Saturday, March 12, 2011

CAFE CINTA: Bab 2

Oleh kerana kerumitan di sana masih belum dapat diperbaiki
oleh itu sebagai bacaan hujung minggu,
saya siarkan Bab 2 : Cafe Cinta (Chicklit)
*********

CAWAN dan piring di hadapanku telah pun kosong. Datin Azizah sudah lama menghilangkan diri ke tingkat atas. Rumah banglo itu mula terasa sunyi dan sangat menenangkan. Aku goyang bahu Nina yang juga sedang melayan mata kuyunya di sebelah aku. “Aku nak baliklah, Nina. Nanti aku terlelap pula kat sini.” Aku capai beg tangan dan kunci kereta. Tapi belum sempat aku berdiri lurus, satu suara lelaki menyapa pendengaranku.

“Nina, betul ke apa yang abang dengar?” tanya seorang lelaki yang baru masuk ke ruang tamu. Dari pakaiannya, menunjukkan yang dia baru saja balik dari ofis. Tali leher pun belum ditanggalkan. Dia merenung tajam wajah Nina sambil mencampakkan kot yang dipegang ke atas sofa. Dia lantas duduk menghadap kami berdua. Resah-gelisah saja lakunya.

Aku tak jadi melangkah. Aku duduk semula di sebelah Nina yang juga sudah kelihatan segar semula. Aku senyum ke arah lelaki itu. Aku kenal dia, sama seperti aku kenal Nina puluhan tahun yang lalu. Nama panggilannya, Shah. Dia abang Nina yang nombor dua. Yang sulungnya, bekerja di luar negara dan yang bongsunya pula sudah berkahwin dan tinggal di Johor. Jadi, inilah satu-satunya abang Nina yang bakal memberikan tentangan. Aku yakin Nina sedar perkara itu.

Aku lihat, Nina mengangguk dengan tenang tapi masih belum membuka mulut.

“Apa yang Nina tahu tentang buka café ni?” Seperti yang diduga Shah mula mengangkat suara. Wajahnya tegang sahaja bagai bersedia untuk berperang.

Nina tak tunggu lama, dia terus saja menjawab, “Sebab tak tahulah nak tahu. Dan nak tahu kenalah berani mencuba. Kalau tak cuba teruslah tak tahu.”

Tanpa diduga, Shah ketawa besar. “Cuba? Cuba free bolehlah. Ini pakai modal dekat beratus ribu.” Dia mula mengomel. Pandangan matanya jadi redup di balik keningnya yang hitam lebat. Sinis sekali senyumannya.

“Bisnes mana yang tak pakai modal, bang?” tanya Nina pula. Suaranya juga sudah sama tinggi dengan suara Shah. Aku di tengah-tengah rasa berdengung. “Abang buka bisnes kereta pun pakai modal. Kalau buka bisnes bilik air pun kena bina tandas tau.”

“Abang tahu, cuma Nina masuk bidang ni tanpa pengalaman. Silap-silap, boleh lingkup dalam masa enam bulan saja.” Jari telunjuknya sudah menekan-nekan meja.

Aku jeling Nina. Wajahnya merah padam. “Asasnya dah ada. Bisnes adalah bisnes. Modal akan jadi untung,” kata Nina lagi.

Shah mengangguk. “Secara teorinya memanglah macam tu tapi ini bisnes makanan. Kalau tak cukup daya tahan, belum sempat naik dah bungkus,” bidas Shah lagi. “Modalnya tak tahan lama, sehari dah boleh basi.”

Nina menggeleng. “Doakanlah macam tu. Abang tu memang dengki dengan Nina kan?”
Wajahnya kulihat berubah muram, nak menangis aje. Aku yakin, hatinya sedang sakit apabila rancangannya diperlekehkan.

Shah tersenyum sinis lagi. “Dengki? Nak buat apa abang dengki kat kau? Abang bukannya berniaga nasi lemak.”

Wajah Nina bertambah tegang. “Apa yang abang nak bagitau Nina sebenarnya?”

“Ha... dengar sini, abang nak cakap.” Shah membetulkan duduk. “Dengan modal sebanyak itu, lebih baik Nina sambung belajar. Sementara umur masih muda dan belum ada komitmen apa-apa. Dah beranak-pinak esok, dah payah dah.”

Jawapan Shah bukannya membuatkan Nina tenang, malah sebaliknya. “Kalau Nina nak belajar, dah lama Nina pergi. Yang abang macam susah hati sangat tu, kenapa? Nina tak minta modal abanglah.”

“Abang tahu, bukan abang yang keluar modal. Tapi abang cuma nak ingatkan Nina, jadi tauke bukan semudah yang orang sangka. Berat tanggungjawabnya.” Shah tanggalkan tali lehernya, mungkin dia sendiri mula rasa panas dek situasi itu.

“Abang bercakap macamlah Nina budak-budak,” balas Nina. Muncungnya sudah boleh diikat. Dia tak memandang ke arah Shah lagi, tapi berpura-pura membelek-belek majalah yang ada di atas meja kopi. Aku diam saja di tengah-tengah. Aku tak kuasa nak masuk campur, kerana mereka berdua sememangnya seperti anjing dengan kucing sejak kecil. Situasi sebegitu bukan asing lagi bagi aku.

Tiba-tiba, Shah tersenyum ke arahku. Aku tahu, Shah sedar yang adiknya sedang merajuk kerana rancangannya tak disokong. “Abang ingatkan saja. Kalau Nina buka café nanti, abang juga yang ada tempat untuk melepak dengan kawan-kawan abang. Bolehlah kami makan free selalu.”

“Itulah mentaliti abang. Semua nak free. Kalau nak makan free kena basuh pinggan dulu,” jawab Nina.

Shah masih tersenyum panjang melihat gelagat Nina. Sambil mengangkat punggung dari situ, sempat dia merungut, “Nina…Nina…goreng telur pun hangus.” Dia sempat lari sebelum sebiji bantal yang dibaling Nina hinggap ke punggungnya.

Aku menarik nafas lega. Semuanya sudah selesai, tak ada apa lagi yang sepatutnya menjadi halangan Nina selepas ini. “Okeylah tu. Kesimpulannya semua orang dah bersetuju kan? So, I wish you all the best. Apa nama café kau tu?” Aku angkat punggung untuk balik, sudah lewat sangat.

“Café Cinta,” jawab Nina. Dia bangun juga untuk hantar aku ke kereta.

“Apa? Ulang lagi sekali?” Aku sangkakan telinga aku yang salah dengar.

“Café Cinta,” ulang Nina sambil menjeling. Segetus cubitan juga hinggap di lenganku.
Sakitnya! Aku tersenyum sambil melirik ke arah Nina. “Amboi… romantiknya nama.” Aku sebenarnya ketawa dalam hati. Punyalah banyak nama dalam dunia ni…nama itu yang dia pilih. Erm… cinta. Menyebutnya saja, aku rasa malu dan seram sejuk.

“Itu nama asal café tu lah. Aku sengaja tak tukar, aku ambil alih saja pendaftaran syarikat tu sebab aku terharu dengar kisah cinta tuan café tu.”

“Oh! Ya ke…apa kisahnya?”

“Tahun depanlah aku cerita. Kau baliklah dulu, nanti mama kau bising, anak dara dia dah hilang sehari suntuk,” kata Nina sambil menolak tubuhku ke depan.

Aku ketawa. Senyuman di wajah Nina membuat aku lega dan bahagia. Sebagai kawan, aku tahu Nina akan berdepan dengan lebih banyak rintangan selepas ini. Asal dia bahagia, aku pun tak menghalang. Café Cinta pun, Café Cinta lah…

*****
DIPENDEKKAN cerita, setelah hampir dua bulan bertungkus-lumus membuat persiapan, impian Nina akhirnya menjadi kenyataan. Dengan bantuan dari ahli keluarganya dan juga aku, semua masalah, besar dan kecil dapat diatasi. Kini tibalah masanya untuk menguji segala perancangan yang telah diatur sejak berbulan yang lalu boleh dilaksanakan.

Aku juga telah menaja satu papan tanda perniagaan yang baru untuk café itu untuk menggantikan papan tanda yang lama. Warnanya lebih cerah, dengan huruf yang besar dan lilitan lampu neon untuk menyuntik kemeriahan di malam hari. Aku berharap papan tanda ini tidaklah memberi imej bahawa café ini hanya untuk tempat orang yang bercinta. Pendek kata siapa-siapa saja boleh datang ke sini menjamu selera sambil berehat walau namanya Café Cinta.
Sejujurnya aku tak tahu, dari mana tuan punya yang asal mendapat nama itu tapi aku tak suka langsung. Bagiku tak trendy malah terasa gatal bibirku menyebutnya. Apalagi apabila nak memperkenalkannya kepada kawan-kawan dan klien. Tapi, demi Nina aku simpan sahaja pendapatku itu. Kerana aku lihat dia sudah banyak berkorban masa dan rasa bagi menjayakan rancangan itu. Kalau diikutkan aku, sudah lama aku tukar!

Sebagai perunding imej perniagaan, aku berkeras mahukan café itu mempunyai imej yang lebih segar, sesuailah dengan usia tuan punyanya yang baru masuk 25 tahun. Uniform pekerja juga aku tukar kepada warna hijau ‘honeydew’. Dan hiasan dalamannya juga aku tukar ala-ala café La Charlotte de L'isle di kota Paris yang bertemakan warna coklat muda, perabot kayu dan hiasan ala-Eropah. Lantainya kayu berwarna Brazilian Cherry dan dindingnya dilapisi wallpaper berjalur hijau dan classic cream. Bukannya perlu keluar modal sangat, sebab rumah Nina sendiri penuh dengan perhiasan yang sesuai, aku angkut sajalah ke situ!

Café Cinta sebenarnya sebesar dua buah lot kedai. Jadi aku membahagikannya kepada dua kawasan. Satu kawasan yang terletak di tepi jalan, aku tutup dengan dinding kaca. Aku jadikan ruang makan berhawa dingin. Lebih cozy dan privacy dengan lampu tergantung warna oren pada setiap meja. Ada sofa berbunga-bunga, meja kopi, lampu tinggi yang aku sediakan di tepi tingkap di sebelah kaunter jika ada pelanggan yang terpaksa menunggu tempat atau sekadar mahu minum secawan kopi sambil membaca surat khabar tanpa gangguan.

Di ruang sebelah kanannya pula yang menghadap pintu masuk adalah kawasan terbuka. Di antara kedua ruang ini ada sebuah meja hidang yang panjang. Di atasnya tersusun chafing dishes yang pelbagai bentuk, serta peralatan hidang yang lain. Aku juga meletakkan sejambangan bunga besar pelbagai warna di tengah-tengah meja sebagai penghias dan pembahagi ruang. Dan di tepi pintu masuk pula, ada sebuah kaunter untuk pembayaran.

Hari itu adalah hari perasmian Café Cinta. Sejak pagi lagi, aku sudah ke situ membantu apa yang termampu. Setakat susun-susun kerusi dan kemas meja tu, bolehlah. Datuk Zakaria dan Datin Azizah juga hadir sama memberikan sokongan. Yang belum nampak muka adalah Shah dan kedua ibu bapaku.

“Kenapa asyik keluar masuk toilet aje?” tanyaku setelah melihat Nina resah gelisah tak sudah-sudah. Asyik tak boleh duduk diam.

Nina menyapu peluh di mukanya. “Perut aku tak sedaplah, dari bangun tidur tadi rasa semacam aje.”

“Kau salah makan ke?”

Nina menggeleng.

Aku tersenyum, aku dah tahu kenapa. “Kau gabra sangat ni. Rilekslah sikit. Buat macam biasa aje. Macam kau bukan tauke,” nasihatku yang pakai hentam kromo sahaja. Tapi, itu saja yang terlintas dalam kepalaku untuk menyelamatkan keadaan. Muka Nina sudah pucat sangat, malah pipinya sejuk macam air batu.

Dahi Nina semakin berpeluh walau kipas hanya dua kaki dari mukanya. Aku tahu dia benar-benar gementar hari itu. Sambil menyapu peluh dengan sapu tangan, dia tak habis-habis memerhati ke sekeliling kedainya. Ada saja yang dibelek dan ditanya kepada pekerja.

“Boleh tahan sambutannya,” komenku sambil ikut memerhati. Sejak dibuka pada pukul 7.00 pagi tadi, pelanggan dan jemputan tak pernah putus-putus. Sebagai tanda penghargaan, hari itu Nina menyediakan makan pagi percuma untuk para pelanggan. Nampaknya dalam masa tiga jam sahaja semuanya hampir licin. Tak lama lagi masa tengah hari pula, itu yang membuatkan Nina resah gelisah.

“Lauk masih ada yang belum masaklah,” rungut Nina. Sudah beberapa kali dia berulang-alik menjenguk dapur.

“Rileks, mak cik tu tahulah buat kerja dia. Dah kata pukul 11.30 pagi kena hidangkan lauk dan nasi, nanti siaplah tu,” pujuk aku. “Kau kena percayakan pekerja kau. Kalau mereka tak buat kerja dengan betul, baru kau tegur.”

Nina diam saja, mungkin sedang memikirkan kata-kata aku tadi. Walau aku tak pernah berniaga makanan, tapi aku percaya staf adalah aset. Kita kena percaya dan menghargai mereka, baru kerja menjadi mudah. Kalau semua majikan nak uruskan, boleh mati terkangkanglah jawabnya.

“Tu ada customer masuk, pergilah layan,” kataku apabila terlihat dua orang pemuda berhenti di muka pintu café itu. Mereka seperti teragak-agak.

Nina memerhati sekeliling, semua pekerjanya sedang sibuk. “Aku ke?” tanyanya semula.
“Takkan aku pula? Kau pergilah. Buat selamba aje,” pujukku sambil mendorong tubuh Nina ke depan. Aku pula menarik sebuah kerusi dan duduk dengan selamba memerhati keadaan. Sesekali pandangan mataku melirik ke arah Datin Azizah dan Datuk Zakaria yang sibuk berbual di ruang yang berhawa dingin. Hendak saja aku panggil untuk sama-sama menyaksikan bagaimana Nina buat kali pertamanya melayan pelanggan!

Mahu tak mahu, Nina maju ke depan bersama sebatang pen dan buku pesanan. Langkahnya seperti teragak-agak. Mukanya semakin pucat. Aku pasti, dia begitu cemas.

Aku yang melihat dia berjalan dengan memakai T-Shirt hijau muda itu mula tersenyum. Comel juga, Nina dalam baju tu. Dengan rambutnya yang diikat tinggi dan sneakers putih yang dipakai, sekali pandang, macam budak sekolah lagi. Tapi, apa-apa pun, segalanya sudah bermula. Goodluck, Nina, kata hatiku. Aku pula yang tiba-tiba jadi nervous.

*****
Gambar Macchiato : source

“ENCIK nak minum apa?” tanya Nina sambil membuka buku pesanan. Matanya tetap memandang buku kecil itu dan tak menoleh langsung ke arah lain.

Aku yang duduk di meja selang dua baris dari meja yang dipilih oleh pemuda-pemuda itu hanya menadah telinga. Sesekali anak mataku sempat memerhati wajah keduanya, boleh tahan. Cuma apabila pandangan mataku bertembung dengan pandangan pemuda yang duduk berhadapan denganku, aku mula rasa tak senang. Rasa nak cucuk-cucuk saja mata tu.

“Aku minum yang biasa, Zaki,” kata pemuda yang bertubuh lebih kecil. Cermin mata hitamnya masih belum dibuka.

Nina menoleh ke arah rakan pemuda itu pula. Aku lihat, dia masih sabar menunggu pesanan walau sudah berdiri hampir dua minit di situ.

“Nescafe Ais, satu dan Macchiato. Ada?” Pemuda itu merenung Nina.

Nina cepat-cepat mengangguk tanpa menoleh.

“Makan apa ada? Nasi lemak ada? ”

“Ada. Encik boleh pilih di sana. Pagi ni, makan pagi percuma.” Nina segera menulis pesanan.

“Ada apa-apa lagi, encik?”

“Ada! Siapa tauke kedai ni?” Pemuda itu memandang Nina lama-lama.

“Tauke? Er…dia tak ada,” jawab Nina. Aku lihat Nina sudah mula menggelabah semula. Aku ikut cemas.

“Aku tanya siapa tauke kedai ni, bukan tanya dia ada atau tak.” Dia pandang Nina sambil berkerut dahi. Mungkin dia fikir Nina ni warga tempatan ataupun bukan, agaknya sebab susah sangat nak faham cakap dia. “Dulu, warna kedai ni lain kan, seingat aku. Dah tukar tauke ke?” Pemuda itu menyoal lagi dengan nada yang cukup serius. Aku rasa tersinggung, macam apa yang aku dah buat ni tak cantik aje.

Air muka Nina berubah. Dengan terketar-ketar dia menjawab, “Ya, dah tukar tauke. Tauke kedai ni bukan lagi Pak Cik Osman.”

Aku ketawa kecil di balik suratkhabar Ronda KL yang kupegang tinggi. Selepas itu, aku hanya sedar Nina berjalan melepasi aku ke dapur, laju saja langkah kakinya, macam baru balik dari medan perang!

*****
SEMENTARA menanti Nina menghabiskan kerja-kerjanya di dapur, aku duduk di meja itu sambil berpura-pura tekun membaca surat khabar. Dalam pada itu, aku juga memasang telinga mendengar perbualan di antara kedua pemuda tadi. Entah kenapa, ada sesuatu yang menarik perhatianku terhadap mereka.

“Ramai juga orang datang,” kata pemuda yang menyergah Nina tadi. Rambut ikalnya diusap-usap ke belakang sambil memerhati keadaan sekeliling yang sudah banyak berubah. Namun pandangan matanya yang tajam seringkali buat aku terkejut.

“Ya? Patutlah dengar riuh saja dari tadi. Kedai baru, tentulah orang nak cuba rasa. Kalau sedap bolehlah datang selalu,” jawab rakannya yang lebih kurus dan berkaca mata hitam itu pula.

“Ha’ah. Tapi kedai ini yang paling dekat dengan rumah sewa kau, kan?” balas rakannya. “Tak payahlah, kau jalan jauh-jauh cari makan lagi.”

Rakannya yang berkaca mata itu kulihat hanya tersengih-sengih. Tapi dari situ aku tahu, bahawa mereka hanya tinggal di sekitar situ, mungkin di salah sebuah flat yang berhampiran café itu. Senanglah Nina, kalau mereka jadi pelanggan tetap di situ. Sedang aku berfikir, Nina muncul semula sambil menatang sebuah dulang.

“Jemput minum, encik,” kata Nina sambil meletakkan air yang dipesan tadi. Dia segera berpaling apabila pemuda itu merenungnya sambil tersenyum.

“Sombong!” Aku dengar pemuda itu merungut di belakang Nina.

Nina tak menjawab tapi dia melangkah laju ke arah mejaku. Wajahnya merah padam. Belum sempat dia membuka mulut, kami disergah oleh suara yang riuh-rendah. Rupa-rupanya rakan-rakan sekolej kami dulu yang datang memberi sokongan. Nina segera bangkit, mengambil minuman. Aku lihat dia telah dapat melupakan insiden tadi dengan cepat. Lega juga hatiku.

Aku sempat menoleh ke meja pemuda itu. Aku lihat mata pemuda tadi semakin besar, mungkin sedang berpesta mencuci mata dengan gelagat kami di meja ini. Oh! Lelaki, pantang nampak perempuan muda, hatiku merungut. Aku cuba menumpukan perhatian kepada perbualan dengan rakan-rakanku tetapi dalam masa yang sama, aku tetap mencuri dengar perbualan di meja sana.

“Ramai pulak awek cun kat kedai ni,” komen pemuda berambut ikal itu lagi sambil meneguk kopi Macchiatonya perlahan-lahan. Pandangan matanya sesekali meliar ke arah mejaku yang masih riuh rendah.

“Kawan-kawan tauke kedai biasanya tu. Macam kita pergi kedai Amir hari tu masa pembukaan kedai komputer dia, kan ramai member kita yang datang?”

“Mungkin juga. Kalau macam tu, kena buat baik dengan tauke kedailah. Baru boleh tackle awek kat depan tu.” Pemuda itu tertawa senang. Sesekali dia cuba melemparkan senyuman beracunnya ke arahku.

Aku hanya membalas senyumannya dengan pandangan yang dingin. Bukan aku nak tunjuk sombong atau berlagak baik, tapi entah kenapa aku rasa cuak dengan pandangan matanya. Walau dia sebenarnya manis dipandang. Tanpa aku sedar, Nina muncul lagi sambil menatang sebuah dulang yang berisi nasi lemak pula. Dia singgah ke meja pemuda itu dan meletakkan pinggan dengan tenang.

“Jemput makan, encik,” katanya sebelum cepat-cepat berpaling pergi.

“Eh! Kejap!” panggil pemuda itu. “Bos awak yang mana satu?” tanyanya kepada Nina.

Nina tersentak. Dia mula menggelisah sebelum menjawab, “Bos? Er... er… tu yang dekat kaunter,” jawab Nina sambil menyelitkan bil di bawah bekas abu rokok di meja itu. Tadi, dia terlupa lantaran nak cepat sangat beredar dari situ.

Pemuda itu menoleh. “Itu ke?” Lemah saja suaranya. “Nama tauke?” Dia masih memandang ke arah Datin Azizah yang sedang menjaga kaunter. Mungkin sedang berfikir macam manalah nak buat baik dengan wanita bertubuh kecil molek itu.

“Nina,” balas Nina main-main.

“Yang girls dekat meja tu…anak dia ke?” Pandangan matanya dilontarkan pula ke mejaku. Tapi aku tak pasti siapa yang dia pandang atau maksudkan.

Nina menoleh ke arahku seketika. “Yang tu? Itu bukan anak tauke, dia kawan anak tauke,” jawab Nina sambil melangkah pergi.

Aku ketawa lagi dan apabila aku dan Nina bertentang mata, aku dapat lihat bayangan kepuasan di matanya. Aku yakin, makin lama, Nina akan biasa melayani kerenah pelanggan yang memeningkan kepala seperti itu. Syabas, Nina, you rock! Tapi apabila pemuda berambut ikal itu melemparkan senyuman kepadaku, aku tergamam juga. Lain macam aje pandang ni?

Thursday, March 10, 2011

JANJI JULIA : Bab 6




Julia memerhati ke kanan dan ke kiri dengan teliti. Semuanya kelihatan lengang. Dia sudah pasti. Tanpa menunggu lagi, dia terus berlari naik ke atas jalan lalu melangkah palang tengah dan meluru ke seberang. Dari situ dia berlari pula ke arah utara menuju ke keretanya yang sudah separuh terburai dikerjakan oleh penyerang tadi. Mimi termengah-mengah berlari di belakangnya tanpa suara.

Dari jauh dia melihat keempat-empat pintu keretanya ternganga luas. Semua barang bertaburan di sisi kereta. Komputer ribanya hilang! Sakit sungguh hatinya waktu itu. Namun diteruskan juga mencari apa-apa sahaja yang terlintas dalam fikirannya. Dia menyelongkar di bawah alas kaki tempat duduk pemandu. Sebilah parang kecil yang pernah disimpan oleh ayahnya di situ dahulu direntap keluar.

Selepas itu dia pergi ke bonet untuk membantu Mimi. Wajah Mimi begitu sebak. Pakaian mereka bertaburan di atas jalan raya.

“Kutip saja mana yang sempat,” kata Julia sambil mengaut barang-barang yang bertaburan dan menyumbatkannya ke dalam beg pakaian mereka. “Mari! Kita dah tak ada masa!” Julia menarik tangan Mimi.

Mimi mengekori sambil membawa beg pakaiannya. Namun tiba-tiba, lututnya menjadi lemah. Dia terjelepok ke atas jalan raya. Matanya terpaku ke arah sekujur tubuh seorang gadis yang tidak berpakaian dalam jarak kira-kira semeter darinya. Tubuh itu agak tersorok di antara dua buah kereta. Namun kini cukup jelas pada pandangannya. Mata gadis itu terbeliak ke atas. Perutnya pula terburai. Seolah-olah dirodok-rodok oleh sesuatu. Darahnya bersimbah di atas jalan. Wajah Mimi pucat tidak berdarah.

“Mimi!” jerit Julia. “Jangan tengok! Kau balik ke seberang dulu. Kau tunggu aku di sana. Jangan naik ke atas,” kata Julia sambil memapah Mimi melangkah palang. Tubuh Mimi lembik dan longlai.

Setibanya di seberang jalan, dia menolak tubuh Mimi melepasi lubang. Sejurus Mimi melepasi pagar, dia berlari semula ke kereta. Langkahnya juga terhenti seketika. Lututnya tiba-tiba terasa lemah. Matanya terpaku seketika ke arah mayat-mayat yang bergelimpangan di hadapan keretanya. Matanya mula berpinar melihat kesan darah di mana-mana. Dia hampir pitam.
Matanya tidak dapat lari daripada melirik ke arah jasad pak cik yang ditemuinya beberapa jam yang lalu. Tubuh lelaki itu hampir hancur dengan liang tembakan yang bertabur di seluruh tubuhnya. Di sisinya juga bergelimpangan jasad anak-anaknya. Jasad isterinya terkulai di dalam kereta. Julia berasa sebak seketika. Air mata yang mengalir ke pipinya menyedarkan dia tentang sesuatu. Masa!

Dia lantas menarik beg pakaiannya melepasi palang dan mengheretnya selaju yang mungkin ke seberang jalan. Dia tidak berfikir panjang. Beg itu ditolak masuk sahaja ke dalam lubang. Mimi yang berada di bawah menyambutnya dengan rasa terkejut. Julia berlari semula ke arah kereta untuk mengambil beg pakaian Mimi, namun telinganya menangkap suatu bunyi. Dia tergamam.
Bunyi burung kuang di ladang kelapa sawit di hadapannya semakin kuat. Dia menoleh ke langit yang semakin gelap. Senja bakal berlabuh. Namun, bukan itu yang membuatkannya terpaku di situ. Getaran yang terasa di bawah kakinya dan bunyi deruman enjin kenderaan yang menghala ke situ membuatkan nafasnya terhenti.

“Ju, cepat! Mereka datang balik!” laung Mimi dari tebing.

*****

Sementara itu di kawasan hutan di kaki gunung dalam sempadan Perak-Selangor…

Idzham mendongak ke langit. Sinaran matahari sudah tidak terik lagi menikam kulitnya. Matahari juga sudah hampir tenggelam di balik deretan pokok-pokok besar di hutan berhampiran. Idzham sedar hari sudah merangkak ke petang, malah akan menyusul ke senja. Dia tidak mempunyai banyak masa lagi. Peluh yang meleleh turun dari dahinya dibiarkan. Fikirannya hanya tertumpu kepada apa yang sedang diperhatikan sejak tadi.

Pandangan matanya jatuh semula ke arah sebatang pokok renek yang berdiri tegak di hadapannya. Dadanya resah. Sejak satu jam yang lalu, pokok itu diamati dengan teliti namun dia masih belum pasti, adakah pokok itu yang dicari-cari selama ini. Akhirnya dia membuat keputusan. Dia bangkit lalu menarik pokok itu sekuat hati. Namun, usahanya ternyata sia-sia. Pegangannya terlepas. Dia tergolek semula ke tanah. Tapak tangannya melelas.

“Dah jumpa?” tanya Simon yang baru tiba di tempat itu. Dia mencampakkan topi hijaunya ke tanah lalu duduk mencangkung di sebelah Idzham.

Idzham mengangkat bahu, tanda tidak pasti. Jarinya menunjuk ke arah pokok tadi. Mata Simon membesar. Dari celah-celah lalang yang setinggi kepalanya, sebatang pokok renek kebiruan tegak berdiri, seperti menyorokkan dirinya daripada pandangan manusia. Dia segera mendekati pokok itu dan cuba menariknya keluar. Namun seperti juga Idzham, Simon akhirnya terjelepok keletihan. Termengah-mengah.

Idzham mencuit bahu Simon sambil memberi isyarat yang dia mahu mencuba sekali lagi. Dia kelihatan lebih yakin kali ini. Simon mengangguk dan mengesot ke tepi. Idzham kembali berdiri sambil menyapu punggungnya.

Kali ini dia memegang pangkal pokok itu dengan kedua-dua belah tangannya. Nafasnya ditahan sekuat hati dan dia mula membaca sesuatu dalam hatinya sambil memejamkan mata. Seluruh daya tumpuan dipusatkan kepada pokok itu dan dengan nama Tuhan yang memiliki segalanya, dia merentap pokok itu dengan sekali henjutan nafas. Pokok itu tercabut dan dia terhumban ke belakang.

Simon bingkas bangun lalu menarik Idzham supaya kembali duduk. Kedua-duanya terpaku melihat pokok yang baru dicabut oleh Idzham. Akarnya cuma satu, sepanjang hampir satu meter. Idzham dan Simon saling berpandangan. Rasa takjub dan kagum silih berganti. Namun bagaimana pula akar yang sebegini panjang boleh meluncur keluar setelah sekali direntap?

Idzham hanya tersenyum tenang. Ada sesetengah perkara yang dia tidak dapat kongsikan dengan Simon. Idzham mula meneliti pokok yang berada di dalam genggamannya. Mungkinkah itu pokok yang mereka cari-cari selama ini? Idzham membelek-belek dengan teliti. Namun, dia masih belum pasti. Cuma ada satu jalan untuk mendapatkan kepastian. Mereka perlu membawanya pulang ke tapak perkhemahan. Walau bagaimanapun, kemungkinannya tetap ada. Idzham tetap tersenyum. Pokok itu digenggam dengan erat bagaikan barang yang sangat berharga.

Sudah berminggu-minggu mereka menjelajahi kawasan lapang di sebelah barat hutan itu. Menurut datuknya dahulu, pokok itu ada di situ. Idzham pasti dia tidak salah dengar dan keyakinannya bertambah sejak dia menemui lima daripada tujuh jenis pokok yang hampir menyerupai Setuah Biru.

Menurut datuknya lagi, pokok itu juga dinamakan pokok ‘Tujuh Beradik’. Daripada tujuh pokok yang hampir sama, hanya satu daripadanya adalah pokok yang dicari. Bermakna jika pokok-pokok lain sudah ditemui, maka pastilah pokok Setuah Biru berada berhampiran. Mata Idzham tidak lekang daripada memerhati pokok di dalam tangannya. Akarnya cuma satu, bermakna ini anak yang pertama. Bisik hatinya lagi.

Idzham tersenyum sendiri. Ini kali pertama dia menemui pokok sebegitu yang berakar tunjang. Yang lain mempunyai akar berselirat lima, enam, tujuh, tiga dan dua. Koleksinya semakin banyak. Jika boleh, dia mahu mengumpulkan kesemua jenis pokok itu untuk dibuat perbandingan. Namun itu tidak dapat mengaburi impiannya untuk menemui Setuah Biru. Salah satu antara tujuh pokok itu. Jika bukan nombor satu, tentulah yang bernombor empat. Dia semakin hampir! Namun perasaannya belum cukup tenang kerana masa semakin suntuk.

Sudah hampir empat bulan mereka berdua di situ. Terputus dari dunia luar sama sekali. Entah apa yang sedang berlaku di dunia luar pada waktu itu, mereka pun tidak tahu. Entah berapa ribu orang pula yang telah mati disebabkan wabak Rhyto99, mereka juga tidak tahu. Dia hanya boleh berharap agar dia belum terlambat untuk membantu. Agar masih banyak nyawa yang dapat diselamatkan sekiranya Setuah Biru ditemui.

Semasa mereka bergegas memasuki hutan tempoh hari, wabak Rhyto99 baru sahaja tersebar. Dia kehilangan abang dan adik yang diserang wabak itu. Dalam keadaan yang begitu kelam-kabut, pihak universiti menggesa semua ahli saintis mencari penawar wabak itu sedaya upaya dengan segala pengetahuan yang mereka miliki. Keadaan sudah terlalu genting. Ketika itulah dia teringatkan pesanan datuknya dahulu tentang pokok Setuah Biru.

Dengan hati yang berat, dia meninggalkan keluarga setelah mendapat keizinan dan restu ibunya yang masih bersedih. Dia sedar, dia tidak harus berpeluk tubuh dan hanya menunggu.
Simon mencuit Idzham yang termenung jauh, membuat isyarat mengajak Idzham segera pulang ke tapak perkhemahan. Hari sudah semakin gelap.

Idzham tidak membantah. Dia bangkit menyapu rumput dan kotoran yang terpalit di seluarnya lalu mengekori Simon yang mendahului langkah. Entah mengapa petang itu hatinya berdebar-debar. Mungkinkah itu petanda Setuah Biru sudah ada di dalam genggamannya?

*****

Langkah Simon begitu tangkas. Bagaikan tidak sabar-sabar lagi untuk pulang ke tapak perkhemahan mereka yang terletak di dalam hutan di sebelah barat kawasan lapang itu. Tiba-tiba dia berhenti dan menoleh ke belakang.

“Kau rasa, pokok tu betul?”

Idzham hampir tersadung. Dia mengangkat bahu lalu memberi isyarat lagi.

“Tinggal dua jenis lagi, ya? Kalau bukan yang ni, tentu yang berakar empat,” Simon pula yang tersenyum lebar.

Idzham mengangguk. Sememangnya mereka berdua sudah hampir benar dengan penemuan itu. Namun, adakah semudah yang dijangkakan? Hatinya berasa waswas.

Setelah berjalan kira-kira 200 meter, Idzham mencuit bahu Simon. Langkah Simon terhenti. Dia menoleh ke arah Idzham. Idzham menunjukkan ke arah kiri laluan itu. Dahi Simon berkerut.

“Betullah jalan ni,” kata Simon. Idzham menggeleng. Simon mengeluh. “Aku pasti betul,” kata Simon penuh yakin lantas berpaling untuk meneruskan langkah.

Idzham menggeleng. Dia pasti apa yang difikirkannya betul. Dia berpatah semula lalu menggamit Simon mendekatinya. Mahu tidak mahu, Simon melangkah perlahan. Wajahnya masam. Dahinya sudah mula bersimbah peluh.

Idzham menunjukkan sesuatu di celah-celah lalang yang meninggi di tepi laluan. Simon menjenguk. Pembungkus gula-gula Kopiko kegemaran Idzham! Idzham meredah masuk ke celah lalang itu dan mengutip sekeping lagi pembungkus yang sama. Tidak sia-sia perangainya selama ini.

Akhirnya Simon tersenyum lalu menggeleng. “Macam budak-budak, suka tinggalkan tanda,” katanya.

Mereka berdua terus meredah lalang dengan pantas. Di sepanjang jalan, Idzham mengutip kembali pembungkus gula-gulanya lalu disimpan semula ke dalam poketnya. Simon pula mengekori. Tidak jauh dari situ, mereka menemui laluan masuk ke dalam hutan tebal, tempat mereka keluar pagi tadi. Simon tersenyum sambil menepuk bahu Idzham. Idzham membalas senyuman sahabatnya itu. Mereka berdua terus sahaja memasuki kawasan hutan yang semakin gelap.

Payungan pokok-pokok yang merendang di hutan itu menghalang pancaran cahaya petang daripada menyinggah ke permukaan tanah. Suasana bagaikan sudah pukul 7.00 malam. Idzham memerhati beberapa tanda yang telah dibuatnya di sepanjang laluan. Dia terpinga-pinga. Langkahnya terhenti. Dia menoleh ke belakang, ke arah Simon.

Simon melopong. “Macam mana boleh jadi macam ni?” Dia terkebil-kebil.

Idzham berpusing-pusing. Denai yang dirintis oleh mereka pada pagi tadi tidak lagi kelihatan. Pokok-pokok yang dipangkas, semuanya seolah-olah tidak berusik semula. Mereka berdua semakin kalut. Idzham menelan air liur. Dia segera tahu, ada yang tidak kena di situ.

Sunday, March 6, 2011

JANJI JULIA : Bab 5




Bunyi tembakan dan letupan bom semakin jelas kedengaran. Semakin lama, bunyi-bunyi itu semakin dekat. Asap dari beberapa buah kenderaan di hadapan mereka mula naik berkepul-kepul ke langit. Suara hingar-bingar dan suasana yang kelam-kabut itu seolah-olah menampar pipinya daripada terus tergamam di situ. Julia tercungap-cungap dengan tiba-tiba.

“Cepat! Kita mesti keluar dari sini. Cepat!” Julia menjerit sambil menolak Mimi keluar. Dia lantas membuka pintu dan berlari ke sebelah Mimi.

Mimi pula terkial-kial membuka tali pinggang keselamatan. Puas ditekan-tekan, namun tidak terbuka. Air matanya sudah merembes. “Tolong aku, Ju. Tolong aku!” Dia meronta-ronta.

Julia menjenguk Mimi yang semakin panik. Dengan sekali tekan, tali pinggang itu terbuka. Mimi melompat keluar ke arahnya. Tanpa berfikir, dia menarik lengan Mimi. Mereka berlari sepantas yang mungkin mengikut arus orang ramai. Sesekali Julia menoleh ke belakang. Penyerang itu semakin laju mengejar dan menembak ke arah mereka yang lari menyelamatkan diri.

Setelah berlari beberapa meter, mereka berdua sudah keputusan nafas. Julia terpandang ke seberang jalan. Tanpa berlengah, dia menarik Mimi melompat palang halangan di tengah jalan. Dari situ dia menyeberangi jalan di laluan sebelah kanan kereta yang lengang. Julia tidak berhenti di situ lalu menggelongsor menuruni tebing dan meloloskan diri ke dalam lubang yang menghala ke sebuah longkang kecil.

Mimi terpinga-pinga melihat kelakuan Julia tetapi tetap menuruti tanpa bersuara. Dia juga menggelongsor turun ke celah lubang. Jatuh terduduk di tepi parit.

“Ikut sini!” kata Julia sambil mengheret lengan Mimi yang kebingungan. Dari situ, dia meredah parit kecil dan berlari selaju yang mungkin menuju ke ladang sawit tanpa menoleh ke belakang lagi. Tangan Mimi tetap tidak dilepaskan.

*****

Suasana di dalam ladang kelapa sawit itu agak gelap. Daun-daun kelapa sawit yang merendang dan tumbuh rapat-rapat menjadikan keadaan di situ lebih redup daripada di luar sana. Ladang itu agak semak dan terbiar. Lalang sudah tumbuh setinggi kira-kira tiga kaki. Semuanya diredah sahaja oleh Julia dan Mimi. Pedih dan miang tidak dihiraukan lagi.

Setibanya di sebatang pokok kelapa sawit yang tumbang, Julia berhenti. Dia segera menarik Mimi agar berlindung di situ. Kedua-duanya tercungap-cungap menghela nafas. Julia berpaling semula. Dari celahan pokok itu dia memberanikan diri mengintai lebuh raya untuk mengamati keadaan. Debaran di dadanya masih laju.

Dalam jarak kira-kira 100 meter, dia dapat melihat segalanya. Suasana di atas lebuh raya masih lagi kelam-kabut. Masih ramai yang panik dan tidak melarikan diri. Mereka dikejar dan ditembak dari jarak dekat. Ada juga yang ditetak sesuka hati. Sebahagian daripada penyerang itu terus melepaskan tembakan bertalu-talu sambil mengejar orang awam sementara yang lainnya menyelongkar kenderaan yang ditinggalkan. Julia hampir termuntah apabila melihat lebuh raya itu bermandi darah.

Mimi memaut badan Julia rapat-rapat sambil tunduk memandang tanah. Julia terus mengangkat muka memerhati. Bukan kerana dia berani, namun kerana dia perlu tahu demi keselamatan mereka berdua. Tiba-tiba bunyi letupan bom kedengaran lagi. Kali ini lebih hampir. Dia dan Mimi serta-merta menekap telinga mereka.

“Ya, Allah!” Itu sahaja yang terucap. Terasa bumi yang dipijak turut bergegar sama.

Sebuah bas yang berada di hadapan kereta Mercedes tadi pula menjadi sasaran penyerang kali ini. Asap hitam naik berkepul-kepul. Api menjulang tinggi. Bau hangit kesan terbakar mencucuk hidung. Bau petrol, bau plastik dan bau mayat manusia bercampur baur. Tekak Julia semakin loya.

Setelah hampir sejam huru-hara di kawasan itu berlaku, akhirnya kumpulan penyerang itu berpecah kepada dua. Sebahagian daripadanya berjalan kaki manakala sebahagian yang lain berlalu dengan menaiki beberapa buah pacuan empat roda menuju ke arah selatan. Riuh dan hiruk-pikuk dengan sorakan kegembiraan.

Julia yakin, pesta pembunuhan mereka akan berterusan di sepanjang lebuh raya. Apabila mereka berlalu, Julia seakan tersedar daripada mimpi. Dia teringatkan sesuatu. Dengan jari yang menggigil, dia menekan butang-butang di telefon.

“Ayah!” jeritnya sambil berhamburan air mata. “Ayah! Ada tembak-menembak di lebuh raya,” jeritnya lagi apabila panggilan itu tiba-tiba tersambung. Sesungguhnya pada saat itu jiwanya meronta-ronta untuk mendengar suara ayahnya walaupun sekali.

“Ju! Ju! Lari dari situ!” Suara ayah Julia sayup-sayup kedengaran.

“Ayah!” panggilnya lagi. “Ayah!” Panggilannya tidak berjawab. Talian telah terputus. Isyarat telefon tiba-tiba menghilang semula. Dia menangis teresak-esak. Dan tatkala dia menoleh ke arah Mimi, Mimi terjelepok di atas tanah. “Mimi! Mimi!”


*****

Sudah beberapa minit Julia menunggu. Mimi masih belum sedar. Muka Mimi pucat lesi dan pipinya sejuk seperti air batu.

“Mimi! Mimi! Bangunlah,” Julia menggoncang-goncang tubuh Mimi. Pipi Mimi ditepuk-tepuk berulang kali. Namun, Mimi tetap tidak bereaksi. Perasaan Julia semakin gelisah. Dia termangu keseorangan. Ketar di seluruh tubuhnya masih bersisa. Lututnya juga terasa lembik tidak bertulang. Dia terduduk di sisi Mimi sambil memangku kepala gadis itu. Dia terasa sunyi. Dia terasa seperti ditinggalkan oleh semua orang. Dia mula menangis tersedu-sedu. “Mimi, bangunlah cepat. Jangan macam ni.”

Mimi tetap juga tidak membuka matanya. Pipinya tetap juga sejuk membeku. Setelah air matanya kering, dia mengangkat muka. Dengan perlahan dia memerhati ke sekeliling. Ladang itu sunyi. Lebuh raya pula sepi. Jika ada pun hanyalah bunyi api yang membakar kenderaan dan sesekali bunyi letupan kecil entah dari mana. Yang nyata, Julia keseorangan di situ. Tidak ada sesiapa pun yang dapat membantunya. Tubuhnya mula terasa seram sejuk. Bulu romanya tegak berdiri.

“Mimi, bangunlah,” rayunya sekali lagi. Julia menghela nafas. Sebentar lagi senja akan berlabuh di situ. Dia sedar dia tidak boleh menunggu lagi. Tubuh Mimi direbahkan ke atas rumput. Kepala Mimi dialas dengan beg sandang miliknya. Mahu tidak mahu, dia menggagahkan dirinya untuk bangun. Dengan langkah yang berhati-hati dia menuruni kawasan ladang itu menuju ke parit kecil di tepi tebing lebuh raya.

Apabila tiba ke tepi parit, dia mula memerhati. Sehelai bungkusan plastik kecil dikutip dari celah semak. Dibersihkan seketika lalu diisi dengan air parit yang sejuk dan jernih. Air itu dibawa pulang dengan berhati-hati ke tempat Mimi terbaring.

“Mimi, bangun!” katanya sambil membasahkan muka Mimi dengan air parit. Pipi itu ditepuk-tepuk lagi.

Akhirnya setelah berulang kali dikejutkan, Mimi mula tersedar. Mimi bingkas duduk dan memeluk Julia dengan erat. Tubuhnya menggeletar. Matanya masih terpejam rapat.

“Kita dah selamat, Mimi. Mereka dah pergi,” bisik Julia. Dia mengucap rasa syukur berulang kali dalam hati. Dia tahu Mimi sangat tertekan dan terkejut. Dia juga begitu. Namun, entah mengapa semangatnya masih ada. Mungkin kerana sebuah janji yang harus ditunaikan.

Perlahan-lahan Mimi melepaskan rangkulannya. Dia merenung wajah Julia dengan tajam. “Nanti mereka tembak kita.” Bibir Mimi menggeletar semula.

“Mereka dah pergi. Kita selamat sekarang,” kata Julia lagi. Tangan Mimi yang sejuk diramas-ramas.

Mimi terdiam. Riak wajahnya semakin tenang. Namun pekikan burung kuang dari tengah ladang hampir membuatkannya terlompat semula.

“Cuba bawa bertenang dulu. Cuba mengucap,” nasihat Julia sambil duduk termenung di sebelah Mimi. Akhirnya, kedua-duanya terpaku di situ. Kebingungan.

Hari semakin gelap. Langit sudah bertukar kemerahan. Remang senja sudah terlihat di lebuh raya. Namun, di dalam ladang kelapa sawit itu lebih gelap daripada di luar sana. Julia menilik jam tangannya. Sudah hampir pukul 7.00 malam. Tidak sedar masa berjalan begitu pantas.

“Apa kita nak buat, Ju?” bisik Mimi. Dia langsung tidak menoleh ke arah lebuh raya. Suaranya juga perlahan dan tenggelam timbul.

Julia menelan air liur.

“Kita tidak ada pilihan, Mimi. Kita kena bermalam di sini.”

Wajah Mimi semakin keruh. Air matanya bercucuran semula. Julia menggenggam tangan Mimi.
“Aku tahu kau sedih dan takut. Aku pun takut. Tapi takkan kita nak mati ketakutan di sini pula? Selagi kau tak jumpa dengan keluarga kau, aku takkan mengalah, Mimi.” Dia tahu apa yang bersarang di hati Mimi saat itu. Semoga kata-katanya mampu membuatkan Mimi sedikit tenang.

“Apa kau nak buat?” tanya Mimi pula. “Macam mana kita nak balik? Kereta dah tak boleh jalan lagi,” Mimi kembali teresak-esak.

“Jangan fikir singkat, Mimi. Walau mengambil masa bertahun-tahun sekalipun, aku akan pastikan kau sampai juga ke Ipoh,” tegas Julia. Sesungguhnya hatinya turut menangis. Namun, dia sedar semua itu tidak ada gunanya.

“Ha?” Mimi separuh ternganga. Dahinya berkerut.

“Kau mesti sedar, Mimi. Kita takkan sampai ke Ipoh malam ni mahupun malam esok. Aku tak pasti bila tapi aku janji aku akan hantar kau. Pernah ke aku tak tunaikan janji aku?” Pertanyaan Julia membuatkan Mimi tertunduk.

“Aku tak suka macam ni, Ju,” dia menggeleng.

“Ya, aku tahu. Tapi bersabarlah. Reda sajalah apa yang telah berlaku. Walau aku sendiri tak tahu apa hikmah di sebalik kejadian ni, tapi kita kena ingat, Tuhan sentiasa ada.” Satu kenyataan yang mudah untuk diucapkan oleh sesiapa sahaja tetapi agak sukar dihayati walaupun oleh dirinya sendiri.

Mimi mengeluh panjang. “Maafkan aku, Ju.” Dia termangu lagi.

Julia menarik nafas lalu cuba bangkit berdiri. “Dahlah, aku nak balik ke kereta kita.”
Mata Mimi membesar semula. Dia segera memaut lengan Julia sekuat hati. “Jangan! Nanti mereka tembak kau, Ju.”

“Tak apa, mereka dah tak ada,” Julia cuba memujuk. “Macam mana kita nak hidup tanpa apa-apa, Mimi? Aku nak balik ambil barang-barang kita. Tolonglah faham. Benarkan aku pergi sebelum hari menjadi sangat gelap. Nanti lagi susah.”

“Aku nak ikut kau,” kata Mimi pula.

“Kau nak ikut?” tanya Julia. “Kau sanggup?”

Mimi segera mengangguk. “Aku sanggup apa-apa saja asalkan kau tak tinggalkan aku di sini. Tolonglah, jangan tinggalkan aku.”

“Okey, tapi kau kena janji yang kau takkan pandang apa-apa di atas lebuh raya tu. Kau terus pergi ke bonet kereta dan ambil beg pakaian kita. Lepas tu terus lari balik ke seberang sini. Jangan tunggu aku,” ujar Julia dengan lembut. Dia tahu Mimi tidak akan membenarkan dia pergi sendirian tetapi dia juga tidak pasti sama ada Mimi akan mengikut arahannya yang penting itu ataupun tidak.

“Habis kau? Kau nak pergi ke mana?”

“Aku nak ambil barang-barang dalam kereta dulu, lepas tu aku akan tolong kau ambil beg. Tapi janji, jangan pandang apa-apa di atas lebuh raya itu selain barang-barang kita,” pesan Julia lagi.
Mimi mengangguk lalu mereka berdua bangkit meluruskan pinggang. Dengan perlahan, Julia mendahului langkah sekali lagi sambil diikuti oleh Mimi menuju ke lebuh raya semula. Detak jantungnya kembali laju. Dia sendiri tidak pasti adakah dia mampu melihat segala yang ada di situ nanti. Tetapi dia terpaksa. Jari-jarinya mula terasa sejuk.

Langkah Julia tangkas dan tegas. Mereka meranduk parit yang sedalam buku lali dan meloloskan diri melalui lubang longkang ke tebing lebuh raya. Di situ mereka berdua berhenti. Julia memerhati sekeliling dan merapatkan telinganya ke atas jalan. Tiada getaran yang terasa. Dia yakin keadaan sudah selamat. Dia menoleh ke arah Mimi. “Jom! Cepat!”

Friday, March 4, 2011

Terima kasih, Mardiana dalam MW 1424



Alhamdulillah, sebuah lagi cerpen saya yang bertajuk ' Terima kasih, Mardiana' telah disiarkan di dalam majalah Mingguan Wanita Bil: 1424 yang berada di pasaran sekarang. Jika anda membeli majalah ini, sudi-sudikanlah membaca coretan saya ini.


Kulit hadapan majalah MW: Bila 1424
*Di dalam keluaran kali ini juga ada kisah tentang Cikgu Shida yang terkenal tu*

Thursday, March 3, 2011

Mencari Damai Abadi : Bab 11



“Panas ke, Mi?” tegur Abang Osman seraya melangkah masuk ke ruang kecil di belakang kedai runcit mereka. Setiap kali Abang Osman melangkah, berderit papan lantai berbunyi.

Azmi tersentak. Baru dia sedar, dia telah mengelamun jauh semasa meneguk air masak kosong di tangannya. Dia tunduk sebentar, menenangkan perasaan. Akhirnya dia mengangguk dan mengakui apa yang ditanya oleh Abang Osman tadi.

Tanpa dipelawa, Abang Osman melabuhkan punggung di atas pangkin yang sama. Sikunya ditopang ke meja. Sempat juga matanya melirik ke arah novel-novel dan kertas-kertas yang berselerakkan di atas meja itu. “Dah banyak, Mi tulis?” Dia melemparkan pandangan pula ke arah komputer riba Azmi yang terbuka sejak tadi. Entah apa yang tertulis di situ, dia tak pasti pula.

Azmi mengangkat muka. Kehadiran Abang Osman di situ tak pernah dirasakan menganggu. Malah dia bersyukur kerana sekurang-kurangnya dia tidak terus mengelamun jauh entah ke mana. Begitulah dirinya sejak akhir-akhir ini, dia sendiri tidak faham apa yang sedang terjadi. Adakalanya dia sendiri rasa resah dan marah apabila fikiranya hanyut sampai tak berjejak ke bumi.

“Bila nak siap ni?” tanya Abang Osman lagi.

“Lambat lagi, bang. Baru mukasurat 200,” balas Azmi sambil matanya melirik ke arah bawah sebelah kiri komputernya. Baru 200, dan dia perlu menulis lagi paling sedikit pun 200 mukasurat lagi.

Abang Osman beria mengangguk bagai penting benar jawapan itu kepadanya. “Habis tu kenapa termenung je dua-tiga hari ni? Bila nak siapnya kalau macam tu?”

Pertanyaan Abang Osman itu membuatkan Azmi tersenyum. Ada perasaan lucu yang mencuit hatinya. Tapi apabila perasaan itu hilang yang tinggal hanyalah rasa kesal. Sememangnya dia cuba untuk bersikap biasa tetapi entah kenapa makin dicuba makin lain jadinya. “Entahlah, bang. Saya cubalah ni, sambung sikit-sikit.”

Abang Osman meletakkan tangan kirinya di bahu Azmi. “Mi ada masalah ke?”

Cepat-cepat Azmi menggeleng seraya memaniskan muka. Risau pula jika sikapnya mula meresahkan hati Abang Osman. Biarlah masalahnya menjadi masalahnya sendiri.

“Kalau ada, cakaplah. Jangan malu-malu,” tambah Abang Osman.

“Tak ada, bang. Kalau ada pun… cuma memikirkan bilalah manuskrip saya ni nak siap.”

Abang Osman terbatuk-batuk beberapa kali. “Buatlah perlahan-lahan. Bukannya nak kejar apa-apa kan? Lambat laun nanti siap juga.”

Azmi angguk lagi. Matanya masih tertumpu pada skrin komputer riba di hadapannya. Entah di mana dia berhenti malam tadi pun, dia masih belum ingat. Semuanya seperti hambar saja pada pandangannya. Tak bererti.

“Nah! Ni mungkin boleh ubatkan apa-apa masalah kut,” kata Abang Osman sambil menghulurkan sepucuk surat yang dikeluarkan dari saku bajunya.

Azmi terpaku. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah surat yang dihulurkan oleh Abang Osman. Air mukanya berubah, perasaannya berdebar. Mungkinkah? Dia menelan air liur. Suaranya rasa tersekat. “Surat siapa?”

“Surat Azmilah. Kalau surat orang lain, buat apa abang beri pada Azmi pula.” Abang Osman meletakkan surat itu di atas meja. Dia angkat punggung. Sebelum pergi, Abang Osman tepuk bahu Azmi dua kali. Lantai papan itu berderit semula.

Azmi masih terpaku di situ. Anak matanya merenung surat itu yang bertulisan tangan pada sampulnya. Surat daripada siapa pula ni? Dia tertanya-tanya. Dia sentuh sedikit. Dia baca dengan teliti. Memang namanya yang tertulis dengan jelas di situ. Dia melepaskan nafasnya perlahan-lahan. Dengan bacaan Basmallah dia mula membukanya.

*****
Beberapa minit berlalu, dia masih merenung sepucuk surat yang ditulis di atas sehelai kertas kosong bersaiz A4. Tidak begitu panjang, hanya kira-kira separuh mukasurat sahaja. Tapi isinya yang membuat dia termenung jauh. Baru dia tahu nama sebenar Sherry adalah Sharina.

Dia tidak mengeluh. Surat itu dilipat semula baik-baik dan dimasukkan ke dalam sampulnya semula. Perasaannya tak dapat ditafsirkan. Dalam suka ada takut yang hadir. Dia gembira kerana akhirnya dia tahu Sherry tidak melupakan dia di situ. Tapi dia juga takut jika segala yang berlaku itu akan membawa akal dan tumpuannya jauh dari landasan agama. Dia takut kerana dia seolah dibentangkan satu jalan baru yang tak pernah dilaluinya. Dia hanya mampu berdoa agar Tuhan tunjukkan jalan dan berikan dia kekuatan. Dia tak mahu rebah.

“Sudah sampai ke Kuala Lumpur tu….” tegur Kak Senah yang datang bersama sepiring cekodok pisang.

Azmi segera berpaling. Surat di tangannya segera diselitkan di bawah komputer riba. Tapi senyuman dan renungan Kak Senah tetap membuatnya merah muka. “Alhamdulillah,” katanya seraya mengalihkan pandangan ke arah cekodok pisang yang diletakkan di sisinya. Dia cuba berlagak biasa.

“Surat dari siapa?” tanya Kak Senah pula.

Azmi tergamam. Di pulau itu sungguh sukar untuk menyembunyikan apa-apa. “Sherry kirim salam, Assalamualaikum kepada kakak dan abang,” jawabnya penuh makna.

Jawapan Azmi itu membuat Kak Senah tersenyum lebar. “Waalaikumussalam. Dia sihat ke?”
Azmi angguk beberapa kali. Sememangnya itulah yang ditulis di dalam surat itu tadi. Tanpa menoleh ke arah Kak Senah lagi, dia mengambil sebiji cekodok pisang itu. Serta-merta jarinya terasa hangat.

“Ingat juga dia kat kita di sini ya? Dia ada kata nak datang lagi ke sini?”

Azmi menarik nafas dalam-dalam. Sukar sekali untuk dia menjawab pertanyaan itu. Seingatnya tidak pula dinyatakan apa-apa di dalam surat tadi. “Entahlah, kak. Dia tak cakap pula hal tu. Lagipun bukannya boleh bercuti selalu. Dia kan bekerja.”

Kali ini Kak Senah terangguk-angguk. “Kalau Mi balas surat dia, sampaikan salam Assalamualaikum akak pada dia ya…cakaplah kat dia yang akak ajak dia ke mari lagi.”

“Baiklah, kak. Nanti Mi tuliskan.”

“Makanlah. Untuk abang, akak dah letak kat depan,” kata Kak Senah lagi sebelum melangkah keluar dari tempat itu. Sempat juga matanya memandang ruang yang semakin semak itu.
Sambil mengunyah, Azmi merenung skrin di hadapannya. Sebaris demi sebaris ayat yang tertera di dalam surat itu tadi terbayang di matanya. Setiap perkataan malah setiap stroke tulisan itu masih jelas. Jumaat? Pukul 3.00 petang? Perlukah dia pergi?

*****
Selesai saja kariah masjid menunaikan Solat Isya’, Azmi seperti biasa mengemaskan sejadah dan menutup tingkap surau. Lampu-lampu dipadamkan kecuali lampu tangga. Setelah memastikan semuanya siap, dia menutup pintu hadapan surau namun belum sempat dia menyarung selipar, dia mendengar namnya dipanggil.

Dahi Azmi berkerut. Dia lantas menyuluh lampu suluh yang ada di tangannya ke arah suara itu. “Siapa?”

“Jah,” jawab suara itu sambil melangkah keluar dari dalam gelap di sisi surau.

Nafas Azmi terhenti apabila terpandang wajah Khadijah yang masih bertelekung. “Kenapa tak balik lagi?” tanyanya.

“Tunggu awak…,”jawab Jah dengan selambanya.

Azmi menggaru kepala. Nasib baiklah dia tak memadamkan lampu tangga surau itu. Cahayanya cukup terang sehingga segalanya jelas di pandangan sesiapapun tapi hatinya tetap resah gelisah. Tetap rasa serba tak kena kerana berduaan dengan Khadijah di situ. “Esok kan boleh bercakap, kenapa nak tunggu malam ni juga? Nanti kalau ayah Jah tahu, panjang leterannya.”

“Esok dah tak sempat.”

“Kenapa?” Azmi ajak Khadijah berjalan balik saja. Makin lama berdua-duaan di tangga surau itu makin panas rasa dadanya.

Khadijah berjalan lambat-lambat. Azmi mula berpeluh. “Cakaplah cepat,”desaknya lagi. Mula pening dengan sikap gadis itu yang berkelakuan aneh malam itu.

“Esok, Jah nak ke Johor. Jah dapat kerja di sana,” jawab Khadijah sambil menghentikan langkah dan tunduk memandang pasir di hujung kakinya.

Azmi terkebil-kebil. Bingung sungguh fikirannya. “Alhamdulillah, pukul berapa Jah bertolak.”

Khadijah angkat muka dan merenungnya pula. Matanya terkelip-kelip dalam suasana yang remang-remang cahaya itu. Surau di belakang mereka, kedai Azmi pula mash jauh di depan. Mereka berhenti di bawah pokok. “Pukul 7.00 pagi kalau laut tak bergelora,”jawab Khadijah sebelum menyambung langkahnya.

Azmi tinggal terkulat-kulat. Dia tak faham kemapa Khadijah seolah bersedih hati pula. Bukankah bagus kalau dapat kerja yang elok-elok? “Eloklah tu, Jah. Sekali-sekala nanti baliklah jengok mak ayah Jah. Jangan lupakan mereka,” katanya sambil menyambung langkah.

Khadijah berhenti seketika apabila mereka berdua tiba di hadapan kedai Azmi. Di menunggu Azmi yang berjalan kira-kira dua meter di belakangnya tadi. “Mi, tak ada mutiara hitam untuk Jah?” tanyanya sambil merenung tajam ke wajah Azmi.

Azmi tersentak. “Tak adalah, Jah. Dah habis.”

Khadijah mengeluh kecil. “Tak apalah kalau macam tu…Sampaikan salam Jah pada Sherry. Assalamualaikum,” katanya sebelum melangkah laju membelah kegelapan malam.

Salam Khadijah dijawab segera oleh Azmi. “Jah, jaga diri baik-baik kat sana. Jangan lupa solat,” kata Azmi cepat.

Khadijah berhenti seketika tapi tetap tidak berpaling. Dia kemudiannya semakin laju meneruskan langkah.

Azmi pandang sahaja. Makin lama, kelibat Khadijah makin hilang ditelan kegelapan. Dia tahu Khadijah sudah biasa berjalan di situ hingga tahu setiap lekuk dan belok. Dia tidak bimbangkan Khadijah cuma bimbangkan kata-kata Khadijah yang seolah lain benar bunyinya. Sampaikan salam pada Sherry? Mana Khadijah tahu yang dia masih berhubungan dengan Sherry? Kenapa bunyinya lain benar?

Tak semena-mena dia menggeleng perlahan. Hatinya cuma satu walau boleh dikongsi empat. Tapi memang tak ada tempat untuk Khadijah. Cuba dicari-cari tapi tak ada.

*****
Beberapa hari selepas itu….

“Jangan lupa tau!” Suara Tina kedengaran jelas di telefon. “Kau jangan nak escape pulak. Malu aku kat Datuk Fendy. Dia dah janji nak datang.”

Sherry mengeluh. Peringatan yang berkali-kali daripada Tina semakin membuat hatinya berat untuk ke Bintang Palace malam nanti. Datuk Fendy? Siapa pula lelaki ni? Keluhnya sendiri. Makin lama perangai Tina semakin memeningkan. Pandai-pandai saja mengaturkan date untuk dia.Dengan itulah, inilah.

Apa yang dibaca sejak tadi, tidak lagi dapat mencuri tumpuannya. Dokumen-dokumen di tangannya dicampak sahaja ke atas meja. Tiba-tiba saja dia rasa bosan dan letih dengan semua yang dilakukan. Padahal baru dua minggu balik daripada bercuti di Pulau Damai. Erm…Pulau Damai. Perlahan-lahan, tangannya menyentuh laci meja di sebelah kanannya. Ditarik sedikit.

Sebuah kotak kecil diambil dan dibuka. Pandangan matanya terus disajikan dengan sebiji mutiara hitam berkilat yang terletak elok di dalamnya. Diambil dan dibelek. Rasanya tetap sejuk bila disentuh, tetap menyamankan. Apabila dipandang lama-lama, seolah ternampak bayangan pulau itu di dalamnya. Ah! Mungkin dia yang salah lihat.

Dia mengeluh perlahan. Dia menoleh pula ke arah skrin komputer yang sentiasa terpasang di sebelahnya. Ditekan simbol bookmark, dibuka halaman Gmail. Anak matanya terus melirik ke sebelah kiri bawah. Masih belum ada nama yang ditunggu-tunggu tersenarai di ruangan gtalk. Adakah Azmi sudah menerima suratnya? Adakah Azmi menunggunya? Adakah Azmi…Ah! Macam-macam pula persoalan yang bergelut di hatinya. Dia menoleh ke arah jam tangan. Rasanya dia tidak silap hari dan masa. Tapi di mana Azmi?

Tanpa sedar, kini dia tersandar di kerusi sambil merenung halaman Gmail. Semenjak dia pulang, dia tak pernah melupakan Azmi. Walau mereka hanya bertemu selama beberapa hari tapi dia segera tahu yang lelaki itu sukar dilupakan. Sikapnya yang dingin membuat dia rasa semakin resah. Sikapnya mencabar, sukar dimiliki. Mungkin semua lelaki seperti itu begitu sikapnya. Mahal.

Sedang dia termenung, tiba-tiba dia melihat sebuah window kecil terbuka di halaman Gmail. Dia menoleh dan dadanya berdebar. Perasaanya seolah terlambung tinggi. Dia jadi cemas. Azmi?

Wednesday, March 2, 2011

JANJI JULIA : Bab 4


Lebuh raya yang menuju ke utara mula sesak dengan pelbagai jenis kenderaan. Baik kereta, bas, van mahupun lori, semuanya sarat dengan penumpang dan barang-barang. Laluan menjadi semakin perlahan. Julia mengagak tentu mereka juga mempunyai hasrat yang sama. Meninggalkan ibu kota dan menyelamatkan diri bersama-sama keluarga. Dalam keadaan itu, masa dan nyawa sama nilainya. Dan dia berdoa agar semuanya masih boleh bertenang walau di dahinya sendiri sudah memercik peluh.

“Hei! Hei!” Mimi bertempik. Jarinya menunjuk ke arah sesuatu di tengah jalan mereka.
Julia segera membelok ke laluan sebelah kanan. Hampir sahaja mereka merempuh sebuah kereta kecil berwarna Merah Saga. “Gila!” Dia menghempaskan tapak tangannya ke stereng. Dia terketar-ketar menahan rasa terkejut. Dia memerhati cermin pandang belakang. Kenderaan lain juga hampir kemalangan disebabkan perkara yang sama.

Dua orang pemuda cuba menghentikan laluan dengan bersenjatakan sebatang besi panjang. Di sebelah kiri jalan juga kelihatan sebuah pacuan empat roda tersadai di lorong kecemasan. Mungkin rosak, mungkin juga kehabisan minyak. Tidak ada sesiapa pun yang mahu berhenti untuk mengambil tahu termasuklah mereka berdua.

“Gila betul!” Mimi membentak. “Tahan kereta orang dengan besi pula tu. Siapa yang nak berhenti?”

“Mereka terdesak agaknya. Dalam keadaan macam ni, semua orang akan jadi gila, Mimi. Kita harus bersedia.”

“Ya, tapi cara mereka tu boleh buat kita terbunuh sama,” bantah Mimi. Rasa jengkelnya masih ada. Wajahnya bengang.

“Mereka tak peduli soal nyawa kita ataupun sesiapa saja. Yang pentingnya, nyawa mereka dulu. Mereka akan buat apa-apa saja asalkan nyawa mereka dan keluarga mereka selamat.”
Mimi menelan air liur. Dia mendengus.

“Kalau aku pun, aku akan jadi gila,” sambung Julia lagi. Dia tersenyum tawar.

Dahi Mimi berkerut, tidak faham. “Mengapa?”

“Kerana janji aku pada kau.”

Mimi terdiam sejenak. “Fikiran aku jadi keliru sejak kita tinggalkan kampus. Perasaan aku jadi tak tenteram. Apa yang aku harapkan, semuanya tersasar jauh. Pagi-pagi lagi dah macam-macam hal yang berlaku. Aku rasa menyesal pula ajak kau balik ke Ipoh,” balas Mimi pula.

“Jangan cakap macam tu. Kita tak mungkin berpatah balik lagi. Anggap saja ni jalan sehala. Jambatan di belakang kita dah terbakar. Kau sedarkan yang kita tak boleh balik semula ke sana?”

Mimi menghela nafas. Soalan Julia tidak dapat dijawab.

Julia mengerling. “Jangan pandang belakang lagi mulai sekarang. Jangan ada penyesalan. Kita kena teruskan juga perjalanan ni walau apa pun yang berlaku. Aku dah berjanji kepada kau. Aku akan hantar kau balik. Jangan bimbang, okey?” katanya sambil cuba mengukir senyuman walaupun terasa berat.

Matanya merenung lebuh raya. Bagai terbayang-bayang rumah besar Mimi dan kegembiraan pada wajah ayah dan ibu Mimi nanti. Dia ingin tersenyum sekali apabila tiba waktunya. Itu sudah cukup untuk dia menumpang setitis rasa bahagia.

Mimi menoleh ke arah Julia. “Maafkan aku sebab susahkan kau.”

“Aku yang susahkan kau selama ni,” bantah Julia dengan cepat. “Kalau tak disebabkan kedegilan aku, dah lama kau berada di Ipoh.”

“Itu pilihan aku sendiri,” Mimi tidak mahu mengalah. “Aku yang nak temankan kau.”

“Terima kasih, Mimi. Susah nak cari teman baik macam kau sekarang. Lebih-lebih lagi dalam keadaan macam ni. Semua orang akan lebih pentingkan diri sendiri.”

Mimi tersenyum tawar. “Bila kita sampai di rumah, aku akan minta tolong daripada ayah aku untuk cari jalan supaya kau dapat balik ke rumah kau pula. Mesti ada jalan lain untuk ke selatan ataupun sekurang-kurangnya menelefon ayah kau.”

Julia menggeleng. “Biarlah dulu. Aku tak harap apa-apa pun. Kalau kau dapat balik kepada mak ayah kau pun, aku dah cukup gembira,” jawabnya perlahan. Ada sebak dalam dadanya yang tidak mampu diluahkan. Terdongkol di situ.

Kali ini Mimi tidak membantah. Dibiarkan sahaja Julia melayani fikirannya sendiri.

Julia mengeluh panjang. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia memecut selaju yang mungkin, tetapi laluan menjadi semakin sesak. Banyak kenderaan yang berebut-rebut memintas laluan. Julia mula bimbang jika berlaku kemalangan. Kini mereka hanya mampu bergerak pada kelajuan kurang daripada 60 kilometer sejam walaupun mereka berada di laluan sebelah kanan sekali.

Julia mengerling jam di papan pemuka. Sudah hampir pukul 2.00 petang. Jika segalanya lancar, mereka akan tiba di Ipoh sebelum pukul 4.00 petang. Tiba-tiba matanya membesar. “Eh, apa tu?” Mukanya berkerut.

Matanya tidak berkelip memandang lebuh raya di hadapannya. Dia menggerakkan tubuhnya ke hadapan. Apakah yang dilihatnya itu hanya sebuah ilusi? Semakin hampir, Julia semakin cemas. Matanya terbeliak. Serta-merta kakinya menekan pedal brek.
“Astaghfirullahalazim…” Dia tersengguk dengan kuat.

*****

Tubuh Mimi terdorong ke hadapan. Nasib baik badannya ditahan oleh tali pinggang keselamatan. Dia cuma mengaduh. Wajahnya pucat tidak berdarah. Matanya buntang memerhati kenderaan di hadapan mereka. Nafasnya terhenti.

Julia kelu di tempat duduknya. Dadanya bagaikan ingin pecah menahan rasa cemas. Keretanya berhenti cuma setengah kaki dari belakang kereta Mercedes yang berada di hadapannya. Dia segera mengerling ke arah cermin pandang belakang. Sesungguhnya pada saat itu dia lebih risaukan kenderaan MPV di belakangnya. Nasib baik kereta itu juga dapat membrek dengan baik meskipun hampir mencium belakang keretanya. Kesemuanya terlalu hampir. Mereka berdua terdiam dengan tiba-tiba, malah mungkin seisi dunia turut terpegun seketika. Tubuhnya menggeletar dari kepala sehingga ke hujung kaki.

Saat demi saat berlalu. Kedua-duanya masih lagi terdiam di situ. Kebingungan. Di hadapan kereta mereka kelihatan deretan kenderaan yang mungkin berkilometer panjangnya. Tetapi yang anehnya, laluan yang menuju ke arah selatan pula begitu lengang. Apa yang sedang berlaku? Kemalangan teruk? Jalan ditutup? Pelbagai andaian mula bermain di fikiran. Tidak ada satu yang memberi jawapan yang menggembirakan. Dengan perlahan, Julia menoleh ke arah Mimi. Mimi masih terperosok di tempat duduk. Kaku.

Dia menoleh pula ke arah kenderaan lain. Semuanya juga sudah terhenti sama sekali. Laluan ke utara seolah-olah sudah terhalang. Ketiga-tiga lorong menjadi sesak, malah mula bertukar kepada empat lorong. Lorong kecemasan juga dipenuhi kereta. Dan setelah hampir setengah jam tersangkut di situ, pemandu-pemandu mula keluar dari kenderaan masing-masing. Semakin lama, semakin ramai. Semuanya tertanya-tanya dan resah gelisah di tengah-tengah pancaran matahari yang menikam kulit.

“Jangan keluar. Duduk di dalam kereta,” kata Julia sambil membuka sedikit pintu kereta lalu menjenguk ke hadapan. Dia harus berbuat sesuatu untuk mereka berdua.

“Kau nak pergi ke mana? Janganlah keluar,” kata Mimi. Kini suaranya muncul semula.

“Kau tunggu sekejap. Aku nak tanya orang di depan tu. Mungkin mereka tahu sesuatu,” jawab Julia walaupun dia tahu Mimi sudah hampir menangis. Sebelum melangkah meninggalkan kereta, dia sempat menoleh ke arah jam di tangannya. Sudah hampir pukul 2.30 petang. Dengan langkah yang perlahan, Julia memberanikan diri mendekati kereta di hadapannya.

Seorang lelaki yang berusia hampir 50-an keluar dari tempat memandu sambil tersenyum kelat kepadanya.

“Pak cik, apa yang berlaku di depan?” tanya Julia dengan sopan. Dia mengerling ke dalam kereta milik lelaki itu. Ada seorang perempuan yang sebaya dengan pak cik itu dan tiga orang remaja. Mungkin anak-anak pasangan itu. Dia mengangguk sebagai tanda hormat. Mereka cuma terkebil-kebil memandang Julia.

Lelaki itu mengangkat bahu. “Tak tahulah. Tapi kalau macam ni, pak cik tak rasa kita akan sampai ke utara sebelum malam,” katanya dengan resah.

Julia sekadar mengangguk. “Macam teruk betul kesesakan kali ni. Mungkin ada lori tumbang melintang jalan agaknya,” kata Julia.

“Itulah yang membimbangkan kami. Laluan terus tak bergerak dari tadi.”

“Tak apalah, pak cik. Selagi kita masih bersama-sama di sini, insya-Allah kita akan selamat,” katanya cuba menyedapkan rasa hatinya sendiri.

Lelaki itu mengeluh panjang. “Anak nak ke mana?” tanyanya pula. Matanya merenung tajam ke arah Julia. “Berdua saja?” Dia melirik pula ke arah Mimi yang berada di dalam kereta.

“Ya, pak cik. Kami nak balik ke Ipoh,” jawab Julia seraya menoleh ke arah Mimi yang terkebil-kebil memandangnya.

“Duduk dalam kereta, jangan keluar. Mungkin bahaya bila malam tiba,” pesan pak cik itu lagi.
Julia mengangguk lagi lalu berpatah semula ke keretanya. Kata-kata pak cik itu memang benar belaka. Sejak kekecohan berlaku, penjenayah dan perompak bermaharajalela pada waktu malam. Pihak keselamatan sendiri sudah mengeluarkan perintah berkurung bermula dari pukul 7.00 malam. Tetapi sekarang mereka berada di atas lebuh raya. Di manakah mereka harus berlindung apabila malam menjelang?

“Apa yang berlaku, Ju?” tanya Mimi sebaik-baik sahaja Julia masuk semula ke dalam kereta.

“Pak cik tu pun tak tahu. Aku cuba juga jenguk-jenguk ke depan tapi tak nampak apa-apa sebab terlindung oleh selekoh dan bukit,” kata Julia. Enjin kereta dimatikan. Tingkap kereta dibuka. Angin menderu masuk. Namun, belum cukup menghilangkan kebimbangan di hati mereka.

“Kenapalah masa ni pula nak sesak teruk ni?” Mimi bertanya walau bukan kepada Julia.

Julia hanya menggeleng. Mereka benar-benar terperangkap di situ. Di hadapan mereka, seolah-olah lautan kenderaan bersusun panjang. Di belakang juga sama sahaja. Ke mana lagi mereka boleh bergerak? Namun apabila matanya terpandang akan pak cik tadi yang kelihatan sedang berbual-bual mesra dengan pemandu bas di hadapannya, dia berasa sedikit lega. Mereka tidaklah hanya berdua di situ. Masih ramai lagi yang sama-sama senasib. Tentu keadaan tidak sesukar mana.

“Kita tunggu sajalah nampaknya. Nak bergerak ke mana pun tak boleh,” kata Julia.

*****

Masa terus berlalu. Dari sejam ke sejam. Kepala Mimi sudah terlentok di tepi tingkap. Lena diulit mimpi. Julia juga sudah beberapa kali terlelap dan terjaga di dalam kereta. Dia menguap luas. Segala sendinya sudah mula kebas dan sakit-sakit. Dia semakin rimas. Sudah berjam-jam terkurung di dalam kereta. Tidak pernah dirasakan waktu berjalan terlalu perlahan seperti itu. Resah di hatinya juga semakin kuat. Bagaimana jika mereka memang benar-benar tersekat di situ? Sampai bila?

Dia merenung ke langit. Cahaya matahari yang terik tadi semakin lama semakin menghilang. Tersorok oleh bukit yang mengapit laluan di kiri dan di kanan jalan di hadapan mereka. Cuma di sebelah kanan lebuh raya itu sahaja ada lembah yang mencelah di antara dua bukit yang dipenuhi pokok-pokok kelapa sawit. Dan di situ ada parit kecil. Julia cuba menghayati semua pemandangan itu satu per satu. Mungkin segalanya itu hanya akan tinggal kenangan pada suatu hari nanti. Mungkin juga itulah kali terakhir matanya dapat melihat setiap perkara. Dia menghela nafas.

Di hadapan keretanya, pak cik tadi bersama-sama dua orang anak lelakinya sedang berbual-bual di atas jalan raya. Mereka bersimpuh sambil berbual-bual mesra. Julia tersenyum tawar. Ingatan kepada ayahnya di kampung muncul kembali. Kemesraan yang sudah lama hilang. Mungkinkah mereka akan bertemu lagi? Air matanya bergenang. Tiba-tiba matanya membesar. Telinganya dapat menangkap suatu bunyi yang aneh. Mimi juga terjaga dan tersentak. Tiba-tiba, suasana yang hening bertukar kecoh.

Kedengaran suara jeritan dan raungan dari arah hadapan. Dia melihat orang ramai meluru ke arah mereka. Pak cik tadi dan anak-anaknya bingkas bangkit. Namun belum pun sempat dia melangkah jauh, dia sudah tersungkur mencium jalan. Darah membuak dari belakangnya. Anak-anaknya meraung. Suasana bertukar hingar. Bunyi letupan semakin kuat. Bunyi tembakan yang bertalu-talu semakin hampir.

“Ju!” jeritan Mimi berpanjangan.

Monday, February 28, 2011

CAFE CINTA : BAB 1

Saya siarkan semula Cafe Cinta Bab 1
kerana link ke halaman Penulisan2U masih broken.

Ini adalah karya berbentuk Chicklit santai.

*******
SEBUAH café, pelayan dan pelanggan. Hubungan yang tidak asing. Namun ianya menjadi sebuah kisah yang menarik apabila cafenya bernama Café Cinta, pelayannya bernama Nina dan pelanggannya bernama Hafiz. Tak lupa juga, sebab ada aku iaitu kawan baik Nina yang bernama Tasha.
Seperti semua kisah-kisah yang lain, kisah ini juga bermula dari sebuah keputusan yang diambil. Nina, tiba-tiba saja mahu tukar profession. Daripada seorang pengurus sebuah syarikat hartanah kepada seorang pengusaha café. Apa yang Nina tidak sedar adalah, keputusannya itu akan membawa perubahan yang besar dalam hidup kami berdua. Apa yang berlaku? Mari aku ceritakan…

*****
“KAU biar betul. Tiba-tiba aje kau nak buka café ni, pandai ke kau masak?” Mataku sudah hampir terkeluar. Hasrat Nina kurasakan sungguh tidak masuk akal. Gadis manis yang jarang-jarang ke dapur itu, kini mahu menguruskan sebuah café? Macam aku sedang bermimpi berkahwin dengan Putera William saja rasanya. Dihantuk ke dinding pun aku masih tak percaya.

Tapi, pertanyaanku itu disambut dengan senyuman saja oleh Nina. Wajah manisnya kulihat bertambah manis. Aku jadi tak keruan. Buat kali pertama, aku rasa seperti tak mengenali Nina lagi. “Kenapa kau diam? Berniaga makanan ni perkara yang leceh kau tahu tak?” Aku terus cuba menguatkan hujahku.

“Habis tu? Kau tahu sangat? Sejak bila kau berniaga kedai makan? Kau hanya tahu urus projek-projek besar. Projek juta-juta,” balas Nina.

Aku terdiam. Bibirku bergetar untuk menjawab tetapi aku juga tahu setiap patah perkataan yang diucapkan oleh Nina itu tepat. Apa yang aku tahu fasal café? “Jadi? Apa bezanya dengan kau? Dah tak cukup ke kerja di syarikat ayah kau sampai kau nak jadi tukang bancuh teh?”

Terdengar keluhan yang menderu keluar dari bibir mungil Nina. Gadis kecil molek berkulit hitam manis. Namun kecil-kecil cili padi. Kalau dia sudah buat keputusan, dia tidak berpaling lagi. “Aku dah jemu dengan cara hidup aku,” jawabnya selamba. “Asyik buat kerja yang sama dan asyik dengar ayah aku berleter tentang majukan syarikat setiap hari. Aku rasa, aku boleh mati beragan dalam ofis tu.” Nina ketawa kecil. Air kopi pekat dalam cawannya dikacau tanpa henti. Mungkin cuba mengalihkan kemarahannya yang telah lama terpendam.

Melihatkan air muka Nina yang suram, aku juga ikut muram. Aku faham apa yang Nina rasa. Nasib kami hampir serupa. Kami dua orang anak yang terpaksa meneruskan kerja-kerja di syarikat keluarga masing-masing. Bezanya aku tak segila Nina. “Entahlah, Nina. Aku tak tahu nak cakap apa. Kalau pasal bosan, kalau pasal cabaran. Aku tahu engkaulah orang yang paling berani untuk berubah. Aku angkat tangan,” kataku. Kedua tanganku sudah naik ke separas bahu bagaikan seorang pesalah di hadapan polis. Aku benar-benar mengalah dengan sikap Nina yang satu itu.

Nina ketawa. Dia menggeleng melihat telatah aku tadi. “Kau tak nak join aku?”

“Join kau? As a sleeping partner, bolehlah. Kalau kau nak harapkan aku bancuh teh, memang aku out,” jawabku. “Nanti orang minta teh, aku beri kopi.” Ketawa kami berdua tersembur. Beberapa orang jejaka yang ada dalam kopitiam itu menoleh ke arah kami sambil tersenyum. Aku cepat-cepat meredakan tawa, nampak tak sopan betul.

Setelah keadaan kembali tenang, kami sama-sama terdiam. Masing-masing nampaknya sedang melayani fikiran. Ditambah dengan kedinginan petang yang disirami hujan renyai itu, fikiran aku mudah saja melayang jauh. Aku masih tak faham kenapa Nina mengambil keputusan yang begitu drastik. Adakah aku tertinggal sesuatu? Itu yang aku risaukan. “Betul ke ni, Nina? Kau cuma main-mainkan aku kan?” Aku sentuh tangan Nina, aku mahukan kepastian.

Nina mengangkat muka lalu memandang wajahku lama-lama. Dia melemparkan segaris senyuman dengan tenang. “Aku tak main-main, Tasha. Aku dah dapat kedai pun.”

Aku terkebil-kebil. Apa yang kuharapkan, lain yang tiba. “Dah dapat kedai? Bila kau pergi cari?”
“Aku tak cari, kedai tu yang cari aku,” jawab Nina. Senyumannya tetap bersisa.

“Ish, kau ni, Nina. Ceritalah betul-betul,” desakku. Dadaku sebenarnya sudah mahu pecah. Sikap Nina semakin membuatkan aku pening. Tidakkah dia sedar bahawa keputusannya itu terlalu mendadak sehingga aku sendiri pun terkejut? Macam mana pula dengan yang lain? Semuanya sudah tahu ke?

“Masa aku nak balik ke ofis ayah aku lepas jumpa klien, aku lalu di satu tempat. Aku tengok tempat tu ramai orang tinggal. Di situ banyak flat dan ada juga dua baris kedai. Di lot hujungnya ada sebuah café yang mahu dijual. Jadi…begitulah kisahnya.”

Aku diam lagi. Aku tak tahu nak kata apa. Nampaknya Nina tak berbohong. “Jadi, betullah ni ya?”

Nina angguk. “Aku dah sign perjanjian jual beli pun. Renovation pun akan dimulakan esok. Tinggal lagi aku nak cari beberapa orang pekerja saja lagi. Yang lainnya semua dah siap.”
“Aku tahu kau mahir bab nak tubuhkan syarikat, inikan pula cuma sebuah café. Tapi yang jadi kemusykilan aku tu…boleh ke kau handle?” Entah kenapa aku rasa sayu saja kali ini, terasa seperti Nina mengenepikan aku pula.

“Sebab tu aku ajak kau join aku. Kalau ada kau, senanglah sikit.”

“Aku? Kau nak harapkan aku? Setakat masak air panas atau goreng telur tu, tahulah aku. Yang lain tu, aku tahu datang makan dan bayar je,” balas aku sejujurnya. Bukan aku tak mahu tolong tapi aku takut aku hanya akan menambahkan beban saja pada dia. “Kau jangan bimbanglah. Nanti aku promosi kan café kau kat semua kawan-kawan aku, staf sampai ke klien. Aku juga akan tempah cafe kau untuk jadi tempat aku jumpa klien aku jika perlu. Macam mana?”

Nina tersemyum lebar. “Thanks, Tasha. Itupun dah cukup.”

“Tapi…family kau dah tahu? Ayah kau?”

Air muka Nina, kulihat berubah sama sekali. Lebih muram dan suram. Aku segera faham, bahawa selain aku, belum ada orang lain yang tahu tentang hal itu. Dan nampaknya, aku dah ada tugas lain.

*****

Keesokan harinya…..

“Cik Nina, datuk panggil ke pejabat.” Suara Susan, setiausaha Datuk Zakaria, mencecah gegendang telingaku. Aku pandang Nina, Nina pandang aku. Kami sama-sama tahu apa maknanya arahan yang keluar dari corong interkom itu.

“Well, the time has come,” kataku sambil merenung wajah Nina. Aku mencari kepastian pada wajah itu. Adakah Nina benar-benar berani atau dia masih lagi ragu-ragu? Hasilnya, aku melihat sekeping hati yang cukup keras. Tidak sedikit pun ada riak kesal di atas keputusan gila yang dia ambil. Itulah Nina yang aku kenal.

Nina menarik nafas. Dia bangun sambil membetulkan pantsuit kelabu yang dipakainya hari itu. Anak rambut yang mencecah mata, dikuak ke belakang. “So, let’s go,” katanya seraya menyambar frame bag berjenama Dior di atas mejanya.

Aku ikut bangun. Majalah TrendsIdea yang aku cuba baca sejak masuk ke pejabat Nina itu tadi, aku letakkan semula ke atas meja kopi. Kini, aku bagaikan pahlawan yang akan mengiringi sang puteri bertemu dengan ayahanda, sang maharaja. Sedikit sebanyak, aku seram sejuk juga kerana aku tak dapat menjangkakan apa reaksi Datuk Zakaria sebentar lagi. Tapi demi Nina yang meminta aku menemaninya semalam, aku terpaksa ikut juga tanpa alasan.

Bilik Nina dan bilik Datuk Zakaria bukanlah jauh sangat. Keduanya dipisahkan oleh tiga buah bilik saja. Tetapi dek debaran yang semakin memuncak, aku berpeluh bagaikan sedang memanjat Bukit Cina, di Melaka. Dan aku lihat, wajah Nina semakin pucat. Ah! Sudah…

Nina menghela nafas panjang-panjang. Dengan mulut yang terkumat-kamit, dia menolak daun pintu pejabat ayahnya. Aku ikut masuk sekali dan seperti yang aku duga, wajah Datuk Zakaria begitu keruh sekali. Mungkin marah, mungkin juga bingung seperti aku.

“Tasha pun ada?” tegur Datuk Zakaria.

Aku tersengih. Lalu tanpa berlengah, aku rapati lelaki yang sudah seperti ayahku juga, lalu aku salami tangannya dengan sopan. “Ayah, sihat?” tanyaku, walau serentak dengan itu aku rasa amat bodoh sekali. Bukannya aku tak tahu tentang lelaki itu, hari-hari Nina akan bercerita tentang ayahnya. Tapi, aku sebenarnya sangat gugup.

“Alhamdulillah. Family Tasha, macam mana? Papa dah balik dari Korea?” tanya Datuk Zakaria pula sambil membetulkan tali lehernya yang senget ke sebelah kanan. Walau sudah berumur, orang tua itu tetap kemas dan segak pada pandanganku.

“Semuanya sihat. Papa balik minggu depan,” jawabku. Aku menarik sebuah kerusi, di sebelah Nina yang sudah lama duduk di situ macam tugu. Aku duduk diam-diam, aku menanti saat-saat itu.

Nina diam sahaja. Matanya kulihat asyik berkelip. Aku tahu Nina sedang berdebar-debar menantikan ayahnya membuka mulut berkenaan surat perletakan jawatan yang telah dihantar sebentar tadi. Tetapi aku tak pasti apa yang sedang bersarang di hati Datuk Zakaria pula. Wajah yang keruh tadi sudah kembali tenang.

“Tell me why. Give me a very good reason.” Datuk Zakaria akhirnya bersuara juga. Mungkin kebisuan pejabat itu lebih membuat dia rasa tersiksa. Dia mengeluh sambil bersandar ke kerusinya. Sesekali, anak matanya menyeluruhi wajah anaknya. Selain itu matanya kembali terpaku kepada helaian fax di hadapannya.

Aku lihat Nina menggelisah. Dia terkebil-kebil sahaja. “Ayah, Nina tak tahu nak beri alasan apa. Mungkin apa yang Nina fikir baik, tidak akan baik pada ayah.”

“Try me,” balas Datuk Zakaria.

Aku hampir ketawa. Aku sedar Nina mula menggelabah apabila diasak dengan sikap tenang bapanya. Dalam diam, aku puji. Datuk Zakaria tak terus melenting, nampaknya. Tiba-tiba sahaja, Nina menoleh ke arahku. Aku pucat sekejap. Kenapa pandang aku pula ni?

“Nina dah tak rasa seronok kerja di sini, ayah. Nina nak tukar angin,” sambung Nina sambil tangan kanannya menggenggam lenganku.

Aku biarkan saja, walau jari-jemarinya sejuk macam air batu. Yang lebih menarik tumpuanku adalah jawapan yang akan dilontarkan oleh Datuk Zakaria. Jantungku berdegup semakin laju.
“Tak seronok? Jadi, Nina nak berhenti ni sebab nak berseronok-seronoklah ya? Nak jadi spoiled brat?”

Aku rasa tersentap. Nina pula kulihat semakin panik, sehingga tangannya yang menyentuh lenganku bergetar.

“Bukanlah, macam tu, ayah. Nina cuma nak tukar bidang lain,” balas Nina, cuba membetulkan tanggapan ayahnya.

“Hah! Sudah ada rancangan rupanya, Nina nak kerja di mana?”

Lagi sekali, jantungku berdegup dengan kuat. Nafasku sudah mula sesak. Aku tak boleh bercakap atau masuk campur, jadi segalanya terasa berbuku di hujung tekak. Aku mula berdoa, agar satu penyelesaian segera dicari sebelum aku pitam di situ.

“Nina…nina… nak buka café,” jawab Nina.

“Café?” Mata Datuk Zakaria membesar. Kemudian dia menoleh ke arahku pula. “Dengan Tasha?”

Aku menelan air liur. Namun sebelum sempat aku menjawab, Nina sudah membuka mulut. Aku lega.

“Tak, ayah. Nina buka sendiri. Ajak dia, dia tak nak.” Nina menjeling ke arahku.

Aku tak keruan. Pandang sana salah, pandang sini pun salah. Akhirnya aku melarikan pandanganku ke arah meja, macam tak berkait langsung dengan soal itu.

“Oh!” Itu saja aku dengar selepas itu. Kemudian bilik itu menjadi senyap semula.

Aku tunggu, Nina pun tunggu. Masalah itu belum diselesaikan lagi. Tiba-tiba Datuk Zakaria bangun dari kerusinya. Dia menuju ke tingkap dan termenung di situ. Aku dan Nina hanya berani menjeling dengan ekor mata. Selepas beberapa minit, Datuk Zakaria berpaling. Dia merenung kami berdua. “Baiklah, kalau itu yang Nina mahu, ayah setuju. Perletakan jawatan Nina, ayah terima.”

Nina menelan air liur. Aku lihat, nafasnya tertahan seketika. Aku pun rasa seperti nak melompat tapi yang lebih pentingnya ialah reaksi Nina. Sukakah dia? Sedihkah dia?

“Thanks, ayah.” Mereka berdua saling berpandangan seketika, sebelum Nina bangun dan memeluk ayahnya dengan manja.

Aku tersenyum lega. Nafasku lancar semula. Walau aku masih tak faham kenapa Datuk Zakaria begitu senang melepaskan anaknya tetapi aku yakin, Datuk Zakaria pasti ada muslihatnya sendiri. Aku tak bersangka buruk. Aku yakin, sebagai orang tua, Datuk Zakaria panjang akalnya.
“Kalau nak berniaga, berniagalah betul-betul,” kata Datuk Zakaria kepada Nina. “Jangan fikir nak berseronok saja. Berniaga ni susah tau, lebih-lebih lagi kalau dah jadi majikan.”

Nina kulihat terangguk-angguk saja. Namun di wajahnya terbayang rasa lega dan terharu. Dia melemparkan senyuman kepada aku dan aku sambut dengan tanda ‘thumbs up’. Kami sama-sama lega, satu masalah sudah selesai, tapi kami juga tahu yang menunggu selepas itu tak kurang rumitnya.

*****
PUKUL enam petang, aku dan Nina sampai ke perkarangan rumahnya yang terletak di Bukit Antarabangsa. Rumah aku dan Nina sebenarnya tidaklah jauh sangat, cuma berlainan lorong dan selekoh sahaja. Tapi petang itu, aku singgah di situ kerana ada tugas yang aku perlu uruskan lagi.

Kotak-kotak yang mengandungi beberapa barang milik peribadi Nina, kami angkut ke tepi pintu sebelum kami melangkah masuk ke dalam. Sebaik sahaja Nina terpandang muka pembantu rumahnya, dia segera memerintah. “Mak Piah, tolong hantarkan kotak-kotak tu ke bilik Nina.”

Mak Piah, wanita yang berusia dalam lingkungan 50-an itu hanya mengangguk. Dia terus sahaja mengangkat kotak itu menaiki tangga. Di pertengahan jalan, dia terserempak dengan Datin Azizah, ibu Nina yang sedang turun.

“Kotak apa tu?’ tanya Datin Azizah.

“Kotak puan muda, puan. Dia suruh hantar ke bilik dia,” balas Mak Piah.

Datin Azizah diam sahaja. Dia menuruni tangga dengan tenang. Aku yang memandang sedari tadi mula berpeluh semula. Masanya sudah tiba!

“Mak.” Aku menegur sambil memberikan senyuman paling manis untuknya. Tangan kuhulurkan sebagai tanda hormat kepada wanita yang pernah beberapa kali menyuapkan aku nasi semasa aku kecil dulu. Aku sudah menganggap Datin Azizah, seperti ibu juga seperti mana Nina menganggap ibuku sebagai ibunya. Sebab itu aku panggil ibu bapa Nina sebagai ‘mak’ dan ‘ayah’ juga.

“Dari ofis Nina ke tadi?” Datin Azizah terus menyoal sebaik sahaja mengambil tempat di sebelahku di ruang tamu.

Aku angguk sambil memaksa diriku untuk tersenyum. “Tasha cuti hari ni, jadi tadi temankan Nina,” balasku. Dari soalan yang dilemparkan Datin Azizah itu, aku sudah syak yang dia sudah tahu lebih dari apa yang kami jangkakan. Cuma aku tak dapat menduga apa pula reaksinya tentang perkara itu. Marah ke?

“Mak rasa, ada orang tu berhutang dengan mak lah.” Datin Azizah bersuara lagi. Kali ini dalam bentuk satu ayat pernyataan yang keras.

Aku bingung sekejap. Hutang? Hutang apa pula? Dan siapa pula yang berhutang? Oleh kerana aku dan Nina saja yang ada di ruang tamu rumah banglo itu, tentulah soalan itu ditujukan kepada salah seorang daripada kami. Akhirnya aku diam sahaja sambil memerhati ikan-ikan Clownfish berenang-renang dalam kolam di tepi dinding.

Nina aku lihat menggelisah semula. Sekejap dia menggaru kepala, sekejap menggaru muka pula. “Ayah dah beritahu, mak?” tanyanya perlahan. Masih tak berani menentang mata ibunya.

Datin Azizah tak terus menjawab. Aku lihat, dia juga termenung jauh bagai sedang memikirkan sesuatu yang sangat berat. Aku mula sesak nafas. Janganlah perkara ini membuatkan dua anak-beranak berantakan, doaku dalam hati.

“Fasal apa?’ Datin Azizah menyoal balik.

Nina terkulat-kulat. Aku lihat dia seperti menahan nafas seketika. Aku menyenggol lengannya, aku tak fikir dia harus berahsia lagi dengan ibunya. “Nina dah berhenti kerja dengan ayah.” Kata-kata itu terluncur laju dari bibir Nina. Mungkin akibat terperanjat, bila tubuhnya kusenggol.

Datin Azizah menjeling tajam. Inilah kali pertama, aku lihat wajahnya sekeruh itu. Nampaknya keputusan gila Nina telah membuat banyak hati lain ikut jadi gila. “Goreng telur pun tak tahu, ada hati nak buka café?”

Sah! Sudah sah yang Datin Azizah sudah tahu tentang rancangan Nina. Tak lain tak bukan, ini mesti kerja Datuk Zakaria. Hanya mereka bertiga saja yang tahu hal itu.

“Tahulah, mak. Goreng ikan yang Nina tak tahu,” bantah Nina bersahaja.

“Habis tu? Nina nak jual telur goreng hari-hari?”

Tak semena-mena aku tergelak. Diikuti oleh Nina dan Datin Azizah juga. Suasana itu tiba-tiba sahaja hilang ketegangannya. Tapi setelah gelak kami reda, kami bertiga kembali terdiam. Masalah belum selesai.

“Café tu dah ada tukang masak dia, mak. Pekerja yang lama, masih kekal,” terang Nina dengan lembut.

Aku menjeling ke arah Datin Azizah. Aku lihat wajahnya kembali tegang, entah apalah yang difikirkan, aku tak pasti.

“Mak tak faham kenapa Nina ambil keputusan macam ni. Bukan mak nak kata buka café tu tak baik ke apa. Tapi Nina tak pernah buka bisnes dari bawah, banyak halangan dan kesukaran yang Nina kena tempuh.”

Nina terdiam. Dia seperti kehilangan kata-kata untuk menangkis serangan dari ibunya yang macam peluru mesin gan.

“Mak bukan apa…mak tak nak Nina susah. Mak dan ayah dari muda dah kerja kuat bangunkan bisnes kita untuk kesenangan Nina. Tapi alih-alih, Nina pula yang cari susah,” sambung Datin Azizah lagi.

Aku tak menyampuk perbualan dua beranak itu. Dari nada suara Datin Azizah, aku dapat rasakan kebimbangan di hati seorang ibu, itu saja.

“Nina kan anak mak dan ayah. Kalau tak tumpahkan kuah tu ke nasi, nanti membazir je, mak. Jadi, percayalah. Kalau mak dengan ayah boleh berjaya, Nina juga boleh.”

Pandangan mataku beralih ke muka Datin Azizah. Aku mahu lihat sama ada kata-kata Nina itu berjaya melenturkan kekerasan hatinya. Hasilnya, aku lihat dia tersenyum tenang. Tapi, sebenarnya itu sudah dijangka. Jika Datuk Zakaria sudah beri lampu hijau, selalunya Datin Azizah akan mengikut saja kata suaminya.

“Mak cuma harap, Nina tak bakar kedai tu macam Nina bakar dapur mak dulu,” balas Datin Azizah.

“Mak…,” jerit Nina.

Kami bertiga serentak ketawa sambil mengenang secebis kisah lalu yang melucukan.
Dalam ketawa, aku masih rasa seperti bermimpi sahaja. Datuk Zakaria dan Datin Azizah sudah bersetuju dengan keputusan Nina, tinggal lagi apa agaknya respons dari abang-abang Nina pula. Walau pendapat mereka tidaklah penting sangat tetapi ini satu keputusan yang besar. Aku dapat jangkakan Nina akan menerima tentangan seperti selalunya. Kesian juga pada dia tetapi setiap keputusan ada risikonya. Dan yang lebih menakutkan, tidak ada sesiapapun yang tahu apa yang bakal berlaku di cafe itu nanti. Terbakar juga ke?