Saturday, April 2, 2011

Teaser JANJI JULIA : Bab 7

SUASANA di pinggir hutan senyap sunyi. Bunyi reriang yang selalunya berbunyi nyaring juga tidak kedengaran. Tiupan angin juga tidak terasa.

Idzham mengerling ke arah jam tangannya. Baru pukul 5.30 petang. Namun keadaan di situ gelap-gelita bagaikan sudah larut malam. Idzham menggenggam lengan Simon, memberi isyarat agar rapat kepadanya. Mukanya terasa panas dan membahang. Bulu romanya tegak berdiri.
Simon segera mengerti. Dia bergerak ke belakang Idzham yang sedang duduk bersila di atas tanah. Dia hanya menunggu.

Idzham menarik nafas. Dia sedar, apa yang dilihat bukan apa yang dipandang sebenarnya. Ini bukan kali pertama dia menjejakkan kaki ke dalam hutan rimba. Dia sudah masak dengan permainan penunggu hutan seperti ini. Permainan dan tipu helah yang kadangkala mampu membuat manusia tersesat berbulan-bulan. Nampaknya kali ini ilmu yang diperturunkan oleh datuknya mahu diuji. Dia tidak ada pilihan lain selain menentang.

Idzham memejamkan matanya. Pernafasannya diatur supaya fikirannya tetap tenang. Dia beristighfar sepenuh hati sambil cuba memusatkan perhatiannya kepada pemilik alam yang Hak. Surah Al-Ikhlas dan Surah Al-Fatihah dibaca berulang kali. Dengan penuh khusyuk dan tawaduk, dia memohon agar diberi perlindungan daripada tipu helah penghuni hutan yang mahu menguji keimanan manusia. Dengan pasrah, dia menyerahkan nyawanya kepada pemilik yang Maha Besar lagi Maha Berkuasa. Dia tidak mengalah pada rasa takut yang cuba dijelmakan dalam hatinya. Takutnya hanya kepada Tuhan yang satu.

Simon semakin merapati tubuh Idzham. Telinganya dapat menangkap bunyi yang berdengung bagaikan ribut berpusaran di sekeliling mereka berdua. Dia menggoncang lengan Idzham, namun Idzham tidak bertindak balas. Matanya dapat melihat suasana sekeliling yang berubah dengan sekelip mata. Ruang yang gelap dan sunyi tadi kini menjadi hiruk-pikuk dengan suara-suara yang tidak difahami ulas butirnya. Dia menoleh ke arah Idzham. Debar di dadanya bagaikan mahu pecah.

Idzham masih lagi berteleku di lantai hutan tanpa bergerak. Tiba-tiba dia terbeliak. Perlahan-lahan alam yang gelap-gelita berubah cerah. Walaupun tidak secerah siang, namun segalanya mula kelihatan satu per satu. Daripada pokok Tualang di hadapan mereka hinggalah ke anak-anak pokok di atas lantai hutan. Pusaran ribut dan bunyi yang riuh-rendah itu tiba-tiba menghilang. Yang kedengaran kini hanyalah teriakan burung-burung hutan dan jeritan reriang. Dia mengeluh lega. Seolah-olah baru muncul dari dalam gaung.

“Idzham, buka mata!” Simon menggoncang-goncang tubuh Idzham yang masih lagi kelihatan seperti tidur nyenyak.

Idzham tersentak. Serta-merta jantungnya berdegup laju semula. Dia menoleh ke arah Simon yang menuding jari ke satu arah. Idzham turut menoleh ke arah kanan. Alhamdulillah. Dari situ sebuah denai kecil kelihatan. Mereka pasti, denai itu akan membawa mereka pulang ke tapak perkhemahan mereka yang ditinggalkan pagi tadi.

“Macam mana tadi boleh tak nampak?” Simon melangkah laju sambil menggaru kepalanya.
Idzham tidak menjawab. Biarlah persoalan itu kekal misteri kepada Simon. Jika dijelaskan pun, mungkin sukar untuknya menerima. Langkah Simon diekori dengan tenang. Dalam hati, Idzham masih terus berzikir dan berdoa. Syukurlah, satu lagi rintangan telah diatasi. Pokok yang dibawa pulang semakin kemas dalam genggamannya.

*****

Setelah berjalan masuk hampir satu jam, mereka tiba semula ke tapak perkhemahan yang terletak di antara beberapa batang pokok besar. Tempat itu landai dan lapang. Sebuah khemah dan sebuah bangsal kerja didirikan dengan elok di situ. Deruan air dari jeram yang berhampiran seolah-olah memanggil-manggil mereka untuk membersihkan diri yang sudah berlengas dengan peluh.

Simon terus menuju ke khemah. Beg sandangnya dicampakkan ke dalam. Kemudian, dia melangkah pula ke tapak unggun api. Asap yang naik berkepul-kepul membuatkannya terbatuk-batuk di situ.

“Aku masak air dulu!” laung Simon dari jauh. Jarinya ligat menyapu matanya yang pedih.

Idzham cuma mengangguk. Dia sudah ada di bawah bangsal kecil yang dibina bersama Simon. Itulah bangsal kerja mereka berdua yang juga merangkap tempat mencatat segala pemerhatian yang telah dilakukan selama ini. Di situ ada sebuah meja panjang dan sebuah pangkin. Pokok herba yang ditemui tadi diletakkan elok-elok di atas meja. Dia berhenti sebentar untuk melihat pokok-pokok herba yang digantung pada alang bangsal itu. Semuanya sedang mengering dengan baik. Anehnya, tidak ada sehelai daun pun yang gugur ke tanah. Dia menjadi leka seketika.

Hari semakin gelap. Idzham segera melangkah ke arah jeram. Di pertengahan jalan, dia berhenti sebentar melihat Simon yang sedang menjerang air di dalam sebuah cerek berwarna hitam. Kawasan itu sudah dipenuhi asap. Idzham mencuit bahu Simon lalu memberi isyarat.

“Kayu basah. Malam tadi kena hujan, sampai malam ni pun belum kering,” sungut Simon sambil meniup nyalaan api yang mula merebak. “Ha, nyala pun!” Dia semakin gembira. Satu demi satu kayu api disusun. Asap mula berkurangan di situ.

Idzham tersenyum lalu memberi isyarat menunjuk ke arah sungai.

“Pergilah dulu. Nanti aku datang,” jawab Simon seraya bangkit berdiri dan mencapai periuk nasi pula. “Idzham, kau nak makan nasi ataupun mi?” tanyanya lagi.

Idzham menjawab menggunakan isyarat jari.

“Lauk? Ikan jerung dengan Sos Tiram Berkeju,” jawab Simon sambil tersengih.

Idzham tergelak. Dia tahu Simon cuma bergurau lantas dia memberi keputusannya.

“Okey, aku masak mi sajalah,” kata Simon sambil menyelongkar tong bekalan mereka. Dua bungkus mi segera dicapai sambil bersiul.

******

Idzham meneruskan langkahnya ke tebing anak sungai. Tuala yang tersangkut pada cabang dahan anak pokok Sengkawang ditarik lalu disangkutkan pula ke bahu. Langkahnya semakin laju. Aliran jeram itu kelihatan lebih deras daripada biasa. Rupanya pun lebih keruh. Idzham menoleh ke arah hulu. Segalanya nampak tenang. Tanpa berlengah, dia terjun ke dalam anak sungai. Sebaik-baik tubuhnya menyentuh air, rasa sejuk segera memanjat tubuhnya hingga ke kepala. Tubuhnya menggigil kesejukan.

Sesungguhnya dia senang berada di situ. Walaupun tidak seselesa duduk di rumah, namun di situ dia menemukan ketenangan yang dicari. Kehidupan di bandar yang semakin sesak membuatkannya sukar mencari ruang untuk bersendiri. Dan arus kehidupan yang semakin maju pula hampir membuatkannya tidak bernafas. Terlontar di situ adalah anugerah yang dicari. Jawapan kepada doa yang diminta. Empat bulan di situ, tidak ada satu saat pun yang dikesali kecuali ada rasa rindu yang sesekali mengganggu. Rindu kepada ibunya.

“Pergilah, Am. Jangan risaukan mak. Kalau umur mak panjang, mak takkan apa-apa di sini.” Kata-kata ibunya terngiang semula.

Meskipun hatinya berat untuk meninggalkan ibunya yang sedang sakit pada waktu itu, namun kata-kata itu memberikan suntikan semangat kepada dirinya. Dia sedar, ibunya faham mengapa dia harus pergi ke situ. Setuah Biru harus dicari sehingga jumpa. Jika takdir telah memisahkan mereka, takdir juga yang akan menemukan mereka semula. Dia cukup yakin Tuhan Maha Mengetahui.

Dia mendongak ke langit. Matahari sudah tenggelam di balik kanopi hutan. Senja mula merangkak tiba dan gelap malam mula menyelubungi kawasan itu. Dia segera tahu yang waktu solat maghrib sudah tiba. Setelah dirasakan badannya cukup bersih, dia naik ke tebing sambil memijak batu-batu yang terdapat di situ. Tangannya mencapai tuala. Namun, dia tersilap jangka.

Buk! Idzham tergolek di celah batu. Pinggulnya terhentak. Dia mengerang sekuat hati. Wajah ibunya terbayang di ruang mata.

*****



Di pinggir Lebuh Raya Utara-Selatan…

Laungan Mimi menyentakkan Julia daripada kaget. Dia segera berlari dan melangkah palang. Beg pakaian Mimi diheret ke seberang jalan lalu ditolak ke bawah. Beg itu terburai, lalu Mimi tergesa-gesa mengutip segala barang yang bertaburan. Julia turut terjun meloloskan diri di dalam lubang longkang itu. Dia jatuh terduduk di tepi Mimi. Perutnya terasa senak.

“Cepat! Kita kena balik ke ladang,” kata Julia seraya bangkit mengheret beg semula.

“Ju, jangan! Aku takut mereka nampak kita nanti,” bantah Mimi. Dia sudah terperosok di kaki tebing. Tidak bergerak.

Julia teragak-agak. Telinganya menangkap deruan enjin yang semakin kuat menghala ke situ. “Cepatlah, Mimi! Sempat lagi.”

Mimi menggeleng. Bukan dia tidak mahu tetapi gerak hatinya begitu keberatan. “Kita tunggu sini dulu, Ju. Nanti mereka nampak kita.” Tangannya mencengkam baju Julia.

“Kalau tunggu sini, lagilah mereka boleh nampak kita,” balas Julia lalu merentap pegangan tangan Mimi.

Mimi tidak menjawab lagi. Dengan berat hati, dia cuba bangkit. Namun belum sempat mereka melarikan diri ke ladang semula, kedengaran bunyi kenderaan yang semakin hampir. Tanpa sedar, Julia menolak tubuh Mimi ke tebing sekuat hati.

Mimi menggigil. Semakin kenderaan itu mendekati tempat mereka, semakin kuat debar di dadanya. Tubuhnya sudah mencium tebing. Dia hanya mampu berdoa agar kegelapan malam yang baru menyelubungi kawasan itu melindungi mereka berdua daripada pandangan penjenayah-penjenayah itu.

“Diam!” bisik Julia. Dia juga sudah memeluk tebing.

Mimi segera mengangguk. Kedua-duanya menahan nafas. Dia memasang telinga dengan teliti. Sebuah demi sebuah kenderaan penjenayah melintasi kawasan itu. Tiba-tiba salah sebuah daripada kenderaan itu membrek secara mengejut. Degupan jantung mereka bagaikan terhenti. Julia dan Mimi saling berpandangan. Mereka berdua semakin menggeletar.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.