Sunday, July 29, 2012

GLAS--Z : Bab 2


TANPA berselipar Ari meluru ke bilik Jeffri. Sewaktu dia tiba di situ, bilik itu sudah pun dikerumuni oleh penghuni institut itu. Baru dia sedar ramai yang sudah tahu perihal Jeffri, hanya dia yang tidak tahu kerana enak menyulam mimpi. Dia mula rasa marah pada dirinya sendiri.
 “Kenapa dengan Jeff?” tanyanya sambil menolak sesiapa yang ada di hadapannya. Faruk hanya kata ada yang tidak kena dengan Jeffri, Faruk tidak kata… Tanpa sempat ditahan, dia merentap kain putih yang menutupi tubuh Jeffri. Dia terpempan. Tidak mungkin!
Wajah pucat Jeffri membuat sekujur tubuhnya menggeletar. Darah merah yang keluar daripada kedua belah hidung dan mulut Jeffri masih menitik ke atas cadar yang mula basah.  
“Jeff! Bangun, Jeff!” katanya sambil menggoncang tubuh Jeffri yang semakin kaku. Dia bingung. Malam tadi mereka berdua baru sahaja makan malam dan berbual-bual, pagi ini…
“Jangan macam ni, Ari,” pujuk Faruk sambil menarik lengan Ari.
Tapi Ari merentap tangannya dari pegangan Faruk.
“Tidak! Jeff belum mati. Jeff…” Dia terduduk di atas lantai tanpa menghiraukan semua mata yang memandang. Dia tersedu-sedu sambil menutup mukanya dengan kedua belah tangannya. Jiwanya masih menolak. Tidak mungkin Jeffri telah mati. Tidak mungkin.
“Sudahlah, tak baik menangis macam ni,” pujuk Faruk lagi sambil menarik tubuh Ari bangun dan membawanya keluar ke beranda bilik itu. Cahaya pagi segera singgah ke wajah mereka berdua, menghantar sedikit kehangatan.
 “Apa yang terjadi pada dia? Kenapa…” tanya Ari sambil menahan perasaannya. Pandangan matanya masih dikaburi air mata. Puas disapu namun air mata itu tetap juga tidak berhenti mengalir.
“Tak pasti lagi tapi aku rasa dia kena serangan jantung,” balas Faruk dengan tenang. Dia melemparkan pandangan ke arah kebun getah di hadapan mereka. Suasana kehijauan itu nampak mendamaikan walau tidak cukup indah di saat itu.
“Jeff tak pernah sakit jantung. Lagipun umur dia baru 25 tahun.” Suara Ari mula meninggi. Alasan itu sukar diterima olehnya walaupun dia tahu kematian itu bukan ketentuan manusia.
Faruk angkat bahu. “Sudah ajalnya begitu. Kita nak kata apa?”
“Di mana Dr. Sid? Dia dah tahu?”
“Malam tadi kan malam tahun baru? Engkau bukan tak tahu ke mana Dr. Sid pergi selalunya? Tapi dia sudah diberitahu, dia masih dalam perjalanan balik.” Faruk mengerling jam di tangannya. Jam itu menunjukkan waktu baru hampir ke pukul 9.35 pagi.
Ari diam. Setiap kali dia menoleh ke arah jenazah Jeffri, perasaannya jadi pilu. Dia yakin Dr. Sid pasti akan lebih sedih lagi. Jeffri adalah satu-satunya anak Dr. Sid. “Ayah kau?”
“Selepas kami dapat tahu tadi, ayah aku pergi jemput dia. Ayah aku kata dia sendiri yang nak sampaikan hal ini kepada Dr. Sid. Mungkin sekejap lagi mereka sampailah.”
“Siapa yang jumpa Jeff?”
“Pengawal keselamatan yang meronda. Dia kata pintu bilik Jeff terbuka.”
“Apa kita nak buat ni? Hubungi polis?”
“Ayah aku kata tunggu mereka balik dulu.” Faruk menggeleng.
Sedang mereka berdua sibuk berbincang, terdengar suara riuh rendah di luar bilik Jeffri. Kedua-duanya segera berpaling.
“Tangkap, Ari!” Perintah Dr. Uzair di muka pintu. “Yang lain tinggalkan bilik ini.”
Serentak dengan itu beberapa orang pengawal keselamatan masuk dan memegang tubuh Ari dengan kuat.
Ari tersentak. Dia cuba menepis. “Eh! Kenapa ni, doktor?”
“Ayah, kenapa ni?” tanya Faruk pula sambil meluru ke arah ayahnya untuk menuntut penjelasan.
Di tengah keributan itu, Dr. Sid muncul dengan wajah muram. Serta-merta suasana di situ menjadi hening dan pilu. Tanpa menghiraukan sesiapa, dia terus menuju ke arah jenazah anaknya. Kain yang menutupi jenazah itu dibuka. Air matanya mengalir perlahan ke pipi.
“Doktor,” panggil Ari. Dia hanya mahu tahu, kenapa dia ditahan seperti itu. Apa salahnya?
“Bawa dia pergi,” jawab Dr. Sid tanpa menoleh sedikit pun ke arah Ari. Nada suaranya begitu dingin.
Tanpa sempat dibantah oleh Ari, tubuhnya diheret walaupun dia terus meronta-ronta dan memanggil-manggil Dr. Sid.
“Jeffri bukan kena serangan jantung yang biasa. Semua bukti sudah ada, Faruk. Memang Ari yang membunuh Jeffri,” kata Dr. Uzair sambil mencampakkan sebuah fail ke atas katil Jeffri
Ari yang berada di muka pintu hanya sempat melontarkan pandangan ke arah Faruk. “Aku tak buat, Faruk! Aku tak buat!” jeritannya bergema di sepanjang jalan menuju ke bilik kurungan.
*****
BILIK itu kecil. Hanya ada sebuah tingkap dengan jeriji besi padu, sebuah kipas di atas kepala dan sebuah pintu keluar. Lain tidak ada apa. Jemu berdiri, Ari duduk di atas lantai yang sejuk. Fikirannya buntu. Dia masih tidak faham apa yang sedang terjadi. Tidak mungkin dia membunuh Jeffri mahupun sesiapa. Hatinya tidak sekejam itu.
Bunyi tapak kaki di luar pintu, membuatkan dia mengangkat muka. Ketika pintu itu terbuka, nafasnya sudah berhenti. Apa pula yang tiba? Namun dia berasa lega apabila ternampak wajah Faruk di situ.
“Kau tak apa-apa?” tanya Faruk seraya mendekatinya. Di tangannya ada sebuah dulang yang berisi nasi goreng dan secawan air kopi.
“Kau belum minum pagi, kan?” tanyanya lagi sambil memandang Ari. Dulang itu diletakkan baik-baik di atas lantai.
Ari mengeluh perlahan. Tidak usahkan minum pagi, basuh muka pun belum. Mandi apalah lagi. Dia mendengus geram. Tiba-tiba sahaja dunianya tunggang terbalik pagi itu. Dia langsung tidak bersedia.
 “Dah pukul berapa ni?” Dia pandang pergelangan tangannya yang kosong. Dalam keadaan yang kelam-kabut tadi, dia tertinggal jam tangannya di tepi katil.
“Baru pukul 11.00 pagi. Aku cuma datang tengok keadaan engkau.”
“Aku tak faham, Faruk. Kenapa aku pula yang dituduh membunuh? Bukankah Jeff mati disebabkan sakit jantung?”
Faruk mengeluh berat. Kemudian dia turut sama duduk dan bersandar pada dinding bilik. Dulang makanan yang dibawa tadi direnung tanpa tujuan. “Aku sendiri pun tak faham. Tapi kata ayah aku, mereka di bahagian makmal 77 ada bukti untuk mengaitkan engkau dengan kematian Jeff.”
Spontan sahaja, Ari ketawa. “Bukti? Mengarutlah. Kalau benar, tunjukkan aku rakaman CCTV. Baru aku percaya.”
Faruk menghela nafas lalu menganguk perlahan. “Bukan soal kau percaya atau tak, tapi yang pentingnya Dr. Sid percaya.”
“Gila!”
Ari menendang dulang makanan di hujung kakinya. Nasi goreng dan air kopi bertaburan di atas lantai. Dia mendengus geram. Dia tidak sangka begitu senang Dr. Sid mempercayai tuduhan yang tidak berasas itu.
“Jeff tu abang aku. Aku sayang dia. Tak mungkin aku akan apa-apakan dia.”
“Perasaan bukan bukti yang sahih. Penafian kau tak akan dapat menandingi bukti fizikal yang mereka ada.”
“Bukti fizikal?” Ari bertanya semula. Dia tidak faham apa bukti fizikal yang dikatakan oleh Faruk. “Apa bukti fizikal yang ayah kau ada? Aku nak tengok.”
 “Shh… bertenang. Bukan soal itu yang kau kena fikirkan sekarang,” balas Faruk.
“Soal apa lagi yang lebih penting? Kat atas sana Jeff dah mati, dan aku di sini dituduh bunuh dia. Kau faham tak? Aku dituduh bunuh Jeff!” Suaranya lagi sekali meninggi.
Melihatkan kelakuan Ari yang begitu tertekan, Faruk menepuk-nepuk bahu Ari dengan lembut.
“Cubalah bawa bertenang. Fikir satu-satu,” katanya lembut. “Jeff dah mati. Kau pula yang dituduh menyebabkan kematian Jeff berdasarkan bukti. Dr. Sid pula sedang bersedih. Aku rasa inilah masanya yang paling baik untuk kau lari dari sini,” tambah Faruk lagi.
“Apa?” Ari menggeleng.

*******
“JANGAN jadi bodohlah, Ari. Cuba kau fikir apa akan jadi kalau kau tunggu di sini?” Faruk pegang bahu Ari kuat-kuat. Dia renung muka Ari lama-lama. Matanya berair.
“Aku akan diserahkan kepada polis?” tanya Ari pula.
 “Kalau mereka nak serahkan kau kepada polis, pagi tadi lagi polis dah sampai ke sini,” balas Faruk dengan cepat.
Jawapan Faruk membuatkan Ari terdiam. Terasa sejuk kaki dan tangannya, sejuk juga segala urat perutnya.
“Mereka akan serahkan aku pada SIKORP?” katanya perlahan.
Faruk tidak mengangguk atau menggeleng. Tetapi dia seperti tidak mampu membalas pandangan mata Ari lagi.
Ari termenung jauh. Diam Faruk memberikan dia satu jawapan yang mengerikan. SIKORP ialah sebuah kumpulan aneh. Dia pernah melihat anggota SIKORP datang dan membawa pergi beberapa orang ahli di institut itu yang melakukan kesalahan berat. Mereka hanya pulang dalam keranda tanpa otak. Sehingga sekarang dia tidak tahu lebih lanjut mengenai SIKORP, dia cuma mendengar beberapa cerita ngeri yang dibisikkan oleh kakitangan institut itu. Cerita itu beredar bak Urban Legend yang menyeramkan.
Sesiapa yang melakukan kesalhan berat di situ akan diserahkan kepada SIKORP. SIKORP akan menghantar beberapa orangnya yang bertatu kepala baga di tapak tangan untuk mengambil pesalah. Selepas beberapa hari hanya jasad yang akan pulang untuk disemadikan. Dengarnya bukan otak sahaja yang dikorek hidup-hidup tetapi juga mata, telinga dan segala organ dalaman yang boleh berfungsi.  Ari rasa hendak muntah.
 “Tapi aku takkan benarkan SIKORP ambil kau.” Faruk pandang Ari lama-lama.
“Aku tak bersalah, Faruk. Aku tak bersalah.” Dia menggeleng keras. Dia tidak mahu mati begitu. Lagipun dia masih muda. Dia belum melihat dunia.
“Aku tahu. Aku akan cuba usahakan sesuatu. Kau tunggu aku malam ni,” jawab Faruk sambil bangkit berdiri.
“Apa kau nak buat?”
“Aku akan usahakan agar kau boleh melarikan diri dari sini,” balas Faruk dengan tenang.
“Kalau aku lari, aku akan nampak seperti bersalah. Tak usahkan Dr. Sid, tukang sapu pun akan percaya aku yang bunuh Jeff.”
“Kau cuma ada dua pilihan. Kau tunggu di sini dan lihat otak kau dikeluarkan hidup-hidup atau kau lari dan cuba kumpul bukti untuk membersihkan nama kau. Yang mana kau nak?” tanya Faruk dengan pantas. “Sekurang-kurangnya kau masih hidup dan boleh berjuang untuk satu perkara yang betul dalam hidup kau.”
Ari terdiam seketika. Kedua-duanya pun dia tidak mahu. Tetapi mungkin benar kata Faruk, kekal hidup adalah lebih baik buat masa itu.
“Kau fikirlah dulu. Aku datang lagi malam nanti.” Faruk buka pintu bilik dan melangkah keluar.
“Faruk, malam tadi aku bermimpi. Aku melihat bintang jatuh ke bumi.” Dia tersenyum kelat. Entah kenapa dia tiba-tiba teringatkan  mimpi itu semula. Mimpi yang belum sempat diceritakan kepada Jeffri.
Faruk tersenyum nipis.
“Mungkin maknanya kau akan selamat.” Dia tutup pintu di belakangnya.
Sebaik sahaja pintu itu tertutup rapat, Ari rasa begitu sunyi dan buntu. Dulu jika dia begitu, dia akan bertanya kepada Jeffri. Jeffri selalu ada jawapan, selalu ada idea. Kini, dia sedar dia tidak mungkin akan dapat lagi bertanya kepada Jeffri dan Jeffri tidak akan ada lagi jawapan untuk dia. 
Patutkah dia lari? Ke mana dia harus pergi? Ari terus buntu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.