Wednesday, July 3, 2013

Bagaimana saya mendapat idea untuk menulis Novel SUARA TENGAH MALAM


Novel Suara Tengah Malam bakal diterbitkan pada bulan September 2013. 
Nantikan ya!

Seperti yang pembaca blog KC sudah sedia maklum bahawa novel terbaru akak yang bertajuk Suara Tengah Malam akan diterbitkan oleh BukuPRIMA pada bulan 9 nanti. Insya-Allah. Dan rasanya pembaca blog KC yang setia memang tahu bahawa cerita ini pada awalnya bertajuk 'Misteri Cinta Semalam' yang diberi tajuk baru. Juga lebih dikenali sebagai cerita' budak nyanyi lagu Cina'. Apa-apalah ya...hehe.

Okey, kali ini akak ingin berkongsi cerita bersama pembaca setia KC mengenai bagaimana akak mendapat idea menulis novel ini pada mulanya.

Semuanya bermula apabila akak sekeluarga berpindah ke rumah yang sekarang akak huni. Pada masa itu, taman perumahan ini masih kosong. Akak sekeluarga merupakan satu-satunya penghuni rumah di lorong 17. Oleh itu suasananya amat menyeramkan apabila malam (siang -seram juga) kerana tidak ada lampu jalan dan rumah-rumah penghuni lain semuanya masih kosong dan gelap. Kemudian pada satu malam....

Akak terdengar suara budak menangis dan meraung. Tangisan ini berlarutan hinggalah ke pukul 2.00 pagi kadang-kadang. Apa yang lebih membuat akak tertekan ialah tangisannya hampir setiap malam berlarutan begitu sehingga perasaan akak pula yang terganggu memikirkan keadaan kanak-kanak tersebut. Dan itulah lahirnya idea mengenai SUARA kanak-kanak dalam cerita ini nanti. Walaupun kanak-kanak dalam Suara Tengah Malam selalu menyanyikan sebuah lagu Cina namun..... ia selalu disusuli esak tangis yang mempunyai erti.

Apa ertinya, mengapa budak itu menangis, mengapa dia menyanyikan lagu Cina...jawapannya ada dalam novel itu nanti. Baca sehingga habis ya..

Kemudian pada suatu hari semasa akak berjalan di sekitar bandar, akak terlihat rumah di bawah. Semasa akak melihatnya... akak mendengar 'rasa yang sayu'. Dengan itu akak gabungkan kisah suara budak kecil tersebut dengan rumah tersebut yang menjadi latar penting dalam novel Suara Tengah Malam nanti.

Gambar rumah yang menjadi model kepada rumah Mak Minah -latar penting untuk cerita ini.
Sekarang rumah ini telah dirobohkan.

Begitulah bagaimana tercetusnya idea akak untuk menulis novel tersebut. Dan seperti kebiasaannya, akak selalu menulis sebuah cerita yang berdasarkan tempat dan latar sebenar. Untuk novel STM ini akak telah pergi ke beberapa buah tempat untuk mencari lokasi dan merasai pengalaman sebenar di sana.

Jalan yang menuju ke Jalan Semerang.
Laluan ini disebut berkali-kali dalam novel STM.

Akan datang, akak akan ceritakan lagi beberapa perkara mengenai novel ini. Mungkin berkenaan lagu yang terdapat dalam novel ini, berkenaan makanan dan lokasi kedai-kedainya dll. 

Doakan penerbitan novel ini berjalan lancar dan 
semoga pembaca setia KC sudi memberikan sokongan kepada STM.

Salam penulis. Salam Sayang.

Dari meja,
MK

Tuesday, July 2, 2013

SUARA TENGAH MALAM -Bab 3 : Dia sudah lama menangis...

Suara Tengah Malam -Bab 3 
telah disiarkan di halaman ILHAM


“SORRY  lah brother, adik aku tak jadi pula pindah. Sorry ya.”
“Mana boleh macam tu, bro? Lusa aku dah kena masuk kerja. Mana sempat lagi nak cari rumah sewa lain?” Nafas Rafiq semakin kencang keluar masuk. Kepalanya nanar seketika. 
“Habis? Aku pun tak boleh buat apa.”
“Aku tambah sewa lagi satu ratus. Macam mana?”
“Tak bolehlah… adik aku nak pakai bilik tu. Sorry, bro.” Panggilan diputuskan.
Rafiq berdengus keras. Ingin sahaja dia menelefon lagi, lelaki yang pernah berjanji akan menyewakan sebuah bilik di rumahnya pada dua minggu lalu. Alih-alih pula di saat-saat akhir begini, berubah fikiran. Namun dia sedar, tidak ada gunanya jika dia berbuat begitu. Keputusan nampaknya sudah muktamad, entah apa sebabnya dia sendiri kurang pasti. Tanpa sedar, dia termenung kosong di kerusi taman di luar rumahnya dengan perasaan marah yang membuak-buak.


Friday, June 28, 2013

SUARA TENGAH MALAM : Bab 2 - Dia sudah lama menangis


Bab 2 : Suara Tengah Malam sudah disiarkan di ILHAM


Petikan:

“Berhentilah buat kerja tak guna tu. Zaman sekarang ni, orang hanya fikirkan pasal duit bukan pasal dendam. Lagipun perempuan boleh dibeli. Dan untuk kau abang boleh beri percuma. Cakap saja nak dari negara mana, bangsa apa, semuanya ada.” Botak ketawa sendiri.
“Kau mana faham?” balas Zed. “Kau bukan pernah bercinta.”
“Cinta? Ada apa pada cinta?” Botak ketawa besar bagaikan orang mabuk. “Cinta itu alasan budak-budak yang tak ada duit. Hulur cinta dapatlah perempuan yang boleh dibawa tidur. Tapi kita orang kaya. Kita tak pakai cinta, kita pakai duit. Pakai duit!”

Zed tidak membalas. Wajahnya tetap dingin dan beku seperti hatinya juga. Dia tidak peduli apa pendirian Botak pasal cinta, dia cuma percaya kepada pendiriannya sahaja.

Wednesday, June 26, 2013

SURA TENGAH MALAM - BAB 1 - Dia Sudah lama menangis

Akan terbit pada bulan 9 !


Bab 1 sudah disiarkan di ILHAM.



“Rm 40.00 satu malam. Bilik tak ada aircond tapi ada kipas,” terang seorang perempuan Cina yang berusia dalam lingkungan 40-an. Rambutnya kembang dan berkerinting. Hanya dia yang ada di kaunter pertanyaan rumah tumpangan di situ.
“Toilet?” Adam bertanya dengan suara yang kuat bagi menyaingi bunyi televisyen di belakang kaunter itu.
Wanita itu mengangguk.
Adam berasa sungguh lega. Soal lain dia tidak kisah sangat tetapi jika soal bilik air, dia tidak sanggup berkongsi dengan sembarangan orang. Dia mudah jijik, tandas awam pun dia selalu elakkan.
“Saya mahu satu malam dulu.” Hatinya kini lega. Akhirnya dia dapat juga tempat bermalam. Tempat untuk merebahkan badan dan melepaskan rasa penat setelah memandu seharian.

Sunday, June 23, 2013

PROLOG : Novel SUARA TENGAH MALAM - Dia sudah lama menangis.


Assalamualaikum. Saya ingin berkongsi berita yang baik dengan pembaca-pembaca setia blog ini iaitu jika tidak ada aral melintang, pada bulan 9 nanti, sebuah novel baru saya akan diterbitkan oleh Buku PRIMA di bawah tajuk  'SUARA TENGAH MALAM"

Unuk pengetahuan anda, SUARA TENGAH MALAM adalah tajuk baharu kepada mss Misteri Cinta Semalam.

Mulai minggu ini saya akan muat naik semula kesah tersebut di ILHAM. Anda boleh baca semula perjalanan ceritanya hingga bab ke 25.

PROLOG boleh dibaca di sini:  PROLOG Suara Tengah malam

Terima kasih atas sokongan setia anda.

Friday, June 21, 2013

Cerpen ' Mencari Hakiki' dalam Mingguan Wanita


Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi. Sebuah lagi cerpen saya diterima untuk disiarkan di majalah 
Mingguan Wanita bil 1544.

Jemputlah baca ya.

Saya juga ingin membuat pengumuman bahawa dalam masa beberapa bulan lagi, sebuah novel terbaru saya akan muncul di pasaran. Buat masa ini tajuk dan kulit muka belum ditetapkan nanti. 
Akan saya umumkan di sini nanti.
Doakan semuanya berjalan dengan lancar ya.
Terima kasih atas sokongan setia anda, pembaca blog KC.

Saturday, June 15, 2013

Hari Harta Intelek Negara 2013 dan Seminar Hak Cipta


Pada hari Khamis ( 13 Jun 2013), saya  mewakili IPM (Ikatan Persuratan Melayu) untuk menghadiri acara perasmian Hari Harta Intelek Negara 2013 yang diadakan di MITC. Acara ini telah dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, YB Dato' Hasan dan juga Ketua Menteri Melaka, YB Dato' Wira Ir. Ideris.


Menteri,  Ketua Menteri Melaka bersama exco, dan barisan kehormat di atas pentas sejurus sebelum upacara perasmian.


Seminar Hak Cipta : Tuan Zahrin Zamzuri (Jackal), Tuan Mohamed Fairuz (Pengarah Bahagian HakCipta Myipo) dan Novelis Puan Fauziah Ashaari.


Pada hari Jumaatnya pula ( 14 Jun 2013), saya menghadiri Seminar Hak Cipta yang dianjurkan oleh Perbadanan Hata Intelek Malaysia (Myipo) di MITC. Dalam seminar ini saya didedahkan mengenai Hak Cipta sesuatu karya, undang-undang dan cara permohonan kepada pihak Myipo. Pada sesi ketiga, diadakan sesi dialog bersama kartunis Jackal dan juga Novelis Fauziah Ashaari (Ombak Rindu) yang berkongsi mengenai pengalaman mereka dalam hal bersangkutan dengan hak cipta.

Secara keseluruhannya, saya amat bersyukur kerana didedahkan dengan acara dan seminar ini di mana saya mula sedar akan hak intelek saya. Inya-Allah, dalam sedikit masa lagi saya akan mendaftar karya-karya saya di Myipo sebagai harta intelek.