Sunday, July 8, 2012

Cerpen: Nyanyuk


“Usu, bila nak balik kampung? Ubat mak dah habis.”
Aku dengar suara emak dengan teliti. Walaupun suara emak tenggelam timbul namun sudah cukup untuk mematikan kerinduan yang ada di hatiku. Suara emak bagaikan ubat penawar segala penyakit. Suara emak bagaikan ada keajaiban.
“Ubat mak dah habis? Dah habis langsung?”
“Entahlah. Mak pun tak tahu tapi dah dua hari mak rasa along tak beri mak makan ubat.”
Sesaat dua telah berlalu. Aku terdiam sambil memikirkan pertanyaan emak. Sungguhpun emak tidak meminta aku balik ke kampung tetapi pertanyaan itu tetap mengandungi dua maksud. Emak mahu aku balik dan mak mahu aku belikan ubatnya yang telah habis. Sungguh jelas.
“Along ada di rumah tak, mak? Kalau ada, mak berikan telefon ini pada along. Usu nak cakap dengan along.”
Aku beri arahan kepada emak dengan berhati-hati dan jelas sekali. Aku tahu, emak sudah tidak faham bahasa yang rumit-rumit lagi. Emak sudah mula nyanyuk, kadang-kadang emak tidak ingat apa yang dilakukan. Malah emak pernah lupa nama aku. Tidak lama selepas itu, aku terdengar suara along.
“Usu, along ni,” kata along.
“Betul ke ubat mak dah habis? Usu rasa macam belum saja.” Dahiku berkerut kerana aku pasti kiraanku tidak salah. Aku yang membeli, aku yang mengira keperluan emak dalam soal itu. Along cuma tolong jaga emak dan beri emak ubat.
“Belum…,” jawab along. “Tapi tahu sajalah emak tu… along dah beri pun, dia kata belum beri. Sekarang along terpaksa simpan ubat-ubat dia di tempat tinggi. Along takut, emak curi makan.”
Betullah apa yang aku fikirkan. Ubat emak sepatutnya ada separuh lagi, bukannya sudah habis.
“Tapi sejak malam tadi, dia asyik suruh along telefon Usu. Puas along pujuk kata usu kerja, tak boleh diganggu.”
“Tak apalah, along. Ikutkan sajalah perangai mak tu.”
“Tapi kan… along rasa mak sebenarnya rindu kat usu. Tu sebab dalam kepalanya kata ubat dia dah habis. Kalau kata macam tu nanti, usu kenalah balik hantar ubat dia.”
Aku tersenyum geli hati.
“Hujung minggu ni usu balik. Cakap pada mak.”
“Usu tak kerja ke hujung minggu ni?”
“Usu cuma boleh balik sekejap pada hari Ahad. Malam tu juga usu kena balik semula ke KL,” jawabku. Sudah terbayang di kepalaku satu perjalanan yang memenatkan badan untuk memandu balik dari KL ke Gemas kemudian berpatah balik pada hari yang sama.
“Kalau larat, baliklah. Ubat emak tu masih ada lagi.” Suara along sudah mengendur. Mungkin sudah terbayang juga di kepalanya kesusahan yang akan aku alami untuk balik ke kampung bersendirian.
“Tak apalah, along. Alang-alang dah balik nanti, usu belikan sekali ubat mak untuk tiga bulan lagi.”
“Eloklah tu,” jawab along.
Lantas aku mematikan panggilan. Penat atau tidak, aku akan balik juga. Aku hendak jumpa emak. Rindu.
******
Empat hari telah berlalu sejak aku menerima panggilan telefon daripada emak tempoh hari. Hari ini, aku balik ke kampung bersendirian dan sampai ke jalan masuk ke kampung kira-kira pada pukul 1.15 petang. Di pertengahan jalan, aku bertemu dengan seseorang yang aku rasa seperti pernah mengenalinya.
“Miza! Nak ke mana?”
Aku berhentikan kereta di tepi jalan masuk. Aku tegur gadis yang baru kuingat namanya itu. Ya, dia Miza! Kawan sekelasku semasa di sekolah rendah dahulu. Kami tidak bersekolah sama lagi apabila aku dapat memasuki asrama penuh selepas itu. Dengarnya Miza terus bersekolah di kampung itu sebelum bekerja entah di mana. Masa yang telah berlalu begitu pantas, seolah-olah memadam ingatanku terhadap Miza sehingga bertemu semula pada hari ini.
“Nak balik rumah,” jawab Miza. Riak wajahnya tidaklah seperti teruja melihat aku. Mungkin kerana aku bukanlah kawan baiknya. Sama ada aku ada ataupun tidak, bukanlah ada makna kepada Miza. Mungkin.
“Nak tumpang?” tanyaku walau sejujurnya aku sendiri sudah tidak berapa ingat rumah Miza di mana. Jika tidak silap aku, rumahnya di belakang sekolah rendah. Itu sahaja.
Miza angguk.
“Masuklah,” pelawaku. Aku bukakan pintu kereta dan Miza terus masuk.
“Awak kerja di mana sekarang?” Miza bertanya tanpa menoleh ke arahku.
“Di KL. Awak?” Aku teruskan pemanduan sambil berfikir sama ada aku harus bertanya ataupun tidak di mana rumahnya. Aku bimbang Miza akan tersinggung.
Miza menggeleng. “Sedang cari kerja,” katanya perlahan.
Aku terus memerhatikan jalan. Debaran di hati tidak memungkinkan aku untuk menumpukan perhatian kepada jawapan Miza. Aku lebih bimbang jika aku terlepas simpang sedangkan aku belum tergamak untuk bertanya arah. Miza pula hanya buat tidak tahu.
“Ada jumpa kawan-kawan kita yang lain?” Aku cuba mengurangkan kerisauan di dada. Selagi Miza tidak menegur, aku anggap jalan sajalah jalan itu betul. Itu yang paling senang.
“Ada. Tapi ramai dah tak tinggal di sini lagi,” jawab Miza.
Memanglah, aku jawab dalam hati. Siapa hendak tinggal di kampung itu selama-lamanya? Lambat-laun anak kampung itu terpaksa juga berhijrah ke tempat lain untuk bekerja dan berkeluarga. Hanya yang betul-betul  ada sebab sahaja yang masih tinggal di situ, seperti alongku yang kebetulan mengajar di sekolah kampung itu sahaja. Bolehlah dia menetap di situ bersama emak.
“Awak tak nak berhijrah ke? Cari kerja jauh sikit.”
Aku pandang Miza yang sedang duduk tegak. Ingatanku terhadap gadis itu seperti tidak banyak berubah. Miza tetap berbaju kurung berbunga halus dari kain kapas seperti yang pernah aku lihat belasan tahun yang lalu. Ternyata selera Miza tidak berubah, sedikit ketinggalan zaman jika dibandingkan dengan arus fesyen pada zaman ini.
“Tak ada orang nak bawa.” Miza tunduk memandang jarinya.
Hatiku mula tersentuh melihat gelagat Miza. Aku faham apa yang sedang dihadapinya. Aku juga dulu begitu. Tanpa pertolongan rakan baikku yang sudi menumpangkan aku beberapa minggu di sana, mungkin agak sukar untuk aku mencari pekerjaan. Aku yakin, Miza amat memerlukan pertolongan.
“Miza belajar setakat mana?”
“Diploma. Diploma perakaunan.”
Aku angguk. Boleh tahan.
“Kalau macam tu… apa kata kalau Miza ikut saya balik KL? Kita cuba cari kerja di sana untuk Miza. Sementara tu, Miza tumpanglah di rumah saya dulu sampai dapat kerja dan tempat tinggal lain. Nak menyewa di rumah saya tu, susah sikit sebab penyewa dah penuh tapi kalau nak menumpang dalam sebulan dua tu, bolehlah.”
Aku tersenyum. Aku rasa gembira, lega dan bangga kerana dapat membantu Miza pula.
“Bila awak balik ke KL?”
“Malam ni, selepas Maghrib. Esok pagi saya kerja. Jadi… sebelum balik tu, saya jemput Miza dulu ya? Miza beritahulah keluarga Miza.”
Miza angguk. Tidak lama kemudian Miza mengangkat tangan lalu menunjukkan sebuah tempat yang agak lapang tidak jauh daripada masjid.
“Nak berhenti di sini?”
“Ya, turunkan saya di sini.”
“Tapi rumah Miza jauh lagi, kan?”
Miza geleng. “Dah terlepas di belakang…”
Ha? Dah terlepas? Aku toleh ke belakang, baru aku perasan bumbung sekolah rendah dari situ. Aku malu sendiri.
“Maaflah, saya tak perasan simpang tadi.”
“Tak apalah,” kata Miza sebelum turun daripada keretaku.
“Ingat ya, selepas Maghrib saya jemput,” pesanku sekali lagi.
“Saya tunggu di simpang,” balas Miza.
Aku terus memandu balik ke rumah, aku yakin emak sudah ternanti-nanti kepulanganku.
*****
“Siapa ni?” Emak bertanya sebaik sahaja melihat muka aku di hadapannya. Pada waktu itu dia sedang duduk menonton televisyen.
Aku mengeluh perlahan. Rasa sedih yang mula datang bak hembusan angin, aku tepis. Aku faham, emak sudah nyanyuk. Emak kadangkala lupa tentang dirinya sendiri, ini kan pula hal orang lain. Lalu, aku tidak ambil hati dengan pertanyaan emak.
“Ni, usu lah, mak. Usu anak mak,” jawabku sambil tersenyum. Moga-moga emak masih ingat wajahku jika aku tersenyum.
“Usu? usu mana pula ni?” tanya emak pula. Emak tercengang-cengang dengan riak marah.
“Tak apalah, mak,” balasku hampa.
Biarlah emak tidak kenal aku lagi, biarlah jika emak sudah lupa nama aku siapa tetapi yang aku tahu, aku masih ingat dan kenal emak. Itu cukup untuk membuatkan aku rasa bahagia.
“Emak buat apa ni?”
“Tengok TV” balas emak.
Betul juga, kata hatiku. Memang emak sedang memandang ke arah skrin televisyen di hadapannya tetapi aku tidak pasti sama ada emak faham ataupun tidak rancangan yang dipertontonkan kerana emak sedang menonton rangkaian drama Korea yang tidak ada alih bahasa atau sarikata. Aneh juga.
“Kenapa dibiarkan emak tonton drama Korea ni?” Along masuk menegur aku di ruang tamu. Along bawa air dan sepiring kuih pisang goreng yang aku bawa balik tadi. Diletakkan di atas lantai berdekatan dengan kami berdua.
“Bukan Usu yang alih siaran. Usu datang tadi, memang dah terpasang,” Aku membela diri.
Along segera menekan butang kawalan TV, kini siaran telah bertukar ke rancangan lain. Rancangan Tanyalah Ustazah.
“Along…,” panggilku. “Mak tak kenal usu.”
“Biasalah tu… kadang-kadang along ni pun mak tak ingat.”
“Makin teruk?”
“Tak juga. Kadang-kadang mak boleh ingat macam biasa, kadang-kadang saja mak lupa semua benda. Pernah mak lupa pakai baju selepas mandi,” terang along.
Isy! Teruk tu, kata hatiku. Namun aku tidak sampai hati meluahkannya kepada along. Sudahlah along yang menjaga emak, kalau along susah hati, macam mana aku nak tolong? Aku duduk jauh.
“Usu ada bawa ubat mak?”
“Ada. Cukup untuk tiga bulan lagi.”
Aku keluarkan beberapa botol vitamin yang kubeli di farmasi untuk emak. Sebenarnya yang disebut sebagai ‘ubat’ oleh emak selama ini hanyalah vitamin. Kami sengaja malas menegur emak untuk perkara yang seremeh itu. Biarlah emak nak panggil apa pun, asal hati emak senang. Tidak berbaloi untuk bertengkar dengan perkara yang tidak sepenting itu.
“Ubat.” Emak bersuara apabila ternampak botol-botol vitamin yang aku keluarkan. “Ngah, kau pergi ambil air, mak nak makan ubat yang along bawa ni.”
Aku dan along cuma berpandangan. Cakap emak sudah merapu. Along dipanggil angah, aku dipanggil along.
Along menggeleng. “Tak payah, tadi along dah beri dia.”
Aku pandang emak. Ternyata ingataan emak sudah merosot sekali.
“Ni ubat, mak. Jangan telan tau. Hisap perlahan-lahan sampai habis.”
Akhirnya aku berikan emak sebiji coklat kerana emak masih menadah tangan mengharapkan kami memberinya sebiji ubat. Oh! Emak…
******
Pada petang itu, aku berbaring di sebelah emak di ruang tamu kerana aku rindu hendak peluk emak seperti dahulu. Aku rindu bau badan emak, aku rindu dengkuran emak. Aku rindu semuanya pasal emak. Mujurlah emak membiarkan sahaja aku begitu.
“Berapa hari usu cuti?” Emak dengan tiba-tiba sahaja bertanya.
Kepalaku segera meninggalkan bantal. Bersorak-sorai jiwaku apabila emak menyebut namaku. Emak sudah ingat?
“Sekejap saja, mak. Selepas Maghrib nanti usu kena balik,” jawabku. Terasa lama benar tidak berbual dengan emak. Dulu emak selalu berbual dengan aku sehingga larut malam. Macam-macam yang emak ceritakan. Cuma selepas emak jatuh sakit dan berubah menjadi pelupa sahaja… hari-hariku di rumah itu bertukar sepi. Tidak ada lagi cerita emak.
“Kalau banyak kerja, buat apa balik? Menyusahkan usu saja. Baliklah cuti raya nanti.”
Aku tersenyum.
“Cuti raya dah lepaslah, mak,” balasku. Emak terlupa lagi.
“Dah lepas ke?”
“Dah dua bulan.”
Emak diam. Entah apa yang emak sedang fikirkan.
“Usu balik nanti hati-hati….”
“Usu sentiasa hati-hati, mak. Tapi rasanya jalan ke Bahau mesti sesak,” balasku sambil berfikir mahu ikut balik menggunakan jalan ke Tampin atau ke Simpang Empat kemudian naik sahaja lebuh raya. Ada Miza menemaniku, jalan yang jauh pun mungkin tidaklah terlalu menjemukan.
“Jangan ajak sesiapa balik,” pesan emak lagi.
Aku terdiam seketika. Jangan ajak sesiapa balik? Kenapa pula?
“Tapi usu… usu dah ajak Miza ikut usu balik KL, mak. Usu cadang nak tolong dia cari kerja kat sana.”
Aku berbicara seolah-olah ingatan emak tidak pernah merosot. Seperti emak tidak ada apa-apa masalah langsung. Entah kenapa, aku rasa gembira, aku rasa lega teramat-amat. Mungkin penyakit emak membuat aku sedih. Aku rasa kehilangan emak walaupun emak ada di hadapan mata.
“Miza anak Bidin? Anak Piah?”
“Mana pula Miza anak Bidin? Nama ayah Miza kan Sulaiman? Amiza Sulaiman.” Aku ingat nama penuh Miza kerana nama ayahnya sama dengan nama ayahku, Sulaiman.
“Dia dah mati.”
Isy! Emak… orang tu sihat walafiat dikatakannya mati? Aku tergamam tetapi aku tidak mahu membantah, aku tidak sampai hati.
“Dia jatuh sungai. Sampai sekarang orang tak jumpa mayat dia,” sambung emak lagi. “Angah pun ikut cari masa tu.”
Aku renung siling rumah yang samar-samar sahaja. Cerita emak aku dengar sahaja tanpa mahu mengulas. Seingat aku bukan Miza yang mati lemas tetapi Seman, anak jiran sebelah. Seman jatuh ke sungai yang terletak tidak jauh dari sekolah aku sewaktu aku dalam darjah enam dahulu. Sudah berapa tahun perirtiwa itu berlalu? Fikiran emak  sah-sah kacau-bilau.
“Abah pun tolong juga.”
Kata-kata terakhir emak itu terus membuatkan aku menggelengkan kepala. Kasihan emak… sah ceritanya bercampur aduk. Mana pula abah boleh tolong? Abah kan sudah meninggal sewaktu aku baru berusia setahun? Hai… aku garu kepala yang mula pening.
“Mak tidur ya? Jangan banyak fikir,” pujukku pula. Aku kembali merebahkan kepala di atas bantal. Aku peluk emak erat-erat.
“Jangan peluk. Kau siapa?” Emak beranjak jauh dari aku.
Aku hanya mampu memandang. Petang itu aku tidur berpeluk tubuh sahaja sambil mencium baju emak dari belakang.
*****
Pukul 7. 40 malam, aku mula sibuk. Aku kemaskan beg pakaian, aku masukkan buah-buahan yang akan aku bawa balik ke rumah sewa kerana kebetulan pokok rambutan dan manggis di sekeliling rumah berbuah, aku mula membersihkan sedikit kereta sebelum menjemput Miza pula selepas ini. Aku tak mahu terlalu lewat balik ke KL, nanti sampai juga lewat.
“Apa yang usu cakap dengan emak tadi?” tanya along sewaktu sama-sama memasukkan beg plastik yang mengandungi buah manggis ke dalam kereta.
“Kenapa?” Aku pandang along. Aku sendiri sudah ingat-ingat lupa pasal perbualanku tadi.
“Sejak bangun tidur… emak asyik menyebut nama Miza. Kenapa ya?” Muka along kelihatan keliru dan risau.
“Miza? Usu ingat tadi apahalnya… memanglah usu ada cakap dengan emak tadi yang usu nak bawa Miza balik ke KL malam ni. Usu nak tolong dia cari kerja, kesian dia….” Aku tutup pintu kereta. Semuanya sudah ada, aku rasa.
Tetapi apabila along tidak membalas kata-kata aku tadi, baru aku memberikan perhatian kepada along yang kelu di sisi kereta. Wajah along sepertinya amat terkejut.
“Kenapa along?” tanyaku.
“Apa usu cakap ni?”
“Usu cakap benda yang betullah.”
“Kenapa sebut pasal Miza pula?”
“Yalah, tengah hari tadi semasa usu balik ke sini, usu jumpa Miza kat tepi simpang masuk tu. Usu tumpangkanlah dia sampai dekat masjid. Dialah cerita, dia sedang cari kerja… jadi usu naklah tolong dia. Itu saja,” terangku. Dalam hati, aku dapat rasa along sedang memarahiku. Aku rasa tidak patut along bersikap begitu, kasihan Miza.
Along geleng kepala. Dia tunduk memandang tanah.
“Kenapa along geleng-geleng pula?” Aku pegang lengan along. Aku ada buat salah ke? Aku tak boleh tolong Miza?
“Usu ni ada bakat nak jadi nyanyuk macam emak,” balas along.
Aku terlopong seketika.
“Sampai hati along cakap macam tu ya…” Mukaku sudah masam. Memanglah penyakit nyanyuk emak merisaukan aku. Aku tidak mahu menjadi nyanyuk apabila tua nanti. Aku mohon pada Tuhan agar dijauhkan penyakit itu tetapi sekiranya tersurat aku akan nyanyuk juga, aku akan reda tetapi bukanlah sekarang.
“Dah tu… apa mak cakap pada usu?”
“Mak cakap… Miza dah mati. Mengarut sungguhlah mak tu. Orang yang masih hidup pun mak kata dah mati. Orang yang dah mati pula, mak kata masih hidup. Jangan mak kata usu pula yang dah mati sudahlah.” Rasa rajukku pada along masih ada.
Along geleng kepala lagi.
“Usu tak percaya cakap mak?”
“Along… mak tu dah nyanyuk tau. Apa yang mak cakap semuanya dah tak betul.”
“Usu kejam, usu zalim. Sampai hati usu hukum mak macam tu sekali.”
Aku terdiam. Lama aku memandang muka along yang seolah-olah mahu bermandi air mata. Aku tahu along penat menjaga emak, malah fikiran along juga mungkin sudah letih dengan kerenah emak tetapi kenapa along sanggup tuduh aku zalim?
“Usu hanya bercakap benar. Along pun tahu semua yang keluar dari bibir mak dah tak boleh dipakai. Mak  dah tak boleh bezakan antara realiti dan imaginasi.”
Along geleng lagi. Along bagaikan tidak boleh menerima pendapatku itu. “Tapi apa yang mak cakapkan itu benar. Miza… dah lama jadi arwah.”

Aku pandang along tidak berkelip.
“Along jangan main-main dengan usu, long. Baru tengah hari tadi usu jumpa dia dekat simpang jalan. Dia tumpang kereta usu lagi.…” Tubuhku sudah menggeletar.
Mujur along segera memegang lenganku pula.
“Istighfar. Mengucap. Baca Al-Fatihah.” Macam-macam cadangan along kepada aku apabila melihat aku tersandar ke pintu kereta.
Sekujur tubuhku kedinginan. Sedar-sedar sahaja tapak tangan along sudah menyentuh kulit mukaku. Dia meraut mukaku sambil membaca beberapa potong ayat yang tidak tentu bunyinya. Mungkin Ayatul Kursi. Along peluk bahu aku, along bawa aku masuk ke dalam rumah semula.
“Jadi… cerita mak tadi tu betul?” tanyaku setelah rasa terkejutku beransur hilang.
Along angguk. “Itu yang along cuba cakapkan pada usu. Mak tu cuma nyanyuk bukan gila. Bukan semua cakap mak tu tak boleh dipakai. Lagipun mak tu mak kita, kalau kita hilang kepercayaan pada mak… siapa lagi yang mak ada dalam dunia ni?”
Aku terdiam jadinya.
*****
Waktu Maghrib sudah berganti Isyak. Aku masih belum berganjak dari rumah emak. Fikiran aku tidak tenang, hatiku berat untuk pulang.
“Emak cerita yang Miza… jatuh sungai. Mayatnya tak dijumpai sampai sekarang. Emak juga cakap… angah ada tolong cari. Betul ke?” Aku ceritakan semula kepada along apa yang emak sampaikan pada aku tadi. Aku cuba mencari di mana benar dan di mana silapnya cerita emak itu. Mungkin dari situ, dapat aku tanamkan semula rasa percaya aku pada emak.
Along angguk.
“Kebetulan masa tu angah ada balik sini. Mereka mencari tiga hari tiga malam tapi… mayat Miza tetap tak dijumpai sampai sekarang.”
“Tapi kenapa usu tak pernah dengar cerita ni?”
“Usu tak pernah tanya. Along taklah cerita….” balas along.
Aku diam sahaja. Mungkin betullah apa yang along cerita kerana tidak mungkin along sengaja mengada-ngadakan cerita mengenai kematian seseorang pula. Dan aku tidak menyalahkan orang lain dalam soal itu, memang aku tidak ada masa mahu bertanya khabar dengan kawan-kawan lama di sekolah rendah dahulu. Masa telah menjarakkan aku dengan mereka. Mungkin bukan Miza sahaja yang telah tiada. Mungkin ramai lagi dan aku sahaja yang tidak pernah tahu.
Apa-apa pun kesimpulannya… cerita emak betul.
“Tapi kan, long. Emak cerita… abah pun ada tolong.” Aku pandang along lama-lama. Along mesti faham kenapa aku tidak mempercayai cerita emak tadi. “Itu sebab usu tak percaya pada cerita mak.”
Along angguk faham. Along diam sahaja.
Mataku mula berair. Tanpa dapat kutahan rasa kesal datang menghunjam sehinggakan hatiku berasa sakit dengan sendirinya. Tergamak aku sebagai anak tidak mempercayai kata-katanya. Sekurang-kurangnya aku tidak patut terus menghukum emak atau memandang emak bagaikan seorang yang telah hilang kewarasan. Dia emak aku.
 “Maafkan usu, long. Usu….”
“Tak apalah, usu baliklah dulu. Nanti kalau dah sampai sana  telefon along.”
“Along…”
Along menoleh ke arahku.
“Usu tak jadi baliklah,” kataku.
Aku teringatkan janji aku pada Miza tadi. Rasanya tak sanggup aku melintas simpang itu semula malam-malam begini dan pesanan emak yang menyuruhku berhati-hati bagaikan memberi isyarat sesuatu yang buruk akan berlaku.
Ya, aku percayakan emak kali ini. 
 
Kalau sudi, tolong tekan butang SHARE di bawah.
SHARE di Facebook atau di Tweeter anda.
Terima kasih ya!

4 comments:

  1. oit,cam seram gak tuuhh...sape kah miza tu?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Entahlah. Cerita ini berdasarkan kisah benar yang akak alami semasa balik ke kampung beberapa bulan yang lalu...

      Delete
  2. Kisah btl ke kak.....ish2... Abis mayat bdk 2 dh jpe ke?? Agak nya roh dia xtnag kot...kcian...

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.