.

“Di Pulau Damai, papa.” Sherry menelan air liur.

“Pulau? Pulau apa?”

“Pulau Damai, dekat Pulau Mayang yang terkenal tu,” jelas Sherry kelam-kabut.

Dahi Tuan Jamil berkerut. “Papa tak pernah dengar pun nama pulau tu? Pulau persendirian ke? Wah! Hebat!”

Bibir Sherry bergetar…



Wednesday, April 6, 2011

CAFE CINTA : Bab 3 dan 4


CAFE CINTA: BAB 3 dan 4 disiarkan serentak
di SANA (KLIK)


Tuesday, April 5, 2011

Teaser JANJI JULIA : Bab 8


KENDERAAN itu berhenti tidak sampai 20 meter dari tempat Julia dan Mimi bersembunyi. Beberapa orang penjenayah turun dari pacuan empat roda itu dan mula menyelongkar beberapa buah kenderaan di situ. Ternyata mereka belum berpuas hati. Beberapa das tembakan juga dilepaskan walau entah kepada siapa. Tidak lama selepas itu kenderaan itu bergerak semula menuju ke utara. Julia dan Mimi tercungap-cungap menghela nafas.

Beberapa minit telah berlalu. Keadaan di situ kembali senyap sunyi daripada suara-suara manusia. Yang ada hanyalah suara burung dan serangga dari ladang yang semakin rancak menyambut ketibaan malam.

"Kau okey?” bisik Julia ke telinga Mimi.

Mimi mengangguk.“Kita dah selamat?”

“Mungkin. Biar aku jenguk,” balas Julia seraya bangkit berdiri tetapi ditahan oleh Mimi. “Tak apa, mereka dah pergi. Biar aku tengok,” kata Julia seraya melepaskan pegangan tangan Mimi. Dia memanjat naik ke tepi tebing lalu mengintai ke lebuh raya. “Tak ada sesiapa. Mereka dah pergi.” Dia lantas menggelongsor turun semula ke bawah. Dia menghela nafas sepuas-puasnya.

“Apa kita nak buat sekarang?” tanya Mimi.

“Takkan kita nak tunggu di sini ataupun tinggal di lebuh raya? Aku tak sanggup tinggal dengan mayat-mayat tu,” jawab Julia. Bulu tengkuknya mula meremang dengan tiba-tiba.

Mimi terdiam seketika. “Habis, kita nak pergi ke mana?”

“Kita bermalam di ladang tu sementara dapat cari jalan lain ataupun minta pertolongan daripada penduduk kampung di sekitar sini,” jawab Julia sambil memuncungkan mulut ke arah ladang yang kelihatan gelap-gelita.

Dahi Mimi berkerut. “Ladang tu?”

“Habis, takkan kita nak tunggu di sini? Buatnya malam nanti mereka meronda lebuh raya lagi, macam mana? Kalau siang, lagi bahaya. Nampaknya mereka macam tak boleh tengok manusia.”
Mimi termenung. Mereka tidak ada pilihan kedua. “Gelaplah. Aku tak pernah masuk ke dalam tempat yang gelap macam tu,” rengek Mimi.

Julia juga memandang ke arah ladang kelapa sawit itu. Dia juga sedar apa yang ditakuti oleh Mimi. Namun buat masa sekarang, dia lebih risaukan penjenayah-penjenayah itu berbanding kegelapan yang belum tentu apa isinya.

“Marilah, kita bersembunyi di sana. Mungkin kegelapan tu yang terbaik untuk kita sekarang,” katanya sambil menarik lengan Mimi.

*****

Dalam hutan di kaki gunung...

Simon terus sahaja bersiul. Walaupun perutnya berkeroncong, namun malam yang mula tiba memaksanya segera ke sungai untuk membersihkan diri. Dia mengerling ke arah bangsal. Dua mangkuk mi sudah siap di atas meja. Cuma mi kosong dengan beberapa helai daun pegaga yang dikutip di tepi hutan. Jangan bermimpilah ada ayam ataupun sotong. Kedua-duanya sudah berbulan-bulan tidak dirasa. Ayam dan sardin dalam tin pun sudah lama habis. Yang tinggal kini hanyalah sedikit beras, sedikit tepung dan beberapa bungkus mi segera.

Setelah menutup mangkuk dengan piring, Simon melangkah ke arah sungai dengan tenang. Namun langkahnya terpaku dengan tiba-tiba.

“Idzham!” Dia berlari selaju mungkin apabila menyedari apa yang telah berlaku. Tidak tahu berapa kelajuan dia melangkah tetapi sekejap sahaja dia sudah tiba di pinggir sungai. “Macam mana boleh jatuh?” Dia mula menggelabah.

Idzham berkerut muka. Tulang pahanya berasa sangat sakit, bahkan pinggulnya sungguh ngilu apabila digerakkan. Dia mengerang apabila Simon cuba menariknya ke atas.

“Kaki kau patah?” tanya Simon lagi seraya memeriksa betis Idzham. Kini tubuh Idzham kotor semula. Pasir dan tanah menyelaputi tubuh Idzham yang masih basah.

Idzham terus mengerang sambil mengetap gigi. Dia menahan sakit sekuat yang dia mampu, namun air matanya terhambur juga. Dia mencengkam lengan Simon apabila Simon cuba membengkokkan kakinya. Dia menggeleng.

“Kau boleh bangun tak? Aku papah kau ke khemah ya,” ujar Simon seraya menarik bahu Idzham sekuat hati.

Idzham mengerang lagi. Namun dia tetap menggagahkan dirinya untuk berdiri sambil berpaut kepada Simon. Dia berdiri dengan sebelah kaki. Kaki kanannya tidak boleh dicecah ke tanah langsung. Itu pun matanya terasa berpinar kerana nafasnya menjadi sesak. Dahinya berpeluh menahan rasa sakit.

“Jalan perlahan-lahan,” kata Simon sambil memapah Idzham.

Idzham terjengket-jengket ke arah khemah yang hanya kira-kira 50 meter dari pinggir sungai. Namun bagi Idzham, jarak itu berganda-ganda jauhnya. Dia melangkah setapak demi setapak sambil menahan sakit.

*****

“Baring dulu,” Simon merebahkan tubuh Idzham ke tempat tidurnya.

Idzham tidak membantah. Sebaik-baik sahaja pinggulnya mencecah lantai, dia mengerang dengan nyaring. Dia segera mengiringkan tubuhnya ke sebelah kiri. Nafasnya tercungap-cungap. Peluh memercik dari setiap liang roma tubuhnya yang berkulit sawo matang.

Simon ternganga. “Aku kesiankan kau tapi aku tak tahu nak buat macam mana,” katanya. Dia mula tidak senang duduk melihat Idzham begitu. “Nak aku urut? Tapi aku tak tahu urut,” katanya lagi sambil memicit-micit kaki Idzham.

Idzham menolak tangan Simon. Dia segera menggeleng. Kesakitan tidak berkurangan, malah bertambah-tambah.

“Aku bersihkan badan kau dulu ya. Nanti basah pula tempat tidur ni,” kata Simon sambil mencari tuala dan T-shirt Idzham yang kering. Sehelai kain pelekat yang tergantung pada tali khemah juga ditarik masuk.

Belum sempat dibantah, Simon sudah mula mengelap tubuh Idzham yang bersalut pasir sungai. Sehelai baju disarungkan ke leher Idzham dan ditarik masuk dengan berhati-hati. Selepas itu dia menyarungkan pula kain pelekat ke kaki Idzham. Cuma kali ini Idzham tersentak dan menendang.

“Argh!” Idzham mengerang.

Simon tidak peduli. Dia terus sahaja menarik kain pelekat itu hingga ke atas dan akhirnya Idzham terlentok lemah. Dia hampir pengsan.

“Sorry, sorry. Sakit?” Simon duduk termenung di sisi Idzham.

Idzham menggenggam tangan Simon kuat-kuat. Dia tahu Simon sedang bersusah hati kerananya.

“Kau makan sikit ya,” kata Simon sambil memegang bahu Idzham.

Idzham menggeleng.

“Mana boleh tak makan. Kau kena makan sikit, lepas tu makan ubat tahan sakit. Sekurang-kurangnya mungkin kau tak sakit sangat sampai pagi esok,” kata Simon. Tanpa menunggu jawapan Idzham, dia segera bangkit melangkah keluar dari khemah. Mi yang ada di atas meja dibawa masuk ke dalam khemah berserta segelas air kosong. “Aku suap ya,” katanya lagi.

Idzham terkelip-kelip. Cahaya lampu kalimantang mudah alih yang terletak di tepi pintu masuk khemah menyilaukan matanya. Dia mengalihkan pandangannya ke arah Simon. Wajah Simon yang cemas itu membuatkan dia berasa terharu. Bukan niatnya hendak menyusahkan Simon. Dia memberi isyarat jari.

Simon yang sibuk meniup mi terhenti. “Jangan cakap macam tu. Benda dah nak jadi, bukan kita minta,” kata Simon sambil menyuakan sesudu mi ke mulut Idzham.

Idzham teragak-agak untuk membuka mulut. Namun Simon tetap menunggu dan memaksa. Dan akhirnya dia beralah juga seperti budak kecil. Dia berasa sangat serba salah. Sudahlah sakit, sekarang menyusahkan orang lain pula.

“Jangan bimbang, kita kan kawan. Susah senang kita bersama-sama,” kata Simon sambil menyuakan air pula ke mulut Idzham. “Batu tu ada yang licin. Kau patut berhati-hati mandi di situ.”

Idzham mengangguk. Sememangnya dia tidak pernah mandi di kawasan itu. Cuma entah mengapa tergerak pula hatinya petang tadi untuk ke situ. Perkara sudah mahu terjadi dan dia sedar, dia kena reda. Di sebalik kesakitan itu, dia pasti akan ada hikmahnya. Namun buat seketika segala kesakitan itu terpaksa juga ditelan. Kaki kanannya terasa sejuk dan kebas. Pinggul kanannya masih terasa ngilu.

“Jangan fikir apa-apa dulu. Lepas makan ubat, kau tidur. Esok pagi, baru kita buat keputusan,” jawab Simon apabila terpandangkan isyarat jari Idzham.

Idzham cuma merenung atap khemah. Bagaikan ternampak-nampak pokok Setuah Biru dalam genggaman. Namun apa daya, entah bila saat itu akan menjadi nyata. Dia mencuit paha Simon.
“Okey, kau jangan bimbang. Biar aku yang buat semua tu. Kau makan ubat ni,” jawab Simon sambil menghulurkan sebiji pil tahan sakit berwarna oren.

Kali ini Idzham malas berbantah-bantahan lagi. Pil yang dihulur segera ditelan. Mungkin itulah yang terbaik pada waktu itu walaupun dia tahu tidak selamanya sakit itu akan hilang.

“Tidur. Jangan banyak fikir,” kata Simon seraya mengangkat mangkuk dan gelas keluar.

Lampu kalimantang mudah alih dijauhkan sedikit. Suasana di situ menjadi remang-remang sahaja. Khemah bersaiz 10 kaki kali 8 kaki itu cukup selesa untuk mereka berdua selama ini. Namun malam itu, ia menjadi saksi ke atas air mata Idzham yang tumpah kerana menahan rasa sakit yang bukan sedikit.

*****


Idzham cuba memejamkan matanya. Dia cuba mengalihkan mindanya jauh daripada rasa sakit yang mencucuk-cucuk di pinggulnya. Namun dia gagal. Dia sedar, satu demi satu perkara malang yang menimpa mereka. Ada rasa khuatir yang mengganggu jiwanya. Bagaimana jika esok kakinya masih sakit? Bagaimana jika kecederaan itu sebenarnya lebih parah atau bertambah teruk? Fikirannya ligat berfikir, namun terimbau ke masa lalu.

“Setuah Biru, pusaka hutan untuk kita. Kemampuannya tak ada tandingan. Namun kewujudannya perlu dirahsiakan. Sebab itu tak tercatat dalam mana-mana buku perubatan baik Herbalogi, Homeopati mahupun Allopati.” Suara datuknya terngiang-ngiang di telinganya dengan tiba-tiba.

‘Saya bukan nak dedahkan kepada dunia luar, tok. Cuma keadaan begitu mendesak,’ jawabnya dalam hati. Kalau tidak disebabkan wabak Rhyto99, dia sendiri tidak akan ke situ. Entah mengapa hatinya kuat merasakan yang Setuah Biru mampu menewaskan virus Rhyto99, ataupun sekurang-kurangnya dia telah berusaha membantu negara. Ingatannya terlontar jauh ke belakang semula. Wajah dan suara datuknya jelas terbayang.

“Pokok ini juga dipanggil pokok ‘Tujuh Beradik’. Ia hidup berkelompok di suatu kawasan. Jika terjumpa salah sebatang pokok, pasti akan jumpa pokok yang lain. Namun yang mana satu yang boleh menjadi penawar, itu soal lain. Itu, Am kena cari.”

Pada waktu itu Idzham masih menjadi pelajar jurusan Herbalogi di sebuah universiti tempatan. Segala ilmu perubatan herba turut diperturunkan kepada Idzham oleh datuknya kerana hanya Idzham, satu-satunya cucu yang meminati bidang itu. Sama seperti datuknya, seorang pengkaji tumbuhan herba lulusan luar negara.

Dia masih ingat, apa yang pernah ditanya kepada datuknya dan apa yang pernah ditunjukkan kepadanya pada waktu itu. Sebuah balang kaca yang mengandungi minyak wangi. Wangiannya seakan terbau-bau lagi ke hidungnya sehingga kini.

Balang kaca berwarna hitam itu dibuka oleh datuknya dengan berhati-hati. Semerbak bauan wangi mencucuk hidung apabila penutup balang terbuka lebar. Datuk Idzham menyeluk tangannya ke dalam balang lalu menyuakan tapak tangannya kepada Idzham. “Inilah rupanya Setuah Biru itu.” Sebatang pokok herba yang terawet baik berlingkar di tapak tangannya.

Dia juga masih ingat, apabila saat jarinya menyentuh buah pokok itu yang sebesar anggur hijau, buah itu masih kelihatan segar!

“Jangan ganggu pokok ni. Biarkan ia hidup aman kecuali jika berlaku malapetaka dan tak ada penawar lain yang ditemui. Setuah Biru juga tidak dibenarkan dicatat dalam mana-mana buku herba ataupun didokumentasikan dalam bentuk gambar ataupun apa-apa saja demi memastikan spesies ini hidup tanpa gangguan dan daripada jatuh ke tangan pihak lain yang akan menyalahgunakannya. Ini amanat tok. Simpan baik-baik,” kata datuknya lagi sambil menyerahkan balang itu kepada Idzham.

Sejak itu, balang itu disimpan sebagai kenangan. Namun pokok yang ada itu tidak dapat digunakan sebagai ubat lantaran kesannya telah ‘ditawarkan’ dengan minyak attar itu.

“Macam mana nak kenal yang mana satu Setuah Biru? Bila direbus, air rebusannya berwarna biru muda. Itulah dia.” Itulah pesanan terakhir datuknya, sebulan sebelum dia meninggal dunia enam tahun yang lalu. Sejak itu, dia tidak pernah membuka mulut kepada sesiapa pun sehinggalah wabak Rhyto99 melanda negara dan dia berasa terpanggil untuk membantu.

‘Tapi tok tak ajar macam mana nak guna dan berapa banyak nak diberi makan,’ kata hatinya pula. ‘Bahagian mana yang paling mujarab?’ Pelbagai persoalan menghantui benaknya.

Dalam menungan, dia mula membayangkan. Jika pokok Setuah Biru telah ditemui, dia akan bekerjasama dengan Simon untuk mengkajinya dengan lebih mendalam. Mungkin dari situ mereka akan tahu sesuatu yang lebih penting. Jika mahu dirujuk pun, sememangnya tidak ada kajian yang telah dibuat. Sesekali dia berasakan seperti meraba-raba dalam gelap. Semuanya pakai agak-agak.

Tiba-tiba, khemah diselak dari luar. Simon menjengah masuk. “Pokok tu bukan Setuah Biru, kena cari nombor empat,” katanya hampa.

Idzham tergamam. Jarinya pantas membuat isyarat.

“Aku dah rendam dalam air panas tapi airnya tak bertukar biru,” jawab Simon.

Idzham menghela nafas. Perasaan kecewa dan bimbang mula bercampur baur menjadi satu. Bagaimana dia dapat mencari Setuah Biru dalam keadaan sebegini?

“Tak apalah, esok aku pergi cari. Mesti ada dekat-dekat situ,” kata Simon dengan yakin sambil mengangkat punggung dan keluar dari khemah.

Mata Idzham membesar. ‘Cari? Simon nak pergi cari seorang diri?’ tanya hati kecilnya. Hatinya bertambah-tambah risau.



Sunday, April 3, 2011

Teaser CAFE CINTA: Bab 8

Seminggu berlalu…
Slot bacaan hujung minggu . Cafe Cinta Bab 8 (CHICKLIT)

Anda boleh juga membaca cerita ini di Penulisan2U seminggu sekali.

*Amaran: Cerita ini menggunakan gaya bahasa Chicklit santai.

**************

MENGEJUTKAN! Sekurang-kurangnya, akulah yang terkejut. Jawapan yang diberikan oleh Nina sebentar tadi membuat aku kelu. Tak datang? Zaki dan Hafiz tak datang lagi? Jika dihitung, rasanya sudah lebih tujuh kali aku bertanyakan soalan yang sama di sepanjang minggu itu. Tapi bukan jawapan itu yang membuat aku runsing. Cuma makna di sebaliknya saja. Jadi, aku bukannya menolong Nina malah sebaliknya telah merosakkan peluang yang ada!

“Kenapa termenung aje? Kat ofis banyak kerja ke?” Nina bertanya sambil memicit-micit bahuku. Dia tahu aku sangat sibuk di ofis kebelakangan ini, lebih-lebih lagi sejak papa berlepas ke Beijing. Kebanyakan keputusan syarikat, aku yang buat.

Sentuhan tangan Nina membuatkan aku terasa seram sejuk. Tangannya aku tepis. Serentak itu juga aku menggeleng lesu. Ada rasa sedih yang sedang mengetuk pintu hatiku.

“Ada problem? Papa bila nak balik dari China?”

“Biasalah. Kalau tak dua minggu di sana, tak baliklah,” jawabku sambil menepis rasa sedih yang cuba menguasai diri. Aku harap, Nina tak perasan. Serentak itu juga aku rasa sangat bersalah pada Nina sampai nak pandang muka dia pun aku rasa malu.

Aku termenung. Fikiranku bingung. Adakah Zaki tak datang ke situ lagi kerana aku? Dan mungkinkah Hafiz pula tak datang kerana ditegah Zaki? Ah! Mungkin mereka sudah jemu makan di situ, otakku memberikan alasan. Mungkin juga mereka berdua terlalu sibuk atau dihantar berkursus. Semuanya boleh jadi juga. Sedang aku bersoal jawab dalam hati, tiba-tiba aku ternampak sesuatu yang seolah membuat malamku jadi terang. Ain dan Jiji!

Tanpa berlengah, aku menuju ke meja yang mereka pilih. Nampaknya meja di tepi dinding itu sudah menjadi meja pilihan kumpulan Zaki. Setiap kali Zaki datang, dia pasti duduk di meja itu dan kali ini Ain dan Jiji juga memilih meja yang sama. Entah apa bezanya meja itu dengan meja lain, aku tak pasti.

“Hai, berdua aje?” tanyaku ramah, sambil membuka buku pesanan. Setelah berbulan di situ, akhirnya aku berani juga mengambil pesanan pelanggan. Bukannya susah sangat kata Nina. Tanya, dengar, tulis dan baca!

“Zaki dengan Hafiz, belum sampai?” tanya Jiji pula sambil terpandang-pandang ke serata kedai.
Aku tergamam. Cahaya terang di dalam kepalaku, terus saja malap semula. “Tak ada pulak. Tak datang kut hari ni.”

Wajah Jiji berubah hampa. Begitu juga dengan Ain. Mereka berdua saling berpandangan. Aku jadi pelik.

“Kalau macam tu… tak jadilah kami makan. Beri kami air aje,” kata Jiji sambil menutup semula menu yang dibaca sejak tiba tadi.

Aku separuh terlopong. “Nak minum apa?” Aku renung wajah keduanya yang seperti dilanda masalah besar.

Sekali lagi mereka berdua berbalas pandang.Dan akhirnya Jiji yang menjawab, “Sirap dua sajalah.”

Aku tulis juga dalam buku pesanan walau sekali fikir, buat habis kertas aje. Kalau tak tulis nanti, Nina bising pula. Aku kembali ke dapur menghantar pesanan di kaunter air, kemudian ke kaunter depan mengambil borang kaji selidik.

“Ni ada borang kaji selidik sikit, boleh tolong isi tak?” tanyaku sambil meletakkan borang itu di hadapan Jiji dan Ain seorang sehelai.

Keduanya memandang dengan ekspresi muka yang pelik. “Hai… kedai macam ni pun nak buat kaji selidik?” sindir Ain sambil menjeling.

Aku angguk, walau hatiku sudah mula meruap apabila melihat jelingan sinisnya. Eee… geramnya aku pada perempuan ni. Kalau tak terpaksa, aku memang tak akan bercakap dengan dia. Buka mulut aje, mesti nak menyakitkan hati.

“Malaslah nak isi, entah apa-apa.” Borang itu ditolak ke tepi oleh Ain. Jiji pun sama.

Aku kutip balik borang tu. Tak nak isi, tak apa, kata hatiku. “Kalau isi borang ni, minuman percuma. Tak payah bayar,” kataku selamba sambil berkira-kira untuk beredar.

“Ya ke?” tanya Ain dengan cepatnya.

Aku angguk sambil memandang keduanya silih berganti. Sebenarnya aku nak ketawa kuat-kuat tapi aku tahan. “Nak?” tanyaku lagi.

“Bolehlah…,” jawab Jiji. Borang itu diambil semula.

Aku tersenyum. Jangkaan aku tepat sekali. Yang sebenarnya, Jiji dan Ain ni mencari Zaki dan Hafiz semata-mata kerana hendak dibelanja makan. Tengah pokailah tu. Tapi, hatiku terasa juga, ada juga yang sanggup buat muka tembok sebab nak makan free. Dunia… dunia. Aku akhirnya ketawa kuat-kuat di pejabat Nina.

*****
NINA menolak pintu pejabat dengan wajah yang kehairanan. Dia tergamam melihatku ketawa seorang diri di dalam bilik itu. “Kenapa ni?” Dia pandang aku lama-lama.

Aku ketawa lagi. Lalu aku ceritakan juga apa yang terjadi di luar tadi. “Agaknya menyesal mereka order air sirap tadi kan?” tambahku.

Nina turut tersenyum. “Jadi mereka datang tu sebab nak cari Zaki dan Hafiz lah ya?”

Aku angguk walau kenyataan itu sedikit sebanyak menyakitkan hatiku.Tanpa sedar, aku jadi muram.

Nina pandang aku. Wajahnya agak resah sahaja. “Boleh aku tanya?”

Perlahan-lahan, pandangan mataku beralih ke wajah Nina. Nada suara Nina buat aku berdebar-debar. “Apa? Cakaplah.” Aku tunggu dia bersuara.

“Kalau tak silap aku kan… sejak seminggu ni kau asyik tanya fasal orang berdua tu aje? Ada apa-apa yang aku tak tahu ke?”

Nafasku tertahan. Nampak sangat ke? Aku mula menyalahkan diri sendiri. “Tak adalah, apa pula yang ada? Cuma… risaulah juga bila mereka tak datang kan? Makanan kita kat sini tak sedap ke? Air kita tawar ke?”

Aku lihat Nina mengangguk perlahan. Entah percaya atau tak, aku pun tak pasti. Tapi harap-harap dia percayalah kan. “Kenapa kau tak call saja dia? Kau kan ada nombor telefon Zaki?”

“Perlu ke?” Aku sebenarnya terkejut dengan pertanyaan Nina. Dan aku mula terfikir yang Nina juga mula terasa kehilangan seseorang.

Nina menundukkan pandangannya. “Aku tak paksa. Terpulanglah pada kau.”

Aku jeling Nina. Begitulah dia. Kalau hendak apa-apapun dia tak kan cakap atau paksa. Dia akan simpan saja dalam hati. Kesian pula apabila aku tengok dia macam tu. Mungkinkah aku yang bersalah dalam soal ini? Nak tolong Nina tapi akhirnya aku yang merosakkan peluang dia. Dia, sudahlah macam tu. Eee… aku mula rasa marah pada diriku sendiri.

*****
SUDAH hampir ke tengah malam tapi mataku tak mahu juga lelap-lelap. Pusing ke sana terasa salah, pusing ke sini terasa resah. Sudah puas aku baca segala surah yang aku hafal, sudah puas aku kira kambing melompat pagar, tapi mataku tetap juga terkebil-kebil merenung siling di atas kepala.

Apabila aku mengiring ke sebelah kanan katil, mataku melirik ke arah telefon bimbit yang terletak di tepi kepalaku. Aku ambil dan aku belek-belek. Kenapalah tak berbunyi? tanya hatiku. Namun setelah puas aku tunggu-tunggu, telefon itu tetap juga membisu. Aku jadi resah. Aku jadi panas di bawah kipas yang berputar ligat.

Aku pandang telefon itu semula. Perlu ke aku telefon dia? Aku tak dapat buat keputusan. Jika diikutkan akal, aku rasa tersangat segan. Tapi jika diikutkan hati… aku teringin sangat mendengar suaranya lagi. Ah! Aku tak pernah rasa macam ni. Aku tak tahu nak ikut yang mana satu…

“Helo, boleh bercakap dengan…”

“Selamat malam, Tasha.” Zaki terus menyampuk kata-kataku.

Aku terdiam seketika. Perasaanku melonjak apabila suaranya bergema di dalam telingaku lantas menyusup hingga ke hati. Tanpa sedar, aku tersenyum sendiri. “Selamat malam,” balasku setelah rasa gugupku pudar. Selepas itu aku kehilangan kata-kata, bahkan aku terlupa bahawa akulah yang menelefon dan bukan sebaliknya.

“Diam aje,” tegurnya.

Baru aku tersedar. “Hai… apa khabar?” tanyaku kelam-kabut. Tanganku memeluk bantal sekuat-kuatnya, bagai berpaut mencari kekuatan untuk menanam rasa seganku yang mengunung tinggi. Nasib baik cuma aku seorang diri di bilik tidur aku. Merah atau biru pipiku tidak ada sesiapa pun yang nampak.

“Khabar? Sihat. Alhamdulillah.” Kata-katanya mati di situ.

Aku mati akal lagi. Lelaki ini benar-benar mencabar kewarasanku. “Sorry sebab call malam-malam. Dah tidur ke?” Aku cuba bersikap biasa, aku tarik nafas dan aku cuba bayangkan yang aku sedang berbual dengan Nina.

“Dah. Hantu yang jawab ni,” balas dia.

Aku terdiam seketika. Jawapannya itu menunjukkan yang dia masih menyimpan dendam. Aku cuba lupakan. “Lama tak nampak di café? Kursus ke?” Aku terus saja kepada perkara pokok.
Kali ini, dia tidak terus menjawab. Lama juga dia terdiam, sehingga aku resah. “Tak ke mana. Pergi kerja balik kerja,” jawabnya, masih cuba mengelak.

Jawapannya itu membuatkan hatiku terasa hampa. Mungkin segalanya sudah berakhir. Mungkin dia tidaklah seperti yang aku sangka. Mungkin dia tak merasa apa yang aku rasa. Baru aku tersedar yang ada banyak kemungkinan yang boleh berlaku kecuali dia ada alasan yang cukup kukuh seperti yang aku harapkan. Rupa-rupanya tak ada. Aku rasa malu pula. “Tak apalah, tidurlah. Sweet dreams,” kataku sambil berkira-kira untuk memutuskan saja talian. Tapi, dia menegah.

“Hey! Jangan tidur dulu!”

Hampir tercampak telefon bimbitku. “Ada apa?” tanyaku sambil cuba menenangkan rasa terkejutku akibat disergah.

“Tadikan, engkau yang telefon aku? Kau cuma nak tanya itu saja ke?”

“Ya… ya.”Aku menjawab membabi-buta. Fikiranku terus jadi kosong. Perasaan panik mula menguasai. Apa dia nak aku cakap ni? Jariku ketar.

“Tasha…” Dia diam.

Aku yang mendengar dengan teliti, seolah terdengar degup jantungku berbunyi. Seolah bunyi jantungku berdegup lebih kuat dari segala bunyi yang ada di ruang itu. Aku sungguh cemas menanti dia menyambung ayatnya semula.

“Aku sebenarnya… memang nak call engkau.” Dia diam lagi.

Hampir saja aku bertanya, kenapa tak call? Kenapa mesti aku yang call dulu? Tapi rasa maluku menegah. Jadi, aku diam saja. Aku mahu biarkan dia meluahkan perasaannya jika ada. Walau aku tak berharap sangat.

Terdengar nafasnya menderu. Berat sekali. Bagai cuba menolak apa yang terbuku di hatinya selama ini.

Aku jadi takut pula. Jika yang diluahkan itu sesuatu yang aku tak boleh terima, macam mana? Tapi sudah terlambat untuk berundur. Aku pasrah saja bagaikan menanti hukuman.

“Tapi aku takut kau tak suka,” sambungnya.

“Kenapa pula aku tak suka?”

“Jadi kau suka?” tanyanya pula.

Aku terdiam. Nampaknya lelaki yang bernama Zaki ni, memang pakar putar belit ayat. Aku sejujurnya jadi waswas pula. Aku kan bukan kenal sangat dengan dia? Entah-entah buaya dari lubuk mana datangnya… tapi hatiku masih mahu mendengar suaranya, aneh!

“Kau tertunggu-tunggu aku ke?” Dia bertanya lagi.

Aku hampir ketawa. Wah! Dia sudah rasa dirinya sangat berharga di mata aku. Inilah yang aku takutkan. “Kalau aku kata tak?”

“Kau bohong.”

“Mana kau tahu aku bohong?” balasku cepat.

“Kalau tak, kenapa kau call aku malam-malam semata-mata nak tanya hal tu?”

“Sebab kawan aku kurang dua orang customer lah. Itu aje.” Tanpa dapat ditahan, aku ketawa. Hampir lagi aku terperangkap dengan tindakanku sendiri jika tak pandai mengelak.

Tapi dia tak ikut ketawa, dia diam.

Langsung ketawa aku pun jadi tawar. Satu perasaan aneh pula menyelinap. Kenapa dia tak ketawa? Salahkah apa yang aku jawab?

“Sebab itu saja ke?”

“Apa yang engkau nak aku jawab?” Itu saja yang aku dapat katakan pada waktu itu. Sejujurnya perasaanku sedang berkocak hebat tapi aku juga tak mahu terperangkap lagi seperti tadi.

Dia mengeluh. “Hey girl, dah pukul 2.00 pagi ni. Sweet dreams…” katanya sebelum memutuskan talian.

Aku, sekali lagi tinggal terpinga-pinga di dalam gelap. Rasa tak percaya saja, yang dia telah pun hilang dari talian. Telefon bimbit itu tetap aku lekapkan di telinga, seolah terdengar-dengar lagi suara itu bergema. Aku tak sedar berapa lama aku berkeadaan begitu, sedar-sedar saja…
sudah pagi!

*****

“KENAPA tak bangun lagi ni?” Suara mama mengejutkan aku yang sudah pun terlena balik. Pagi itu kepalaku terasa tak boleh diangkat langsung. Berat dan nanar. Jika aku buka mata pun, apa yang aku lihat seakan berpusing.

Aku mengeluh. “Tasha sakit kepalalah, ma.” Aku cuba tak menggerakkan kepala dari bantal dan aku pejamkan mataku rapat-rapat agar pandangan mataku berhenti berpusing.

“Demam ke? Jom pergi klinik.”

Aku geleng. Aku rasa, aku cuma tak cukup rehat dan tak cukup tidur. Sejak Nina buka café, tidurku jadi terganggu. Apabila penat sangat pun, aku tak boleh tidur, lebih-lebih lagi sejak… Zaki muncul dalam hidup aku. Hidupku terasa kucar-kacir, bagai ada arus yang menganggu kestabilan mindaku. Siang dan malam seperti tidak ada beza, fikiranku asyik menerawang entah ke mana-mana. “Tasha cuma nak tidur, ma. Nanti dah okey, Tasha bangun,” pintaku sayu.

“Yalah. Rehatlah puas-puas. Nanti mama call ofis beritahu Tasha cuti hari ni. Kalau nak ubat, nanti mama suruh bibik hantarkan.” Mamaku keluar selepas itu. Pintu bilik tidurku ditutup semula.

Aku tak menjawab. Aku tahu mama faham. Mama adalah insan yang paling sporting yang pernah kukenal. Malah mama mungkin lebih suka aku berada di rumah sesekali macam itu daripada asyik keluar pagi dan balik petang. Tiba-tiba, Justin Bieber ‘menyanyi’ lagi. Aku buka sedikit mata, sambil meraba-raba telefon yang sudah termasuk ke bawah bantal. “Helo,” jawabku malas.

“Atas katil lagi?”

Mataku terus saja membesar. Aku pandang skrin betul-betul. Zaki? Aku picit kepala, menyesal sungguh sebab tak perasan tadi. Aku jadi menggelabah. Tapi akhirnya aku mengalah pada hati. “Ha’ah.” Tak perlu berdusta lagi.

“Cuti ke? Atau MC?”

“Dua-dua,” balasku. Aku seperti pasrah saja.

“Nak pergi klinik? Aku boleh hantarkan.”

“Tak payah.” Kelam kabut aku menjawab. Kalau aku nak pergi klinik, tak payah tunggu dia hantar, aku boleh suruh pemandu mama yang hantar kan. Tapi pelawaan dia itu, tetap menyentuh hati kecilku juga. Rasa sejuk sedikit. “Thanks.”

“Kalau tak sihat, aku call lain kali. Kau tidurlah, mungkin sebab kita berbual sampai pagi malam tadi kan?”

Tiba-tiba aku rasa hampa sangat. Aku tak mahu dia berhenti bercakap. Malah aku rasa aku bertambah shat apabila mendengar suaranya pagi itu. “Eh! Tak apa, cakaplah. Pakai telinga aje bukan pakai kaki.”

Dia diam macam biasa. Tapi, aku dapat dengar deru nafasnya yang menderu-deru. Dia, seolah sedang bergelut dengan perasaan yang tertahan-tahan.

“Cakaplah, ada apa telefon aku pagi-pagi ni?” Aku cuba mendesak. Mana tahu dengan sedikit galakan, dia mampu meluahkan. Mungkin dia masih segan.

“Aku rasa, aku tak dapat nak cakap dalam telefon. Aku nak jumpa kau. Penting,” katanya.

Jumpa? Jantungku mula berdegup laju. Aku resah tak tentu sebab. Di mataku, segera terbayang wajah Nina. Kalau dulu, bolehlah aku heret Nina sekali, tapi sekarang ni, Nina tentu tak boleh tinggalkan café sesuka hati. “Bila?”

“Bila kau dah sihat dan ada masa. Tapi… kalau boleh janganlah lambat sangat,” jawabnya laju.

Aku termenung. Aku sedar perkara ini seperti serampang dua mata. Aku tahu ada sesuatu yang ingin dia luahkan kepada aku secara bersemuka dan aku sedar aku boleh gila selagi aku tak tahu apa dia. Jadi, daripada membuang masa, lebih baik aku segerakan saja. Aku memang tak suka bertangguh-tangguh kalau melibatkan soal perasaan. Aku mesti tahu sebelum aku rasa tersiksa tertanya-tanya. “Lunch?”

“Lunch?” Dia terperanjat. “Boleh ke?”

“Boleh. Kat mana?” Boleh tak boleh pun, mesti aku bolehkan juga. Sudah seminggu tak jumpa, aku tak mahu hilang peluang lagi.

“Macam mana kalau aku jemput kau? Kau kat rumah kan?”

“Jemput aku?” Aku menggelabah sekejap. “Err… Tak payahlah, aku boleh pergi sendiri. Cakap saja kat mana, asal bukan di café Nina.”

Dia ketawa. “Okey, jumpa aku di tangga Muzium Negara, pukul 1.00 petang. Atau kau nak makan awal lagi?”

“Bolehlah tu. Aku tak kisah sangat,” jawabku senang. Dan perbualan itu tamat saja di situ.

Walau sudah beberapa minit berlalu, aku masih memandang telefon bimbitku itu. Seperti tak percaya pula yang aku sudah ada temu janji pada tengah hari itu. Di tangga Muzium Negara? Aku berfikir balik. Punyalah banyak tempat dalam KL ni, kenapa pula nak berjumpa di tangga Muzium Negara? Ada restoran ke dekat situ? Setahu aku, kafetaria adalah. Apa-apapun, kepalaku terus jadi ringan. Sakit apa sebenarnya ni?


Saturday, April 2, 2011

Teaser JANJI JULIA : Bab 7

SUASANA di pinggir hutan senyap sunyi. Bunyi reriang yang selalunya berbunyi nyaring juga tidak kedengaran. Tiupan angin juga tidak terasa.

Idzham mengerling ke arah jam tangannya. Baru pukul 5.30 petang. Namun keadaan di situ gelap-gelita bagaikan sudah larut malam. Idzham menggenggam lengan Simon, memberi isyarat agar rapat kepadanya. Mukanya terasa panas dan membahang. Bulu romanya tegak berdiri.
Simon segera mengerti. Dia bergerak ke belakang Idzham yang sedang duduk bersila di atas tanah. Dia hanya menunggu.

Idzham menarik nafas. Dia sedar, apa yang dilihat bukan apa yang dipandang sebenarnya. Ini bukan kali pertama dia menjejakkan kaki ke dalam hutan rimba. Dia sudah masak dengan permainan penunggu hutan seperti ini. Permainan dan tipu helah yang kadangkala mampu membuat manusia tersesat berbulan-bulan. Nampaknya kali ini ilmu yang diperturunkan oleh datuknya mahu diuji. Dia tidak ada pilihan lain selain menentang.

Idzham memejamkan matanya. Pernafasannya diatur supaya fikirannya tetap tenang. Dia beristighfar sepenuh hati sambil cuba memusatkan perhatiannya kepada pemilik alam yang Hak. Surah Al-Ikhlas dan Surah Al-Fatihah dibaca berulang kali. Dengan penuh khusyuk dan tawaduk, dia memohon agar diberi perlindungan daripada tipu helah penghuni hutan yang mahu menguji keimanan manusia. Dengan pasrah, dia menyerahkan nyawanya kepada pemilik yang Maha Besar lagi Maha Berkuasa. Dia tidak mengalah pada rasa takut yang cuba dijelmakan dalam hatinya. Takutnya hanya kepada Tuhan yang satu.

Simon semakin merapati tubuh Idzham. Telinganya dapat menangkap bunyi yang berdengung bagaikan ribut berpusaran di sekeliling mereka berdua. Dia menggoncang lengan Idzham, namun Idzham tidak bertindak balas. Matanya dapat melihat suasana sekeliling yang berubah dengan sekelip mata. Ruang yang gelap dan sunyi tadi kini menjadi hiruk-pikuk dengan suara-suara yang tidak difahami ulas butirnya. Dia menoleh ke arah Idzham. Debar di dadanya bagaikan mahu pecah.

Idzham masih lagi berteleku di lantai hutan tanpa bergerak. Tiba-tiba dia terbeliak. Perlahan-lahan alam yang gelap-gelita berubah cerah. Walaupun tidak secerah siang, namun segalanya mula kelihatan satu per satu. Daripada pokok Tualang di hadapan mereka hinggalah ke anak-anak pokok di atas lantai hutan. Pusaran ribut dan bunyi yang riuh-rendah itu tiba-tiba menghilang. Yang kedengaran kini hanyalah teriakan burung-burung hutan dan jeritan reriang. Dia mengeluh lega. Seolah-olah baru muncul dari dalam gaung.

“Idzham, buka mata!” Simon menggoncang-goncang tubuh Idzham yang masih lagi kelihatan seperti tidur nyenyak.

Idzham tersentak. Serta-merta jantungnya berdegup laju semula. Dia menoleh ke arah Simon yang menuding jari ke satu arah. Idzham turut menoleh ke arah kanan. Alhamdulillah. Dari situ sebuah denai kecil kelihatan. Mereka pasti, denai itu akan membawa mereka pulang ke tapak perkhemahan mereka yang ditinggalkan pagi tadi.

“Macam mana tadi boleh tak nampak?” Simon melangkah laju sambil menggaru kepalanya.
Idzham tidak menjawab. Biarlah persoalan itu kekal misteri kepada Simon. Jika dijelaskan pun, mungkin sukar untuknya menerima. Langkah Simon diekori dengan tenang. Dalam hati, Idzham masih terus berzikir dan berdoa. Syukurlah, satu lagi rintangan telah diatasi. Pokok yang dibawa pulang semakin kemas dalam genggamannya.

*****

Setelah berjalan masuk hampir satu jam, mereka tiba semula ke tapak perkhemahan yang terletak di antara beberapa batang pokok besar. Tempat itu landai dan lapang. Sebuah khemah dan sebuah bangsal kerja didirikan dengan elok di situ. Deruan air dari jeram yang berhampiran seolah-olah memanggil-manggil mereka untuk membersihkan diri yang sudah berlengas dengan peluh.

Simon terus menuju ke khemah. Beg sandangnya dicampakkan ke dalam. Kemudian, dia melangkah pula ke tapak unggun api. Asap yang naik berkepul-kepul membuatkannya terbatuk-batuk di situ.

“Aku masak air dulu!” laung Simon dari jauh. Jarinya ligat menyapu matanya yang pedih.

Idzham cuma mengangguk. Dia sudah ada di bawah bangsal kecil yang dibina bersama Simon. Itulah bangsal kerja mereka berdua yang juga merangkap tempat mencatat segala pemerhatian yang telah dilakukan selama ini. Di situ ada sebuah meja panjang dan sebuah pangkin. Pokok herba yang ditemui tadi diletakkan elok-elok di atas meja. Dia berhenti sebentar untuk melihat pokok-pokok herba yang digantung pada alang bangsal itu. Semuanya sedang mengering dengan baik. Anehnya, tidak ada sehelai daun pun yang gugur ke tanah. Dia menjadi leka seketika.

Hari semakin gelap. Idzham segera melangkah ke arah jeram. Di pertengahan jalan, dia berhenti sebentar melihat Simon yang sedang menjerang air di dalam sebuah cerek berwarna hitam. Kawasan itu sudah dipenuhi asap. Idzham mencuit bahu Simon lalu memberi isyarat.

“Kayu basah. Malam tadi kena hujan, sampai malam ni pun belum kering,” sungut Simon sambil meniup nyalaan api yang mula merebak. “Ha, nyala pun!” Dia semakin gembira. Satu demi satu kayu api disusun. Asap mula berkurangan di situ.

Idzham tersenyum lalu memberi isyarat menunjuk ke arah sungai.

“Pergilah dulu. Nanti aku datang,” jawab Simon seraya bangkit berdiri dan mencapai periuk nasi pula. “Idzham, kau nak makan nasi ataupun mi?” tanyanya lagi.

Idzham menjawab menggunakan isyarat jari.

“Lauk? Ikan jerung dengan Sos Tiram Berkeju,” jawab Simon sambil tersengih.

Idzham tergelak. Dia tahu Simon cuma bergurau lantas dia memberi keputusannya.

“Okey, aku masak mi sajalah,” kata Simon sambil menyelongkar tong bekalan mereka. Dua bungkus mi segera dicapai sambil bersiul.

******

Idzham meneruskan langkahnya ke tebing anak sungai. Tuala yang tersangkut pada cabang dahan anak pokok Sengkawang ditarik lalu disangkutkan pula ke bahu. Langkahnya semakin laju. Aliran jeram itu kelihatan lebih deras daripada biasa. Rupanya pun lebih keruh. Idzham menoleh ke arah hulu. Segalanya nampak tenang. Tanpa berlengah, dia terjun ke dalam anak sungai. Sebaik-baik tubuhnya menyentuh air, rasa sejuk segera memanjat tubuhnya hingga ke kepala. Tubuhnya menggigil kesejukan.

Sesungguhnya dia senang berada di situ. Walaupun tidak seselesa duduk di rumah, namun di situ dia menemukan ketenangan yang dicari. Kehidupan di bandar yang semakin sesak membuatkannya sukar mencari ruang untuk bersendiri. Dan arus kehidupan yang semakin maju pula hampir membuatkannya tidak bernafas. Terlontar di situ adalah anugerah yang dicari. Jawapan kepada doa yang diminta. Empat bulan di situ, tidak ada satu saat pun yang dikesali kecuali ada rasa rindu yang sesekali mengganggu. Rindu kepada ibunya.

“Pergilah, Am. Jangan risaukan mak. Kalau umur mak panjang, mak takkan apa-apa di sini.” Kata-kata ibunya terngiang semula.

Meskipun hatinya berat untuk meninggalkan ibunya yang sedang sakit pada waktu itu, namun kata-kata itu memberikan suntikan semangat kepada dirinya. Dia sedar, ibunya faham mengapa dia harus pergi ke situ. Setuah Biru harus dicari sehingga jumpa. Jika takdir telah memisahkan mereka, takdir juga yang akan menemukan mereka semula. Dia cukup yakin Tuhan Maha Mengetahui.

Dia mendongak ke langit. Matahari sudah tenggelam di balik kanopi hutan. Senja mula merangkak tiba dan gelap malam mula menyelubungi kawasan itu. Dia segera tahu yang waktu solat maghrib sudah tiba. Setelah dirasakan badannya cukup bersih, dia naik ke tebing sambil memijak batu-batu yang terdapat di situ. Tangannya mencapai tuala. Namun, dia tersilap jangka.

Buk! Idzham tergolek di celah batu. Pinggulnya terhentak. Dia mengerang sekuat hati. Wajah ibunya terbayang di ruang mata.

*****



Di pinggir Lebuh Raya Utara-Selatan…

Laungan Mimi menyentakkan Julia daripada kaget. Dia segera berlari dan melangkah palang. Beg pakaian Mimi diheret ke seberang jalan lalu ditolak ke bawah. Beg itu terburai, lalu Mimi tergesa-gesa mengutip segala barang yang bertaburan. Julia turut terjun meloloskan diri di dalam lubang longkang itu. Dia jatuh terduduk di tepi Mimi. Perutnya terasa senak.

“Cepat! Kita kena balik ke ladang,” kata Julia seraya bangkit mengheret beg semula.

“Ju, jangan! Aku takut mereka nampak kita nanti,” bantah Mimi. Dia sudah terperosok di kaki tebing. Tidak bergerak.

Julia teragak-agak. Telinganya menangkap deruan enjin yang semakin kuat menghala ke situ. “Cepatlah, Mimi! Sempat lagi.”

Mimi menggeleng. Bukan dia tidak mahu tetapi gerak hatinya begitu keberatan. “Kita tunggu sini dulu, Ju. Nanti mereka nampak kita.” Tangannya mencengkam baju Julia.

“Kalau tunggu sini, lagilah mereka boleh nampak kita,” balas Julia lalu merentap pegangan tangan Mimi.

Mimi tidak menjawab lagi. Dengan berat hati, dia cuba bangkit. Namun belum sempat mereka melarikan diri ke ladang semula, kedengaran bunyi kenderaan yang semakin hampir. Tanpa sedar, Julia menolak tubuh Mimi ke tebing sekuat hati.

Mimi menggigil. Semakin kenderaan itu mendekati tempat mereka, semakin kuat debar di dadanya. Tubuhnya sudah mencium tebing. Dia hanya mampu berdoa agar kegelapan malam yang baru menyelubungi kawasan itu melindungi mereka berdua daripada pandangan penjenayah-penjenayah itu.

“Diam!” bisik Julia. Dia juga sudah memeluk tebing.

Mimi segera mengangguk. Kedua-duanya menahan nafas. Dia memasang telinga dengan teliti. Sebuah demi sebuah kenderaan penjenayah melintasi kawasan itu. Tiba-tiba salah sebuah daripada kenderaan itu membrek secara mengejut. Degupan jantung mereka bagaikan terhenti. Julia dan Mimi saling berpandangan. Mereka berdua semakin menggeletar.

Friday, April 1, 2011

Novel Janji Julia

Syukur Alhamdulillah, akhirnya novel Janji Julia sudah selamat dicetak dan kini pesanan boleh dibuat di website Bokstation.com.my
dengan harga selepas diskaun RM 19.12 sahaja.

Bagaimanapun, kepada yang berminat untuk mendapatkan novel aksi-thriller ini boleh membelinya di booth Gemilang Publishing semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang akan berlangsung di PWTC hujung bulan April ini.

15 pembeli pertama dan yang mendapatkan tandatangan saya di sana nanti, akan mendapat cenderamata 'kecil' dari saya sebagai tanda kenangan dan terima kasih saya kepada yang terus menyokong novel ini. Apakah cenderamata kecil itu? Akan saya tunjukkan di akhir bulan ini. Walaupun harganya tidak semahal mana, terimalah sebagai tanda persahabatan dari saya kelak.

Oleh itu, jika anda singgah ke booth Gemilang Publishing dan membeli buku ini, carilah saya di sana. Kita boleh bersua muka dan berkenal mesra. Kalau tak beli dan hanya ingin bertemu juga boleh, nanti saya akan umumkan bila tarikh dan masa saya akan berada di situ.

Sempena pelancaran novel ini juga, saya akan menyajikan TEASER novel Janji Julia di sini supaya anda dapat gambaran yang betul mengenai novel ini dan membuat keputusan yang tepat sama ada mahu membelinya ataupun tidak.

Sedikit imbasan mengenai novel ini, ia merupakan manuskrip paling cepat diterima oleh editor. Ia hanya mengambil masa kira-kira seminggu sahaja. Terima kasih kepada editor-editor One Nusantara yang bekerja dengan cepat dan pantas. Begitu juga dengan que penerbitannya, jika dilihat kepada manuskrip yang lain, Janji Julia keluar dahulu ke pasaran.

Cerita ini juga mempunyai pace yang pantas dan berstruktur 'cat and mouse'. Selalunya kita disajikan dengan cerita thriller yang ditunjangi oleh watak utama lelaki -hero tetapi dalam cerita ini saya mengangkat seorang gadis biasa untuk menjadi tunjang belakang ceritanya.

Harapan saya, agar novel ini memberi semangat kepada gadis-gadis atau wanita di luar sana untuk terus berjuang apabila dilanda musibah dan tidak cepat mengalah. Sepatah ayat di dalam novel itu ada menyebut, negara tidak akan hilang selagi ada rakyat yang taat setia.

Saya percaya keamanan dan kedaulatan negara adalah tanggungjawab bersama, tidak kira gender, bangsa dan usia. Saya menyatukan semuanya di dalam novel ini dengan harapan agar kita semua menyayangi negara kita yang cuma satu ini.

Blurb Janji Julia:

Pada tahun 2050, Malaysia telah dilanda wabak yang disebabkan oleh virus Rhyto F99. Wabak ini membunuh hampir kesemua rakyat negara ini dan melumpuhkan sistem ekonomi dan pertahanan negara.

Dalam keadaan yang semakin genting akibat ancaman daripada puak pemberontak No-Mondus yang cuba mengambil alih negara, Julia, seorang pelajar jurusan Farmakognosi telah berjanji kepada sahabat baiknya, Mimi untuk menghantarnya pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat.

Di Lebuh Raya Utara-Selatan, kereta mereka diserang hendap oleh pasukan No-Mondus. Lebuh raya bertukar menjadi sungai darah dan Julia telah membawa Mimi lari ke dalam ladang kelapa sawit.

Mampukah Julia dan Mimi mencari jalan pulang?

Siapakah Dr Idzham dan Dr Simon yang mereka temui di dalam hutan itu?

Bermula esok dan seterusnya saya akan menyiarkan Teaser Janji Julia di sini.
Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda yang menyokong Janji Julia selama ini.